Tuesday, October 9, 2007

034 - (Sufism 11) Syara' Menggalakkan Zuhud Bukan Tasawuf

Syara' Menggalakkan Zuhud Bukan Tasawuf

Di dalam al-Quran, al-Hadith dan Bahasa Arab tidak terdapat kalimah tasawuf atau sufi, atau suatu kalimah yang memberikan makna tertentu dari kalimah sufi atau tasawuf tersebut. Kalimah ini (sufi/tasawuf) berjaya dimasukkan ke dalam Bahasa Arab (diArabkan) oleh aktivis tasawuf melalui saluran falsafah yang mereka amal dan perjuangkan. Apa yang terdapat di dalam al-Quran atau al-Hadith hanyalah kalimah takwa dan zuhud yang berbeza maksud, tujuan dan prinsipnya dengan tasawuf atau sufi, takwa dan zuhud melarang pelakunya dari meninggalkan syariat walau seinci sekalipun. Namun ada yang menyangka bahawa kedua-dua kalimah ini mempunyai sedikit persamaan. Dalil tentang zuhud telah difirmankan oleh Allah Subhanahu wa-Ta'ala dengan pengertian dan penjelasannya yang sebenar:


وَكَانُوْا فِيْهِ مِنَ الزَّاهِدِيْنَ.

"Dan mereka merasa tidak tertarik hati padanya". (Yusuf, 12:20.)

Kalimah "zuhud" di ayat ini, bererti: "Tidak tertarik, tidak terikat, tidak terpengaruh dan tidak terasa cinta kepada sesuatu yang bersifat kebendaan". Walaupun begitu ia tidak pula ditinggalkan kerana kebendaan tersebut boleh dijadikan kepentingan dalam kehidupan di dunia walaupun bukan menjadi tujuan utama. Zuhud merupakan satu daripada amalan para nabi, para rasul, para sahabat dan orang-orang soleh.

Konsep ibadah zuhud adalah bertentangan dengan konsep dalam amalan dan disiplin tarikat kesufian. Walaupun ada kalangan penganut sufi/tasawuf yang cuba mengistilahkan amalan zuhud kepada pengertian sufi/tasawuf atau amalan orang-orang sufi, tetapi pada realitinya kalimah ini tidak dapat membawa maksud dan memberi erti yang sedemikian, sama ada di segi istilah, bahasa, teori atau praktikalnya.

Zuhud adalah suatu amalan mulia berupa tarbiah (pendidikan) yang telah dicontohkan oleh Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa sallam kepada umatnya. Matlamat zuhud ialah agar sentiasa tabah, istiqamah dan ikhlas di setiap ibadah. Zuhud mendidik ummah agar sentiasa sabar, tekun, rajin, berdisplin dan menekankan jihad di dalam setiap amal ibadah. Setiap peluang, kesempatan masa serta apa sahaja kurniaan Allah Subhanahu wa Ta’ala yang berupa dunia dan segala isinya dijadikan sebagai sebaik-baik wasilah untuk menyempurnakan ibadah dan cara untuk mendekatkan diri kepada Allah.

Mukmin yang zuhud tidak mudah terpengaruh, dilalaikan atau merasa cinta yang keterlaluan terhadap kekayaan dunia serta segala bentuk kebendaan tersebut, termasuklah semua kebendaan yang telah dimiliki atau yang sedang diusahakan. Dalam amalan zuhud, dunia dan khazanah kekayaannya bukanlah menjadi tujuan atau matlamat utama untuk mencapai taraf kehidupan dan personaliti yang kamil, mulia dan soleh. Semua ini semata-mata hanyalah sekadar untuk memenuhi keperluan hidup duniawi yang digunakan untuk mencapai kebahagian akhirat sebagaimana yang dicontohkan oleh para sahabat yang berzuhud.

Zuhud membina dan memberi sumbangan yang menguntungkan kepada ekonomi, kerana zuhud berusaha mencari dunia sebanyak mungkin, kemudian diinfakkan (dibelanjakan) atau dijihadkan sebahagian besar dari perolehan yang terkumpul pada jalan Allah. Amalan zuhud dapat menyelamatkan dirinya dari api neraka di samping menyelamat dan meringankan beban Bani Adam dari penderitaan hidup di dunia dan juga azab neraka di akhirat.

Zuhud sama sekali tidak pernah mendoktrinkan manusia supaya membenci dunia, jijik atau meninggalkan anugerah Allah yang berupa bermacam-macam kenikmatan dunia yang halal. Zuhud tidak pernah mengajarkan agar meninggalkan dunia kerana semata-mata mengejar akhirat, ingin menemui Allah di alam kerohanian (khayalan tasawuf) atau juga supaya bermimpi bertemu Nabi Muhammad sallallhu ‘alaihi wa sallam atau Nabi Khaidir kerana semuanya itu tidak pernah disyariatkan oleh Islam.

Segala apa yang terdapat di dunia ini terutamanya harta kekayaan serta peluang waktu (kesempatan masa) yang ada, merupakan pendorong, peluang dan landasan untuk beramal serta tunggak kekuatan untuk berjihad bagi orang-orang zuhud. Hukumnya haram jika ditinggalkan dan tidak dipergunakan dengan sebaik mungkin. Malah akan mendatangkan dosa jika dipersia-siakan kerana akan merugikan dirinya dan diri bani insan yang lain. Allah telah mengingatkan manusia supaya menggunakan kesempatan, peluang dan masa mereka yang berharga dengan sebaiknya:


وَالْعَصْرِ ، اِنَّ الاِنْسَانَ لَفِى خُسْرٍ ، اِلاَّ الَّذِيْنَ آمَنُوْا وَعَمِلُوْا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْابِالصَّبْرِ

"Demi masa, sesungguhnya manusia itu benar-benar di dalam kerugian, kecuali orang- orang yang beriman, dan mengerjakan amal yang soleh, dan menasihati di antara mereka, supaya mentaati kebenaran dan menetapi kesabaran". (al-‘Ash, 103:1-3)

Allah juga telah menerangkan bahawa segala ciptaanNya yang terdapat di permukaan bumi ini adalah untuk hambaNya yang beriman supaya dimanfaatkan, dinikmati dan digunakan dengan cara yang dihalalkan dan dengan sebaik mungkin demi untuk menunaikan ibadah dan memperolehi pahala sebagai bekalan di akhirat kelak. Sebagaimana firmanNya:


هُوَ الَّذِيْ خَلَقَ لَكُمْ مَا فِى اْلاَرْضِ جَمِيْعًا.

"Dialah yang menjadikan (mencipta) segala-galanya yang terdapat di permukaan bumi ini semata-mata untuk kamu semuanya". (al-Baqarah, 2:29)

Dunia dan kekayaannya atau anugerah yang berupa materi keduniaan adalah rezeki Allah untuk manusia. Wajib disyukuri dan dinikmati. Di samping itu wajib diusahakan supaya dapat digunakan sebahagian dari hasil usaha tersebut untuk jihad pada jalan Allah. Segala sumbangan jihad yang berbentuk harta akan memenuhi kepentingan agama Islam dan akan memakmurkan Ummah Islamiah di segala aspek. Zuhud memberi sumbangan yang terlalu besar dalam menyempurnakan seruan ibadah jihad melalui pengorbanan diri, harta dan kekayaan. Sebagaimana yang terdapat di dalam seruan Allah di dalam firmanNya:


اَلَّذِيْنَ آمَنُوْا وَهَاجَرُوْا وَجَاهَدُوْا فِى سَبِيْلِ اللهِ بَاَمْوَالِهِمْ وَانْفُسِهِمْ اَعْظَمُ دَرَجَةً عِنْدَ اللهِ ، وَاُوْلَئِكَ هُمُ الْفَآئِزُوْنَ . يُبَشِّرُهُمْ رَبُّهُمْ بِرَحْمَةٍ مِّنْهُ وَرِضْوَانٍ وَجَنَّاتٍ لَّهُمْ فِيْهَا نَعِيْمٌ مُّقِيْمٌ. َ

"Orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad di jalan Allah dengan harta benda dan diri mereka, adalah lebih tinggi darjatnya di sisi Allah, dan itulah orang-orang yang mendapat kemenangan. Tuhan mereka menggembirakan mereka dengan memberikan rahmat daripadaNya, keredhaan dan syurga, mereka memperolehi di dalamnya kesenangan yang kekal". (at-Taubah, 9:20-21)

Ayat ini menegaskan tentang sifat orang-orang beriman yang berzuhud bukan bersufi atau bertasawuf. Kerana orang yang berzuhud (zahid) akan berjihad dengan dunia mereka atau menginfakkan (membelanjakan) harta kekayaan mereka di jalan Allah, kerana keimanannya yang kuat menyakini bahawa semua amalannya akan dibalas oleh Allah Subhanahu wa-Ta'ala. Mereka yakin hanya dengan cara ini sahaja mereka boleh memperolehi darjat yang mulia atau makam (اَعْظَمُ دَرَجَات) "kedudukan yang paling mulia di sisi Allah", sebagaimana yang dijanjikan oleh Allah pada ayat di atas. Janji Allah pada ayat di atas amat jelas kerana Allah menegaskan dengan lafaz isim tafdhil (اِسْمُ تَفْضِيْل) dari timbangan af'al (اَفْعَل).

Firman Allah di ayat ini juga adalah mukjizat yang tidak sama dengan kata-kata ahli sufi/tasawuf dalam soal darjat (makam di sisi Allah), pendapat atau teori ahli sufi/tasawuf ciptaan otak manusia yang dipengaruhi oleh falsafah metafizika spekulatif dari fikrah Yahudi, Nasrani atau Majusi. Allah mengakhiri firmanNya pada kedua-dua ayat di atas dengan menjanjikan kemenangan dan balasan kekal di dalam syurga. Inilah sebenarnya matlamat mukmin yang zuhud.

Setiap mukmin wajib mengimani setiap huruf, kalimah, lafaz dan ayat-ayat di dalam firman Allah yang terdapat di dalam al-Quran, termasuklah ayat di atas kerana setiap kata-kata Allah di dalam firmanNya adalah kebenaran belaka. Sebaliknya ucapan dan pendapat orang-orang sufi/tasawuf yang berasaskan pada spekulasi falsafah metafizika adalah dipenuhi dengan bid'ah, tahaiyul, khurafat dan bertentangan dengan ayat-ayat Allah serta hadith Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam.

Dalam ayat dari surah At-Taubah di atas, diterangkan juga bahawa orang-orang beriman yang zuhud, selain dari berjihad dengan nyawa dan harta kekayaan mereka juga sentiasa berhijrah, iaitu berhijrah dari kemaksiatan kepada mentaati Allah dan RasulNya. Di ayat yang lain Allah berfirman:


يَآاَيُّهَا الَّذِيْنَ آمَنُوْا هَلْ اَدُلُّكُمْ عَلَى تِجَارَةٍ تُنْجِيْكُمْ مِّنْ عَذَابٍ اَلِيْمٌ . تُؤْمِنُوْنَ بِاللهِ وَرَسُوْلِهِ وَتُجَاهِدُوْنَ فِى سَبِيْلِ اللهِ بَاَمْوَالِكُمْ وَاَنْفُسِكُمْ ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ اِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُوْنَ.

"Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah kamu Aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih? (iaitu) dengan beriman kepada Allah dan RasulNya serta berjuang pada jalan Allah dengan harta dan diri kamu, itulah yang paling baik bagi kamu jika kamu mengetahui". (as-Shaff, 61:10-11)

Antara cara yang diperintahkan oleh Allah s.w.t untuk dilakukan supaya kita berjaya melepaskan diri dari azab api neraka yang pedih ialah dengan beriman kepadaNya dan kepada RasulNya, kemudian berjihad dengan harta kekayaan yang diperolehi melalui kerajinan dan kegigihan berusaha. Semua yang telah dijanjikan oleh Allah untuk diberikan kepada hambaNya sama ada di dunia atau di akhirat tidak akan diperolehinya jika ia lari dari fitrah kehidupan dunia.

Ajaran tarikat sufi/tasawuf amat menekankan agar penganutnya membenci dunia. Islam mengharamkan fahaman seperti ini kerana akan menggalakkan sikap malas berusaha, membuang masa, tidak bertanggungjawab dan lari dari jihad harta.

Zuhud adalah amalan sunnah yang dicontohkan dan diamalkan oleh para nabi, para rasul serta para sahabat. Zuhud juga telah dibuktikan oleh mereka dengan menjadikan harta kekayaan yang telah mereka usahakan dengan sungguh-sungguh dan penat-lelah sebagai alat untuk berjihad. Mereka menyedari bahawa seseorang hamba tidak akan mampu berjihad dengan hartanya jika tidak berusaha untuk memiliki harta.

Mustahil akan memiliki harta jika tidak mahu berusaha untuk mendapatkan harta tersebut. Begitu juga terlalu sukar pula untuk berjihad dengan harta benda jika tidak bersifat zuhud. Maka sikap dan sifat orang-orang mukmin yang zuhud telah digambarkan di dalam ayat-ayat di atas. Banyak lagi ayat-ayat serta hadith-hadith Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa sallam yang mengarahkan supaya kita berjihad dengan harta benda melalui amalan zuhud.

---------
Zuhud Memerangi Sufi/Tasawuf
---------

Zuhud bersifat dinamik dan progresif kerana ia praktikal dan juga disarankan oleh syara. Zuhud sentiasa menganggap dunia serta khazanah kekayaannya sebagai suatu yang penting dan berfaedah kepada umat manusia untuk memperolehi kesempurnaan hidup di dunia dan di akhirat. Zuhud meletakkan hal-hal dan bidang-bidang intelektualisma (ilmiawan), cendekiawan dan kepakaran serta kegigihan di tempat yang tinggi dan mulia. Zuhud juga menganggap setiap usaha yang baik sama ada berupa duniawi atau ukhrawi sebagai ibadah. Zuhud memusuhi kejahilan, membenci kemalasan dan kemunduran.

Mukmin yang berzuhud akan melipat-gandakan usahanya dalam membasmi segala bentuk penyakit sosial serta menghindarkan gejala yang tidak sihat di kalangan Ummah Islamiyah. Zuhud menangani isu-isu seperti ini melalui islah (pembetulan) dan tarbiah, kerana isu ini sentiasa menjadi polemik masyarakat dunia sejak dahulu hingga sekarang.

Dalam isu-isu sufi/tasawuf pula, ada banyak faktor dalam doktrin dan konsep tarikat kesufian yang boleh mematikan semangat umat Islam untuk berusaha, berjaya dan berdaya maju. Masalah ini telah membawa kepada lemahnya ummah dan lumpuhnya masyarakat Islam di dalam berbagai-bagai aspek dan bidang kerjaya. Ini merupakan faktor luaran dan dalaman yang berlaku dalam masyarakat Islam yang perlu diberi perhatian dan dibasmi melalui konsep zuhud.

Oleh sebab yang demikian, artikel ini hanya menumpukan analisis ringkas terhadap faktor-faktor negatif yang kemunculannya bermula di akhir-akhir abad keempat Hijrah, iaitu dimasa lahirnya era atau etika sosial baru yang direkacipta dan ditampilkan oleh syeikh-syeikh sufi/tasawuf yang disogok oleh Yahudi melalui kegiatan falsafah kesufian dan penjajahan fikiran (غزوالفكرى).

Mereka (syeikh-syeikh sufi) berusaha melalui pengalaman (tahaiyul dan khurafat) mereka untuk menghasut ummah supaya meninggalkan hal-hal kebendaan dan urusan keduniaan, membenci kenikmatan dan membawa masyarakat Islam ke arah amalan uzlah (pertapaan) sehingga meninggalkan tanggungjawab terhadap dunia, Islam dan ummah. Akibatnya lahir masyarakat Islam yang kurang memperdulikan soal-soal keduniaan dan hukum-ahkam yang berperanan mengurus kesempurnaan sosial, siasah, ekonomi dan bidang perundangan yang sangat diperlukan oleh masyarakat dan sangat dituntut oleh syara. Akibat dari kesan doktrin sufi/tasawuf masyarakat Islam menjadi mundur dan lumpuh di berbagai-bagai bidang.

Harakah sufisma yang telah melanda negara dan masyarakat Islam di seluruh dunia, sebenarnya hasil dari rekaan Yahudi, Nasrani dan Majusi. Diserap dan diseludupkan ke dalam ajaran Islam oleh konspirasi Yahudi antarabangsa untuk menghancur dan menjajah fikiran dan Ummah Islamiyah melalui penjajahan fikiran, yang memakai gelaran (topeng) sufi/tasawuf atau saluran sufi/tasawuf.

Kegiatan dan usaha-usaha jahat dari musuh Islam ini, akhirnya telah berjaya merubah fikiran Ummah Islamiyah sehingga membenci dunia atau menganggap dunia ini tidak mempunyai nilai. Malah pendidikan sufi/tasawuf telah menghanyutkan pemikiran dan akidah murni Islam kepada arah semata-mata mencari Tuhan dan berzikir sepanjang masa. Mereka memisahkan kehidupan kerohanian dari kebendaan (keduniaan), mengajak menerokai alam kebatinan dan mendewakan kerohanian seolah-olah dunia ini adalah berhala yang menyesatkan, bangkai yang menjijikkan dan dipenuhi dosa-dosa besar.

Gejala gerakan kerohanian dan sosial yang tidak seimbang dengan tuntutan agama dan dunia yang telah mempengaruhi masyarakat Islam melalui perlaksanaan doktrin sufi/tasawuf ini merupakan punca utama yang menyebabkan umat Islam sehingga sekian lama hidup di dalam keadaan mundur, lemah, pasif, merempat di dalam negara sendiri dan berpenyakit sosial yang kronik. Akhirnya umat Islam mudah ditindas, dicabuli kehormatan mereka, dipermainkan dan dijadikan bahan eksperimen yang senilai dengan spesis haiwan yang tidak berakal.

Terlalu sulit untuk memahami hakikat kesempurnaan Agama Islam jika dilihat dan dinilai melalui ukuran, amalan atau doktrin ajaran sufi/tasawuf. Sufi/tasawuf sangat bertentangan dengan Islam kerana ajaran Islam yang sempurna dan murni menyuruh masyarakatnya berusaha dan keluar dari semua belenggu kejahilan untuk menyelamatkan dunia dan segala penghuninya dari penderitaan dan kejahilan. Islam menyeru para mukminin agar mendampingi masyarakat manusia supaya dapat diajak ke jalan Allah untuk beribadah secara syumul. Sufi/tasawuf pula sebaliknya, ia lebih mementingkan amalan uzlah atau mengasingkan diri dari menghadapi gelagat manusia.

Islam telah mengharamkan pembaziran dalam semua aspek termasuk pembaziran masa. Sufi/tasawuf banyak mengabaikan masa dengan lebih meluangkan masa mereka kepada memerap lama untuk berzikir, beruzlah, dan mengira-ngira jumlah zikir dan pahalanya. Ini semua adalah pembaziran masa dan kesempatan yang boleh digunakan untuk mencari ilmu, mencari rezeki yang halal dan berjuang (berjihad) untuk mengislah ummah.

---------
Cara Pemakanan Sufi/tasawuf
---------

Dalam soal pemakanan, kesihatan dan kerapian pakaian, Islam mendidik dan mengarah setiap mukmin supaya menjadi ummah yang bersih, cekap, segak, kuat dan berani. Ia boleh diperolehi dengan cara menjaga kebersihan, kesihatan dan pemakanan yang betul serta seimbang. Cara pemakanan yang digalakkan oleh al-Quran dan as-Sunnah Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam ialah makanan yang halal, dari jenis yang baik-baik dan bermutu (mengandungi zat, vitamin, perotin dan gizi).

Al-Quran dan as-Sunnah banyak memperkatakan soal pemakanan. Manusia disuruh agar memilih pemakanan yang sempurna atau seimbang. Allah tidak pernah mengharamkan para hambaNya yang beriman dari menikmati segala jenis makanan yang baik-baik lagi halal. Dengan cara yang demikian di samping memperolehi tubuh yang kuat dan sihat juga akan dapat menikmati anugerahNya di dunia dan menghargai segala nikmatNya agar dapat menimbulkan rasa kebesaran, kebijaksanaan dan mengetahui sifat kasih sayang Allah kepada sekalian makhluk dan hamba-hambaNya terutama kepada mereka yang beriman. Allah Azza wa-Jalla telah berfirman:


يَآ اَيُّهَا الَّذِيْنَ آمَنُوْا كُلُوْا مِنْ طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ وَاشْكُرُوْا لِلَّهِ اِنْ كُنْتُمْ اَيَّاهُ تَعْبُدُوْنَ.

"Hai orang orang yang beriman! Makanlah antara rezeki yang baik-baik yang kami berikan kepadamu dan bersyukurlah kepada Allah jika benar-benar hanya kepadaNya kamu menyembah". (al-Baqarah, 2:172)

Imam Syafi'e pula pernah berpesan: "Pelajarilah dua jenis ilmu, iaitu ilmu agama dan ilmu tentang pemakanan". Imam-imam sufi/tasawuf sebaliknya, bukan sahaja mengabaikan tentang pemakanan, malah turut terabai tentang kebersihan, pakaian dan kerapian. Mereka gemar berlapar dan memilih makanan yang tidak bermutu sehingga menjadi lemah dan lesu, sedangkan Allah telah berfirman dalam hal-hal di atas:


قُلْ مَنْ حَرَّمَ زِيْنَةَ اللهِ الَّتِيْ اَخْرَجَ لِعِبَادِهِ وَالطَّيِّبَاتِ مِنَ الرِّزْقِ ، قَلْ هِيَ لِلَّذِيْنَ آمَنُوْا فِى الْحَيَاةِ الدُّنْيَا خَالِصَةً يَوْمَ الْقِيَامَةِ ، كَذَالِكَ نُفَصِّلُ اْلاَيَاتِ لِقَوْمٍ يَعْلَمُوْنَ . قَلْ اِنَّمَا حَرَّمَ رَبِّيْ الْفَوَاحِشَ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ وَاْلاِثْمِ وَالْبَغْىَ بِغَيْرِ الْحَقِّ وَاَنْ تُشْرِكُوْا بِاللهِ مَا لَمْ يُنَزِّلْ بِهِ سُلْطَانًا وَاَنْ تَقُوْلُوْا عَلَى اللهِ مَا لاَ تَعْلَمُوْنَ.

"Katakanlah: "Siapakah yang mengharamkan perhiasan dari Allah yang telah dikeluarkanNya untuk hamba-hambaNya. Dan rezeki yang baik-baik?" Katakanlah: "Semuanya itu (disediakan) bagi orang-orang yang beriman dalam kehidupan dunia, khusus (untuk mereka sahaja) di Hari Kiamah. Demikianlah Kami menjelaskan ayat-ayat itu bagi orang-orang yang mengetahui. Katakanlah! Tuhanku hanya mengharamkan perbuatan yang keji, baik yang nampak atau yang tersembunyi, dan perbuatan dosa, melanggar hak manusia tanpa alasan yang benar, (mengharamkan) mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang Allah tidak menurunkan hujah untuk (mengharamkan) dan mengada-adakan terhadap Allah apa yang tidak kamu ketahui". (al-A’raff, 7:32-33)

1 comment: