Friday, February 27, 2009

086 - Fatwa: Bolehkah Membid’ahkan Orang?

Fatwa: Bolehkah Membid’ahkan Orang?

http://bahaya-syirik.blogspot.com/

Soalan:

Telah tersebar pemikiran baru iaitu tidak membid’ahkan seseorang yang menampakkan bid’ahnya sehingga ditegakan hujah kepadanya dan tidak dibid’ahkan sehingga dia merasa puas dengan bid’ahnya tanpa merujuk kepada para ulama. Bagaimanakah manhaj salaf dalam permasalahan yang penting ini?

Jawaban (Syaikh Dr. Soleh):

Bid’ah adalah sesuatu yang dibuat-buat (perkara yang diada-adakan) di dalam agama sama ada berbentuk penambahan, pengurangan atau perubahan tanpa bersandarkan kepada dalil dari al-Qur’an atau as-Sunnah sebagaimana sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam: “Sesiapa yang membuat (mengadakan) perkara baru dalam agama yang bukan dari kami, maka amalannya tertolak.”[1]

Dan juga sabda beliau, “Berhati-hatilah kamu dari perkara-perkara yang baru dalam agama kerana perkara yang baru dalam agama adalah bid’ah dan semua bid’ah adalah sesat dan semua kesesatan di neraka.”[2]

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

“Ikutilah apa yang diturunkan kepadamu dan Tuhanmu dan janganlah kamu mengikuti pemimpin-pemimpin selain-Nya. Amat sedikit dari kamu yang mengambil pelajaran (daripadanya).” (Surah al-A’raf, 7: 3)

Bid’ah adalah membuat (mengada-adakan) perkara yang baru dalam agama dan bid’ah tidak ditimbang (diukur) dengan akal fikiran dan hawa nafsu mereka. Padahal urusan din (agama) ini tidak dikembalikan kepada mereka tetapi dikembalikan kepada al-Qur’an dan Sunnah Rasul sehingga sunnah bukanlah sesuatu yang diketahui oleh manusia dan bid’ah adalah sesuatu yang tidak mereka ketahui, sunnah bukanlah sesuatu yang diredhai oleh Zaid atau fulan kerana Allah tidak menyerahkan kita kepada akal kita sendiri atau fikiran manusia (berkaitan dengan persoalan din/agama) bahkan Allah Subhanahu wa Ta’ala telah mencukupkan kita dengan wahyu yang diturunkan kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, oleh kerana itu sunnah adalah segala sesuatu yang dibawa oleh Rasul Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, berupa perkara-perkara agama. Manakala bid’ah adalah segala sesuatu yang bukan merupakan ajaran Rasul sama ada ucapan atau pun perbuatan dalam agama. Dan tidak seorang pun berhak untuk menghukumi sesuatu sama ada perkara tersebut bid’ah atau pun sunnah sehingga dia mengembalikannya kepada kitab dan sunnah Rasul Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.

Adapun seseorang yang melakukan perbuatan yang menyelisihi al-Qur’an dan as-Sunnah disebabkan kerana kebodohannya, atau dia menyangka bahawa perkara itu adalah benar serta tidak ada orang yang menjelaskan keadaan/perkara tersebut kepadanya, maka dia mendapat udzur kerana kebodohannya, akan tetapi pada hakikatnya dia adalah seorang pelaku bid’ah dan kita anggap bahwa amalannya tersebut adalah bid’ah.

Saya nasihatkan kepada para pemuda yang menempuh manhaj ini dari menghukumi segala perkara menurut hawa nafsu mereka supaya mereka bertaqwa kepada Allah dan tidak berbicara berkaitan agama melainkan dengan ilmu serta tidak boleh bagi orang yang bodoh dalam ilmu agama untuk berbicara tentang halal, haram, sunnah, bid’ah, sesat, dan petunjuk tanpa ilmu. Kerana perkara tersebut adalah sebahagian dari syirik.

Allah ‘Azza wa Jalla berfirman (maksudnya):

“Katakanlah: “Tuhanku hanya mengharamkan perbuatan yang keji, sama ada yang nampak atau pun yang tersembunyi, dan perbuatan dosa, melanggar hak manusia tanpa alasan yang benar, (juga mengharamkan) mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang Allah tidak menurunkan hujjah untuk itu dan (juga mengharamkan) mengada-adakan terhadap Allah apa yang tidak kamu ketahui”. (Surah al-A’raf, 7: 33)

Dalam ayat ini Allah menjadikan perbuatan berbicara tentang-Nya tanpa ilmu bersama dengan syirik sehingga menunjukkan bahayanya perkara tersebut di dalam agama dan tidaklah sama di antara berdusta atas nama Allah dengan berdusta atas nama yang selainnya dan tidaklah sama di antara dusta atas nama Rasul dengan berdusta atas nama manusia selain beliau. Rasullullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda: “Sesiapa yang sengaja berdusta atas namaku (menggunakan namanya – pen.) maka siaplah tempat duduknya di neraka.” (Hadis Riwayat al-Bukhari (110), Muslim (3))

Footnote:

[1] Diriwayatkan oleh al-Bukhari (2550) dan Muslim (1718).
[2] Diriwayatkan oleh al-Hakim (1/97), an-Nasa’i dalam al-Mujtaba (1577).

Disalin/disunting dari:

Syaikh Dr. Soleh Fauzan bin Abdullah al-Fauzan, al-Ajwibah al-Mufidah ‘an As ‘ilatil Manahij al-Jadidah, Susunan: Syaikh Jamal bin Furaihan al-Haritsi (Judul Terjemahan: Jawab Tuntas Masalah Manhaj, Pustaka al-Haura’), Soalan no. 58, m/s. 163-165.

No comments:

Post a Comment