Thursday, August 25, 2011

130 - Kritikan Terhadap Budaya Takbir Gaya Parti Islam Se-Malaysia (PAS)

Kritikan Terhadap Budaya Takbir Gaya Parti Islam Se-Malaysia (PAS)

Abu Numair Nawawi B. Subandi




Baru-baru ini penulis menghadiri satu siri wacana anjuran Sinar Harian dan Karangkraf di Shah Alam. Wacana ini membahaskan sekitar isu hubungan dan peranan ulama di dalam parti-parti politik hari ini. Ia menampilkan wakil Ulama Muda Umno, Wakil Mufti, dan seorang wakil Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang merupakan Ketua Penerangan Pusat.

Apa yang mahu penulis sentuh di sini adalah sekitar budaya provokasi dan budaya melaung-laungkan takbir (Allahu Akbar) sesuka hati oleh para penyokong PAS yang begitu ketara berlaku. Ia sangat mengganggu ketenangan dan kelancaran wacana pada hari tersebut. Bila ditegur oleh Mufti ketika itu iaitu Tan Sri Harussani Zakaria selaku salah seorang panel, sebahagian penyokong membalas pula dengan provokasi yang lain.

Sehingga kemudian seorang dari kalangan penyokong mereka bangkit dalam ruang soal jawab mengutarakan dalil yang menguatkan pendirian mereka untuk terus bertakbir beramai-ramai dengan suara yang lantang dan kuat.

Dalil yang dikemukakan oleh penyokong takbir tersebut asalnya adalah sebagaimana berikut, daripada Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu (beliau menceritakan) bahawa seorang lelaki berkata:

يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنِّي أُرِيدُ أَنْ أُسَافِرَ فَأَوْصِنِي قَالَ عَلَيْكَ بِتَقْوَى اللَّهِ وَالتَّكْبِيرِ عَلَى كُلِّ شَرَفٍ فَلَمَّا أَنْ وَلَّى الرَّجُلُ قَالَ اللَّهُمَّ اطْوِ لَهُ الْأَرْضَ وَهَوِّنْ عَلَيْهِ السَّفَرَ

“Ya Rasulullah, sesungguhnya aku ingin melakukan perjalanan (safar), maka berilah aku wasiat (pesanan). Beliau berkata, “Hendaklah engkau bertaqwa kepada Allah, dan bertakbir di atas setiap tempat yang tinggi.” Kemudian ketika orang tersebut telah berpaling, beliau mengatakan, “ Ya Allah, dekatkanlah jarak bumi, dan ringankanlah perjalanannya.”.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi, 11/336, no. 3367. Kata at-Tirmidzi, hadis ini hasan. Begitu juga al-Albani dan Syu’aib al-Arnauth)

Dalam riwayat yang lain, disebutkan dengan lafaz:

أُوصِيكَ بِتَقْوَى اللَّهِ وَالتَّكْبِيرِ عَلَى كُلِّ شَرَفٍ

“Aku mewasiatkan kepada engkau agar bertaqwa kepada Allah dan bertakbirlah di atas setiap tempat yang tinggi.” (Hadis Riwayat Ahmad, Ibnu Majah, al-Baihaqi, dan as-Suyuthi) Dan lafaz inilah yang diutarakan oleh penyokong yang tampil dalam sesi soal jawab tersebut. Namun beliau menterjemahkannya sebagai, “Saya (Rasulullah) berpesan kepada kalian untuk bertaqwa kepada Allah dan berpesan kepada kalian supaya bertakbir pada perkara yang engkau seronok (atau engkau rasa mulia).”

Sebenarnya terjemahan yang dibawakan oleh penyokong tersebut tidak tepat apabila perkataan “saraf” dalam konteks hadis tersebut diterjemahkan sebagai “(yang engkau) seronok” atau “rasa mulia.” Apa yang tepat adalah sebagaimana yang penulis utarakan. Bahkan hadis-hadis dengan lafaz ini diletakkan oleh para penyusun kitab-kitab hadis dalam bab-bab seperti Ekspedisi Jihad, Bab Musafir, dan Bertakbir Ketika Mendaki Bukit. Imam Ibnu Khuzaimah turut membawakan hadis tersebut di dalam Shahihnya dan beliau meletakkan di bawah bab:

وصية المسافر بالتكبير عند صعود الشرف و التسبيح عند الهبوط

“Pesanan Untuk Musafir Supaya Bertakbir Ketika Mendaki Tempat Tinggi dan Bertasbih Ketika Menuruninya.” (Shahih Ibnu Khuzaimah, 4/149)

Dan inilah yang sahih, di mana memang kita disunnahkan supaya bertakbir apabila mendaki suatu tempat yang tinggi ketika dalam satu-satu misi perjalanan (safar).

Dalam sebuah hadis, Sahabat Nabi - Jabir B. ‘Abdillah radhiyallahu ‘anhuma berkata:

كُنَّا إِذَا صَعِدْنَا كَبَّرْنَا وَإِذَا نَزَلْنَا سَبَّحْنَا

“Jika kami mendaki, maka kami bertakbir, dan jika kami turun, maka kami bertasbih.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 10/171, no. 2771)

Kemudian hadis berikutnya ini lebih menjelaskan lagi tentang tatacara takbir tersebut. Sama ada dengan suara lantang, atau perlahan.

Berkata Abu Musa al-Asy’ari radhiyallahu ‘anhu:

كُنَّا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَكُنَّا إِذَا أَشْرَفْنَا عَلَى وَادٍ هَلَّلْنَا وَكَبَّرْنَا ارْتَفَعَتْ أَصْوَاتُنَا فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَا أَيُّهَا النَّاسُ ارْبَعُوا عَلَى أَنْفُسِكُمْ فَإِنَّكُمْ لَا تَدْعُونَ أَصَمَّ وَلَا غَائِبًا إِنَّهُ مَعَكُمْ إِنَّهُ سَمِيعٌ قَرِيبٌ

“Kami bersama-sama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam (dalam satu ekspedisi jihad), sekiranya kami mendaki suatu lembah (tempat tinggi), maka kami bertahlil dan bertakbir dengan suara yang lantang. Melihat perkara tersebut, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun berkata:

“Wahai manusia, berlemah-lembutlah terhadap diri kamu, kerana kamu tidaklah menyeru Dzat yang pekak dan jauh. Sesungguhnya Dia berada bersama kamu. Sesungguhnya Dia Maha Menengar lagi sangat dekat.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 10/169, Kitab al-Jihad, no. 2770)

Imam an-Nawawi rahimahullah membuat bab dalam kitab al-Adzkar dengan judul, “Larangan berlebih-lebihan dalam mengeraskan suara Takbir dan seumpamanya” lalu beliau memasukkan hadis ini.

Kemudian dalam Syarah Shahih Muslim (jil. 17, m/s. 26) pun beliau ada bawakan hadis yang sama lalu menekankan hal yang sama supaya tidak mengeraskan takbir sesuka hati yang bukan pada tempatnya. Bahkan beliau Imam an-Nawawi menegaskan bahawa merendahkan suara ketika berzikir (cukup sekadar diri sendiri yang mendengarnya) itu adalah lebih menunjukkan penghormatan dan pengagungan kepada Allah Ta’ala. Kerana Allah itu tidak pekak ataupun tuli.

Mungkin kita boleh katakan bahawa perkara yang baik jika tidak diletakkan pada tempat yang betul, maka ia akan menjadi buruk. Sebagaimana dakwah sekiranya tidak diiringi dengan adab dan akhlak yang betul, maka ia hanya akan menimbulkan kebencian dan menampakkan kecacatan.

Secara kesimpulannya hadis yang digunakan oleh para pendukung PAS untuk menyokong “budaya takbir” dengan suara-suara yang lantang di dalam ceramah-ceramah agama, di dalam wacana-wacana tertentu, atau ketika majlis-majlis ilmu mahupun ceramah politik ini sebenarnya tidak kena pada tempatnya. Sebab hadis-hadis ini menunjukkan sunnah bertakbir ketika naik atau mendaki bukit. Bukan ketika dalam ceramah atau majlis ilmu secara khusus.

Dan itupun hendaklah dengan suara yang perlahan, bukan dengan suara lantang dan kuat-kuat. Telah jelas sebagaimana dalam hadis Abu Musa al-Asy’ari bahawa Nabi melarang mengeraskan suara takbir sesuka hati.

Malah dalam hadis Jabir B. ‘Abdillah radhiyallahu ‘anhuma beliau turut menjelaskan sunnah ketika menuruni bukit dengan bertasbih pula. Jadi, adakah nanti PAS akan menggunakan dalil tersebut utk mensunnahkan melaungkan tasbih dalam majlis-majlis ilmu atau ceramah-ceramah politik mereka?

Maka sekarang jelaslah, budaya tersebut adalah termasuk amalan yang menyimpang dan tidak meletakkan dalil pada tempatnya. Iaitu salah dalam memahami dan mempraktikkan hadis.

Walau bagaimanapun, bukanlah penulis bermaksud melarang untuk sesiapa bertakbir mahupun bertasbih secara umum. Tetapi apa yang perlu diperhatikan semula dengan baik adalah tatacara untuk bertakbir itu sendiri. Secara umumnya, bertakbirlah di mana-mana pun kecuali pada tempat yang dilarang seperti contohnya ketika dalam tandas. Bertakbir tersebut hendaklah dengan suara yang perlahan melainkan ada dalil yang menyarankan supaya memperkuatkan takbir seperti ketika pagi hari raya dan ketika takbiratul ihram (apabila menjadi imam). Juga jangan sampai mengganggu majlis orang.

Secara umumnya penulis berpendapat program wacana tersebut mungkin dapat berjalan dengan lancar dan baik sekiranya aksi-aksi provokasi dan “budaya takbir” gaya PAS ini tidak berlaku. Di sini penulis sekadar menyentuh tentang “budaya takbir” dan mungkin isu membuat gangguan dalam majlis-majlis ilmu seperti ini juga boleh dikupas di ruang yang lain.

Seterusnya bagaimanakah agak-agaknya majlis-majlis ilmu anjuran Rasulullah dan para ulama terbaik dari kalangan salaf? Adakah dipenuhi dengan laungan takbir sebagaimana majlis-majlis PAS? Ataupun sebaliknya penuh dengan ketenangan dan ketekunan?

Berkaitan ini, Imam adz-Dzahabi rahimahullah ada menukilkan suasana majlis ilmu seorang dari kalangan ulama salaf iaitu ‘Abdurrahman B. Mahdi rahimahullah:

كان لا يتحدث في مجلس عبدالرحمن، ولا يبري قلم، ولا يتبسم أحد، ولا يقوم أحد قائما، كأن على رؤوسهم الطير، أو كأنهم في صلاة، فإذا رأى أحدا منهم تبسم أو تحدث، لبس نعله، وخرج

“Tidak ada yang berkata-kata (berbual) dalam majlis ilmu ‘Abdurrahman, tidak ada pula yang sibuk mengasah pensil, tiada seorang pun yang tersenyum, dan tidak ada seorang pun yang berdiri. Seolah-olah di atas kepala mereka ada burung atau seolah-olah mereka sedang solat (kerana terlalu tekun). Jika beliau melihat salah seorang di antara mereka tersenyum atau berbual-bual, maka beliau segera memakai seliparnya lalu beredar keluar.” (adz-Dzahabi, Siyar A’lam an-Nubala’, 9/202-203. Tazkiratul Huffaz, 1/242, no. 313)

Rasa Kecewa

Satu yang penulis musykil, iaitu ketika penyokong PAS tersebut mengutarakan hadis takbir, ia pun cepat-cepat disambut oleh para pendukung yang lain dengan takbir sambil seolah-olah memperli mufti yang menegur kesalahan PAS dalam bertakbir tadinya. Sedangkan terjemahan yang diberikan pun tidak tepat! Jadi, bagaimana ia boleh dijadikan sebagai sandaran untuk mengeluarkan atau mentsabitkan sesuatu ketetapan?!

Lebih mengecewakan, sebahagian ustaz di hadapan pula mendiamkannya. Mungkin atas beberapa keuzuran seperti faktor masa yang terhad dan sudut keutamaan maklumat yang perlu disampaikan atau seumpamanya. Namun apa yang lebih menjengkelkan dan menyedihkan, ustaz PAS sebagai salah seorang panel ketika itu pula secara sinis memperli Tan Sri mufti (kerana menegur takbir) lalu memberikan dukungannya kepada para penyokong serta hadirin yang bertempik takbir?!

Subhanallah... Takut-takutlah kita dari beramal di atas kejahilan dan kebutaan. Tinggalkanlah sikap taksub dan membuta tuli.

Wallahu a’lam...

10 comments:

  1. bersua muka tidak, tapi tetap setia; beramah-tamah tidak, tapi tetap mesra; bersenda ikut suka jee, tak tau plak ada yang terasa; mengomen macam le hebat, tak prasan rakan rasa kena sebat; duhai sahabat duhai pelawat, kususun ruas jari yang karat, mohon ampun ke hadrat, agar kita semua beroleh rahmat, Allah limpahi dengan berkat

    ReplyDelete
  2. Kita kurang pasti siapakah yang memulakan jeritan takbir dalam PAS...mungkin semangat mengatasi ilmu...fenomena yang sama peri masalah tahlil,dan amalan bid'ah yang lain....bagi melayu apabila sebut saja perkara agama ,,semua baik,,tanpa sandaran ilmu...nampaknya tok guru kita sama dengan wali songo abad ke 15 dan 16 dulu di Jawa ingin mengasimiilasi Islam dengan budaya melayu...Biasanya jika kita tegur...mereka akan cop Wahabi...Saya saran kita muhasabah diri..

    ReplyDelete
  3. Org PAS selalunya salah PARKING HADIS... Ustaz PAS pun sama... Saya tumpang simpati...

    ReplyDelete
  4. pengikut Pas akan menuruti apa yg pemimpin meraka lakukan. walaupun perkara mungkar, pengikut akan tetap turuti. Itulah PAS.

    ReplyDelete
  5. kenapa tak kritik konsert maksiat anjuran UMNO?kenapa tak datangkan dalil haram anjurkan program maksiat?kenapa tak datangkan dalil haram isteri PM tak tutup aurat???

    ReplyDelete
  6. Bab aurat, muzik, tarian, dan konsert telah dibahaskan panjang lebar dalam blog fiqh - http://fiqh-sunnah.blogspot.com

    Saudara bolehlah merujuk ke sana.

    ReplyDelete
  7. mungkin kita boleh ganti dengan 'hidup me-layu'

    ReplyDelete
  8. Salam ukhuwah semua....bagus sekali teguran sdr nawawi. jelasnya di sini ialah janganlah kita beramal tanpa ilmu kerna ia menyesatkan ttpi dlm masa yg sama merasakan diri berada di pihak yg benar. ingatlah teman2 sekelian, syaitan cukup bijak memperdaya kita umat Islam...dlm beramal kita boleh tertipu, selalulh bermuhasabah diri. apa yg jelas kini ialah umat Islam di Malaysia saling bermusuhan hanya kerna perkara2 remeh tp di anggap penting. Puncanya?.....beramal tanpa ilmu.

    ReplyDelete
  9. meyaQini sesuatu selain Allah swt itupun syirik,di karenakan syirik2 muderan skg sdh byk di senangin tanpa sadar,seperti contoh dibilang sama temanya,syirik loh dll,muhon di jelaskan dg luas al fakir al jahil muhon di ungkapkan di umum sumberya dan nasnya

    ReplyDelete
  10. saya atas nama BPK. SAMSUL dari MADURA ingin mengucapkan banyak kasih kepada MBAH KARYO,kalau bukan karna bantuannya munkin sekaran saya sudah terlantar dan tidak pernaah terpikirkan oleh saya kalau saya sdh bisa sesukses ini dan saya tdk menyanka klau MBAH KARYO bisa sehebat ini menembuskan semua no,,jika anda ingin seperti saya silahkan hubungi MBAH KARYO no ini 082301536999 saya yakin anda tdk akan pernah menyesal klau sudah berhubungan dgn MBAH KARYO dan jgn percaya klau ada yg menggunakan pesan ini klau bukan nama BPK. SAMSUL dan bukan nama MBAH KARYO krna itu cuma palsu.m

    ReplyDelete