Sunday, October 2, 2011

131 - Kesaktian Di Balik Tangkal?

Kesaktian Di Balik Tangkal?

Abu Numair Nawawi B. Subandi

Ramai yang beranggapan batu delima tertentu memiliki kuasa pendiding, menolak kuasa jahat, menarik rezeki, dan memiliki kuasa penyembuhan. Ada juga yang mempercayai sesetengah batu delima memiliki khadam (jin penjaga)

Fenomena Tangkal

Satu fenomena yang amat membimbangkan di kalangan umat Islam hari ini adalah kerapuhan aqidah yang meruncing. Ini antaranya dapat dilihat melalui suburnya amalan-amalan khurafat, tahayyul, bid’ah dan syirik. Di antara contoh mudah yang dapat kita perhatikan adalah suburnya amalan tangkal dan pelaris. Kunjungi dan singgahlah di mana-mana kedai makan orang Melayu atau Mamak, sebahagian besar dari mereka pasti ada menggantung sesuatu di bahagian dinding berdekatan kaunter bayaran.

Kalau kita perhatikan baik-baik biasanya pada bahagian dinding tersebut mereka gantung dengan sesuatu mungkin sama ada berupa bingkai (frame) berisi kertas kuning atau kilat berwarna perak, gantungan kain hitam atau kuning yang diikat, gambar “wali keramat”, ayat bismillah 7, lambang khatamun nubuwwah, al-Qur’an kecil, cebisan kain kelambu ka’abah, tulisan-tulisan jawi berbentuk formasi aneh, “ayat 1000 dinar”, atau rajah-rajah dan simbol-simbol pelik yang hanya boleh difahami oleh pembuat tangkal.

Kalau di rumah-rumah pula, masih ramai yang menyimpan dan menggantungkan tulisan ayat al-Kursi di pintu-pintu rumah, botol-botol berisi “bahan pendinding”, keris penjaga rumah, cincin azimat, batu geliga, dan apa-apa jua yang sewaktu dengannya. Masih ramai masyarakat Islam di negara kita hari ini meyakini tangkal-tangkal dan azimat-azimat tersebut mampu menarik kebaikan dan menolak mudharat.

Seiring berleluasanya amalan khurafat ini, sebahagian media dan industri perfileman pun turut tidak melepaskan peluang mengambil kesempatan memainkan isu tersebut bagi tujuan mengaut keuntungan. Akhirnya apa yang telah sedia buruk menjadi bertambah-tambah buruk. Terutamanya terhadap pembinaan aqidah kanak-kanak dan remaja hari ini.

Tangkal Tiada Manfaatnya

Apabila budaya khurafat dan kepercayaan tahayyul seperti ini berleluasa, selagi itulah umat Islam akan terus dilanda kehinaan, kebodohan, kelemahan, dan kerugian. Kerana kebergantungan mereka kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala telah bertukar kepada tangkal dan azimat yang tidak mampu berbuat apa-apa tersebut. Disebabkan kejahilan, wang dibelanjakan untuk membeli syirik.

Kata Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

مَنْ تَعَلَّقَ شَيْئًا وُكِلَ إِلَيْهِ

“Sesiapa yang menggantungkan sesuatu (berupa tangkal), maka segala urusannya akan diserahkan kepadanya (kepada tangkal).” (Hadis Riwayat Ahmad, 31/78, no. 18781. Dinilai hasan oleh Syu’aib al-Arnauth)

Sesiapa yang menggantungkan tangkal, jiwa dan hidupnya akan mudah terganggu dan tidak tenteram. Malah ia telah melakukan pula kesyirikan. Ini sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

مَنْ تَعَلَّقَ تَمِيمَةً، فَلَا أَتَمَّ اللهُ لَهُ، وَمَنْ تَعَلَّقَ وَدَعَةً، فَلَا وَدَعَ اللهُ لَهُ

“Sesiapa yang menggantung tamimah maka semoga Allah tidak menyempurnakan apa yang dimilikinya, dan sesiapa yang menggantungkan wada’ah, semoga Allah tidak membiarkannya dalam ketenangan.” (Majma’ az-Zawa’id, 5/175. Kata al-Haitsami, “Hadis Riwayat Ahmad, Abu Ya’la, dan ath-Thabrani, para perawinya tsiqah.”. Dinilai hasan oleh Syu’aib al-Arnauth)

Dalam riwayat yang lain:

مَنْ عَلَّقَ تَمِيمَةً، فَقَدْ أَشْرَكَ

“Sesiapa menggantungkan tamimah maka dia telah melakukan syirik.” (Majma’ az-Zawa’id, 5/175, no. 8399. Kata al-Haitsami para perawinya tsiqah. Dinilai sahih oleh al-Albani)

Tamimah adalah seperti tali (atau kalung) yang digantungkan pada tubuh sebagai azimat atau tangkal bertujuan mendapatkan kebaikan dan mencegah perkara-perkara berbahaya sama ada sihir, gangguan, penyakit, atau lain-lain. Biasanya diikat pada tangan atau dikalungkan pada leher anak-anak kecil.

Wada’ah adalah bahan-bahan berupa cengkerang seperti kulit siput atau kerang yang diambil dari laut kemudian dijadikan sebagai kalung bertujuan menjaga diri dari gangguan dan bahaya.

Al-Hafiz Ibnu Katsir rahimahullah meriwayatkan dalam Tafsirnya:

دخل حذيفة على مريض، فرأى في عضده سيرًا فقطعه -أو: انتزعه -ثم قال

وَمَا يُؤْمِنُ أَكْثَرُهُمْ بِاللَّهِ إِلا وَهُمْ مُشْرِكُونَ

“Hudzaifah pernah menjenguk seseorang yang sedang terlantar sakit. Lalu beliau terlihat seutas tali yang dijadikan azimat pada lengan pesakit. Maka beliau pun memotongnya (atau mencabutnya) dan berkata (menyebutkan firman Allah, Surah Yusuf, 12: 106): “Dan sebahagian besar dari mereka tidak beriman kepada Allah melainkan dalam keadaan mensyirikkan Allah.”.” (Tafsir Ibnu Katsir, 4/419)

Membuang Tangkal

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah mengatakan:

لاَ يَبْقَيَنَّ فِي رَقَبَةِ بَعِيرٍ قِلَادَةٌ مِنْ وَتَرٍ أَوْ قِلَادَةٌ إِلاًّ قُطِعَتْ

“Jangan kamu tinggalkan satu kalung pun pada leher unta melainkan ianya harus dipotong.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 10/190, no. 2783)

Para ulama menjelaskan berkaitan hadis ini bahawa apa jua bentuk tali yang diikatkan pada leher unta (atau haiwan) yang padanya mengandungi kepercayaan atau i’tiqad tertentu (sebagai tangkal) maka ia wajib ditanggalkan (dihapuskan). Demikian juga pada selain itu.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِذَا سَأَلْتَ فَاسْأَلْ اللَّهَ وَإِذَا اسْتَعَنْتَ فَاسْتَعِنْ بِاللَّهِ

“Jika engkau memohon (berdoa), mohonlah kepada Allah. Dan jika engkau meminta pertolongan, mintalah pertolongan kepada Allah.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi, 9/56, no. 2440. Hasan sahih)

Berkaitan dengan ini, ada satu kisah riwayat daripada Zainab isteri ‘Abdullah B. Mas’oud. Katanya:

كَانَ عَبْدُ اللهِ إِذَا جَاءَ مِنْ حَاجَةٍ فَانْتَهَى إِلَى الْبَابِ، تَنَحْنَحَ وَبَزَقَ، كَرَاهِيَةَ أَنْ يَهْجُمَ مِنَّا عَلَى شَيْءٍ يَكْرَهُهُ، قَالَتْ: وَإِنَّهُ جَاءَ ذَاتَ يَوْمٍ، فَتَنَحْنَحَ، قَالَتْ: وَعِنْدِي عَجُوزٌ تَرْقِينِي مِنَ الْحُمْرَةِ، فَأَدْخَلْتُهَا تَحْتَ السَّرِيرِ، فَدَخَلَ، فَجَلَسَ إِلَى جَنْبِي، فَرَأَى فِي عُنُقِي خَيْطًا، قَالَ: مَا هَذَا الْخَيْطُ؟ قَالَتْ: قُلْتُ خَيْطٌ أُرْقِيَ لِي فِيهِ، قَالَتْ: فَأَخَذَهُ فَقَطَعَهُ، ثُمَّ قَالَ: إِنَّ آلَ عَبْدِ اللهِ لَأَغْنِيَاءُ عَنِ الشِّرْكِ، سَمِعْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: إِنَّ الرُّقَى، وَالتَّمَائِمَ، وَالتِّوَلَةَ شِرْكٌ قَالَتْ: فَقُلْتُ لَهُ: لِمَ تَقُولُ هَذَا وَقَدْ كَانَتْ عَيْنِي تَقْذِفُ، فَكُنْتُ أَخْتَلِفُ إِلَى فُلَانٍ الْيَهُودِيِّ يَرْقِيهَا، وَكَانَ إِذَا رَقَاهَا سَكَنَتْ؟ قَالَ: إِنَّمَا ذَلِكَ عَمَلُ الشَّيْطَانِ كَانَ يَنْخُسُهَا بِيَدِهِ، فَإِذَا رَقَيْتِهَا كَفَّ عَنْهَا، إِنَّمَا كَانَ يَكْفِيكِ أَنْ تَقُولِي كَمَا قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: أَذْهِبِ الْبَاسَ رَبَّ النَّاسِ اِشْفِ أَنْتَ الشَّافِي، لاَ شِفَاءَ إِلاَّ شِفَاؤُكَ، شِفَاءً لاَ يُغَادِرُ سَقَمًا

Apabila ‘Abdullah (Ibnu Mas’oud) selesai dari suatu keperluan, beliau berhenti pada pintu, ia berdehem dan membuang ludah kerana khuwatir menemukan sesuatu yang tidak berkenan dari kami.

Suatu hari beliau datang dan berdehem, beliau berkata dan ketika itu di sisiku ada seorang nenek sedang menjampiku dari humrah (sejenis radang kulit), lalu aku menyembunyikannya di bawah tempat tidur. Beliau pun masuk dan duduk di sisiku, beliau melihat jahitan di leherku lalu bertanya, “Benang apa ini?” Aku jawab, “Benang untuk menjampiku.” Lalu beliau pun mengambil dan memotongnya sambil berkata, “Sesungguhnya keluarga ‘Abdullah tidak memerlukan syirik, aku mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِنَّ الرُّقَى وَالتَّمَائِمَ وَالتِّوَلَةَ شِرْكٌ

“Sesungguhnya jampi serapah, tangkal-tangkal, dan tiwalah adalah syirik.”

Zainab berkata, “Aku katakan kepadanya, “Kenapa engkau mengatakan seperti itu padahal mataku pernah sakit. Aku selalu datang kepada fulan, seorang yahudi untuk menjampinya, dan sebaik ia menjampi, sakit itu pun reda.”

Beliau (Ibnu Mas’ud) berkata, “Itu adalah perbuatan syaitan yang menggerakkan dengan tangannya, apabila engkau dijampi dengannya, maka halanglah. Sesungguhnya cukup bagimu dengan mengucapkan sebagaimana yang diucapkan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

أَذْهِبِ الْبَاسَ رَبَّ النَّاسِ اِشْفِ أَنْتَ الشَّافِي، لاَ شِفَاءَ إِلاَّ شِفَاؤُكَ، شِفَاءً لاَ يُغَادِرُ سَقَمًا

“Hilangkanlah sakit ini wahai Tuhan seluruh manusia, sembuhkanlah, Engkau Maha Penyembuh, tidak ada kesembuhan kecuali kesembuhan dari-Mu, kesembuhan yang tidak meninggalkan kesakitan.”.” (Hadis Riwayat Ahmad, 6/110, no. 3615. Abu Daud, 10/386, no. 3385. Dinilai sahih oleh al-Albani dan Syu’aib al-Arnauth)

Tiwalah adalah sesuatu yang dibuat bagi menjadikan seorang seorang lelaki tertentu rasa jatuh cinta kepada seorang wanita, atau seorang wanita akan tertarik kepada seorang lelaki.

Dalam kalangan masyarakat Melayu hari ini mungkin ia lebih dikenali antaranya sebagai minyak dagu, minyak pengasih, minyak penunduk raja, dan ilmu pengasih asap rokok.

Termasuk di dalam bentuk-bentuk alat penangkal lainnya yang popular dalam kalangan masyarakat hari ini adalah seperti susuk, gelang-gelang kesihatan, tuah batu keramat, ibu serai, khadam ayat, batu serai, ibu duit, wafaq, kayu kokka, dan batu petir.

Adapun jampi (atau ruqyah), maka ia terbahagi kepada beberapa keadaan. Dan jampi (ruqyah) yang dibenarkan adalah apa yang diambil dari al-Qur’an atau al-hadis berdasarkan tunjuk-ajar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan para sahabatnya. Termasuk ruqyah yang dibenarkan adalah apa jua doa secara umum yang boleh difahami iaitu yang dimohon hanya kepada Allah Ta’ala selagi mana tidak mengandungi lafaz-lafaz yang syirik dan tidak disertakan dengan ritual-ritual yang bid’ah.

Setelah kita fahami perkara ini dengan jelas, maka tinggalkanlah apa-apa jua bentuk tangkal, azimat, jampi-serapah serta yang seumpamanya. Kerana ia tidak memberi sebarang manfaat melainkan kesesatan dan kesudahan yang buruk. Tiada sama sekali padanya kesaktian dan kebaikan, melainkan kebodohan dan kerugian dunia dan akhirat.

Mungkin ada yang beralasan bahawa ia adalah sebahagian dari bentuk-bentuk usaha dan ikhtiar. Sedangkan bagi yang memahami perkara ini dengan baik, kita pasti akan mengatakan bahawa usaha dan ikhtiar itu sendiri perlu dilaksanakan dengan kaedah yang benar, dan bukan dengan jalan yang bathil.

Kerana setiap usaha dan ikhtiar di atas jalan kebathilan, maka ia akan tetap bathil dan tidak dinamakan sebagai usaha. Demikianlah dengan orang yang berusaha mendapatkan wang, tetapi mengusahakan (atau berikhtiar) dengan jalan yang haram seperti mencuri, merompak atau berjudi, maka ia akan tetap tidak dianggap sebagai usaha dan ikhtiar yang benar.

Bahaya Syirik

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

إِنَّ الشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيمٌ

“Sesungguhnya syirik itu adalah kezaliman yang paling besar.” (Surah Luqman, 31: 13)

وَلَوْ أَشْرَكُوا لَحَبِطَ عَنْهُمْ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

“Jika mereka mensyirikkan Allah, nescaya lenyaplah amal-amal kebaikan yang telah mereka usahakan.” (Surah al-An’am, 6: 88)

إِنَّ اللَّهَ لا يَغْفِرُ أَنْ يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَلِكَ لِمَنْ يَشَاءُ وَمَنْ يُشْرِكْ بِاللَّهِ فَقَدْ ضَلَّ ضَلالا بَعِيدًا

“Sesungguhnya Allah tidak mengampuni dosa mensyirikkan-Nya, dan Allah mengampuni dosa selain syirik bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya. Segsiapa yang mensyirikkan Allah, maka sesungguhnya ia telah tersesat sejauh-jauhnya.” (Surah an-Nisaa, 4: 116)

Allah tidak menerima apa jua bentuk amal daripada pelaku syirik. Bahkan amal-amal mereka seperti debu yang berterbangan. Di akhirat, doanya tidak diterima, dan dia tidak dimaafkan. Ini sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala (maksudnya):

وَقَدِمْنَا إِلَى مَا عَمِلُوا مِنْ عَمَلٍ فَجَعَلْنَاهُ هَبَاءً مَنْثُورًا

“Dan kami nilai segala amal yang mereka usahakan, lalu kami jadikan amal itu (seperti) debu yang berterbangan.” (Surah al-Furqon, 25: 23)

Wallahu a’lam.

Tangkal berbentuk Cincin

Minyak Pengasih Yang Dipercayai Memiliki Kuasa Cinta Guna-guna

Ramai beranggapan kayu kokka memiliki pelbagai khasiat perubatan, kuasa penyembuhan, menarik rezeki dan sebagai tangkal pendinding

Contoh tangkal berbentuk gelang atau kalung untuk menolak keburukan dan kejahatan

Contoh lakaran wafaq dengan rajah dan tulisan aneh yang tidak difahami melainkan oleh dukun pembuat tangkal

Tangkal botol berisi ayat-ayat jampi sebagai penjaga rumah

Batu jed yang dipercayai memiliki kuasa penyembuh, penenang, membuang aura kejahatan, menaikkan seri, dan menarik rezeki

Contoh wafaq dengan pelbagai ragam formasi tulisan aneh. Biasanya dibungkus dalam kain hitam atau kuning.

Tangkal berbentuk "angka 786" pada papan tanda salah sebuah restoran di Shah Alam. Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa bagi sebahagian orang, terutamanya golongan India Muslim atau mamak - "angka 786" dipercayai mampu membawa tuah dan menarik rezeki.


Tangkal berbentuk frame kuning keemasan (seperti bingkai gambar) di bahagian dinding atas belakang kaunter bayaran sebuah restoran mamak di Shah Alam. Ini adalah antara bentuk-bentuk tangkal pelaris perniagaan.

6 comments:

  1. Ass,
    salam knal
    mampir ya ke blog saya
    http://wahyu-amanullah.blogspot.com/

    ReplyDelete
  2. Terimakasih, berguna sekali isi postingannya :)

    ReplyDelete
  3. Terimakasih, berguna sekali isi postingannya :)

    ReplyDelete
  4. Terima Kasih Semoga Mendapat Berkat dan membawa sesiapa yang tersasar ke jalan yang benar, InsyaAllah

    ReplyDelete
  5. saya atas nama BPK. SAMSUL dari MADURA ingin mengucapkan banyak kasih kepada MBAH KARYO,kalau bukan karna bantuannya munkin sekaran saya sudah terlantar dan tidak pernaah terpikirkan oleh saya kalau saya sdh bisa sesukses ini dan saya tdk menyanka klau MBAH KARYO bisa sehebat ini menembuskan semua no,,jika anda ingin seperti saya silahkan hubungi MBAH KARYO no ini 082301536999 saya yakin anda tdk akan pernah menyesal klau sudah berhubungan dgn MBAH KARYO dan jgn percaya klau ada yg menggunakan pesan ini klau bukan nama BPK. SAMSUL dan bukan nama MBAH KARYO krna itu cuma palsu.m

    ReplyDelete
  6. Mohon saya kongsikan. Terima kasih..

    ReplyDelete