__________________________________________________________________________________

| Nawawi | Aqeedah | Fiqh | Anti Syirik | Galeri Buku | Galeri MP3 | U-VideOo |
__________________________________________________________________________________

Tuesday, December 25, 2007

047 - BOLEHKAH MERAYAKAN PERAYAAN ORANG KAFIR?

BOLEHKAH MERAYAKAN PERAYAAN ORANG KAFIR?

Bahagian pertama (1):

Bagi Islam, terdapat dua hari raya yang diiktiraf sepertimana yang dikhabarkan oleh Nabi saw di dalam hadith baginda yang diriwayatkan dari Anas bin Malik ra. katanya:

Maksudnya: "Ketika Rasul s.a.w. sampai di Madinah, bagi penduduk Madinah itu ada dua hari (raya) yang mereka bermain (berseronok) pada hari tersebut sepertimana kebiasaan semua kaum (Rom dan Parsi), setiap umat itu bagi mereka hari raya mereka tersendiri. Dan adalah bagi orang Arab Madinah ketika zaman Jahiliyah terdapat dua hari yang mana mereka bermain (dan berseronok) pada hari tersebut. (apabila Nabi s.a.w. melihat mereka menyambut dua hari tersebut) Nabi saw bertanya: "hari apakah dua hari ini?" Mereka menjawab: "Adalah kami di zaman Jahiliyah bermain (berseronok) dalam dua hari ini." Sabda Nabi saw: "Sesungguhnya Allah telah menggantikan bagi kamu semua dengan hari yang lebih baik dari dua hari tersebut iaitulah hari raya al-Adha dan Hari raya al-Fitr." (Hadith ini diriwayatkan oleh Abu Daud dan al-Nasa-ie dari Anas Bin Malik. Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah berkata: "Sesungguhnya Isnad hadith ini berdasarkan syarat Muslim)

Di dalam hadith ini jelas menunjukkan dua hari raya di zaman Jahiliyah yang disambut oleh penduduk Madinah di peringkat awal itu tidak diiktiraf oleh Nabi saw, walau untuk membiarkan mereka bermain pada dua hari tersebut sepertimana adat kebiasaan yang mereka lakukan. Bahkan Nabi saw menegaskan dengan sabda baginda:

"Sesungguhnya Allah telah menggantikan bagi kamu semua dengan (dua) hari yang lebih baik dari dua hari tersebut"

Nabi menegaskan ‘Eid al-Adha dan ‘Eid al-Fitr adalah dua hari raya yang datang menggantikan hari raya yang disambut oleh masyarakat Arab Jahiliyah ketika itu. Apabila telah datangnya pengganti (al-Adha dan al-Fitr) maka yang diganti (dua hari raya di zaman Jahiliyah) ditinggalkan dan tidak mungkin untuk disambut bersama lagi buat selama-lamanya. Ini adalah sesuatu yang jelas dan tidak mungkin untuk seseorang mengatakan kita sambut kesemua hari raya tersebut iaitu dengan mencampur-adukkan al-Adha dan al-Fitri dengan dua hari raya yang disambut di zaman Jahiliyah atau apa sahaja hari perayaan/kebesaran kaum kuffar lainnya, lalu... tidaklah sewajarnya kita sambut kesemuanya. Cukuplah dengan dua hari raya yang disyari’atkan itu. Kenapa perlu ditambahahi dengan element perayaan dari agama yang lain? Apakah perayaan kita masih tidak mencukupi?

Adapun sebenarnya, merayakan perayaan kaum kuffar adalah sama saja seperti kita ini merestui/menyokong/meraikan perbuatan mereka yang kafir dan mensyirikkan Allah. Adalah meraikan & mengucapkan tahniah (wish) atas perayaan mereka, adalah termasuk ke dalam perbuatan menyekutukan Allah. Ini kerana, perayaan-perayaan yang dilakukan (dirayakan) oleh orang-orang kafir itu adalah bagi tujuan meraikan agama mereka dan bertitik tolak kepada persoalan aqidah. Sebagai contoh, perayaan krismas (oleh kaum nasara/kristian) yang mana mereka menganggap bahawa Isa (Jesus sebagai anak tuhan) dan perayaan krismas (hari natal) adalah sebagai suatu tarikh untuk mereka meraikan kelahiran Jesus christ sebagai anak tuhan. Apakah kita sebagai muslim (yang bersih aqidahnya dari semua itu) mahu meraikan sama? Kemudiannya, persoalan ini dilihat dan diperhatikan sepertimana yang dinyatakan sebagaimana dalil Qur’an ini;

Daripada Surah al-Kafirun (109) ayat 1-6, maksudnya: "Katakanlah (Muhammad) wahai orang-orang kafir. Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak menyembah apa yang aku sembah. Dan aku tidak beribadat sebagaimana kamu beribadat. Dan kamu tidak beribadat sebagaimana yang aku beribadat. Dan bagi kamu agama kamu, dan bagi kami agama kami."

Daripada Surah Luqman (31), ayat 13 - sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar."

Bersama di dalam perayaan adalah sebahagian daripada Mawaddah dan Mahabbah (cinta) kepada mereka. Allah berfirman: "Jangan kamu menjadikan Yahudi dan Nasara itu Auliya'…" dan firmannya lagi: "Wahai orang-orang yang beriman jangan kamu menjadikan musuh-musuh Ku dan musuh-musuh mu sebagai teman-teman setia, kamu sampaikan kepada mereka (berita-berita Muhammad) dengan sebab hubungan baik dan kasih mesra yang ada diantara kamu dengan mereka, sedangkan mereka telah kufur dan engkar terhadap kebenaran yang sampai kepada kamu…" (al-Mumtahanah, 60: 1)

Maksudnya: "Jika kamu kufur, sesungguhnya Allah tidak berhajat sesuatu daripada kamu, dan Dia (Allah) tidak redha akan kekufuran hamba-hambanya, dan jika kamu bersyukur nescaya Dia meredhai kamu dengan kesyukuranmu itu." (al-Zumar, 39: 7)

Dalam hal ini, Sheikh al-Islam Ibnu Taimiyah menyatakan (maksudnya): "Apabila umat Islam bersepakat ke atas penegahan golongan bukan Islam dari menzahirkan syiar agamanya, bagaimana pula umat Islam boleh terlibat melakukannya? Tidakkah perbuatan umat Islam menzahirkan syiar agama mereka itu lebih dahsyat dari perbuatan golongan kafir yang menzahirkan agamanya." (Ibn Taimiyah, Iqtida' al-Sirat al-Mustaqim fi Mukhalafat Ashab al-Jahim, hlm. 187)

Bahagian ke-dua (2):

Berkenaan ayat 8 (Surah Mumtahanah, 60) – Maksudnya: Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu karena agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil.

Dan ayat,

Surah an-Nisa’ 4: ayat 86 – Maksudnya: Apabila kamu diberi penghormatan dengan sesuatu penghormatan, maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik dari padanya, atau balaslah penghormatan itu (dengan yang serupa). Sesungguhnya Allah memperhitungkan segala sesuatu.

Ada sebahagian pihak yang menggunakan ayat-ayat di atas bagi menyokong perbuatan mereka untuk samaada bersama-sama merayakan perayaan orang-orang kafir atau mengucapkan tahniah ke atas perayaan mereka.

Sebenarnya, ayat ini perlulah diperhatikan dengan lebih teliti lagi.

Berdasarkan ayat di atas, cuba kita lanjutkan ayat 86 daripada surah an-Nisa’ tersebut ke ayat seterusnya iaitu ayat 87 – (Maksudnya): Allah, tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) selain Dia. Sesungguhnya Dia akan mengumpulkan kamu di hari kiamat, yang tidak ada keraguan terjadinya. Dan siapakah orang yang lebih benar perkataan(nya) dari pada Allah?

Dilihat juga kepada ayat ini (maksudnya):


Daripada surah Luqman, 31: ayat 13-15 (maksudnya): Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, di waktu ia memberi pelajaran kepadanya: "Hai anakku, janganlah kamu mempersekutukan Allah, sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar." Dan Kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada dua orang ibu-bapanya; ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyapihnya (meleraikan dari penyusuan) dalam dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada dua orang ibu bapa-mu, hanya kepada-Ku-lah kembalimu. Dan jika keduanya memaksamu untuk mempersekutukan dengan Aku sesuatu yang tidak ada pengetahuanmu tentang itu, maka janganlah kamu mengikuti keduanya, dan pergaulilah keduanya di dunia dengan baik, dan ikutilah jalan orang yang kembali kepada-Ku, kemudian hanya kepada-Kulah kembalimu, maka Kuberitakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan.

Daripada ayat tersebut, dapat diperhatikan bahawa berbuat baik kpd ibu bapa adalah suatu tuntutan yang besar, namun apabila melibatkan persoalan syirik, maka... tiada ketaatan dalam soal itu iaitu wajiblah kita berlepas diri dari kekufuran itu. Walau dalam soal ibu bapa yang melakukan sesuatu yg mungkar atau ibu bapa itu sendiri kafir, kita tetap dituntut untuk bergaul baik dengan mereka. Asalkan yang bukan untuk merestui/meraikan kekafiran mereka. Malahan adalah sebenarnya kita dituntut untuk mengajak mereka meninggalkan kekafiran/kekufuran/kemaksiatan mereka dengan hikmah.

Maka disebabkan rahmat dari Allah-lah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu. Kerana itu maafkanlah mereka, mohonkanlah ampun bagi mereka, dan bermusyawaratlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakkal kepada-Nya. (Ali Imran, 3: 159)

Diteruskan lagi, berdasarkan ayat 86 daripada surah an-Nisa’ tadi yang dijadikan hujjah bagi segolongan pihak bagi membolehkan kita mengucapkan tahniah (wish) kepada kaum kuffar di dalam pesta/sempena perayaan mereka, maka diperhatikan juga kepada beberapa point berikut:


1
- Apakah tafsiran para salaf (ulama zaman awal dari golongan sahabat, tabi’in, dan tabi’ut tabi’in) terhadap ayat tersebut? Adakah terdapat contoh bahawa para salaf menggunakan ayat tersebut untuk membolehkan perbuatan ucap tahniah/meraikan atau sewaktu dengannya sempena perayaan agama lain? Adalah jawabannya tidak. Jika ada, ayuh di-bawakan ke mari.


2
- Cuba kita lihat semula, apakah sebenarnya yg dimaksudkan dengan "Ucapan/Penghormatan balas yg lebih baik" dalam ayat tersebut? - tafsiran "baik/ahsan" itu harus mengikut neraca/perkiraan siapa sebenarnya? – Bukankah yang baik itu adalah jika kita katakan seumpama ucapan yang berbentuk mengajak (dengan hikmah) atas mereka kepada supaya masuk kepada Islam/syahadah dan meninggalkan kekafiran (mengajak ke arah aqidah yang suci bersih - Islam)! Dan bukannya sebaliknya dengan menyatakan sokongan ke atas kekafiran mereka.


3
- Mengapa suruhan/saranan dalam ayat itu yang menyatakan bahawa "balas dgn ucapan/penghormatan yg lebih baik" itu mesti dimaksudkan dengan balas balik dengan ucapan syirik juga?

Ini kembali kepada ayat ini, “Janganlah kamu mempersekutukan Allah, sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar.” (Luqman, 31: 13)

Bahagian ke-tiga (3):

Terbayangkah di fikiran kita, apakah mungkin seseorang mengucapkan tahniah dan ucap selamat (wish/greet) kepada penjenayah bunuh, pencuri (yang mencuri atau mahu melakukan kecurian), perogol dan seumpamanya. Jika kita mengatakan tidak, maka soal perayaan kaum kuffar (yang mengandungi penyekutuan ke atas Allah) lebih utama untuk ditidakkan, kerana jelas ianya membawa maksud redha dan setuju kepada kepercayaan-kepercayan yang ada dalam sesuatu perayaan tersebut. Masuk akalkah, seseorang muslim yang mentauhidkan Allah (yang murni aqidahnya) mengucapkah tahniah kepada seorang Budha, Hindu atau Kristian yang sedang menyembah tuhan mereka atau yang sedang merayakan perayaan mereka yang penuh kesyirikan menurut neraca Islam?

Ini dapatlah disamakan sebagaimana berikut yang mana kita mengucapkan selamat kepada si perogol, pencuri, dan pembunuh dengan ucapan:

“Semoga kamu selamat membunuh, mencuri, atau merogol.”

Atau juga,

“Tahniah kerana anda telah selamat melaksanakan pekerjaan anda (mencuri, merogol, atau membunuh)”

Secara logiknya, mana mungkin kita akan mengucapkan ke atas mereka yang sedang melakukan kemungkaran atau maksiat dengan ucapan tahniah atau selamat? Jadinya, dalam persoalan syirik apatah lagi, kerana persoalan syirik adalah suatu persoalan yang lebih besar lagi kemungkarannya berbanding maksiat seperti perbuatan rogol, zina, mencuri, dan membunuh. Kerana ianya berhubung kait dengan aqidah (ke-Islaman).

“Janganlah kamu mempersekutukan Allah, sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar.” (Luqman, 31: 13)

Bahagian ke-empat (4):

Fatwa-fatwa para ulama:

1 - Sheikh Dr. Soleh Bin Fauzan al-Fauzan:

MENYAMBUT DAN IKUT MERAYAKAN HARI RAYA ATAU PESTA ORANG-ORANG KAFIR SERTA BERLANGSUNGKAWA DALAM HARI DUKA MEREKA

- Hukum Menyambut Dan Bergembira Dengan Hari Raya Mereka

Sesungguhnya di antara intipati terpenting dari sikap membenci orang-orang kafir ialah menjauhi ibadah mereka. Sedangkan syi’ar mereka yang paling besar adalah hari raya mereka, baik yang berkaitan dengan tempat mahupun waktu. Maka orang Islam berkewajiban menjauhi dan meninggalkannya.

Ada seorang lelaki yang datang kepada baginda Rasulullah s.a.w. untuk meminta fatwa kerana ia telah bernadzar memotong (menyembelih) haiwan di Buwanah (nama tempat), maka Nabi s.a.w. menyatakan kepadanya:

هل كان فيها وثن من أوثان الجا هليه يعبد قال: لا، قال: هل كان فيها عيد من أعيادهم قال: لا، قال النبي صلى الله عليه وسلم أوف بنذرك – وفإنه لاوفاء لنذر في معصية الله ولافيما لايملكه ابن ادم

“Apakah di sana ada berhala dari berhala-berhala jahiliyah yang disembah?” Dia menjawab, “Tidak”. Beliau bertanya, “Apakah di sana tempat dilaksanakannya hari raya dari hari-hari raya mereka?” Dia menjawab, “Tidak”. Maka Nabi bersabda, “Tepatilah nadzarmu, kerana sesungguhnya tidak boleh melaksanakan nadzar dalam maksiat terhadap Allah dalam hal yang tidak dimiliki oleh anak adam.” (Hadis Riwayat Abu Daud dengan sanad yang menepati syarat Bukhari dan Muslim)

Hadis di atas menunjukkan, tidak boleh menyembelih untuk Allah di tempat yang digunakan menyembelih untuk selain Allah; atau di tempat orang-orang kafir merayakan pesta atau perayaan mereka. Sebab hal itu bererti mengikuti mereka dan menolong mereka di dalam mengagungkan syi’ar-syi’ar mereka atau menjadi wasilah yang menghantarkan kepada syirik. Begitu pula ikut merayakan hari raya (hari kebesaran) mereka menunjukkan sikap wala’ kepada mereka dan mendukung mereka dalam menghidupkan syi’ar-syi’ar mereka.

Di antara yang dilarang adalah menampakkan rasa gembira pada hari raya mereka, membantu perayaan mereka, memasak makanan sehubungan dengan hari perayaan mereka. Dan di antaranya lagi ialah mempergunakan kalendar Masehi, kerana hal itu menghidupkan kenangan terhadap hari Natal bagi mereka. Kerana itu para sahabat menggunakan kalendar Hijriyah sebagai gantinya.

Syaikh al-Islam Ibnu Taimiyah berkata di dalam Iqtida’ Shiratal Mustaqim (ditahqiq oleh Prof. Dr. Nashir al-‘Aql), 1/425-426, “Ikut merayakan hari-hari besar mereka tidak diperbolehkan kerana dua alasan:

Pertama: Bersifat umum, seperti yang telah dikemukakan di atas bahawa hal tersebut bererti mengikuti Ahli Kitab, yang tidak ada dalam ajaran kita dan tidak ada dalam kebiasaan salaf. Mengikutinya bererti membawa kerosakan dan meninggalkannya terdapat maslahah menyelisihi mereka. Bahkan seandainya kesamaan yang kita lakukan merupakan sesuatu ketetapan semata, bukan kerana mengambilnya dari mereka, tentu yang disyari’atkan adalah menyelisihinya telah diisyaratkan di atas. Maka barangsiapa mengikuti mereka, dia telah kehilangan maslahah ini sekali pun tidak melakukan mafsadah (kerosakan) apa pun, terlebih lagi kalau dia melakukannya.

Alasan kedua: Kerana hal itu adalah bid’ah yang diada-adakan. Alasan ini jelas menunjukkan bahawa sangat dibenci hukumnya menyerupai mereka dalam hal itu.”

Beliau mengatakan, “Tidak halal bagi kaum muslimin bertasyabbuh (menyerupai) mereka dalam hal-hal yang khusus bagi hari raya mereka; seperti makanan, pakaian, mandi, menyalakan lilin, meliburkan kebiasaan seperti bekerja dan beribadah atau pun yang lainnya. Tidak halal mengadakan kenduri atau memberi hadiah atau menjual barang-barang yang diperlukan untuk hari raya tersebut. Tidak halal mengizinkan anak-anak atau pun yang lainnya melakukan permainan pada hari itu, juga tidak boleh menampakkan perhiasan. Ringkasnya, tidak boleh melakukan sesuatu yang menjadi ciri-ciri khas dari syi’ar mereka pada hari itu. Hari raya mereka bagi umat Islam haruslah seperti hari-hari biasanya, tidak hal yang istimewa atau khusus yang dilakukan umat Islam. Adapun jika dilakukan hal-hal tersebut oleh umat Islam dengan sengaja maka berbagai golongan dari para salaf dan khalaf menganggapnya makruh. Sedangkan pengkhususan seperti yang tersebut di atas maka tidak ada perbezaan di antara ulama, bahkan sebahagian ulama menganggap kafir orang yang melakukan hal tersebut, kerana dia telah mengagungkan syi’ar-syi’ar kekufuran. Segolongan ulama mengatakan, “Sesiapa yang menyembelih kambing pada hari raya mereka (kerana merayakannya), maka seolah-olah dia menyembelih babi.” Abdullah bin Amr bin Ash berkata, “Sesiapa yang mengikuti negara-negara ‘ajam (non-muslim) dan melakukan perayaan Nairuz (atau Nauruz – pesta tahun baru Iran yang bertepatan dengan tanggal 21 Maret) dan Mihrajan (pesta hari bahagia bila tiba musim luruh) serta menyerupai mereka sampai ia meninggal dunia dan dia belum bertaubat, maka dia akan dikumpulkan bersama mereka pada hari kiamat. (Majmu’ Fatawa, 25/329-330)

- Hukum Ikut Serta Merayakan Pesta, Walimah, Hari Bahagia atau Hari Duka Mereka Dengan Hal-Hal Yang Mubah Serta Berta’ziyah Pada Musibah Mereka

Tidak boleh memberi ucapan selamat (tahni’ah) atau ucapan belasungkawa (ta’ziyah) kepada mereka, kerana hal itu bererti memberikan wala’ dan mahabbah kepada mereka. Juga dikeranakan hal tersebut mengandungi erti pengagungan (penghormatan) terhadap mereka. Maka hal itu diharamkan berdasarkan larangan-larangan ini. Sebagaimana haram mengucapkan salam terlebih dahulu atau membuka jalan bagi mereka.

Ibnul Qayyim berkata, “Hendaklah behati-hati jangan sampai terjerumus sebagaimana orang-orang bodoh, ke dalam ucapan-ucapan yang menunjukkan redha mereka terhadap agamanya. Seperti ucapan mereka, “Semoga Allah membahagiakan kamu dengan agamamu”, atau “memberkatimu dalam agamamu”, atau berkata, “Semoga Allah memuliakanmu”. Kecuali jika berkata, “Semoga Allah memuliakanmu dengan Islam”, atau yang senada dengan itu. Itu semua tahni’ah dengan perkara-perkara umum. Tetapi jika tahni’ah dengan syi’ar-syi’ar kufur yang khusus milik mereka seperti hari raya dan puasa mereka, dengan mengatakan, “Selamat hari raya Natal” umpamanya atau “Berbahagialah dengan hari raya ini” atau yang senada dengan itu, maka jika yang mengucapkannya selamat dari kekufuran, dia tidak lepas dari maksiat dan keharaman. Sebab itu sama halnya dengan memberikan ucapan selamat terhadap sujud mereka kepada salib; bahkan di sisi Allah hal itu lebih dimurkai daripada memberikan selamat atas perbuatan meminum khamar, membunuh orang atau berzina atau yang seumpamanya. Banyak sekali orang yang terjerumus dalam hal ini tanpa menyedari keburukannya. Maka, barangsiapa yang memberikan ucapan selamat kepada seseorang yang melakukan bid’ah, maksiat, atau pun kekufuran maka dia telah menentang Allah dan mengundang murka Allah. Para ulama wira’i (sangat menjauhi makruh, apalagi haram), mereka sentiasa menghindari tahni’ah kepada para pemimpin zalim atau kepada orang-orang dungu yang diangkat sebagai hakim, qadhi, mufti; demi untuk menghindari murka Allah dan laknat-Nya. (Ahkam Ahli Dzimmah, tahqiq oleh Dr. Subhi Saleh, 1/205-206)

Dari huraian tersebut jelaslah, memberi tahni’ah kepada orang-orang kafir hal-hal yang diperbolehkan (mubah) adalah dilarang jika mengandungi makna yang menunjukkan rela kepada agama mereka. Adapun memberikan tahni’ah atas hari-hari raya mereka atau syi’ar-syi’ar mereka adalah haram hukumnya dan sangat dikhuwatirkan pelakunya jatuh kepada kekufuran. (Sheikh Dr. Soleh Bin Fauzan al-Fauzan, Kitab at-Tauhid, jil. 1 di bawah tajuk al-Wala’ wal Bara’)

2 – Imam as-Suyuti:

Sesungguhnya Saidina Umar al-Khattab telah mensyaratkan ke atas mereka (kafir zimmi) agar tidak menzahirkan perayaan mereka di negeri-negeri umat Islam. Apabila mereka ditegah daripada menzahirkan, maka bagaimana pula seorang Muslim itu melakukannya? Tindakan tersebut adalah sebahagian dari tindakan yang boleh menguatkan ketamakan hati mereka utk menzahirkan perayaan mereka". (As-Suyuti, Al-Amru bi at-Tiba' wa an.Nahy 'an al-Ibtida', hlm. 150.

3 - Fatwa Kerajaan Arab Saudi (Lajnah Daimah Lil Buhuts al-Ilmiyyah wal Ifta`) yang diketuai oleh Syaikh Abdul Aziz bin Abdullah Alu Syaikh menyatakan dengan tegas:

“Dilarang bagi umat Islam untuk mengucapkan selamat atas hari raya orang kafir, karena ini menunjukkan sikap rela terhadapnya di samping memberikan rasa gembira di hati mereka.”

4 - Dari Eropa, anggota Dewan Penelitian dan Fatwa Eropa (Al-Majlis Al-Urubi li Al-Buhuts wa Al-Ifta`), Dr. Muhammad Fuad Al-Barrazy, dengan tegas berkata:

“Saya tidak membolehkan untuk memberikan ucapan selamat hari raya kepada mereka (pemeluk agama lain), juga tidak membenarkan untuk saling bertukar hadiah dalam kaitan itu (bagi tujuan meraikan)”.

Monday, December 17, 2007

046 - Penyelewengan Kaum Syi'ah Terhadap Ayat al-Syura 42: 23

Ketiga: Ayat al-Mawaddah

Alhamdulillah sehingga kini kita telah membahas dan menjawab dua ayat yang terpenting bagi Mazhab Syi‘ah. Dengan runtuhnya Ayat al-That-hir dan Ayat al-Wilayah, runtuhlah juga hujah Syi‘ah berkenaan kekhalifahan Ahl al-Bait daripada al-Qur’an. Akan tetapi masih ada beberapa ayat yang dijadikan hujah oleh Syi‘ah. Salah satu daripadanya ialah Ayat al-Mawaddah yang akan kita bahas seterus ini, insya-Allah.

Ayat al-Mawaddah merujuk kepada firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku tidak meminta kepada kamu sesuatu upahpun atas seruanku kecuali kasih sayang (kecintaan: al-Mawaddah) dalam kekeluargaan (al-Qurba).” [al-Syura 42:23]
[1]

Penamaan Ayat al-Mawaddah merujuk kepada perkataan al-Mawaddah (المودة) yang wujud dalam ayat di atas sendiri. Ia bererti kecintaan yang amat tinggi lagi luas (المحبة العظيمة الواسعة), demikian terang al-Biqa’i rahimahullah (885H).
[2] Berikut diterangkan bagaimana Syi‘ah menjadikan ayat 23 surah al-Syura di atas sebagai hujah:

Hujah Syi‘ah

Penghujahan Syi‘ah tertumpu kepada sebuah hadis yang menerangkan bahawa apabila turun ayat ayat 23 surah al-Syura, para sahabat radhiallahu ‘anhum bertanya kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam:

“Ya Rasulullah! Siapakah kerabat engkau yang diwajibkan ke atas kami untuk mencintainya?” Baginda menjawab: “ ‘Ali dan Fathimah dan kedua anaknya (Hasan dan Husain).”

Di sisi Syi‘ah ayat 23 surah al-Syura dan hadis Rasulullah yang menafsirkannya jelas menunjukkan kewajipan untuk mencintai para Ahl al-Bait, iaitu ‘Ali, Fathimah, Hasan dan Husain radhiallahu ‘anhum. Kecintaan (al-Mawaddah) yang dimaksudkan oleh al-Qur’an bukanlah kecintaan yang bersifat emosi dan kecenderungan hati. Akan tetapi yang dimaksudkan ialah mengikuti mereka, berjalan di atas jalan-jalan mereka dan menjadikan mereka sumber teladan. Atas tafsiran ini, ayat 23 surah al-Syura juga merupakan salah sebuah dalil yang menetapkan kekhalifahan kepada Ahl al-Bait: 'Ali, Fathimah, Hasan dan Husain.

Seandainya Ahl al-Bait Rasulullah: ‘Ali, Fathimah, Hasan dan Husain tidak berada di jalan yang lurus dan tidak mampu menjadi khalifah umat, tentu ayat ini tidak akan diturunkan dan Rasulullah tidak akan mewajibkan umatnya untuk mencintai Ahl al-Baitnya. Tidak mungkin orang yang terbuka kepada kesalahan dan penyelewengan syari‘at Allah dijadikan sumber kecintaan, ikutan dan kasih sayang. Melainkan – kebenaran dan hak kekhalifahan berada di tangan mereka sehingga Allah mewajibkan kecintaan, ikutan dan ketaatan kepada mereka. Demikian rumus Syi‘ah.

Panel penulis Muassasah al-Balagh, Tehran, Iran, di dalam buku mereka Mengenal Lebih Jauh Ahl al-Bait
[3] menulis:

Kecintaan (al-Mawaddah) yang dimaksudkan oleh al-Qur’an bukanlah keterikatan emosional dan kecintaan hati yang tidak ada nilainya, ataupun kecintaan dan kasih sayang yang terdapat di dalam jiwa (tanpa realisasi dalam perbuatan).

Yang dimaksudkan dengan al-Mawaddah dan al-Mahabbah terhadap keluarga Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam adalah mengikuti mereka, berjalan di atas cara-cara mereka dan menjadikan mereka teladan.

Seandainya Ahl al-Bait Nabi shallallahu 'alaihi wasallam tidak berada di jalan yang lurus dan tidak mampu memimpin umat di jalan yang benar sudah tentu al-Qur’an, yakni ayat al-Mawaddah tersebut, tidak akan diturunkan dan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam tidak akan mewajibkan umatnya mencintai Ahl al-Baitnya (radhiallahu 'anhum).

Sejauh manakah kebenaran hujah dan rumusan ini? Marilah kita mengkaji dan menjawabnya.

Jawapan Ahl al-Sunnah

Kajian dan jawapan ke atas penghujahan Ayat al-Mawaddah dibahagikan kepada dua perbahasan:

1. Menilai darjat hadis yang menafsirkan ayat 23 surah al-Syura kepada 'Ali, Fathimah, Hasan dan Husain radhiallahu ‘anhum.

2. Mengkaji maksud sebenar ayat 23 surah al-Syura.

Pertama: Menilai darjat hadis yang menafsirkan ayat 42 surah al-Syura kepada 'Ali, Fathimah, Hasan dan Husain.

Hadis yang digunakan oleh Syi‘ah untuk menafsirkan ayat 23 surah al-Syura sebagai merujuk kepada 'Ali, Fathimah, Hasan dan Husain radhiallahu ‘anhum memiliki kecacatan yang amat berat di dalam sanadnya. Dalam istilah hadis, ia dikategorikan sebagai Dha‘if Jiddan.

Ia dikeluarkan oleh al-Thabarani di dalam al-Mu’jam al-Kabir, jld. 3, ms. 47, no: 2641 & jld. 11, ms. 444, no: 12259, Ibn al-Maghazali di dalam Manaqib al-Imam ‘Ali bin Abi Thalib – no: 352, al-Tsa’labi di dalam al-Kasyf wa al-Bayan, jld. 8, ms. 310 (tafsir ayat 23 surah al-Syura) dan al-Hafiz al-Haskani di dalam Syawahid al-Tanzil – no: 822, 823, 824, 825, 826, 827, 828 & 829. Semuanya dengan sanad yang berpangkal kepada Husain al-Asyqar, daripada Qays bin Rabi’.

Husain al-Asyqar, beliau ialah al-Husain bin Hasan al-Aysqar al-Fazari, daripada Kufah. Berkata Abu Hatim al-Razi dan al-Daruquthni: Hadisnya tidak kuat. Berkata Abu Zar‘ah: Dia Syaikh, Mungkar al-Hadis. Berkata Abu Mu‘amar: Pendusta.
[4] Berkata Ibn Hajar al-Haitami: Seorang Syi‘ah yang radikal sekalipun jujur.[5] Berkata al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani: Husain (al-Asyqar) dha‘if lagi digugurkan (daripada diterima sebagai seorang perawi hadis).[6]

Qays bin al-Rabi’, beliau ialah Qays bin al-Rabi’ Abu Muhammad al-Asdi daripada Kufah. Berkata Ahmad bin Hanbal: Terdapat banyak kesilapan di dalam hadisnya.
[7] Kecacatan yang berat pada Husain al-Asyqar menjatuhkan riwayat ini ke darjat sangat lemah (Dha‘if jiddan).

Selain itu dikeluarkan oleh Ibn Abi Hatim di dalam Tafsir al-Qur’an al-‘Adzim – no: 18473 (tafsir ayat 23 surah al-Syura) dan beliau berkata: “Dengan sanad yang dha‘if dari jalan Sa‘id bin Jabir, daripada Ibn ‘Abbas dia berkata:……(seperti di atas)”.

al-Suyuthi di dalam al-Durr al-Mantsur, jld. 5, ms. 701 (tafsir ayat 23 surah al-Syura, riwayat ke 14) menyandarkannya kepada Ibn al-Manzur dan Ibn Marduyah, akan tetapi kedua-dua rujukan ini tidak sampai kepada kita hari ini. Justeru memadai dengan merujuk kepada penilaian al-Suyuthi terhadapnya, di mana beliau berkata:
[8]

Dikeluarkan oleh Ibn al-Manzur, Ibn Abi Hatim, al-Thabarani dan Ibn Marduyah dengan sanad yang dha‘if dari jalan Sa‘id bin Jabir, daripada Ibn ‘Abbas dia berkata: Tatkala turun ayat: Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku tidak meminta kepada kamu sesuatu upahpun atas seruanku kecuali kasih sayang (al-Mawaddah) dalam kekeluargaan (al-Qurba).” [al-Syura 42:23] Mereka (para sahabat) bertanya: “Ya Rasulullah! Siapakah keluarga engkau yang diwajibkan ke atas kami untuk mencintainya?” Baginda menjawab: “ ‘Ali dan Fathimah dan kedua anaknya (Hasan dan Husain).”

Demikian perincian atau takhrij ke atas hadis yang digunakan oleh Syi‘ah untuk menafsirkan ayat 23 surah al-Syura sebagai merujuk kepada 'Ali, Fathimah, Hasan dan Husain sahaja, radhiallahu ‘anhum. Selain itu diketahui bahawa Syi‘ah turut mengemukakan beberapa riwayat lain sebagai penguat. Mari kita mengkaji sejauh mana kekuatan riwayat-riwayat tersebut.

Riwayat Penguat Pertama:

Daripada Abi al-Dailam, dia berkata:

Tatkala ‘Ali bin al-Husain (bin ‘Ali bin Abi Thalib) radhiallahu 'anhuma dibawa mengiringi jalan-jalan Kota Damsyik sebagai tawanan (Perang Karbala), berdiri seorang lelaki daripada Syam lalu berkata: “Segala puji bagi Allah yang telah membunuh kalian dan mengikis kalian (kaum keluarga Husain radhiallahu 'anh) sehingga kini berakhirlah fitnah (yang disebabkan oleh kalian).”

‘Ali bin al-Husain radhiallahu 'anh bertanya kepadanya: “Adakah anda membaca al-Qur’an?” Lelaki tersebut menjawab: “Ya.” ‘Ali bin al-Husain bertanya lagi: “Adakah anda membaca surah Alif Lam Ha Mim (آل حم)?” Lelaki itu menjawab: “Ya aku membaca al-Qur’an tetapi aku tidak membaca surah Alif Lam Ha Mim.” ‘Ali bin al-Husain bertanya: “Tidakkah kamu membaca ayat: Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku tidak meminta kepada kamu sesuatu upahpun atas seruanku kecuali kasih sayang (al-Mawaddah) dalam kekeluargaan (al-Qurba).” [al-Syura 42:23]?” Lelaki tersebut kemudian bertanya: “Adakah kalian yang dimaksudkan oleh ayat tersebut?” ‘Ali bin al-Husain menjawab: “Ya.”

Riwayat ini memiliki sanad yang sangat lemah (Dha‘if Jiddan). Ia dikeluarkan oleh al-Thabari di dalam Jami’ al-Bayan – no: 23698 (tafsir ayat 23 surah al-Syura) dan al-Tsa’labi di dalam al-Kasyf wa al-Bayan, jld. 8, ms. 311 dengan sanad: Dihadiskan kepada kami oleh Ismail bin Aban, dihadiskan kepada kami oleh al-Shabah bin Yahya al-Mariyyi, daripada al-Sadiy, daripada Abi al-Dailam, dia berkata…… seperti di atas.

al-Shabah bin Yahya al-Mariyyi, juga dikenali sebagai Shabah bin Yahya al-Muzani. Beliau seorang Syi‘ah yang berasal dari Kufah, ditinggalkan hadisnya bahkan dituduh sebagai pencipta hadis.
[9]

Riwayat Penguat Kedua:

Khutbah al-Hasan bin ‘Ali ketika ‘Ali bin Abi Thalib radhiallahu 'anhuma dibunuh, antara lain beliau diriwayatkan berucap:

Dan saya daripada kalangan Ahl al-Bait yang telah dihapuskan oleh Allah daripada mereka dosa dan disucikan dengan sesuci-sucinya (merujuk kepada ayat 33 surah al-Ahzab). Dan saya daripada kalangan Ahl al-Bait yang diwajibkan oleh Allah ke atas setiap muslim untuk berkasih sayang kepada mereka, sebagaimana firman (Allah) Tabaraka wa Ta‘ala kepada Nabi-Nya (Muhammad) shallallahu 'alaihi wasallam: Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku tidak meminta kepada kamu sesuatu upahpun atas seruanku kecuali kasih sayang (al-Mawaddah) dalam kekeluargaan (al-Qurba).” [al-Syura 42:23]. Maka mengusahakan yang baik itu adalah mengasihi kami – Ahl al-Bait.

Riwayat ini memiliki sanad yang dha‘if. Ia dikeluarkan oleh al-Hakim di dalam al-Mustadrak – no: 4802 (Kitab Makrifat para sahabat, Bab Keutamaan al-Hasan bin ‘Ali……) dan beliau mendiamkan darjatnya. Berkata al-Dhazabi di dalam al-Talkhish (التلخيص): Tidaklah ia sahih (ليس بصحيح). Saya (penulis) berkata: Kecacatannya terletak pada salah seorang perawi di dalam sanad al-Hakim yang bernama al-Husain bin Zayid.

Beliau ialah al-Husain bin Zayid bin ‘Ali bin al-Husain bin ‘Ali bin Abi Thalib. Dinilai thiqah (terpercaya) oleh al-Daruquthni akan tetapi dinilai dha‘if oleh Yahya bin Ma‘in, Ibn al-Madani dan Abu Hatim al-Razi. Berkata al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani: Jujur (akan tetapi) berkemungkinan berbuat silap (dalam meriwayatkan hadis).
[10]

Khutbah di atas memiliki jalan periwayatan kedua yang dikeluarkan oleh al-Thabarani di dalam al-Mu’jam al-Ausath – no: 2155 (Bab yang bernama Ahmad) dengan sanad yang di dalamnya terdapat Salam bin Abi ‘Umrah. Beliau ialah Salam bin Abi ‘Umrah al-Khurasani. Berkata Ibn Hibban: Dia meriwayatkan daripada orang-orang yang terpercaya apa yang disebaliknya, tidak dibolehkan berhujah berdasarkan khabarnya.
[11]

al-Haitsami menukil khutbah di atas di dalam kitabnya Majma’ al-Zawa‘id – no: 14798 (Kitab al-Manaqib, Bab khutbah al-Hasan bin ‘Ali) (bagi edisi lama rujuk jld. 9, ms. 146-147) dan beliau berkata:

Riwayat al-Thabarani di dalam (al-Mu’jam) al-Ausath dan (al-Mu’jam) al-Kabir secara ringkas……, dan Abu Ya’la secara ringkas dan juga al-Bazzar……, dan riwayat Ahmad secara lebih ringkas. Dan sanad Ahmad dan sebahagian jalan periwayatan al-Bazzar dan al-Thabarani di dalam (al-Mu’jam) al-Kabir adalah hasan.

Penilaian darjat “hasan” ini diikut secara buta (taqlid) oleh beberapa penulis lain tanpa semakan lanjut, contohnya oleh ‘Abd Allah bin Muhammad al-Syabrawi (الشبراوى) rahimahullah (1171H) di dalam tulisannya Kitab al-Ithaf bi Hubb al-Isyraf (كتاب الإتحاف بحب الإشراف), ms. 13. Yang benar penilaian darjat “hasan” oleh al-Haitsami merujuk kepada riwayat-riwayat yang menerangkan tindakan al-Hasan bin ‘Ali memberi khutbah ketika ‘Ali bin Abi Thalib dibunuh. Teks khutbah yang terkandung di dalam riwayat-riwayat ini saling berbeza sedikit sebanyak, dengan sebahagiannya lebih panjang daripada sebahagian yang lain. Namun yang menjadi perhatian kita hanyalah teks khutbah yang mengandungi bacaan ayat 33 surah al-Ahzab dan ayat 23 surah al-Syura dan ini tidak diriwayatkan oleh sesiapa melainkan al-Hakim di dalam al-Mustadrak – no: 4802 dan al-Thabarani di dalam al-Mu’jam al-Ausath – no: 2155 sepertimana yang penulis takhrij di atas.

Untuk riwayat-riwayat yang dimaksudkan oleh al-Haitsami, sila kaji:

1. al-Mu’jam al-Kabir li al-Thabarani, jld. 3, ms. 79, no: 2717 hingga 2725. (Kitab apa yang bersanad kepada al-Hasan bin ‘Ali, Bab Hubairah bin Yarim (هبيرة بن يريم) daripada al-Hasan bin ‘Ali).

2. Musnad Abu Ya’la, no: 6757 & 6758 (Musnad al-Hasan bin ‘Ali).

3. Musnad al-Bazzar (al-Bahr al-Zakhkhar al-Ma’ruf bi Musnad al-Bazzar), no: 1339 & 1341 (Musnad al-Hasan bin ‘Ali).

4. Musnad Ahmad, no: 1719 (Musnad Ahl al-Bait, Bab hadis al-Hasan bin ‘Ali) (bagi edisi 6 jilid, rujuk jld. 1, ms. 199).

Selain itu rujuk juga: Musannaf Ibn Abi Syaibah – no: 32085 & 32096 (Kitab al-Fadha’il, Bab Fadha’il ‘Ali bin Abi Thalib); Thabaqat Ibn Sa‘ad, jld. 3, ms 28 (Kitab thabaqat al-Badarayn min al-Muhajirin, Bab berkenaan ‘Abd al-Rahman bin Muljam); Sunan al-Kubra li al-Nasa’i – no: 8353 (Kitab al-Khasha’ish); Shahih Ibn Hibban – no: 6937 (Kitab khabar-khabar daripada manaqib para sahabat, Bab berkenaan pembunuhan ‘Ali bin Abi Thalib) dan Hilyah al-Auliya’ wa Thabaqat al-Ashfiya’ li al-Hafiz Abu Nu‘aim – no: 201 (Kitab para sahabat dari kalangan Muhajirin, Bab ‘Ali bin Abi Thalib).

Riwayat Penguat Ketiga:

Muhammad Mar‘i al-Amin dalam bukunya Mengapa Aku Memilih Ahl al-Bait? mengemukakan dua buah riwayat lain sebagai penguat. Riwayat tersebut akan kita kaji sebagai penguat ketiga dan keempat seterus ini. Muhammad Mar‘i al-Amin menulis:
[12]

al-Baghawi dan al-Tsa’labi meriwayatkan di dalam kitab tafsir mereka daripada Ibn ‘Abbas radhiallahu 'anh, dia berkata: Manakala turunnya ayat: Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku tidak meminta kepada kamu sesuatu upahpun atas seruanku kecuali kasih sayang (kecintaan: al-Mawaddah) dalam kekeluargaan (al-Qurba).” [al-Syura 42:23], sebahagian orang ramai berkata di kalangan mereka: “Tiadalah yang dikehendaki (oleh ayat tersebut) melainkan supaya kita mengasihi kerabatnya.”

Lantas Jibrail memberitahukan Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam tentang tuduhan mereka. Maka turunlah ayat: Bahkan mereka mengatakan: Dia (Muhammad) telah mengada-adakan dusta terhadap Allah. [al-Syura 42:24] Maka sebahagian orang ramai tersebut berkata: “Wahai Rasulullah kami bersaksi bahawa sesungguhnya anda adalah seorang yang benar.” Maka turunlah pula ayat: Dan Dialah yang menerima taubat dari hamba-hambaNya. [al-Syura 42:25]

Riwayat ini tidak dapat dijadikan penguat, bahkan tidak memiliki apa-apa makna kepada penghujahan Syi‘ah. Ini kerana:

1. Ia tidak memiliki sanad. Sila rujuk Tafsir al-Baghawi (Ma‘alim al-Tanzil), jld. 5, ms. 382 (tafsir ayat 24 & 25 surah al-Syura) dan Tafsir al-Tsa’labi (al-Kasyf wa al-Bayan), jld. 8, ms. 315 (tafsir ayat 24 & 25 surah al-Syura).

2. Riwayat di atas menyebut “kerabatnya” secara umum. Bererti ia merujuk kepada semua kaum keluarga Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam tanpa terbatas kepada 'Ali, Fathimah, Hasan dan Husain sahaja, radhiallahu 'anhum.

Riwayat Penguat Keempat:

Muhammad Mar‘i al-Amin menulis:
[13]

al-Kanji al-Syafi'i meriwayatkan di dalam Kifayah al-Talib dengan membuang beberapa sanad daripada Jabir bin 'Abdullah, dia berkata:

Seorang Arab badwi datang kepada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam dengan berkata: “Wahai Muhammad bentangkan ke atasku Islam.” Maka baginda menjawab: “Engkau bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah yang Tunggal, tiada sekutu bagi-Nya dan bahawasanya Muhammad adalah hamba-Nya dan pesuruh-Nya.” Dia (Arab badwi) bertanya: “Mintalah daripada aku upah (sebagai penghargaan atas tunjuk ajar tersebut)?” Baginda menjawab: “Tidak! Melainkan mengasihi kerabatku.” Dia bertanya: “Kerabatku atau kerabat anda?” Baginda menjawab: “Kerabatku.” Dia (Arab badwi) menjawab: “Sekarang aku membai'ah anda, dan bagi sesiapa yang tidak mencintai anda dan mencintai kerabat anda, maka laknat Allah ke atas mereka.” Maka Nabi shallallahu ‘alaihi wa alihi wasallam bersabda: “Amin.”

Riwayat ini juga tidak dapat dijadikan penguat, juga dengan dua sebab:

1. Secara bersanad, ia dikeluarkan oleh Abu Nu‘aim al-Ashfahani di dalam Hilyah al-Auliya’ wa Thabaqat al-Ashfiya’, jld. 3, ms. 234, riwayat no: 3811 (Biografi Ja’far bin Muhammad al-Shadiq). Di dalamnya terdapat seorang perawi yang bernama Yahya bin al-‘Ala’ (يحيى بن العلاء). Beliau ialah Yahya bin al-‘Ala’ al-Bajali al-Razi, Abu ‘Amr. Berkata al-Nasa’i: Matruk al-Hadis.
[14] Berkata Ibn Hibban: Pendusta (dan) pencipta hadis.[15] Oleh itu ini adalah riwayat yang palsu (maudhu’).

2. Riwayat di atas menyebut “kerabatku” secara umum. Bererti ia merujuk kepada semua kaum keluarga Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam tanpa terbatas kepada 'Ali, Fathimah, Hasan dan Husain sahaja, radhiallahu 'anhum.

Demikianlah takhrij atau semakan riwayat berdasarkan sumbernya yang asal lengkap dengan sanad-sanadnya. Jelas bahawa tidak satu jua daripada riwayat-riwayat di atas yang dapat dijadikan dalil bagi menafsirkan ayat 23 surah al-Syura sebagai merujuk kepada 'Ali, Fathimah, Hasan dan Husain radhiallahu 'anhum. Selain itu, riwayat-riwayat di atas bukan sahaja memiliki kecacatan dari sudut sanadnya, tetapi ia juga tertolak dari sudut maksudnya. Ini akan kita perhatikan dalam perbahasan seterusnya, insya-Allah.

Sebagai perbahasan tambahan, Kamal al-Din Muhammad bin Thalhah bin Muhammad yang masyhur dikenali sebagai Ibn Thalhah (652H) di dalam karyanya Mathalib al-Su’ul fi Manaqib A-li al-Rasul (مطالب السؤول في مناقب آل الرسول), ms 37-38 menulis:

Dan adapun berkenaan mereka kaum keluarga (Rasulullah), maka sungguh telah jelas dinaqal (diriwayatkan) khabar-khabar yang dapat diterima (diiktiraf) beserta penjelasannya yang dibawa oleh atsar-atsar yang (juga) dinaqal (diriwayatkan) dalam sanad-sanad yang sahih yang menjelaskannya lagi dalam pelbagai gaya (dan bentuk), daripada Sa‘id bin Jubair daripada Ibn ‘Abbas radhiallahu 'anh, tatkala diturunkan firman Allah Ta‘ala:

Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku tidak meminta kepada kamu sesuatu upahpun atas seruanku kecuali kasih sayang (kecintaan: al-Mawaddah) dalam kekeluargaan (al-Qurba).” [al-Syura 42:23], mereka bertanya: “Ya Rasulullah siapakah yang diwajibkan ke atas untuk mencintai mereka?” Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menjawab: “’Ali dan Fathimah dan anak mereka berdua.”

Dan daripada riwayat-riwayat ini ialah apa yang dinaqal oleh dua orang imam: (Imam) al-Tsa’labi dan (Imam) al-Wahidi, setiap seorang daripada mereka berdua dengan sanadnya yang bersambungan (marfu’) (kepada Rasulullah) ……

Sekian Ibn Thalhah rahimahullah. Kenyataan beliau di atas memerlukan beberapa pemerhatian dan pembetulan:

1. Hadis di atas daripada Sa‘id bin Jubair daripada Ibn ‘Abbas tidak diriwayatkan kecuali melalui jalan Husain al-Asyqar yang sedia dikenal pasti kecacatannya. Sila rujuk al-Kasyf wa al-Bayan, jld. 8, ms. 310 (tafsir ayat 23 surah al-Syura) oleh al-Tsa’labi dan al-Wasith fi Tafsir al-Qur’an al-Majid, jld. 4, ms. 52 (tafsir ayat 23 surah al-Syura) oleh al-Wahidi.

2. Perkataan Ibn Thalhah “…setiap seorang daripada mereka mengemukakan sanad masing-masing…” adalah tidak benar kerana sanad yang dikeluarkan oleh al-Tsa’labi dan al-Wahidi tetap berpangkal kepada Husain al-Asyqar. Jadi ia bukanlah sanad yang berasingan.

3. Riwayat-riwayat lain yang dimaksudkan oleh Ibn Thalhah (sila rujuk riwayat-riwayat ini dalam: Tafsir al-Tsa’labi, jld. 8, ms. 310-314), ianya terbahagi kepada dua kategori: Pertama adalah apa yang berhubung kait dengan ayat 23 surah al-Syura dan ianya memiliki sanad yang cacat juga. Hal ini sepertimana yang telah ditakhrij di atas.

Kedua adalah hadis-hadis serta atsar-atsar yang menerangkan keutamaan dan kemuliaan Ahl al-Bait Rasulullah serta perintah untuk mencintai mereka tanpa ada hubung kait dengan ayat 23 surah al-Syura. Sebahagian daripada riwayat ini memang sahih manakala sebahagian lagi sangat dha‘if lagi tertolak sanadnya. Perkataan Ibn Thalhah yang mengeneralisasikan semuanya sebagai sahih adalah tidak tepat serta tidak boleh diterima bulat-bulat. Kita umat Islam memang dituntut mencintai Ahl al-Bait Rasulullah sebagaimana juga kita dituntut mencintai umat Islam seluruhnya. Hanya perintah kecintaan ini tidak terletak pada ayat 23 surah al-Syura.

Sekian pemerhatian dan pembetulan ke atas kenyataan Ibn Thalhah. Sekarang kita beralih kepada mengkaji maksud sebenar ayat 23 surah al-Syura.

Kedua: Mengkaji maksud sebenar ayat 23 Surah al-Syura.

Sepertimana yang penulis sebut di atas, riwayat yang menafsirkan ayat 23 surah al-Syura sebagai merujuk kepada 'Ali, Fathimah, Hasan dan Husain radhiallahu 'anhum sebenarnya tertolak dari sudut maksudnya. Berikut diterangkan sebab-sebab penolakan tersebut. Dengan mengkaji sebab-sebab ini, sekaligus kita juga akan dapat mengetahui maksud sebenar ayat 23 surah al-Syura, insya-Allah.

Penolakan Pertama: Dari Sudut Sejarah.

Surah al-Syura adalah surah yang diturunkan di Kota Mekah (Surah Makkiyyah) manakala ‘Ali dan Fathimah radhiallahu 'anhuma melangsungkan pernikahan mereka hanya setelah berhijrah ke Kota Madinah. Setepatnya pernikahan mereka berlangsung pada 1 Dzul-Hijjah tahun 2 Hijrah. Hasan dilahirkan pada 15 Ramadhan tahun 3 Hijrah manakala Husain dilahirkan pada 3 Sya’ban tahun 4 Hijrah.
[16]

Antara bukti surah al-Syura adalah surah Makkiyyah ialah ayat di permulaan surah:

Demikianlah Kami wahyukan kepadamu al-Qur’an dalam bahasa Arab supaya kamu memberi peringatan kepada “Umm al-Qura” (Kota Mekah) dan penduduk (negeri-negeri) sekelilingnya serta memberi peringatan (pula) tentang Hari berkumpul (Kiamat) yang tidak ada keraguan padanya. Segolongan masuk syurga dan segolongan masuk neraka. [al-Syura 42:07]
[17]

Lebih dari itu ayat 23 surah al-Syura bukan sahaja diturunkan di Mekah tetapi pada saat-saat awal dakwah Rasulullah kepada penduduk Mekah. Penjelasannya adalah seperti berikut:

Tidak pernah menjadi manhaj dakwah seluruh Rasul dan Nabi Allah di mukabumi ini untuk meminta balasan, upah atau imbalan dalam apa bentuk jua sama ada kebendaan atau kerohanian ke atas usaha dakwah mereka. Demikian adalah juga manhaj dakwah Rasulullah sebagaimana firman Allah:

Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku tidak meminta kepada kamu sebarang upah bagi apa yang aku sampaikan kepada kamu, selain daripada berimannya seseorang yang mahu mendapatkan jalan sampainya kepada keredaan Allah.” [al-Furqan 25:57]

Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku tidak meminta kepada kamu sebarang upah bagi apa yang aku sampaikan kepada kamu dan bukanlah aku dari orang-orang yang mengada-ngada.” [Shad 38:86]

Maka dengan itu hendaklah diketahui bahawa apabila Allah menurunkan ayat 23 surah al-Syura, yang diminta bukanlah balasan sesuatu yang baru tetapi lanjutan atau kesinambungan daripada apa yang sedia ada sejak sebelum itu. Maksud “lanjutan atau kesinambungan daripada apa yang sedia ada sejak sebelum itu”, adalah:

1. Sebelum Muhammad bin ‘Abd Allah diutus menjadi Rasul Allah, kaum Quraish sentiasa menyayangi, menghormati dan mengikuti beliau kerana wujudnya hubungan kekerabatan. Akan tetapi setelah baginda diutus menjadi Rasul Allah, mereka memutuskan hubungan kekerabatan ini dan enggan mengikuti risalah Islam yang baginda sampaikan, apatah lagi mengiktiraf baginda sebagai seorang Rasul Allah.

Maka Allah menurunkan ayat 23 surah al-Syura ini, seakan-akan dikatakan kepada mereka: “Jika kalian (Quraish) tidak mahu mengikuti risalah Islam kerana tidak mengiktiraf kerasulan aku, maka ikutilah risalah Islam kerana kecintaan dan kekerabatan kalian dengan aku.”
[18]

2. Berdasarkan hubungan kekerabatan ini juga, kaum Quraish saling memberi pertolongan dan perlindungan antara satu sama lain daripada apa-apa musibah dan ancaman musuh. Akan tetapi setelah Muhammad bin ‘Abd Allah diutus menjadi Rasul Allah, kaum Quraish tidak lagi memberi apa-apa pertolongan dan perlindungan. Pada waktu yang sama Rasulullah menghadapi pelbagai musibah dan ancaman daripada mereka dan selainnya (selain kaum Quraish) disebabkan risalah Islam yang baginda dakwahkan.

Maka Allah menurunkan ayat 23 surah al-Syura ini, bermaksud: “Janganlah disebabkan risalah Islam yang aku sampaikan ini, kalian (Quraish) menimpakan musibah dan ancaman kepada aku. Cukuplah aku dengan musibah dan ancaman daripada orang ramai selain kalian. Hendaklah kalian terus menolong dan melindungi aku atas dasar kecintaan dan kekerabatan antara aku dan kalian.” Sama-sama kita ketahui bahawa antara yang menolong dan melindungi Rasulullah ialah pakciknya – Abu Thalib.
[19]

Kedua-dua perkara di atas berlaku pada saat-saat awal dakwah Rasulullah kepada penduduk Kota Mekah. Hal ini tanpa ragu membuktikan bahawa ayat 23 surah al-Syura adalah ayat Makkiyyah, diturunkan jauh lebih awal sebelum terdirinya keluarga ‘Ali, Fathimah, Hasan dan Husain. Oleh itu tidak boleh dikatakan bahawa ayat 23 surah al-Syura ditujukan kepada mereka.

Penolakan Kedua: Dari Sudut Riwayat yang Sahih

Sebelum ini kita telah membahas riwayat-riwayat yang mengkhususkan 'Ali, Fathimah, Hasan dan Husain sebagai yang dirujuk oleh ayat 23 surah al-Syura. Tidak satu jua yang dapat dijadikan dalil atau pegangan. Di sebalik itu terdapat riwayat lain memiliki sanad yang sahih yang menerangkan maksud sebenar ayat 23 surah al-Syura. Ia berasal daripada Ibn ‘Abbas radhiallahu 'anhuma yang dikeluarkan oleh al-Bukhari rahimahullah di dalam kitab Shahihnya:

Ibn ‘Abbas radhiallahu 'anhuma berkata, dia pernah ditanya berkenaan firman Allah: Kecuali kasih sayang dalam kekeluargaan. [al-Syura 42:23]. Sa‘id bin Jubair (yang juga hadir pada saat itu) menjawab: “Kaum keluarga Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam.”
[20]

Ibn ‘Abbas lantas menjawab: “Engkau terburu-buru (wahai Sa‘id)! Sesungguhnya tidak ada satu suku jua daripada kaum Quraisy melainkan baginda Nabi shallallahu 'alaihi wasallam memiliki pertalian kekeluargaan dengan mereka.” Maka maksud ayat (Kecuali kasih sayang (al-Mawaddah) dalam kekeluargaan) adalah: “Kecuali bahawasanya dihubungkan antara aku dan antara kaum talian kekerabatan.”
[21]

Dalam riwayat di atas, Sa‘id bin Jubair, seorang tabi‘in, menafsirkan al-Qurba dalam ayat 23 surah al-Syura sebagai umum meliputi seluruh ahli keluarga Rasulullah. Namun Ibn ‘Abbas, seorang sahabat Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam yang telah didoakan oleh baginda menjadi pakar tafsiran al-Qur’an, membetulkan Sa‘id bin Jubair dengan menerangkan maksud al-Qurba sebagai mencakupi seluruh kaum kerabat Rasulullah daripada kalangan suku Quraisy.
[22]

Penolakan Ketiga: Dari Sudut Bahasa.

Struktur bahasa Arab ayat 23 surah al-Syura dengan sendirinya menunjukkan bahawa yang dimaksudkan ialah hubungan kekeluargaan antara sesama keluarga dan bukannya terhad kepada keluarga Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam sahaja. Ibn Jarir al-Thabari rahimahullah mengulas:
[23]

Di antara pendapat-pendapat ini
[24], yang paling unggul dan benar lagi mendekati firman Allah ini secara zahir adalah pendapat mereka yang mengatakan, ia bermaksud: Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku tidak meminta daripada kamu sesuatu upahpun (atas seruanku) wahai kaum Quraisy kecuali kalian mengasihi aku kerana talian kekerabatan aku dengan kalian dan menghubungkan silaturahim yang ada antara aku dengan kalian.

Lebih dari itu, saya berkata tafsiran
[25] ini adalah tafsiran yang paling unggul terhadap ayat tersebut kerana terdapat perkataan (في) dalam firman-Nya (إلا المودة في القربى).

Jika makna ayat adalah sepertimana pendapat yang mengatakan: “……kecuali kalian mengasihi keluarga aku” atau “kalian mendekatkan diri kepada Allah”, nescaya tidak perlu menggunakan perkataan (في) di dalam ayat ini kerana tidak diketahui (dari sudut kaedah bahasa Arab) penggunaannya dalam konteks tersebut.

Seandainya yang dimaksudkan ialah dua pendapat terakhir di atas, ayat yang diturunkan akan berbunyi: “Melainkan kasih sayang keluarga, yakni keluarga Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam yang diperintahkan untuk dikasihi” atau “melainkan kasih sayang terhadap keluarga” atau “yang mempunyai talian keluarga dengan penekanan kasih sayang dan berhubung dengan lebih dekat lagi.”

Justeru perkataan (في) dalam struktur ayat menjadi dalil yang menjelaskan bahawa maksud ayat ialah: “Melainkan kasih sayang dalam talian kekerabatan aku dengan kalian.”

Dari sudut bahasa Arab, jika yang dimaksudkan adalah keluarga Rasulullah sendiri maka perkataan al-Qurba tidak akan didahului dengan perkataan (في) sebagaimana dua ayat berikut:

Dan ketahuilah, bahawa apa sahaja yang kamu dapati sebagai harta rampasan perang, maka sesungguhnya satu perlimanya (dibahagikan) untuk (jalan) Allah, dan untuk Rasul-Nya, dan untuk kerabat (Rasulullah), dan anak-anak yatim……[al-Anfal 8:41]

Apa yang Allah kurniakan kepada Rasul-Nya (Muhammad) dari harta penduduk negeri, bandar atau desa dengan tidak berperang, maka adalah ia tertentu bagi Allah, dan bagi Rasulullah, dan bagi kaum kerabat (Rasulullah), dan anak-anak yatim…… [al-Hasyr 59:07]
[26]

Penolakan Keempat: Dari Sudut Manhaj Dakwah.

Andaikata dikhususkan perkataan al-Qurba dalam ayat 23 surah al-Syura kepada ‘Ali, Fathimah, Hasan dan Husain radhiallahu 'anhum, ia bererti Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam meminta balasan berbentuk keperibadian ke atas usaha dakwahnya. Hal ini pasti tidak benar, bahkan merupakan satu kehinaan atas kemuliaan risalah Islam yang diturunkan oleh Allah ‘Azza wa Jalla. Betapa tidak, sekian banyak orang apabila melakukan sesuatu pekerjaan meminta upah atau imbalan sehingga mencemari kemuliaan kerjanya itu. Hal yang sama tidak boleh disandarkan kepada Allah dan Rasul-Nya.

Berdasarkan semakan darjat hadis dan kajian maksud sebenar ayat 23 surah al-Syura, tertolaklah penghujahan Syi‘ah yang menggunakan ayat 23 surah al-Syura dalam persoalan kekhalifahan. Akan tetapi di sini ingin penulis tekankan sebuah poin penting kepada para pembaca yang dihormati sekalian, bahawa penolakan kita ke atas penghujahan Ayat al-Mawaddah tidaklah bererti penolakan kita ke atas kewajipan mencintai Ahl al-Bait radhiallahu 'anhum. Kita umat Islam memang dituntut mencintai Ahl al-Bait Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam sebagaimana juga kita dituntut mencintai umat Islam seluruhnya. Hanya perintah kecintaan ini tidak terletak pada ayat 23 surah al-Syura.

Kesimpulan mudah kepada para pembaca:

Ayat 23 surah al-Syura tidak merujuk mahupun memerintahkan kecintaan kepada ‘Ali, Fathimah, Hasan dan Husain.


Rujukan/Footnote:

[1] Terjemahan daripada al-Qur’an dan Terjemahannya yang diterbitkan oleh Yayasan Penyelenggara Penterjemah & Penafsir al-Qur’an, Indonesia.
[2] Nazhom al-Durr fi Tanasib al-Ayat wa al-Sur (نظم الدرر في تناسب الآيات والسور), jld. 6, ms. 623 (tafsir ayat 23 surah al-Syura).
[3] Edisi terjemahan oleh Abdur Rauf daripada edisi asal yang berjudul Ahl al-Bait: Maqamuhum wa Manhajuhum wa Masaruhum (Islamic Centre, Jakarta 2002) ms. 18 dengan beberapa suntingan bahasa oleh penulis.
[4] al-Jarh wa al-Ta’dil, jld. 3 ms. 49, biografi no: 220 dan Ibrahim bin Muhammad (Ibn al-‘Ajamiy) al-Kasyf al-Hathith – biografi no: 237.
[5] al-Shawa‘iq al-Muhriqah, jld. 2, ms. 487 (Bab Maksud firman Allah: Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku tidak meminta kepada kamu……al-Syura ayat 23)
[6] Kafi al-Syaf fi Takhrij Ahadits al-Kasyf – no: 988
[7] Ibn ‘Adiy – al-Kamil fi Dhu‘afa’ al-Rijal, jld. 7 ms. 157 biografi no: 1586
[8] Jld. 5, ms. 701 (tafsir ayat 23 surah al-Syura, riwayat ke 14).
Dalam pelbagai sumber rujukan Syi‘ah yang mengemukakan riwayat di atas sebagai hujah, mereka menukil terus kata-kata al-Suyuthi dari kitabnya al-Durr al-Mantsur tetapi mendiamkan keterangan al-Suyuthi bahawa sanad hadis adalah dha‘if.
[9] al-‘Uqaili – al-Dhu‘afa’ al-Kabir – biografi no: 747 (lihat juga catitan notakaki no: 475), Ibn Hajar al-‘Asqalani – Lisan al-Mizan – biografi no: 4238 dan Ahmad Syakir & Mahmud Syakir – Rijal Tafsir al-Thabari: Jarhan wa Ta’dilan – biografi no: 1225
[10] Syu‘aib al-Arna’uth (الأرنؤوط) & Basyar ‘Awwad Ma’ruf – Tahrir Taqrib al-Tahzib, biografi no: 1321
[11] al-Majruhin min al-Muhadditsin, biografi no: 426
[12] Limaza Akhtartu Mazhab al-Syi‘ah, ms. 79.
[13] Limaza Akhtartu Mazhab al-Syi‘ah, ms. 82.
[14] al-Dhu‘afa’ wa al-Matrukin – biografi no: 658. Matruk al-Hadits bermaksud: Ditinggalkan hadis-hadisnya kerana dia lazim berdusta dalam percakapannya. Dia bukan pencipta hadis, namun sifat lazim berdusta dalam bercakap menyebabkan wujud kemungkinan tokok tambah di dalam hadis-hadisnya.
[15] Ibrahim bin Muhammad (Ibn al-‘Ajamiy) al-Kasyf al-Hathith – biografi no: 840.
[16] Demikian menurut sumber Syi‘ah sendiri, lihat 14 Manusia Suci oleh Dewan Ulama’ Organisasi Dakwah Islam, Tehran (edisi terj. oleh Yudi N. Rahman; Pustaka Hidayah, Bandung 2000). al-Qasimi memiliki hujah-hujah yang kental dalam hal ini, sila rujuk kitab tafsirnya – Mahasin al-Takwil, jld. 8, ms. 363-366 (tafsir ayat 23 surah al-Syura).
[17] Terjemahan daripada al-Qur’an dan Terjemahannya yang diterbitkan oleh Yayasan Penyelenggara Penterjemah & Penafsir al-Qur’an, Indonesia. Lebih lanjut tentang tafsiran “Umm al-Qura” (Kota Mekah) dan penduduk sekelilingnya…… , lihat keterangan Quraish Shihab di dalam Tafsir al-Mishbah, jld. 12, ms. 459-460.
[18] Lebih lanjut lihat Jami’ li Ahkam al-Qur’an oleh al-Qurthubi, jld. 16, ms. 16 (tafsir ayat 23 surah al-Syura).
[19] Lebih lanjut lihat Adwa’ al-Bayan oleh al-Syanqithi, jld. 7, ms. 122 (tafsir ayat 23 surah al-Syura).
[20] Tafsiran Sa‘id bin Jubair ini juga dikeluarkan oleh al-Thabari dalam Jami’ al-Bayan – no: 23700 (tafsir ayat 23 surah al-Syura). Tafsiran yang seumpama juga diberikan oleh ‘Amr bin Syu‘aib sebagaimana yang dikeluarkan oleh al-Thabari di dalam Jami’ al-Bayan – no: 23701 dan al-Hafiz al-Haskani di dalam Syawahid al-Tanzil – no: 840, 841 & 843. Beberapa sumber Syi’ah turut menukil riwayat daripada Shahih al-Bukhari ini tetapi mereka berhenti setakat kata-kata Sa‘id bin Jubair.
[21] Sahih: Dikeluarkan oleh Ahmad, al-Bukhari, al-Tirmizi, al-Hakim dan lain-lain, lihat Shahih al-Bukhari – no: 4818 (Kitab al-Tafsir, Bab tafsir surah Ha Mim ‘Ain Sin Qaf). Al-Hafiz al-Haskani mengeluarkan tafsiran yang seumpama daripada Ikrimah dan Mujahid, lihat Syawahid al-Tanzil­ – no: 839 & 842.
[22] Sebahagian sumber Syi‘ah menolak tafsiran Ibn ‘Abbas di atas dengan alasan – Apakah manfaatnya meminta upah kecintaan dan hubungan kekerabatan dengan kaum Quraish yang enggan menerima dakwah Islam, bahkan menjadi musuh kepadanya? Penolakan Syi’ah ini dijawab dengan hujah bahawa ayat 23 surah al-Syura diturunkan pada saat-saat awal dakwah Rasulullah kepada warga Kota Mekah. Rujuk semula perbahasan dalam poin pertama di atas: Penolakan Pertama: Dari Sudut Sejarah.
[23] Jami’ al-Bayan, jld. 13, juz 25, ms. 35 (tafsir ayat 23 surah al-Syura).
[24] Ibn Jarir telah mengemukakan 3 pendapat berkenaan tafsiran ayat 23 ini dalam beliau membenarkan pendapat yang pertama. 3 pendapat tersebut ialah:

1 - Ia merujuk kepada hubungan kekeluargaan antara Rasulullah dan penduduk Kota Mekah, khasnya kaum Quraisy.
2 - Ia merujuk kepada keluarga Rasulullah sahaja, khasnya ‘Ali, Fathimah, Hasan dan Husain radhiallahu 'anhum.
3 - Ia merujuk kepada usaha mendekatkan diri kepada Allah dengan ketaatan dan amal salih.

[25] Di sisi generasi awal (Salaf), istilah al-Takwil bererti penafsiran, berbeza dengan generasi terkemudian (Khalaf) yang mana ia bermaksud “pengalihan maksud”. Lebih lanjut lihat buku penulis: Pembongkaran Jenayah Ilmiah Buku Salafiyah Wahabiyah (Jahabersa 2003), ms. 83-85.
[26] Lebih lanjut lihat penjelasan Jamal al-Din al-Qasimi rahimahullah (1332H) di dalam kitab tafsirnya Mahasin al-Takwil, jld. 8, ms. 363-366 (tafsir ayat 23 surah al-Syura)

Saturday, December 15, 2007

045 - 10 Tahun Syi'ah Telah Mempengaruhi PAS!! Benarkah???

10 Tahun Syi'ah Telah Mempengaruhi PAS!! Benarkah???

(Disertakan) Keratan Akhbar dari Akhbar Harakah:

Sekaligus membuktikan Pengaruh Syi'ah sudah menguasai PAS sejak 10 tahun lalu lagi...

Ini akhbar-nya;
(Sila klik pada gambar keratan akhbar ini bagi melihat size gambar yang lebih besar):


http://photos-510.friendster.com/e1/photos/01/51/7501510/1_832430630l.jpg

Antara Kandungannya (yg dapat disimpulkan):

1 - Akidah diperlekehkan (kesesatan aqidah tidak dipandang penting)

2 - Mungkinkah pemimpin PAS jahil t'hadap kesesatan Syi'ah?

3- Tidak tahukah mereka bahawa Syi'ah tu sesat?

4 - Kenapa fahaman/gerakan syi’ah dipertahankan?

5 - Iran (Republik Iran) Dinobatkan sebagai republik Islam

6 - Republik Iran didakwa sbg mengamalkan pemerintahan Islam?

7 - Negara Malaysia didakwa = kafir, sekular, & pelbagai lagi. Tetapi, Iran yg berfahaman syi’ah dianggap Islam pula?

8 - Ketahuilah, Hudud hanya dpt ditegakkan dengan aqidah yg benar

9 - Hudud tidak akan tertegak selagi umat Islam tidak memahami aqidah dengan benar.

Wallahu a’lam...