__________________________________________________________________________________

| Nawawi | Aqeedah | Fiqh | Anti Syirik | Galeri Buku | Galeri MP3 | U-VideOo |
__________________________________________________________________________________

Showing posts with label Syirik. Show all posts
Showing posts with label Syirik. Show all posts

Thursday, March 10, 2011

126 - Misteri Tuah dan Sial Di Hujung Jari?

Misteri Tuah dan Sial Di Hujung Jari

Oleh: Abu Numair Nawawi B. Subandi
http://bahaya-syirik.blogspot.com

Nombor-nombor tertentu dipercayai memiliki tuah dan sial tersendiri menurut tukang ramal

Contoh formula kiraan tarikh lahir bagi meramal karektor dan nasib seseorang individu

Contoh penggunaan simbol-simbol susunan bintang dalam ramalan horoskop/zodiak oleh masyarakat Greek kuno

Contoh kompas yang digunakan dalam amalan Feng Shui masyarakat cina

Masyarakat Cina mempercayai simbol-simbol haiwan dalam kalendar mereka memiliki rahsia tuah tersendiri

Suatu masa dahulu, masyarakat arab jahiliyyah memiliki tradisi gemar melepaskan burung dari sangkarnya sebelum memulakan sebarang perjalanan. Ini dilakukan bagi meramalkan perjalanan yang bakal ditempuh sama ada selamat (baik) atau sebaliknya.

Sekiranya burung yang dilepaskan terbang ke arah kanan, maka perjalanan yang akan ditempuh adalah baik. Sebaliknya jika burung terbang ke arah kiri, mereka dijangka mendapat nasib malang jika perjalanan diteruskan. Ini sama juga dengan apa yang berlaku baru-baru ini ketika demam Piala Dunia 2010, di mana mereka meramalkan kemenangan pasukan-pasukan bola tertentu dengan menggunakan sotong yang diberi nama Paul.

Begitu juga dengan masyarakat Greek kuno yang mempercayai susunan dan peredaran bulan, bintang, dan matahari mampu menterjemahkan karektor serta nasib-nasib mereka dalam kehidupan. Kepercayaan ini terus dianut oleh mereka bahkan kebanyakan manusia di seluruh dunia sehingga kini. Tidak terkecuali, sebahagian umat Islam turut terpengaruh lalu mempercayainya. Ini adalah apa yang dikenali sebagai ramalan horoskop atau susunan bintang yang dibahagikan menurut kumpulan tarikh tertentu kepada Aries, Taurus, Gemini, Cancer, Leo, dan seterusnya.

Manakala dalam masyarakat Cina kuno pula, mereka terkenal dengan ramalan tapak tangan dan feng shui. Ianya juga masih subur diamalkan sehingga kini.

Dalam Islam, amalan seperti ini adalah termasuk perbuatan meramal nasib yang disebut sebagai tathayyur atau thiyarah. Lebih spesifik, tatahayyur atau thiyarah ini merujuk kepada memiliki suatu keyakinan atau perasaan kesialan disebabkan oleh sesuatu. Sama ada berpunca dari apa yang didengari, dilihat, atau yang diketahui. Sebagai contoh apabila mendengar suara burung gagak berhampiran rumah, dipercayai ada orang terdekat tertentu yang akan meninggal dunia. Apabila melihat rama-rama memasuki rumah, tandanya ada tetamu sedang dalam perjalanan. Ini termasuklah juga dengan mempercayai tarikh atau bulan-bulan kelahiran dalam rangkaian kalendar tertentu mampu mendatangkan sial atau rezeki.

Dari aspek aqidah Islam, amalan tathayyur ini termasuk perbuatan dan kepercayaan syirik yang dilarang keras kerana ia bertindak menafikan dan menghancurkan unsur-unsur tauhid dari beberapa sisi. Antaranya, ia menghilangkan rasa tawakkal kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala. Lalu mengarahkan manusia kepada sebaliknya dengan sentiasa bergantung harap kepada selain Allah. Keduanya, ia mengheret manusia yang mempercayainya kepada sesuatu yang bukan realiti sama ada khurafat, takhayyul, atau lainnya dari sesuatu yang tidak pasti. Sehingga hidup mereka akhirnya dikawal dan ditentukan oleh sesuatu yang tidak wujud. Kemuncaknya, aspek keimanan terhadap qadha dan qadar Allah pun dihancur-luluhkan.

Orang yang selalu bergantung harap kepada ramalan nasib seperti tathayyur ini kebanyakan jiwa mereka akan merasa tersiksa, malas, gembira tidak tentu pasal, khayal, tertekan, sempit, gelisah, dan mudah terkesan dengan apa jua yang berlaku di sekitarnya. Sehingga apabila sampai peringkat kronik, mengakibatkan kemurungan, ketakutan, hilang kebahagian hidup, atau mungkin akhirnya hilang kewarasan.

Pada hari ini, perkara yang sama terus berlaku. Selain asas amalan mempercayai tuah dan nasib tertentu melalui praktik seperti feng shui, ramalan tapak tangan, horoskop, tuah nombor tertentu, warna-warna, dan bulan-bulan kelahiran, ia kini dikembangkan pula dengan pelbagai aplikasi canggih dalam rangkaian maya (internet). Ini termasuklah melalui khidmat sms, iklan di media-media elektronik, aplikasi facebook, jaringan laman-laman sosial, dan website-website tertentu. Dengan adanya aplikasi-aplikasi moden seperti ini, peranan tukang ramal, tukang tilik, pawang, bomoh, dan dukun menjadi sedikit rehat dan santai. Masyarakat tidak lagi perlu keluar rumah mendatangi mereka, sebaliknya aktiviti menilik nasib boleh dicapai semudah menggerakkan hujung jari melalui aplikasi sms, telefon, komputer, dan internet.

Walaupun demikian, hukumnya tetap sama. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah menegaskan:

مَنْ أَتَى عَرَّافًا فَسَأَلَهُ عَنْ شَيْءٍ لَمْ تُقْبَلْ لَهُ صَلَاةٌ أَرْبَعِينَ لَيْلَةً

“Sesiapa sahaja yang mendatangi tukang ramal, lalu bertanya kepadanya tentang sesuatu, maka solatnya tidak akan diterima selama empat puluh malam.” (Hadis Riwayat Muslim, 11/273, no. 4137)

Fahamilah bahawa apabila bertanya (termasuk untuk suka-suka) sahaja sudah diancam dengan ditolaknya amalan solat, apatah lagi mempercayainya?

Dari itu, berhati-hatilah dengan apa jua konsep ramalan seperti ini. Kerana ia termasuk kategori perbuatan syirik yang mampu meleburkan segala bentuk nilai amalan kebaikan yang pernah kita usahakan. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

وَلَوْ أَشْرَكُوا لَحَبِطَ عَنْهُمْ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

“Jika mereka mensyirikkan Allah, nescaya lenyaplah amalan-amalan kebaikan yang telah mereka usahakan.” (Surah al-An’am, 6: 88)

Lebih perlu waspada adalah apabila sebaran idea-idea ramalan ini kini mula diolah dengan bahasa-bahasa bombastik dan alasan-alasan seakan ilmiah menggunakan nama agama. Sebahagian besar dari umat Islam begitu mudah terpengaruh dengan bentuk-bentuk ramalan seperti ini mungkin kerana kurangnya pendedahan dan pemahaman terhadap konsep aqidah yang benar. Tambahan, perkara ini terus tersebar tanpa sebarang sekatan.

Kebanyakan mereka yang mempopularkan idea-idea ramalan moden ini pula sering menggunakan alasan dengan data-data statistik dan kiraan-kiraan matematik menurut formula tertentu. Dilakukan pula kononnya oleh pengkaji bergelar Dato’, Dr., Professor, dan Phd.

Ini semua amat diragui bagi mereka yang memiliki kematangan dalam berfikir dan akal yang sihat. Statistik bukanlah data yang benar untuk menentukan sesuatu secara umum. Dalam masa sama, sampel data yang digunakan pun tidak jelas kewujudannya dan entah dari mana. Bagaimana kajian ini dijalankan juga tidak ada. Jadi, kenapa begitu mudah untuk kita menerima dan meyakininya? Gelaran Dato’, Dr., Prof., dan Phd. itu pula masih perlu dinilai dari pelbagai sudut, sama ada agama atau sains itu sendiri.

Demikianlah keadaannya, konsep-konsep ramalan moden ini saling tidak tumpah dengan apa yang dilakukan oleh nenek-moyang mereka dari kalangan masyarakat arab jahiliyyah. Begitu juga sebagaimana apa yang terdapat dalam tradisi kuno Greek dan Cina. Cuma ianya diolah dan dikemaskini dengan aplikasi moden. Ideanya tetap sama.

Peliknya, kenapa ramalan yang dianggap pada mereka ini sebagai berdasarkan kajian tidak pernah dilakukan ke atas sampel haiwan tertentu, sebaliknya hanya ditujukan untuk manusia? Cubalah kepada sampel ayam atau kambing sebagai contoh. Bukankah ianya lebih mudah dalam memahami nasib atau karektor seseekor mahu pun sekumpulan ayam atau kambing tersebut? Yang penulis fahami, haiwan-haiwan ternakan ini bila cukup bulan saja telah ditetapkan jadualnya untuk sama ada suntikan, pemakanan, sembelihan, mahupun agihan!

Bukankah di sini jelas menunjukkan bahawa methodologi ramalan nasib ini kosong nilai ilmiah, bahkan miskin dari aspek sains dan agama sekaligus!

Maka, jauhilah amalan-amalan seperti ini. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

مَنْ أَتَى كَاهِنًا، أَوْ عَرَّافًا، فَصَدَّقَهُ بِمَا يَقُولُ، فَقَدْ كَفَرَ بِمَا أُنْزِلَ عَلَى مُحَمَّدٍ

“Sesiapa yang mendatangi seseorang tukang ramal atau dukun, kemudian membenarkan apa yang ia katakan, maka orang tersebut telah kafir dengan apa yang diturunkan kepada Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.” (Hadis Riwayat Ahmad, Ibnu Majah, ath-Thabrani, al-Baihaqi, dan al-Hakim. Dinilai sahih oleh al-Hakim, adz-Dzahabi, al-Haitsami, dan al-Albani)

Suatu yang lucu, sebahagian mereka beralasan dengan bolehnya melakukan ramalan kaji cuaca. Adapun dalam persoalan ini, masih perlu dilihat dengan dua keadaan. Iaitu ramalan dari sudut ramalan semata-mata tanpa kajian saintifik yang absah, atau dengan jangkaan tertentu dengan berasaskan methode kajian saintifik yang ilmiah. Sekiranya ia hanya semata-mata ramalan sebagaimana dilakukan oleh tukang ramal, maka hukumnya tetap tidak berubah. Sebaliknya, sekiranya ramalan ini merujuk kepada kaedah hisab dan takwim berdasarkan kajian sains pergerakan awan, perubahan musim, suhu semasa, geografi, hujan, terik matahari, dan seumpamanya, maka ia boleh diterima dengan akal yang sihat. Perkara ini boleh dirujuk sendiri kepada Jabatan Meteorologi berkaitan. Lebih-lebih lagi, ilmu ini adalah termasuk pengetahuan sains umum serta memang terdapat petunjuknya dalam al-Qur’an dan as-Sunnah.

Maka, cukupkanlah diri kita sebagai umat Islam di atas agama-Nya, tulusnya doa, kekuatan usaha, dan buah tawakkal sebagaimana anjuran syari’at. Ini semua mampu difahami dengan mengimani konsep rububiyyah, uluhiyyah, al-asma’ wa ash-shifat, serta qadha dan qadar Allah yang benar. Sayangilah aqidah, amalan, dan agama kita. Jangan biarkan diri kita diperbodohkan dengan kepercayaan-kepercayaan karut seperti ini. Wallahu a’lam.

Thursday, July 30, 2009

099 - Bahaya Syirik

Bahaya Syirik

http://bahaya-syirik.blogspot.com

Perbuatan syirik menyebabkan kerosakan dan bahaya yang besar, sama ada dalam kehidupan peribadi secara individu mahupun masyarakat. Adapun kerosakan dan bahaya yang paling menonjol adalah:

1 - Syirik merendahkan taraf kemanusiaan:

Syirik menghinakan kemuliaan manusia, menurunkan darjat dan martabatnya. Kerana Allah Subhanahu wa Ta’ala menjadikan umat manusia sebagai khalifah di muka bumi. Allah memuliakannya, mengajarkannya dengan nama-nama, lalu menundukkan baginya apa yang ada di langit dan di bumi semuanya. Allah menjadikannya penguasa di muka bumi ini.

Tetapi kemudian dia tidak mengetahui darjat dan martabat dirinya. Lalu menjadikan sebahagian dari makhluk Allah sebagai tuhan dan sembahan. Ia tunduk dan menghinakan diri padanya.

Pelbagai kehinaan tersebut, hingga hari ini amat banyak dapat kita saksikan. Ratusan juta orang di negara kita menyembah makhluk lain seperti haiwan, pokok dan matahari yang diciptakan oleh Allah bagi manfaat kehidupan manusia, seperti bagi tujuan memakan dagingnya, membantu pekerjaan, atau seumpamanya.

Sebahagian umat Islam mendatangi dan tinggal di kawasan-kawasan perkuburan untuk memohon pelbagai keperluan mereka. Padahal, orang-orang yang mati itu juga hamba Allah seperti mereka. Tidak berupaya mendatangkan manfaat atau bahaya untuk mereka sendiri.

Sebagai contoh, kelompok Syi’ah yang menyembah kubur Al-Husain bin Ali misalnya, penghuni kubur itu sendiri tidak mampu menyelamatkan dirinya dari pembunuhan ke atas dirinya. Lalu bagaimana mungkin kemudian ia akan dapat menolak bahaya yang menimpa orang lain dan mendatangkan manfaat kepadanya?

Orang-orang yang meninggal itu sendiri amat memerlukan doa dari orang-orang yang masih hidup. Kita mendoakan mereka, dan bukan sebaliknya kita yang berdoa dan memohon kepadanya, menjadikannya sebagai sembahan selain Allah. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

وَالَّذِينَ يَدْعُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ لا يَخْلُقُونَ شَيْئًا وَهُمْ يُخْلَقُونَ (٢٠)أَمْوَاتٌ غَيْرُ أَحْيَاءٍ وَمَا يَشْعُرُونَ أَيَّانَ يُبْعَثُونَ

Maksud: “Dan berhala-berhala yang mereka seru selain Allah, tidak dapat membuat sesuatu apapun, sedang berhala-berhala itu (sendiri) dibuat orang. (Berhala-berhala) itu benda mati, tidak hidup, dan berhala-berhala itu tidak mengetahui, bilakah pe-nyembah-penyembahnya akan dibangkitkan.” (Surah an-Nahl, 16: 20-21)

وَمَنْ يُشْرِكْ بِاللَّهِ فَكَأَنَّمَا خَرَّ مِنَ السَّمَاءِ فَتَخْطَفُهُ الطَّيْرُ أَوْ تَهْوِي بِهِ الرِّيحُ فِي مَكَانٍ سَحِيقٍ

Maksud: “Sesiapa mempersekutukan sesuatu dengan Allah maka adalah dia seolah-olah jatuh dari langit lalu disambar oleh burung, atau diterbangkan angin ke tempat yang jauh.” (Surah al-Hajj, 22: 31)

2 - Syirik adalah sarang khurafat dan kebatilan:

Kerana orang yang mempercayai adanya sesuatu yang berupaya memberi kesan (bantuan pertolongan (memperkenankan doa)) selain Allah di alam ini, sama ada berupa bintang, jin, arwah (ruh) atau hantu bererti dia telah menjadikan akalnya bersedia menerima segala bentuk khurafat (takhayul), serta mempercayai para dajjal (pendusta).

Kerana itu, dalam sebuah masyarakat yang akrab dengan kemusyrikan, “barang dagangan” (tangkal) dukun, tukang nujum, ahli sihir dan sejenisnya menjadi sangat laku (laris). Sebab mereka mendakwakan dirinya mampu mengetahui ilmu ghaib, yang pada hakikat sebenarnya tidak ada seorang pun mengetahuinya melainkan Allah. Di samping itu, dalam masyarakat seperti ini, mereka sudah tidak lagi menghiraukan persoalan ikhtiar dan mencari sebab, serta akan meremehkan sunnah kauniyah (hukum alam).

3 - Syirik adalah kezhaliman yang sangat besar:

Yaitu zalim terhadap realiti. Sebab hakikat yang paling agung adalah “Tidak ada Tuhan (yang berhak di sembah dengan benar) melainkan Allah”, Tidak ada Rabb (pengatur) selain Allah, tidak ada Penguasa selain-Nya.

Ada pun orang-orang yang musyrik, mereka mengambil selain Allah sebagai Tuhan, serta mengambil selain-Nya sebagai penguasa. Syirik merupakan kezaliman dan penganiayaan terhadap diri sendiri. Kerana seorang musyrik menjadikan dirinya sebagai hamba bagi makhluk sesamanya, bahkan mungkin lebih rendah dari dirinya. Padahal Allah menjadikannya sebagai makhluk yang merdeka.

Syirik juga merupakan penganiayaan terhadap orang lain, sebab orang yang disekutukan dengan Allah telah ia aniaya, lantaran ia memberikan hak padanya, apa yang asal sebenarnya bukan miliknya.

4 - Syirik sumber dari segala ketakutan dan kecemasan:

Orang yang akalnya menerima pelbagai jenis khurafat dan mempercayai kebatilan akan diliputi ketakutan dari pelbagai arah. Sebab ia menyandarkan dirinya pada banyak tuhan. Padahal tuhan-tuhan itu lemah dan tidak memiliki kuasa untuk memberi manfaat atau menolak bahaya bagi dirinya.

Kerana itu, dalam sebuah masyarakat yang akrab dengan kemusyrikan, putus-asa dan ketakutan tanpa sebab adalah sesuatu hal yang lumrah dan amat banyak berlaku. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

سَنُلْقِي فِي قُلُوبِ الَّذِينَ كَفَرُوا الرُّعْبَ بِمَا أَشْرَكُوا بِاللَّهِ مَا لَمْ يُنَزِّلْ بِهِ سُلْطَانًا وَمَأْوَاهُمُ النَّارُ وَبِئْسَ مَثْوَى الظَّالِمِينَ

Maksud: “Akan Kami masukkan ke dalam hati orang-orang kafir rasa takut, disebabkan mereka mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang Allah sendiri tidak menurunkan keterangan tentang itu. Tempat kembali mereka ialah Neraka, dan itulah seburuk-buruk tempat tinggal bagi orang-orang yang zalim.” (Surah Ali Imran, 3: 151)

5 - Syirik menjadikan manusia malas melakukan pekerjaan yang bermanfaat:

Kerana syirik mengajarkan kepada para pengikutnya untuk menyerahkan kepada para perantara, sehingga mereka meninggalkan amal soleh. Sebaliknya mereka melakukan perbuatan dosa, dengan i'tiqad bahawa mereka akan mendapat syafa’at (pertolongan) dari sisi Allah. Dan inilah yang merupakan kepercayaan orang-orang Arab jahiliyah sebelum kedatangan Islam. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman tentang mereka:

وَيَعْبُدُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ مَا لا يَضُرُّهُمْ وَلا يَنْفَعُهُمْ وَيَقُولُونَ هَؤُلاءِ شُفَعَاؤُنَا عِنْدَ اللَّهِ قُلْ أَتُنَبِّئُونَ اللَّهَ بِمَا لا يَعْلَمُ فِي السَّمَاوَاتِ وَلا فِي الأرْضِ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى عَمَّا يُشْرِكُونَ

Maksud: “Dan mereka menyembah selain daripada Allah apa yang tidak dapat mendatangkan kemudharatan kepada mereka dan tidak (pula) kemanfaatan, dan mereka berkata, “Mereka itu adalah pemberi syafaat kepada kami di sisi Allah”. Katakanlah, “Apakah kamu mengkhabarkan kepada Allah apa yang tidak diketahui-Nya sama ada di langit dan tidak (pula) di bumi”. Mahasuci Allah dan Maha Tinggi dari apa yang mereka persekutukan (itu).” (Surah Yunus, 10: 18)
Orang-orang Kristian yang melakukan pelbagai bentuk kemungkaran turut mempercayai bahawa al-Masih telah menghapuskan dosa-dosa mereka, ketika ia disalib. Demikian menurut anggapan mereka.

Demikian pula sebahagian umat Islam, mereka meninggalkan pelbagai kewajiban, melakukan pelbagai bentuk perbuatan haram, tetapi mereka tetap berhajat kepada syafaat Rasul mereka agar dapat memasuki Syurga. Padahal Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam kepada puterinya sendiri berkata:


يَا فَاطِمَةُ بِنْتَ مُحَمَّدٍ اشْتَرِيَا أَنْفُسَكُمَا مِنْ اللَّهِ لَا أَمْلِكُ لَكُمَا مِنْ اللَّهِ شَيْئًا سَلَانِي مِنْ مَالِي مَا شِئْتُمَا

Maksud: “Wahai Fatimah binti Muhammad, mintalah dari hartaku sekehendakmu, (tetapi) aku tidak bermanfaat sedikitpun bagimu di sisi Allah.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, Shahih al-Bukhari, (بَاب جَهْلِ الْعَرَبِ), 11/354, no. 3264)

6 - Syirik menyebabkan kekal abadi di dalam Neraka:

Syirik menyebabkan hidup menjadi sia-sia dan hampa. Manakala di akhirat, menyebabkan pelakunya tinggal abadi di dalam Neraka. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

إِنَّهُ مَنْ يُشْرِكْ بِاللَّهِ فَقَدْ حَرَّمَ اللَّهُ عَلَيْهِ الْجَنَّةَ وَمَأْوَاهُ النَّارُ وَمَا لِلظَّالِمِينَ مِنْ أَنْصَارٍ

Maksud: “Sesungguhnya orang yang mempersekutukan (sesuatu dengan) Allah maka pasti Allah mengharamkan kepadanya Syurga, dan tempatnya ialah Neraka, tidaklah bagi orang-orang zalim itu seorang penolong pun.” (Surah al-Maa’idah, 5: 72)

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

مَنْ مَاتَ وَهْوَ يَدْعُو مِنْ دُونِ اللَّهِ نِدًّا دَخَلَ النَّارَ

Maksud: “Sesiapa yang meninggal sedangkan dia berdoa (memohon) kepada selain Allah sebagai tandingan (sekutu), niscaya dia masuk Neraka.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, Shahih al-Bukhari, 13/433, (كِتَاب تَفْسِيرِ الْقُرْآنِ), no. 4137)

7 - Syirik memecah belah umat:

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

مُنِيبِينَ إِلَيْهِ وَاتَّقُوهُ وَأَقِيمُوا الصَّلاةَ وَلا تَكُونُوا مِنَ الْمُشْرِكِينَ (٣١)مِنَ الَّذِينَ فَرَّقُوا دِينَهُمْ وَكَانُوا شِيَعًا كُلُّ حِزْبٍ بِمَا لَدَيْهِمْ فَرِحُونَ

Maksud: “Dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang mempersekutukan Allah, iaitu orang-orang yang memecah belah agama mereka dan mereka menjadi beberapa golongan. Setiap golongan merasa bangga dengan apa yang ada pada golongan mereka.” (Surah ar-Ruum, 30: 31-32)

Kesimpulan:

Semua pembahasan di atas, memberikan kejelasan kepada kita bahawa syirik adalah sebesar-besar perkara yang wajib kita jauhi. Kita harus bersih dari perbuatan syirik. Takutlah jika kita terjerumus ke dalamnya, kerana ia adalah dosa yang paling besar. Di samping itu, syirik juga akan menghapuskan pahala amal-amal soleh yang kita lakukan. Bahkan amalan yang terkadang bermanfaat untuk kepentingan umat dan kemanusiaan.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

وَقَدِمْنَا إِلَى مَا عَمِلُوا مِنْ عَمَلٍ فَجَعَلْنَاهُ هَبَاءً مَنْثُورًا

Maksud: “Dan Kami hadapi segala amal yang mereka kerjakan, lalu Kami jadikan amal itu (bagaikan) debu yang berterbangan.” (Surah al-Furqaan, 25: 23)

Wednesday, June 10, 2009

095 - Apakah Ini Kepercayaan Seorang Manusia Yang Mahu Dinobat Sebagai Pemimpin Islam?

Apakah Ini Kepercayaan Seorang Manusia Yang Mahu Dinobat Sebagai Pemimpin Islam?

http://bahaya-syirik.blogspot.com/

Dirujuk daripada Blog Anwar Ibrahim, http://anwaribrahimblog.com/2009/02/09/selamat-menyambut-hari-thaipusam/ beliau dipetik sebagai berkata:

---@@@---

"Thaipusam diraikan oleh penganut agama Hindu bersempena lahirnya Dewa Murugan, juga apabila ibunya Dewi Parvati memberikan lembing buat menghapus kejahatan yang dikenal sebagai Soorapadman.

Kejahatan dan kebejatan Soorapadman semakin hari semakin melampau kerana dia merupakan raksasa yang berkuasa. Ini membuatkan Siva mengarahkan Murugan; yang terkenal cekal, tabah dan bijak mengaalahkan rakasasa tersebut.

Moga kita dapat mengambil sedikit iktibar dari kisah ini dan terus memperkukuhkan tekad buat mencipta Malaysia yang bebas merdeka dari rasuah dan kezaliman. Selamat menyambut perayaan Thaipusam kepada seluruh penganut agama Hindu di Malaysia."

ANWAR IBRAHIM
---@@@---


Juga, perkataan Dato' Sri Nizar (minit ke 6:30) , yang mengajak meraikan dan sama-sama merayakan perayaan Thaipusam.



Wahai umat Islam, Bukalah mata, bukalah minda, selamilah jiwa nuranimu... Adakah kita mengerti hakikat seorang Muslim yang sejati itu bermula dari dasar aqidahnya yang murni?

Tidak sekali-kali merestui kesyirikan dan kekafiran!

Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman (maksudnya):

"Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai orang-orang kafir! Aku tidak sembah apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak sembah apa yang aku sembah. Dan aku tidak pernah menjadi penyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak pernah menjadi penyembah apa yang aku sembah. Bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku." (Surah al-Kafirun, 109: 1-6)

"Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa dia memberi nasihat kepadanya: "Wahai anakku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik (menyekutukan Allah) itu adalah sebesar-besar kezaliman." (Surah Luqman, 31: 13)

Lebih lanjut, klik di sini.

094 - Gambar Atau Patung: Dua-dua Tidak Boleh Menurut Dalilnya

Gambar Atau Patung: Dua-dua Tidak Boleh Menurut Dalilnya


Tidak sewajarnya timbul salah-menyalahkan. Kembalikanlah kepada Dalil! Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman (maksudnya):

"Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul (Nya), dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Quran) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya." (Surah an-Nisaa', 4: 59)

Tentang Gambar/Patung

Orang yang paling mendapat siksa pada hari kiamat adalah para pembuat gambar (pelukis/pengukir). (Hadis Riwayat al-Bukhari dalam Kitab Pakaian (al-Libas), 5959. Muslim dalam bab yang sama, 2109)

Daripada ‘Aun bin Abu Juhaifa, Ayahnya menyatakan, “Nabi melarang mengambil duit jual beli anjing dan darah, melarang kerja-kerja membuat tatoo dan mentatoo diri, melarang menerima atau memberi riba, dan juga mencela pembuat gambar”. (Hadis Riwayat al-Bukhari, Kitab Jual Beli (3/34), no. 299)

Daripada ‘Aisyah dia menjelaskan, “Aku membeli sebuah bantal bergambar. Apabila Rasulullah melihat ia, dia berdiri di pintu dan tidak terus masuk ke rumah. Aku menyedari air mukanya berubah kelihatan seperti ada sesuatu yang tidak disukainya. Aku berkata, “Wahai Rasulullah, aku bertaubat kepada Allah dan Rasul-Nya, (tolong beritahu aku) apakah dosa ku?” Rasulullah berkata, “Ada apa dengan bantal ini?” Aku menjawab, “Aku membelinya untuk engkau agar dapat duduk dan bersandar padanya”. Rasulullah berkata, “Pembuat gambar ini akan di-azab pada hari kiamat.” Rasulullah menambah, “Malaikat (pembawa rahmat) tidak akan masuk ke dalam rumah yang di dalamnya terdapat gambar”.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, Kitab Jual Beli (3/34), no. 318)

Daripada Said bin Abu al-Hasan, “Ketika saya bersama Ibnu ‘Abbas, seorang lelaki datang dan berkata, “Wahai Ibnu Abbas, pendapatan (periuk nasi) saya adalah dari hasil kerja tangan saya dan kerja saya adalah membuat gambar-gambar ini”. Ibnu ‘Abbas berkata, “Saya sekadar memberi tahu apa yang saya dengar dari Rasulullah. Saya mendengar beliau bersabda, “Barang siapa membuat gambar dia akan di-azab oleh Allah sehingga dia mampu menghidupkannya dan sesungguhnya dia tidak akan berupaya untuk menghidupkannya”. Mendengarkan hal ini, lelaki itu menarik nafas panjang (mengeluh) dan mukanya menjadi pucat. Ibnu ‘Abbas berkata padanya, “Jika kamu masih tetap mahu untuk membuat gambar-gambar, saya menasihatkan agar kamu membuat gambar-gambar pokok (tumbuh-tumbuhan) dan sebarang gambar yang bukan berupa dari makhluk bernyawa”.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, Kitab Jual Beli (3/34), no. 428)

Daripada Ibnu ‘Abbas, “Aku mendengar Muhammad berkata, “Barang siapa membuat gambar di dunia ini, dia akan dipersoalkan serta diminta supaya memberikan nyawa kepada apa yang dilukiskannya pada hari kiamat nanti, tetapi dia tidak akan mampu melakukannya”.” (Hadis Riwayat al-Bukhari Kitab Pakaian (7/72), no. 846)

Lebih lanjut, sila klik di Sini.

Sunday, November 23, 2008

078 - Syiriknya Selawat Syifa’ & Selawat Nariyah

Syiriknya Selawat Syifa’ & Selawat Nariyah

http://bahaya-syirik.blogspot.com

Selawat Syifa’:

اَللَّهُمَّ صَلِ عَلىَ مُحَمَّدٍ طِبِّ القُلُوْبِّ وَدَوَاِئهَا، وَعَافِيَةِ اْلأَبْدَانِ وَشِفَاِئهَا، وَنُوْرِاْلأَبصَارِ وَضِيَاِئهَا، وَعَلىَ أَلِهِ وَسَلَّمَ

Maksudnya: “Ya Allah, berikanlah selawat dan salam kepada Muhammad, yang memberi penawar dan pengubat hati (kalbu), yang memberi kesihatan dan penyembuhan badan, cahaya dan yang menerangkan pandangan mata. Juga ke atas keluarga beliau.”

Selawat ini banyak diamalkan oleh banyak tokoh-tokoh perubatan dan bomoh-bomoh tertentu di dalam negara kita (Malaysia) mahu pun di luar negara. Ia digunakan sebagai zikir atau bentuk doa untuk mengubati/merawat individu tertentu yang mengalami masalah kesihatan tertentu.

Ianya juga sangat popular malahan sehingga dinasyidkan dan dilagukan sebagai zikir-zikir harian. Malangnya, kebanyakan dari mereka (yang mengamalkannya) hanya tahu melafazkan dan melagukannya. Namun tidak mahu mengambil tahu berkenaan makna dan kesyirikan yang terkandung di dalamnya.

Lebih malang lagi, selawat tersebut tidak pernah diajarkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Salam melalui mana-mana riwayat hadis, apatah lagi tidak juga diamalkan oleh sahabat-sabahat Rasulullah sendiri. Maka, ianya adalah tergolong di dalam bentuk selawat-selawat ciptaan dan rekaan manusia berdasarkan akal dan nafsu.

Jika kita perhatikan satu persatu rangkap perkataan di dalam selawat tersebut, terdapat penyandaran sifat yang tidak selayaknya kepada Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Salam iaitu dengan sifat “yang memberi penawar”, “pengubat hati (kalbu)”, “yang memberi kesihatan”, “penyembuhan badan”, dan “yang menerangkan pandangan mata”. Padahal kita mengetahui bahawa yang mampu menyembuhkan dan memberi kesihatan badan, yang mampu mengubati hati, dan yang mampu menerangkan pandangan mata adalah hanya Allah Subhanahu wa Ta’ala semata-mata. Berkenaan sifat yang dinisbahkan (atau disandarkan) kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Salam tersebut, beliau sendiri tidak mampu berbuat apa-apa, apatah lagi untuk orang lain.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman (maksudnya):

“Katakanlah (Wahai Muhammad): “Aku tidak berkuasa memberi manfaat kepada diriku dan tidak (pula) menolak kemudharatan kecuali yang dikehendaki Allah”.” (Surah al-A’raaf, 7: 188)

“...dan apabila aku sakit, Dialah (Allah) yang menyembuhkan aku,” (Surah asy-Syu’araa, 26: 80)

“Barangsiapa yang tidak diberi cahaya (petunjuk) oleh Allah, maka tidaklah dia memiliki cahaya sedikit pun.” (Surah an-Nuur, 24: 40)

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa Salam sendiri bersabda (maksudnya):

“Janganlah kamu melampaui batas dengan mengagung-agungkan aku sebagaimana kaum Nasrani telah melakukannya terhadap Isa anak Mariam. Sesungguhnya tiadalah aku melainkan seorang hamba, maka katakanlah, “(Muhammad) Hamba dan Pesuruh Allah”.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 3445, daripada ‘Umar al-Khatthab radhiyallahu ‘anhu)

Syaikh Muhammad Jamil Zainu berkata:

“Sesungguhnya yang menyembuhkan dan yang memberi kesihatan badan, hati, dan mata hanyalah Allah sahaja. Adapun Rasulullah tidak memiliki kekuasaan untuk memberi manfaat bagi dirinya dan tidak pula untuk selainnya. Bentuk selawat ini (selawat Syifa’ di atas) menyalahi firman Allah Subhanahu wa Ta’ala (maksudnya),

“Katakanlah (Muhammad): “Aku tidak berkuasa mendatangkan kemudharatan dan tidak pula kemanfaatan kepada diriku, melainkan apa yang dikehendaki Allah...” (Surah Yunus, 10: 49) (Rujuk: Fadhilat Selawat Kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, m/s. 113-114, Mubarak Mahfudh Bamuallim. Juga al-Firqatun Najiyah, m/s. 192-193, Syaikh Muhammad Jamil Zainu)

Selawat Nariyah:

اَللَّهُمَّ صَلِّ صَلاَةً كَامِلَةً، وَسلِّمْ سَلاَمًا تَامَّا عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ الَّذِيْ تَنْحَلُ بِهِ الْعُقَدُ، وَتَنْفَرِجُ بِهِ الْكُرَبُ، وَتُقْضَ بِهِ الْحَوَاِئجُ، وَتُنَالُ بِهِ الرَّغَائِبُ، وَحُسْنُ الْخَوَاتِيْمِ وَيُسْتَسْقَى الْغَمَامُ بِوَجْهِهِ الْكَرِيْمِ، وَعَلىَ أَلِهِ وَصَحْبِهِ عَدَدَ كُلِّ مَعْلُوْمٍ لَكَ

Maksudnya: “Ya Allah, berikanlah selawat dan keselamatan yang sempurna kepada penghulu kami, Muhammad, yang dengannya akan terlerai pertikaian hidup, hilang segala kesedihan, dipenuhi segala apa yang diperlukan, tercapai segala keinginan dan hasil yang baik (husnul Khatimah), tersiramilah hati yang gersang dengan perantaraan wajahnya yang mulia. Dan semoga dilimpahkan pula kepada keluarganya, para sahabatnya sebanyak ilmu-Mu.”

Jika kita benar-benar memahami akan hakikat kebenaran, telah jelas bahawa aiqdah tauhid yang disebutkan di dalam al-Qur’an dan apa yang diajarkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Salam mewajibkan supaya setiap Muslim meyakini bahawa hanya Allah yang mampu menyelesaikan (meleraikan) pertikaian di dalam kehidupan, menghilangkan segala kesusahan, yang memenuhi segala bentuk keperluan, dan memperkenankan permohonan orang yang berdoa kepada-Nya.

Seseorang Muslim tidak dibenarkan berdoa kepada selain Allah. Walaupun kepada para Malaikat dan Nabi yang dekat dengan Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Allah berfirman (maksudnya),

“Katakanlah: “Panggillah mereka yang kamu anggap (tuhan) selain Allah, sebenarnya pada hakikatnya mereka tidak memiliki sebarang kuasa untuk menghilangkan bahaya daripadamu dan tidak pula memindahkannya”. Sesungguhnya yang mereka seru itu, mereka sendiri sentiasa mencari jalan agar mereka menjadi yang paling dekat (kepada Allah), mengharapkan rahmat-Nya dan takut akan azab-Nya. Sesungguhnya azab Tuhanmu adalah suatu yang (harus) ditakuti.” (Surah al-Isra’, 17: 56-57)

“Hanya kepada Allah kami menyembah, dan hanya kepada Allah kami memohon pertolongan.” (Surah al-Fatihah, 1: 5)

Imam Ibnu Katsir rahimahullah menjelaskan berkenaan ayat ini,

“Yang dapat melakukan semua itu hanyalah Allah yang tidak ada sekutu bagi-Nya. Menciptakan dan meemrintahklan hanyalah hak Allah semata. Di mana berkenaan firman Allah (maksudnya): “Orang-orang musyrik dahulu sering menyatakan “Kami menyembah Malaikat, ‘Isa al-Masih, dan ‘Uzair”. Mereka itulah yang diseru sebagai tempat memohon sesuatu oleh orang-orang musyrik.” (Rujuk: Tafsir Ibnu Katsir di bawah perbahasan ayat 56-57 Surah al-Isra’)

Jika kita perhatikan rangkap selawat tersebut, dengan ia menunjukkan bentuk-bentuk permohonan doa kepada Nabi. Malah sifat-sifat yang tidak selayaknya, tetapi malah sebenarnya berlebih-lebihan (ghuluw) disandarkan kepada Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Salam.

Penutup:

Dari dua bentuk selawat yang telah kita lihat di atas, kita dapat perhatikan bahawa sifat-sifat yang dinisbatkan atau disandarkan kepada Nabi dalam untaian (atau rangkap) selawat tersebut sangat berlebih-lebihan dan memerangkap seseorang jatuh ke dalam lembah kesyirikan. Sekiranya beliau Shallallahu ‘alaihi wa Salam mendengarnya, sudah pasti beliau tidak akan redha. Ini adalah berdasarkan beberapa dalil di bawah ini,

Firman Allah (maksudnya):

“(Dialah Allah) Yang telah menciptakan aku, lalu Dialah yang memberi aku petunjuk, dan Yang memberi makan dan minuman kepadaku, dan apabila aku sakit, Dialah yang menyembuhkan aku.” (Surah asy-Syu’araa’, 26: 78-80)

Dari Abdullah Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhu, dia berkata: “Ada seorang lelaki berkata kepada Nabi: “Apa yang Allah kehendaki dan engkau?” Lantas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Salam bersabda:

“Adakah kamu menjadikan aku setara dengan Allah? (dalam riwayat yang lain, “tandingan bagi Allah?). Tidak, tetapi katakanlah: “Apa yang dikehendaki Allah sahaja”.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, Adabul Mufrad, no. 783)

Begitulah penjelasan daripada Rasulullah Shallallhu ‘alaihi wa Salam sendiri.

Oleh itu, perlu kita fahami bahawa, sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Salam. Tidak ada kaifiyah (cara) selawat yang lebih baik daripada kaifiyah yang diajarkan beilau Shallallahu ‘alaihi wa Salam sendiri. Jauhilah bentuk-bentuk beribadah yang direka cipta oleh manusia yang dengannya akan mengakibatkan pelbagai kesesatan dalam beragama.

“Ya Allah, selamatkanlah kami dari sikap ghuluw (berlebih-lebihan) dan dari sifat kemusyrikan yang besar atau pun yang kecil”

Friday, May 23, 2008

062 - Masih Tidurkah?

Masih Tidurkah PAS?

http://bahaya-syirik.blogspot.com

Entah kenapa masih ramai yang terlena dibuai mimpi-mimpi indah. Sedang kita diserang dengan bertali arus. Bukan dengan serangan fizikal dan jentera-jentera peluru atau kesakitan.

Tetapi kita diserang dari sudut pemikiran, keyakinan, keimanan, dan keteguhan aqidah. Pelbagai aliran pemikiran mula menyelinap masuk ke dalam masyarakat umat Islam masa ini. Suatu serangan halus yang tidak dirasakan sakit dengan fizikal dan pancaindera. Melainkan berupaya dikenalpasti melalui ilmu dan kefahaman.

Isunya adalah,

Di mana baru-baru ini kita digemparkan dengan isu syi’ah berpidato dan berhujjah di atas pentas Parti Islam Se-Malaysia (PAS) di sebuah hotel di Kota Bharu. Terang-terangan pegangan aqidah ahlus sunnah diserang dengan begitu sahaja tanpa berselindung. Peliknya kenapa mesti di atas pentas PAS, sebuah pertubuhan/parti yang mengaku berjuang berorientasikan Islam? Para sahabat dicerca dan ditohmah. Menyelewengkan al-Qur’an dengan tafsiran-tafsiran yang batil menggunakan kepala otak sendiri.

Tidak lain, Islam bukanlah dilihat kepada nama atau siapa. Tetapi Islam dilihat dari dalil-dalil dan sumber. Kita tidak melihat kepada rupa dan nama. Tetapi kepada kefahaman dan ilmu. Serta apa yang dibawa. Kita melihat kepada fakta. Al-Qur’an dan hadis, berdasarkan kefahaman dan tafsiran salaful ummah dari kalangan yang soleh lagi terpercaya.

Syi’ah, suatu fahaman yang tidak asing bagi kita, menyerang kita dari zaman berzaman. Mengkafirkan para sahabat dan mentohmah kita dengan berat sekali. Hal ini tidak perlu diperbahaskan lagi, kerana di dalam blog saya ini pun telah banyak membentangkan kepada anda dengan hujjah dan sumber-sumber yang terpercaya akan hal yang dimaksudkan.

Tidak hairan juga, di dalam akhbar harakah yang selama ini membawakan kepada kita fikrah dan pemikiran ala khawarij. Kini seakan cuba membawakan suatu fahaman yang bercampur aduk yang jauh dari nilai-nilai ahlus sunnah wal jama’ah. Ini terbukti bila mana mereka secara jelas memuji kelompok yang sesat dan telah difatwakan menyimpang. Mereka menyanjung kelompok ajaran Muhammadiyah dan al-Arqam. Memuji Taha as-Suhaimi sebagai Sheikh dan salah seorang ulama yang besar.

Apakah mereka tidak mengerti. Apakah mereka tidak membuka mata? Kembalilah kepada manhaj ilmu dan pegangan aqidah yang tulus, berjuang atas keikhlasan, bukannya kepartian atau hizbi...

Tidak hairan juga jika suatu ketika masanya, seorang patokan mereka berpangkatkan Tok Guru mengiktiraf Iran sebagai negara Islam contoh. Padahal ia adalah sebuah negara Syi’ah yang bertunjangkan fahaman yang jauh menyimpang dari sunnah. Suatu golongan yang berfahaman mengkafirkan para sahabat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam. Mereka mengatakan al-Qur’an kita tidak lengkap. Mereka menghalalkan darah ahlus sunnah di negara mereka dan Iraq. Apakah ini yang kita sanjung dan puja? Malah, sebaliknya mereka mengkafirkan negara kita sendiri, mereka mengkafirkan pemimpin-pemimpin negara mereka sendiri. Apa hal nya ini? Apakah standardize yang mereka gunakan dalam menentukan sesuatu negara itu Islam atau bukan Islam. Mengapa sesuka hati mereka melabel itu dan ini dengan hujjah akal dan falsafah kabur!

Bukalah mata...

Tidak hairan juga, jika baru-baru ini, tokoh besar mereka yang menyandang gelaran Tok Guru juga, menyatakan adanya ilmu kasyaf dan boleh dikuasai dengan kaedah-kaedah tertentu dengan izin Allah.

Sedarlah...

Kezaliman yang paling besar dan lebih besar dari maksiat berzina, berjudi, riba, minum arak, dan mencuri, adalah kezaliman yang bernama Syirik. Iaitu menyekutukan Allah. Mensyirikkan Allah dalam ber-Aqidah dan beribadah. Ia merupakan sempadannya umat Islam di antara kafir dengan muslim. Di antara kufur dengan iman.

Sedarlah...

“Sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar.” (Surah Luqman, 31: 13)

“Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu dan kepada (nabi-nabi) yang sebelummu. “Jika kamu mempersekutukan (Tuhan), niscaya akan hapuslah amalmu dan tentulah kamu termasuk orang-orang yang rugi”.” (Surah az-Zumar, 39: 65)

Tidak hairanlah, jika gejala murtad terus berleluasa sekiranya gejala penyimpangan aqidah berlaku dengan teruknya dari kalangan para manusia yang mengaku sebagai ustaz dan ulama...

Tuesday, April 29, 2008

60 - Ayat Seribu Dinar Sebagai Penangkal???

Ayat Seribu Dinar (ath-Thalaq, 65: 2-3) Sebagai Penangkal???


وَمَنْ يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَلْ لَهُ مَخْرَجًا

وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لا يَحْتَسِبُ وَمَنْ يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ إِنَّ اللَّهَ بَالِغُ أَمْرِهِ قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لِكُلِّ شَيْءٍ قَدْرًا

“Barangsiapa bertaqwa kepada Allah niscaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah niscaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang (dikehendaki)Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.” (ath-Thalaq, 65: 2-3)

Beberapa hari yang lalu saya ada menulis sebuah artikel yang agak panjang, bertajuk: “Meraih Keberkatan Dari Iman & Taqwa” dan di dalamnya saya ada ulas berkenaan ayat al-Qur’an yang digunakan sebagai pelaris atau penangkal yang mana saya sebutkan di dalam artikel tersebut sebagai kerap di-amalkan oleh pemilik restoran dan gerai-gerai makan tertentu.

Ada yang bertanya, “ayat apa yang dimaksudkan?” Emm, harapnya tidaklah bertanya kerana hendak mengamalkannya pula ye...

Kepada yang bertanya, ayat tersebut adalah sebagaimana di atas bermula dari penghujung ayat kedua dan sehingga habis ayat ketiga surah ath-Thalaq. Sebenarnya tidak juga terhad kepada ayat itu yang saya maksudkan, kerana ada juga dari kalangan mereka yang menggunakan ayat al-Kursi untuk digantung bagi mencapai maksud mereka. Namun, hanya saja ayat dari surah ath-Thalaq ini yang mana mereka gelarkan sebagai "Ayat Seribu Dinar" cukup mendapat tempat bagi tujuan dan maksud mereka.

Ayat ini sering disalah guna oleh pelbagai pihak dengan tujuan semoga perniagaan dan jualan yang mereka jalankan sentiasa beroleh keuntungan dan jauh dari kerugian. Kaedah yang mereka gunakan adalah dengan menggantungkannya di sebahagian tempat-tempat tertentu dari bahagian kedai atau restoran-restoran mereka. Malah ada sebahagiannya yang sanggup berhabis ratusan ringgit bagi mendapatkan struktur ayat yang lengkap dengan frame dan seni tulisan tertentu.

Walhal, apa yang sebenarnya mereka lakukan itu adalah suatu perbuatan yang menyalahi sama sekali tujuan penurunan al-Qur’an kepada kita. Dalam banyak tempat, Allah menyatakan bahawa al-Qur’an itu adalah sebagai huda (petunjuk), al-Furqon (pemberi peringatan), penjelas (mubin), busyro (berita gembira) dan juga rahmat? (Rujuk: Pengantar Studi Ilmu al-Qur’an, m/s. 19-23) Bukannya sebagai penangkal dan pelaris. Jika benar perbuatan itu adalah suatu yang haqq, maka bawakan contohnya (bukti/penjelasan) dari Rasulullah s.a.w. dan sahabat-sahabat beliau yang memperlakukan hal seperti itu.

Tidakkah mereka memahami maksud ayat yang mereka ambil tersebut? Ia tidak lain adalah ditujukan kepada orang yang bertaqwa atau yang hendak bertaqwa. Bukan mereka yang cuba berlaku syirik dengan percaya kepada karut-marut dan tangkal-tangkalan. Manakala penisbahan kalimat “Ayat Seribu Dinar” ke atas ayat tersebut itu sendiri, entah dari mana datangnya. Kalau ada rujukan hadisnya, nak tahu juga saya.

Berikut saya utarakan beberapa hadis yang melarang keras mereka yang cuba bermain dengan tangkal dan azimat. Tidak kira sama ada tangkal itu dijadikan daripada al-Qur’an atau pun bukan al-Qur’an ianya tetap bernama tangkal dan tetap haram dan syirik menurut maksudnya.

"Sesungguhnya jampi mentera (tamaim), tangkal dan guna-guna itu perbuatan yang syirik". (H/R Ibn Majah (3521) at-Tibb. Ahmad (3433) Musnad. Abu Daud (3385) at-Tibb)

"Sesiapa yang memakai (mengantung) tangkal, maka ia telah melakukan kesyirikan". (H/R Turmizi (1998) at-Tibb. Nasaii (4011) Tahrimul ad-Dam)

"Sesiapa yang memakai (bergantung kepada) sesuatu (tangkal, azimat pendinding) maka dia telah bertawakkal dengannya. Allah akan menyerahkan urusannya kepada sesuatu itu". (H/R Turmizi dan al-Hakim)

"Barangsiapa yang memakai sesuatu (tangkal, azimat atau pendinding) maka ia telah mewalikan atau bertawakal kepadanya". (H/R Ahmad (18035) Musnad al-Kufiyyin)

"Dari Isa bin Abdulrahman berkata: Kami melawat Abdullah bin 'Ukaim dan dia sedang sakit maka dikatakan kepadanya: (Ada baiknya) jika engkau memakai sesuatu (tangkal). Maka beliau berkata: Apakah aku akan memakai sesuatu (tangkal) sedangkan Rasulullah saw telah bersabda : Sesiapa yang telah memakai sesuatu (dari jenis tangkal) maka dia telah bertawakkal kepadanya". (H/R Ahmad (18030) Musnad. Turmizi (1998) at-Tibb)

"Sesiapa yang menggantung (memakai) tangkal maka ia telah melakukan kesyirikan." (H/R Ahmad (16781) Musnad)

Islam telah mengharamkan setiap mukmin menyeru selain Allah untuk meminta pertolongan yang melibatkan perkara-perkara yang ghaib. Begitu juga Islam mengharamkan para mukmin dari menggunakan tangkal, azimat, pendinding atau yang seumpamanya kerana benda-benda tersebut tidak akan memberi faedah atau sebarang kesan kepada penggunanya sebagaimana penjelasan Allah Subhanahu wa Ta'ala melalui firman-Nya:

"Katakanlah! Serulah mereka yang kamu anggap (sebagai pelindung) selain Allah mereka tidak memiliki (kekuasaan) seberat zarrah di langit dan di bumi dan mereka tidak memiliki suatu saham pun dalam (urusan) langit dan bumi dan sekali-kali tidak ada di antara mereka yang menjadi pembantu bagi-Nya". (Saba', 34: 22)

Sekiranya Allah Subhanahu wa Ta'ala menurunkan bahaya, kemudaratan dan bala ke atas mereka yang memakai tangkal, azimat atau pendinding, mereka tidak akan dapat menjadikan benda-benda tersebut sebagai pelindung sebagaimana yang mereka sangkakan.

Firman Allah:

"Jika Allah menimpakan sesuatu kemudaratan kepada kamu, maka tiada yang berkuasa menghilangkannya melainkan Allah dan jika Dia mendatangkan kebaikan kepada kamu, maka Dia Maha Kuasa di atas sesuatu". (al-An’am, 6: 17)

Kesimpulan:

1 – Beramal-lah dengan ayat-ayat al-Qur’an dengan cara yang betul, dengan ilmu, membaca, dan berusaha memahami serta mempelajarinya.

2 – Apa yang disarankan melalui ayat surah ath-Thalaq, 65: 2-3 itu sendiri meminta kita untuk bertaqwa dan Allah akan memberi ganjaran rezeki dari jalan yang tidak disangka-sangka serta akan membantu mereka yang bertaqwa dengan mencukupkan keperluannya.

3 – Ayat al-Qur’an bukan bahan untuk dijadikan sebagai tangkal dan alat pelaris. Malah perbuatan mempercayai tangkal itu sendiri termasuk ke dalam hal yang syirik dan berdosa besar.

4 – Langkah terbaik untuk meminta pertolongan adalah dengan cara berdoa kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala yang Maha Pemurah, Maha Penyayang, dan Maha Pemberi Rezeki. (Rujuk al-A’raaf: 180, az-Dzariyat: 58, dan al-Baqarah: 186) Di samping sentiasa berusaha menggandakan usaha dan mempelbagaikan strategi pemasaran/perniagaan yang betul.

Wallahu a’lam...

Monday, January 7, 2008

048 - Bolehkan Membuat Ramalan Dengan Bintang (Zodiak)?

Bolehkan Membuat Ramalan Dengan Bintang (Zodiak)?

Diketahui umum, pada ketika ini amat luas sekali tersebarnya perbuatan meramal nasib, karektor individu, dan seumpamanya berdasarkan susunan dan perjalanan bintang-bintang yang tertentu. Lebih parah, ia turut diiklankan melalui internet, televisyen, media cetak, majalah-majalah, dan sms. Dengan susunan bintang-bintang tertentu semasa anda lahir, anda memulakan pekerjaan, dan seumpamanya, maka nasib dan kesudahan kehidupan/pekerjaan anda dapat diketahui atau diramalkan berdasarkan kedudukan bintang pada masa dan dan tempat anda berada memulakan pekerjaan yang tertentu.

Dalam keadaan-keadaan yang tertentu juga, anda boleh meramal nasib masa depan anda berdasarkan bulan-bulan tertentu anda dilahirkan. Anda dapat mengetahui sifat-sifat anda di masa depan hanya dengan menyemak, bilakah tarikh anda dilahirkan dan apakah susunan bintang semasa anda dilahirkan.

Yang pastinya, ini semua adalah persoalan ghaib yang tidak wajar/tidak mampu diketahui oleh manusia tanpa adanya dalil dari wahyu al-Qur’an mahupun dari sumber hadis.

Apa yang jelas, persoalan seperti ini adalah sebenarnya melibatkan hal-hal perdukunan dan ramalan zodiak, keduanya berkaitan dengan perbuatan mengetahui hal-hal dan perkara-perkara ghaib. Yang dimaksudkan dengan perkara ghaib, adalah perkara yang tidak dapat dijangkau oleh panca indera. (Lihat ‘Alamus Sihr, hlm. 263, karya Dr. Umar Sulaiman Al-Asyqar). Termasuk perkara ghaib adalah apa yang akan terjadi. Sesungguhnya yang mengetahui perkara ghaib hanyalah Allah Ta’ala. Dia berfirman:

Katakanlah: ‘Tidak ada seorangpun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib, kecuali Allah.’ (Surah an-Naml 6: 65)

Kemudian Allah memberitahukan sebahagian perkara ghaib melalui wahyu-Nya kepada rasul yang Dia kehendaki. Allah s.w.t. berfirman:

(Dia adalah Rabb) Yang Mengetahui yang ghaib, maka Dia tidak memperlihatkan kepada seorangpun tentang yang ghaib itu. Kecuali kepada rasul yang diredhai-Nya, maka sesungguhnya Dia mengadakan penjaga-penjaga (malaikat) di muka dan di belakangnya. (Surah al-Jin 72: 26 & 27)

Dalam hal ini, Sheikh Soleh bin Abdullah al-Fauzan menyatakan:

“Maka barangsiapa mengaku mengetahui perkara ghaib dengan apa jua kaedah - selain yang dikecualikan oleh Allah kepada para rasul-Nya (melalui wahyu-Nya) - maka dia adalah pendusta, kafir, sama ada melalui kaedah membaca tapak tangan, gelas, perdukunan, sihir, perbintangan (zodiak) atau lainnya.” (Lihat kitab At-Tauhid, hlm. 30, karya Shiikh Soleh bin Abdullah al-Fauzan, Penerbit Darul Qasim, Cet. 2, Thn. 1421H/2000M)

Beliau juga menyatakan: “Maka barangsiapa mengaku mengetahui perkara ghaib atau membenarkan orang yang mengaku mengetahui hal itu, maka dia musyrik, kafir. Kerana dia mengaku mengetahui seolah-olah menyamai Allah dalam perkara yang termasuk kekhususan-kekhusuan-Nya.” (Lihat kitab at-Tauhid, hlm. 31, karya Sheikh Soleh bin Abdullah al-Fauzan, Penerbit Darul Qasim)

Dengan demikian, perdukunan dan ramalan zodiak adalah sama-sama haram.

Kemudiannya, perlu diketahui, yang dimaksudkan dengan dukun di sini, ialah yang bahasa arabnya adalah disebut sebagai “kahin” atau “‘arraf”, yaitu orang yang mengaku mengetahui perkara-perkara yang ghaib, apa yang akan terjadi, tempat barang hilang/disembunyikan, mengenali pencuri barang, isi hati orang dan seumpamanya, walaupun di kalangan masyarakat dikenali dengan sebutan kyai, orang pintar, tok bomoh, ustaz, orang tua, pak tabib, atau sebagainya. Mendatangi dukun seperti ini haram hukumnya. Barangsiapa mendatanginya dan bertanya sesuatu kepadanya, maka solatnya selama 40 hari tidak diterima oleh Allah Ta’ala. Nabi s.a.w. bersabda:

Barangsiapa mendatangi ‘arraf, lalu bertanya kepadanya tentang sesuatu, tidak akan diterima darinya solat selama 40 hari. (Hadis Riwayat Muslim, no. 2230)

Dalam hadis lain, Nabi s.a.w. bersabda:

Barangsiapa mendatangi (yakni menggauli/mengumpuli) wanita haidh atau mendatangi (yakni menggauli/mengumpuli) wanita pada duburnya atau mendatangi kahin (dukun), maka dia telah kafir kepada (al-Qur’an/wahyu) yang telah diturunkan kepada Muhammad s.a.w.. (Hadis Riwayat Tirmidzi, Abu Dawud, dan lain-lain)

Sheikh Muhammad bin Shalih al-‘Utsaimin menjelaskan, bahawa bertanya kepada ‘arraf (dukun) dan seumpamanya ada beberapa jenis (Diringkas dari al-Qaulul Mufid ‘Ala Kitab at-Tauhid (2/49), karya Sheikh al-‘Utsaimin, Penerbit Darul ‘Ashimah, Cet. 1, Thn. 1415 H):

Sekadar bertanya saja (kepada tukang ramal), ini hukumnya haram, berdasarkan hadis diatas (yang ertinya), “Barangsiapa mendatangi ‘arraf lalu bertanya kepadanya tentang sesuatu, tidak akan diterima darinya solat 40 hari. (Hadis Riwayat Muslim, 2/230). Penetapan ancaman “tidak akan diterima solatnya 40 hari” bagi si penanya menunjukkan keharamannya. Kerana tidak ada ancaman, kecuali terhadap perkara yang diharamkan.

Bertanya kepada dukun, meyakininya dan menganggap (benar) perkataannya. lni adalah termasuk dalam hal (yang menjurus kepada) kekafiran, kerana pembenarannya terhadap dukun tentang pengetahuan hal-hal yang ghaib, bererti mendustakan terhadap apa yang ditunjukkan oleh al-Qur’an.

Bertanya kepada dukun untuk mengujinya, apakah dia orang yang benar atau pendusta, dengan urusan bukan untuk mengambil perkataannya. Maka ini tidak mengapa dan tidak termasuk (larangan) di dalam hadis (di atas). Kerana Nabi s.a.w. pernah bertanya kepada lbnu Shayyad untuk mengujinya. Bertanya kepada dukun untuk menampakkan kelemahan dan kedustaannya, ini suatu hal yang (hukumnya) wajib atau dituntut.

Sheikh al-‘Utsaimin rahimahullah juga menjelaskan masalah tanjim (perbintangan). Beliau menyatakan bahwa ilmu tanjim ada dua (Lihat al-Qaulul Mufid ‘Ala Kitab at-Tauhid (2/102-103), karya Sheikh al-‘Utsaimin, Penerbit Darul Ashimah, Cet. 1, Thn. 1415 H):

Pertama: Ilmu at-ta‘tsir (astrologi, iaitu ilmu yang mempelajari tentang bintang, dengan anggapan bahawa bintang-bintang itu memiliki pengaruh; termasuk ramalan zodiak bintang, dalam persoalan ini ada tiga skop:

1 - Seseorang meyakini bahawa bintang-bintang memiliki pengaruh, sebagai pelaku, atau dalam erti kata yang lain bahawa bintang-bintang itu yang menciptakan kejadian-kejadian dan keburukan-keburukan.

Yang demikian ini termasuk dalam kategori syirik akhbar (syirik yang besar, orangnya kafir atau murtad jika dia seorang Muslim). Kerana, barangsiapa mengakui ada pencipta lain dari Allah s.w.t. (selain Dia), maka dia musyrik, iaitu melakukan perbuatan syirik yang besar. Ini adalah kerana dia telah menjadikan makhluk yang ditundukkan (iaitu bintang), menjadi pencipta yang menundukkan.

2 - Seseorang menjadikan bintang-bintang sebagai sebab, sehingga berdasarkan bintang-bintang itu, dia mendakwa mengetahui ilmu ghaib. Dia mengambil petunjuk dengan gerakan bintang-bintang, perpindahannya dan perubahannya, bahawa akan terjadi demikian dan demikian kerana bintang yang “sekian itu” telah menjadi demikian dan demikian. Seperti seseorang mengatakan “Orang ini kehidupannya akan celaka kerana dia dilahirkan pada bulan ini dan itu”, “Orang ini kehidupannya akan bahagia kerana dia dilahirkan pada bulan ini dan itu”. Orang yang berkata seperti ini telah menjadikan perbintangan sebagai sarana untuk mendakwa ilmu ghaib. Sedangkan dakwaan bahawa dia tahu ilmu ghaib merupakan kekufuran yang mengakibatkan terkeluar dari agama. Allah s.w.t. berfirman (maksudnya):

Katakanlah: ‘Tidak ada seorangpun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib, kecuali Allah.” (Surah an-Naml 6: 65)

Maka barangsiapa mengaku telah mengetahui terhadap ilmu ghaib, berarti dia telah mendustakan al-Qur’an.

3 - Seseorang meyakini bintang-bintang itu sebagai sebab terjadinya kebaikan dan keburukan. Maka ini adalah syirik ashghar (syirik yang lebih kecil, yang tidak mengkibatkan murtad/terkeluar dari Islam). Iaitu jika telah terjadi sesuatu, dia menisbatkan kepada bintang-bintang. Dan dia tidak menisbatkan kepada bintang-bintang kecuali setelah terjadinya.

Kedua: Ilmu at-tas-yir (ilmu astronomi, iaitu ilmu yang mengkaji tentang hal-ehwal bintang/buruj, yang mana dengan perjalanannya/peredarannya/kedudukannya dijadikan sebagai petunjuk untuk maslahat (kebaikan) agama, seperti mengenal pasti arah kiblat, atau maslahat dunia lainnya, seperti: menjadi tunjuk arah, kompas, kedudukan tempat, perubahan musim dan seumpamanya. Yang seperti ini hukumnya dibolehkan. Ini adalah hal-urusan pengkajian yang terdapat pembuktian saintifik. Dan dengan penjelasan ini, kita mengetahui akan bahayanya perbuatan ramalan zodiak (mencari rahasia bintang) atau perdukunan. Wallahu al-Musta’an.