__________________________________________________________________________________

| Nawawi | Aqeedah | Fiqh | Anti Syirik | Galeri Buku | Galeri MP3 | U-VideOo |
__________________________________________________________________________________

Showing posts with label Golongan-Anti-Hadis. Show all posts
Showing posts with label Golongan-Anti-Hadis. Show all posts

Tuesday, August 19, 2008

069 - MERUNGKAI BEBERAPA PERSOALAN TENTANG HADIS/SUNNAH YANG DITIMBULKAN OLEH GOLONGAN ANTI HADIS

MERUNGKAI BEBERAPA PERSOALAN TENTANG HADIS/SUNNAH YANG DITIMBULKAN OLEH GOLONGAN ANTI HADIS

http://bahaya-syirik.blogspot.com

Benarkah Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan para sahabatnya melarang menulis serta membukukan hadis?

Sebahagian pihak dari kelompok-kelompok beraliran sesat dan menyimpang seperti golongan Anti Hadis dan kelompok Liberal seringkali menyatakan bahawa pembukuan hadis adalah tidak dibenarkan. Malah, mereka juga mendakwa bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan para sahabatnya sendiri melarang menulis serta membukukan hadis-hadis. Ini tidak lain adalah kerana mereka mahu bermudah-mudah dalam mengambil agama seterusnya mengajak umat Islam lainnya untuk berlepas diri (meninggalkan agama) bermula dengan meninggalkan hadis dan sunnah yang sahih satu demi satu.


Pencerahan:

Dalam Islam, sebelum diterima dan diperhujahkan sesuatu kisah atau riwayat, wajib disemak dan dikaji isnadnya (jalur sanad periwayatan) terlebih dahulu. Apabila didapati sahih maka hendaklah riwayat tersebut difahami bersama-sama riwayat-riwayat yang lainnya, kemudian barulah dirumuskan dengan suatu kesimpulan tertentu. Kita tidak boleh menerima dengan sewenang-wenangnya sesuatu kisah atau riwayat sebagaimana yang ada dan kita tidaklah boleh membuat sesuatu rumusan/kesimpulan semata-mata berdasarkan satu riwayat sahaja dan mengabaikan riwayat yang lain.

Dakwaan di atas dapat dijawab melalui dua bahagian. Pertamanya, larangan menulis hadis oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, dan kedua, larangan menulis dan menyebarkan hadis di zaman Abu Bakar dan Umar al-Khattab radhiyallahu ‘anhuma.

Pertama: Larangan menulis hadis oleh Rasulullah,

Riwayat hadis yang dimaksudkan sebagai larangan penulisan hadis-hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam adalah seperti berikut:

Berkata Abu Sa’id al-Khudri radhiyallahu ‘anhu, telah bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

“Janganlah kamu tulis (catat) apa-apa dari aku. Dan barangsiapa yang telah menulis (mencatat) dari aku selain al-Qur’an, hendaklah dia menghapuskannya. Dan sampaikanlah (hadis) dari aku, tidak ada kesalahan di dalam melakukan itu. Dan barangsiapa yang berdusta terhadap aku dengan sengaja, maka dia akan menemui tempatnya di dalam api neraka.” (Sahih: Hadis dari Abu Said al-Khudri radhiyallahu ‘anhu, dikeluarkan oleh Ahmad, Muslim, ad-Darimi dan lain-lain, lihat Sahih Muslim – no: 3004. (Kitab az-Zuhud dan Raqa’iq, Bab Kedudukan hadis dan penulisannya))

Hadis di atas tidaklah melarang penulisan hadis secara mutlak tetapi ia sebenarnya hanyalah melarang penulisan hadis di atas kertas atau lembaran yang sama dengan al-Qur’an. Penjelasan ini dapat kita fahami berdasarkan hadis berikut dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu:

“Adalah kami menulis apa yang kami dengar dari Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Maka di satu hari beliau datang kepada kami dan berkata:

“Tulisan-tulisan apakah ini?”

Maka kami menjawab: “Apa yang kami dengar dari engkau”.

Lalu beliau berkata: “Tulisan bersama Kitab Allah (al-Qur’an)?”

Kami menjawab: “(Ya!) iaitu apa yang kami dengar (dari engkau)”.

Lalu bersabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam: “Tulislah Kitab Allah (al-Qur’an) dan jagalah ketulenan Kitab Allah. Jagalah ketulenan kitab Allah dan janganlah mencemari ia”.” (Hasan: Sebahagian dari hadis yang panjang dengan 3 jalan periwayatan)

Di zaman Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, bahan-bahan tulis seperti kertas papri sudahpun wujud (Montgomery Watt & Richard Bell – Introduction to The Qur’an, pg. 31-33) dan digunakan untuk menulis surat-surat rasmi, perlembagaan negara, dan al-Qur’an. Akan tetapi jumlahnya agak terhad dan tidak memungkinkan penulisan hadis-hadis secara berasingan di atasnya. Ini menyebabkan sesetengah sahabat telah mencatit al-Qur’an dan hadis-hadis Rasulullah di atas lembaran kertas yang sama, sebelah menyebelah. Lebih-lebih lagi diingatkan bahawa apabila baginda Rasulullah membaca dan mengajarkan ayat-ayat al-Qur’an kepada para sahabat, beliau mengajar 10 ayat diikuti dengan penerangan, penjelasan, dan pengamalannya, yakni teori dan praktikalnya. Beliau tidak akan melangkah ke 10 ayat seterusnya selagi 10 ayat yang sedang diajarnya itu tidak difahami benar-benar maksud dan kaedah pengamalannya. (Tafsir Ibnu Katsir, jld 1, m/s. 6 (bhgn. muqaddimah))

Sesetengah sahabat mencatit ayat-ayat al-Qur’an yang dibacakan Rasulullah dan pada waktu yang sama mencatit juga keterangan dan kaedah pengamalannya yang berupa hadis Rasulullah. Apabila hal ini diketahui oleh Rasulullah, beliau tegas melarangnya kerana bimbang hadis-hadisnya akan bercampur dan disalah anggap sebagai ayat-ayat al-Qur’an juga. Inilah yang dimaksudkan beliau: “Tulislah Kitab Allah (al-Qur’an) dan jagalah ketulenan Kitab Allah. Jagalah ketulenan kitab Allah dan janganlah mencemari ia...” iaitu kertas-kertas yang ditulis ayat-ayat al-Qur’an, hendaklah ia mengandungi ayat-ayat al-Qur’an sahaja dan tidak ada apa-apa yang selainnya.

Jika seseorang sahabat ingin menulis hadis secara berasingan dari al-Qur’an, maka ia sememangnya dibenarkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Perhatikan riwayat berikut dari Abdullah bin ‘Amr radhiyallahu ‘anhu:

“Aku biasa menulis segala yang aku dengar dari Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam untuk aku hafalkan. Lalu kaum Quraisy menegahku dengan berkata:

“Apakah kamu menulis segala sesuatu? Bukankah Rasulullah seorang manusia yang berbicara pada waktu marah dan senang juga?” Maka aku berhenti sebentar dari menulis sehingga aku menemui Rasulullah dan mengkhabarkan beliau tentang hal ini. Beliau memberi isyarat kepada mulutnya lalu bersabda:

“Tulislah! Demi Dzat yang jiwaku berada di kekuasaan-Nya, tiadalah yang keluar dari mulut ini kecuali yang hak (yakni yang benar)”.” (Sahih: Hadis dikeluarkan oleh Ahmad, Abu Daud, al-Hakim dan lain-lain, dinilai sahih oleh Sheikh Muhammad Nashiruddin al-Albani di dalam Silsilah Hadis Sahih, no. 1532)

Selain itu, perlu diperbetulkan beberapa kesimpulan yang dilakukan oleh Golongan Anti Hadis bahawa memandangkan Rasulullah melarang penulisan hadis-hadisnya, ia bererti bahawa Rasulullah sendiri tidak mahu hadis-hadisnya dijadikan sebahagian dari sumber syari’at Islam. Kesimpulan seperti ini tidak benar kerana jika dikaji semula hadis di atas akan kita dapati bahawa di sebalik larangan menulis hadis, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tetap menganjurkan umat untuk menyebarkannya kepada orang ramai. Berikut kita lihat semula hadis tersebut dan perhatikan pada bahagian yang digariskan:

Janganlah kamu tulis (catat) apa-apa dari aku. Dan barangsiapa yang telah menulis (mencatat) dari aku selain al-Qur’an, hendaklah dia menghapuskannya. Dan sampaikanlah (hadis) dari aku, tidak ada kesalahan di dalam melakukan itu. Dan barangsiapa yang berdusta terhadap aku dengan sengaja, maka dia akan menemui tempatnya di dalam api neraka.

Pada ketika yang lain Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam juga telah bersabda:

“Semoga Allah menyerikan wajah orang yang mendengar sebuah hadis dari aku lalu dihafalnya sehingga disampaikan kepada orang lain.” (Sahih: Sebahagian dari hadis yang panjang dari Zaid bin Thabit radhiyallahu ‘anhu, dikeluarkan oleh at-Tirmizi dan ad-Dhiyaa’, dinukil dan dinilai sahih oleh as-Suyuti dalam Jamii-us-Sagheir, no. 9264 dan disahihkan oleh Sheikh Muhammad Nashiruddin al-Albani di dalam Sahih Jamii’-us-Sagheir, no. 6763)

“Kalian mendengarkan (hadis aku), lalu akan didengarkan dari kalian, selanjutnya akan didengar pula dari orang yang mendengar dari kalian.” (Sahih: Hadis dari Abdullah ibnu Abbas radhiyallahu ‘anhu, dikeluarkan oleh Ahmad, Abu Daud, al-Hakim, al-Baihaqi, Ibnu Hibban dan ath-Thabarani. Dinilai sahih oleh Sheikh Syu’aib al-Arnouth dalam Sahih Ibnu Hibban,no. 062. (Kitab al-Ilmu, Bab Memperingatkan Sunnah-sunnah dari (melalui) pendengaran...))

Oleh itu sekali lagi diulangi bahawa yang sebenarnya dilarang oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam adalah menulis hadis-hadisnya di atas lembaran yang sama dengan tulisan al-Qur’an.

Kedua: Larangan menulis dan menyebarkan hadis oleh Abu Bakar dan Umar al-Khattab,

Hampir semua riwayat-riwayat yang menerangkan bahawa Abu Bakar dan Umar al-Khattab radhiyallahu ‘anhuma melarang penulisan dan penyebaran hadis di zaman pemerintahan mereka adalah dhaif. Antara yang masyhur dikatakan tentang Abu Bakar adalah kononnya beliau telah mengumpul 500 buah hadis dalam sebuah buku lalu akhirnya beliau membakarnya. (Dhaif: Dikeluarkan oleh al-Hakim dan dinukil oleh adz-Dzahabi dalam Tazkirah al-Huffaz, jld. 1, m/s. 10-11 dari jalan Musa bin Abdullah bin Hasan bin Hasan, dari Ibrahim bin Umar bin Ubaidullah at-Taymi, diceritakan kepada aku oleh al-Qasim bin Muhammad, bahawa berkata A’isyah radhiyallahu ‘anha ....... sepertimana mana di atas.

Isnadnya dhaif kerana memiliki beberapa kecacatan, iaitu:

[1] Ali bin Saleh – berkata Ibnu Katsir: Tidaklah dia dikenali. (Lihat: al-Hindi – Kanz al-Ummal – no. 29460)

[2] Musa bin Abdullah - beliau diperselisihkan, lihat Lisan al-Mizan, jld. 6, ms 123, perawi no: 465; al-Kamil fi ad-Dhuafa’ al-Rijal, jld. 6, ms 346, perawi no: 1826 dan Dhaif al-Uqaili, jld. 4, m/s. 159, perawi no. 1730.

[3] Ibrahim bin Umar bin Ubaidullah – beliau tidak dikenali. Biografinya tidak disebut atau dibicarakan oleh mana-mana ahli hadis.

Oleh itu berkata adz-Dzahabi dalam Tazkirah al-Huffaz, jld. 1, m/s. 11, setelah mengemukakan riwayat ini: “Maka riwayat ini – tidaklah ia sah, Dan Allah sahaja yang lebih mengetahui”. Dan berkata Ibnu Katsir sebagaimana nukil al-Hindi dalam Kanz al-Ummal – no: 29460: “Hadis dengan wajah seperti ini adalah aneh”)

Sementara dalam satu riwayat lain kononnya Abu Bakar telah berkata: Maka janganlah kalian menceritakan hadis dari Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sesuatu apapun. Jika sesiapa yang bertanya kepada kalian, berkatalah antara kami dan kamu ada Kitab Allah, maka apa yang kalian dapati dihalalkan maka halalkanlah ia dan apa yang diharamkan maka haramlah ia. (Dhaif: Dinukil oleh adz-Dzahabi dalam Tazkirah al-Huffaz, jld. 1, m/s. 9, dan berkata adz-Dzahabi: “Maka adalah ia mursal (iaitu isnadnya terputus)”. Oleh itu riwayat ini adalah dhaif juga). Kedua-dua riwayat ini adalah tidak benar kerana isnadnya memiliki beberapa kecacatan.

Umar al-Khattab pula kononnya didakwa telah memenjarakan beberapa orang sahabat seperti Abdullah ibnu Mas’ud, Abu Darda’ dan Abu Mas’ud al-Anshari radhiyallahu ‘anhum kerana banyak menyampaikan hadis. (Dhaif: Dikeluarkan oleh ath-Thabarani dalam Mu’jam al-Ausath – no. 3449 dan dinukil oleh adz-Dzahabi dalam Tazkirah al-Huffaz, jld. 1, m/s. 12, dan dalam Siyar A’lam an-Nubala, jld. 7, m/s. 206. Juga dikeluarkan oleh an-Nasa’i dan dinukil oleh adz-Dzahabi dalam Siyar A’lam an-Nubala, jld. 11, m/s. 555. Kedua-duanya dari jalan Abdullah bin Idris, dari Syu’bah, dari Sa’ad ibnu Ibrahim, dari ayahnya, bahawasanya Umar al-Khattab... sepertimana di atas. Isnadnya dhaif juga kerana beberapa sebab:

[1] Syu’bah – adalah beliau diragukan. Lihat Ibnu Hazm – al-Ihkam fi Usul al-Ahkam, jld. 2, m/s. 256-258.

[2] Ibrahim bin Abdul Rahman bin Auf, beliau tidak pernah bertemu dengan Umar al-Khattab. Ibrahim lahir pada 20H manakala Umar meninggal dunia pada 23H. Tidak mungkin Ibrahim meriwayatkan hadis pada umur 3 tahun melainkan beliau mendengarnya dari seseorang lain yang tidak diketahui. Justeru isnad riwayat ini terputus. Lihat Majma’ az-Zawaaid, jld. 1, m/s. 149)

Selain itu disebut dari Urwah bin al-Zubair bahawa kononnya Umar pernah merancang untuk menulis sunnah-sunnah secara formal lalu beliau bermesyuarat dengan para sahabat dan mereka semua menyetujui rancangan tersebut. Akan tetapi sebulan selepas itu Umar membatalkan rancangannya. (Daif: Dikeluarkan oleh Abdurrazzaq dalam al-Musannaf – no: 20484. Juga secara ringkas oleh Ibnu Sa’ad dalam Tabaqat al-Kubra, jld 3, ms 287. Semuanya dari jalan Ibnu Shihab az-Zuhri, dari Urwah al-Zubair, bahawa Umar al-Khattab ........ Isnad ini terputus kerana Urwah bin al-Zubair (93H) tidak pernah bertemu dengan Umar al-Khattab (23H))

Disebut juga dari al-Qasim bin Muhammad bahawa: Sesungguhnya hadis telah menjadi persaingan (menjadi banyak) (Demikian lafaz yang dinukil oleh adz-Dzahabi dalam Siyar A’lam Nubala, jld 5, ms 59) di masa Umar bin al-Khattab. Maka diumumkan kepada orang ramai supaya mereka membawanya (hadis-hadis tersebut, yakni dalam bentuk tulisan). Maka apabila telah dibawa kepadanya (Umar), diperintahkan agar ia diselidiki lalu kemudiannya ditahan ia (tulisan tersebut) dari mereka (iaitu tidak dikembalikan). Berkata Umar: Dua (kitab) pada waktu yang sama sebagaimana dua (kitab) pada waktu yang sama (seperti perbuatan) Ahli Kitab? (Daif: Dikeluarkan oleh Ibnu Sa’ad dalam Tabaqat al-Kubra, jld 5, ms 188 dengan isnad yang terputus juga kerana al-Qasim bin Muhammad (106H) tidak pernah bertemu dengan Umar al-Khattab (23H))

Ketiga-tiga riwayat di atas adalah daif dan tidak boleh dijadikan hujah dan dakwaan. Hanya sahaja dalam bab ini terdapat dua riwayat lain yang sahih yang perlu kita beri tumpuan dan penjelasan yang sebenarnya. Riwayat-riwayat yang dimaksudkan adalah:

Riwayat Pertama:

Umar al-Khattab pernah mengutus Qurzhah bin Ka’ab dan beberapa orang Ansar radhiyallahu ‘anhum dari Madinah ke Kufah dan beliau menerangkan bahawa di sana akan ditemui satu kaum yang masih keras lagi kasar bacaan al-Qur’an mereka. Maka berpesan Umar: Maka persedikitkanlah riwayat dari Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan aku (Umar) bersama kalian dalam hal ini. (Sahih: Dikeluarkan oleh Ibnu Sa’ad, Ibnu Majah, al-Hakim, Ibnu Abdil Barr dan ad-Darimi, dinilai sahih oleh Muhammad an-Nasr dalam Sunan Ibnu Majah – no: 028 (Bab Kehati-hatian Sahabat dalam meriwayatkan hadis dari Rasulullah))

Pesanan Umar ini tidaklah bererti melarang sepenuhnya penyampaian dan penggunaan hadis-hadis Rasulullah tetapi ia sekadar memberi priority kepada kaum yang baru belajar Islam agar mereka memberi tumpuan kepada sebutan ayat-ayat al-Qur’an dan asas-asas agama yang terkandung di dalamnya. Perhatikan bahawa Umar tidak melarang sepenuhnya penyampaian hadis Rasulullah tetapi hanya sekadar dikurangkan jumlahnya.

Sekali lagi ditekankan bahawa tidak boleh membuat kesimpulan yang mutlak bahawa Amirul Mukminin Umar al-Khattab telah menyekat perkembangan, periwayatan dan pembelajaran hadis-hadis serta sunnah-sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam semata-mata berdasarkan satu riwayat di atas. Umar sendiri apabila mengutus para sahabat menjadi gabenor wilayah-wilayah yang baru dibuka oleh Islam, telah menanggung-jawabkan mereka dengan tugas mengajar agama Islam termasuk sunnah-sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Ini jelas terbukti dalam salah satu khutbah Umar di penghujung era pemerintahannya, di mana antara yang beliau katakan adalah: Ya Allah! Saksikanlah Engkau atas para gabenor wilayah bahawa sesungguhnya aku telah mengutus mereka untuk mengajar manusia agama mereka dan sunnah Nabi mereka. (Sahih: Sebahagian dari teks khutbah Umar al-Khattab radhiyallahu ‘anhu, dikeluarkan oleh Ahmad dan dinilai sahih oleh Ahmad Syakir dalam Musnad Ahmad – no: 341. (Musnad Umar al-Khattab, hadathana Muhammad bin Ja’far......))

Riwayat Kedua:

Umar al-Khattab pernah berkata kepada Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu: Engkau (perlu) benar-benar berhenti meriwayatkan hadis dari Rasulullah atau aku akan mengusir kamu ke daerah Daus. (Sahih: Dikeluarkan oleh Ibnu Asakir dalam Tarikh ad-Damsyik, jld 50, ms 172 dan dinukil oleh Ibnu Katsir dan adz-Dzahabi. Isnadnya sahih sebagaimana nilai Syu’aib al-Arnuth dalam Siyar A’lam Nubala, jld 2, ms 600-601. Dalam bab ini terdapat dua riwayat lain bahawa Abu Hurairah kemudiannya tidak lagi meriwayatkan hadis di zaman Umar kerana takut dirinya dipukul oleh Umar. Kedua-dua riwayat tersebut adalah daif, keterangannya seperti berikut:

[1] Dari Muhammad bin Ajalan, dinukil oleh adz-Dzahabi dalam Siyar A’lam Nubala, jld 2, ms 601. Muhammad bin Ajalan tidak pernah bertemu dengan Abu Hurairah, justeru isnad riwayat ini terputus sebagaimana terang Syu’aib al-Arnuth.

[2] Dari Ibnu Shihab az-Zuhri, dikeluarkan oleh Abdurrazzaq dalam al-Musannaf – no: 20496. Saya berkata, isnad riwayat ini juga terputus kerana Ibnu Syihab az-Zuhri yang lahir pada tahun 50H tidak sempat meriwayatkan dari Abu Hurairah yang meninggal dunia pada tahun 59H. Perhubungan yang sahih antara Ibnu Syihab dan Abu Hurairah adalah melalui perantaraan seorang perawi yang lain, tidak secara terus.)

Riwayat ini adalah sahih tetapi ancaman tersebut adalah tidak lebih sekadar kekhuatiran Umar akan adanya hadis-hadis yang disampaikan bukan pada tempatnya sehingga mungkin dipermainkan oleh orang ramai atau terjadi kekeliruan di dalamnya. (Sebagaimana terang Ajaj al-Khatib dalam Hadits Nabi Sebelum Dibukukan, ms 495. Lebih lanjut lihat Bidayah wa Nihayah, jld 8, ms 107-108) Oleh itu ancaman Umar adalah lebih kepada peringatan kepada Abu Hurairah supaya berhati-hati dalam menyampaikan hadis, menerangkannya secara formal dan tersusun disertai penjelasannya; bukan melarang secara mutlak.

Penjelasan di atas disokong oleh satu riwayat yang lain di mana Umar sendiri telah menerima hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah. (Dalam satu riwayat lain, Umar sendiri telah membenarkan Abu Hurairah meyampaikan hadis dengan kata beliau: Jika demikian, maka pergilah dan riwayatkanlah hadis. Riwayat ini dikeluarkan oleh Ibnu Asakir dan dinukil oleh adz-Dzahabi dalam Siyar A’lam Nubala, jld 2, ms 603 dari jalan Yahya bin Ubaidullah, beliau dinilai terpercaya oleh Ibnu Hibban tetapi dilemahkan oleh lain-lain ahli hadis.) Dalam satu perjalanan menuju Kota Mekah, rombongan Umar telah dihalangi oleh suasana angin ribut yang kencang. Lalu Umar bertanya kepada rombongannya: Adakah sesiapa yang boleh meriwayat hadis tentang angin kepada kami? Maka tidak ada sesiapapun yang mengetahui adanya hadis Rasulullah tentang angin kecuali Abu Hurairah, beliau menunggang kepada Umar lalu berkata: Wahai Amirul Mukminin, dikhabarkan kepada aku bahawa engkau bertanya tentang angin dan sesungguhnya aku mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

Angin itu adalah dari Rahmat Allah. Ia datang dengan membawa rahmat dan ia datang dengan membawa kesiksaan. Maka jika engkau melihatnya maka janganlah engkau mencaci-makinya dan mohonkanlah kepada Allah kebaikannya dan mohonlah perlindungan kepada-Nya dari keburukannya. (Sahih: Dikeluarkan oleh Ahmad dan dinilai sahih oleh Ahmad Syakir dalam Musnad Ahmad – no: 7619. Musuh-musuh Abu Hurairah mungkin berkata hadis di atas sengaja dicipta oleh Abu Hurairah untuk mendapatkan tempat di sisi Umar al-Khattab. Tuduhan ini adalah tidak benar kerana hadis yang sama di atas juga telah diriwayatkan oleh Abu Hurairah kepada beberapa orang lain tanpa diminta atau ditanya oleh Umar, lihat Sahih Sunan Abu Daud – no: 5097 dan Aunul Ma’bud Syarah Sunan Abu Daud, jld 14, ms 1.Malah hadis di atas juga diriwayatkan oleh tiga orang sahabat yang lain radhiyallahu ‘anhum, iaitu A’isyah dalam Sahih Muslim – no: 899-1; Ubay bin Ka’ab dalam Sahih Sunan Tirmizi – no: 2252 dan Abu Darda dalam Musnad ‘Abad bin Hamid bin Nasr – no: 199) Umar tidak menolak hadis yang disampaikan oleh Abu Hurairah ini.)

Harap penjelasan ringkas di atas dapat membersihkan pelbagai dakwaan bahawa kononnya para Khalifah ar-Rashidun Abu Bakar as-Siddiq dan Umar al-Khattab radhiyallahu ‘anhuma telah melarang aktiviti penulisan dan penyampaian hadis-hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam di zaman pemerintahan mereka. Membuat satu rumusan semata-mata berdasarkan satu atau dua riwayat sahaja adalah seumpama seseorang yang membaca sepatah ayat al-Qur’an:

Maka kecelakaan besar bagi orang-orang Ahli Solat (al-Ma’un, 107: 04) lalu terus dibuat rumusan bahawa mendirikan solat adalah satu pekerjaan yang dicela lagi tidak dituntut oleh Islam. Rumusan ini dibuat berdasarkan satu ayat di atas sahaja dan dilupakan pelbagai ayat-ayat lain di dalam al-Qur’an yang menerangkan kewajipan dan kemulian mendirikan solat. Ayat di atas sebenarnya hendaklah difahami dengan sambungan ayat seterusnya:

Maka kecelakaan besar bagi orang-orang Ahli Solat; laitu mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan solatnya; (Juga bagi) orang-orang yang berkeadaan riak (bangga diri dalam ibadat dan bawaannya). (al-Ma’un, 107: 4-6)

Demikianlah juga hendaknya sikap kita terhadap beberapa riwayat yang menerangkan tindakan para Khalifah ar-Rashidun ke atas sunnah-sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Kita tidak boleh membuat rumusan bahawa mereka secara mutlak telah melarang aktiviti penulisan, periwayatan, pengembangan dan pengajaran sunnah-sunnah Rasulullah semata-mata berdasarkan satu atau dua riwayat sahaja padahal dalam waktu yang sama terdapat banyak riwayat-riwayat lain yang menerangkan kesungguhan mereka menghidup dan menyebarkan sunnah-sunnah Rasulullah di zaman pemerintahan mereka. Lebih dari itu terdapat ratusan hadis-hadis Rasulullah yang mereka riwayatkan sendiri sebagaimana yang nyata tercatit di dalam kitab-kitab hadis. (Terdapat 81 buah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Bakar yang tercatit di dalam Musnad Ahmad manakala dalam Musnad Abu Bakar as-Siddiq oleh al-Mawarzi terdapat 143 buah. Dari Umar al-Khattab pula terdapat lebih 300 buah hadis dalam Musnad Ahmad. Dalam Jamii’ al-Musnaidi wa as-Sunan oleh Ibnu Katsir pula terdapat banyak lagi hadis-hadis yang diriwayatkan oleh kedua sahabat ini sama ada terus dari Rasulullah atau riwayat bersama melalui para sahabat lainnya.) Oleh itu adalah sangat tidak benar rumusan dan dakwaan Golongan Anti Hadis yang mengatakan para Khalifah ar-Rashidun telah menghalang dan melarang aktiviti-aktiviti ilmiah yang berkaitan dengan sunnah-sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.

Hadis dan sunnah hanya menjadi rujukan umat Islam setelah dipelopori oleh Imam Syafi’i kira-kira 200 tahun selepas kewafatan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Sebelum itu umat hanya merujuk kepada al-Qur’an sahaja.

Jawapan:

Hujah di atas dapat disangkal dengan tiga fakta berikut:

[1] Ketaatan, rujukan dan ikutan kepada hadis dan sunnah telah mula diperintahkan oleh al-Qur’an sejak bermulanya kerasulan Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Sama ada sebelum atau selepas tahun 200 hijrah, umat Islam seluruhnya mentaati, merujuk dan mengikut hadis dan sunnah Rasulullah, bukan kerana Imam Shafi’i tetapi kerana ia adalah perintah Allah Tabaraka waTa’ala di dalam al-Qur’anul Karim.

[2] Ketaatan, rujukan dan ikutan kepada hadis dan sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam jelas terbukti dalam kitab al-Muwattha’ Imam Malik bin Anas, sama ada dalam bentuk riwayat hadis Rasulullah atau kisah para sahabat dan tabiin yang mempraktikkan sunnah Rasulullah. Intisari dan kandungan kitab al-Muwattha’ telah mula diajar oleh Imam Malik pada tahun 120-130 hijrah (Habib-ur-Rahman Azami – The Sunnah in Islam, pg 33.) dan ia lengkap dibukukan pada tahun 150 hijrah. (Yasin Dutton – The Origins of Islamic Law: The Qur’an, The Muwattha’ and Madinan Amal, pg 26-27) Ini jelas menunjukkan bahawa Imam Syafi’i bukanlah merupakan orang pertama yang mempelopori ketaatan, rujukan dan ikutan kepada hadis dan sunnah Rasulullah.

[3] Menurut dakwaan pihak yang menolak hadis, sebelum tahun 200 hijrah umat Islam seluruhnya hanya merujuk kepada satu sumber – yakni al-Qur’anul Karim. Jika dakwaan ini adalah benar, kita bertanya – bagaimana mungkin seorang Imam bersama sebuah kitabnya berjaya mempengaruh dan menukar dasar agama dan rujukan ratusan ribu umat selama 200 tahun dari al-Qur’an sahaja kepada al-Qur’an dan sunnah Rasulullah? Sudah tentu ini mustahil mengingatkan budaya hidup dan peradaban umat ketika itu yang tidak memiliki sebarang kemudahan media cetak, elektronik dan multimedia. Lebih dari itu, pasti ratusan ribu umat Islam di saat itu akan bangkit membantah dan menolak konsep al-Qur’an dan sunnah Nabi secara besar-besaran.

Bagi menggambarkan betapa besarnya kemustahilan Imam Syafi’i mengusulkan konsep “baru” al-Qur’an dan sunnah Rasulullah di zaman 200 hijrah, marilah kita bandingkan dengan usaha Golongan Anti-Hadis masa kini di zaman peradaban yang serba moden lagi canggih. Umpamakan usaha mereka mengusulkan konsep al-Qur’an sahaja di kalangan umat masa kini yang berpegang kepada al-Qur’an dan sunnah Rasulullah seperti usaha Imam Shafi’i mengusulkan konsep al-Qur’an dan sunnah Rasulullah di kalangan umat tahun 200 hijrah yang berpegang kepada al-Qur’an sahaja. Dapat kita perhatikan bahawa Golongan Anti-Hadis masa kini dengan segala medium serba moden yang mereka gunakan, seperti internet, buku bercetak, risalah percuma, poster-poster, artikel akhbar, rencana majalah dan wawancara radio televisyen, tetap tidak dapat mengubah pegangan umat dari al-Qur’an dan sunnah Rasulullah kepada al-Qur’an sahaja. Usaha mereka siang dan malam selama bertahun-tahun secara berkumpulan hanya membuahkan hasil yang minimum.

Nah! Jika dengan segala kelengkapan moden ini gagal menukar pegangan umat masa kini, maka bagaimana pula dengan Imam Syafi’i seorang, bersama sebuah kitabnya yang berjudul al-Risalah yang dicatit tangan, tanpa media cetak, internet, radio, televisyen dan sebagainya mampu hendak mengubah pegangan umat di zaman 200 hijrah? Sudah tentu bertambah mustahil. Justeru ketahuilah – bahawa Imam Syafi’i bukanlah orang yang pertama mengusulkan konsep hadis dan sunnah Rasulullah di samping al-Qur’an kepada umat Islam. Yang benar adalah konsep hadis dan sunnah Rasulullah di samping al-Qur’an telah bermula sejak saat-saat pertama agama Islam bermula. Inilah hakikat yang sebenarnya.

Hadis-hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tidak ditulis sehingga kira-kira 200 tahun selepas kewafatan beliau. Sepertimana yang diketahui, dalam tempoh 200 tahun pertama sejarah Islam, telah terjadi pelbagai perbalahan dan pertarungan politik yang amat buruk sehingga menyebabkan umat saling berbunuhan. Bagaimana mungkin di dalam tempoh ini kita dapat mempercayai para perawi yang menyampaikan sesebuah hadis kerana pasti sahaja setiap dari mereka mempunyai motif dan hajat politik tersendiri. Sudah tentu dalam tempoh yang lama tersebut, pelbagai kepalsuan telah menyelinap masuk ke dalam hadis-hadis tersebut sehingga ia tercatit bersama di dalam kitab-kitab.

Jawapan:

Dalam tempoh 200 tahun pertama sejarah Islam,memang telah berlaku beberapa pergeseran politik di kalangan umat akan tetapi adalah sangat tidak benar untuk dikatakan bahawa pergeseran tersebut telah memporak-perandakan seluruh umat dan mengubah mereka dari sifat ketaqwaan kepada sifat kemunafikan. Contohnya apabila kita membaca dalam akhbar hari ini berlakunya rompakan di Kuala Lumpur, kes pecah rumah di Miri dan kes kecurian di Alor Setar, kita tidak boleh mengandaikan bahawa seluruh Malaysia sedang berada dalam keadaan yang sangat tidak selamat dengan pelbagai kes jenayah berlaku di sana sini dalam setiap jam atau minit. Demikianlah juga, apabila kita membaca dalam sejarah Islam beberapa pergeseran politik, kita tidak boleh mengandaikan bahawa pergeseran tersebut melibatkan seluruh umat sehingga tidak seorangpun dari mereka yang bebas dari pengaruhnya.

Adalah sangat tidak benar dakwaan bahawa hadis-hadis tidak ditulis selama 200 tahun selepas kewafatan Rasulullah sallalahu-alaihi-wasallam. Aktiviti penulisan dan pencatitan hadis telahpun bermula sejak dari zaman kehidupan Rasulullah. Catitan dan penulisan ini dilakukan secara kecil-kecilan sahaja kerana kebanyakan dari ucapan dan perbuatan Rasulullah masih segar di ingatan para sahabat dan ia diterjemahkan melalui percakapan dan perbuatan harian mereka. Perbuatan ini seterusnya diturunkan ke generasi tabiin dan tabiin muda. Adalah juga tidak benar untuk dikatakan bahawa catitan formal hadis-hadis Rasulullah hanya bermula lebih 200 tahun selepas kewafatannya kerana jelas tercatit dalam kitab-kitab sejarah Islam mahupun dengan penemuan-penemuan manuskrip lama, bahawa aktiviti mencatit hadis-hadis secara formal telahpun bermula sejak pertengahan kurun pertama Islam, yakni kira-kira 50 tahun selepas kewafatan Rasulullah. (Lihat hasil-hasil kajian berikut:

[1] Nadia Abbott – Studies in Arabic Literary Papyry. 3 jld, lihat jilid pertama. (Chicago Univ. Press 1957).

[2] Fu’ad Segzin – Geschichte des Arabischen Schrifttums. 9 jilid, lihat jilid pertama. (Leiden 1967).

[3] Mustafa Azami – Studies in Early Hadis Literature – with A Critical Edition of some Early Text. (Indiana: American Trust Publication 1968).

[4] Muhammad Hamidullah – Sahifah Hammam bin Munabbih. (England: Apex Books 1979).

[5] Harald Motzki – The Musannaf of ‘Abd al-Razzaq al-San’ani as a Source of Authentic Ahadis in The First Century A.H. (Journal of Near Eastern Studies – edisi 50, 1991))

Sepertimana kata as-Syafi’i, apabila Allah Azza wa Jalla memerintahkan ketaatan kepada Rasul-Nya berulang-kali di dalam al-Qur’an, maka perintah ini ditujukan-Nya kepada umat seluruh zaman sehingga ke Hari Akhirat. Bagi membolehkan umat seluruh zaman mentaati Rasulullah, pasti sahaja Allah – dengan segala kekuasaan-Nya yang Maha Besar lagi Maha Luas – akan menggubah cara-cara serta kaedah supaya hadis dan sunnah Rasulullah dapat sampai kepada umat seluruh zaman. Oleh itu tidak perlu diragui kaedah catitan dan perkembangan hadis Rasulullah di zaman awal Islam kerana ia sentiasa berada di bawah pengawasan dan pengurusan Allah Azza wa Jalla. (Lihat Daniel Brown - Rethinking Tradition, pg 15)

Seperkara lain yang perlu dipertimbangkan adalah, ditulis atau tidak hadis Rasulullah di zaman awal Islam tidaklah menjadi faktor yang utama kerana yang penting adalah kejujuran dan sikap adil orang yang membawa hadis-hadis tersebut. Tidak ada jaminan ketulenan dan keaslian hadis sekalipun ia telah ditulis sejak dari awal jika yang menulisnya adalah seorang pendusta. Demikian juga tidak ada kecacatan pada hadis jika yang menghafal dan mempraktikkannya sehari-harian, sekalipun ia meliputi orang perseorangan dari beberapa generasi, adalah terdiri dari orang-orang yang jujur, adil, beriman lagi bertaqwa sepenuhnya. Bezakanlah ia!

Sahih atau tidak sesuatu hadis bergantung kepada jujur atau tidak para perawinya. Ini sudah tentu satu kaedah yang amat longgar kerana kejujuran seseorang hanyalah didasarkan kepada penilaian orang lain dan ini sudah tentu relatif kepada banyak faktor dan keadaan.

Jawapan:

Menentukan kesahihan sesuatu hadis berdasarkan sifat para perawinya memiliki dasar dalam al-Qur’an itu sendiri. Perhatikan bahawa apabila al-Qur’an menetapkan hukuman bagi jenayah zina, ia mensyaratkan persaksian 4 orang saksi, dan para saksi ini hendaklah dari kalangan orang yang beriman, baligh, berakal, jujur, benar, adil, beramanah dan bertaqwa. Sifat-sifat yang mengikitiraf seseorang saksi tersebut ditentukan pula berdasarkan pengamatan orang-orang di sekitarnya yang juga perlu terdiri dari orang-orang yang memiliki sifat tersebut. Maka jika kaedah menentukan sifat seseorang saksi sebegini diiktiraf oleh al-Qur’an untuk menjatuhkan hukuman jenayah – sehingga ke tahap hukuman bunuh – sudah tentulah pula hadis yang dibawa oleh orang – orang yang beriman, baligh, berakal, jujur, benar, adil, beramanah dan bertaqwa dapat diterima sebagai sesuatu yang benar-benar berasal dari mulut Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. (Ringkasan dari keterangan Muhammad bin Idris as-Syafi’i dalam al-Umm, jld. 7, m/s. 82-83. Lihat juga Mustafa as-Siba’i – al-Hadis sebagai Sumber Hukum: Kedudukan as-Sunnah dalam Pembinaan Hukum Islam, m/s. 214)

Dalam riwayat yang masyhur disebut bahawa Imam Bukhari telah menapis sebanyak 600,000 buah hadis dan beliau hanya memilihi 9,000 yang sahih untuk dimuatkan dalam kitabnya Sahih Bukhari. Jumlah 600,000 ini jelas menunjukkan bahawa berlakunya penciptaan hadis-hadis palsu secara besar-besaran di zaman awal Islam.

Jawapan:

Terdapat dua perkara penting yang perlu diterangkan dari hujah atau dakwaan di atas:

Pertama: Apabila dikatakan wujudnya 600,000 hadis, ia bukanlah bermaksud ada 600,000 sebutan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, tetapi adalah 600,000 jalan-jalan periwayatan hadis-hadis Rasulullah. Perlu diterangkan bahawa para tokoh hadis tidak mengira hadis menurut jumlah sebutan yang berasal dari Rasulullah tetapi adalah menurut jumlah jalan-jalan periwayatannnya. Jumlah jalan-jalan periwayatan hadis adalah sangat besar bilangannya kerana jumlah bilangan orang yang meriwayatkannya dari generasi ke generasi adalah banyak dan ia bertambah secara gandaan. (Mustafa as-Siba’i – al-Hadis sebagai Sumber Hukum, m/s. 313-317; juga Mustafa Azami – Studies in Hadis Methodology and Literature, pg. 26)

Sebagai contoh, kita umpamakan seorang sahabat Rasulullah yang masyhur bernama Abdullah ibnu Mas’ud radiallahu ‘anhu. Katakan beliau memiliki 50 orang murid dari generasi tabiin dan 50 orang ini selepas mendapat ijazah dari Ibnu Mas’ud akan menjadi guru pula dengan setiap dari mereka memiliki 50 orang murid dari generasi selepas tabiin. Setiap dari 50 orang ini selepas mendapat ijazah dari guru mereka masing-masing akan mengajar pula dan setiap dari mereka memiliki 50 orang murid juga dari kalangan generasi berikutnya dan demikianlah seterusnya. Berdasarkan contoh yang dijadikan contoh di atas, pada ketika generasi ketiga sahaja sudah ada kira-kira 125,000 orang yang meriwayatkan hadis padahal mereka semua mungkin hanya meriwayatkan 100 ucapan yang berasal dari mulut Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Maka bilangan 125,000 inilah yang menjadi kiraan dan perhatian para tokoh hadis kerana mereka akan menapis dan menelusuri orang-orang yang terkandung dalam jumlah 125,000 tersebut untuk mencari yang jujur, amanah dan sebagainya untuk diambil hadis yang mereka riwayatkan.

Kedua: Apabila dipilih 9,000 dari 600,000 jalan periwayatan hadis, tidaklah bererti bahawa baki 591,000 jalan periwayatan hadis yang disisih adalah terdiri daripada orang-orang fasik yang sengaja berdusta dan mencipta hadis sesuka mereka. Syarat pilihan sesuatu hadis yang sahih adalah sangat tinggi lagi ketat. Ia wajib terdiri dari orang-orang yang kuat imannya, tinggi ketaqwaannya, berdisiplin dalam ilmu-ilmu agama, jujur, amanah, adil, berperibadi mulia, kuat ingatan atau tahu apa yang dicatitnya, faham akan maksud hadis yang dihafal atau ditulisnya, benar-benar menerima hadis dari mulut gurunya dan pelbagai lagi. Tidak semua orang yang meriwayatkan hadis dapat menepati syarat-syarat yang ketat ini, justeru itulah mereka diketepikan. Oleh itu bezakanlah, apabila disisihkan 591,000 jalan periwatan hadis, ia bukan kerana para perawinya terdiri dari orang-orang yang berdusta, mencipta hadis sendiri atau sebagainya.

Sesetengah hukum yang terdapat di dalam hadis-hadis, seperti hukum jenayah zina dan murtad, berasal dari hukum kaum Yahudi dan Nasrani sebagaimana jelas tertera di dalam kitab-kitab Taurat dan Injil. Ini tidak lain menunjukkan bahawa dalam himpunan hadis-hadis, terdapat beberapa ajaran dari agama lain yang telah “terlepas masuk” sehingga dianggap sebahagian dari ajaran Islam pula. Berbeza halnya dengan al-Qur’an, ianya semua adalah asli dan tulen, 100% ajaran Islam sahaja.

Jawapan:

Tidaklah sesuatu yang memeranjatkan apabila terdapat beberapa hukum atau ajaran di dalam himpunan hadis-hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam yang menyerupai syari’at agama Yahudi dan Nasrani. Ketiga-tiga agama ini, iaitu Yahudi, Nasrani dan Islam, adalah agama-agama samawi yang pada asalnya disyari’atkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala. Setiap darinya diturunkan oleh Allah kepada umat tersendiri melalui para rasul mereka tersendiri, di awali dengan Nabi Musa ‘alaihi salam kepada umat Yahudi, kemudian disusuli dengan Nabi Isa ‘alaihi salam kepada umat Nasrani (Kristian) dan diakhiri dengan Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam kepada umat Islam. Setiap dari tiga agama ini memiliki ciri-ciri syari’at yang berbeza, tetapi tidak dapat dinafikan juga bahawa antara ketiga-tiga agama ini terdapat juga beberapa kesamaan. (Mohamed S. El-Awa – Punishment in Islamic Law, pg. 17)

Penerangan di atas tidak khusus kepada hadis-hadis Rasulullah sahaja, tetapi ia juga adalah benar kepada al-Qur’anul Karim kerana jika kita menyelusurinya dan membandingkan dengan ajaran Yahudi dan Nasrani, akan didapati beberapa persamaan. (Lihat Abraham I. Katsh – Judaism in Islam: Biblical and Talmudic Backgrounds of The Koran and It’s Commentaries) Contohnya ibadat puasa itu sendiri, di mana al-Qur’an sendiri telah menerangkan bahawa ia adalah merupakan suatu ibadah yang juga telah disyari’atkan kepada umat-umat terdahulu. (Lihat Encyclopedia of Islam (edisi Cdrom dibawah tajuk Sawn)) Justeru ada kesamaan dalam perintah berpuasa antara agama Islam dan agama-agama sepenuhnya sebagaimana yang diisyaratkan oleh ayat berikut:

Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa. (al-Baqarah, 2: 183)

Seperkara lain yang perlu diingatkan, bahawa kitab-kitab Taurat dan Injil yang wujud kini, mahupun 1400 tahun yang lalu, tidak dijamin keaslian dan ketulenannya, sekalipun oleh para sarjana Barat. Oleh itu apabila didapati adanya kesamaan antara ajaran hadis-hadis Rasulullah dengan ajaran kitab Taurat dan Injil, seseorang tidak boleh terburu-buru mengatakan bahawa hadis adalah tiruan dari kedua kitab tersebut. Kerana objek yang dijadikan ukuran, yakni kitab Taurat dan Injil, adalah sesuatu yang diragui ketepatannya sehingga tidak boleh dimutlakkan rumusan semata-mata berdasarkannya. Malah jika ada persamaan antara ajaran hadis Rasulullah dengan ajaran kitab Taurat dan Injil, maka hadis tersebut menjadi pembukti terhadap kebenaran ajaran yang dikandung sama oleh kitab Taurat dan Injil tersebut. Apa-apa ajaran di dalam kitab Taurat dan Injil yang tidak wujud sama di dalam hadis-hadis Rasulullah, maka ajaran-ajaran tersebut diragui ketepatan atau kebenarannya. Keterangan yang sama juga mewakili persamaan ajaran antara yang terdapat di dalam al-Qur’an dengan yang terdapat di dalam kitab Taurat dan Injil.

Hadis-hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam banyak yang bercanggah dan berlawanan antara satu sama lain. Oleh itu adalah mustahil untuk merujuk dan menukil sesuatu hukum atau kefahaman dari hadis-hadis.

Jawapan:

Satu perkara yang tidak dinafikan tentang hadis-hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam adalah terdapatnya beberapa percanggahan, pertentangan dan pertembungan antara satu sama lain. Hal ini terjadi kerana beberapa sebab, yang utama adalah kerana Rasulullah mendakwahkan Islam selama 22 tahun lebih dan sepanjang tempoh yang lama tersebut, bicara dan dakwah ditujukan kepada sekian banyak orang atau kumpulan yang terdiri dari pelbagai peringkat keimanan dan daya intelek dan semua ini pula dilatar belakangkan dengan pelbagai persoalan, kes, keadaan dan suasana yang saling berbeza-beza. Faktor-faktor ini telah menyebabkan hadis-hadis pada zahirnya nampak seolah-olah berbeza-beza dan saling bercanggah antara satu sama lain. Bagi mengkaji dan menyuraikan “percanggahan” ini, para ilmuan Islam telah menggariskan beberapa langkah dan kaedah seperti berikut:

[1] Langkah pertama ialah memastikan bahawa antara dua hadis yang bercanggah setiap darinya memiliki status kekuatan yang sama. Jika yang bercanggah adalah antara hadis sahih dengan hadis daif, maka percanggah ditamatkan dengan mengambil hadis sahih sahaja. Jika kedua-dua hadis adalah sahih maka kaedah selanjutnya adalah:

[2] Mengkaji bilakah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menyabdakan hadis-hadis tersebut. Adakalanya dua hadis bercanggah antara satu sama lain kerana yang pertama disabdakan oleh Rasulullah di zaman awal Islam manakala yang kedua disabdakan beliau di zaman pertengahan atau akhir Islam. Hadis yang terakhir tersebut membatalkan hadis yang pertama. Hadis yang membatalkan disebut nasikh manakala hadis yang dibatalkan disebut mansukh.

Hikmah wujudnya nasikh dan mansukh adalah kerana Islam mendidik, mentarbiyah, membina dan membangun umatnya secara berperingkat-peringkat, tidak secara mendadak dan terburu-buru. Oleh itu ada ajaran Islam disyari’atkan secara berperingkat-peringkat sesuai dengan suasana umat, masyarakat dan kekuatan Islam di ketika itu.

Sebelum seseorang membezakan antara hadis nasikh dan hadis mansukh wajib dia mencari bukti dan petunjuk terlebih dahulu bahawa hadis yang awal tersebut (hadis mansukh) telah benar-benar dibatalkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dalam hadis yang terakhir (hadis nasikh).

[3] Kaedah ketiga adalah dengan mengkaji kepada siapakah sesuatu hadis itu ditujukan. Kadang-kadang dua hadis nampak bercanggah kerana ia ditujukan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam kepada dua individu atau kumpulan yang berlainan. Ketahuilah bahawa salah satu kebijaksanaan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam adalah beliau sentiasa memperhatikan kepada siapa dia mengajar dan dari siapa dia menerima soalan. Dengan kebijaksanaan ini beliau dapat menjadi guru dan pemimpin yang bermanfaat kepada semua lapisan masyarakat, sama ada yang tua atau muda, lelaki atau wanita, yang bijak atau yang jahil, yang baru memeluk Islam atau sudah lama dan seterusnya.

[4] Sebab percanggahan sesuatu hadis juga boleh “dirungkaikan/dileraikan” dengan mengkaji suasana dan keadaan sekeliling apabila sesuatu hadis disabdakan. Adakalanya wujud percanggahan kerana satu hadis disabdakan dalam suasana perang dan hadis yang lain pula dalam suasana damai. Boleh juga terjadi percanggahan antara hadis yang disabdakan Rasulullah dalam khutbah kepada orang awam manakala ada hadis yang disabdakan dalam ceramah kecil yang dihadiri oleh beberapa sahabat senior. Dengan mengkaji perbezaan suasana dan keadaan sekelling, dapat difahami kenapa wujudnya percanggahan dan ditemui kefahaman yang sebenar.

[5] Sebab terakhir wujudnya percanggahan adalah kerana kurangnya kefahaman kita sendiri sama ada dari sudut memahami bahasa Arab, perbandingan dengan hadis-hadis lain atau kefahaman kepada seluruh ruh dan tujuan syari’at. Bagi mengelak masalah ini hendaklah seseorang itu memahirkan diri dalam bahasa Arab dahulu. Kemudian apabila berhadapan dengan hadis yang bercanggah, hendaklah dicari semua hadis-hadis yang termasuk dalam bab yang dibincangkan kemudian digarap kefahaman darinya.

Sebagai contoh perhatikan semula perbincangan sebelum ini dalam bab larangan penulisan hadis. Terdapat dua hadis Rasulullah yang bercanggah, yang pertama dari Abu Sa’id al-Khudri yang melarang penulisan hadis manakala yang kedua dari Abdullah bin ‘Amr yang membenarkan penulisan hadis. Akan tetapi setelah dikaji hadis lain dari Abu Hurairah, dapat kita fahami bahawa yang sebenarnya dilarang oleh Rasulullah adalah menulis hadis di atas lembaran yang sama dengan al-Qur’an hingga mungkin menyebabkan percampuran.

Demikian 5 kaedah dan langkah bagi mengkaji dan meleraikan permasalahan hadis-hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam yang kelihatan bercanggah. Tidak dinafikan bahawa untuk menguasai sepenuhnya bidang ini seseorang itu perlu memiliki ilmu menyemak isnad serta pengetahuan yang luas dalam keseluruhan hadis-hadis Rasulullah dan syari’at Islam. Seandainya tidak berkemampuan menguasai bidang ini maka rujuklah kepada para pakarnya, janganlah terburu-buru berkata bahawa disebabkan wujudnya percanggahan mustahil untuk menukil hukum dan kefahaman.

Hadis-hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam banyak yang aneh lagi pelik. Dalam sudut syari’at Islam umpamanya, kita dapati ada hadis yang berkata sesiapa sahaja yang akhir ucapannya adalah “La ilaha illallah” akan masuk syurga!! Hadis ini sudah tentu aneh jika dibandingkan dengan pelbagai syarat dan kewajipan yang telah digariskan oleh al-Qur’an untuk seseorang itu layak masuk syurga. Dari sudut sains pula, kita dapati ada hadis-hadis yang menyalahi penemuan ilmiah yang sah lagi terbukti seperti hadis yang berkata tidak ada penyakit yang berjangkit. Kita juga dapati ada hadis-hadis yang mentsabitkan diri Rasulullah dengan perbuatan yang zalim lagi kejam seperti hadis yang mengatakan Rasulullah telah menghukum beberapa orang dengan mencungkil keluar mata mereka dan membiarkan di tengah gurun sehinggalah ajal menemui mereka.

Bagi kami, contoh-contoh di atas dan banyak lagi sebenarnya bukanlah merupakan sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tetapi adalah rekaan orang-orang terkemudian lalu didustakan atas nama Rasulullah. Rekaan dan kedustaan terlepas masuk ke dalam kitab-kitab hadis yang sahih lagi masyhur. Hadis-hadis seperti ini tidak meninggalkan kita apa-apa pilihan kecuali menolak keseluruhan hadis-hadis kerana ia sebenarnya hanyalah rekaan dan dustaan manusia selepas kewafatan Rasulullah.

Jawapan:

Letak kesilapan Golongan Anti Hadis di sini ialah terburu-buru membuat kesimpulan semata-mata berdasarkan ilmu pengetahuan yang sangat terbatas tanpa mahu mempelajari ilmu hadis secara mendalam terlebih dahulu, seperti mengkaji sebab kelahirannya (asbabul wurud), kaedah lafaz bahasa Arabnya, tujuan atau maksud disebaliknya dan perbandingan dengan hadis-hadis yang lain. Lebih memudahkan adalah bahawa setiap dari hadis-hadis yang didakwa “aneh dan pelik” itu telahpun dijelaskan oleh para ilmuan Islam dalam kitab-kitab syarahan hadis. Tanpa berlengah lagi marilah kita mengkaji dan menjelaskan hadis-hadis “aneh dan pelik” yang disebut di atas.

Pertama: Sesiapa yang akhir ucapannya: “La ilaha illaLlah” akan masuk syurga.

Berikut adalah teks sebenar hadis yang dimaksudkan. Sabda Rasulullah sallallahu-alahi-wasallam:

Barangsiapa akhir perkataannya adalah “La ilaha illallah” maka dia masuk syurga. (Sahih: Hadis dari Muadz bin Jabal radiallahu ‘anhu, dikeluarkan oleh Ahmad, Abu Daud, al-Bazzar, ath-Thabarani (Mu’jam al-Kabir), al-Baihaqi (Syu’aib al-Iman) dan al-Hakim, dinukil dan dinilai sahih oleh as-Suyuti dalam Jamii-us-Sagheir – no: 8965 dan dipersetujui sahih oleh al-Albani dalam Sahih Jamii-us-Sagheir – no: 6479. Lihat juga Sunan Abu Daud – no: 2987 (Kitab Jenazah, Bab Talqin) dan an-Nawawi – Kitab al-Adzkar, m/s. 373)

Hadis di atas sebenarnya disabdakan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam di zaman awal Islam di Kota Makkah. Berkata Ibnu Syihab az-Zuhri (124H), seorang tokoh generasi tabiin: Hadis sebegini hanya pada permulaan Islam sebelum turunnya kewajipan-kewajipan dan larangan. (Dikeluarkan oleh Muhammad bin Isa at-Tirmizi dalam Sunan Tirmizi, jld. 4, m/s. 449 tanpa isnad. Saya berkata isnad atsar ini telah diisyaratkan kedaifan atau ketidak pastiannya memandangkan at-Tirmizi telah mendahuluinya dengan kata-kata: Dan sesungguhnya diriwayatkan dari az-Zuhri.... Qadi Iyadh dalam Ikmal al-Mu’lim bi-Fawa’idi Muslim (juga dikenali sebagai Syarah Sahih Muslim lil Qadi Iyadh), jld. 1, m/s. 254 berkata bahawa ini adalah juga merupakan pendapat majoriti generasi salaf (yakni mereka yang hidup sebelum tahun 300H), di antaranya ialah Sa’id ibnu Musayab (94H), namun Qadi Iyadh juga tidak mengemukakan isnadnya. Oleh itu status riwayat ini kita biarkan terbuka sehingga dapat ditemui isnadnya. Bandingkan juga dengan Syarah Sahih Muslim an-Nawawi, jld. 1, m/s. 63 dan seterusnya) Yakni di zaman permulaan Islam di mana pada saat itu belum disyari’atkan pelbagai ibadah, kewajipan, larangan dan hukuman kecuali sekadar mentauhidkan Allah ‘Azza wa Jalla dan meninggalkan segala amalan syirik yang mereka praktikkan sebelum itu. Pada waktu itu mereka yang baru memeluk Islam diugut dan dipaksa agar meninggalkan Islam dan sesiapa yang enggan – mereka disiksa hingga ke tahap dibunuh dengan kejam. Ketika sedang diugut, disiksa dan sesaat sebelum dibunuh, tiada yang diucapkan oleh mereka kecuali “La ilaha illallah” – Tiada Tuhan selain Allah – secara berulang-ulang sehinggalah mereka dibebaskan atau sehingga maut menemui mereka.

Terhadap umat Islam inilah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda: Barangsiapa yang akhir perkataannya adalah “La ilaha illallah” maka dia masuk syurga dan memang benar bagi mereka adalah ganjaran syurga kerana menegakkan ketauhidan Allah ‘Azza wa Jalla sehingga ke akhir hayat mereka. Senada dengan hadis ini adalah firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam ayat berikut yang juga diturunkan di Kota Makkah:

Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: “Tuhan kami ialah Allah”, kemudian mereka tetap teguh di atasnya, maka tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. Merekalah ahli Syurga, tetap kekal mereka di dalamnya, sebagai balasan bagi amal-amal soleh yang mereka telah kerjakan. (al-Ahqaf, 46:13-14)

Adapun kedudukan hadis ini pada masa kini, maka berkata para ilmuan bahawa ia tetap sah diperlakukan. Sesiapa sahaja yang mentauhidkan Allah Subhanahu wa Ta’ala secara yakin dan benar sehingga ke akhir hayatnya, syurgalah balasannya. Seandainya ada dosa-dosa besar, maka mereka akan diazab setimpal dengan kadar dosa masing-masing dan akhirnya tetap akan dimasukkan ke dalam syurga Allah Tabaraka wa Ta’ala. (at-Tirmizi – Sunan Tirmizi, jld. 4, m/s. 449)

Kedua: Tidak ada penyakit berjangkit.

Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam yang dimaksudkan adalah seperti berikut:

Tidak boleh menjangkitkan penyakit, dan tidak boleh mengundi nasib, dan tidak boleh mempercayai Hama (Hama berasal dari satu adat Jahiliyah yang mempercayai ruh seseorang yang mati dibunuh akan keluar dari kuburnya dalam bentuk jelmaan manusia atau burung dan ia akan mencela tuannya yang mati terbunuh itu. Demikian terang Mahmoud Matraji dalam Sahih Muslim yang beliau terjemahkan, jld. 3B, m/s. 465), dan tidak boleh mempercayai (kecelakaan) bulan Safar, dan larilah kamu dari penyakit Kusta sebagaimana kamu lari dari seekor singa. (Sahih: Hadis dari Abu Hurairah radiallahu ‘anhu, dikeluarkan oleh al-Bukhari sahaja dengan lafaz di atas. Lihat Sahih Bukhari – no: 5707. (Kitab at-Tibb, Bab (Penyakit) Kusta). Hadis seumpama juga diriwayatkan oleh Abdullah ibnu Umar dan Anas bin Malik radiallahu ‘anhuma dan dikeluarkan oleh Malik, Ahmad, Bukhari, Muslim dan ramai lagi)

Perkataan Laa ‘Udwa (?? ????) biasanya diterjemahkan sebagai tiada penyakit berjangkit atau tidak ada penyakit berjangkit. Akan tetapi dalam kaedah bahasa Arab, perkataan Laa tersebut boleh memiliki dua erti, yang pertama sebagai menunjukkan satu “peniadaan” (nafyun) dan yang kedua sebagai menunjukkan satu “larangan” (nahyun). Kaedah bahasa Arab ini boleh juga kita lihat dalam ayat al-Qur’an berikut:

(Masa untuk mengerjakan ibadat) Haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Oleh yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat Haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri, dan tidak boleh membuat maksiat, dan tidak boleh bertengkar dalam masa mengerjakan ibadat Haji. (al-Baqarah, 2: 197)

Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala di atas bukanlah bermaksud satu peniadaan seperti tidak ada persetubuhan, tidak ada kemaksiatan dan tidak ada pertengkaran kerana tiga perkara ini memang sentiasa wujud dan tidak boleh dihapuskan begitu sahaja. Akan tetapi yang dimaksudkan adalah larangan, iaitu jangan bersetubuh, jangan bermaksiat dan jangan bertengkar.

Perhatikan pula sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dalam hadis berikut:

Tidak boleh membuat mudharat dan tidak boleh memudharatkan. (Sahih: Hadis mutawatir dikeluarkan oleh Ahmad, ad-Daruquthni, Ibnu Majah dan lain-lain, dinukil dan dinilai hasan oleh as-Suyuti dalam Jamii-us-Sagheir – no: 9899 juga dinilai sahih oleh al-Albani dalam Irwa’-ul-Ghaleel – no: 896) Sekali lagi perkataan Laa tidak bermaksud peniadaan kerana unsur mudharat memang sentiasa wujud. Yang dimaksudkan adalah larangan iaitu jangan melakukan sesuatu yang memudharatkan diri sendiri dan jangan pula melakukan sesuatu yang memudaratkan orang lain.

Kembali kepada hadis asal di atas, yang dimaksudkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam adalah tidak boleh membiarkan penyakit menjangkit, membiak, menjalar, menular dan merebak. (Abdullah bin Ali an-Najdy al-Qushaimy – Memahami Hadits-hadits Musykil, m/s. 101-107. Dalam bab ini terdapat beberapa pendapat lain sebagaimana yang telah dihimpunkan oleh Ibnu Hajar al-Asqalani dalam Fathul Bari, jld. 11, m/s. 407-411. Lihat juga al-‘Aini: Umdat al-Qari, jld. 14, m/s. 749-752, as-Suyuti: at-Tausih, jld. 8, ms 3552-3554, al-Qari – Mirqatul Mafatih Syarah Misykah al-Masabih, jld. 8, m/s. 341 dan seterusnya dan kitab-kitab syarah yang lain) Hadis tersebut tidak bererti bahawa penyakit berjangkit tidak wujud. Bukankah di penghujung hadis sedia terdapat petunjuk bahawa wujudnya penyakit yang berjangkit, iaitu apabila Rasulullah menyuruh kita menjauhkan diri dari penyakit Kusta? Perhatikan juga hadis-hadis di bawah ini sebagai penyokong kepada keterangan penulis di atas, bahawa yang sebenarnya dimaksudkan oleh Rasulullah adalah jangan membiarkan sesuatu penyakit itu menjangkit, merebak dan menular.

Janganlah orang yang sakit mengunjungi orang yang sihat. (Sahih: Hadis dari Abu Hurairah radiallahu-anhu, dikeluarkan oleh Bukhari dan Abu Daud, lihat Sahih Bukhari – no: 5771 & 5774. (Kitab at-Tibb, Bab Tidak boleh menjangkitkan penyakit).)

Apabila kamu mendengar satu wabak penyakit berjangkit di sesuatu daerah maka janganlah memasuki ia (daerah tersebut). Dan apabila kamu berada dalam daerah yang sedang dilanda wabak penyakit berjangkit maka janganlah kamu keluar darinya. (Sahih: Hadis dari Abdurrahman bin ‘Auf dan Sa’ad radiallahu ‘anhuma, dikeluarkan oleh Ahmad, Abu Uwanah, Bukhari, Muslim dan lain-lain, lihat Sahih Bukhari – no: 5728 & 5729. (Kitab at-Tibb, Bab Apa yang diperkatakan tentang wabak penyakit))

Ketiga: Kezaliman hukuman Rasulullah.

Dakwaan kezaliman ini merujuk kepada keterangan Anas bin Malik radiallahu ‘anhu dalam hadis berikut:

Bahawa datang beberapa orang yang sakit (kepada Rasulullah) dan mereka berkata: Wahai Rasulullah, berilah kami tempat berlindung dan makanan. Setelah itu mereka menjadi sihat semula, lalu mereka kata pula: Cuaca Madinah kurang sesuai untuk kami.

Maka Rasulullah menghantar al-Harra (Beliau juga dikenali sebagai Yasar an-Nubi yang berasal dari selatan Mesir. Beliau adalah adalah salah seorang budak kerja Rsulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam yang mengembala unta-unta tersebut. Demikian terang Jala Abu al rub dalam kitab Za’adul Ma’ad yang diterjemahnya, jld. 1, m/s. 179) bersama beberapa unta betina kepunyaan baginda dan berkata: Minumlah susu (dan air kencingnya). (Dalam beberapa riwayat lain disebut dengan tambahan “dan air kencingnya”. Lihat Sahih Bukhari – no: 5686. (Kitab at-Tibb, Bab Mengubati dengan air kencing unta)) Kemudian setelah menjadi sihat semula, mereka membunuh pengembala Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan menghalau unta-unta tersebut.

Lalu Rasulullah mengantar beberapa orang untuk mengejar mereka dan setelah berjaya ditangkap, baginda memerintahkan agar tangan dan kaki mereka dipotong dan mata mereka dicucuk dengan besi panas.

Aku (Anas bin Malik) melihat mereka menjilat tanah dengan lidah (kerana dahaga) sehinggalah mereka mati. (Sahih: Hadis dikeluarkan oleh Ahmad, Bukhari, Muslim dan lain-lain dengan lafaz yang sedikit berbeza-beza tetapi dengan maksud yang sama. Lihat Sahih Bukhari – no: 5685. (Kitab at-Tibb, Bab Mengubati dengan susu unta))

Sekali imbas kelihatan hukuman Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam di atas adalah kejam lagi zalim. Akan tetapi bertenanglah kerana hukum tersebut sebenarnya adalah Qishash atau timbal balik dari apa yang mereka lakukan ke atas unta-unta dan pengembala Rasulullah yang bernama al-Harra. A’isyah radiallahu ‘anha menerangkan bahawa unta-unta tersebut telah disiksa terlebih dahulu sebelum dihalau. (Dinilai sahih oleh al-Albani dalam Sahih Sunan an-Nasai – no: 4048. (Kitab tentang darah yang diharamkan, Bab beberapa perbezaan Thalhah bin Musharif.......)) Mereka kemudian memotong tangan dan kaki pengembala Rasulullah (Disebut oleh Ibnu Ishaq dan dinukil oleh Ibnu Qayyim dalam Hasyiyah Ibnu Qayyim Syarah Sunan Abu Daud, jld. 12, m/s. 18) dan menyucuk matanya dengan besi panas. (Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dan an-Nasai, lihat Sahih Muslim – no: 1671-7. (Kitab Perjanjian, Hukuman Pembunuh, al-Qishash dan Diat, Bab Hukum pembunah dan orang murtad)) Setelah itu semua mereka murtad dari Islam dan mula memerangi umat Islam lainnya. (Dinilai sahih oleh al-Albani dalam Sahih Sunan an-Nasai – no: 4042. (Kitab tentang darah yang diharamkan, Bab Beberapa perbezaan nukilan khabar Humaid dari Anas))

Maka atas kekejaman mereka inilah Rasulullah Shallallahu ‘alahi wa sallam menghukum mereka dan hukuman yang dijatuhkan adalah serupa dengan tindakan mereka sendiri. (Lebih lanjut lihat Ibnu Hajar al-Asqalani – Fathul Bari, jld. 11, m/s. 286-288; al-‘Aini – Umdat al-Qari, jld. 14, m/s. 674-676 dan lain-lain kitab syarah)

Demikian penjelasan bagi tiga hadis yang dikatakan aneh dan pelik, yang pertama dijelaskan dari sudut sejarah kelahirannya (asbabul wurud), yang kedua dari sudut kaedah bahasa Arab dan yang ketiga dari sudut himpunan dan kajian lain-lain riwayat yang rapat berkaitan. Tiga kaedah ini jugalah yang harus ditempuhi oleh sesiapa yang ingin mencari penjelasan bagi mana-mana hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam yang pada awalnya kelihatan aneh dan pelik. Janganlah terburu-buru membuat kesimpulan bahawa hadis-hadis seperti ini adalah semata-mata rekaan dan dustaan orang-orang selepas kewafatan Rasulullah kerana ini tidak lain hanya membuktikan kejahilan diri sendiri sahaja.

Terdapat hadis-hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam yang menceritakan tentang urusan dan perkara-perkara ghaib seperti azab dalam kubur, peristiwa dalam syurga dan neraka, pengkhabaran syaitan dan jin dan ramalan tentang perkara-perkara masa depan yang bakal terjadi. Padahal Allah Subhanahu wa Ta’ala telahpun menerangkan dalam al-Qur’an bahawa urusan dan perkara ghaib tidak dapat diketahui oleh sesiapa jua. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

Katakanlah lagi: Tiada sesiapapun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib melainkan Allah! Dan tiadalah mereka menyedari bilakah masing-masing akan dibangkitkan hidup semula (sesudah mati). (an-Naml, 27: 65)

Demikian juga para Nabi dan Rasul Allah, mereka semua tidak mengetahui perkara-perkara ghaib. Seandainya mereka berkata mereka mengetahuinya, tergolonglah mereka di kalangan orang-orang yang zalim. Hal ini diungkapkan oleh Allah Azza wa Jalla dalam ayat berikut melalui lisan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

Dan aku tidak pernah berkata kepada kamu: di sisiku ada perbendaharaan Allah, dan tidaklah aku mendakwa mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan aku tidak mengatakan bahawa aku ini malaikat; dan aku juga tidak berkata terhadap orang-orang yang beriman yang kamu pandang hina itu, bahawa Allah tidak akan memberi kebaikan kepada mereka. Allah lebih mengetahui akan apa yang ada di dalam hati mereka. Sesungguhnya aku jika bertindak demikian, nescaya menjadilah aku dari orang-orang yang zalim. (Hud, 11: 31)

Oleh itu tidak syak lagilah bahawa hadis-hadis perkara ghaib ini bukanlah berasal dari ajaran Rasulullah tetapi sebenarnya adalah rekaan dan dustaan orang-orang selepas kewafatan baginda sekalipun ia memang tercatit dalam kitab-kitab hadis yang sahih.


Jawapan:

Memang benar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tidak mengetahui akan urusan dan perkara ghaib – kecuali apa yang diketahuinya dari wahyu dan pengkhabaran Allah Tabaraka wa Ta’ala sendiri. Memang benar bahawa hanya Allah Azza wa Jalla sahaja yang mengetahui urusan dan perkara ghaib akan tetapi ketahuilah bahawa Allah adakalanya membuka pintu-pintu ilmu ghaib ini kepada para Rasul-Nya. Hal ini dikhabarkan sendiri oleh Allah Subhanahu waTa’ala melalui firman-Nya:

Tuhanlah sahaja yang mengetahui segala yang ghaib, maka Ia tidak memberitahu perkara ghaib yang diketahui-Nya itu kepada sesiapapun; melainkan kepada mana-mana Rasul yang diredhai-Nya; maka Ia mengadakan di hadapan dan di belakang Rasul itu malaikat-malaikat yang menjaga dan mengawasnya (sehingga perkara ghaib itu selamat sampai kepada yang berkenaan). (al-Jinn, 72: 26-27)

Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam al-Qur’an telahpun menerangkan bahawa Dia mengajar Rasul-Nya Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam perkara-perkara yang tidak diketahuinya dan mewahyukan kepada baginda beberapa perkara dan berita ghaib. Perhatikan dua ayat berikut:

Dan Allah telah menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (Al-Quran) serta Hikmah (pengetahuan yang mendalam), dan telah mengajarkanmu apa yang engkau tidak mengetahuinya. Dan adalah kurnia Allah yang dilimpahkan-Nya kepada kamu amatlah besar. [an-Nisaa’ 4:113]

Katakanlah (wahai Muhammad): Aku tidak mengatakan kepada kamu (bahawa) perbendaharaan Allah ada di sisiku, dan aku pula tidak mengetahui perkara-perkara yang ghaib; aku juga tidak mengatakan kepada kamu bahawasanya aku ini malaikat, aku tidak menurut melainkan apa yang diwahyukan kepadaku. (al-An’aam 6: 50)

Oleh itu apa yang diterangkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tentang urusan dan perkara ghaib bukanlah berasal dari pengetahuan atau khayalannya sendiri dan bukan juga berasal dari rekaan serta dustaan orang-orang selepas baginda. Ia sebenarnya berasal dari pengajaran dan wahyu yang diwahyukan oleh Allah Subhanahu waTa’ala kepada baginda.

Sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sebenarnya telah mengakibatkan umat Islam menjadi mundur, jumud lagi terbatas fikiran mereka. Ini adalah kerana dengan fahaman “mengikut sunnah Rasulullah” maka umat Islam telah membataskan diri mereka kepada segala tradisi, perbuatan dan tingkah laku Rasulullah sahaja, tidak lebih dari itu. Maka tinggallah umat Islam masa kini mundur dengan fikiran dan perbuatan 1400 tahun yang lalu manakala umat lain terus maju ke hadapan.

Jawapan:

Sebenarnya amalan “mengikut sunnah Rasulullah” bukanlah merupakan rekaan manusia semata-mata tetapi adalah berdasarkan prinsip yang digariskan oleh al-Qur’an sendiri. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang). (al-Ahzab, 33: 21)

Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (‘Ali Imran, 3: 31)

Dua ayat ini jelas menyuruh kita umat Islam untuk mengikut dan mencontohi Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, iaitu mengikuti dan meneladani percakapan, perbuatan, pengiktirafan, jalan pimpinan, etika, dan tatacara baginda. Inilah yang dimaksudkan sebagai sunnah Rasulullah. Ikutan dan teladan ini bukanlah sekadar satu anjuran sahaja tetapi adalah merupakan prasyarat bagi seseorang itu membuktikan kasih sayangnya kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala. Inilah maksud ayat 31 surah ‘Ali Imran di atas, di mana Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman melalui ungkapan kata-kata Rasulullah, bahawa seandainya seseorang itu mengasihi Allah maka hendaklah dia membuktikan kasih sayang tersebut dengan mengikuti sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.

Perkara yang tidak disedari oleh Golongan Anti Hadis dan mungkin juga sesetengah kita adalah bahawa sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam yang perlu kita ikuti hanyalah sunnah dalam urusan agama dan syari’at manakala sunnah dalam urusan duniawi, kita diberikan kelonggaran. Dalil yang membahagikan keumuman ayat-ayat Allah Ta’ala di atas kepada “dua jenis” sunnah adalah sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sendiri:

Sesungguhnya aku hanyalah manusia, apabila aku memerintahkan kalian sesuatu berkenaan agama kalian maka berpeganglah kalian dengannya dan apabila aku memerintahkan kamu sesuatu daripada pandangan persendirian maka aku hanyalah seorang manusia. (Sahih: Hadis dari Rafi bin Khadji radiallahu-anhu, dikeluarkan oleh Muslim, lihat Sahih Muslim – no: 2362. (Kitab al-Fadail, Bab Kewajipan Mengikuti Rasulullah dalam Urusan Agama dan Bebas Mengikut Fikiran Sendiri dalam Urusan Lain). Terdapat juga hadis senada dari Musa bin Talha radiallahu-anhu, Sahih Muslim – no:2361.)

Kalian lebih mengetahui tentang urusan dunia kalian. (Sahih: Hadis dari Anas bin Malik radiallahu-anhu, dikeluarkan oleh Malik dan Muslim, lihat Sahih Muslim – no: 2363. (Kitab al-Fadail, Bab Kewajipan Mengikuti Rasulullah dalam Urusan Agama dan Bebas Mengikut Fikiran Sendiri dalam Urusan Lain))

Kedua-dua hadis ini berasal dari peristiwa penanaman pokok kurma. Pernah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam melihat orang-orang sedang memindahkan debunga kurma antara pokok ke pokok bertujuan mempercepat dan memperbanyakan penghasilan buah kurma. Melihat demikian Rasulullah berkata: Aku tidak melihat adanya faedah padanya. Lalu mereka meninggalkan usaha tersebut dan nyata selepas itu hasil kurma mulai berkurangan. Rasulullah diberitahu akan akibat ini lalu baginda bersabda seperti dua hadis di atas.

Kedua-dua hadis ini jelas menerangkan bahawa umat Islam tidak diwajibkan mengikuti keseluruhan perintah dan perbuatan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Hadis-hadis ini menerangkan bahawa dalam perintah dan perbuatan Rasulullah atau tepatnya – sunnah Rasulullah – terdapat dua kategori, yang pertama adalah berkenaan risalah syari’at Islam dan yang kedua adalah berkenaan pendapat dirinya sendiri sebagai seorang manusia. Yang pertama wajib diikuti oleh semua umat Islam manakala yang kedua tidak wajib dikuti melainkan dalam beberapa kes tertentu di mana baginda telah memerintahkannya secara tegas.

Contohnya dalam urusan makanan, umat Islam boleh makan apa yang mereka suka dengan cara masakan yang mereka gemari tanpa terikat kepada sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Akan tetapi mereka wajib memastikan bahawa makanan yang diperolehi adalah dari kaedah yang halal, iaitu halal sembelihannya dan halal cara perolehannya dan wajib menyuap ke mulut dengan tangan kanan tanpa mengira sama ada mengunakan jari-jari sendiri atau dengan menggunakan perkakas sudu, garpu dan pisau. Juga dilarang makan di atas perkakas yang diperbuat dari logam berharga. Disunatkan juga untuk berdoa sebelum dan selepas makan, tidak makan secara berlebihan, hendaklah berkongsi makanan, menghabiskan (melicinkan) semua yang tertinggal dipinggan dan jari, dan beberapa lagi – semua ini dikatakan wajib dan sunat hukumnya kerana ia telah diperintah, dilarang dan dianjurkan secara terperinci oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.

Contoh kedua ialah dalam urusan peperangan di mana umat Islam bebas menggunakan apa sahaja senjata dan strategi peperangan tanpa terikat kepada pedang, lembing dan anak panah sebagaimana yang digunakan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan umat Islam di zaman baginda. Akan tetapi umat Islam tetap wajib mengikuti beberapa sunnah Rasulullah dalam urusan peperangan, antaranya memberi masa tiga hari kepada pihak musuh untuk berserah diri sebelum menyerang mereka, tidak membunuh wanita serta kanak-kanak dan tidak merosakkan tanaman dan harta benda. Semua ini wajib diikuti kerana telah diperintah dan dilarang secara terperinci oleh Rasulullah.

Contoh ketiga ialah dalam kaedah pengubatan penyakit. Umat Islam tidak diwajibkan berubat dengan perubatan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam seperti berbekam, minum madu bagi sakit perut, bercelak bagi menjaga penglihatan mata, minum air Habatus Saudah bagi penyakit umum dan pelbagai lagi. Akan tetapi umat Islam tetap terikat dengan beberapa sunnah Rasulullah dalam urusan perubatan ini kerana ia telah diperintahkan secara khusus oleh beliau, antaranya ialah wajib berubat bagi setiap yang sakit, tidak boleh berubat dengan bahan yang diharamkan dan orang yang mengubati (doktor) mestilah yang bertanggung jawab dalam kerjanya.

Demikian tiga contoh bagi membezakan antara sunnah duniawi Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam yang wajib dan tidak wajib diikuti. Umumnya sesuatu sunnah Rasulullah dalam konteks beliau sebagai seorang manusia biasa tidak wajib kita ikuti kecuali jika sunnah tersebut memiliki perintah atau larangan yang tegas di dalamnya. Jika seseorang itu dapat membezakan antara “dua jenis” sunnah ini seperti siang dan malam, maka tidak akan timbul lagi dakwaan bahawa mengikut sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bererti mengikut tamadun dan peradaban yang 1400 tahun terkebelakang.

Adalah juga tidak benar dakwaan bahawa sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah menyebabkan umat Islam jadi mundur dan tidak maju. Perlu ditentukan apakah faktor sebenar yang menyebabkan kemunduran tersebut, adakah sunnah Rasulullah atau sunnah umat Islam masa kini yang tidak berilmu, tidak kreatif, tidak inisiatif, serba malas, serba lemah rohani dan jasmani, suka bertengkar, leka dengan dunia, tamak dengan harta, memikirkan diri sendiri dan pelbagai lagi.

Sebenarnya jika dikaji, ditelaah dan diselidiki sunnah-sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam akan didapati bahawa ia sangat-sangat menganjurkan umat Islam ke arah kemajuan dan kejayaan. Sebagai langkah pertama, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah mewajibkan umatnya menuntut ilmu. Perintah beliau:

Menuntut ilmu itu adalah wajib bagi setiap muslim. (Sahih: Hadis mutawatir dikeluarkan oleh Ibnu Adiy, al-Baihaqi, ath-Thabarani, al-Khatib dan lain-lain, dinukil dan dinilai sahih oleh as-Suyuti dalam Jamii-us-Sagheir – no: 5264 dan dipersetujui sahih oleh Nasiruddin Albani dalam Sahih Jamii-us-Sagheir – no: 3913)

Orang yang memiliki ilmu adalah lebih utama kedudukan mereka dari orang yang beribadah sahaja, sebagaimana yang dineracai oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

Keutamaan ilmu adalah lebih baik dari keutamaan ibadah dan sebaik-baik agama kalian adalah bersifat wara’. (Hasan: Hadis dari Hudzaifah bin al-Yaman radiallahu-anhu, dikeluarkan oleh ath-Thabarani dalam Mu’jam al-Ausath dan al-Bazzar, dinukil dan dinilai hasan oleh al-Mundziri dalam at-Tarhib wat-Targhib – no: 103 (Kitab al-Ilmu, Bab Anjuran dalam berilmu.......) dan dipersetujui hasan oleh pentahqiq Samir Ahmad al-‘Atha dan rakan-rakan.)

Pasti sahaja yang dimaksudkan oleh hadis di atas adalah orang-orang yang menyibukkan diri dengan ibadah sunat sahaja, yang wajib tetap wajib. Selain itu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam juga sangat menganjurkan umatnya untuk berfikir, berikhtiar, kreatif lagi inisiatif. Anjuran ini dapat kita fahami dari hadis baginda yang tidak mahu umatnya mengikut dirinya sahaja semata-mata tetapi terus maju ke hadapan dalam urusan duniawi masing-masing:

Kalian lebih mengetahui tentang urusan dunia kalian.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam juga menganjurkan umat Islam untuk mencari, mengambil dan memanfaatkan ilmu, kepakaran dan pengetahuan dari sesiapa sahaja termasuk dari orang-orang bukan Islam asalkan ilmu tersebut tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Sabda baginda:

Kalimah al-Hikmah ialah barangan orang Islam yang hilang, di mana sahaja kamu menjumpainya kamulah yang lebih berhak terhadapnya.

Seterusnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sangat menganjurkan umat Islam untuk berkerja. Adalah tidak benar dakwaan dan tafsiran segelintir umat Islam bahawa sunnah Rasulullah hanya menekankan kehidupan di Akhirat dan meremehkan kehidupan di dunia. Perhatikan sabda Rasulullah berikut ini:

Seandainya Hari Kiamat (hampir) datang dan di tangan seseorang kalian terdapat sepohon kurma yasng hendak ditanamnya, jika dia mampu menanamnya sebelum Kiamat tersebut maka hendaklah dia menanamnya. (Sahih: Hadis dari Anas bin Malik radiallahu-anhu, dikeluarkan oleh Ahmad, at-Taylisi, al-Bukhari dalam Adab al-Mufrad - no: 479 dan lain-lain, dinilai sahih oleh Nasiruddin Albani dalam Silsilah Hadis Sahih – no. 09)

Sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam yang sebenar adalah hendaknya setiap orang Islam berkerja di dunia ini dan perkerjaan tersebut hendaklah dilakukan sebaik mungkin, secara profesional, bijak, cekap dan kompeten. Kecekapan seseorang Muslim itu diumpamakan oleh Rasulullah seperti orang yang dapat membunuh cicak dengan sekali pukulan maka dia mendapat sekian-sekian markah manakala sesiapa yang berjaya membunuh hanya selepas dua kali cubaan maka dia mendapat markah yang kurang dan begitulah seterusnya. Kecekapan dan kehandalan seorang mukmin itu juga mengelak diri mereka dari melakukan dua kesilapan yang sama secara berulang, diumpamakan oleh Rasulullah seperti orang yang tidak akan disengat dari satu sarang binatang dua kali.

Perhatikan hadis-hadis berikut:

Sesungguhnya Allah Ta’ala mengasihi jika seseorang itu berkerja, dia berkerja dengan cemerlang. (Sahih: Hadis dari A’isyah radiallahu ‘anha, dikeluarkan oleh Abu Ya’la dan al-Baihaqi, dinilai sahih oleh Mokhtar Ahmad an-Nadwi dalam Jamii’ li Syu’aib al-Iman – no: 4930 (Bab Tentang Amanah...))

Sesungguhnya Allah mencintai orang yang berkerja, apabila dia berkerja dia melakukannya secara ihsan (sebaik-baiknya, sesempurna mungkin). (Hasan: Hadis dari Kulaib bin Shahab, dikeluarkan oleh ath-Thabarani dalam Mu’jam al-Kabir dan al-Baihaqi dalam Jamii’ li Syu’aib al-Iman – no: 4932, isnadnya daif sepertimana terang Mokhtar Ahmad al-Nadwi. Namun penulis menilainya hasan kerana matannya disokongi oleh sebuah hadis lain dari Syaddad bin Aus dalam Sahih Muslim – no: 1955 yang bermaksud: Sesungguhnya Allah mewajibkan ihsan dalam segala hal. Jika kalian membunuh (binatang buruan) maka hendaklah dibunuh dengan ihsan. Jika kalian menyembelih, sembelihlah dengan ihsan. Hendaklah seseorang kamu menajamkan pisaunya dan mengistirehatkan sembelihannya (terlebih dahulu))

Sesungguhnya Allah Ta’ala mencintai seseorang mukmin yang profesional. (Hasan: Hadis dari Abdullah ibnu Umar radiallahu-anhuma, dikeluarkan oleh ath-Thabarani dalam Mu’jam al-Kabir dan al-Baihaqi dalam Syu’aib al-Iman, dinukil dan dinilai daif oleh as-Suyuti dalam Jamii-us-Sagheir – no: 1873. al-Munawi telah membincangkan kedaifan isnadnya dalam Faidh al-Qadir Syarah Jamii-us-Sagheir, jld 2, ms 290-291 dan beliau menukil kata-kata as-Sakhawi bahawa hadis ini memiliki beberapa penguat (syawahid). Penulis berkata, penguatnya adalah dari sudut matan di mana ia selari dengan hadis-hadis lain yang telah dinukil dalam bab ini di mana semuanya menganjurkan orang Islam berkerja dengan sebaik-baiknya)

Sesiapa yang membunuh seekor cicak dengan sekali pukulan maka baginya sekian-sekian kebaikan. Dan sesiapa yang membunuhnya dengan pukulan yang kedua maka baginya sekian-sekian kebaikan, kurang dari yang pertama tadi. Dan jika seseorang dapat membunuhnya dengan pukulan yang ketiga maka baginya sekian-sekian kebaikan, kurang dari yang kedua tadi. (Sahih: Hadis dari Abu Hurairah radiallahu-anhu, dikeluarkan oleh Ahmad, Muslim dan lain-lain, lihat Sahih Muslim – no: 2240. (Kitab as-Salam, Bab Dorongan membunuh cicak).)

Tidaklah seorang mukmin akan disengat dua kali dari satu lubang (sarang binatang) yang sama. (Sahih: Hadis dari Abu Hurairah radiallahu-anhu dikeluarkan oleh Bukhari, Muslim dan lain-lain, lihat Sahih Muslim – no: 2998. (Kitab az-Zuhud dan Kata-kata yang melembutkan hati (ar-Raqaiq), Bab Seorang mukmin tidak akan disengat dua kali .......))

Sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam juga tidak menghalang seseorang itu dari memiliki harta, asalkan sahaja harta tersebut diperolehi secara halal dan dimanfaatkan secara halal juga. Dia tidak kikir dan tidak boros, tidak leka dan tidak terlalu khusyuk dengannya. Inilah maksudnya harta yang dimiliki oleh seorang yang soleh sebagaimana sabda baginda:

Sebaik-baik harta yang halal adalah harta yang dimiliki oleh orang yang soleh. (Sahih: Sebahagian dari hadis yang panjang dari ‘Amr al-Ash radiallahu-anhu, dikeluarkan oleh Ahmad dan Abu Ya’la, dinilai sahih oleh al-Haithami dalam Majma az-Zawaaid – no: 6242)

Demikian beberapa hadis terpilih dari puluhan lain yang sedia ada, semuanya menganjurkan kita untuk menjadi umat yang berilmu, berfikir, berkerja dan sentiasa berusaha ke arah kejayaan. Terdapat beberapa hadis lain yang pada zahirnya seolah-olah menyuruh umat untuk menyisihkan dunia dan segala urusannya. Hadis-hadis seperti ini sebenarnya tidak terlepas dari dua penjelasan:

[1] Isnadnya daif (lemah) atau maudhu’ (palsu). Hadis-hadis sebegini memang banyak disebarkan oleh segelintir ahli zuhud, ahli tereqat dan mereka yang sempit pandangan tentang Islam. Hadis-hadis ini tidak boleh dijadikan hujah.

[2] Jika isnadnya sahih, maka yang dimaksudkan adalah memberi peringatan kepada umat supaya tidak terlalu leka dan taksub dengan urusan duniawi sehingga lupa tentang kehidupan Hari Akhirat. Islam mengajar umatnya supaya berusaha untuk kejayaan dunia dan Hari Akhirat, tidak dunia sahaja atau Hari Akhirat sahaja. Islam juga mengajar umatnya bahawa berusaha di dunia bukanlah untuk meraih ganjaran duniawi semata-mata tetapi ia hanya satu jalan untuk mencapai ganjaran yang hakiki di Hari Akhirat kelak.

Dalam Sirah Nabawiyah kita dapat melihat bagaimana Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dalam masa 23 tahun telah menukar satu generasi manusia yang berpuak-puak, jahil lagi mundur menjadi satu generasi yang bersatu, maju lagi berjaya. Ini adalah bukti terkuat tentang peranan yang dimainkan oleh sunnah Rasulullah dalam membimbing umat ke arah kejayaan. Oleh itu sangat perlu dibezakan apakah faktor sebenar yang menyebabkan kemunduran umat masa kini. Tegasnya kemunduran umat masa kini bukanlah kerana mengikuti sunnah Rasulullah tetapi adalah kerana meninggalkannya atau tidak memahaminya dengan pemahaman yang sebenar.

Wednesday, July 23, 2008

068 - Membedah Syubhat-syubhat Utama Golongan Anti Hadis (Qur’aniyun)

Membedah Syubhat-syubhat Utama Golongan Anti Hadis (Qur’aniyun)

http://bahaya-syirik.blogspot.com/

Setelah kita mengenali beberapa sisi dari dari sejarah, kerangka pemikiran, methode, dan asas-asas pembinaan kelompok/kumpulan mereka, insyaAllah, sekarang kita teliti dan selidiki pula secara semula dan tuntas terhadap syubhat-syubhat utama mereka dalam memperkuatkan hujah yang dibawa. Selanjutnya kita jelaskan bantahan demi bantahan akan hakikat penyimpangan yang mereka lakukan ke atas pemahaman masyarakat terhadap agama yang sebenar.

1 - Syubhat pertama:

Mereka mendakwa, cukuplah al-Qur’an sebagai penjelas kepada segala sesuatu. Tidak perlu kepada sunnah/hadis-hadis Rasulullah atau yang lain. Ini adalah antaranya berdasarkan ayat-ayat al-Qur’an berikut,

“Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab (Al-Quran) ini.” (al-An’aam, 6: 38)

“(Katakanlah): Patutkah aku hendak mencari hakim selain dari Allah, padahal Dia lah yang menurunkan kepada kamu kitab al-Quran yang jelas nyata kandungannya satu persatu?” (al-An’aam, 6: 114)

“Dan sesungguhnya Kami telah datangkan kepada mereka, sebuah Kitab (al-Quran) yang Kami telah menjelaskannya satu persatu berdasarkan pengetahuan (Kami yang meliputi segala-galanya), untuk menjadi hidayah petunjuk dan rahmat, bagi orang-orang yang (mahu) beriman.” (al-‘Araaf, 7: 52)

“Alif, Laam, Raa’. Al-Quran sebuah Kitab yang tersusun ayat-ayatnya dengan tetap teguh, kemudian dijelaskan pula kandungannya satu-persatu. (Susunan dan penjelasan itu) adalah dari sisi Allah Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Mendalam pengetahuan-Nya.” (Hud, 11: 01)

Bantahannya:

Benar, telah disepakati bersama bahawa al-Quran telah menjelaskan dasar-dasar syariat dan sebahagian dari perincian juz’iyahnya, akan tetapi apa yang didakwakan mereka bahawa al-Quran telah menjelaskan segala sesuatu yang ada dalam syari’at Islam ini sama ada asas-asas atau perincian juz’iyahnya yang diperlukan dalam agama merupakan kedustaan kerana bagaimana kita akan mengetahui bahawa solat itu difardhukan lima waktu dengan perincian jumlah rakaat dan bacaan dalam setiap gerakan solat dan berapa ukuran nishab dari zakat yang diambil/dikeluarkan dan lain-lainnya, bukankah perkara tersebut diketahui dari penjelasan dan keterangan Rasulullah?

Seandainya al-Quran telah menjelaskan seluruh agama sehingga tidak memerlukan kepada penjelasan dan tafsir Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa Sallam sebagaimana diyakini oleh mereka, maka apa faedahnya Allah memerintahkan Rasulullah Shallallahu 'alaihi Wa Sallam untuk menjelaskannya kepada manusia dan mengapa kita diperintahkan untuk taat dan melaksanakan seluruh apa yang diperintahkan Rasulullah dan menjauhi yang dilarangnya? Juga kenapa kita diminta menjadikan Rasulullah sebagai suri contoh tauladan yang baik dan ikutan?

Sebenarnya Allah tidak menetapkan (me-nashkan) dalam kitab-Nya semua perincian juz’iyah demi juz’iyah syariat, akan tetapi menjelaskan asas-asas yang umum pada sebahagian tempat dan khusus pada sebahagian tempat yang lain, menerangkan kaedah-kaedah dan dasar-dasar tertentu dari syariat, dan di antara dasar-dasar yang dijelaskan melalui al-Quran adalah beramal dengan sunnah Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam, sebagaimana dalam firman-Nya:

وَمَآءَاتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَانَهَاكُمْ عَنْهُ فَانتَهُوا

“Apa Apa yang diberikan Rasul kepadamu maka terimalah dia.Dan apa yang dilarangnya bagimu maka tinggalkanlah.” (al-Hasyr, 59: 7)

Mungkin hal itu karena mereka salah dalam memahami firman Allah:

لَقَدْ كَانَ فِي قَصَصِهِمْ عِبْرَةٌ لأُوْلِي اْلأَلْبَابِ مَاكَانَ حَدِيثًا يُفْتَرَى وَلَكِن تَصْدِيقَ الَّذِي بَيْنَ يَدَيْهِ وَتَفصِيلَ كُلِّ شَيْءٍ وَهُدًى وَرَحْمَةً لِّقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ

“Sesungguhnya pada kisah-kisah mereka itu terdapat pengajaran bagi orang-orang yang mempunyai akal. al-Qur'an itu bukanlah cerita yang dibuat-buat, akan tetapi membenarkan (kitab-kitab) yang sebelumnya dan menjelaskan segala sesuatu, dan sebagai petunjuk dan rahmat bagi kaum yang beriman.” (Yusuf 12: 111)

Yang mereka fahami kata (تَفْصِيْلَ كُلِّ شَيْئٍ) bermakna menjelaskan segala sesuatu secara terperinci juz’iyah syariat ini, padahal para ahli tafsir dan bahasa menerangkan bahawa maksudnya adalah menjelaskan dan menyebutkan dasar-dasar syariat, seperti apa yang dinyatakan oleh Imam ath-Thobari di dalam Tafsirnya, (13/91): “... dan al-Quran adalah penjelas segala apa yang diperlukan para hamba dari penjelasan perintah, larangan, penghalalan, pengharaman, ketaatan dan kemaksiatan terhadap Allah.”

Dan asy-Syaukani berkata dalam Fathul Qadir, (3/61): “... dan bukanlah yang dimaksud di sini apa yang ditunjukkannya dari keumuman akan tetapi yang dimaksudkan adalah penjelasan dasar-dasar dan pembinaan syari’at.”

Kemudian dari kesalahan ini mereka membina pemikiran yang meninggalkan dan mengingkari selain al-Quran sebagai sumber pengambilan hukum dalam Islam.

2 - Syubhat kedua:

As-sunnah bukanlah wahyu Allah Ta'ala akan tetapi ia adalah ucapan-ucapan yang dinisbatkan (disandarkan) kepada Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam secara dusta tanpa ada hubungan dalam keluarnya Sunnah tersebut dari Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dengan wahyu bahkan tidak turun kepada beliau wahyu kecuali yang terkandung di dalam al-Quran saja.

Mereka juga mendakwa: Kami tidak diperintahkan kecuali hanya mengikuti apa yang telah diturunkan Allah Subhanahu wa Ta’ala berupa wahyu, dan seandainya kita benarkan adanya keabsahan sebahagian hadis dengan cara mutawatir kepada Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam akan tetapi walaupun demikian tidaklah menjadikan kita wajib mengikutinya kerana dia bukanlah wahyu yang turun dari Allah Ta'ala.

Bantahannya:

Pendapat/dakwan bahawa “as-sunnah bukanlah wahyu dari Allah” adalah suatu bentuk kesalahan, apatah lagi jika yang dikatakan itu hanyalah ucapan yang disandarkan kepada beliau secara dusta kerana mereka sendiri mengakui adanya hadis-hadis yang diriwayatkan secara mutawatir yang meniadakan kemungkinan adanya kedustaan bahawa hadis tersebut berasal dari Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan sekiranya demikian, maka ada di sana hadis-hadis yang benar-benar bersumber dari Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam.

Adapun as-sunnah, pasangannya adalah al-Quran dan sama-sama wahyu yang diturunkan Allah kepada beliau Shallallahu 'alaihi wasallam sebagaimana firman Allah:

وَمَايَنطِقُ عَنِ الْهَوَى. إِنْ هُوَ إِلاَّوَحْيٌ يُوحَى .عَلَّمَهُ شَدِيدُ الْقُوَى

“Dan tiadalah yang diucapkannya itu menurut kemahuan hawa nafsunya, ucapannya itu tiada lain hanyalah wahyu yang diwahyukan (kepadanya), yang diajarkan kepadanya oleh (Jibril) yang sangat kuat.” (an-Najm, 53: 3-5)

Berkata Imam al-Qurthubi di dalam tafsirnya berkenaan ayat ini ada penjelasan bahawa as-Sunnah adalah wahyu yang diturunkan dari Allah Ta'ala.

Apatah lagi Allah mengancam Rasul-Nya dengan ancaman yang keras ketika menjelaskan hakikat kedudukan beliau dalam penyampaian agama Islam dalam firman-Nya:

وَلَوْ تَقَوَّلَ عَلَيْنَا بَعْضَ اْلأَقَاوِيلِ لأَخَذْنَا مِنْهُ بِالْيَمِينِ . ثُمَّ لَقَطَعْنَا مِنْهُ الْوَتِينَ

“Seandainya dia (Muhammad) mengadakan sebahagian perkataan atas (nama) Kami, niscaya benar-benar Kami pegang dia pada tangan kanannya Kemudian benar-benar Kami potong urat tali jantungnya.” (al-Haaqoh: 45-46) Apakah mungkin setelah ancaman yang keras ini Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berkata dan berbuat dengan dasar hawa nafsu atau keinginannya semata-mata? Padahal beliau adalah seorang yang sangat jujur sekali, sekiranya begitu tidaklah mungkin beliau berkata dan berbuat atau menyetujui sesuatu yang bersangkutan dengan agama kecuali dari pemberitahuan dan izin dari Allah Subhanahu wa Ta’ala dan tidak ada jalan untuk mendapatkan hal itu dari seorang makhluk kepada penciptanya kecuali dengan jalan wahyu yang sudah tentunya menurut definisi syar’i.

Dengan demikian jelaslah bahawa as-sunnah adalah wahyu dari Allah Subahanhu wa Ta’ala, sehingga beliau bersabda:

“Ketahuilah sesungguhnya diturunkan kepada ku al-Quran dan yang semisalnya bersamanya, ketahuilah akan datang seseorang yang kenyang duduk diatas pembaringannya berkata: “berpegang teguhlah kepada al-Quran ini saja, semua yang kalian dapati padanya kehalalan maka halalkan dan yang kalian dapati padanya suatu keharaman maka haramkanlah”.” (Hadis Riwayat Ahmad, 4/131 dan Abu Daud 5/11)

Kemudian jika melihat dan meninjau amalan para sahabat, kita dapati bahawa mereka beramal dengan amalan-amalan yang diperintahkan oleh Rasulullah kepada mereka dan tidak ada nashnya di dalam al-Quran sedangkan Allah tidak menghukum Rasulullah Shallallahu ‘wa Sallam dan para sahabatnya kerana hal yang tersebut. Dan hal ini menunjukkan bahawa sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tidak lepas dari wahyu Allah dan menjadi dalil yang tegas akan keabsahan amalan mereka dalam beragama dengan sunnah Rasulullah yang merupakan juga wahyu dari Allah.

Berkata Sayyid Rasyid Ridho di dalam Tafsir al-Manar, (8/308): “Tidak diragukan lagi bahawa mengikuti Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam di dalam hadis-hadis yang absah yang menjelaskan perkara agama dari beliau termasuk dalam keumuman apa yang diturunkan kepada kita … , kerana Allah Subhanahu wa Ta’ala memerintahkan kepada kita untuk mengikuti dan mentaatinya, serta mengkhabarkan kepada kita bahawa beliau adalah utusan dan penyampai risalah-Nya sebagimana dalam firman-Nya:

وَأَنزَلْنَآ إِلَيْكَ الذِّكْرَ لِتُبَيِّنَ لِلنَّاسِ مَانُزِّلَ إِلَيْهِمْ وَلَعَلَّهُمْ يَتَفَكَّرُونَ

“Keterangan-keterangan (mu'jizat) dan kitab-kitab. Dan Kami turunkan kepadamu al-Qur’an (az-Zikr), agar kamu menerangkan kepada umat manusia apa yang telah diturunkan kepada mereka supaya mereka memikirkan.” (an-Nahl, 16: 44 )

Dan majoriti Ulama berpendapat bahawa hukum-hukum syari’at yang ada di dalam as-sunnah adalah wahyu dari Allah dan wahyu tersebut tidak terbatas hanya kepada al-Quran.

Dengan demikian, as-Sunnah adalah pendamping al-Quran dan dia adalah wahyu seperti al-Quran. Malah al-Qur’an hampir tidak dapat difahami sebagaimana yang wajib difahami darinya kecuali kembali melihat kepada as-sunnah.

3 - Syubhat ketiga:

Mengikuti as-sunnah bererti telah menyekutukan Allah di dalam Hukum, padahal Allah telah melarang perkara tersebut melalui firman-Nya:

إِنِ الْحُكْمُ إِلاَّ للهِ

“Menetapkan hukum itu hanyalah hak Allah.” (al-An’am, 6: 57)

Berkata Abdullah Cakrawaali (salah seorang tokoh anti hadis) dalam kitab al-Mubaahatsah, m/s. 42, “Bahawa hadis-hadis yang menganjurkan untuk mengikuti ucapan dan perbuatan serta persetujuan para Rasul padahal ada kitabullah merupakan suatu alasan klasik yang kuno dan Allah Subhanahu wa Ta’ala mensucikan para Rasul dan Nabi-Nya dari hadis-hadis ini bahkan menjadikan hadis-hadis ini sebagai kekufuran dan kesyirikan terhadap Allah.” Kemudian pernyataan ini ditafsirkan oleh Khojah Ahmaduddin dalam Tafsir Bayaan linas, (2/395 dan 445): “Orang-orang telah memalsukan jalan-jalan periwayatan untuk menghidupkan kesyirikan, dan mereka mengatakan: Kami beriman kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala sebagai satu-satunya zat yang dipatuhi akan tetapi Allah memerintahkan kami untuk mengikuti Rasul-Nya. Dan ini merupakan suatu tambahan atas asal ketaatan yang satu sehingga dengan dalih tersebut mereka membenarkan seluruh kesyirikan ketahuilah bahawa Alah tidak memerintahkan demikian. Allah berfirman,

إِنِ الْحُكْمُ إِلاَّ للهِ

“Menetapkan hukum itu hanyalah hak Allah.” (al-An’am, 6: 57)

Bantahannya:

Alangkah beraninya dia berkata sebegitu rupa? Apakah para Rasul diutus untuk menghidupkan dan mengembangkan kesyirikan dan kekufuran? Bukankah melaksanakan dan mengikuti Sunnah merupakan suatu kaedah penerapan hukum-hukum al-Quran sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

فَلاَ وَرَبِّكَ لاَيُؤْمِنُونَ حَتَّى يُحَكِّمُوكَ فِيمَا شَجَرَ بَيْنَهُمْ ثُمَّ لاَ يَجِدُواْ فِي أَنفُسِهِمْ حَرَجًا مِّمَّا قَضَيْتَ وَيُسَلِّمُوا تَسْلِيمًا

“Maka demi Rabbmu, mereka (pada hakkatnya) tidak beriman sehingga mereka menjadikan kamu hakim dalam perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa keberatan dalam hati mereka terhadap keputusan yang kamu berikan, dan mereka menerima dengan sepenuhnya.” (an-Nisaa’, 4: 65)

Mengambil hukum berdasarkan pendirian Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam ketika hidup dan setelah meninggalnya beliau, maka diperintahkan berhukum dengan sunnahnya kerana berhukum dengan sunnahnya bererti mentaati Allah Subhanahu wa Ta’ala. Hal ini telah diulang-ulang oleh Allah Subahanahu wa Ta’ala di dalam al-Quran di antaranya:

إِنَّمَا كَانَ قَوْلَ الْمُؤْمِنِينَ إِذَا دُعُوا إِلَى اللهِ وَرَسُولِهِ لِيَحْكُمَ بَيْنَهُمْ أَن يَّقُولُوا سَمِعْنَا وَأَطَعْنَا وَأُوْلاَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ . وَمَن يُطِعِ اللهَ وَرَسُولَهُ وَيَخْشَ اللهَ وَيَتَّقِهِ فَأُوْلَئِكَ هُمُ الْفَآئِزُونَ

“Sesungguhnya jawaban orang-orang mu’min, apabila mereka dipanggil kepada Allah dan Rasul-Nya agar Rasul mengadili di antara mereka ialah dengan mengatakan “Kami mendengar dan kami patuh”. Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung dan barangsiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya dan takut kepada Allah dan bertaqwa kepada-Nya, maka mereka adalah orang-orang yang mendapat kemenangan.” (an-Nuur, 24: 51-52) Kemudian Allah memberi peringatan kepada mereka yang tidak mengikuti Rasul-Nya melalui firman-Nya:

وَيَقُولُونَ ءَامَنَّا بِاللهِ وَبِالرَّسُولِ وَأَطَعْنَا ثُمَّ يَتَوَلَّى فَرِيقٌ مِّنْهُم مِّن بَعْدِ ذَلِكَ وَمَآ أُوْلَئِكَ بِالْمُؤْمِنِينَ

“Dan mereka berkata: “Kami telah beriman kepada Allah dan Rasul, dan kami pun ta’at”. Kemudian sebahagian dari mereka berpaling sesudah itu. Mereka itu bukanlah orang-orang yang beriman.” (an-Nuur, 24: 47)

Maka tidak ada cara utnuk mengetahui hukum dan keputusan beliau kecuali melalui sunnahnya.

Subhat ini sebenarnya terjadi akibat adanya syubhat yang sebelumnya iaitu yang kedua dan Alhamdulillah telah dibantah dan telah jelas kebatilannya.

Adapun menjadikan firman Allah:
إِنِ الْحُكْمُ إِلاَّ للهِ

“Menetapkan hukum itu hanyalah hak Allah.” (al-An’am, 6: 57) sebagai hujjah untuk menolak as-sunnah sebagai hukum Allah, maka ini merupakan pendalilan yang salah dan batil kerana lafaz firman Allah ini ada tiga kali disebutkan di dalam al-Quran:

Pertama: firman Allah:

قُلْ إِنِّي عَلَى بَيِّنَةٍ مِّن رَّبِّي وَكَذَّبْتُم بِهِ مَاعِندِي مَا تَسْتَعْجِلُونَ بِهِ إِنِ الْحُكْمُ إِلاَّ للهِ يَقُصُّ الْحَقَّ وَهُوَ خَيْرُ الْفَاصِلِينَ

“Katakanlah: “Sesungguhnya aku (berada) di atas hujjah yang nyata (al-Qur'an) dari Rabbku sedang kamu mendustakannya. Bukanlah kehendakku (untuk menurunkan azab) yang kamu tuntut untuk disegerakan kedatangannya. Menetapkan hukuman itu hanyalah hak Allah. Dia menerangkan yang sebenarnya dan Dia pemberi keputusan yang paling baik”.” (al-An’am, 6: 57)

Dalam ayat ini terdapat bantahan Allah Subhanahu wa Ta’ala ke atas kaum kafir yang menuntut Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam untuk mendatangkan mu’jizat dan Allah ‘Azza wa Jalla menyatakan bahawa hal itu merupakan hak yang khusus bagi Allah ‘Azza wa jalla yang tidak ada sekutu padanya.

Kedua: firman Allah:

مَاتَعْبُدُونَ مِنْ دُونِه إِلآ أَسْمَآءً سَمَّيْتُمُوهَآ أَنتُمْ وَءَابَآؤُكُم مَّآأَنزَلَ اللهُ بِهَا مِن سُلْطَانٍ إِنِ الْحُكْمُ إِلاَّ للهِ أَمَرَ أَلاَّتَعْبُدُوا إِلآًّإِيَّاهُ ذَلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ وَلَكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لاَيَعْلَمُونَ

“Kamu tidak menyembah yang selain Allah kecuali hanya (menyembah) nama-nama yang kamu dan nenek moyangmu membuat-buatnya. Allah tidak menurunkan suatu keterangan pun tentang nama-nama itu. Keputusan itu hanyalah kepunyaan Allah. Dia telah memerintahkan agar kamu tidak menyembah selain Dia. Itulah agama yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.” (Yusuf, 12: 40)

Ayat ini mengisahkan ucapan dan nasihat Nabi Yusuf kepada kedua temannya di dalam penjara yang menjelaskan bahawa penyembahan kepada berhala merupakan suatu perbuatan yang tercela dan merupakan kedustaan ke atas Allah kerana Allahlah yang esa dalam hukum dan ibadah.

Ketiga: firman Allah Ta'ala:

وَقَالَ يَابَنِيَّ لاَتَدْخُلُوا مِن بَابٍ وَاحِدٍ وَادْخُلُوا مِنْ أَبْوَابٍ مُتَفَرِّقَةٍ وَمَآأُغْنِي عَنكُم مِّنَ اللهِ مِن شَيْءٍ إِنِ الْحُكْمُ إِلاَّ للهِ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ وَعَلَيْهِ فَلْيَتَوَكَّلِ الْمُتَوَكِّلُونَ

“Dan Ya’qub berkata: “Hai anak-anakku janganlah kamu (bersama-sama) masuk dari satu pintu gerbang, dan masuklah dari pintu-pintu gerbang yang berlainan; Namun demikian aku tiada dapat melepaskan kamu barang sedikitpun daripada (takdir) Allah. Keputusan menetapkan (sesuatu) hanyalah hak Allah; kepada-Nya-lah aku bertawakal dan hendaklah kepada-Nya saja orang-orang yang bertawakal berserah diri”.” (Yusuf, 12: 67)

Ayat ini memperjelaskan berkenaan ucapan Ya’qub dan nasihat beliau terhadap anak-anaknya bahawa apa yang mereka perolehi dari pelbagai kesulitan merupakan taqdir dan ketetapan dari Allah ‘Azza wa Jalla serta mengajarkan mereka adab berjumpa dengan raja. Maka jelaslah, yang dimaksudkan dengan persoalan hukum tersebut bukanlah sebagaimana yang difahami oleh golongan/kelompok Qur’anyun.

Ketiga-tiga ayat di atas tidak sama sekali mendukung dan tidak ada hubungannya dengan pendapat mereka dalam menolak as-sunnah sehingga sesungguhnya mengikuti sunnah Rasulullah bukanlah kesyirikan dan kekufuran akan tetapi ia adalah tauhid itu sendiri.

4 - Syubhat keempat:

As-sunnah bukanlah merupakan suatu syari’at yang membawa pengertian supaya kita menuruti Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, dan juga tidak difahami sedemikian oleh para sahabat Rasulullah. Maka, oleh kerana itu mereka pun dilarang untuk menulis berkaitan dengannya.

Berkata al-Hafiz Aslam dalam Maqam Hadis, m/s. 7: “Perkara yang tidak ada perdebatan padanya sama sekali adalah pengetahuan sahabat berkenaan hakikat larangan Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dari penulisan sunnahnya dan mengerti bahawa umat-umat yang terdahulu tidaklah sesat kecuali dengan sebab penulisan riwayat-riwayat kisah para Nabi mereka.”

Beliau berkata lagi: “Sesuatu yang perlu diperhatikan bahawa hadis-hadis itu seandainya memiliki nilai agama, pasti Nabi Shallallahu 'alaihi wa Sallam dan para sahabatnya tidak melarang dengan keras akan perihal penulisannya.”

Bantahannya:

Sebenarnya syubhat ini tidak ilmiyah langsung dan tidak berlandaskan penelitian dan pengetahuan. Akan tetapi tampaknya didasari oleh sikap tidak degil yang tidak mahu menerima kesalahan. Alangkah baiknya jika mereka mahu melihat kembali buku-buku hadis, sunnah, dan sejarah, sehingga mereka berupaya mengetahui bagaimana kesungguhan dan semangat beliau Shallallahu 'alaihi wa Sallam mengajari para sahabatnya dan memahamkan mereka berkenaan perkara agama dengan lisan dan amalan di mana beliau Shallallahu 'alaihi wa Sallam menjawab segala pertanyaan mereka dan memberikan nasihat-nasihat dari suatu waktu ke waktu yang lain sama ada melalui khutbah-khutbah Juma’at, ‘Ied, atau di dalam majlis-majlis yang lainnya sebagaimana juga kehidupan rumah tangga beliau pun di tulis. Seandainya as-sunnah menurut beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bukanlah syari’at dan agama, sudah pasti tidaklah beliau berbuat demikian dan tidak juga menggunakan segala sarana untuk menyebarkan dan menebarkannya. Lihatlah pernyataan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam kepada delegasi Abdi Qais setelah beliau menyambutnya dan mengajari mereka sebahagian perkara agama:

احْفَظُوْه وَ أَخْبِرُوْهُ مَنْ وَرَاءَكُمْ

“Hafalkanlah dan beritahulah orang-orang yang di belakang kalian.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 1/30)

Seandainya as-sunnah bukan termasuk ke dalam perkara agama sudah tentulah beliau tidak akan memerintahkan untuk menghafal dan menyebarkannya dan tentulah tidak akan keluar dari beliau berkenaan perintah mengikuti beliau seperti sabda beliau Shallallahu 'alaihi wa Sallam:

صَلُّوْا كَمَا رَأَيْتُمُوْنِيْ أُصَلِّيْ

“Solatlah kalian sebagiamana kalian melihat aku solat.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 1/155)

Dan sabda beliau:
لِتَأْخُذُوْا مَنَاسِكَكُمْ فَإِنِّيْ لاَأَدْرِيْ لَعَلِّيْ لاَأَحُجَ بَعْدَ حَجَتِيْ هَذَا

Hendaklah kalian mengambil manasikku kerana aku tidak tahu mungkin tidak berhaji setelah hajiku ini. (Hadis Riwayat Muslim, 4/79)

Dan tidak akan membebani para sahabatnya untuk menyampaikan sunnahnya sebagimana sabda beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam ketika haji:
لِيُبَلِّغِ الشَاهِدُ الغَائِبْ

“Hendaklah yang hadir menyampaikan kepada yang tidak hadir.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 1/24)

Demikian juga para sahabat yang begitu bersungguh-sungguh dan bersemangat di dalam mengambil as-sunnah dan menghafalnya sehinggakan sanggup berjalan jauh untuk mendapatkan satu hadis, seandainya as-sunnah bukanlah termasuk ke dalam sebahagian syari’at dan agama, sudah tentulah mereka tidak melakukan perkara tersebut.

Ini semua membuktikan kebatilan syubhat mereka, apatah lagi apabila Allah telah berfirman:

لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُوا اللهَ وَالْيَوْمَ اْلأَخِرَ وَذَكَرَ اللهَ كَثِيرًا

“Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri tauladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak mengingat Allah.” (al-Ahzaab, 33: 21)

Adapun berkenaan larangan menulis as-sunnah dan hadis-hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam memang ada iaitu di masa awal-awal kedatangan Islam kemudian, tetapi kemudian Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam sendiri telah mengizinkan penulisannya sebagaimana izin beliau kepada Abu Syaah. (Lihat kisahnya di dalam Syarah Imam an-Nawawi terhadap Shahih Muslim, 18/129)

5 - Syubhat kelima:

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam membimbing para sahabat yang berjumpa dengan beliau bertepatan dengan keadaan dan situasi mereka sehingga menciptakan keadaan hadis-hadisnya bersesuaian dengan zaman tersebut yang tidak sama dengan zaman sekarang sehingga sekarang tidak perlu lagi kita melihat kepadanya dan cukuplah al-Qur’an sebagai petunjuk bagi kita.

Berkata al-Khojah di dalam majalah al-Bayan, m/s. 32, edisi Ogos, 1951M: “Ketahuilah bahawa ketaatan kepada Rasulullah adalah ketaatan yang terkait dengan zamannya dan pelaksanaan hukum-hukumnya tidak melebihi kehidupannya dan telah tertutup permasalahan tersebut sejak meninggalnya beliau.”

Bantahannya:

Sesungguhnya al-Quran telah menjelaskan kepada kita bahawa dakwahnya Rasulullah adalah dakwah yang umum dan menyeluruh kepada sekalian manusia sama ada kepada kaum arab atau non arab dan tidak tamat dengan wafatnya beliau bahkan akan terus-menerus sehingga ke hari kiamat sebagaiman firman Allah:

وَمَآأَرْسَلْنَاكَ إِلاَّ كَآفَّةً لِلنَّاسِ بَشِيرًا وَنَذِيرًا وَلَكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لاَيَعْلَمُونَ

“Dan Kami tidak mengutus kamu, melainkan kepada umat manusia seluruhnya sebagai pembawa berita gembira dan sebagai pemberi peringatan, tetapi kebanyakan manusia tiada mengetahui.” (Saba’, 34: 28)

Dan pernyataan yang mendakwa bahawa dakwah Rasulullah terbatas kepada kelompok-kelompok tertentu atau zaman tertentu adalah pernyataan yang tidak ada dasarnya dan menyelisihi kesepakatan kaum muslimin serta tidak dapat diterima akal yang sihat dan waras kerana risalahnya adalah berbentuk menyeluruh untuk sekalian umat manusia, maka sudah pasti sunnahnya juga demikian, sehingga tidak ada perbezaan pelaksanaan amalan dengan dasar al-Quran dan dengan dasar as-sunnah.

6 - Syubhat Keenam:

Tugas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam hanyalah sebagai seorang posmen yang membawa surat daripada seorang pengirim untuk diserahkan kepada penerimanya. Demikianlah juga Rasulullah, beliau hanya ditugaskan membawa al-Qur’an daripada Allah untuk diserahkan kepada manusia. Ini berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

“Tidak ada kewajipan yang ditugaskan kepada Rasulullah selain daripada menyampaikan sahaja.” (al-Maidah, 5: 99)

“Tugasmu (Wahai Muhammad) tidak lain hanyalah menyampaikan.” (asy-Syura, 42: 48)

Bantahannya:

Ayat-ayat di atas dan beberapa lain yang senada sebenarnya menerangkan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tidak dipertanggungjawabkan untuk memastikan setiap orang menerima risalah Islam. Beliau hanya dipertanggungjawabkan untuk menyampaikan risalah tersebut. Terima atau tidak, ia adalah berkaitan dengan hidayah dan petunjuk Allah Subhanahu wa Ta’ala. Dalam erti kata lain, sama ada seseorang itu menerima atau menolak Islam, itu bukanlah urusan Rasulullah tetapi adalah urusan mutlak Allah Subhanahu wa Ta’ala. Penjelasan ini akan lebih difahami dengan merujuk kepada ayat-ayat berikut:

قُلْ يَا أَيُّهَا النَّاسُ قَدْ جَاءَكُمُ الْحَقُّ مِنْ رَبِّكُمْ فَمَنِ اهْتَدَى فَإِنَّمَا يَهْتَدِي لِنَفْسِهِ وَمَنْ ضَلَّ فَإِنَّمَا يَضِلُّ عَلَيْهَا وَمَا أَنَا عَلَيْكُمْ بِوَكِيلٍ

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai sekalian manusia! Telah datang kepada kamu kebenaran dari Tuhan kamu. Oleh itu sesiapa yang mendapat hidayah petunjuk (beriman kepadanya), maka faedah hidayah petunjuk itu terpulang kepada dirinya sendiri; dan sesiapa yang sesat (mengingkarinya) maka bahaya kesesatannya itu tertimpa ke atas dirinya sendiri dan aku pula bukanlah menjadi wakil yang menguruskan soal (iman atau keingkaran) kamu”.” (Yunus, 10: 108)

إِنَّكَ لا تَهْدِي مَنْ أَحْبَبْتَ وَلَكِنَّ اللَّهَ يَهْدِي مَنْ يَشَاءُ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ

“Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya); dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk Islam).” (al-Qasas, 28: 56)

اسْتَجِيبُوا لِرَبِّكُمْ مِنْ قَبْلِ أَنْ يَأْتِيَ يَوْمٌ لا مَرَدَّ لَهُ مِنَ اللَّهِ مَا لَكُمْ مِنْ مَلْجَإٍ يَوْمَئِذٍ وَمَا لَكُمْ مِنْ نَكِيرٍ (٤٧)فَإِنْ أَعْرَضُوا فَمَا أَرْسَلْنَاكَ عَلَيْهِمْ حَفِيظًا إِنْ عَلَيْكَ إِلا الْبَلاغُ وَإِنَّا إِذَا أَذَقْنَا الإنْسَانَ مِنَّا رَحْمَةً فَرِحَ بِهَا وَإِنْ تُصِبْهُمْ سَيِّئَةٌ بِمَا قَدَّمَتْ أَيْدِيهِمْ فَإِنَّ الإنْسَانَ كَفُورٌ

“Sahut dan sambutlah seruan Tuhan kamu (yang mengajak kamu beriman), sebelum datangnya dari Allah – hari yang tidak dapat ditolak; pada hari itu tidak ada bagi kamu tempat berlindung (dari azab-Nya), dan tidak ada pula bagi kamu sebarang alasan untuk menafikan (kesalahan yang kamu telah lakukan). Oleh itu, jika mereka berpaling ingkar, maka Kami tidak mengutusmu (wahai Muhammad) sebagai pengawas terhadap mereka; tugasmu tidak lain hanyalah menyampaikan (apa yang diperintahkan kepadamu).” (asy-Syura, 42: 47-48)

Dakwaan bahawa tugas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam hanya membawa al-Qur’an juga dapat ditolak dengan merujuk kepada ayat-ayat lain di dalam al-Qur’anul Karim yang sedia menerangkan pelbagai tugas dan tanggungjawab beliau. Berikut disenaraikan antara 10 tugas dan tanggungjawab Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.

10 Tugas dan TanggungJawab Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

1 - Mengajar manusia untuk mentauhidkan Allah 'Azza wa Jalla sahaja,

Antara tugas pertama yang diamanahkan kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam adalah mengajar manusia untuk mentauhidkan Allah Subhanahu wa Ta’ala. Allah menurunkan ayat berikut kepada Rasulullah untuk beliau katakan dan ajarkan kepada manusia:

قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ (١)اللَّهُ الصَّمَدُ (٢)لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُولَدْ (٣)وَلَمْ يَكُنْ لَهُ كُفُوًا أَحَدٌ

“Katakanlah (wahai Muhammad): “(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa; Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat; Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan; Dan tidak ada sesiapapun yang serupa dengan-Nya”.” (al-Ikhlas, 112: 1-4)

2 - Membawa al-Qur’an untuk manusia,

Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

إِنَّا أَنْزَلْنَا عَلَيْكَ الْكِتَابَ لِلنَّاسِ بِالْحَقِّ فَمَنِ اهْتَدَى فَلِنَفْسِهِ وَمَنْ ضَلَّ فَإِنَّمَا يَضِلُّ عَلَيْهَا وَمَا أَنْتَ عَلَيْهِمْ بِوَكِيلٍ

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Suci al-Quran yang menyatakan segala kebenaran (untuk menjadi panduan hidup) kepada umat manusia seluruhnya.” (az-Zumar, 39: 41)

3 - Membacakan al-Qur’an kepada manusia,

Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

لَقَدْ مَنَّ اللَّهُ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ إِذْ بَعَثَ فِيهِمْ رَسُولا مِنْ أَنْفُسِهِمْ يَتْلُو عَلَيْهِمْ آيَاتِهِ وَيُزَكِّيهِمْ وَيُعَلِّمُهُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَإِنْ كَانُوا مِنْ قَبْلُ لَفِي ضَلالٍ مُبِينٍ

“Sesungguhnya Allah telah mengurniakan (rahmat-Nya) kepada orang-orang yang beriman, setelah Ia mengutuskan di kalangan mereka seorang Rasul dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (al-Qur’an).” (Ali Imran, 3: 164)

Membaca di sini bererti menyampaikan secara lisan ayat-ayat al-Qur’an. Sepertimana yang kita tahu, al-Qur’an dibawa oleh malaikat Jibrail alaihi salam kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam seorang sahaja. Setiap kali Jibrail turun membawa ayat atau ayat-ayat, Rasulullah akan membacakan (menyampaikan/mengajarkan) ayat tersebut kepada umat. Di dalam kalangan mereka ada yang mencatitnya manakala yang lain menghafalnya.

4 - Membersihkan manusia dari dosa dan kemungkaran,

Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

لَقَدْ مَنَّ اللَّهُ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ إِذْ بَعَثَ فِيهِمْ رَسُولا مِنْ أَنْفُسِهِمْ يَتْلُو عَلَيْهِمْ آيَاتِهِ وَيُزَكِّيهِمْ وَيُعَلِّمُهُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَإِنْ كَانُوا مِنْ قَبْلُ لَفِي ضَلالٍ مُبِينٍ

“Sesungguhnya Allah telah mengurniakan (rahmat-Nya) kepada orang-orang yang beriman, setelah Ia mengutuskan di kalangan mereka seorang Rasul dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah dan membersihkan mereka.” (Ali Imran, 3: 164)

Membersihkan bermaksud menyucikan roh dan jiwa manusia yang dipenuhi dosa akibat dari kekotoran syirik, mempertuhankan taghut – yakni segala yang dijadikan tuhan selain dari Allah, keyakinan kurafat, tahayul dan pelbagai lagi yang menjadi akidah dan pegangan umat di zaman jahiliyah dahulu. Termasuk juga dalam pembersihan ini adalah pendidikan rohani, pembentukan akhlak murni, mendisiplinkan nafsu dan syahwat, menghindar maksiat dan kemungkaran dan pelbagai lagi kotoran yang menguasai manusia pada ketika itu.

5 - Mengajar dan menerangkan al-Qur’an,

Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

لَقَدْ مَنَّ اللَّهُ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ إِذْ بَعَثَ فِيهِمْ رَسُولا مِنْ أَنْفُسِهِمْ يَتْلُو عَلَيْهِمْ آيَاتِهِ وَيُزَكِّيهِمْ وَيُعَلِّمُهُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَإِنْ كَانُوا مِنْ قَبْلُ لَفِي ضَلالٍ مُبِينٍ

“Sesungguhnya Allah telah mengurniakan (rahmat-Nya) kepada orang-orang yang beriman, setelah Ia mengutuskan di kalangan mereka seorang Rasul dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah dan membersihkan mereka, serta mengajar mereka Kitab Allah (al-Quran).” (Ali Imran, 3: 164)

Maksud mengajar al-Qur’an bukanlah cara-cara membaca dan mentilawahkannya kerana orang ramai ketika itu sedia mengetahui bahasa Arab, tetapi adalah mengajarkan maksud ayat-ayat dan cara-cara mengamal serta mempraktikkannya.

6 - Menerang, menghurai dan memperincikan al-Qur’an,

Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

بِالْبَيِّنَاتِ وَالزُّبُرِ وَأَنْزَلْنَا إِلَيْكَ الذِّكْرَ لِتُبَيِّنَ لِلنَّاسِ مَا نُزِّلَ إِلَيْهِمْ وَلَعَلَّهُمْ يَتَفَكَّرُونَ

“Dan kami pula turunkan kepadamu (wahai Muhammad) al-Quran yang memberi peringatan, supaya engkau menerangkan kepada umat manusia akan apa yang telah diturunkan kepada mereka.” (an-Nahl, 16: 44)

Perkataan supaya engkau menerangkan adalah terjemahan dari perkataan “litubayyina” yang berasal dari kata al-Bayan. Ia bermaksud menerangkan, menghuraikan dan memperincikan sesuatu dari pokoknya. Maka apabila Allah Tabaraka wa Ta’ala menugaskan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sebagai mubayin al-Qur’an, ia bererti beliau ditugaskan untuk menerangkan, menghuraikan dan memperincikan al-Qur’an. Contohnya al-Qur’an memfardhukan solat maka tugas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam adalah menerangkan apakah itu solat, menghuraikan hukum-hukumnya dan memperincikan sifat-sifatnya.

Ayat ini juga jelas menolak dakwaan bahawa tugas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam adalah hanya sekadar seorang posmen kerana Allah Azza wa Jalla telah menggunakan istilah “Litubayyina” dan bukannya Balagh atau Mubaligh yang bererti sampaikan atau penyampai.

7 - Mengajar al-Hikmah, iaitu segala ilmu-ilmu dan perincian agama yang tidak terkandung dalam al-Qur’an,

Terdapat dua bentuk/situasi dan pola susunan perkataan al-Hikmah dalam al-Qur’an. Bentuk yang pertama adalah apabila perkataan al-Hikmah berdiri dengan sendirinya. Ia memiliki beberapa erti seperti sifat-sifat kenabian (nubuwah), kebijaksanaan dan syari’at agama, setiapnya bergantung kepada konteks perbincangan ayat. Berikut dikemukakan beberapa contoh:

فَهَزَمُوهُمْ بِإِذْنِ اللَّهِ وَقَتَلَ دَاوُدُ جَالُوتَ وَآتَاهُ اللَّهُ الْمُلْكَ وَالْحِكْمَةَ وَعَلَّمَهُ مِمَّا يَشَاءُ وَلَوْلا دَفْعُ اللَّهِ النَّاسَ بَعْضَهُمْ بِبَعْضٍ لَفَسَدَتِ الأرْضُ وَلَكِنَّ اللَّهَ ذُو فَضْلٍ عَلَى الْعَالَمِينَ

“Dan Allah memberikan kepadanya (Nabi Daud) kuasa pemerintahan, dan al-Hikmah (pangkat kenabian-nubuwah) serta diajarkannya apa yang dikehendakiNya.” (al-Baqarah, 2: 251)

يُؤْتِي الْحِكْمَةَ مَنْ يَشَاءُ وَمَنْ يُؤْتَ الْحِكْمَةَ فَقَدْ أُوتِيَ خَيْرًا كَثِيرًا وَمَا يَذَّكَّرُ إِلا أُولُو الألْبَابِ

“Allah memberikan al-Hikmah (kebijaksanaan) kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan yang ditentukan-Nya). Dan sesiapa yang diberikan al-Hikmah itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya.” (al-Baqarah, 2: 269)

وَلَمَّا جَاءَ عِيسَى بِالْبَيِّنَاتِ قَالَ قَدْ جِئْتُكُمْ بِالْحِكْمَةِ وَلأبَيِّنَ لَكُمْ بَعْضَ الَّذِي تَخْتَلِفُونَ فِيهِ فَاتَّقُوا اللَّهَ وَأَطِيعُونِ

“Dan ketika Nabi Isa datang (kepada kaumnya) dengan membawa keterangan-keterangan yang nyata, berkatalah ia: “Sesungguhnya aku datang kepada kamu dengan membawa al-Hikmah (syari’at agama), dan untuk menerangkan kepada kamu: sebahagian dari (perkara-perkara agama) yang kamu perselisihkan padanya. Oleh itu, bertaqwalah kamu kepada Allah dan taatlah kepadaku.” (az-Zukhruf, 43: 63)

Situasi kedua adalah apabila perkataan al-Hikmah digandingkan dengan al-Kitab, iaitu al-Kitab dan al-Hikmah. Contohnya ialah ayat-ayat berikut:

أَمْ يَحْسُدُونَ النَّاسَ عَلَى مَا آتَاهُمُ اللَّهُ مِنْ فَضْلِهِ فَقَدْ آتَيْنَا آلَ إِبْرَاهِيمَ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَآتَيْنَاهُمْ مُلْكًا عَظِيمًا

“Kerana sesungguhnya Kami telahpun memberi kepada keluarga Ibrahim: al-Kitab dan al-Hikmah, dan kami telah memberi kepada mereka kerajaan yang besar.” (an-Nisaa’, 4: 54)

وَأَنْزَلَ اللَّهُ عَلَيْكَ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَعَلَّمَكَ مَا لَمْ تَكُنْ تَعْلَمُ وَكَانَ فَضْلُ اللَّهِ عَلَيْكَ عَظِيمًا

“Dan Allah telah menurunkan kepadamu (Muhammad) Kitab (al-Quran) serta al-Hikmah. dan telah mengajarkan kepadamu apa yang belum kamu ketahui. Dan adalah karunia Allah sangat besar atasmu.” (an-Nisaa’, 4: 113)

لَقَدْ مَنَّ اللَّهُ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ إِذْ بَعَثَ فِيهِمْ رَسُولا مِنْ أَنْفُسِهِمْ يَتْلُو عَلَيْهِمْ آيَاتِهِ وَيُزَكِّيهِمْ وَيُعَلِّمُهُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَإِنْ كَانُوا مِنْ قَبْلُ لَفِي ضَلالٍ مُبِينٍ

“Sesungguhnya Allah telah mengurniakan (rahmat-Nya) kepada orang-orang yang beriman, setelah Ia mengutuskan di kalangan mereka seorang Rasul dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah dan membersihkan mereka, serta mengajar mereka Kitab Allah (al-Quran) dan al-Hikmah.” (Ali Imran, 3: 164)

Dalam situasi kedua ini, perkataan al-Hikmah bererti segala sumber syari’at, ilmu dan perincian agama yang tidak terkandung dalam kitab suci (al-Kitab). Ini adalah kerana Allah Azza wa Jalla tidak akan membicarakan dua perkara yang sama dengan dua istilah yang berbeza melainkan yang dimaksudkan oleh-Nya adalah dua perkara yang berbeza juga. Demikian juga, al-Qur’anul Karim dengan segala kemukjizatan dan kekayaan bahasanya tidak akan merujuk kepada dua objek yang sama dengan dua istilah yang berlainan melainkan yang dirujuki adalah dua subjek yang berlainan juga.

Oleh itu al-Hikmah bukanlah bererti al-Kitab atau kitab suci yang diturunkan oleh Allah dari langit kepada para Rasul-Nya tetapi ia adalah segala sumber syari’at, ilmu, dan perincian agama yang tidak terkandung dalam kitab suci. Segala apa yang disampaikan oleh para Rasul Allah tentang ­al-Hikmah, sama ada dalam bentuk lisan, praktikal atau pengiktirafan, itulah yang dikenali sebagai as-Sunnah.

Para Rasul Allah yang diberikan al-Kitab juga diberikan al-Hikmah (lihat an-Nisaa’, 4: 54) dan ini termasuklah Rasul Allah yang terakhir Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam (lihat an-Nisaa’, 4: 113). Baginda bukan sahaja diberi al-Hikmah tetapi ditugaskan untuk mengajar al-Hikmah tersebut kepada umatnya (lihat Ali Imran, 3: 164).

Selain dua situasi utama di atas tentang susunan perkataan al-Hikmah dalam al-Qur’an, terdapat satu susunan lain yang sedikit berbeza, iaitu dalam ayat:

إِذْ قَالَ اللَّهُ يَا عِيسَى ابْنَ مَرْيَمَ اذْكُرْ نِعْمَتِي عَلَيْكَ وَعَلى وَالِدَتِكَ إِذْ أَيَّدْتُكَ بِرُوحِ الْقُدُسِ تُكَلِّمُ النَّاسَ فِي الْمَهْدِ وَكَهْلا وَإِذْ عَلَّمْتُكَ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَالتَّوْرَاةَ وَالإنْجِيلَ وَإِذْ تَخْلُقُ مِنَ الطِّينِ كَهَيْئَةِ الطَّيْرِ بِإِذْنِي فَتَنْفُخُ فِيهَا فَتَكُونُ طَيْرًا بِإِذْنِي وَتُبْرِئُ الأكْمَهَ وَالأبْرَصَ بِإِذْنِي وَإِذْ تُخْرِجُ الْمَوْتَى بِإِذْنِي وَإِذْ كَفَفْتُ بَنِي إِسْرَائِيلَ عَنْكَ إِذْ جِئْتَهُمْ بِالْبَيِّنَاتِ فَقَالَ الَّذِينَ كَفَرُوا مِنْهُمْ إِنْ هَذَا إِلا سِحْرٌ مُبِينٌ

“(Ingatlah) ketika Allah berfirman: “Wahai Isa ibni Maryam! Kenanglah nikmat-Ku kepadamu dan kepada ibumu, ketika Aku menguatkanmu dengan Ruhul-Qudus (Jibril), iaitu engkau dapat berkata-kata dengan manusia (semasa engkau masih kecil) dalam buaian dan sesudah dewasa; Dan ketika Aku mengajarmu al-Kitab, dan al-Hikmah dan Kitab Taurat dan Kitab Injil.”(al-Maidah, 5: 110, lihat juga ‘Ali Imran, 3: 48)

Dalam ayat ini Allah Subhanahu wa Ta’ala menerangkan bahawa Dia telah mengajar Nabi Isa alaihi salam empat perkara: [1] al-Kitab, [2] al-Hikmah, [3] Taurat dan [4] Injil. Memandangkan Taurat dan Injil adalah dua kitab suci yang Allah turunkan dari langit, maka perkataan al-Kitab yang pertama tidak bererti kitab suci juga, tetapi ia bererti tulisan. Ini adalah kerana perkataan al-Kitab memiliki beberapa erti dalam bahasa Arab dan dalam konteks susunan dan perbincangan ayat di atas, ia bererti kebolehan menulis dalam usia masih bayi yang diajarkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala kepada Nabi Isa alaihi salam. Ini adalah sebagaimana kebolehan berkata-kata yang dikurniakan Allah kepada baginda dalam usia bayinya. Perkataan al-Hikmah pula bererti sifat kenabian (nubuwah), kebijaksanaan dan ilmu-ilmu agama yang diajarkan Allah kepada Nabi Isa. Termasuk dalam pengertian al-Hikmah ini ialah segala sumber syari’at, ilmu, dan perincian agama yang tidak terkandung dalam kitab suci Taurat dan Injil.

8 - Mengajar perkara-perkara baru yang sebelum itu tidak diketahui,

Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

كَمَا أَرْسَلْنَا فِيكُمْ رَسُولا مِنْكُمْ يَتْلُو عَلَيْكُمْ آيَاتِنَا وَيُزَكِّيكُمْ وَيُعَلِّمُكُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَيُعَلِّمُكُمْ مَا لَمْ تَكُونُوا تَعْلَمُونَ

“Sebagaimana Kami mengutuskan kepada kamu seorang Rasul dari kalangan kamu (iaitu Muhammad), yang membacakan ayat-ayat Kami kepada kamu, dan membersihkan kamu, dan yang mengajarkan kamu kandungan Kitab (al-Quran) serta Hikmah kebijaksanaan, dan mengajarkan kamu apa yang belum kamu ketahui.” (al-Baqarah, 2: 151)

Selain diamanahkan mengajar umat berkenaan urusan-urusan agama dalam al-Kitab dan al-Hikmah, selanjutnya Allah Subhanahu wa Ta’ala mengamanahkan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam mengajar umat berkenaan hal-hal duniawi yang belum mereka ketahui. Ini adalah sebagaimana kita dapat ketahui bahawa ketika di zaman jahiliyah mereka (masyarakat Arab) adalah orang-orang bodoh, lalu dengan berkat risalah Muhammad – mereka menjadi orang-orang yang pintar dan berpengetahuan. Bahkan menjadi orang yang paling dalam pengetahuan, berhati lembut, dan berbahasa paling jitu.

Islam telah mengangkat mereka (umat Islam) dari lingkungan masyarakat Arab yang tidak mengetahui kecuali hal-hal yang sedikit dan berserakkan yang hanya layak untuk kehidupan berkabilah di tengah padang Sahara. Kemudian Islam menjadikan mereka sebagai umat yang memimpin manusia dengan penuh bijaksana, memiliki wawasan, memiliki prinsip/pendirian, tersusun/sistematik dan berpengetahuan. Malah dengan risalah Islam yang dengannya bersama didikan serta pimpinan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam inilah masyarakat Arab dapat membangun. Jika tidak, tertinggallah mereka sepertimana masyarakat Eskimo di Kutub Utara dan masyarakat Zulu di benua Afrika hari ini!

9 - Merangsang umat untuk sentiasa berjihad menegakkan Islam,

Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

فَقَاتِلْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ لا تُكَلَّفُ إِلا نَفْسَكَ وَحَرِّضِ الْمُؤْمِنِينَ عَسَى اللَّهُ أَنْ يَكُفَّ بَأْسَ الَّذِينَ كَفَرُوا وَاللَّهُ أَشَدُّ بَأْسًا وَأَشَدُّ تَنْكِيلا

“Oleh itu, berperanglah (wahai Muhammad) pada jalan Allah; engkau tidak diberati selain daripada kewajipanmu sendiri. Dan berilah peransang kepada orang-orang yang beriman (supaya turut berjuang dengan gagah berani). Mudah-mudahan Allah menahan bahaya serangan orang-orang yang kafir itu. Dan (ingatlah) Allah Amatlah besar kekuatan-Nya dan Amatlah berat azab seksa-Nya.” (an-Nisaa’, 4: 84)

Ayat ini sekaligus menerangkan dua tugas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

Pertama, berjihad menegakkan agama Islam sebagaimana firman Allah: “Oleh itu, berperanglah (wahai Muhammad) pada jalan Allah…” Berdasarkan ayat ini ketahuilah bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tidak hanya ditugaskan sekadar mengajar al-Qur’an dan mendakwahkan Islam kepada manusia tetapi beliau juga ditugaskan dengan sesuatu yang lebih berat lagi membahayakan, iaitu mengangkat senjata di medan perang menegakkan Islam. Lebih dari itu tugas ini tetap dibebankan ke atas diri Rasulullah sekalipun baginda seorang diri sahaja, sebagaimana firman Allah: “… engkau tidak diberati selain daripada kewajipanmu sendiri”.

Kewajipan berperang yang diperintahkan kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dalam ayat ini sekali-lagi menafikan dakwaan bahawa baginda hanya memiliki peranan sebagai seorang posmen yang menyampaikan al-Qur’an sahaja. Malah ayat ini secara jelas menonjolkan kegagahan diri Rasulullah sebagaimana yang diterangkan oleh al-Fakh-ur-Razi: “Ayat ini menunjukkan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam adalah seseorang yang memiliki sifat yang gagah lagi yang paling bijaksana dalam urusan peperangan (kerana) tidaklah (Allah) akan memerintahkan demikian melainkan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam memang memiliki sifat-sifat tersebut (gagah dan bijaksana)”.

Tugas kedua yang diwajibkan ke atas diri Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dalam ayat di atas adalah mengerah dan mengajak umat Islam agar turut berperang sepertimana firman Allah: “Dan berilah perangsang kepada orang-orang yang beriman (supaya turut berjuang dengan gagah berani)”.

10 - Menggubal hukum,

Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

الَّذِينَ يَتَّبِعُونَ الرَّسُولَ النَّبِيَّ الأمِّيَّ الَّذِي يَجِدُونَهُ مَكْتُوبًا عِنْدَهُمْ فِي التَّوْرَاةِ وَالإنْجِيلِ يَأْمُرُهُمْ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَاهُمْ عَنِ الْمُنْكَرِ وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ وَيَضَعُ عَنْهُمْ إِصْرَهُمْ وَالأغْلالَ الَّتِي كَانَتْ عَلَيْهِمْ فَالَّذِينَ آمَنُوا بِهِ وَعَزَّرُوهُ وَنَصَرُوهُ وَاتَّبَعُوا النُّورَ الَّذِي أُنْزِلَ مَعَهُ أُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

“Dia (Muhammad) menyuruh mereka dengan perkara-perkara yang baik, dan melarang mereka daripada melakukan perkara-perkara yang keji; dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk; dan ia juga menghapuskan daripada mereka beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada pada mereka. Maka orang-orang yang beriman kepadanya. memuliakannya, menolongnya dan mengikuti cahaya yang terang yang diturunkan kepadanya (al-Quran), mereka itulah orang-orang yang beruntung.” (al-A’raaf, 7: 157)

Dalam ayat ini Allah Subhanahu wa Ta’ala menerangkan tugas dan kekuasaan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menggubal hukum-hukum agama seperti menghalalkan apa yang baik dan mengharamkan apa yang memudaratkan.

Demikianlah di antara 10 tugas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam yang diberikan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam al-Qur’anul Karim. Terdapat beberapa lagi tugas Rasulullah yang diterangkan oleh al-Qur’an seperti menunjuki umat ke arah jalan yang lurus, menerangi mereka dengan nur – cahaya Islam, mengkhabarkan berita gembira kepada orang yang beriman akan balasan syurga bagi mereka, memberi amaran kepada orang yang ingkar akan balasan neraka, menjadi saksi kepada umat di akhirat dan pelbagai lagi. Yang pentingnya tugas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tidaklah sekadar membawa al-Qur’an sahaja umpama seorang posmen yang membawa surat dari pengirim kepada penerima.

7 - Syubhat Ketujuh:

Mereka mempersoalkan berkenaan penggunaan kalimat “rasulullah” di dalam al-Qur’an merujuk kepada rasul yang mana satu?

Bantahannya:

Jika dikaji keseluruhan al-Qur’an, kita akan mendapati bahawa Allah Subhanahu wa Ta’ala merujuk kepada Muhammad bin Abdullah Shallallahu alaihi wa Sallam dengan 4 istilah. Yang pertama adalah dengan istilah hamba-Nya sebagaimana ayat berikut:

سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَى بِعَبْدِهِ لَيْلا مِنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الأقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا إِنَّه هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ

“Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid al-Haraam (di Makkah) ke Masjid al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (al-Israa’, 17: 01)

Kedua, Allah merujuk kepada Muhammad dengan nama baginda yang sebenar bagi menerangkan kepada para pembaca al-Qur’an siapakah beliau. Contohnya adalah ayat berikut:

مُحَمَّدٌ رَسُولُ اللَّهِ وَالَّذِينَ مَعَهُ أَشِدَّاءُ عَلَى الْكُفَّارِ رُحَمَاءُ بَيْنَهُمْ تَرَاهُمْ رُكَّعًا سُجَّدًا يَبْتَغُونَ فَضْلا مِنَ اللَّهِ وَرِضْوَانًا سِيمَاهُمْ فِي وُجُوهِهِمْ مِنْ أَثَرِ السُّجُودِ ذَلِكَ مَثَلُهُمْ فِي التَّوْرَاةِ وَمَثَلُهُمْ فِي الإنْجِيلِ كَزَرْعٍ أَخْرَجَ شَطْأَهُ فَآزَرَهُ فَاسْتَغْلَظَ فَاسْتَوَى عَلَى سُوقِهِ يُعْجِبُ الزُّرَّاعَ لِيَغِيظَ بِهِمُ الْكُفَّارَ وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ مِنْهُمْ مَغْفِرَةً وَأَجْرًا عَظِيمًا

"Muhammad (s.a.w) ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan sesama sendiri (umat Islam).” (al-Fath, 48: 29)

Ketiga, Allah merujuk kepada Muhammad dengan istilah Nabi apabila membicarakan persoalan peribadi baginda seperti nasihat, urusan rumahtangga dan sebagainya. Berikut adalah satu contoh:

يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ قُلْ لأزْوَاجِكَ إِنْ كُنْتُنَّ تُرِدْنَ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا وَزِينَتَهَا فَتَعَالَيْنَ أُمَتِّعْكُنَّ وَأُسَرِّحْكُنَّ سَرَاحًا جَمِيلا

“Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu: Sekiranya kamu semua mahukan kehidupan dunia (yang mewah) dan perhiasannya (yang indah), maka marilah supaya aku berikan kepada kamu pemberian mut’ah (sagu hati), dan aku lepaskan kamu dengan cara yang sebaik-baiknya.” (al-Ahzab, 33: 28)

Termasuk dalam kategori ketiga ini ialah apabila Allah Subhanahu wa Ta’ala merujuk kepada Muhammad dengan kata-kata engkau atau kamu.

Keempat, Allah merujuk kepada Muhammad dengan istilah Rasul atau Rasul-Nya atau Rasulullah, semua ini merujuk kepada tugas, peranan, amanah dan tanggung-jawab yang dimiliki oleh baginda dalam urusan risalah Islam. Terdapat banyak contoh ayat yang menggunakan istilah ini, satu darinya adalah:

كَمَا أَرْسَلْنَا فِيكُمْ رَسُولا مِنْكُمْ يَتْلُو عَلَيْكُمْ آيَاتِنَا وَيُزَكِّيكُمْ وَيُعَلِّمُكُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَيُعَلِّمُكُمْ مَا لَمْ تَكُونُوا تَعْلَمُونَ

“Sebagaimana Kami mengutuskan kepada kamu seorang Rasul dari kalangan kamu (iaitu Muhammad), yang membacakan ayat-ayat Kami kepada kamu, dan membersihkan kamu, dan yang mengajarkan kamu kandungan Kitab (al-Quran) serta Hikmah kebijaksanaan, dan mengajarkan kamu apa yang belum kamu ketahui.” (al-Baqarah, 2: 151)

Selain itu istilah Rasul juga digunakan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala di dalam al-Qur’an bagi mengingatkan kelebihan, kemuliaan dan keistimewa Muhammad sebagai seorang manusia yang berpangkat Rasul supaya umat Islam menghormati dan berlaku sopan terhadapnya. Berikut adalah satu contoh dan perhatikan perbezaan penggunaan istilah Nabi dan Rasul:

“Dan di antara mereka (yang munafik itu) ada orang-orang yang menyakiti Nabi sambil mereka berkata: “Bahawa dia (Nabi Muhammad) orang yang suka mendengar (dan percaya pada apa yang didengarnya)”. Katakanlah: “Dia mendengar (dan percaya) apa yang baik bagi kamu, ia beriman kepada Allah dan percaya kepada orang mukmin, dan ia pula menjadi rahmat bagi orang-orang yang beriman di antara kamu”. Dan orang-orang yang menyakiti Rasulullah itu, bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya.” (at-Taubah, 9: 61)

Kembali kepada asas perbincangan, tidak dinafikan bahawa Allah telah memerintahkan ketaatan kepada Rasulullah dan bukan kepada Muhammad, bererti bahawa yang wajib kita taati adalah segala tugas, peranan, amanah dan tanggungjawab baginda dalam konteks risalah Islam. Akan tetapi adalah tidak wajar jika tugas tersebut dibataskan kepada membawa kitab al-Qur’an sahaja kerana selain itu baginda juga memiliki pelbagai tugas yang penting seperti yang telah disenaraikan di atas (lihat jawapan bagi hujah kedua). Maka perintah mentaati Rasulullah bererti mentaati semua tugas-tugas yang dipertanggungjawabkan kepadanya oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala, tidak satu sahaja.

8 – Syubhat Kelapan:

Mereka mendakwa bahawa Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam hanyalah manusia biasa selain sebagai hanya seorang penyampai dan pembawa al-Qur’an.

Bantahannya:

Tidak dinafikan bahawa Muhammad bin Abdullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam adalah seorang manusia biasa yang makan dan minum seperti kita semua. Semua Rasul yang diutuskan oleh Allah adalah dari jenis manusia, bukan malaikat atau jin. Hal ini telah diterangkan sendiri oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala beberapa kali di dalam al-Qur’an, antaranya:


أَوْ يَكُونَ لَكَ بَيْتٌ مِنْ زُخْرُفٍ أَوْ تَرْقَى فِي السَّمَاءِ وَلَنْ نُؤْمِنَ لِرُقِيِّكَ حَتَّى تُنَزِّلَ عَلَيْنَا كِتَابًا نَقْرَؤُهُ قُلْ سُبْحَانَ رَبِّي هَلْ كُنْتُ إِلا بَشَرًا رَسُولا

“Katakanlah (wahai Muhammad): Maha Suci Tuhanku! Bukankah aku ini hanya seorang manusia yang menjadi Rasul?” (al-Isra’, 17: 93)


وَمَا أَرْسَلْنَا قَبْلَكَ إِلا رِجَالا نُوحِي إِلَيْهِمْ فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِنْ كُنْتُمْ لا تَعْلَمُونَ (٧)وَمَا جَعَلْنَاهُمْ جَسَدًا لا يَأْكُلُونَ الطَّعَامَ وَمَا كَانُوا خَالِدِينَ

“Dan Kami tidak mengutus Rasul-rasul sebelummu (wahai Muhammad) melainkan orang-orang lelaki yang Kami wahyukan kepada mereka (bukan malaikat); maka bertanyalah kamu kepada “Ahlu – Zikri” jika kamu tidak mengetahui. Dan Kami tidak menjadikan Rasul-rasul itu bertubuh badan yang tidak makan minum, dan mereka pula tidak akan kekal hidup selama-lamanya (di dunia).” (al-Anbiya’, 21: 7-8)

Hikmah diutus para Rasul dari jenis manusia adalah kerana tugas mereka bukanlah sekadar membawa kitab suci Allah tetapi mereka juga bertanggungjawab mengajar, menjelas dan menterjemah ayat-ayat kitab suci menjadi perbuatan praktikal agar umat mudah memahami dan mengikutinya. Para Rasul juga bertanggungjawab untuk menunjukkan kepada umat berkenaan kaedah kehidupan, terutamanya dari sudut aqidah, akhlak dan moral supaya manusia dapat mengekalkan diri mereka sebagai sebaik-baik ciptaan dan tidak pula menjadi haiwan dan binatang ternak. Sudah tentu tugas-tugas ini tidak dapat disempurnakan jika Allah Subhanahu wa Ta’ala mengutuskan para Rasul-Nya dari jenis malaikat, jin atau mana-mana makhluk lain.

Oleh itu, adalah benar dakwaan bahawa Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam adalah seorang manusia biasa. Akan tetapi adalah tidak benar untuk memandang rendah dan meremehkan Muhammad kerana Allah Subhanahu wa Ta’ala di dalam al-Qur’an telah mengangkat dan memuliakan beliau berbanding manusia selainnya. Berikut adalah 10 keterangan al-Qur’an berkenaan kemulian dan kelebihan Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.

10 Kemulian dan Kelebihan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam,

1 - Allah Subhanahu wa Ta’ala dan para Malaikat berselawat kepada Rasulullah,

Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:


إِنَّ اللَّهَ وَمَلائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا

“Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.” (al-Ahzab, 33: 56)

Istilah Selawat berasal dari perkataan solat yang bererti doa. Apabila dikatakan berselawat kepada Rasulullah, ia bererti mendoakan segala yang baik untuk baginda. Selawat Allah kepada Rasulullah bererti pujian, pengagungan dan pengurniaan rahmat oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala kepada baginda. Manakala selawat para malaikat dan manusia kepada Rasulullah adalah doa agar Allah Subhanahu wa Ta’ala memberikan rahmat, keberkatan, keutamaan dan kemulian kepada baginda. Ayat 56 surah al-Ahzab ini jelas menunjukkan kemulian dan kelebihan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam di atas mana-mana manusia lain sehingga ke Hari Akhirat.

2 - Allah meninggikan dan memuliakan nama Rasulullah,

Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

أَلَمْ نَشْرَحْ لَكَ صَدْرَكَ (١)وَوَضَعْنَا عَنْكَ وِزْرَكَ (٢)الَّذِي أَنْقَضَ ظَهْرَكَ (٣)وَرَفَعْنَا لَكَ ذِكْرَكَ

“Bukankah Kami telah melapangkan bagimu, dadamu (wahai Muhammad)? Dan Kami telah meringankan daripadamu, bebanmu (menyiarkan Islam) - Yang memberati tanggunganmu? Dan Kami telah meninggikan bagimu, sebutan namamu?” (asy-Syarh, 94: 1-4)

Terhadap firman Allah: “....... Dan Kami telah meninggikan bagimu: sebutan namamu ....” telah diriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

Jibrail (alaihi salam) telah datang kepada aku dan berkata: “Sesungguhnya Rabb aku dan Rabb engkau telah berfirman – Tahukah bagaimana (Aku) menaikkan sebutan namamu?” Berkata Rasulullah: “Allah sahaja yang mengetahui.” Berkata Jibrail: “Apabila nama-Ku disebut nama engkau disebut bersama-Ku.” (Hasan: Hadis dari Abu Said al-Khudri radiallahu-anhu, dikeluarkan oleh Abu Ya’la dalam Musnad – no: 1380, Ibnu Hibban di dalam Sahihnya – no: 3382, Ibnu Jarir at-Thabari di dalam Jamii’al-Bayan - no: 29068 dan Ibnu Abi Hatim al-Razi di dalam Tafsir al-Qur’an al-‘Adzim no: 19393, semuanya dari jalan Abi al-Haithami, yakni Sulaiman bin ‘Amru al-Laithi – dan adalah beliau seorang yang lemah. Lihat takhrijnya oleh al-Haithami dalam Majma az-Zawaaid – no: 13922, Syu’aib al-Arnauth di dalam Sahih Ibnu Hibban, jld 8, m/s. 175 dan Husain Salim Asad dalam Musnad Abu Ya’la, jld 2, m/s. 522)

Riwayat ini sekalipun lemah isnadnya, tetapi maksudnya dibenarkan oleh umat Islam sejak dari saat pertama Islam bermula. Yang dimaksudkan dengan Apabila nama-Ku disebut nama engkau disebut bersama-Ku adalah dalam sebutan syahadah, yakni apabila nama Allah Subhanahu wa Ta’ala dan Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam disebut bersama: “Tiada tuhan melainkan Allah dan Muhammad adalah pesuruh Allah” Berkata Mujahid (104H) rahmatullhu ‘alaihi, anak murid bagi Abdullah ibnu Abbas (68H) radiallahu-anhu: Tidaklah disebut (nama Allah) melainkan disebut juga nama dia (Muhammad) bersama (iaitu ketika berkata) “Aku bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan aku bersaksi bahawa Muhammad adalah pesuruh Allah.” Berkata juga Qatadah (118H) rahmatullahu-alaihi: Allah telah meninggikan namanya (Muhammad) di dunia dan akhirat. Tiadalah seorang yang menyebut atau bersyahadah atau bersolat kecuali akan berkata - “Tiada tuhan melainkan Allah dan Muhammad adalah pesuruh Allah.” Mujahid dan Qatadah adalah dua tokoh ilmuan dan pakar tafsir generasi tabiin.

3 - Allah bersumpah dengan nama dan kedudukan Rasulullah,

Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:


لَعَمْرُكَ إِنَّهُمْ لَفِي سَكْرَتِهِمْ يَعْمَهُونَ

“Demi umurmu (wahai Muhammad), sesungguhnya mereka membuta tuli dalam kemabukan maksiat mereka.” (al-Hijr, 15: 72)

Para ahli tafsir menerangkan bahawa apabila Allah Subhanahu wa Ta’ala bersumpah di dalam al-Qur’an, ia adalah bagi menunjukkan kebesaran objek yang disumpah-Nya atau bagi mengisyaratkan besarnya subjek yang bakal menyusuli sumpah tersebut. Maka dengan itu, apabila Allah Subhanahu wa Ta’ala bersumpah dengan usia atau hayat Rasulullah, ia menunjukkan kebesaran, keutamaan, dan kepentingan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Malah inilah julung kalinya Allah bersumpah dengan sesuatu yang bernyawa di dalam al-Qur’an, sumpah-sumpah-Nya yang lain semuanya ditujukan kepada benda tidak bernyawa seperti bulan, matahari, waktu dan sebagainya. Abdullah ibnu Abbas (68H) radiallahu ‘anhu berkata: “Allah tidak mencipta atau membuat atau mereka (mencipta) suatu nyawa yang Dia muliakan lebih dari Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Dan aku tidak pernah mendengar Allah bersumpah dengan suatu nyawa selain nyawanya (Muhammad).”

Selain itu Allah Subhanahu wa Ta’ala juga beberapa kali telah menyusul sumpah-sumpah-Nya dengan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, sekali lagi membuktikan kebesaran dan keutamaan baginda. Sila rujuk ayat-ayat berikut:

يس (١)وَالْقُرْآنِ الْحَكِيمِ (٢)إِنَّكَ لَمِنَ الْمُرْسَلِينَ

“Yaa, Siin. Demi Al-Quran yang mengandungi hikmah-hikmah dan kebenaran yang tetap kukuh, Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad adalah seorang Rasul) dari Rasul-rasul yang telah diutus.” (Yasin, 36: 1-3)

وَالنَّجْمِ إِذَا هَوَى (١)مَا ضَلَّ صَاحِبُكُمْ وَمَا غَوَى

“Demi bintang semasa ia menjunam, rakan kamu (Nabi Muhammad), tidaklah ia menyeleweng (dari jalan yang benar), dan ia pula tidak sesat.” (an-Najm, 53: 1-2)

ن وَالْقَلَمِ وَمَا يَسْطُرُونَ (١)مَا أَنْتَ بِنِعْمَةِ رَبِّكَ بِمَجْنُونٍ

“Nuun. Demi Pena dan apa yang mereka tulis, Engkau (wahai Muhammad) - dengan sebab nikmat pemberian Tuhanmu - bukanlah seorang gila.” (al-Qalam, 68: 1-2)

لا أُقْسِمُ بِهَذَا الْبَلَدِ (١)وَأَنْتَ حِلٌّ بِهَذَا الْبَلَدِ

“Aku bersumpah dengan negeri (Makkah) ini; Sedang engkau (wahai Muhammad) tinggal di negeri ini.” (al-Balad, 90: 1-2)

وَالضُّحَى (١)وَاللَّيْلِ إِذَا سَجَى (٢)مَا وَدَّعَكَ رَبُّكَ وَمَا قَلَى

“Demi waktu Dhuha, dan malam apabila ia sunyi-sepi, (bahawa) Tuhanmu (wahai Muhammad) tidak meninggalkanmu, dan Ia tidak benci (kepadamu).” (ad-Dhuha, 93: 1-3)

4 - Allah membela dan melindungi Rasulullah,

Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

إِنَّا أَعْطَيْنَاكَ الْكَوْثَرَ (١)فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ (٢)إِنَّ شَانِئَكَ هُوَ الأبْتَرُ

“Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) kebaikan yang banyak (di dunia dan di akhirat). Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur). Sesungguhnya orang yang bencikan engkau, dialah yang terputus.” (al-Kaustar, 108: 1-3)

Ayat ini turun sebagai menjawab tuduhan orang-orang kafir ketika itu yang telah menyindir Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam – kononnya beliau terputus zuriat keturunan, akibat kematian putera-putera beliau dalam usia yang masih kecil. Oleh itu Allah Subhanahu wa Ta’ala membela Rasulullah dengan menerangkan bahawa sekalipun beliau terputus zuriat keturunan, risalah Islam yang dibawanya tidak akan terputus. Ia akan terus berkembang sebagaimana yang dapat dilihat pada hari ini. Malah yang sebenarnya terputus adalah orang-orang kafir itu sendiri, bilangan mereka semakin mengecil dan mereka semua tertinggal di dalam kegelapan jahiliyah dan kesesatan taghut. (Lihat Tafsir Ibnu Katsir, jld 4, m/s. 527-528)

Ayat ini juga memiliki erti dan pengajaran yang lebih luas memandangkan Allah Subhanahu wa Ta’ala telah menurunkannya dengan lafaz yang umum lagi terbuka. Oleh itu ayat ini juga ditujukan kepada:

[1] Sesiapa yang membenci Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, termasuk menghina, meremeh, merendah, bermusuhan, berdengkian dan marah kepada beliau.

[2] Sesiapa yang membenci dan melecehkan sunnah-sunnah Rasulullah, enggan mentaati dan mengikutinya tetapi lebih suka berbuat bid’ah sesuka hati.

[3] Sesiapa yang membenci risalah Islam yang dibawa oleh Rasulullah.

Maka bagi orang-orang yang memiliki sifat kebencian ini, mereka terputus dari rahmat, kasih sayang, hidayah, petunjuk, kebaikan dan ganjaran Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Selain itu terdapat beberapa ayat lain yang menerangkan pemeliharaan dan pertolongan Allah Subhanahu wa Ta’ala kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, antaranya ialah:

يَا أَيُّهَا الرَّسُولُ بَلِّغْ مَا أُنْزِلَ إِلَيْكَ مِنْ رَبِّكَ وَإِنْ لَمْ تَفْعَلْ فَمَا بَلَّغْتَ رِسَالَتَهُ وَاللَّهُ يَعْصِمُكَ مِنَ النَّاسِ إِنَّ اللَّهَ لا يَهْدِي الْقَوْمَ الْكَافِرِينَ

“Dan Allah jualah akan memeliharamu (Muhammad) dari (kejahatan) manusia.” (al-Maidah, 5: 67)

فَلَمْ تَقْتُلُوهُمْ وَلَكِنَّ اللَّهَ قَتَلَهُمْ وَمَا رَمَيْتَ إِذْ رَمَيْتَ وَلَكِنَّ اللَّهَ رَمَى وَلِيُبْلِيَ الْمُؤْمِنِينَ مِنْهُ بَلاءً حَسَنًا إِنَّ اللَّهَ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

“Maka bukanlah kamu yang membunuh mereka, akan tetapi Allah jualah yang menyebabkan pembunuhan mereka. Dan bukanlah engkau (wahai Muhammad) yang melempar ketika engkau melempar, akan tetapi Allah jualah yang melempar.” (al-Anfal, 8: 17)

Ayat ini turun semasa Perang Badar apabila Allah ‘Azza wa Jalla menurunkan pasukan tentera berupa para malaikat bagi menolong Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan umat Islam.

وَإِذْ يَمْكُرُ بِكَ الَّذِينَ كَفَرُوا لِيُثْبِتُوكَ أَوْ يَقْتُلُوكَ أَوْ يُخْرِجُوكَ وَيَمْكُرُونَ وَيَمْكُرُ اللَّهُ وَاللَّهُ خَيْرُ الْمَاكِرِينَ

“Dan ingatlah (wahai Muhammad), ketika orang-orang kafir musyrik (Makkah) menjalankan tipu daya terhadapmu untuk menahanmu, atau membunuhmu, atau mengusirmu. Mereka menjalankan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya (mereka), kerana Allah sebaik-baik yang menggagalkan tipu daya.” (al-Anfal, 8: 30)

إِلا تَنْصُرُوهُ فَقَدْ نَصَرَهُ اللَّهُ إِذْ أَخْرَجَهُ الَّذِينَ كَفَرُوا ثَانِيَ اثْنَيْنِ إِذْ هُمَا فِي الْغَارِ إِذْ يَقُولُ لِصَاحِبِهِ لا تَحْزَنْ إِنَّ اللَّهَ مَعَنَا فَأَنْزَلَ اللَّهُ سَكِينَتَهُ عَلَيْهِ وَأَيَّدَهُ بِجُنُودٍ لَمْ تَرَوْهَا وَجَعَلَ كَلِمَةَ الَّذِينَ كَفَرُوا السُّفْلَى وَكَلِمَةُ اللَّهِ هِيَ الْعُلْيَا وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

“Jika kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telahpun menolongnya.” (at-Taubah, 9: 40)

[5] Allah menyifatkan pengutusan Rasulullah sebagai Rahmat bagi sekalian alam.

Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

لَقَدْ مَنَّ اللَّهُ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ إِذْ بَعَثَ فِيهِمْ رَسُولا مِنْ أَنْفُسِهِمْ يَتْلُو عَلَيْهِمْ آيَاتِهِ وَيُزَكِّيهِمْ وَيُعَلِّمُهُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَإِنْ كَانُوا مِنْ قَبْلُ لَفِي ضَلالٍ مُبِينٍ

“Sesungguhnya Allah telah mengurniakan rahmat-Nya kepada orang-orang yang beriman, setelah Ia mengutuskan di kalangan mereka seorang Rasul…..” (Ali Imran, 3: 164)

Perkataan “mannaLlah” bererti limpahan nikmat, rahmat dan kurnia yang Allah berikan kepada orang-orang Islam, iaitu apabila diutuskan kepada mereka Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.

بَرَاءَةٌ مِنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ إِلَى الَّذِينَ عَاهَدْتُمْ مِنَ الْمُشْرِكِينَ

“Katakanlah: Dia mendengar (Muhammad) apa yang baik bagi kamu, ia beriman kepada Allah dan percaya kepada orang mukmin, dan ia pula menjadi rahmat bagi orang-orang yang beriman di antara kamu.” (at-Taubah, 9: 61)

وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلا رَحْمَةً لِلْعَالَمِينَ

“Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.” (al-Anbiya’, 21: 107)

[6] Allah mensyaratkan kasih sayang kepada-Nya dengan ikutan kepada Rasulullah.

Sesiapa yang benar-benar mengasihi Allah Subhanahu wa Ta’ala, hendaklah dia membuktikan kasih sayang tersebut dengan mengikuti sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala melalui lisan Rasulullah.

قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ

“Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka IKUTILAH daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Ali Imran, 3: 31)

[7] Sesiapa yang memuliakan, menolong dan mengikut sunnah Rasulullah akan berjaya dunia dan akhirat, dan akan memperolehi, kasih sayang, keampunan dan keredhaan Allah.

Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

الَّذِينَ يَتَّبِعُونَ الرَّسُولَ النَّبِيَّ الأمِّيَّ الَّذِي يَجِدُونَهُ مَكْتُوبًا عِنْدَهُمْ فِي التَّوْرَاةِ وَالإنْجِيلِ يَأْمُرُهُمْ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَاهُمْ عَنِ الْمُنْكَرِ وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ وَيَضَعُ عَنْهُمْ إِصْرَهُمْ وَالأغْلالَ الَّتِي كَانَتْ عَلَيْهِمْ فَالَّذِينَ آمَنُوا بِهِ وَعَزَّرُوهُ وَنَصَرُوهُ وَاتَّبَعُوا النُّورَ الَّذِي أُنْزِلَ مَعَهُ أُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

“Maka orang-orang yang beriman kepadanya (Muhammad), dan memuliakannya, juga menolongnya, serta mengikut nur (cahaya) yang diturunkan kepadanya, mereka itulah orang-orang yang berjaya.” (al-A’raaf, 7: 157)

قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ

“Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka IKUTILAH daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Ali Imran, 3: 31)

وَقَرْنَ فِي بُيُوتِكُنَّ وَلا تَبَرَّجْنَ تَبَرُّجَ الْجَاهِلِيَّةِ الأولَى وَأَقِمْنَ الصَّلاةَ وآتِينَ الزَّكَاةَ وَأَطِعْنَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ إِنَّمَا يُرِيدُ اللَّهُ لِيُذْهِبَ عَنْكُمُ الرِّجْسَ أَهْلَ الْبَيْتِ وَيُطَهِّرَكُمْ تَطْهِيرًا

“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) Hari Akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak.” (al-Ahzaab, 33: 21)

[8] Allah memuji akhlak dan perilaku Rasulullah.

Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

وَإِنَّكَ لَعَلى خُلُقٍ عَظِيمٍ

“Dan bahawa sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) mempunyai akhlak yang amat mulia.” (al-Qalam, 68: 04)

[9] Allah memberi amaran keras kepada sesiapa yang biadap dan tidak sopan terhadap Rasulullah.

Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

لا تَجْعَلُوا دُعَاءَ الرَّسُولِ بَيْنَكُمْ كَدُعَاءِ بَعْضِكُمْ بَعْضًا قَدْ يَعْلَمُ اللَّهُ الَّذِينَ يَتَسَلَّلُونَ مِنْكُمْ لِوَاذًا فَلْيَحْذَرِ الَّذِينَ يُخَالِفُونَ عَنْ أَمْرِهِ أَنْ تُصِيبَهُمْ فِتْنَةٌ أَوْ يُصِيبَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ

“Janganlah kamu jadikan seruan atau panggilan Rasulullah di antara kamu seperti seruan atau panggilan sesama kamu.” (an-Nur, 24: 63)

Iaitu janganlah dipanggil Muhammad tetapi panggilah “Ya Rasulullah” atau “Wahai Nabi”.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لا تَرْفَعُوا أَصْوَاتَكُمْ فَوْقَ صَوْتِ النَّبِيِّ وَلا تَجْهَرُوا لَهُ بِالْقَوْلِ كَجَهْرِ بَعْضِكُمْ لِبَعْضٍ أَنْ تَحْبَطَ أَعْمَالُكُمْ وَأَنْتُمْ لا تَشْعُرُونَ

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengangkat suara kamu melebihi suara Nabi, dan janganlah kamu menyaringkan suara (dengan lantang) semasa bercakap dengannya sebagaimana sebahagian kamu menyaringkan suaranya semasa bercakap dengan sebahagian yang lain. (Larangan yang demikian) supaya amal-amal kamu tidak hapus pahalanya, sedang kamu tidak menyedarinya.” (al-Hujurat, 49: 02)

Allah Subhanahu wa Ta’ala juga memberikan amaran keras kepada sesiapa yang menyakiti Rasulullah dan melakukan perkara-perkara yang tidak disukainya. Malah dalam satu ayat lain Allah meletakkan Rasulullah di sisi nama-Nya dalam memperingatkan kesalahan yang besar ini:

يُؤْذُونَ رَسُولَ اللَّهِ لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ

“Dan orang-orang yang menyakiti Rasulullah, bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya.” (at-Taubah, 9: 61)

إِنَّ الَّذِينَ يُؤْذُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ لَعَنَهُمُ اللَّهُ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ وَأَعَدَّ لَهُمْ عَذَابًا مُهِينًا

“Sesungguhnya orang-orang yang menyakiti (atau melakukan perkara yang tidak diredhai oleh) Allah dan Rasul-Nya, Allah melaknatkan mereka di dunia dan di akhirat, dan menyediakan untuk mereka azab seksa yang menghinakan.” (al-Ahzaab, 33: 57)

[10] Allah tidak akan menghukum sesuatu kaum selagi Rasulullah hadir di tengah-tengah mereka ketika itu.

Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

وَمَا كَانَ اللَّهُ لِيُعَذِّبَهُمْ وَأَنْتَ فِيهِمْ وَمَا كَانَ اللَّهُ مُعَذِّبَهُمْ وَهُمْ يَسْتَغْفِرُونَ

“Dan Allah tidak sekali-kali akan menyeksa mereka, sedang engkau (wahai Muhammad) ada di antara mereka.” (al-Anfal, 8: 33)

Demikian 10 dalil al-Qur’anul Karim yang menerangkan kemulian, penghormatan dan kelebihan yang diberi oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Semua ini menunjukkan bahawa beliau bukanlah sekadar manusia yang biasa tetapi adalah manusia terpilih yang dikhususkan oleh Allah Tabaraka wa Ta’ala. (Ada banyak lagi kemulian dan keutamaan Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Sila rujuk buku as-Shifa: Muhammad Messenger of Allah oleh Qadi ‘Iyad)

9 – Syubhat Kesembilan:

Kitab al-Qur’anul Karim adalah sebuah kitab yang dipelihara dan dijamin ketulenannya oleh Allah Subhanahu waTa’ala manakala hadis-hadis tidak. Ini berdasarkan firman Allah:

إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ

“Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan az-Zikr (al-Quran), dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.” (al-Hijr, 15: 9)

Bantahannya:

Ketahuilah bahawa apabila Allah ‘Azza wa Jalla menjamin keterpeliharaan al-Qur’anul Karim, ia tidak bermaksud sekadar memelihara dan menjaga huruf-hurufnya sahaja, tetapi ia meliputi semua yang berkaitan dengan al-Qur’an, termasuk memelihara dan menjaga maksud, pengajaran dan kaedah pengamalannya. 3 perkara yang terakhir ini diwakili oleh sunnah dan hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Tiada gunanya memelihara huruf-huruf al-Qur’an sahaja sedangkan ajaran dan maksudnya dibiarkan sahaja menjadi mainan yang ditolak dan ditarik sesuka hati oleh manusia dengan meninggalkan maksud sebenar yang diajarkan melalui Nabi-Nya. Maka dengan itu, perlu difahami bahawa apabila Allah berjanji memelihara al-Qur’anul Karim, ia adalah pemeliharaan dari dua sudut, yang pertama sudut material yakni sebutan, lafaz, dan susunan ayat-ayat al-Qur’an, manakala yang kedua adalah dari sudut bukan material, yakni maksud ayat, pengajaran, dan kaedah pengamalan ayat. Hadis dan sunnah Nabi sentiasa dipelihara oleh Allah Azza waJalla dengan wujudnya para ahli hadis di setiap generasi yang sentiasa menyemak, menganalisa, dan mengkaji kedudukan isnad sesuatu hadis untuk dibezakan di antara yang benar dan yang palsu.

Seterusnya, bagaimanakah mereka mampu menafsirkan kalimat “az-Zikra” kepada maksud al-Qur’an? Rujukan manakah yang mereka ambil? Methode penafsiran yang bagaimanakah sebenarnya yang mereka ambil, ataukah mereka menafsirkannya hanya mengikut hawa nafsu dan kehendak hati-hati mereka?

10 – Syubhat Kesepuluh:

Mereka juga mendakwa bahawa al-Qur’anul Karim adalah wahyu Allah manakala hadis dan sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bukan wahyu.

Bantahannya:

Persoalan di atas dapat dijawab dalam 4 bahagian: [1] Definasi wahyu, [2] adakah wahyu hanya dalam bentuk kitab?, [3] jenis-jenis wahyu selain kitab dan [4] jenis-jenis wahyu yang diterima oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.

[1] - Definasi wahyu,

Wahyu adalah sesuatu yang dimaklumkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala kepada sesiapa sahaja daripada hamba-Nya yang dipilih-Nya dan ia merupakan hidayah dan ilmu (yang diberi) secara rahsia dan tersembunyi bukan dengan cara biasa yang dilakukan oleh manusia. (Muhammad Abdul Azim al-Zarqani – Manahil al-Irfan fi Ulum al-Qur’an, m/s. 56)

Lebih lanjut, wahyu adalah maklumat dari Allah Subhanahu wa Ta’ala yang diperolehi oleh seorang hamba terpilih sama ada melalui perantaraan malaikat atau secara langsung, tersembunyi, rahsia dan tersendiri, bukan melalui cara yang biasa dilakukan oleh manusia untuk mendapatkan ilmu pengetahuan. Wahyu diberikan dan diturunkan kepada hamba-hamba yang terpilih oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala sebagai satu kelebihan dan keistimewaan. Ia adalah satu anugerah pemberian dan tidak boleh didapati dengan cara mencarinya atau meminta-minta. Wahyu tidak boleh diukur oleh akal fikiran dan ia tidak tunduk kepada lojik manusia. Sebaliknya akal fikiran dan lojik manusia yang tunduk dibawah pimpinan wahyu Ilahi. (Mahmud Saedon Othman – al-Sunnah: Kedudukan dan Peranannya, m/s. 88-89)

Wahyu diturunkan dalam dua bentuk, pertama dalam bentuk kitab seperti Taurat, Zabur, Injil dan al-Qur’an, wahyu seperti ini dikenali sebagai wahyu bertulis (Wahyu al-Matlu). Kedua adalah wahyu yang diturunkan bukan dalam bentuk kitab, seperti yang Allah berikan kepada Nabi-nabi yang tidak diturunkan kitab suci – antaranya Adam, Nuh, Lut dan ramai lagi. Wahyu seperti ini dikenali sebagai wahyu tidak bertulis (Wahyu Ghairi al-Matlu). Di antara para Rasul ada yang menerima kedua-dua bentuk wahyu, antaranya ialah Nabi Isa ‘alaihi Salam dan Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.

[2] Adakah wahyu hanya dalam bentuk kitab?

Persoalan ini dapat dijawab dengan mengkaji dua ayat berikut:

إِنَّا أَوْحَيْنَا إِلَيْكَ كَمَا أَوْحَيْنَا إِلَى نُوحٍ وَالنَّبِيِّينَ مِنْ بَعْدِهِ وَأَوْحَيْنَا إِلَى إِبْرَاهِيمَ وَإِسْمَاعِيلَ وَإِسْحَاقَ وَيَعْقُوبَ وَالأسْبَاطِ وَعِيسَى وَأَيُّوبَ وَيُونُسَ وَهَارُونَ وَسُلَيْمَانَ وَآتَيْنَا دَاوُدَ زَبُورًا

“Sungguhnya Kami telah memberikan wahyu kepadamu (wahai Muhammad), sebagaimana Kami telah memberikan wahyu kepada Nabi Nuh, dan Nabi-nabi yang diutus kemudian daripadanya; dan Kami juga telah memberikan wahyu kepada Nabi Ibrahim, dan Nabi Ismail, dan Nabi Ishak, dan Nabi Yaakub, serta Nabi-nabi keturunannya, dan Nabi Isa, dan Nabi Ayub, dan Nabi Yunus, dan Nabi Harun, dan Nabi Sulaiman; dan juga Kami telah memberikan kepada Nabi Daud: Kitab Zabur.” (an-Nisaa’, 4: 163)

وَمَا أَرْسَلْنَا مِنْ قَبْلِكَ إِلا رِجَالا نُوحِي إِلَيْهِمْ فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِنْ كُنْتُمْ لا تَعْلَمُونَ

“Dan tidaklah Kami mengutus Rasul-rasul sebelummu (wahai Muhammad), melainkan dari kalangan orang-orang lelaki, yang Kami wahyukan kepada mereka. Oleh itu bertanyalah kamu (wahai golongan musyrik) kepada orang-orang yang memiliki pengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui.” (an-Nahl, 16: 43)

Kita sama-sama mengetahui bahawa para Rasul yang diberi kitab suci adalah (1) Nabi Ibrahim ‘alaihi salam dengan kitab yang digelar suhuf-suhuf. (Rujuk: al-A’laa, 87: 19), (2) Nabi Daud ‘alaihi salam dengan kitab Zabur. (Rujuk: an-Nisaa’, 4: 163), (3) Nabi Musa ‘alaihi salam dengan kitab Taurat. (Rujuk: al-Israa’, 17: 02), (4) Nabi Isa ‘alaihi salam dengan kitab Injil. (Rujuk: al-Maidah, 5: 46) dan (5) Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dengan kitab al-Qur’an.

Dalam dua ayat di atas Allah Subhanahu wa Ta’ala telah menerangkan bahawa semua para Nabi dan Rasul-Nya menerima wahyu. Namun kita sama-sama ketahui bahawa di antara para Nabi yang menerima wahyu sebagaimana yang disebut di atas, ada yang tidak diberikan kitab suci, antaranya Nabi Nuh, Ismail, Ishak, Yaakub, Ayub, Yunus dan Harun ‘alaihim salam. Dalil-dalil al-Qur’an ini menunjukkan bahawa apabila Allah Subhanahu wa Ta’ala memberikan wahyu kepada para Nabi dan Rasul-Nya, ia tidak semestinya wujud dalam bentuk kitab suci sahaja.

Antara hujah Golongan Anti Hadis dalam perbincangan ini adalah semua Nabi dan Rasul menerima wahyu dan wahyu tersebut semuanya dalam bentuk kitab suci. Tidak ada Nabi dan Rasul yang tidak menerima wahyu dalam bentuk kitab suci. Dalil mereka adalah ayat 81 surah Ali Imran berikut:

وَإِذْ أَخَذَ اللَّهُ مِيثَاقَ النَّبِيِّينَ لَمَا آتَيْتُكُمْ مِنْ كِتَابٍ وَحِكْمَةٍ ثُمَّ جَاءَكُمْ رَسُولٌ مُصَدِّقٌ لِمَا مَعَكُمْ لَتُؤْمِنُنَّ بِهِ وَلَتَنْصُرُنَّهُ قَالَ أَأَقْرَرْتُمْ وَأَخَذْتُمْ عَلَى ذَلِكُمْ إِصْرِي قَالُوا أَقْرَرْنَا قَالَ فَاشْهَدُوا وَأَنَا مَعَكُمْ مِنَ الشَّاهِدِينَ

“Dan (ingatlah) ketika Allah mengambil perjanjian setia dari Nabi-nabi (dengan firman-Nya): Sesungguhnya apa jua Kitab dan Hikmah yang Aku berikan kepada kamu, kemudian datang pula kepada Kamu seorang Rasul yang mengesahkan apa yang ada pada kamu, hendaklah kamu beriman sungguh-sungguh kepadanya, dan hendaklah kamu bersungguh-sungguh menolongnya.” (Ali Imran, 3: 81)

Pada zahirnya, ayat ini menunjukkan bahawa semua Nabi-nabi telah diberikan kitab oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala. Bagi menjawab hujah ini, pertama perlu diterangkan perbezaan di antara Rasul dan Nabi. Rasul ialah seorang Nabi yang diangkat oleh Allah ‘Azza wa Jalla dengan diberikan sebuah kitab suci untuk menyebarkan risalah dan syari’at agama-Nya. Bagi setiap umat Allah Azza wa Jalla mengutuskan seorang Rasul. Firman-Nya:

وَلِكُلِّ أُمَّةٍ رَسُولٌ

“Dan bagi tiap-tiap satu umat ada seorang Rasul (yang diutuskan kepadanya).” (Yunus, 10: 47)

Rasul-rasul ini semuanya mengajak kepada mentauhidkan Allah Subhanahu waTa’ala dan melarang sembahan selain Allah:

وَلَقَدْ بَعَثْنَا فِي كُلِّ أُمَّةٍ رَسُولا أَنِ اعْبُدُوا اللَّهَ وَاجْتَنِبُوا الطَّاغُوتَ فَمِنْهُمْ مَنْ هَدَى اللَّهُ وَمِنْهُمْ مَنْ حَقَّتْ عَلَيْهِ الضَّلالَةُ فَسِيرُوا فِي الأرْضِ فَانْظُرُوا كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الْمُكَذِّبِينَ

“Dan sesungguhnya Kami telah mengutus di dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): “Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah Taghut”.” (an-Nahl, 16: 36)

Akan tetapi bagi setiap Rasul ada syari’at mereka yang tersendiri khusus untuk umat masing-masing:

لِكُلٍّ جَعَلْنَا مِنْكُمْ شِرْعَةً وَمِنْهَاجًا وَلَوْ شَاءَ اللَّهُ لَجَعَلَكُمْ أُمَّةً وَاحِدَةً وَلَكِنْ لِيَبْلُوَكُمْ فِي مَا آتَاكُمْ فَاسْتَبِقُوا الْخَيْرَاتِ إِلَى اللَّهِ مَرْجِعُكُمْ جَمِيعًا فَيُنَبِّئُكُمْ بِمَا كُنْتُمْ فِيهِ تَخْتَلِفُونَ

“Bagi tiap-tiap umat yang ada di antara kamu, Kami jadikan (tetapkan) suatu Syariat dan jalan agama (yang wajib diikuti oleh masing-masing). Sekiranya Allah menghendaki, niscaya kamu dijadikan-Nya satu umat (saja), tetapi Allah hendak menguji kamu terhadap pemberian-Nya kepadamu, maka berlumba-lumbalah berbuat kebajikan. Hanya kepada Allah-lah kembali kamu semuanya, lalu diberitahukan-Nya kepadamu apa yang telah kamu perselisihkan itu.” (al-Maidah, 5: 48)

لِكُلِّ أُمَّةٍ جَعَلْنَا مَنْسَكًا هُمْ نَاسِكُوهُ فَلا يُنَازِعُنَّكَ فِي الأمْرِ وَادْعُ إِلَى رَبِّكَ إِنَّكَ لَعَلَى هُدًى مُسْتَقِيمٍ

“Bagi tiap-tiap umat, Kami adakan satu syariat yang tertentu untuk mereka ikuti dan jalankan.” (al-Hajj, 22: 67)

Di samping seseorang Rasul, Allah ‘Azza wa Jalla juga mengutus beberapa orang Nabi, sama ada sezaman dengan Rasul tersebut atau sesudahnya. Nabi-nabi tersebut meneruskan syari’at yang dibawa oleh Rasul mereka dengan berpandukan kitab yang pada asalnya diturunkan kepada Rasul mereka. Contohnya syari’at Nabi Musa ‘alaihi salam terus dihidupkan oleh beberapa orang Nabi selepas beliau dengan berpandukan kitab Taurat. Syari’at Nabi Isa ‘alaihi salam terus dihidupkan oleh beberapa Nabi selepas beliau dengan berpandukan kitab Injil. Akan tetapi bagi syari’at Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam ia terus dihidupkan oleh para ulama’, bukan para Nabi kerana baginda adalah Rasul dan Nabi terakhir. Kerana itulah para ulama’ dikenali sebagai waris para Nabi dan mereka meneruskan dakwah Islam berpandukan kitab al-Qur’an.

Perhatikan sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam yang berikut:

“Adalah Bani Israil dipimpin oleh para Nabi, setiap kali seseorang dari Nabi mereka wafat, akan diganti dengan Nabi yang baru. Dan sesungguhnya selepas aku tidak akan ada Nabi lagi, akan tetapi akan ada para khalifah yang banyak.” (Sahih: Sebahagian dari hadis yang panjang dari Abu Hurairah radiallahu-anhu, dikeluarkan oleh al-Bukhari, Muslim dan lain-lain, lihat Sahih Bukhari, no. 3455 (Kitab al-Anbiya’, Bab Apa yang diperkatakan tentang Bani Israil))

Bagi menguatkan penjelasan di atas, marilah kita mengkaji sirah Nabi Musa dan Nabi Harun. Kita sama-sama ketahui bahawa apabila Nabi Musa pergi ke bukit Tursina untuk menerima kitab Taurat, beliau telah melantik saudaranya Nabi Harun untuk tinggal menjaga dan memimpin Bani Israil:

وَوَاعَدْنَا مُوسَى ثَلاثِينَ لَيْلَةً وَأَتْمَمْنَاهَا بِعَشْرٍ فَتَمَّ مِيقَاتُ رَبِّهِ أَرْبَعِينَ لَيْلَةً وَقَالَ مُوسَى لأخِيهِ هَارُونَ اخْلُفْنِي فِي قَوْمِي وَأَصْلِحْ وَلا تَتَّبِعْ سَبِيلَ الْمُفْسِدِينَ

“Dan kami telah janjikan masa kepada Nabi Musa (untuk memberikan Taurat) selama tiga puluh malam, serta Kami genapkan jumlahnya dengan sepuluh malam lagi, lalu sempurnalah waktu yang telah ditentukan oleh Tuhannya empat puluh malam. Dan berkatalah Nabi Musa kepada saudaranya Nabi Harun (semasa keluar menerima Taurat): “Gantikanlah aku dalam (urusan memimpin) kaumku dan perbaikilah (keadaan mereka sepeninggalanku), dan janganlah engkau menurut jalan orang-orang yang melakukan kerosakan”.” (al-A’raaf, 7: 142)

Nabi Harun tinggal di belakang sehinggalah Nabi Musa kembali:

وَلَقَدْ قَالَ لَهُمْ هَارُونُ مِنْ قَبْلُ يَا قَوْمِ إِنَّمَا فُتِنْتُمْ بِهِ وَإِنَّ رَبَّكُمُ الرَّحْمَنُ فَاتَّبِعُونِي وَأَطِيعُوا أَمْرِي (٩٠)قَالُوا لَنْ نَبْرَحَ عَلَيْهِ عَاكِفِينَ حَتَّى يَرْجِعَ إِلَيْنَا مُوسَى (٩١)قَالَ يَا هَارُونُ مَا مَنَعَكَ إِذْ رَأَيْتَهُمْ ضَلُّوا (٩٢)أَلا تَتَّبِعَنِ أَفَعَصَيْتَ أَمْرِي

“Dan demi sesungguhnya, Nabi Harun telahpun berkata kepada mereka sebelum itu: “Wahai kaumku, sesungguhnya kamu hanya diperdayakan dengan patung itu, dan sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang melimpah-limpah rahmat-Nya; oleh itu, ikutlah daku dan taatlah akan perintahku.” Mereka menjawab: “Kami tidak sekali-kali akan meninggalkan penyembahan patung ini, (bahkan) kami akan tetap menyembahnya hingga Nabi Musa kembali kepada kami.” (Sekembalinya) Nabi Musa dia berkata: “Wahai Harun, apakah yang menghalang engkau ketika engkau melihat mereka sesat daripada menurutku? Adakah engkau ingkar akan suruhanku?”.” (Taha, 20: 90-93)

Sementara di bukit Tursina, Nabi Musa telah menerima kitab Taurat seorang diri:

وَإِذْ آتَيْنَا مُوسَى الْكِتَابَ وَالْفُرْقَانَ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ

“Dan (kenangkanlah) ketika Kami turunkan kepada Nabi Musa kitab (Taurat) dan keterangan-keterangan (yang terkandung di dalamnya, yang membezakan antara yang benar dengan yang salah), supaya kamu mendapat petunjuk.” (al-Baqarah, 2: 53)

3 ayat ini menunjukkan kitab Taurat diberikan kepada Nabi Musa seorang sahaja manakala Nabi Harun tinggal di belakang menjaga umat Bani Israil. Akan tetapi perhatikan pula ayat berikut ini:

وَلَقَدْ آتَيْنَا مُوسَى وَهَارُونَ الْفُرْقَانَ وَضِيَاءً وَذِكْرًا لِلْمُتَّقِينَ

“Dan demi sesungguhnya, Kami telah memberi kepada Nabi Musa dan Nabi Harun al-Furqan (Kitab Taurat) yang membezakan antara yang benar dengan yang salah, dan yang menjadi cahaya yang menerangi, serta yang mengandungi pengajaran, bagi orang-orang yang mahu bertaqwa.” (al-Anbiyaa’, 21: 48)

Dalam ayat ini Allah Subhanahu wa Ta’ala menerangkan bahawa kitab Taurat telah diberikan kepada Nabi Musa dan Nabi Harun. Keterangan ini nampaknya bercanggah dengan ayat-ayat sebelum ini yang menerangkan bahawa kitab Taurat hanya diberikan kepada Nabi Musa seorang diri manakala Nabi Harun tinggal bersama Bani Israil. Melainkan yang dimaksudkan oleh ayat 48 surah Anbiyaa’ di atas bukanlah Nabi Harun diturunkan kitab Taurat dari langit tetapi dia disuruh sama-sama mendakwahkan syari’at Nabi Musa berpandukan kitab Taurat.

Oleh itu ayat 81 surah ‘Ali Imran di atas bukanlah bererti setiap Nabi diturunkan sebuah kitab suci dari langit tetapi ia bererti setiap Nabi memiliki sebuah kitab suci yang asalnya diturunkan kepada Rasul terdahulu untuk mereka jadikan sumber rujukan dan panduan bagi syari’at masing-masing.

[3] Jenis-jenis wahyu selain kitab,

Berikut adalah beberapa keterangan al-Qur’an tentang jenis-jenis wahyu yang tidak bertulis (Wahyu Ghairi al-Matlu):

[3-A] Wahyu melalui berkata-kata,

وَمَا كَانَ لِبَشَرٍ أَنْ يُكَلِّمَهُ اللَّهُ إِلا وَحْيًا أَوْ مِنْ وَرَاءِ حِجَابٍ أَوْ يُرْسِلَ رَسُولا فَيُوحِيَ بِإِذْنِهِ مَا يَشَاءُ إِنَّهُ عَلِيٌّ حَكِيمٌ

“Dan tidaklah layak bagi seseorang manusia bahawa Allah berkata-kata dengannya kecuali dengan jalan wahyu (dengan diberi ilham atau mimpi), atau dari sebalik dinding (dengan mendengar suara sahaja), atau dengan mengutuskan utusan (malaikat) lalu utusan itu menyampaikan wahyu kepadanya dengan izin Allah akan apa yang dikehendaki-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi keadaan-Nya, lagi Maha Bijaksana.” (asy-Syura, 42: 51)

فَلَمَّا أَتَاهَا نُودِيَ مِنْ شَاطِئِ الْوَادِ الأيْمَنِ فِي الْبُقْعَةِ الْمُبَارَكَةِ مِنَ الشَّجَرَةِ أَنْ يَا مُوسَى إِنِّي أَنَا اللَّهُ رَبُّ الْعَالَمِينَ

“Maka ketika dia (Musa) sampai ke tempat api itu, (kedengaran) dia diseru dari tepi lembah yang di sebelah kanan, di tempat yang dilimpahi berkat, dari arah pohon kayu: “Wahai Musa, sesungguhnya Akulah Allah Tuhan sekalian alam”.” (al-Qasas, 28: 30)

[3-B] Wahyu melalui ilham,

Wahyu melalui ilham adalah seperti petunjuk, arahan, panduan, pengurniaan ilmu pengetahuan dan sebagainya, semuanya diberi oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala kepada para Nabi dan Rasul-Nya. Berikut adalah dua contoh:

وَأُوحِيَ إِلَى نُوحٍ أَنَّهُ لَنْ يُؤْمِنَ مِنْ قَوْمِكَ إِلا مَنْ قَدْ آمَنَ فَلا تَبْتَئِسْ بِمَا كَانُوا يَفْعَلُونَ (٣٦)وَاصْنَعِ الْفُلْكَ بِأَعْيُنِنَا وَوَحْيِنَا وَلا تُخَاطِبْنِي فِي الَّذِينَ ظَلَمُوا إِنَّهُمْ مُغْرَقُونَ

“Dan (setelah itu) diwahyukan kepada Nabi Nuh: Bahawa sesungguhnya tidak akan beriman lagi dari kaummu melainkan orang-orang yang telah sedia beriman. Oleh itu, janganlah engkau berdukacita tentang apa yang mereka sentiasa lakukan. Dan buatlah bahtera dengan pengawasan serta kawalan Kami, dan dengan panduan wahyu Kami (tentang cara membuatnya); dan janganlah engkau merayu kepadaKu untuk menolong kaum yang zalim itu, kerana sesungguhnya mereka akan ditenggelamkan.” (Hud, 11: 36-37)

وَلَقَدْ آتَيْنَا دَاوُدَ وَسُلَيْمَانَ عِلْمًا وَقَالا الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي فَضَّلَنَا عَلَى كَثِيرٍ مِنْ عِبَادِهِ الْمُؤْمِنِينَ

“Dan sesungguhnya kami telah mengurniakan ilmu pengetahuan kepada Nabi Daud dan Nabi Sulaiman; dan mereka berdua bersyukur dengan berkata: “Segala puji tertentu bagi Allah yang dengan limpah kurnia-Nya memberi kami kelebihan mengatasi kebanyakan hamba-hamba-Nya yang beriman”.” (an-Naml, 27: 15)

[3-C] Wahyu melalui mimpi,

فَلَمَّا بَلَغَ مَعَهُ السَّعْيَ قَالَ يَا بُنَيَّ إِنِّي أَرَى فِي الْمَنَامِ أَنِّي أَذْبَحُكَ فَانْظُرْ مَاذَا تَرَى قَالَ يَا أَبَتِ افْعَلْ مَا تُؤْمَرُ سَتَجِدُنِي إِنْ شَاءَ اللَّهُ مِنَ الصَّابِرِينَ

“Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: “Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?” Anaknya menjawab: “Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar.” (as-Saaffat, 37: 102)

[3-D] Wahyu melalui perantaraan malaikat,

وَلَمَّا جَاءَتْ رُسُلُنَا لُوطًا سِيءَ بِهِمْ وَضَاقَ بِهِمْ ذَرْعًا وَقَالَ هَذَا يَوْمٌ عَصِيبٌ (٧٧)وَجَاءَهُ قَوْمُهُ يُهْرَعُونَ إِلَيْهِ وَمِنْ قَبْلُ كَانُوا يَعْمَلُونَ السَّيِّئَاتِ قَالَ يَا قَوْمِ هَؤُلاءِ بَنَاتِي هُنَّ أَطْهَرُ لَكُمْ فَاتَّقُوا اللَّهَ وَلا تُخْزُونِي فِي ضَيْفِي أَلَيْسَ مِنْكُمْ رَجُلٌ رَشِيدٌ (٧٨)قَالُوا لَقَدْ عَلِمْتَ مَا لَنَا فِي بَنَاتِكَ مِنْ حَقٍّ وَإِنَّكَ لَتَعْلَمُ مَا نُرِيدُ (٧٩)قَالَ لَوْ أَنَّ لِي بِكُمْ قُوَّةً أَوْ آوِي إِلَى رُكْنٍ شَدِيدٍ (٨٠)قَالُوا يَا لُوطُ إِنَّا رُسُلُ رَبِّكَ لَنْ يَصِلُوا إِلَيْكَ فَأَسْرِ بِأَهْلِكَ بِقِطْعٍ مِنَ اللَّيْلِ وَلا يَلْتَفِتْ مِنْكُمْ أَحَدٌ إِلا امْرَأَتَكَ إِنَّهُ مُصِيبُهَا مَا أَصَابَهُمْ إِنَّ مَوْعِدَهُمُ الصُّبْحُ أَلَيْسَ الصُّبْحُ بِقَرِيبٍ

“Dan apabila datang utusan-utusan Kami kepada Nabi Lut ia merasa dukacita dengan kedatangan mereka, dan merasa tidak terdaya untuk mengawal mereka (dari gangguan kaumnya), sambil berkata: “Ini adalah hari yang amat mencemaskan.” Dan kaumnya pun datang meluru kepadanya (dengan tujuan hendak mengganggu tetamunya), sedang mereka sebelum itu sudah biasa melakukan kejahatan. Nabi Lut berkata: “Wahai kaumku! Di sini ada anak-anak perempuanku mereka lebih suci bagi kamu (maka berkahwinlah dengan mereka). Oleh itu takutlah kamu kepada Allah, dan janganlah kamu memberi malu kepadaku mengenai tetamu-tetamuku. Tidakkah ada di antara kamu seorang lelaki yang bijak berakal (yang dapat memberi nasihat)?”

Mereka menjawab: “Sesungguhnya engkau telahpun mengetahui bahawa kami tidak ada sebarang hajat kepada anak-anak perempuanmu dan sebenarnya engkau sedia mengetahui akan apa yang kami kehendaki.” Nabi Lut berkata: “Kalaulah aku ada kekuatan untuk menentang kamu atau aku dapat bertumpu ke sesuatu tempat bertahan yang kuat (dari penyokong-penyokong, tentulah aku akan membinasakan kamu).”

(Mendengarkan yang demikian tetamunya berkata): “Wahai Lut! Sesungguhnya kami (adalah malaikat) utusan Tuhanmu. Kaum engkau yang jahat itu tidak sekali-kali akan dapat melakukan kepadamu (sebarang bencana). Oleh itu, pergilah berundur dari sini bersama-sama dengan keluargamu pada tengah malam, dan janganlah seorangpun di antara kamu menoleh ke belakang. Kecuali isterimu, sesungguhnya ia akan ditimpa azab yang akan menimpa mereka (kerana ia memihak kepada mereka). Sesungguhnya masa yang dijanjikan untuk menimpakan azab kepada mereka ialah waktu subuh; bukankah waktu subuh itu sudah dekat ?” (Hud, 11: 77-81)

Demikian 4 jenis wahyu selain dari bentuk kitab yang diberikan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala kepada para Nabi dan Rasul-Nya. Sekali lagi ditekankan bahawa apabila Allah Subhanahu wa Ta’ala memberikan wahyu kepada para Nabi dan Rasul-Nya, ia tidak semestinya wujud dalam bentuk kitab suci sahaja. Berikut marilah kita mengkaji jenis-jenis wahyu yang diterima oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.

[4] Jenis-jenis wahyu yang diterima oleh Rasulullah,

Jenis wahyu pertama yang diberikan kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam ialah kitab al-Qur’anul Karim sebagaimana firman Allah Subhanahu waTa’ala:

وَإِنَّهُ لَتَنْزِيلُ رَبِّ الْعَالَمِينَ (١٩٢)نَزَلَ بِهِ الرُّوحُ الأمِينُ (١٩٣)عَلَى قَلْبِكَ لِتَكُونَ مِنَ الْمُنْذِرِينَ (١٩٤)بِلِسَانٍ عَرَبِيٍّ مُبِينٍ

“Dan sesungguhnya ia (al-Quran) adalah diturunkan oleh Allah Tuhan sekalian alam. Ia dibawa turun oleh malaikat Jibril yang amanah. Ke dalam hatimu, supaya engkau (wahai Muhammad) menjadi seorang dari pemberi-pemberi ajaran dan amaran (kepada umat manusia). (Ia diturunkan) dengan bahasa Arab yang fasih serta terang nyata.” (asy-Syu’ara, 26: 192-195)

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam juga menerima wahyu dalam bentuk ilham, iaitu dalam perkara-perkara yang tidak disebut sama oleh al-Qur’an. Ia terdiri daripada dua perkara, pertama adalah al-Hikmah iaitu segala ilmu syari’at dan perincian agama. Kedua adalah ilmu pengetahuan yang diajar oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala kepada Rasulullah sehingga menjadilah baginda seorang manusia yang berilmu lagi bijaksana. Perhatikan ayat berikut:

وَأَنْزَلَ اللَّهُ عَلَيْكَ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَعَلَّمَكَ مَا لَمْ تَكُنْ تَعْلَمُ وَكَانَ فَضْلُ اللَّهِ عَلَيْكَ عَظِيمًا

“Dan Allah telah menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (Al-Quran) serta Hikmah (pengetahuan yang mendalam), dan telah mengajarkanmu apa yang engkau tidak mengetahuinya. Dan adalah kurnia Allah yang dilimpahkan-Nya kepada kamu amatlah besar.” (an-Nisaa’, 4: 113)

Ayat ini juga secara jelas membahagikan wahyu yang diterima oleh Rasulullah kepada dua bentuk, wahyu bertulis (Wahyu al-Matlu) dan wahyu tidak bertulis (Wahyu Ghari al-Matlu). Kitab al-Qur’an yang diturunkan adalah wahyu bertulis manakala al-Hikmah dan ilmu pengetahuan yang diturunkan adalah wahyu yang tidak bertulis.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam juga menerima wahyu dalam bentuk mimpi sebagaimana yang dikhabarkan oleh Allah Subhanahu waTa’ala dalam ayat berikut:

“Demi sesungguhnya! Allah tetap membenarkan Rasul-Nya dalam perkara mimpi itu dengan kenyataan yang sebenar; iaitu sesungguhnya kamu tetap akan memasuki Masjid Al-Haraam - insya Allah. (al-Fath, 48: 27) Yakni Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam di satu masa dahulu pernah bermimpi bahawa umat Islam akan dapat menakluk Kota Makkah dari tangan orang-orang kafir Quraish. Maka mimpinya itu menjadi benar di mana umat Islam pada tahun 9 hijrah telah berjaya menakluk Kota Makkah. Lalu Allah mengingatkan beliau akan mimpinya tersebut sebagai salah satu bentuk wahyu yang benar.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam juga menerima wahyu dengan perantaraan malaikat Jibril ‘alaihi salam:

وَالنَّجْمِ إِذَا هَوَى (١)مَا ضَلَّ صَاحِبُكُمْ وَمَا غَوَى (٢)وَمَا يَنْطِقُ عَنِ الْهَوَى (٣)إِنْ هُوَ إِلا وَحْيٌ يُوحَى (٤)عَلَّمَهُ شَدِيدُ الْقُوَى (٥)ذُو مِرَّةٍ فَاسْتَوَى (٦)وَهُوَ بِالأفُقِ الأعْلَى (٧)ثُمَّ دَنَا فَتَدَلَّى (٨)فَكَانَ قَابَ قَوْسَيْنِ أَوْ أَدْنَى (٩)فَأَوْحَى إِلَى عَبْدِهِ مَا أَوْحَى

“Demi bintang semasa ia menjunam, rakan kamu (Nabi Muhammad), tidaklah ia menyeleweng, dan ia pula tidak sesat. Dan ia tidak memperkatakan (sesuatu yang berhubung dengan agama Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri. Segala yang diperkatakannya itu tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya.

Wahyu itu diajarkan kepadanya oleh (malaikat jibril) yang amat kuat gagah, lagi yang mempunyai kebijaksanaan; kemudian ia memperlihatkan dirinya (kepada Nabi Muhammad) dengan rupanya asal, sedang ia berada di arah yang tinggi (di langit); kemudian ia mendekatkan dirinya (kepada Nabi Muhammad), lalu ia berjuntai sedikit demi sedikit, sehingga menjadilah jarak (di antaranya dengan Nabi Muhammad) sekadar dua hujung busaran panah, atau lebih dekat lagi; lalu Allah wahyukan kepada hamba-Nya (Muhammad, dengan perantaraan malaikat Jibril) apa yang telah diwahyukan-Nya.” (an-Najm, 53: 1-10)

Sesetengah pihak cuba membataskan pengertian ayat di atas kepada ayat-ayat al-Qur’an sahaja, yakni al-Qur’an yang disampaikan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam adalah dari sumber wahyu, bukan perkataannya sendiri. Pendapat ini ditolak kerana ayat tersebut berbicara dalam konteks umum, bererti ia mewakili setiap yang disampaikan oleh Rasulullah berkenaan risalah dan agama Allah, mewakili al-Qur’an dan selain al-Qur’an. Perhatikan dipenghujung ayat tersebut:

…. lalu Allah wahyukan kepada hamba-Nya (Muhammad, dengan perantaraan malaikat Jibril) apa yang telah diwahyukan-Nya. Perkataan (ma auha) apa yang telah diwahyukan adalah ism mausul yang bererti apa-apa sahaja atau apa jua atau apa-apa sekalipun bagi menandakan sifat keterbukaan ayat tanpa pembatasan. Oleh itu adalah tidak benar pendapat yang membataskan ayat-ayat tersebut kepada wahyu al-Qur’an sahaja.

Berdasarkan ayat-ayat al-Qur’an serta penjelasan yang diberikan di atas, tertolaklah dakwaan bahawa wahyu Allah hanyalah merupakan kitab al-Qur’anul Karim. Yang benar, adalah kedua-dua al-Qur’an dan sunnah Rasulullah, kedua-duanya adalah wahyu yang diwahyukan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala.

11 – Syubhat Kesebelas:

Rasulullah sendiri pernah melakukan kesilapan sehingga ditegur oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala di dalam al-Qur’an. Ini bererti beliau adalah seorang yang tidak maksum dan sering berbuat silap sehingga tidak memungkinkan kita untuk mengikuti dan mentaatinya.

Bantahannya:

Berikut adalah 4 “kesilapan” yang dimaksudkan (yang mereka dakwakan):

Pertama: Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah mengenepikan pertanyaan seorang buta tentang Islam kerana terlalu memberi tumpuan mendakwah beberapa pembesar Quraisy.

Teguran Allah Subhanahu waTa’ala:

عَبَسَ وَتَوَلَّى (١)أَنْ جَاءَهُ الأعْمَى (٢)وَمَا يُدْرِيكَ لَعَلَّهُ يَزَّكَّى (٣)أَوْ يَذَّكَّرُ فَتَنْفَعَهُ الذِّكْرَى (٤)أَمَّا مَنِ اسْتَغْنَى (٥)فَأَنْتَ لَهُ تَصَدَّى (٦)وَمَا عَلَيْكَ أَلا يَزَّكَّى (٧)وَأَمَّا مَنْ جَاءَكَ يَسْعَى (٨)وَهُوَ يَخْشَى (٩)فَأَنْتَ عَنْهُ تَلَهَّى (١٠)كَلا إِنَّهَا تَذْكِرَةٌ

“Ia memasamkan muka dan berpaling; Kerana ia didatangi orang buta; Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui (tujuannya, wahai Muhammad)? Barangkali ia mahu membersihkan hatinya (dengan pelajaran ugama yang didapatinya daripadamu)!; Ataupun ia mahu mendapat peringatan, supaya peringatan itu memberi manfaat kepadanya; Adapun orang yang merasa keadaannya telah cukup, tidak berhajat lagi (kepada ajaran Al-Quran); Maka engkau bersungguh-sungguh melayaninya;

Padahal engkau tidak bersalah kalau ia tidak mahu membersihkan dirinya (dari keingkarannya); Adapun orang yang segera datang kepadamu; Dengan perasaan takutnya (melanggar perintah-perintah Allah); Maka engkau berlengah-lengah melayaninya; Janganlah melakukan lagi yang sedemikian itu! Sebenarnya ayat-ayat al-Quran adalah pengajaran dan peringatan (yang mencukupi).” (‘Abasa, 80: 1-11)

Kedua: Dalam peristiwa Perang Badar, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam membuat keputusan untuk membiarkan hidup beberapa tawanan perang. Keputusan Rasulullah ini diperbetulkan oleh Allah Tabaraka waTa’ala:

مَا كَانَ لِنَبِيٍّ أَنْ يَكُونَ لَهُ أَسْرَى حَتَّى يُثْخِنَ فِي الأرْضِ تُرِيدُونَ عَرَضَ الدُّنْيَا وَاللَّهُ يُرِيدُ الآخِرَةَ وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

“Tidaklah patut bagi seseorang Nabi mempunyai orang-orang tawanan sebelum ia dapat membunuh sebanyak-banyaknya di muka bumi. Kamu menghendaki harta benda dunia (yang tidak kekal), sedang Allah menghendaki (untuk kamu pahala) akhirat. Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (al-Anfal, 8: 67)

Ketiga: Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah mengizinkan beberapa orang untuk tidak ikut sama berperang. Keizinan ini ditegur kembali oleh Allah ‘Azza wa Jalla:

عَفَا اللَّهُ عَنْكَ لِمَ أَذِنْتَ لَهُمْ حَتَّى يَتَبَيَّنَ لَكَ الَّذِينَ صَدَقُوا وَتَعْلَمَ الْكَاذِبِينَ

“Allah memaafkanmu (wahai Muhammad), mengapa engkau izinkan mereka (tidak turut berperang) sebelum nyata bagimu orang-orang yang benar dan (sebelum) engkau mengetahui orang-orang yang berdusta?” (at-Taubah, 9: 43)

Keempat: Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah mengasingkan diri daripada bersama para isterinya kerana tidak menyukai tindakan mereka yang berpakat antara satu sama lain membelakangi baginda. Tindakan Rasulullah ini diperbetulkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala:

يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ لِمَ تُحَرِّمُ مَا أَحَلَّ اللَّهُ لَكَ تَبْتَغِي مَرْضَاةَ أَزْوَاجِكَ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ

“Wahai Nabi! Mengapa engkau haramkan (dengan bersumpah menyekat dirimu daripada menikmati) apa yang dihalalkan oleh Allah bagimu, (kerana) engkau hendak mencari keredaan isteri-isterimu? (Dalam pada itu, Allah ampunkan kesilapanmu itu) dan Allah sememangnya Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (at-Tahrim, 66: 01)

Adalah tidak benar untuk membuat kesimpulan bahawa Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam adalah seorang Rasul yang sering keliru, silap dan salah semata-mata berdasarkan beberapa contoh yang diungkap oleh al-Qur’an, kerana jika direnungkan kembali…… adakah sepanjang tempoh 22 tahun kerasulan beliau, beliau hanya melakukan 4 kesilapan sahaja? Adakah al-Qur’an lupa untuk mengungkap kesilapan-kesilapan yang lain atau adakah terdapat tujuan istimewa di sebalik pengungkapan 4 contoh tersebut?

Ungkapan kisah-kisah “kesilapan” Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam di dalam ayat-ayat di atas tidaklah bertujuan menunjukkan bahawa baginda adalah seorang yang selalu silap dan tergelincir dalam lembah kesalahan tetapi adalah bagi menunjukkan bahawa baginda adalah seorang manusia pilihan Allah yang sentiasa dipelihara dan diawasi-Nya dari kesilapan dan kesalahan.

Ucapan atau perbuatan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam terbahagi kepada dua bentuk, yang pertama adalah berdasarkan wahyu Allah manakala yang kedua adalah berdasarkan ijtihad sendiri. Seandainya ijtihad Rasulullah didapati kurang tepat atau salah, ia akan terus diperbetulkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala, sama ada dengan turunnya ayat al-Qur’an atau oleh Rasulullah sendiri melalui ucapan yang menyusul setelah diberitahu oleh malaikat Jibrail ‘alaihi salam. Tujuan sengaja dibiarkan berlaku kesilapan lalu diperbetulkan seketika selepas itu adalah tidak lain bagi memberi keyakinan kepada umat bahawa Muhammad adalah seorang manusia pilihan Allah yang sentiasa dipelihara dan diawasi-Nya dari kesilapan dan kesalahan.