__________________________________________________________________________________

| Nawawi | Aqeedah | Fiqh | Anti Syirik | Galeri Buku | Galeri MP3 | U-VideOo |
__________________________________________________________________________________

Sunday, January 3, 2010

108 - Koreksi Ke Atas Dr. Yusuf al-Qaradhawi: Bab Bermawaddah (Berkasih-sayang) Dengan Yahudi!

Koreksi Ke Atas Dr. Yusuf al-Qaradhawi: Bab Bermawaddah (Berkasih-sayang) Dengan Yahudi!

http://bahaya-syirik.blogspot.com

Telah mula sampai ke pengetahuan umum dan tersebar dengan meluas beberapa perkataan yang penuh syubhat di mana mereka menyatakan bolehnya bersahabat (Wala’) dengan Yahudi, Nashrani dan Kuffar. Bahkan dianjurkan untuk berkasih-sayang (mawaddah) terhadap mereka. Dan peperangan yang berlaku di antara umat Islam dengan Yahudi itu bukan disebabkan oleh pertembungan aqidah, tetapi adalah kerana perebutan tanah. Sehingga lebih parah, jihad offensif dinafikan kewujudannya di dalam Syari'at yang mulia ini.

Berikut dinukil perkataan-perkataan yang dimaksudkan. Dari Dr. Yusuf al-Qaradhawi:

وقد شرعت لنا موادتهم - أي أهل الكتاب - بمواكلتهم ومعاهدتهم وحسن معاشرتهم

“Dan telah disyari’atkan bagi kita untuk berkasih-sayang dengan mereka – iaitu Ahli Kitab – dengan cara saling mempercayai, mengadakan perjanjian dengan mereka, dan berbuat baik bersama mereka”. (Dinukil melalui perantaraan kitab al-I’laam bin-Naqdi Kitaab al-Halaal wal-Haraam fil-Islaam oleh asy-Syaikh Dr. Sholeh Fauzan al-Fauzaan, m/s. 5, Maktabah al-Misykah. Boleh juga dirujuk di website beliau: alfawzan.ws. Perkara ini juga turut diberitakan oleh Web EraMuslim: Eramuslim.net)

Dr. Yusuf al-Qaradhawi berhujjah dengan ayat:

لا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ أَنْ تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ

Terjemahan: Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil. (Surah al-Mumtahanah, 60: 8)

Penjelasan/Koreksi (Pembaikan):

Dalam ayat ini (Surah al-Mumtahanah, 60: 8) terdapat petunjuk untuk berbuat kebaikan kepada orang-orang yang dimaksudkan (dari orang-orang kafir). Perlu kita fahami perbezaan di antara kalimah al-Birr dengan al-Mawaddah.

Al-Mawaddah adalah al-Hubb (rasa cinta) sebagaimana yang tertera di dalam Lisanul ‘Arab, 1/247 dan al-Qamuss serta buku-buku bahasa ‘Arab lainnya. Sedangkan al-Birr bermaksud ash-Shillah (penghubung), tidak derhaka serta berbuat kebaikan/ihsan, sebagaimana yang disebutkan di dalam Lisanul ‘Arab, 1/371 dan al-Qamuss.

Al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani rahimahullah menjelaskan:

ثم البر والصلة والإحسان لا يستلزم التحابب والتوادد المنهي عنه في قوله تعالى لا تجد قوما يؤمنون بالله واليوم الآخر يوادون من حاد الله ورسوله الآية فإنها عامة في حق من قاتل ومن لم يقاتل والله أعلم

Terjemahan: Bahawasanya al-Birr (melakukan kebaikan). Ash-Shillah (menjalinkan hubungan), dan al-Ihsan (berbuat kebaikan) tidak menuntut diwujudkan adanya sikap saling mencintai dan berkasih-sayang, kerana perkara ini terlarang di dalam al-Qur’an sebagaimana firman-Nya: Kamu tidak akan menemui sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat saling berkasih-sayang dengan orang-orang yang menentang Allah dan Rasul-Nya... Sesungguhnya ayat ini berlaku umum sama ada untuk setiap yang bertindak memerangi atau pun tidak memerangi. Wallahu a’lam. (Rujuk: al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani, Fathul Bari Syarah Shohih al-Bukhari, 5/233, pada Syarah hadis no. 2475)

Dr. Yusuf al-Qaradhawi berkata:

فالقرآن لا يناديهم إلا بـ (يا أهل الكتاب) و(يا أيها الذين أوتوا الكتاب) يشير بهذا إلى أنهم في الأصل أهل دين سماوي، فبينهم وبين المسلمين رحم وقربى، تتمثل في أصول الدين الواحد الذي بعث الله به أنبياءه جميعا

Terjemahan: al-Qur’an tidak memanggil mereka melainkan dengan lafaz “Yaa ahlal Kitab” (Wahai Ahli Kitab) atau “Yaa ayyuhal ladzinina uutul Kitaab” (Wahai orang-orang yang diberi kitab). Dengan bentuk lafaz seperti ini al-Qur’an menunjukkan bahawa secara asasnya mereka adalah agama samawi. Maka, di antara Ahli Kitab dan umat Islam mereka dihubungkan oleh hbungan rahim dan kekeluargaan. Perkara ini dapat dilihat di dalam dasar-dasar agama yang satu, setiap nabi telah diutus oleh Allah. (Rujuk: al-Halal wal Haram, m/s. 327. Juga di dalam fatwanya: Web Rasmi al-Qaradhawi: qaradawi.net.)

Penjelasan/Koreksi:

1 – Apabila Allah memanggil mereka dengan lafaz “Yaa ahlal Kitab” (Wahai Ahli Kitab) atau “Yaa ayyuhal ladzinina uutul Kitaab” (Wahai orang-orang yang diberi kitab), ini tidaklah menunjukkan adanya syari’at atau tuntutan rasa cinta dan kasih-sayang di antara umat Islam dengan ahli kitab atau orang kafir.

2 – Bahkan dengan turunnya al-Qur’an, ini menunjukkan bahawa seluruh syari’at dari agama sebelumnya telah dinasakh (dihapuskan/dimansuhkan). Dan Allah Subhanahu wa Ta’ala telah berfirman:

وَمَنْ يَبْتَغِ غَيْرَ الإسْلامِ دِينًا فَلَنْ يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الآخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِينَ

Terjemahan: Sesiapa yang mencari agama selain dari Islam, maka sekali-kali agama itu tidak akan diterima, dan dia di akhirat kelak termasuk orang-orang yang rugi. (Surah Ali ‘Imran, 3: 85) - Rujuk juga Surah al-Ma’idah, 5: 48.

3 – Jika kita perhatikan, lafaz panggilan “Yaa ahlal Kitab” (Wahai Ahli Kitab) di dalam al-Qur’an, ia turut digunakan dalam konteks celaan. Ini boleh dilihat pada ayat Surah Ali ‘Imran, 3: 70 dan 3: 71.

4 – Cara beliau (al-Qaradhawi) menafsirkan lafaz ayat tersebut juga tidak menepati konteks penafsiran para salaf. Jika bentuk penafsiran beliau yang seperti itu adalah daripada para salaf, maka beliau perlu membawakan bukti-buktinya.

Dr. Yusuf al-Qaradhawi berkata lagi:

إن الإسلام أباح للمسلم التزوج من أهل الكتاب والحياة الزوجية يجب أن تقوم على السكون النفسي والمودة والرحمة كما دل على ذلك القران في قوله

Terjemahan: Sesungguhnya Islam membolehkan setiap umatnya untuk berkahwin dengan Ahli Kitab (Yahudi dan Nashrani). Kehidupan suami/isteri perlu dibina di atas sakinah, mawaddah dan rahmah (ketenangan jiwa dan rasa saling cinta mencintai), sebagaimana yang ditunjukkan di dalam al-Qur’an:

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَكُمْ مِنْ تُرَابٍ ثُمَّ إِذَا أَنْتُمْ بَشَرٌ تَنْتَشِرُونَ

Terjemahan: “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya adalah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang.” (Surah ar-Ruum 30: 21)

وهذا يدل على أن مودة المسلم لغير المسلم لا حرج عليه

Ini menunjukkan bahawa mahabbah (perasaan cinta) seseorang Muslim terhadap bukan muslim (orang kafir) bukanlah suatu kesalahan. Bagaimana mungkin seseorang suami tidak mencintai seseorang isterinya dari Ahli Kitab? Bagaimana mungkin seseorang anak tidak mencintai datuk dan nenek serta adik-beradiknya apabila ibunya seorang yang kafir dzimmi? (Rujuk: Ghairul Muslimin fil ‘Aalamil Islam, m/s. 68. Ahmad B. Muhammad al-‘Udaini, Raf’al Litsam ‘An Mukhalafah al-Qaradhawi li Syari’atil Islam, m/s. 36-37, Cet. 2, Darul Atsar)

Juga beliau berkata di dalam Kitab al-Halal wal Haram:

ولعل سؤالا يجول في بعض الخواطر، أو يتردد على بعض الألسنة، وهو: كيف يتحقق البر والمودة وحسن العشرة مع غير المسلمين، والقرآن نفسه ينهى عن موادة الكفار واتخاذهم أولياء وحلفاء في مثل قوله: "يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لاَ تَتَّخِذُوا الْيَهُودَ وَالنَّصَارَى أَوْلِيَاءَ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ وَمَن يَتَوَلَّهُم مِّنْكُمْ فَإِنَّهُ مِنْهُمْ إِنَّ اللهَ لاَ يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ * فَتَرَى الَّذِينَ فِي قُلُوبِهِم مَّرَضٌ يُسَارِعُونَ فِيهِمْ يَقُولُونَ نَخْشَى أَن تُصِيبَنَا دَائِرَةٌ" (المائدة:51،52).

Terjemahan: Mungkin terdapat di antara kita yang ingin bertanya dan menjadi bualan (bantahan) dari sebahagian pihak: “Bagaimana mungkin dapat diwujudkan suatu kebaikan (hubungan), kasih-sayang dan pergaulan yang harmoni dengan golongan bukan Islam, di mana al-Qur’an sendiri dengan tegas telah melarang untuk berkasih-sayang dan bersahabat dengan orang-orang kafir, sebagaimana dinyatakan:

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu menjadikan orang-orang Yahudi dan Nashara sebagai pemimpin bagimu, sebahagian terhadap sebahagiannya yang lain. Sesiapa yang menjadikan mereka sebagai pemimpin, maka dia tergolong ke dalam kelompok mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim. Maka kamu akan melihat orang-orang yang di dalam hatinya itu ada penyakit, mereka bersegera pergi kepada mereka.” (Surah al-Ma’idah: 51-52)


إن هذه الآيات ليست على إطلاقها، ولا تشمل كل يهودي أو نصراني أو كافر. ولو فهمت هكذا لناقضت الآيات والنصوص الأخرى، التي شرعت موادة أهل الخير والمعروف من أي دين كانوا، والتي أباحت مصاهرة أهل الكتاب، واتخاذ زوجة كتابية مع قوله تعالى في الزوجية وآثارها: "وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً" (الروم:21). وقال تعالى في النصارى: "وَلَتَجِدَنَّ أَقْرَبَهُم مَّوَدَّةً لِّلَّذِينَ آمَنُوا الَّذِينَ قَالُوا إِنَّا نَصَارَى" (المائدة: 82).

Terjemahan: “Bahawa sesungguhnya ayat ini (Surah al-Ma’idah, 5: 51-52) tidak bersifat mutlak (untuk menunjukkan larangan berkasih-sayang dan bersahabat (wala’) dengan setiap orang dari kalangan Yahudi, Nashrani, atau pun kafir lainnya). Sekiranya kita memahaminya dengan konteks seperti itu, pasti kita akan melihat ayat-ayat ini saling bercanggah yang mana terdapat ayat-ayat yang menyarankan supaya dijalinkan hubungan saling kasih-mengasihi dan berkelakuan baik di antara setiap penganut agama. Selain itu, di dalam agama ini turut dibenarkan menikahi ahli kitab sebagaimana ayat-ayat al-Qur’an yang di antaranya: “bagi melahirkan rasa kasih-sayang di antara kamu” (Surah ar-Ruum, 30: 21) dan Allah berfirman: “Dan sesungguhnya kamu dapat melihat bahawa yang paling dekat persahabatannya dengan orang-orang yang beriman ialah orang-orang yang berkata: “Sesungguhnya kami ini orang Nasrani”.”.” (Rujuk: Web Rasmi al-Qaradhawi, qaradawi.net, Juga: Kitab al-Halal wal-Haramqaradawi.net)

Penjelasan/Koreksi:

1 – Penggunaan ayat tersebut (Surah ar-Ruum, 30: 21) untuk menyokong bolehnya melahirkan rasa cinta (mahabbah) terhadap ahli kitab (atau orang kafir lainnya) adalah batil. Ini adalah kerana bentuk penafsiran seperti itu tidak pernah dilakukan oleh para salaf ridhwanullah ‘Alaihim. Bahkan, tidak ada imam dan ahli fiqh di era generasi awal (para salaf) yang menggunakan ayat tersebut untuk membolehkan mencintai ahli kitab (serta orang kafir lainnya secara umum).

2 – Cinta dapat dibahagikan kepada dua bentuk. Iaitu cinta yang yang berlaku secara tabi’i (natural) dan cinta secara Syar’i (anjuran agama).

Cinta tabi’i adalah sebagaimana saling mencintai (mengasihi) kepada ayah, anak, adik-beradik, isteri, datuk/nenek, pak cik/ mak cik, atau yang seumpamanya (dari kalangan ahli keluarga). Bentuk cinta seperti ini berlaku secara umum kepada setiap manusia. Perkara ini disebutkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala:

إِنَّكَ لا تَهْدِي مَنْ أَحْبَبْتَ وَلَكِنَّ اللَّهَ يَهْدِي مَنْ يَشَاءُ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ

Terjemahan: “Sesungguhnya kamu tidak akan dapat memberi petunjuk kepada orang yang kamu kasihi, tetapi Allah memberi petunjuk kepada orang yang dikehendaki-Nya.” (Surah al-Qashash, 28: 56)

Ayat ini turun berkaitan dengan pak cik Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, iaitu Abu Tholib. Dia dahulu banyak membela dan membantu Nabi semasa hayatnya. Nabi sangat menyayangi beliau (Abu Tholib).

Al-Hafiz Ibnu Katsir rahimahullah berkata:

Namun, rasa sayang tersebut hanyalah rasa sayang yang lahir dari jiwa kemanusiaan (secara tabi’i/natural), bukan rasa sayang yang bersifat syar’i (tuntutan agama). Ketika Abu Tholib di dalam sakaratul maut dan hendak dicabut nyawanya, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam mengajaknya untuk beriman dan masuk ke dalam agama Islam. Namun, Abu Tholib tetap berpegang kepada kekufuran. (Rujuk: al-Hafiz Ibnu Katsir, Tafsir al-Qur’an al-Adzim, 6/246)

3 – Ada pun kasih-sayang atas dasar agama, maka Allah Subhanahu wa Ta’ala telah menjelaskan melalui firman-Nya:

لا تَجِدُ قَوْمًا يُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ يُوَادُّونَ مَنْ حَادَّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَلَوْ كَانُوا آبَاءَهُمْ أَوْ أَبْنَاءَهُمْ أَوْ إِخْوَانَهُمْ أَوْ عَشِيرَتَهُمْ أُولَئِكَ كَتَبَ فِي قُلُوبِهِمُ الإيمَانَ وَأَيَّدَهُمْ بِرُوحٍ مِنْهُ وَيُدْخِلُهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الأنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ أُولَئِكَ حِزْبُ اللَّهِ أَلا إِنَّ حِزْبَ اللَّهِ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

Terjemahan: “Kamu tidak akan mendapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhir, saling berkasih-sayang dengan orang-orang yang menentang Allah Allah dan Rasul-Nya, sekali pun orang-orang tersebut merupakan bapak-bapak, atau anak-anak, atau saudara-saudara, atau pun keluarga mereka. Mereka itulah orang-orang yang telah memahatkan keimanan di dalam hati mereka dan menguatkan mereka dengan pertolongan yang datang daripada-Nya. Dan dimasukkan-Nya mereka ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Allah redha terhadap mereka, dan mereka pun merasa puas terhadap (limpahan rahmat)-Nya. Mereka itulah golongan Allah. Ketahuilah, bahawa sesungguhnya Hizbullah (golongan Allah) itu adalah golongan yang beruntung.” (Surah al-Mujadilah, 58: 22)

Ayat-ayat yang memiliki makna yang sama dengan ayat ini amat banyak. Dan perlu kita ketahui bahawa para ulama salaf yang membolehkan pernikahan seseorang muslim (lelaki Islam) dengan wanita ahli kitab tetap mengharamkan mencintai orang-orang bukan Islam (kafir). Dan mereka tidak berdalilkan dengan dalil bolehnya berkahwin dengan wanita ahli kitab sebagai dalil yang menunjukkan bolehnya saling berkasih-sayang dengan orang kafir.

4 – Sekiranya kita mahu menerima kaedah al-Qaradhawi dalam penggunaan ayat tersebut untuk mencintai isteri dari kalangan ahli kitab, maka dalil tersebut merujuk kepada pengkhususan perbuatan seseorang suami (Muslim) mencintai isterinya dari ahli kitab sahaja. Dan tidak dapat dijadikan sebagai dalil yang umum untuk membolehkan melahirkan rasa cinta (secara syar’i) kepada orang kafir lainnya. Kerana di sana terdapat dalil yang telah sedia umum sebagaimana Surah al-Mujadilah, 58: 22 yang melarang rasa cinta secara syar’i kepada orang-orang kafir seluruhnya.

5 – Islam hanya membenarkan seseorang lelaki dari umat Islam untuk menikahi wanita dari ahli kitab. Dan tidak membenarkan sebaliknya, iaitu tidak membenarkan seseorang wanita dari umat Islam berkahwin dengan seseorang lelaki dari kalangan ahli kitab.

Di antara hikmahnya adalah supaya seseorang Muslim (lelaki beriman) sebagai seorang ketua keluarga akan dapat mengajak wanita tersebut kepada hidayah. Dan Allah tidak membenarkan seseorang wanita (umat Islam) untuk berkahwin dengan lelaki dari ahli kitab supaya perkara tersebut tidak menyebabkan ketundukkan wanita tersebut kepada lelaki dan agama lelaki ahli kitab.

6 – Kemudiannya, al-Qaradhawi bukan setakat menyarankan mewujudkan rasa cinta kepada Nashara (atau ahli Kitab), bahkan merujuk kepada orang kafir secara umum. Berikut perkataan beliau (al-Qaradhawi):

وهذا يدل على أن مودة المسلم لغير المسلم لا حرج عليه

Ini menunjukkan bahawa mahabbah (perasaan cinta) seseorang Muslim terhadap bukan muslim (orang kafir) bukanlah suatu kesalahan.

Maka, ini sama sekali begitu jelas kebatilannya dan tidak dapat diterima.

7 – Berkenaan ayat (maksudnya):

“Dan sesungguhnya kamu dapat lihat bahawa yang paling dekat persahabatannya dengan orang-orang yang beriman ialah orang-orang yang berkata: “Sesungguhnya kami ini orang Nasrani”.” (Surah al-Ma’idah, 5: 82)

Secara umumnya, dari zahir ayat ini kita dapat memahami bahawa orang yang paling dekat (mencintai) terhadap umat Islam adalah Nashara (Kristian) berbanding orang-orang kafir lainnya.

Namun, tidak sekali-kali ayat ini menunjukkan sebaliknya, iaitu dibolehkan membalas atau saling mencintai kembali kepada orang-orang Kristian. Ayat ini sama sekali tidak menuntut seseorang Muslim untuk mencintai mereka yang telah membesarkan (mengagungkan) salib, mempertuhankan Nabi ‘Isa, mengimani al-Masih sebagai Anak Allah, serta pelbagai jenis kesyirikkan dan kekufuran lainnya. Apatah lagi sekiranya ayat ini digunakan untuk mewujudkan perasaan saling mencintai di antara umat Islam dengan orang-orang kafir.

8 – Ayat 82 dari surah al-Ma’idah ini perlu dilihat bagaimanakah Asbab an-Nuzulnya, sekaligus menjadi petunjuk di dalam memahaminya (dan menafsirkannya).

Sa’id B. Jubair, as-Suddi dan selainnya menjelaskan bahawa ayat ini turun mengenai delegasi (utusan) yang diutus oleh an-Najasyi (raja Habsyah) kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam untuk mendengarkan ucapannya dan melihat sifat-sifatnya. Ketika mereka melihatnya (melihat Nabi) dan beliau membacakan al-Qur’an di hadapan mereka (para delegasi), maka mereka pun masuk Islam, menangis dan menjadi khusyu’. Kemudian mereka kembali kepada an-Najasyi dan mengkhabarkan berkenaan apa yang mereka alami/saksikan.

Al-Hafiz Ibnu Katsir menjelaskan berkenaan ayat: “Dan sesungguhnya kamu dapat lihat bahawa yang paling dekat persahabatannya dengan orang-orang yang beriman ialah orang-orang yang berkata: “Sesungguhnya kami ini orang Nasrani”.” (Surah al-Ma’idah, 5: 82):

أي: الذين زعموا أنهم نصارى من أتباع المسيح وعلى منهاج إنجيله، فيهم مودة للإسلام وأهله في الجملة، وما ذاك إلا لما في قلوبهم، إذ كانوا على دين المسيح من الرقة والرأفة، كما قال تعالى: { وَجَعَلْنَا فِي قُلُوبِ الَّذِينَ اتَّبَعُوهُ رَأْفَةً وَرَحْمَةً } [الحديد: 27] وفي كتابهم: من ضربك على خدك الأيمن فأدر له خدك الأيسر. وليس (1) القتال مشروعًا في ملتهم

Terjemahan: Maksudnya yakni orang-orang yang mengaku bahawa mereka adalah Nashrani dari pengikut al-Masih (‘Isa) dan menjadikan Injil sebagai petunjuk/pegangan. Mereka memiliki rasa simpati pada Islam dan penganutnya secara umum. Perkara tersebut itdaklah berlaku melainkan disebabkan hati mereka yang penuh dengan kelembutan dan rasa santun, kerana mereka mengikuti agama al-Masih. Ini adalah sebagaimana firman Allah (maksudnya):

“Dan Kami jadikan dalam hati mereka orang-orang yang mengikutinya rasa santun dan kasih-sayang.” Di dalam kitab mereka disebutkan: “Jika ditampar pipi kananmu, maka berikanlah pipi kirimu.” Dan perang tidak disyari’atkan di dalam agama mereka. (Rujuk: al-Hafiz Ibnu Katsir, Tafsir al-Qur’an al-‘Adzim, 3/167)

Demikianlah sifat kaum Nashara yang dimaksudkan di dalam ayat tersebut. Iaitu dari kalangan Nashara yang bersedia memeluk Islam.

Di antara lain, turut dijelaskan oleh al-Hafiz Ibnu Katsir berkenaan Nashara yang dimaksudkan tersebut adalah:

1 – Golongan Nashara yang tidak menyombongkan diri.

2 – Yang tekun beribadah, taat kepada Injil, berilmu, dan tawadhu’.

3 – Apabila mereka mendengar al-Qur’an dibacakan, mereka insaf. Iaitu mereka beriman dengan al-Qur’an.

Dan al-Hafiz Ibnu Katsir menjelaskan (menyimpulkan):

وهذا الصنف من النصارى هم المذكورون في قوله [عز وجل]

وَإِنَّ مِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ لَمَنْ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَمَا أُنزلَ إِلَيْكُمْ وَمَا أُنزلَ إِلَيْهِمْ خَاشِعِينَ لِلَّهِ [ لا يَشْتَرُونَ بِآيَاتِ اللَّهِ ثَمَنًا قَلِيلا أُولَئِكَ لَهُمْ أَجْرُهُمْ عِنْدَ رَبِّهِمْ إِنَّ اللَّهَ سَرِيعُ الْحِسَابِِ]

وهم الذين قال الله فيهم

الَّذِينَ آتَيْنَاهُمُ الْكِتَابَ مِنْ قَبْلِهِ هُمْ بِهِ يُؤْمِنُونَ * وَإِذَا يُتْلَى عَلَيْهِمْ قَالُوا آمَنَّا بِهِ إِنَّهُ الْحَقُّ مِنْ رَبِّنَا إِنَّا كُنَّا مِنْ قَبْلِهِ مُسْلِمِينَ * أُولَئِكَ يُؤْتَوْنَ أَجْرَهُمْ مَرَّتَيْنِ بِمَا صَبَرُوا وَيَدْرَءُونَ بِالْحَسَنَةِ السَّيِّئَةَ وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنْفِقُونَ * وَإِذَا سَمِعُوا اللَّغْوَ أَعْرَضُوا عَنْهُ وَقَالُوا لَنَا أَعْمَالُنَا وَلَكُمْ أَعْمَالُكُمْ سَلامٌ عَلَيْكُمْ - إلى قوله { لا نَبْتَغِي الْجَاهِلِينَ }

Golongan kaum Nashrani inilah yang disebutkan di dalam firman-Nya ‘Azza wa Jalla (maksudknya):

“Dan sesungguhnya di antara ahli kitab itu ada orang yang beriman kepada Allah dan kepada apa yang diturunkan kepada kamu dan yang diturunkan kepada mereka sedang mereka merendahkan hati (tunduk/patuh) kepada Allah.” (Surah Ali ‘Imran, 3: 199).

Mereka itulah orang-orang yang disebutkan oleh Allah di dalam firman-Nya (maksudnya):

“Orang-orang yang telah Kami datangkan kepada mereka al-Kitab sebelum al-Qur’an, mereka beriman (pula) dengan al-Qur’an itu. Dan apabila dibacakan (al-Qur’an itu) kepada mereka, mereka berkata: “Kami beriman kepadanya; sesungguhnya; al-Qur’an itu adalah kebenaran dari Tuhan kami, sesungguhnya kami sebelumnya adalah orang-orang yang membenarkan(nya). Mereka itu diberi pahala dua kali ganda disebabkan kesabaran mereka, dan mereka menolak kejahatan dengan kebaikan, dan sebahagian dari apa yang telah Kami rezekikan kepada mereka, mereka nafkahkan. Dan apabila mereka mendengar perkataan yang tidak bermanfaat, mereka berpaling daripadanya dan mereka berkata: “Bagi kami amal-amal kami dan bagimu amal-amalmu, kesejahteraan atas dirimu, kami tidak mahu bergaul dengan orang-orang yang jahil.” (Surah al-Qasasha, 28: 52-55). (Rujuk: al-Hafiz Ibnu Katsir, Tafsir al-Qur’an al-‘Adzim, 3/167-168)

Demikianlah sifat Kaum Nashara yang dimaksudkan di dalam ayat tersebut. Dan bukanlah merujuk secara umum kepada seluruh Nashara (Kristian) yang ada, apatah lagi mahu diperluaskan kepada orang-orang kafir secara umum.

Dan sekaligus, ini menyanggah perkataan (pendapat) al-Qaradhawi berikut:

هذا في أهل الكتاب عامة. أما النصارى منهم خاصة، فقد وضعهم القرآن موضعا قريبا من قلوب المسلمين فقال: (ولتجدن أقربهم مودة للذين آمنوا الذين قالوا: إنا نصارى، ذلك بأن منهم قسسين ورهبانا وأنهم لا يستكبرون) سورة المائدة:82

“Perkara ini berlaku untuk Ahli Kitab secara umum (merujuk Surah al-Ma’idah, 5: 5). Manakala untuk orang Nashara, secara khusus di dalam al-Qur’an Allah telah meletakkan mereka pada suatu kedudukan yang dekat dengan umat Islam. Allah berfirman: (Merujuk kepada Surah al-Ma’idah, 5: 82).” (Rujuk: al-Halal wal Haram, m/s. 328)

Sebagaimana yang telah dijelaskan, ia bukanlah merujuk kepada Nashara secara keseluruhan.

Kemudiannya Dr. Yusuf al-Qaradhawi berkata lagi di dalam Kitabnya, al-Halal wal Haram:

إنما جاءت تلك الآيات في قوم معادين للإسلام، محاربين للمسلمين، فلا يحل للمسلم حينذاك مناصرتهم ومظاهرتهم -وهو معنى الموالاة- واتخاذهم بطانة يفضي إليهم بالأسرار، وحلفاء يتقرب إليهم على حساب جماعته وملته

Terjemahan: Bahawasanya ayat-ayat tersebut (seperti Surah al-Ma’idah, 5: 51-52) di atas ditujukan untuk orang-orang yang menentang Islam dan yang memerangi kaum muslimin. Maka, dalam keadaan seperti ini, tidak halal bagi setiap Muslim untuk membantu mereka dan mengadakan perjanjian dengan mereka. Demikianlah pengertian/makna al-Muwalaah (berkasih-sayang dan bersahabat baik) dengan orang-orang kafir di mana dilarang ber-muwalaah dengan mereka yang boleh mengakibatkan mereka mengetahui rahsia-rahsia kita serta (dilarang) menjadikan mereka sekutu (teman) yang memiliki agenda tersembunyi untuk jama’ah (kumpulan) dan agamanya. (al-Halal wal-Haram, m/s. 330)

Penjelasan/Koreksi:

1 – Dr. Yusuf al-Qaradhawi perlu membawakan fakta-fakta yang ilmiyah bahawa ayat-ayat tersebut adalah merujuk secara khusus kepada orang-orang yang menentang Islam dan memerangi kaum muslimin.

2 – Kerana, sebagaimana yang telah dijelaskan (di atas pada penjelasan/bantahan awal):

Al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani rahimahullah menjelaskan:

ثم البر والصلة والإحسان لا يستلزم التحابب والتوادد المنهي عنه في قوله تعالى لا تجد قوما يؤمنون بالله واليوم الآخر يوادون من حاد الله ورسوله الآية فإنها عامة في حق من قاتل ومن لم يقاتل والله أعلم

Terjemahan: Bahawasanya al-Birr (melakukan kebaikan). Ash-Shillah (menjalinkan hubungan), dan al-Ihsan (berbuat kebaikan) tidak menuntut diwujudkan adanya sikap saling mencintai dan berkasih-sayang, kerana perkara ini terlarang di dalam al-Qur’an sebagaimana firman-Nya: Kamu tidak akan menemui sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat saling berkasih-sayang dengan orang-orang yang menentang Allah dan Rasul-Nya... Sesungguhnya ayat ini berlaku umum sama ada untuk setiap yang bertindak memerangi atau pun tidak memerangi. Wallahu a’lam. (Rujuk: al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani, Fathul Bari Syarah Shohih al-Bukhari, 5/233, pada Syarah hadis no. 2475)

3 – Imam al-Qurthubi rahimahullah ketika menjelaskan tentang Surah al-Mumtahanah, beliau berkata:

السورة أصل في النهي عن موالاة الكفار

Terjemahan: Surah (al-Mumtahanah) ini adalah prinsip asas di dalam larangan ber-muwalaah (berkasih-sayang dan bersahabat baik) kepada orang-orang kafir. (Rujuk: al-Qurthubi, al-Jami’ Li Ahkamil Qur’an, 18/52)

4 – al-Hafiz Ibnu Katsir berkata ketika menjelaskan Surah Ali ‘Imran, 3: 28:

نهى الله، تبارك وتعالى، عباده المؤمنين أن يوالوا الكافرين، وأن يتخذوهم أولياء يُسِرُّون إليهم بالمودة من دون المؤمنين

Terjemahan: Allah melarang hamba-Nya yang beriman untuk mencintai orang-orang kafir dan melarang juga menjadikan mereka sebagai wali-wali (penolong) yang dicintai dari selain orang-orang yang beriman. (Rujuk: al-Hafiz Ibnu Katsir, Tafsir al-Qur’an al-‘Adzim, 2/30)

5 – Imam asy-Syaukani rahimahullah berkata:

فيه النهي للمؤمنين عن موالاة الكفار لسبب من الأسباب

Terjemahan: Dalam firman Allah tersebut mengandungi larangan untuk mencintai (muwalaah) orang-orang kafir di atas beberapa sebab. (asy-Syaukani, Fathul Qodir, 1/500)

6 – Samahatusy Syaikh ‘Abdul ‘Aziz B. Bazz rahimahullah (Mufti Saudi ‘Arabia pada masanya) berkata:

قد دل الكتاب والسنة وإجماع المسلمين أنه يجب على المسلمين أن يعادوا الكافرين من اليهود والنصارى وسائر المشركين وأن يحذروا مودتهم واتخاذهم أولياء كما أخبر الله سبحانه في كتابه المبين الذي لا يأتيه الباطل من بين يديه ولا من خلفه تنزيل من حكيم حميد، أن اليهود والمشركين هم أشد الناس عداوة للمؤمنين

Syaikh ‘Abdul ‘Aziz B. Bazz menyebutkan sejumlah ayat yang berkaitan, lalu menjelaskan lagi:

الآية، والآيات في هذا المعنى كثيرة وهي تدل دلالة صريحة على وجوب بغض الكفار من اليهود والنصارى وسائر المشركين وعلى وجوب معاداتهم حتى يؤمنوا بالله وحده وتدل أيضا على تحريم مودتهم وموالاتهم وذلك يعني بغضهم والحذر من مكائدهم وما ذاك إلا لكفرهم بالله وعدائهم لدينه ومعاداتهم لأوليائه وكيدهم للإسلام وأهله

Terjemahan: Dan al-Qur’an, as-Sunnah dan Ijma kaum muslimin telah menunjukkan bahawa wajib bagi umat Islam untuk memusuhi orang-orang kafir dari kalangan Yahudi, Nashara, dan seluruh orang-orang musyrik. Dan hendaklah mereka sentiasa berhati-hati supaya tidak mencintai mereka dan menjadikannya sebagai wali (pemimpin/penolong) sebagaimana yang telah Allah jelaskan (maksudnya):

“Yang tidak datang kepadanya (al-Qur’an) kebatilan sama ada dari depan mahu pun dari belakangnya, yang diturunkan dari Rabb Yang Maha Bijaksana lagi Maha Terpuji.” (Surah Fushilat, 41: 42)

Bahawasanya orang-orang Yahudi dan musyrikin adalah golongan yang paling memusuhi orang-orang mukmin.

Syaikh ‘Abdul ‘Aziz B. Bazz menyebutkan sejumlah ayat yang berkaitan, lalu menjelaskan lagi:

Banyak sekali ayat-ayat yang sama makna dengan ayat-ayat yang disebutkan ini. Ayat-ayat tersebut menunjukkan dengan jelas bahawa wajibnya membenci dan memusuhi orang-orang kafir dari kalangan Yahudi, Nashara, dan orang-orang musyrik, sehinggalah mereka beriman kepada Allah. Ayat-ayat tersebut juga menunjukkan haramnya mencintai (bermawaddah) dan berkasih-sayang (muwalaah) terhadap mereka. Membenci mereka dan berhati-hati dari tipu daya mereka itu tidaklah lain melainkan kerana kekufuran mereka kepada Allah dan permusuhannya terhadap agama dan para wali-Nya, serta tipu daya mereka terhadap Islam dan para penganutnya.” (Rujuk: ‘Abdul ‘Aziz B. Bazz, Majmu’ Fatawa wa Maqolaat, 2/178. Rujuk: Web Rasmi Syaikh Ibnu Bazz: binbaz.org. Rujuk: Dorar.net)

7 – Secara umumnya pada masa ini, Yahudi dan Nashara amat memusuhi umat Islam dan sentiasa mencari peluang untuk menghancurkan umat Islam melalui pelbagai cara. Sama ada melalui tindakan ketenteraan (fizikal) mahu pun serangan pemikiran.

Sebagai mengakhiri tulisan ini, berikut disertakan betapa beliau (al-Qaradhawi) mengajak orang-orang kafir kepada persaudaraan dan bersedia menyambutnya dengan baik. Sehingga beliau sanggup menafikan adanya jihad offensif, dan mengatakan bahawa jihad hanya bertujuan untuk bertahan sahaja.

Berikut perkataan-perkataan beliau (al-Qaradhawi):

نحن ندعو إلى السلام بلا كلل أو ملل ، بشرط أن لا تؤكل حقوقنا ولا تغتصب ديارنا إذا كان الحوار الإسلامي المسيحي يهدف إلى السلام فاهلاً وسهلاً به ، وإذا كان يهدف إلى الأخوة فنحن نرحب بالأخوة

Terjemahan: Kami menyeru kepada perdamaian tanpa penat dan bosan, dengan syarat supaya hak-hak kami tidak dicerobohi dan wilayah kami tidak dirampas, apabila dialog Islam dan Nashara bertujuan ke arah perdamaian maka ahlan wa sahlan (dipersilakan), dan jika tujuannya untuk persaudaraan maka kami juga menyambutnya dengan persaudaraan. (Majalah ar-Rayah, no. 4696, 24 Sya’ban, 1415H. Rujuk: Ahmad B. Muhammad B. Manshur al-‘Udaini, Raf’al Litsam ‘An Mukhalafah al-Qaradhawi li Syari’atil Islam, m/s. 70. Terbitan Darul Atsar, Cet. 2, 1422H/2001M. Rujuk: emtiaz.net. Rujuk: sahab.net.)

Beliau (al-Qaradhawi) pernah ditanya:

ما هو الموقف الإسلامي الديني من اليهود ومن غير المسلمين إن لكم رؤيا فقهية متميزة في مثل هذه القضايا هل تميلون إلى إعلان الجهاد عامة ضد الجميع أم أن الموقف الفقهي له رؤيا خاصة ؟

“Bagaimanakah sikap Islam terhadap Yahudi dan orang-orang bukan Islam lainnya menurut perspektif Islam? Sesungguhnya kami melihat Anda memiliki satu sudut pandang yang menarik berkaitan dengan persoalan ini. Adakah Anda bersetuju untuk mengumandangkan jihad secara umum kepada mereka semua, ataukah ada sisi pandang khusus mengenai perkara tersebut?”

Maka beliau menjawab:

أقول : جهادنا مع اليهود ليس لأنَّهم يهود، بعض الإخوة الذين يكتبون في هذه القضية ويتحدثون عنها يعتبرون أننا يقاتل اليهود لأنَّهم يهود ولا نرى هذا، فنحن لا نقاتل اليهود من أجل العقيدة إنما نقاتلوهم من أجل الأرض لا نقاتل الكفار لأنَّهم كفار وإنما نقاتلوهم لأنَّهم اغتصبوا أرضنا وديارنا وأخذوها بغير حق.

“Saya katakan: Jihad yang kita tegakkan melawan Yahudi bukanlah disebabkan kerana mereka Yahudi. Sebahagian ikhwah (saudara) yang menulis dan membahaskan persoalan ini menganggap bahawa kita memerangi Yahudi itu kerana status mereka Yahudi. Namun kami tidak sependapat dengan mereka dalam perkara ini. (Saya berpendapat) bahawa kita tidak memerangi Yahudi atas alasan ‘aqidah. Kami hanya memerangi mereka kerana urusan (perebutan) tanah. Kami tidak memerangi orang-orang kafir kerana status mereka adalah orang kafir. Perkara ini disebabkan kerana mereka telah mencuri tanah kami dan kampung kami. Mereka mengambilnya (dari kami) dengan tanpa haq.” (Majalah Ar-Rayyah, no. 4696, tanggal 24 Sya’baan 1415H/25 Januari 1995M. Rujuk: Sahab.net).

Beliau (DYQ) berkata lagi:

مسألة الجهاد في سبيل الله للدفاع عن الأرض والعرض والحرمات هذا أمر لا كلام فيه إنما الدفاع للهجوم على العالم كما يصوره بعض الناس هذا أمر ليس واردًا، ونحن هنا نتبنى تبناه علماء المسلمين المعاصرين الشيخ أبو زهرة والشيخ رشيد رضا والشيخ شلتوت والشيخ عبد الله دراز والشيخ الغزالي وهؤلاء كلهم يتبنون أن الجهاد في الإسلام للدفاع عن الدين والدولة والحرمات والأرض والعرض....وليس لغزو العالم كما يصوره بعض الناس.

“Berkenaan jihad fii sabiilillah adalah untuk mempertahankan tanah air, harga diri, dan kehormatan, maka perkara ini sudah tidak perlu dipersoalkan lagi kebenarannya. Bahawasannya mempertahankan diri dengan cara menyerang pihak (negara) lain sebagaimana digambarkan oleh sebahagian pihak, maka perintah seperti ini tidak ditemui (di dalam syari’at). Dan kami di sini, menyandarkan pendapat kami ini kepada pendapat para ulama kaum muslimin masa kini seperti asy-Syaikh Abu Zahrah, asy-Syaikh Rasyid Ridha, asy-Syaikh Syaltuut, asy-Syaikh ‘Abdullah Darraaz, dan asy-Syaikh (Muhammad) al-Ghazzali. Mereka semua berpendapat bahawasannya jihad di dalam Islam adalah untuk mempertahankan agama, negara, kehormatan, tanah air, dan harga diri... Dan bukan untuk memerangi negara lain sebagaimana digambarkan oleh sebahagian pihak.” (al-Islaam wal-Gharb – ma’a Yusuf Al-Qaradhawi, m/s. 19. Rujuk: emtiaz.net)

Sebagaimana diberitakan oleh EraMuslim.com (Indonesia), beliau (al-Qaradhawi) diberitakan berkata:

Lebih lanjut Syaikh Qaradawi mengatakan bahwa Muslim dan Yahudi adalah sama-sama pengikut dua agama Ibrahim. Yahudi yang meyakini kitab suci Taurat yang asli, sangat dekat dengan umat Islam. “Pengikut dua agama ini memiliki ritual dan ajaran agama yang sama seperti, kewajiban sunat bagi laki-laki, memotong hewan dengan cara yang halal, melarang daging babi dan melarang patung-patung diletakkan di dalam masjid atau sinagog...

Umat Islam dan Yahudi, tambah Qaradawi, sama-sama diburu ketika kekuasaan Islam di Andalusia jatuh.

Di masa kini, kata Qaradawi, umat Islam dan Yahudi yang sama-sama meyakini satu Tuhan, selayaknya bekerjasama untuk memerangi ateisme, pornografi, lesbian dan homoseks serta ketidakadilan. (Rujuk:
eramuslim.com)

Perkataan-perkataan seperti itu tidaklah “aneh” untuk kita temui di masa ini. Kerana perkataan-perkataan seperti itu telah terlebih dahulu disuarakan oleh guru beliau, iaitu Hasan al-Banna rahimahullah (tokoh besar pertubuhan Ikhwanul Muslimin), yang menyatakan:

فأقرر أن خصومتنا لليهود ليست دينية؛ لأن القرآن حضّ على مصافاتهم ومصادقتهم، والإسلام شريعة إنسانية قبل أن يكون شريعة قومية، وقد أثنى عليهم وجعل بيننا وبينهم اتفاقا {ولا تُجادِلُوا أَهْلَ الكِتَابِ إلاَّ بِالَّتي هِي أَحْسَنُ} وحينما أراد القرآن الكريم أن يتناول مسألة اليهود تناولها من الوجهة الاقتصادية والقانونية ..

“Saya tegaskan sekali lagi bahawa persengketaan (permusuhan) kita dengan Yahudi bukanlah persengketaan (permusuhan) yang disebabkan oleh agama, kerana al-Qur’an menganjurkan kita supaya berganding bahu dan bersahabat dengan mereka serta meminta supaya diwujudkan kesepakatan di antara kita dengan mereka. Allah berfirman : ”Dan janganlah kamu berdebat dengan Ahli Kitab melainkan dengan cara yang paling baik.” (Surah al-Ankabut, 29: 46). Setiap kali al-Qur’an berbicara persoalan Yahudi, maka turut disentuh dari sisi ekonomi dan hukum....” (al-Ikhwaanul-Muslimuun Ahdats Shana’at-Taariikh, 1/409-410. Rujuk juga: turkmani.com)

أن خصومتنا لليهود ليست دينية لأن القران حض على مصافاتهم ومصادقتهم

“Sesungguhnya permusuhan kita dengan Yahudi bukanlah disebabkan persoalan agama, kerana al-Qur’an telah menganjurkan untuk bersahabat dan berkawan dengan mereka”. (Rujuk: al-Ikhwaanul-Muslimuun Ahdaats Shana’at At-Taariikh, 1/409. Rujuk: sahab.net)

Juga:

إن الإسلام الحنيف لا يخاصم ديناً ولا يهضم عقيدة

“Sesungguhnya Islam yang hanif (lurus) itu tidaklah memusuhi satu agama pun, juga tidak menyerang (menganiaya) satu ‘aqidah pun”. (Mawaaqifun fid-Da’wati wat-Tarbiyyah, m/s. 163. Rujuk: sahab.net)

Wallahu a’lam...