__________________________________________________________________________________

| Nawawi | Aqeedah | Fiqh | Anti Syirik | Galeri Buku | Galeri MP3 | U-VideOo |
__________________________________________________________________________________

Wednesday, July 23, 2008

067 - Mengenal 4 Methode Pengambilan al-Qur'an Menurut Golongan Anti Hadis

Mengenal 4 Methode Pengambilan al-Qur'an Oleh Golongan Anti Hadis

http://bahaya-syirik.blogspot.com/

Sebelum kita melihat dan pergi kepada persoalan syubhat-syubhat yang disebar-luaskan oleh golongan anti hadis, adalah lebih baik jika kita teliti dan bersedia terlebih dahulu dengan melihat asas-asas atau beberapa muslihat utama bagaimana Golongan anti Hadis ini melakukan pengambilan dalil-dalil al-Qur’an untuk berhujjah. Ini adalah penting supaya kita semua beripaya untuk mengenal pasti ragam, taktik, strategi dan muslihat Golongan Anti Hadis apabila mereka berhujah dengan al-Qur’an, sama ada di masa kini atau di masa akan datang. Tidak dinafikan adakalanya ayat-ayat al-Qur’an yang dihujahkan oleh Golongan Anti Hadis kelihatan se-akan-akan benar lagi meyakinkan. Akan tetapi jika kita sedia mengetahui taktik dan muslihat mereka, mudah sahaja untuk kita “menangkap/mengenal pasti” kebatilan yang terdapat di dalam hujah-hujah tersebut. Berikut adalah 4 ragam, kaedah, dan muslihat yang dimaksudkan:

[1] Terjemahan tanpa teks Arab,

Muslihat Golongan Anti Hadis yang pertama adalah menghujahkan ayat-ayat al-Qur’anul Karim berdasarkan terjemahannya sahaja tanpa disertakan teks Arab yang asal. Ini menyukarkan kita untuk menyemak kebenaran terjemahan dan hujah-hujah yang mereka asaskan dari ayat tersebut. Contohnya adalah terjemahan ayat 44 hingga 49 surah al-Maidah yang dilakukan oleh Rashad Khalifa. Oleh itu setiap ayat al-Qur’an yang dihujah oleh Golongan Anti Hadis wajib kita semak terjemahannya dengan teks Arab yang asli atau dengan mana-mana kitab terjemahan, kamus, dan tafsir yang diiktiraf.

[2] Menarik dan memaksa tafsiran ayat al-Qur’an,

Apabila teks Arab al-Qur’an diterjemahkan, ia kehilangan segala nilai-nilai ketepatan bahasa dan nahu (grammar) yang membuatkannya tidak lagi tepat sebagai sumber rujukan. Dengan ini mudahlah bagi Golongan Anti Hadis menarik dan memaksa terjemahan ayat-ayat tersebut supaya selari dan secocok dengan fahaman mereka. Akhirnya peranan asal al-Qur’an sebagai kitab yang memimpin dan menunjuk telah berubah kepada kitab yang dipimpin dan ditunjuk. Ini sebenarnya pernah digambarkan sendiri oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam 1400 tahun yang lalu dengan sabdanya:

“Al-Qur’an adalah pemberi syafa’at yang diterima syafa’atnya dan pembantah (penghujah) yang dibenarkan. Barangsiapa yang meletakkan al-Qur’an di hadapannya maka dia akan dipimpin ke syurga dan barangsiapa yang meletakkan al-Qur’an di belakangnya maka dia akan ditolak ke neraka.” (Sahih: Hadis dari Jabir bin Abdillah radiallahu ‘anhu, dikeluarkan oleh al-Baihaqi (Syu’aib al-Iman) dan dari Ibnu Mas’ud radiallahu ‘anhu, dikeluarkan oleh ath-Thabrani (Mu’jam al-Kabir) dan al-Baihaqi dalam kitab yang sama, dinukil oleh as-Suyuti dalam Jamii-us-Sagheir, hadis no. 6182 dan dinilai sahih oleh Sheikh Muhammad Nashiruddin al-Albani di dalam Sahih Jamii-us-Sagheir, no. 4443. Lebih lanjut, lihat: Silsilah Hadis Sahih, no. 2019)

Bagi menangani ragam Golongan Anti Hadis ini, setiap hujah dan tafsiran mereka wajib kita kaji dan bandingkan dengan mana-mana kitab tafsir yang muktabar. Seandainya kekurangan bahan rujukan maka bertanyalah kepada mereka yang ahli dalam bidang tafsir. Tidak perlu bertanya kepada Golongan Anti Hadis kerana mereka bukanlah ahli bidang tafsir.

[3] Menjadikan al-Qur’an sebagai kamus bahasa Arab,

Kaedah dan muslihat ketiga Golongan Anti Hadis adalah dengan menjadikan kitab al-Qur’anul Karim sebagai satu-satunya kamus bahasa Arab.

Sebagai contoh, terdapat dakwaan Golongan Anti Hadis bahawa di dalam al-Qur’an tidak ada satu ayat sekalipun yang menyebut dan menerangkan istilah Sunnah Nabi atau Hadis Nabi. Namun, ia bukanlah sesuatu yang menjadi masalah kerana kitab al-Qur’anul Karim bukanlah sebuah kamus bahasa Arab. Malah yang benar-benar keliru di sini ialah Golongan Anti Hadis sendiri kerana mereka telah menjadikan kitab al-Qur’anul Karim sebagai satu-satunya kamus bahasa Arab yang mutlak. Mereka mencari erti sesuatu perkataan Arab dengan merujuk kepada beberapa terjemahan al-Qur’an yang sedia ada; dan mereka juga mencari kefahaman serta cara-guna sesuatu perkataan Arab dengan membanding-banding antara beberapa ayat al-Qur’an yang sedia memiliki perkataan tersebut. Apa-apa erti atau istilah yang tidak terdapat di dalam al-Qur’an, atau maksud pengertiannya adalah berlainan dengan penerangan al-Qur’an, maka perkataan atau pengertian tersebut dianggap batil dan ditolak. Tindakan ini adalah salah kerana:

i - Al-Qur’an bukanlah kitab yang memperkenalkan bahasa Arab kepada masyarakat Arab 1400 tahun yang lalu. Ketika al-Qur’an mula diturunkan, masyarakat ketika itu sudah sedia mengetahui dan menguasai bahasa Arab. Jika benar al-Qur’an adalah satu-satunya kamus bahasa Arab, maka bagaimana mungkin masyarakat Arab ketika itu hendak memahami ayat-ayat al-Qur’an yang diturunkan?

ii - Al-Qur’an diturunkan secara berperingkat-peringkat, menjangkau tempoh 22 tahun lebih. Seandainya kita menerima-pakai teori bahawa sesuatu perkataan atau istilah itu hanya tepat difahami dengan merujuk dan membanding antara ayat dengan ayat, adakah itu bererti bahawa masyarakat Arab ketika itu tidak dapat memahami langsung pengajaran al-Qur’an secara tepat kecuali setelah 22 tahun, yakni setelah al-Qur’an menjadi lengkap keseluruhan himpunan ayat-ayatnya? Sudah tentu tidak!

Justeru tindakan menjadikan al-Qur’an sebagai satu-satunya kamus bahasa Arab dan penjelas pengertian istilah adalah tidak lain merupakan tindakan orang-orang yang tidak tahu bahasa Arab dan amat sempit wawasan pemikiran mereka. Yang benar adalah, al-Qur’an boleh digunakan sebagai salah satu sumber rujukan bagi mengetahui dan memahami pengertian dan maksud sesuatu perkataan Arab, terutamanya oleh kita masyarakat yang bahasa ibundanya bukan bahasa Arab. Tetapi kita tidak boleh memutlakkan al-Qur’an sebagai satu-satunya kamus dan penjelas bahasa Arab. Melakukan tindakan sedemikian rupa bererti kita telah memaksakan al-Qur’an kepada satu tanggungjawab yang tidak ia dipertanggungkan pada asalnya.

Persoalan istilah Sunnah dan Hadis Nabi yang tidak disebut di dalam al-Qur’an bukanlah suatu persoalan yang membatalkan kedudukannya dari sisi syari’at Islam kerana dasar rujukan kepada dua sumber tersebut tidak terletak pada nama atau istilah, tetapi kepada konsep dan pengertian yang didirikan oleh al-Qur’an itu sendiri. Sebagaimana kita di Malaysia dalam bahasa Melayu mengatakan bahawa sembahyang itu adalah wajib padahal perkataan “sembahyang” sememangnya tidak terdapat di dalam al-Qur’an tetapi konsep dan perintah mendirikan “sembahyang” tersebut memang sedia terdapat di dalam al-Qur’an. Perbezaan nama atau istilah tidaklah membatalkan sesuatu konsep, pengertian, perintah dan pekerjaan yang jelas diasaskan oleh al-Qur’an.

Maka dapat kita fahami bahawa kitab al-Qur’anul Karim tidaklah diturunkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala kepada manusia untuk dijadikan sebagai sebuah kamus. Al-Qur’an boleh digunakan sebagai salah satu sumber rujukan bagi mengetahui dan memahami pengertian sesuatu perkataan Arab dan cara menggunakannya tetapi ia tidak boleh dimutlak sebagai sebagai satu-satunya kamus dan penjelas bahasa Arab.

[4] Memilih ayat yang disukai, mendiamkan ayat yang bertentangan,

Muslihat keempat yang sangat masyhur dari kalangan Golongan Anti Hadis adalah menghujahkan sebahagian ayat dan mendiamkan sebahagian yang lain. Ayat yang secocok dan bertepatan dengan fahaman (kehendak) mereka dijadikan hujah manakala ayat yang tidak secocok dan bertentangan didiamkan. Terdapat banyak bukti dan contoh sepertimana yang telah dibahas dalam menjawab hujah-hujah mereka sebelum ini.

Tindakan Golongan Anti Hadis ini adalah mirip kepada tindakan kaum Yahudi dan Nasrani yang sering menyembunyikan ayat-ayat dalam kitab Taurat dan Injil masing-masing apabila ayat tersebut tidak secocok dengan kehendak mereka. Al-Qur’anul Karim telah beberapa kali menyinggung sikap seperti ini:

ثُمَّ أَنْتُمْ هَؤُلاءِ تَقْتُلُونَ أَنْفُسَكُمْ وَتُخْرِجُونَ فَرِيقًا مِنْكُمْ مِنْ دِيَارِهِمْ تَظَاهَرُونَ عَلَيْهِمْ بِالإثْمِ وَالْعُدْوَانِ وَإِنْ يَأْتُوكُمْ أُسَارَى تُفَادُوهُمْ وَهُوَ مُحَرَّمٌ عَلَيْكُمْ إِخْرَاجُهُمْ أَفَتُؤْمِنُونَ بِبَعْضِ الْكِتَابِ وَتَكْفُرُونَ بِبَعْضٍ فَمَا جَزَاءُ مَنْ يَفْعَلُ ذَلِكَ مِنْكُمْ إِلا خِزْيٌ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَيَوْمَ الْقِيَامَةِ يُرَدُّونَ إِلَى أَشَدِّ الْعَذَابِ وَمَا اللَّهُ بِغَافِلٍ عَمَّا تَعْمَلُونَ

“Maka patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian (dari isi) Kitab Taurat dan mengingkari akan sebahagian yang lain? Maka tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian itu dari antara kamu, selain dari kehinaan ketika hidup di dunia, dan pada hari kiamat akan ditolak mereka ke dalam azab seksa yang amat berat. Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan.” (al-Baqarah, 2: 85)

وَالَّذِينَ آتَيْنَاهُمُ الْكِتَابَ يَفْرَحُونَ بِمَا أُنْزِلَ إِلَيْكَ وَمِنَ الأحْزَابِ مَنْ يُنْكِرُ بَعْضَهُ قُلْ إِنَّمَا أُمِرْتُ أَنْ أَعْبُدَ اللَّهَ وَلا أُشْرِكَ بِهِ إِلَيْهِ أَدْعُو وَإِلَيْهِ مَآبِ

“Dan orang-orang yang Kami diberikan Kitab, mereka bersukacita dengan apa yang Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) dan di antara beberapa kumpulan dari orang-orang itu ada yang mengingkari sebahagiannya.” (ar-Ra’d, 13: 36)

كَمَا أَنْزَلْنَا عَلَى الْمُقْتَسِمِينَ (٩٠)الَّذِينَ جَعَلُوا الْقُرْآنَ عِضِينَ

“Samalah seperti Kami menurunkan (Kitab-kitab) kepada orang-orang yang membahagi-bahagi; (Iaitu) mereka yang menjadikan al-Quran terbahagi kepada beberapa bahagian (lalu mereka percaya kepada sebahagian dan menolak sebahagian yang lain).” (Hijr, 15: 90-91)

Jika Golongan Anti Hadis menyengajai perbuatan menghujahkan sebahagian ayat dan menyembunyikan sebahagian lain, maka mereka menepati sifat-sifat yang ditegur dan disinggung oleh ayat-ayat al-Qur’an di atas.

Ayat-ayat di dalam kitab al-Qur’anul Karim sengaja disusun oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala secara berselerak dan tidak seragam. Hikmahnya ada beberapa, antaranya:

[i] Supaya pembaca al-Qur’an tidak pernah jemu membacanya. Setiap kali dibaca mana-mana surah atau mana-mana bahagian, pasti akan ditemui kisah, ajaran dan peringatan yang berbeza.

[ii] Supaya menarik para pengkaji al-Qur’an kepada menganalisa dan membanding antara ayat-ayatnya dengan mendalam sehingga tiada siapa yang dapat menjadi pakar al-Qur’an kecuali mereka yang paling tajam lagi meluas penguasaannya terhadap keseluruhan ayat-ayat al-Qur’an.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam selaku seorang guru al-Qur’an telahpun menerangkan bahawa ayat-ayat al-Qur’an pada zahirnya memang kelihatan berselerak, tetapi tidaklah ia saling bertentangan atau menyanggahi antara satu sama lain, malah ia sebenarnya saling menyokong, melengkap dan menyempurnakan. Beliau pernah melihat para sahabat di satu ketika berselisih pendapat tentang beberapa ayat, lalu segera ditegurnya:

“Sebentar wahai kaumku! Dengan tindakan seperti itulah umat-umat sebelum kalian menjadi binasa. Mereka menentang Nabi-nabi mereka dan mempertentangkan sebahagian isi kitab dengan sebahagian yang lain. Sesungguhnya al-Qur’an tidak diturunkan dalam keadaan sebahagian isinya mendustakan sebahagian yang lain, tetapi sebahagian isinya membenarkan sebahagian yang lain. Maka apa yang kamu ketahui darinya – amalkanlah dan apa yang tidak kamu ketahui darinya maka kembalikanlah (rujuklah) kepada orang yang mengetahuinya.” (Sahih: Hadis dari Abdullah bin ‘Amr al-‘Ash, dikeluarkan oleh Ahmad dan dinilai sahih oleh Sheikh Ahmad Syakir dalam Musnad Ahmad, no. 6702. (Musnad Umar al-Khattab, hadathana Anas bin ‘Iyadh.......))

Al-Qur’an adalah umpama tubuh badan manusia. Manusia hanya dapat dikatakan sebagai manusia apabila diambil kira semua anggota dan organ-organnya. Manusia tidak dapat dikatakan sebagai manusia jika ia hanya diwakili oleh lidah, sepotong tangan dan sebelah kaki sahaja. Demikian juga al-Qur’an, sesuatu rumusan tidak dapat dikatakan sebagai rumusan al-Qur’an jika ia hanya berdasarkan satu atau dua patah ayat sahaja. Rumusan al-Qur’an yang sebenar adalah apa yang didasarkan kepada seluruh ayat-ayat dan ajaran al-Qur’an.

Setiap ayat yang diperhujahkan oleh Golongan Anti Hadis wajib dikaji maksudnya yang sebenar berdasarkan keseluruhan al-Qur’an, sama ada dengan merujuk kepada kitab-kitab tafsir yang muktabar atau dengan bertanya kepada mereka yang pakar dalam keseluruhan ajaran kitab al-Qur’anul Karim. Atau sebagai tindakan yang lebih baik, hendaklah para pembaca sendiri yang mempelajari dan mengenal seluruh ayat-ayat al-Qur’anul Karim: maksud, tujuan, dan pengajarannya.

Tidak dinafikan terdapat beberapa orang dari kalangan Golongan Anti Hadis yang lebih mengenal dan menguasai al-Qur’an dari kita semua, hasil dari kajian dan bacaan mereka sendiri. Sedangkan kita pula hanya mengenali al-Qur’an sebagai sesuatu yang dibaca kepada orang mati, amalan malam Jumaat, hadiah hantaran perkahwinan dan gambar hiasan dinding. Maka sudah tiba masanya untuk kita berubah pandangan dan sikap terhadap al-Qur’an, dari apa yang lazim kita lakukan kepada sesuatu yang menepati tujuan penurunannya, iaitu sebagai sebuah kitab yang menjadi sumber iktibar, keinsafan, petunjuk, pengajaran dan penghujahan.

No comments: