__________________________________________________________________________________

| Nawawi | Aqeedah | Fiqh | Anti Syirik | Galeri Buku | Galeri MP3 | U-VideOo |
__________________________________________________________________________________

Tuesday, March 6, 2012

Awas! Syi’ah Mencerca Sahabat Nabi

Awas! Syi'ah Mencerca Sahabat Nabi

Abu Numair Nawawi B. Subandi
http://an-nawawi.blogspot.com


Imam Abu Ya’qub Yusuf B. Yahya al-Buwaithi (murid Imam asy-Syafi’i) pernah bertanya kepada Imam asy-Syafi’i:

أصلي خلف الرافضي؟ قال: لا تصل خلف الرافضي، ولا القدري، ولا المرجئ. قلت: صفهم لنا

“Bolehkah aku bersolat di belakang orang Syiah Rafidhah (sebagai makmum)?”

Imam asy-Syafi’i berkata, “Jangan bersolat di belakang orang Syi’ah, orang Qadariyyah, dan orang-orang Murji’ah.”

Aku bertanya lagi, sebutkan ciri-ciri mereka kepadaku?

قال: من قال: الايمان قول، فهو مرجئ، ومن قال: إن أبا بكر وعمر ليسا بإمامين، فهو رافضي، ومن جعل المشيئة إلى نفسه، فهو قدري

Jawab imam asy-Syafi’i, “Sesiapa yang mengatakan Iman cukup dengan perkataan maka dia adalah pengikut murji’ah. Sesiapa yang mengatakan Abu Bakr dan ‘Umar bukan imam (khalifah), maka dia Syi’ah Rafidhah. Dan sesiapa yang mengatakan perbuatan hamba bergantung kepada kehendaknya semata-mata maka dia adalah pengikut qadariyah.” (adz-Dzahabi, Siyar A’lam Al-Nubala 10/31)

Imam Harmalah B. Yahya (Wafat: 243H) dan Imam ar-Rabi’ B. Sulaiman al-Muradi rahimahumallah (Wafat: 270H) berkata, “Aku mendengar imam asy-Syafi’i berkata:

لم أر أحدا أشهد بالزور من الرافضة

“Aku tidak pernah melihat seorang pun yang mana aku benar-benar bersaksi akan kebohongannya melainkan dari kaum Syi’ah Rafidhah.”.” (Manaaqib asy-Syafi’i, 1/468. Siyar A’lam an-Nubala’, 10/89)

Yunus B. ‘Abdul A’la rahimahullah (Wafat: 264H) berkata, “Aku mendengar imam asy-Syafi’i apabila disebut nama Syi’ah rafidhah, beliau pun mencela mereka sekeras-kerasnya dan mengatakan bahawa mereka adalah seburuk-buruk golongan.” (al-Baihaqi, Manaaqib asy-Syafi’i, 1/468 – Daar at-Turaats)

Ramai tidak menyedari hakikat ini kenapa para ulama ahli sunnah wal-jama’ah termasuk imam asy-Syafi’i rahimahullah (Wafat: 204H) sampai mengatakan perkataan yang begitu keras terhadap golongan Syi’ah rafidhah.

Sebenarnya jika kita teliti dengan baik-baik, nescaya kita akan lihat betapa buruk, keji, dan dustanya kaum Syi’ah ini. Mereka adalah seburuk-buruk ahli bid’ah di mana mereka menjadikan perbuatan laknat ke atas para sahabat Rasulullah sebagai sebahagian dari bentuk ibadah mereka. Kemudian mereka menjadikan sikap dusta yang dahsyat atas nama agama Islam dan syi’ar iman!

Sikap Ahli Sunnah Terhadap Para Sahabat

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

وَالسَّابِقُونَ الأوَّلُونَ مِنَ الْمُهَاجِرِينَ وَالأنْصَارِ وَالَّذِينَ اتَّبَعُوهُمْ بِإِحْسَانٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ وَأَعَدَّ لَهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي تَحْتَهَا الأنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا أَبَدًا ذَلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ

“Orang-orang yang terdahulu lagi yang paling awal masuk Islam (generasi sahabat) dari golongan Muhajirin dan Anshar dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, Allah redha kepada mereka dan mereka pun redha kepada Allah dan Allah menyediakan bagi mereka Syurga yang ada sungai-sungai mengalir. Mereka kekal abadi di dalamnya. Itulah kemenangan yang besar.” (Surah at-Taubah, 9: 100)

Dengan ayat ini ahli sunnah wal-jama’ah menjadikan para sahabat ridhwanullah ‘alaihim ajma’in sebagai generasi manusia terbaik dan teladan yang diikuti pegangan agamanya. Daripada para sahabatlah ayat-ayat al-Qur’an dan hadis-hadis Nabi yang mulia ditafsirkan dan difahami oleh ahli sunnah wal-jama’ah sehingga ke hari ini. Termasuk janji Allah bagi orang-orang yang mengikuti para sahabat dengan baik adalah Syurga yang kekal abadi sebagaimana dijelaskan ayat Allah ini.

Imam Abu Bakr al-Humaidi rahimahullah (Wafat: 219H) berkata:

والترحم على أصحاب محمد كلهم، فإن الله عز وجل قال: وَالَّذِينَ جَاءُوا مِنْ بَعْدِهِمْ يَقُولُونَ رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ. فلم يؤمر إلا بالإستغفارٍ لهم، فمن يسبهم أو ينقصهم أو أحداً منهم، فليس على السُنَّة

“Termasuk prinsip ‘aqidah ahli sunnah wal-jama’ah adalah mendoakan rahmat ke atas seluruh sahabat Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam kerana sesungguhnya Allah berfirman:

“Dan orang-orang yang datang setelah mereka (Muhajirin dan Anshar) mereka berdoa, “Wahai Tuhan kami, ampunilah kami dan saudara-saudara kami. Dan janganlah Engkau jadikan ada dengki dalam hati kami terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami, sesungguhnya Engkau Maha Lemah-lembut lagi maha Penyayang.” (Surah al-Hasyr, 59: 10)

Kita tidaklah diperintahkan melainkan dengan memintakan ampun untuk mereka. Dengan itu, sesiapa yang mencela dan menghina mereka atau salah seorang daripada mereka, maka dia sebenarnya tidak berada di atas sunnah...” (al-Humaidi, Ushulus Sunnah, no. 3. Fawwaz Ahmad Zamarli, ‘Aqaa’id A’immatis Salaf, m/s. 153-154 – Daar al-Kitab al-‘Arabi, Cet. 1, Beirut)

Seluruh ahli sunnah wal-jama’ah menegaskan agar para sahabat dihormati dan dicintai. Ini antaranya disebutkan oleh imam Abu Ja’far ath-Thahawi rahimahullah (Wafat: 321H):

وَنُبْغِضُ مَنْ يُبْغِضُهُمْ، وَبِغَيْرِ الْخَيْرِ يَذْكُرُهُمْ. وَلَا نَذْكُرُهُمْ إِلَّا بِخَيْرٍ. وَحُبُّهُمْ دِينٌ وَإِيمَانٌ وَإِحْسَانٌ، وَبُغْضُهُمْ كُفْرٌ وَنِفَاقٌ وَطُغْيَانٌ

“Ahli Sunnah wal-Jama’ah membenci orang-orang yang membenci para sahabat Nabi dan orang-orang yang memanggil para sahabat Nabi dengan perkataan yang buruk, dan kita tidak memanggil para sahabat Nabi melainkan dengan perkataan yang baik. Mencintai mereka adalah sebahagian dari agama, keimanan, dan ihsan. Manakala membenci mereka adalah sebahagian dari kekufuran, kemunafikan, dan kezaliman.” (Ibnu Abil ‘Izz, Syarah al-‘Aqidah ath-Thahawiyah, m/s. 689 – Mu’assasah ar-Risalah)

Ini bersesuaian sekali dengan peringatan yang disampaikan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

لاَ تَسُبُّوا أَحَدًا مِنْ أَصْحَابِي فَإِنَّ أَحَدَكُمْ لَوْ أَنْفَقَ مِثْلَ أُحُدٍ ذَهَبًا مَا أَدْرَكَ مُدَّ أَحَدِهِمْ وَلَا نَصِيفَهُ

“Janganlah kamu mencela seorang pun dari kalangan sahabatku. Kerana sesungguhnya sekiranya salah seorang di antara kamu menginfaqkan emas sebesar Gunung Uhud sekalipun nescaya ia tidak akan dapat menyamai dengan satu mud yang diinfaqkan oleh para sahabatku, bahkan setengahnya pun tidak akan sama.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 3673. Muslim, Bab: Larangan Mencela Para Sahabat, no. 2541)

Syi'ah Mencerca Sahabat Nabi!

Apa yang ditegaskan oleh al-Qur’an, al-hadis, dan para ulama ahli sunnah wal-jama’ah begitu jauh berbeza dengan apa yang diimani oleh kaum sesat Syi’ah Rafidhah. Di sisi Syi’ah, mencela para sahabat Nabi adalah termasuk sebahagian dari tanda-tanda keimanan.

Ini semua dapat kita lihat berdasarkan nukilan-nukilan penting dari kitab-kitab Syi’ah yang dibongkar oleh para ulama ahli sunnah wal-jama’ah sama ada yang terdahulu atau terkini. Syi’ah tidak pernah berubah bahkan semakin melampau.

Kata Salah seorang tokoh Imam Syi’ah yang tidak asing lagi, iaitu Muhammad Baqir al-Majlisi (Wafat: 1110H). Beliau berkata dalam rangka menjelaskan pegangan (aqidah) mereka terhadap para sahabat Nabi:

وعقيدتنا في التبرؤ: أننا نتبرأ من الأصنام الأربعة: أبي بكر وعمر وعثمان ومعاوية، ومن النساء الأربع: عائشة وحفصة وهند وأم الحكم، ومن جميع أشياعهم وأتباعهم، وأنهم شر خلق الله على وجه الأرض، وأنه لا يتم الإيمان بالله ورسوله والأئمة إلا بالتبرؤ من أعدائهم

“‘Aqidah kami dalam soal berlepas diri adalah: Kami berlepas diri dari empat berhala, iaitu Abu Bakr, ‘Umar, ‘Utsman, dan Mu’awiyah, dan juga dari empat orang wanita, iaitu ‘Aisyah, Hafshah, Hindun, dan Ummul Hakam, serta seluruh penolong dan para pengikut mereka. Sesungguhnya mereka adalah makhluk Allah yang paling buruk di permukaan bumi ini. Dan tidaklah sempurna keimanan kepada Allah, Rasul, dan para imam melainkan setelah berlepas diri dari musuh-musuh mereka.” (al-Majlisi, Haqqul Yaqin, m/s. 519. Kitab asal berbahasa Parsi, dicetak dan diterbitkan di Tehran. Didedahkan oleh Prof. Dr. Ibrahim B. Amir ar-Ruhaili dan Syaikh Muhammad ‘Abdus Sattar at-Tunisiawi)

Kata beliau lagi:

إنَّ أبا بكر وعمر كانا كافرين، الذي يحبهما فهو كافر أيضاً

“Sesungguhnya Abu Bakar dan ‘Umar adalah kafir, orang-orang yang mencintai mereka berdua juga adalah kafir.” (al-Majlisi, Haqqul Yaqin, m/s. 522)

Lebih awal dari itu, Abu Ja’far Muhammad B. Ya’qub al-Kulaini (Wafat: 328H) seorang tokoh terkenal yang dinobatkan sebagai ulama hadis terpercaya kalangan Syi’ah, beliau berkata dalam kitabnya, al-Kaafi:

“Sebaik kewafatan Nabi, seluruh manusia (dari kalangan sahabat Nabi) mereka semua telah murtad kecuali hanya tiga orang, iaitu Miqdaad B. Aswad, Abu Dzar al-Ghifari, dan Salman al-Farisi.” (ar-Raudhah minal Kaafi, 8/245. Dinukil dari kitab Mahdhu al-Ishabah fii Tahrir ‘Aqidah Ahlis Sunnah karya Prof. Dr. Ibrahim B. Amir ar-Ruhaili, m/s. 42)

Perkara ini turut disebutkan oleh tokoh terkemuka Syi’ah yang lain iaitu al-Kisyi dalam kitab beliau, Rijal al-Kisyi m/s. 12-13 sebagaimana dikemukakan oleh Syaikh Dr. Ihsan Ilahi Zhahir rahimahullah dalam asy-Syi’ah was Sunnah.

Al-Kulaini juga turut menukil atas nama ‘Ali b. Abu Thalib radhiyallahu ‘anhu secara dusta dengan mengatakan ‘Ali telah berkata:

“Sesungguhnya para pemimpin sebelumku (Abu Bakr, ‘Umar, dan ‘Utsman) telah melakukan perbuatan-perbuatan yang menentang Rasulullah. Mereka sengaja menentang beliau, membatalkan janji beliau, dan mengubah sunnah beliau.” (ar-Raudhah, m/s. 59 – Diterbitkan di Tehran. Didedahkan oleh Dr. Ihsan Ilahi Zhahir dalam asy-Syi’ah was Sunnah)

Al-Mulla al-Kazhim yang juga tokoh Syi’ah terkenal, beliau membawakan sebuah riwayat dusta yang disandarkan atas nama Zainul Abidin rahimahullah dan nama Allah Subhanahu wa Ta’ala. Kata beliau:

من لعن الجبت والطاغوت ويعنون بهما: أبا بكر وعمر لعنة واحدة كتب الله له سبعين ألف ألف حسنة، ومحا عنه ألف ألف سيئة، ورفع له سبعون ألف ألف درجة، ومن أمسى يلعنهما لعنة واحدة كتب له مثل ذلك

“Sesiapa yang melaknat al-Jibt (Abu Bakr) dan Thaghut (‘Umar) satu kali maka Allah akan berikan kepadanya 70 ribu kebaikan, akan menghapuskan darinya ribuan kejahatan (dosa), dan akan mengangkat darjatnya sebanyak 70 ribu darjat. Dan sesiapa yang melaknat mereka berdua satu kali di waktu petang hari, maka Allah akan berikan kepadanya ganjaran yang sama dengannya.”

Kemudian beliau juga menyebutkan:

من لعنهما لعنة واحدة في كل غداة لم يكتب عليه ذنب في ذلك اليوم حتى يمسي، ومن أمسى لعنهما لعنة واحدة لم يكتب عليه ذنب في ليلة حتى يصبح

“Sesiapa yang melaknat mereka berdua (Abu Bakr dan ‘Umar) satu kali di waktu pagi maka dosanya tidak akan dicatat sehingga petang hari. Dan sesiapa yang melaknat mereka berdua (Abu Bakr dan ‘Umar) satu kali di waktu petang maka dosanya tidak akan dicatat sehingga keesokan paginya.” (Mulla Kazhim, Ajma’ al-Fadhaih, m/s. 513. Lihat: Ihsan Ilahi Zhahir, asy-Syi’ah wa Ahlul Bait, m/s. 157 – Idarah Turjuman as-Sunnah. Ibrahim ar-Ruhaili, Mahdhu al-Ishabah fii Tahrir ‘Aqidah Ahlis Sunnah, m/s. 44 - Daar al-Imam Ahmad)

Syaikh Prof. Dr. Ibrahim B. Amir ar-Ruhaili hafizahullah mengulas perkara ini dengan katanya:

وقد بلغ من حقد هؤلاء الرافضة على الصحابة وشدة حنقهم عليهم أنهم يتقربون إلى الله بلعنهم، بل لهم دعاوى في فضل ذلك ومبالغات تفوق الوصف

“Kebencian Syi’ah rafidhah dan kemurkaan mereka terhadap para sahabat sungguh teramat-amat melampau. Sampai mereka menjadikannya sebagai sebahagian dari bentuk-bentuk taqarrub (pendekatan diri) kepada Allah dengan melaknat para sahabat. Malah mereka memiliki dakwaan yang berlebihan tentang keutamaan perbuatan mereka tersebut.” (Ibrahim ar-Ruhaili, Mahdhu al-Ishabah fii Tahrir ‘Aqidah Ahlis Sunnah, m/s. 44 – Daar al-Imam Ahmad)

Inilah bentuk-bentuk kebencian dan permusuhan Syi’ah terhadap Islam. Mereka menjadikan perbuatan laknat ke atas para sahabat Nabi yang mulia sebagai zikir harian mereka. Sampai dalam solat-solat mereka pun para sahabat nabi habis dilaknat oleh mereka! Manakala isteri-isteri Nabi pula dizikirkan sebagai pelacur. Di antara kitab-kitab mereka yang menyentuh kehormatan isteri-isteri Nabi adalah seperti al-Ihtijaj karya ath-Thibrisi, Ikhtiyar Marifat ar-Rijal oleh ath-Thusi, Bihar al-Anwar oleh Al-Majlisi, dan beberapa lagi selainnya.

Mereka antaranya mengemukakan isteri-isteri Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam adalah golongan pelacur dan penzina terutamanya ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha. (al-Ihtijaj karya ath-Thibrisi, m/s. 2 – Terbitan Tehran. Didedahkan oleh Syaikh Dr. Ihsan Ilahi Zhahir dalam asy-Syi’ah was Sunnah)

Semoga Allah memberi balasan buruk atas keceluparan dan kekejian mereka.

Kemudian kita lihat pula pendirian dan ‘aqidah tokoh Syi’ah yang banyak menjadi rujukan dan pujaan pada zaman ini, iaitu Sayyed Ruhullah Musavi Khomeini atau lebih dikenali sebagai Khomeini (Wafat: 1989M). Beliau ditokohkan bukan oleh golongan Syi’ah semata-mata, tetapi juga oleh kebanyakan dari kalangan aktivis pergerakan Islam yang jahil.

Ramai yang tidak tahu betapa jelasnya permusuhan Khomeini terhadap para sahabat Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam terutama kepada Abu Bakar, ‘Umar, ‘Utsman dan Mu’awiyah radhiyallahu ‘anhum. Kata Khomeini:

بعد رحلة الرّسول الأكرم صلّى الله عليه وآله وسلّم لم يسمح المعاندون وبنو أمية لعنهم الله باستقرار الحكومة الإسلامية بولاية علي بن أبي طالب عليه السلام. لم يسمحوا بتحقق الحكومة التي كانت مرضية عند الله تعالى وعند الرّسول الأكرم صلّى الله عليه وآله وسلّم وفي النتيجة بَدَّلوا أساس الحكومة

“Setelah kewafatan Rasul yang mulia Shallallahu ‘alaihi wa Alihi wa Sallam dari kalangan penentang (iaitu para sahabat) dan Bani Umayyah, semoga laknat Allah atas mereka. Mereka tidak membenarkan berdirinya kerajaan Islam di bawah pemerintahan ‘Ali B. Abi Thalib ‘alaihis Salam. Mereka tidak membenarkan terlaksananya kerajaan yang diredhai Allah dan Rasul yang mulia Shallallahu ‘alaihi wa Alihi wa Sallam dan natijahnya mereka pun mengubah asas kerajaan (pemerintahan).” (Khomeini, al-Hukumah al-Islamiyah, m/s. 60)

Beliau juga turut mencerca sahabat Nabi, Mu’awiyah radhiyallahu ‘anhu sebagai pemerintah yang zalim:

وهكذا تكون حكومة العدل الإسلامية، فهي ليست كتلك الحكومات التي تسلب الشعب الأمن، وتجعل النّاس يرتجفون في بيوتهم خوفاً من مفاجآتها وأعمالها. كما كان الأمر في حكومة معاوية وأمثالها من الحكومات، حيث سلب النّاس الأمن

“Dan demikianlah kerajaan Islam yang adil, maka ia tidak sama dengan kerajaan-kerajaan yang mencabut keamanan rakyat dan menjadikan mereka takut berada dalam rumah mereka sendiri dari serangan pegawai-pegawai kerajaan seperti kerajaan Mu’awiyah dan yang seumpamanya dari kerajaan-kerajaan yang menghilangkan keamanan rakyat.” (Khomeini, al-Hukumah al-Islamiyah, m/s. 60)

Syaikh Prof. Dr. Ibrahim B. Amir ar-Ruhaili hafizahullah menyentuh tentang sikap kaum Syi’ah ini dengan katanya:

وللرافضة في الطعن في أصحاب النبي أقوالٌ كثيرةٌ ومجازفاتٌ عظيمةٌ لا يعرفها إلا من اطلع على كتبهم، وقد ذكرت طائفةٌ منها في كتاب الانتصار للصحب والآل

“Perkataan kaum Syi’ah Rafidhah dalam bab mencela para sahabat Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam terlalu banyak dan kedustaan mereka sangat besar. Perkara tersebut tidak akan diketahui melainkan bagi orang-orang yang membaca kitab-kitab mereka, dan aku telah sebutkan sedikit dari perkataan mereka dalam kitab al-Intishaar li ash-Shahbi wal Aal.” (Ibrahim ar-Ruhaili, Mahdhu al-Ishabah fii Tahrir ‘Aqidah Ahlis Sunnah, m/s. 44 – Daar al-Imam Ahmad)

Apa yang dilakukan oleh tokoh-tokoh Syi’ah ini antaranya adalah dalam rangka mengajak manusia membenci sumber utama Islam, iaitu al-Qur’an dan as-Sunnah. Apabila para sahabat Nabi berjaya mereka doktrinkan sebagai kafir dan munafiq, nescaya lenyaplah apa yang mereka bawa kepada kita hari ini berupa al-Qur’an dan as-Sunnah.

Sikap sebenar Syi’ah ini sukar dikesan oleh orang awam yang tidak memiliki maklumat yang tepat tentang Syi’ah. Ini kerana Syi’ah mengamalkan sikap taqiyah (berpura-pura). Mereka juga turut terkenal berdusta atas nama Allah, Rasulullah, dan Ahlul Bait.

Tokoh mereka al-Kulaini mengatakan, “Taqiyah (kepura-puraan) adalah agamaku dan agama nenek moyangku. Sesiapa yang tidak betaqiyah, ia tidak memiliki iman.” (al-Kafi minal Ushul, bab Taqiyah, 2/219. Didedahkan oleh Dr. Ihsan Ilahi Zhahir dalam asy-Syi’ah was Sunnah)

Demikianlah apa yang diungkapkan oleh kaum Syi’ah dalam hati-hati dan aqidah mereka yang sebenar berkaitan sahabat-sahabat Nabi. Sedangkan para sahabat Nabi yang mereka cela dan cerca itu sebahagian besarnya telah dipuji Allah dalam al-Qur’an, bahkan disebutkan secara jelas oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dengan janji Syurga.

Berikut kata Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

أبُو بَكْرٍ فِي الْجَنَّةِ، وَعُمَرُ فِي الْجَنَّةِ، وَعُثْمَانُ فِي الْجَنَّةِ، وَعَلِيٌّ فِي الْجَنَّةِ، وَطَلْحَةُ في الْجَنَّةِ، وَالزُّبَيْرُ في الْجَنَّةِ، وعَبْدُ الرَّحْمَانِ بْنُ عَوْفٍ في الْجَنَةِ، وَسَعْدُ بْنُ أبي وَقَّاصٍ فِي الْجَنَّةِ، وَسَعِيدُ بْنُ زَيْدٍ بْنِ عَمْرٍ فِي الْجَنَّةِ، وأبو عُبَيْدَةَ بْنُ الْجَرَّاحِ فِيَ الْجَنَّةِ

“Abu Bakar dalam Syurga, ‘Umar dalam Syurga, ‘Utsman dalam Syurga, ‘Ali dalam Syurga, Thalhah dalam Syurga, al-Zubair dalam Syurga, ‘Abdul Rahman B ‘Auf dalam Syurga, Sa’ad B. Abi Waqqash dalam Syurga, Sa’id B. Zaid dalam Syurga, Abu ‘Ubaidah al-Jarah dalam Syurga.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi, no. 3747. Dinilai sahih oleh al-Albani)

Sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam kepada Mu’awiyah radhiyallahu ‘anhu pula:

اللَّهُمَّ اجْعَلْهُ هَادِيًا مَهْدِيًّا وَاهْدِ بِهِ

“Ya Allah, jadikanlah dia (Mu’awiyah) sebagai orang yang membimbing kepada kebenaran, diberi bimbingan ke arah kebenaran, dan jadikanlah dia sebagai penyebab hidayah.” (Hadis Riwayat at-Tarmizi, no. 3842)

Kata Imam adz-Dzahabi rahimahullah (Wafat: 748H), “Mu’awiyah termasuk kelompok raja terbaik.” (Siyar A’lam an-Nubala’, 3/159)

Karya Bongkar Syi'ah

Untuk melihat lebih banyak pendedahan tentang sikap keji Syi’ah rafidhah terhadap para sahabat Nabi ini, para pembaca boleh merujuk antaranya hasil kajian milik Syaikh Dr. Ihsan Ilahi Zhahir rahimahullah. Dr. Ihsan Ilahi Zhahir adalah di antara tokoh ahli sunnah pada zaman kita ini yang begitu banyak mengkaji tentang firqah-firqah sesat dari kelompok tarekat sufi tasawuf dan Syi’ah.

Beliau terbunuh akibat cedera parah dalam satu siri serangan bom oleh sekumpulan Syi’ah di Lahore Pakistan. Beliau meninggal dunia pada usia 42 tahun sebaik sampai di Riyard untuk rawatan pada tahun 1407H (1987M) akibat serangan tersebut.

Kitab-kitab beliau berkaitan Syi’ah antaranya boleh ditemui dengan judul asy-Syi’ah wal Qur’an, asy-Syi’ah was Sunnah, Baina asy-Syi’ah wa Ahlus Sunnah, dan asy-Syi’ah wa Ahlul Bait. Manakala karya-karya lainnya juga teramat banyak dalam menjawab fitnah-fitnah Syi’ah ini. Antaranya termasuk Minhajus Sunnah an-Nabawiyah karya Ibnu Taimiyyah (Wafat: 728H), al-Bidayah wan-Nihayah karya Ibnu Katsir (Wafat: 774H), dan al-‘Awashim Minal Qowashim karya al-Qadhi Abu Bakr Ibnul ‘Arabi (Wafat: 543H).

Di samping itu, bukalah sama kitab-kitab para ulama yang menjelaskan biografi dan sirah kehidupan para sahabat radhiyallahu ‘anhum yang sahih secara umum.

Dengan itu semua, pasti kita akan mengerti dan jelas kenapa para ulama ahli sunnah wal-jama’ah semenjak dahulu lagi begitu keras sikap mereka terhadap Syi’ah rafidhah ini.

Namun kita amat dukacita apabila ada di kalangan tokoh-tokoh aktivis pergerakan Islam di negara kita hari ini tanpa rasa sangsi dan bersalah mengangkat tokoh-tokoh Syi’ah seperti Hasan Nasrullah, Muqtadar as-Sadr, Rafsanjani, Khattami, dan Khomeini sebagai idola. Ini termasuk sikap dayus lagi tidak bertanggungjawab. Tidak sensitif terhadap prinsip-prinsip agama yang benar.

Islam mengajak kita memuliakan para sahabat dan menjauhi tokoh-tokoh yang mencela mereka, tetapi sebaliknya ada pula yang mengajak masyarakat memuliakan golongan yang memusuhi para sahabat dan mendiamkan kejahatan Syi’ah rafidhah ini. Laa hawla wala quwwata illa billah...

Hati-hati Dengan Mereka!

Antara yang paling terkehadapan dalam memartabatkan nama Khomeini di Malaysia adalah Mat Sabu, Timbalan Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

Beliau dilaporkan oleh media Syi’ah di Malaysia sebagai berkata, “Pemikiran Imam Khomeini adalah jalan terbaik menghadapi kuasa angkuh dunia.” (abna.co, Ahlul Bait News Agency)

Dari sini sahaja kita dapat melihat betapa beliau mengkagumi tokoh syi’ah tersebut dengan memanggilnya sebagai “imam”.

Mat Sabu juga turut membawa dan mempopularkan ideologi revolusi (pemberontakan) ajaran Khomeini yang pernah mengakibatkan ratusan nyawa terkorban di Iran sekitar tahun 1970an. Selain itu, beliau juga mengakui terdapat ahli-ahli PAS mengikuti kursus-kursus khas di Iran. Ini beliau nyatakan melalui satu pembentangan kertas kerja di Germany. Kata Mat Sabu:

“Khomeini’s movement under the banner of defending the oppressed (mustadhafin) and facing the oppressors (mustakbirin) drew my attention as well as my friends in PAS Youth in the early 1980s. The Islamic revolution in Iran was the focus of our attention – we studied it, followed events in the Islamic republic and increased our awareness of the movement brought about by the revolution.” (Website beliau, mohamadsabu.com)

“The influence of Imam Khomeini’s thoughts and the movement in Iran was also felt amongst the youth in PAS. A small number of PAS Youth members became ardent followers of Imam Khomeini’s message. A few of them attended courses held in Iran in order to understand the uniqueness and success of the Islamic movement there. These courses had nothing to do with weapons training as some may have thought, but simply about learning about repeating the success of the Islamic movement and how it could get so close to the people in Iran.” (Website beliau, mohamadsabu.com)

Dalam rujukan yang sama, beliau turut membela kebiadaban kaum Syi’ah yang telah dijelaskan oleh para ulama di Timur Tengah dengan katanya:

“My view is that this propaganda of the Shiite threat is merely created to save the thrones of the rulers in the Arab countries.”

Ini hanyalah sekelumit nukilan dan bukti sebagai peringatan. Selain apa yang dikemukakan di sini, masih banyak lagi bukti-bukti lain yang menunjukkan tokoh-tokoh di dalam PAS ini yang bersungguh-sungguh berbaik-baik dengan tokoh-tokoh sesat Syi’ah rafidhah ini.

Syaikh al-Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah (Wafat: 728) pernah mengatakan, “Sesiapa yang selalu berprasangka baik terhadap ahli bid’ah dan mengaku belum mengetahui keadaan mereka, kenalkanlah ahli bid’ah tersebut padanya. Maka sekiranya dia telah mengenalnya tetapi tidak menampakkan penolakkan terhadap mereka, gabungkanlah ia bersama-sama mereka dan anggaplah ia dari kalangan mereka juga.” (Ibnu Taimiyyah, Majmu’ al-Fatawa, 2/133)

Tahdzir dan Peringatan

Imam Malik rahimahullah (Wafat: 179H) pernah ditanya tentang Syi’ah Rafidhah, maka beliau pun berkata:

لا تكلمهم ولا ترو عنهم فإنهم يكذبون

“Janganlah kamu bercakap dengan mereka dan jangan kamu meriwayatkan hadis daripada mereka kerana mereka adalah pendusta.” (Ibnu Taimiyyah, Minhajus Sunnah, 1/26)

Imam Fudhail B. ‘Iyadh rahimahullah (Wafat: 187H) berkata:

صَاحِبُ بِدْعَةٍ لَا تَأْمَنْهُ عَلَى دِينِكَ، وَلَا تُشَاوِرْهُ فِي أَمْرِكَ، وَلَا تَجْلِسْ إِلَيْهِ، وَمَنْ جَلَسَ إِلَى صَاحِبِ بِدْعَةٍ، أَوْرَثَهُ اللَّهُ الْعَمَى. يَعْنِي فِي قَلْبِهِ

“Jangan kamu beri kepercayaan kepada ahli bid’ah dalam urusan agamamu, jangan kamu bermesyuarat dengannya dalam urusanmu, dan jangan kamu duduk-duduk dengannya. Sesiapa yang duduk dengan ahli bid'ah, Allah akan mewariskan baginya kebutaan. Iaitu (kebutaan) di hatinya.” (al-Laalikaa’i, Syarah Ushul I’tiqad Ahlus Sunnah wal-Jama’ah, 1/138, no. 264)

Wallahu a’lam.

9 comments:

zaireey said...

.Blogwalking here www.zairedin.com

todsshoesstores said...

Platform sneakers are back for you! Enrich your appearance with the north face shoessporty platform sneaker. Its thick layered sole, stylish stitching and elastic gore offers you snug fit as well as incredible comfort.Moncler Shoes
You can use volatile platform sneakers both for fashion and relaxation. Suede and molded rubber toe cap of dance sneaker render you smooth feel for various foot movements.the north face Colorful stitching and traction rubber outsole provide you grip and support to dance on all floors. Retro lace up and padded foot bed give you pretty appeal as well as cushioning comfort.

Portugal Lux said...

Good afternoon.

If you like handmade shoes Portuguese take this opportunity to invite you to visit my blog.

Greetings

Thank you for your attention.

Portugal Lux

qifei2012 said...

In relation to extravagance items, pretty much 80 % of persons discuss Chanel, that is seen as a symbol with luxury. The actual page T can be double-crossed the level. Chanel could possibly be the initially high-class brand that's been approved everywhere. It's not just the developer, but additionally an active manner. The particular Two times Chemical has become the self-importance in the world of fashion, is the fact what a female wants to have seriously
Portefeuilles Louis Vuitton. Chanel has been founded simply by Gabrielle Chanel within 1913 throughout France
Portefeuilles Chanel Soldes. Though your lover still left us for years, his or her vintage layouts are definitely the designer in the fashion world Sac Louis Vuitton Soldes. Chanel range of products including garments, diamond jewelry, add-ons, beauty products along with colognes
Chaussure Chanel. They are all famous, primarily clothes as well as scents.
Sac Louis Vuitton

prog muten said...

nak kongsi sikit, jemput tengok blog saya,thankz
http://tester-kesuburan-pregnancy-murah.blogspot.com/

Anak Timur said...

syiah sgt bahaya...
http://jomvitamin.com

Anak Timur said...

jom singgah...set ibu menyusu untuk kesihatan anak2 anak..
http://jomvitamin.com/v1/set-penyusuan-3m-shaklee-baik-untuk-ibu-ibu-yang-sedang-menyusukan-anak/

Anak Timur said...

syiah sgt bahaya...
http://jomvitamin.com

nfendy said...

Mcm biasa, bab Akidah Syiah takde org nk bagi pendapat, sokong2 gitu aje la... tapi kalu bab suruhan mentaati pemerintah yg sesuai dgn sunnah bukan main ramai alim ulamak internet bagi fatwa...