__________________________________________________________________________________

| Nawawi | Aqeedah | Fiqh | Anti Syirik | Galeri Buku | Galeri MP3 | U-VideOo |
__________________________________________________________________________________

Monday, June 18, 2007

Tajuk 008 - Persoalan Adab Melawat Kubur & Fenomena Kuburiyun (Pemuja Kubur)

Persoalan Adab Melawat Kubur & Fenomena Kuburiyun (Pemuja Kubur)

Kalimah Arab “Kuburi” قُبُرِيٌّ yang dinasabkan kepada kubur, ia boleh diertikan kepada maksud: “Sesuatu amalan atau kepercayaan yang membawa kepada pemujaan, pensucian (mentaqdis), memuliakan dan mencintai roh orang yang telah mati atau mayat di dalam kubur dengan cara yang ghalu (keterlaluan) yang bertentangan dengan syara (menyalahi sunnah)”. Atau bertawasul dengan cara: “Menyeru, meminta dan memohon (berdoa) kepada orang yang telah mati” sehingga membawa kepada syirik besar (menyekutukan Allah Azza wa-Jalla dengan makhlukNya).

Ada beberapa kebiasaan atau amalan mungkar yang boleh membawa kepada perbuatan atau kepercayaan kuburi, antaranya ialah dengan cara:

1 - Membina masjid di atas tanah perkuburan atau mengebumikan mayat di masjid.

2 - Bersolat di kubur atau di masjid yang ada kubur sama ada di dalam, di luar atau di persekitarannya.

3 - Bersolat menghadap kubur.

4 - Meminta (menyeru) atau berdoa kepada orang mati (mayat) di dalam kubur.

Risalah ini disusun secara soal-jawab, kesemua soalan diambil dari pertanyaan para pelajar yang mengikuti pengajian atau kuliah-kuliah yang telah penulis adakan, sama ada di Singapura atau di Malaysia.

SOALAN (1):

Bolehkah membina masjid di atas perkuburan, bersolat di perkuburan (kawasan kubur), di masjid atau di surau yang di dalam atau di persekitarannya terdapat kubur, sama ada kubur wali, keramat, orang soleh atau orang yang disucikan?

JAWAPAN (1):

Mendirikan masjid di perkuburan (di atas tanah perkuburan) atau yang berhampiran dengan kubur adalah haram hukumnya sebagaimana yang telah disepakati oleh para ulama (Lihat: تحذير الساجد من اتخاذ القبور مساجد Hlm. 64. dan 185. Nasruddin al-Albani.). Fatwa para ulama tentang persoalan ini berdasarkan sabda Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam:

“Dari Anas radhiallahu ‘anhu berkata: Rasulullah telah memakruhkan membina masjid di antara kuburan”. H/R Ibn Abi Syaibah 2/185. Perawinya (rijalnya) thiqah termasuk perawi (rijal) Bukhari dan Muslim. Diriwayatkan oleh Abu Bakar bin al-Athram sebagaimana di (فتح البارى) dari Ibn Rejab 1/81/65 dari al-Kawakib.

“Dari Ibrahim an-Nakhi radhiallahu ‘anhu berkata: Sesungguhnya Nabi menegah orang yang mendirikan masjid di atas perkuburan”. Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah 4/134 dengan sanadnya yang sahih.

“Qaul Syafie rahimahullah: Aku memakruhkan membina masjid di atas kubur. Dalam ungkapan Imam Syafie yang lalu ialah makruh yang bermakna haram, kerana itulah makna yang dimaksudkan oleh syara dalam penggunaan (istilah yang dikehendaki oleh) al-Quran. Tidak syak lagi bahawa Syafie terkesan dengan uslub al-Quran dengan kesan yang mendalam. Sebagaimana yang telah difirmankan oleh Allah Ta’ala: (Menjadikan kamu benci ( كَرَّهَ ) kekafiran, kefasikan dan kedurhakaan). Al-Hujurat, 49:7) Yang mana semuanya ini (kekafiran, kefasikan dan kedurhakaan) telah diharamkan oleh al-Quran”. (Lihat: (تحذير الساجد اتخاذ القبور مساجد) hlm.51-52. Nasruddin al-Albani.)

“Semuanya itu adalah kejahatan amat dibenci/diharamkan (مَكْرُوْهًا) di sisi Tuhanmu”. (Al-Isra, 17:38.)

Maka maksud dibenci (makruh) di dalam dua ayat ini (menurut Imam Syafie) ialah (الكراهة التحريمية) iaitu makruh yang dimaksudkan haram (diharamkan).

Bersolat di kuburan atau di masjid yang ada kubur (tidak kira siapa mayat di dalam kubur tersebut) sama ada kubur itu di dalam masjid, di luar, di persekitaran, di kawasan, di sebelah hadapan, di sebelah belakang, disebelah kanan, di sebelah kiri, di masjid besar, di masjid kecil, di masjid lama, masjid baru atau di surau, maka bersolat di temapt-tempat seperti yang dinyatakan adalah dilaknat dan haram hukumnya. Lebih-lebih lagi jika benar-benar menghadap kubur atau perkuburan. Pengharaman ini berdasarkan hadis-hadis sahih:

“Dari Abu Marsad al-Ghanawi radhiallahu ‘anhu berkata: Aku pernah mendengar Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda: Janganlah kamu solat menghadap ke kubur dan janganlah kamu duduk di atasnya”. H/R Muslim, 3/62. Abu Daud. Ahmad, Nasaii dan Turmizi.

“Bersabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam: Janganlah kamu bersolat menghadap kubur, dan janganlah kamu bersolat di atas kubur”. Diriwayatkan oleh at-Tabrani dalam (المعجم الكبير) 3/145. Al-Muqaddisi dalam (المختار). Menurut al-Albani: Hadis ini sahih. (Lihat (تحذير الساجد) hlm. 31)

Al-Manawi rahimahullah berkata tentang hadis di atas ini di dalam (فيض القدير):

“(Menjadikan masjid itu kubur) iaitu dengan menjadikan kubur di sebelah kiblat (menghadap kubur semasa solat)”. (Lihat (تحذير الساجد) hlm. 31)

Al-Allamah Qadi al-Baidhawi rahimahullah telah berfatwa tentang kuburi:

“Adalah orang-orang Yahudi sujud kepada kubur para nabi mereka yang bertujuan untuk membesarkan (memuliakan) para nabi mereka. Dijadikan kubur-kubur tersebut di sebelah kiblat dengan cara menghadapkan solat mereka ke kubur yang akhirnya kubur tersebut menjadi berhala. Oleh kerana itu, mereka dilaknat oleh Allah. Maka ditegah orang-orang Islam dari melakukan seperti yang mereka (Yahudi) lakukan”. (Lihat (تحذير الساجد) hlm. 31)

“Dari Sa’id al-Khudri berkata: Telah bersabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam: Bumi ini keseluruhannya tempat bersujud kecuali kubur dan tandas (jamban)”. H/R Abu Daud (492). Darimi 1/322. Ibn Majah (745). Ahmad, Turmizi, Hakim dan Ibn Hibban.

“Dari Abdullah bin Masoud ia berkata: Aku telah mendengar Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda: Sesungguhnya sekeji-keji manusia ialah orang yang menemui kejadian kiamat sedangkan mereka masih hidup dan orang yang menjadikan kubur sebagai masjid”. Hadis sahih riwayat Ahmad, Ibnu Khuzaimah, Ibnu Hibban, Ibnu Abi Syaibah, Tabrani di dalam Mu’jam Kabir, Abu Nuim dan Abu Ya’la.

“Dari ‘Aisyah ia berkata: Sesungguhnya Ummu Habibah dan Ummu Salamah pernah menerangkan kepada Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam tentang gereja yang mereka lihat di negeri Habsyah yang di dalamnya terdapat gambar-gambar (patung-patung). Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda: Sesungguhnya mereka itu apabila ada di kalangan mereka orang soleh yang mati, mereka membina masjid di kuburannya lalu mereka buat patung di dalamnya, Mereka itulah sekeji-keji makhluk di sisi Allah pada Hari Kiamat”. H/R Bukhari 1/111, 112. Muslim, 2/66, 67. Ahmad, 6/51. Ibn Abi Syaibah, 4/140. Baihaqi, 4/51 dan an-Nasaii.

Berkata al-Hafiz Ibnu Rejab rahimahullah dalam (فتح البارى):

“Hadis di atas ini dalil yang menunjukkan tentang haramnya membina masjid di atas kubur orang-orang soleh dan meletak gambar di dalamnya sebagaimana yang dilakukan oleh Nasara”. (Lihat: (تحذير الساجد) hlm. 17. al-Albani.)

“Dari Anas radhiallahu ‘anhu berkata: Sesungguhnya Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam melarang mendirikan solat di antara kubur-kubur”. (Menurut Imam Haitami bahawa para rawinya adalah perawi-perawi yang sahih. Lihat: Majmu az-Zawaid. Juz. 2. Hlm. 27.) Hadis sahih riwayat al-Bazzar.

“Bersabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam: Allah melaknat Yahudi dan Nasrani yang telah menjadikan kubur-kubur Nabi mereka sebagai masjid-masjid”. H/R Bukhari, 2/106. Muslim, 2/67. Ahmad, 6/80, 121, 255.

Dalam hadis sahih di atas, dengan jelas Allah Subhanahu wa-Ta’ala melaknat Yahudi dan Nasrani kerana menjadikan kubur-kubur para Nabi mereka sebagai masjid. Dengan ini dapat difahami, jika orang-orang Yahudi dan Nasrani menjadikan kubur Nabi sebagai masjid dilaknat, maka orang-orang Islam yang menjadikan kubur para nabi dan kubur orang-orang soleh mereka sebagai masjid dengan cara solat dan berdoa di kubur yang telah dijadikan tempat bersolat (sebagai masjid), maka cara beribadah seperti ini jelas mengikut sunnah Yahudi bukan mengikut sunnah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam, tentunya sesiapa yang meniru sunnah Yahudi akan menerima laknat yang sama sebagaimana yang ditimpakan kepada Yahudi.

Melakukan perbuatan ibadah (seperti yang telah diterangkan di atas) di dalam masjid yang sudah jelas dilarang melakukan ibadah di dalamnya kerana tertanam sebuah atau beberapa buah kubur, maka melakukan perbuatan seumpama ini amat bertentangan dengan firman Allah:

“Sesungguhnya masjid-masjid itu milik Allah, oleh kerana itu janganlah kamu sekutukan doa kamu kepada Allah dengan yang lain”.

“Telah bersabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam: Laknat Allah ke atas Yahudi dan Nasrani yang telah menjadikan kubur-kubur Nabi mereka sebagai masjid-masjid (tempat beribadah mereka). (Berkata ‘Aisyah) mereka (ketua-ketua agama) menakut-nakutkan umatnya seperti apa yang mereka (Yahudi dan Nasrani) lakukan”. H/R Bukhari 1/112. Muslim 2/67. Ahmad 1/218, 6/34, 229 dan 275. Darimi 1/327. Baihaqi 4/80. Dan an-Nasaii.

“Telah bersabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam: Semoga Allah membinasakan Yahudi dan Nasrani yang telah menjadikan kubur para Nabi mereka sebagai masjid-masjid”. H/R Bukhari, 1/112,113. Muslim, 11/67. Ahmad, 11/283, 366, 453 dan 518. Abu Daud (3227) dan Baihaqi.

Orang-orang beriman juga dilarang dari bersolat berhampiran dengan kubur sebagaimana larangan ‘Umar bin al-Khattab radhiallahu ‘anhu:

“Dari Anas radhiallahu ‘anhu berkata: Aku pernah mahu mengerjakan solat berhampiran kubur, apabila ‘Umar bin al-Khattab melihatku maka beliau berkata: Kubur! Kubur! Aku melihat ke langit kerana aku menyangka beliau berkata: Bulan, bulan!”. H/R Abul Hasan dalam (جزء فيه مجالس من امالي ابي الحين القزويني) 1/3 dengan sanad yang sahih. Dita’liq oleh Imam al-Bukhari dalam Fathul Bari 1/437. Dan terdapat penyambungannya oleh Abdul Razak dalam (مصنفه) 1/404/1581. Dengan tambahan:

“Berkata ‘Umar (kepada Anas): Yang aku katakan kubur, janganlah engkau bersolat menghampirinya (atau menghadapnya)”. (Menurut Imam Haitami bahawa para rawinya adalah perawi-perawi yang sahih. Lihat: Majmu az-Zawaid. Juz. 2. Hlm. 27.)

Pembatalan Anas radhiallahu ‘anhu untuk bersolat di tepi kubur menunjukkan bahawa telah diharamkan bersolat di kubur, di tepi kubur dan berhampiran dengan kubur atau perkuburan.

Melalui hadis-hadis sahih di atas, para ulama terutama dari kalangan ulama yang bermazhab Syafie sebagaimana yang telah dijelaskan dalam kitab (التهذيب) dan dalam syarahnya(المجموع) , mereka tidak berselisih (tidak khilaf) tentang haramnya menjadikan kuburan sebagai masjid, ini amat jelas akan haramnya perbuatan tersebut kerana terbukti dilaknat oleh Allah para pelakunya. (Lihat: (تحذير الساجد) hlm. 51. al-Albani.)

Maka dengan menjadikan kubur sebagai masjid atau yang dikebumikan mayat di dalam atau di kawasannya yang telah ditentukan, diperuntukkan dan dikhususkan untuk wakaf masjid, maka dengan demikian jelaslah bahawa perbuatan tersebut haram hukumnya.

Orang-orang yang beriman kepada al-Quran akan patuh kepada perintah Allah yang mengharamkan solat di kuburan, di masjid yang ada kubur atau di masjid yang disatukan dengan perkuburan. Pastinya orang-orang yang beriman akan sentiasa mentaati larangan NabiNya tentang kuburi kerana baginda telah mengharamkan sesuatu perkara sebagaimana yang telah diharamkan oleh Allah:

“Sesungguhnya tidaklah ada apa yang diharamkan oleh Rasulullah kecuali telah diharamkan sebagaimana yang diharamkan oleh Allah”.

SOALAN (2):

Bagaimana dan apakah hukumnya bersolat di Masjid Nabawi di Madinah yang sentiasa dipenuhi oleh jamaah yang berbagai taraf keilmuannya? Kerana dengan jelas terdapat kubur Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam dan kubur-kubur sahabatnya yang mulia Abu Bakar dan ‘Umar radhiallahu ‘anhum di dalam masjid tersebut?

JAWAPAN (2):

Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah dalam kitabnya (الجواب الباهر فى زور المقابر) beliau menegaskan:

“Bersolat di dalam masjid yang dibina di atas kubur ditegah secara mutlak, berlainan pula dengan masjid Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam. Maka sesungguhnya bersolat di masjid Nabawi diganda dengan pahala seribu solat. Masjid Nabawi dibina atas dasar ketakwaan. Pengharamannya sejak baginda masih hidup dan semasa masih hidupnya para Khulafa ar-Rasyidin. Pada masa mereka semua (sahabat masih hidup) tidak pernah dimasukkan bilik (rumah/kubur) baginda ke dalam masjid, tetapi (kubur baginda dan kubur para sahabat) dimasukkan ke dalam masjid selepas zaman sahabat (sudah berlalu)”. Lihat: تحذير الساجد Hlm. 200-201.

Seterusnya Ibnu Taimiyah rahimahullah menjelaskan lagi:

“Fadhilat (keutamaan/kelebihan) Masjid Nabi sudah ada sebelum dimasukkan bilik (rumah) baginda ke dalam masjid. Antara fadhilat masjid Nabi dimana Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam membinanya sendiri bersama orang-orang yang beriman, mereka bersolat semata-mata kerana Allah, mereka benar-benar dikenali sebagai orang-orang yang beriman sehinggalah ke hari kiamat. Dan telah bersabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam: Bersolat dimasjidku ini lebih baik dari seribu salat di masjid yang lain kecuali Masjid al-Haram”.

Menurut penjelasan Syeikh Nasruddin al-Albani rahimahumullah:

“Hukum pengharaman bersolat di masjid yang terdapat kubur di dalamnya termasuklah semua masjid, sama ada yang besar, yang kecil, yang lama atau yang baru kerana keumuman dalilnya. Tidak ada pengecualian apa pun masjid jika ada kubur di dalamnya kecuali Masjid Nabi yang mulia di Madinah, kerana keutamaan (fadhilat) yang khusus yang tidak terdapat di masjid-masjid yang lain. Hal ini berdasarkan sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam:

“Bersabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam: Satu solat di masjiku ini seribu kali lebih baik dari bersolat di masjid lain kecuali masjid al-Haram kerana di masjid al-Haram lebih afdhal”. H/R Bukhari, Muslim dan selain mereka, hadis dari Abu Hurairah. Dan sabdanya lagi:

“Di antara rumahku dan mimbarku ialah raudhah dari riadhul jannah”. H/R Bukhari dan Muslim.

Dan banyak lagi hadis-hadis yang memperkatakan tentang kelebihan (fadhilat) masjid Nabi di Madinah. Jika diharamkan bersolat di masjid Nabi di Madinah, ini bermakna menyamakan masjid tersebut dengan masjid-masjid yang lain. Masjid Nabi dikecualikan kerana adanya keutamaan (fadhilat) pada masjid tersebut. Masjid Nabi dibina atas ketakwaan. Pengharamannya sejak Nabi masih hidup dan semasa Khulafa ar-Rasyidin. Adapun kubur Nabi dimasukkan ke dalam kawasan masjid setelah zaman ketiadaan para sahabat radhiallahu ‘anhum. Lihat: تحذير الساجد من اتخاذ القبور مساجد Hlm. 200-201

Dan antara fadhilat-fadhilat masjid Nabawi ini ialah ia dibina dengan ketakwaan kepada Allah, demi kerana diri baginda dan memberi ganjaran yang besar kepada orang-orang beriman yang bersolat di dalamnya sehinggalah ke Hari Kiamat. Fadhilat ini di kuatkan lagi oleh baginda dengan sabdanya:

“Tidak digalakkan bersangatan untuk berpergian (untuk memperolehi barakah) kecuali kepada tiga masjid: Masjid al-Haram (di Mekah), Masjid al-Aqsa dan masjidku ini di Madinah)”. Hadis Mutafaq ‘alaihi dari Abi Hurairah. Lihat: احكام الجنائز وبدعها Hlm. 224-225. Nasruddin al-Albani.

“Hanya diperbolehkan untuk safar (kesuatu tempat yang tujuannya untuk mencari barkah dan keredhaan Allah) hanya pada tiga masjid: Masjid Ka’abah, Masjidku dan Masjid Eliya”. Hadis sahih riwayat Muslim, 4/126.

Berkata al-Hafiz Muhammad bin Abdul Hadi rahimahullah:

“Adapun mula dimasukkan bilik (rumah) Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam ke dalam masjid ialah pada pemerintahan al-Walid bin Abdul Malik, iaitu selepas kewafatan semua sahabat yang berada di Madinah. Yang terakhir wafat dari kalangan sahabat ialah Jabir bin Abdullah di masa pemerintahan Abdul Malik pada tahun 87H dan Walid dilantik sebagai Khalifah pada tahun 86H dan beliau wafat pada tahun96H. Diketika itulah dibina semula masjid dan dimasukkan bilik (rumah) Nabi ke dalam masjid.”. Lihat: الصارم المنكي hlm. 136-137.

Berkata Syeikh Nasruddin al-Albani rahimahullah:

“Tidak sewajarnya bagai setiap Muslim setelah mengetahui hakikat (tidak boleh bersolat di masjid yang ada kubur atau di masjid yang dibina di atas kubur), lalu ia berhujah dengan apa yang berlaku setelah berlalunya zaman sahabat, kerana cara ini bertentangan dengan hadis yang sahih dan dengan apa yang telah difahami oleh para sahabat serta para pembesar sahabat. Ia bertentangan juga dengan apa yang telah dilakukan oleh ‘Umar dan ‘Uthman semasa meluaskan masjid Nabawi, tetapi mereka tidak memasukkan kubur ke dalam masjid. Oleh itu kami menyalahkan apa yang telah dilakukan oleh al-Walid bin Abdul Malik (semoga Allah mengampuninya) walaupun masjid di ketika itu sangat perlu diluaskan, tetapi mengapa ia tidak meluaskan masjid ke arah yang lain tanpa memasukkan bilik (rumah/kubur) yang mulia Nabi ke dalam masjid”. Lihat: تحذير الساجد hlm. 93.

SOALAN (3):

Mengapakah diharamkan bersolat di masjid yang di dalamnya ada kubur, di masjid yang dibina di atas perkuburan, di masjid yang tanahnya bersambung dengan kubur dan berhampiran dengan kubur?

JAWAPAN (3):

Berkata Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah rahimahullah sebagai jawapan kepada soalan di atas:

“Menjadikan suatu tempat sebagai masjid ialah bertujuan untuk mendirikan sembahyang lima waktu dan mengerjakan ibadah-ibadah yang lain di dalamnya,. Itulah tujuan sebenar didirikan sesebuah masjid. Jika matlamat pembinaan sesebuah masjid hanyalah untuk didirikan ibadah dan berdoa kepada Allah semata bukan kepada para makhluk, maka diharamkan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam menjadikan kubur-kubur sebagai masjid, kerana fungsi masjid untuk solat di dalamnya sebagaimana tujuan semua masjid dibina. Namun, jika mendirikan masjid di kubur maka ia akan mudah membuka ruang untuk mengubah maksud ibadah seseorang itu daripada beribadah kepada Allah akan tercampur dengan beribadah kepada orang di dalam kubur (mayat), iaitu dengan cara berdoa kepada kubur dan berdoa di sisi kubur. Maka Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam telah melarang menjadikan tempat seperti ini untuk beribadah kepada Allah supaya dapat menutup ruang daripada menyekutukan Allah dengan mayat di dalam kubur”. Lihat: القاعدة الجليلة Hlm. 22. Ibnu Taimiyah.

Antara sebab ditegah menjadikan kubur sebagai masjid atau masjid dijadikan kubur (tempat mengkebumikan mayat) ialah menutup ruang dari memuliakan dan memuja mayat dengan cara yang terkeluar dari batas yang dibolehkan oleh syara, sebagaimana perbuatan orang-orang Yahudi. Perkara ini telah diterangkan juga oleh al-Allamah Ibn al-Malik rahimahullah dari kalangan ulama Hanafiyah:

“Adapun diharamkan mendirikan masjdi di kuburan ialah kerana bersolat di masjid yang ada kubur sama seperti mengikut sunnah dari sunnah-sunnah Yahudi”. Lihat: تحذير الساجد hlm. 182. Nasruddin al-Albani.

Menurut hukum lahir dari mazhab Hambali, bersolat di masjid yang ada kubur atau di masjid yang didirikan di perkuburan maka tidak sah (batal) solat tersebut (Ibid. hlm. 185. Lihat: شرح المنتهى 1/303.) dan wajib diulang semula.

SOALAN (4):

Bagaimanakah hukumnya orang yang berhari raya di kubur atau mengkhususkan hari raya pertama atau kedua atau ketiga untuk pergi ke kubur sehingga dihari-hari perayaan tersebut kuburan orang-orang Islam dipenuhi oleh para penziarah kubur?

JAWAPAN (4):

Mengkhususkan sesuatu waktu, hari atau musim tertentu untuk berziarah atau berkumpul beramai-ramai di kubur seperti pada hari raya pertama, kedua atau ketiga, sehingga berhari raya di kubur atau membaca al-Quran dan duduk berdoa di kubur serta makan dan minum di kubur, maka perbuatan ini adalah bertentangan dengan sunnah. Amalan seperti ini tidak pernah disuruh atau dilakukan oleh Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam, tidak berlaku dizaman para sahabat, para tabiin dan para salaf as-soleh. Nabi melarang umat menjadikan kuburan untuk berhari raya walaupun di kubur baginda:

“Dari Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu berkata: Bersabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam: Janganlah kamu jadikan kuburku tempat berhari raya”. Hadis sahih riwayat Ahmad 2/367. Abu Daud (2042).

Jika ditegah berhari raya di kubur Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam, tentunya di kubur-kubur yang lain lebih utama lagi larangannya. Namun, pada setiap tahun terutamanya dihari raya ‘Idil Fitri terlalu ramai penziarah kubur berhari raya di kubur dengan membawa keluarganya, makanan atau minuman, berpakaian indah, bersedekah, makan bermai-ramai dan membahagi-bahagikan makanan di kuburan sedangkan perbuatan ini telah ditegah oleh Imam as-Syafie rahimahullah, yang mana beliau pernah berwasiat sebagaimana yang tercatit di dalam kitab (اعانة الطالبين) Juz. 2. Hlm. 146:

“Dibenci membawa makanan ke kubur”.

Imam as-Syafie rahimahullah juga menegah dari mengulangi ratapan, sebagaimana yang berlaku di kuburan disetiap hari raya apabila pelawat kubur melihat ramai yang menangis maka yang lain akan terikut-ikut meratapi kematian dan menimbulkan (mengulangi) kesedihan baru. Imam Syafie menegaskan:

“Aku memakruhkan maktam, iaitu berkumpul-kumpul untuk si Mati walaupun di situ tidak ada tangisan, kerana maktam akan menimbulkan (memperbaharui) kesedihan yang baru”. Lihat: Al-Umm, juz, 1 hlm. 248.

Jika berkumpul bukan untuk tangisan dilarang, maka bagaimana kalau sudah pasti akan berlaku tangisan semasa berkumpul di kuburan dihari lebaran tentunya perkara ini haram hukumnya. Malah yang paling ketara haramnya ialah berikhtilat (bergaul bebas) lelaki dengan perempuan yang bukan mahramnya dan melanggar kesopanan menziarahi kubur secara sunnah.

SOALAN (6):

Bolehkah mendoakan orang Islam yang telah mati di kuburnya (di kuburan)?

JAWAPAN (6):

Berperantaraan dengan cara berdoa (menyeru atau meminta) kepada si Mati hukumnya haram malah membawa kepada kesyirikan. Tetapi mendoakan orang-orang Islam (orang Islam sahaja) yang telah mati diperkuburan dibolehkan berdasarkan dalil-dalil syara. Dibolehkan juga mengangkat kedua tangan diwaktu berdoa sebagaimana terdapat dalam hadis riwayat Muslim, tetapi bukanlah dengan mereka-reka (mencipta) cara-cara yang tidak pernah dicontohkan atau yang bertentangan dengan syara. Adapun dalil-dalil suruhan agar mendoakan orang yang telah mati ialah:
وَالَّذِيْنَ جَاءُ وْا مِنْ بَعْدِهِمْ يَقُوْلُوْنَ رَبَّنَا اغْفِرْلَنَا وَلاِخْوَانِنَا الَّذِيْنَ سَبَقُوْنَا بِالاِيْمَانِ.
“Dan orang-orang yang datang sesudah mereka itu akan berkata: Wahai Tuhan kami! Ampunilah kami dan saudara-saudara kami yang telah beriman sebelum kami”. AL-HASYR, 59:10
رَبَّنَا اغْفِرْلِيْ وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِيْنَ يَوْمَ يَقُوْمُ الْحِسَابِ.
“Ya Tuhan kami! Berilah keampunan kepadaku dan kedua ibu bapaku dan sekalian orang-orang mukmin pada hari terjadinya hisab (Hari Kiamat).” IBRAHIM, 14:41.

“Dan minta ampunlah bagi dosa-dosa dan bagi orang-orang yang beriman”. MUHAMMAD, 47:19

“Dari ‘Aisyah radhiallahu ‘anha: Sesungguhnya Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam pernah keluar ke (kuburan) Baqi’ mendoakan mereka. Maka ‘Aisyah bertanya tentang itu? Baginda menjawab: Sesungguhnya aku diperintahkan agar mendoakan mereka”. Hadis sahih riwayat Ahmad, 6/252.

“Dari ‘Aisyah: Setelah baginda sampai di Baqi’ lalu baginda berdiri dan lama berdirinya, kemudian baginda mengangkat kedua tangannya (berulang sampai) tiga kali. (Selesai berdoa) baginda pulang, baginda bersabda: Maka sesungguhnya Jibril telah datang kepadaku, lalu dia berkata: Sesungguhnya Rabbmu telah memerintahkan engkau pergi ke penghuni (kuburan) Baqi’ agar engkau memohonkan keampunan untuk mereka”. Hadis sahih riwayat Muslim, 3/64-65.

SOALAN (7):

Apa hukumnya menghias kubur, membuat batas (kepungan), meninggikan tanah di atas kubur, memayungkan, mendirikan kubbah dan mengecat (mengapur) kubur?

JAWAPAN (7):

Telah diharamkan oleh syara menghias, membuat batas, meninggikan tanah di atas kubur, memayungkan, mendirikan kubbah, bangunan, menulis apa pun tulisan dan mengecat kubur berdasarkan hujjah syara dan fatwa Imam as-Syafie rahimahullah:

“Dari Abdullah bin Hasanah berkata: Aku lihat ‘Uthman bin ‘Affan radhiallahu ‘anhu memerintahkan agar diratakan kubur. Maka dikatakan kepadanya: Ini kubur Ummu ‘Amr binti ‘Uthman, maka beliau menyuruh agar diratakan (tanah di atas kubur tersebut)”. Diriwayatkan oleh Ibn Abi Syaibah dalam (المصنف) 4/138. Abu Zar’ah dalam (تاريخه) 2/66, 2/121. Sanadnya sahih dari Abdullah. Dan telah diwaridkan oleh Ibn Abi Hatim dalam (الجرح والتعديل) - 3/81-82

“Dari Abi al-Hayyah al-Asadi berkata: Berkata kepadaku Ali bin Abi Talib: Tidakkah aku mengutus engkau atas apa yang telah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam mengutusku? Janganlah dibiarkan satupun berhala kecuali engkau menghancurkannya dan tidak dibiarkan sebuah kuburpun kecuali engkau meratakannya”. H/R Muslim, 3/61. Abu Daud, 3/70. an-Nasaii, 1/285. at-Turmizi, 2/153-154. al-Bahaiqi, 4/3. at-Tayalasi, 1/168. Dan Ahmad (741, 154). Ada beberapa jalan pada Ibnu Abi Syaibah, 4/139 dan at-Tabrani dalam (الصغير) hlm. 29.

Berkata al-Allama Imam al-Baghawi rahimahullah:

“Dilarang (diharamkan) dari meletak payung di atas kubur, kerana ‘Umar radhiallahu ‘anhu setelah melihat payung di atas kubur maka beliau menyuruh agar dibuang payung tersebut dan berkata: Biarkanlah amalnya yang memayungkannya”.

Al-Hafiz Ibnu Hajar rahimahullah (beliau salah seorang dari kalangan ulama besarn as-Syafieyah) menjelaskan dalam kitabnya (المنهاج) bahawa Imam as-Syafie telah berfatwa:

“Dibenci mengapur, membaca dan menulis tulisan di atas kubur, samada menulis namanya di atas batu di sebelah kepalanya atau di tempat-tempat yang lainnya”.

Semua fatwa-fatwa tentang larangan tersebut antaranya berdasarkan hadis sahih:

“Dari Jabir radhiallahu ‘anhu berkata: Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam telah melarang kuburan dikapur, diduduki atasnya, didirikan bangunan di atasnya, ditambah atau ditulis di atasnya”.

Setelah berpandukan hujah-hujah syara dan fatwa Imam as-Syafie, maka Ibnu Hajar rahimahullah menjelaskan:

“Dilaknat pembuatnya (orang yang bersolat, membina masjid atau binaan di kuburan), wajib bersegera merobohkannya dan merobohkan kubbah yang dibina di atas kubur kerana membinanya lebih bahaya dari masjid ad-Dirar yang dibina kerana bermaksiat terhadap Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam yang mana baginda telah melarang dari melakukan yang sedemikian”.

Imam an-Nawawi rahimahullah dari kalangan ulama besar as-Syafieyah juga telah melanjutkan fatwa Imam as-Syafie yang berkaitan dengan hal ini:

“Tidak dibolehkan bertawaf di kubur Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam, dilarang meletakkan perut dan dada ke dinding kubur. Abu ‘Ubaidillah al-Hulaimi dan selainnya yang mana mereka semua menjelaskan fatwa Imam as-Syafie: Dibenci menyapu dengan tangan dan mengucup kubur Nabi”.

Jika di kuburan Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam dilarang dari bertawaf, merapatkan perut dan dada maka di kubur-kubur lain tentu diharamkan juga.

SOALAN (8):

Adakah menyeru, memohon, meminta pertolongan atau berdoa kepada roh orang-orang yang sudah mati sama ada roh para rasul, para nabi, orang-orang soleh atau orang yang dikeramatkan termasuk dalam perbuatan kuburi (penyembah atau pemuja kubur)?

JAWAPAN (8):

Menyeru, memohon dan meminta pertolongan dalam urusan yang ghaib adalah dinamakan berdoa. Doa dimaksudkan dalam syara ialah menghadapkan diri (hati) semata-mata kepada Allah, khusyu’, tawadhu’, tunduk, taat, merendahkan diri dan menghinakan diri kepada Allah Subhanahu wa-Ta’ala. Oleh yang demikian tidak boleh berdoa kepada roh orang yang sudah mati tidak kira siapa orangnya, maka perbuatan tersebut termasuk dalam perbuatan (pekerjaan) kuburi. Perbuatan seperti ini amat keji kerana membawa kepada perbuatan yang menyebabkan berlakunya kesyirikan.

Meminta-minta (berdoa) dalam urusan ghaibiyah hanyalah kepada Allah Ta’ala sahaja sebagai Ilah (Tuhan) tempat diseru dan yang berhak diseru. Memohon, meminta pertolongan atau berdoa itu dianggap sebagai ibadah, maka ibadah hanya dibolehkan kepada Allah Ta’ala semata. Menyeru selain Allah adalah perbuatan syirik besar. Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam telah bersabda:

“Dari Nu’man bin Basyir radhiallahu ‘anhu, dari Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam baginda bersabda: Doa itu adalah ibadah. Kemudian baginda membaca ayat (dan telah berfirman Rabbmu, berdoalah kepadaKu, nescaya akan Aku perkenankan)”. Hadis sahih riwayat Abu Daud (1479). Ahmad 4/267, 271, 276, 277. Bukhari dalam Adab al-Mufrad (714). Hakim, 1/491. Ibnu Majah (3828). Ibnu Hibban (2397). Dan Turmizi.

“Maka janganlah kamu menyeru tuhan yang lain di samping Allah, yang menyebabkan kamu termasuk orang-orang yang diazab”. ASY-SYUARA, 26:213.

“Janganlah kamu seru di samping Allah tuhan apapun yang lain, tiada Tuhan yang berhak diibadahi selain Dia”. AL-QASAS, 28:88.

Oleh yang demikian sesiapa yang menyeru, memohon, mengharap, meminta pertolongan atau berwasilah kepada roh orang yang telah mati sama adan roh para rasul, nabi, wali atau orang yang disucikan, maka perbuatan tersebut adalah perbuatan “kuburi”, keji, dosa besar, dilaknat dan syirik.

Semoga Allah Azza wa-Jalla sentaisa memelihara dan menyelamatkan akidah orang-orang yang beriman, yang beristiqamah, yang bertakwa, yang rajin membaca kitab-kitab agama dan yang tekun menyibukkan dirinya dengan mempelajari ilmu-ilmu agama terutamnya ilmu akidah. Amin Ya Rabbal ‘Alamin!

HARAM (DITEGAH) WANITA MENZIARAHI KUBUR.

Tidak ramai dari kita yang menyedari bahawa syara’ telah mengharamkan para wanita dari menziarahi kubur. Antara dalil-dalil pengharaman tersebut ialah sabda Nabi Muhammad s.a.w:

"Dari Ibn Abbas r.a berkata: Rasulullah s.a.w melaknat perempuan perempuan yang menziarahi kubur. Orang orang yang menjadikan perkuburan sebagai masjid. Dan orang orang yang menyalakan lampu lampu (di kuburan). H/R ahl as sunan.

Pada hadith dari Ibn Abbas di atas ini terdapat di dalam isnadnya seorang yang bernama Abu Saleh maula Ummu Hani. Beliau telah dilemahkan oleh sebahagian ulama dan dipercayai pula oleh sebahagian yang lain. Berkata Ali bin al-Madani dari Yahya al-Qattan:

"Tidak terdapat walau seorang dari sahabat-sahabat kami menolak Abu Saleh maula Ummu Hani, dan aku tidak mendengar seseorangpun mengatakan sesuatu tentang beliau, kalangan kami tidak meninggalkannya dan tidak menambah nambah tentangnya begitu juga dengan Abdullah bin Osman. Berkata Ibn Mo'en: Tiada kecacatan padanya, oleh sebab demikian hadith ini diterima oleh Ibn as-Sakan bab hadith sahihnya. Dianggap hasan sahih oleh at Turmizi dan Ibn Qayyim di dalam Tahzib Sunan, begitu juga dengan Abi Daud dalam bab "(كراهية اتخاذ القبور مساجد)

Di dalam sahih Abi Hatim dari Abi Saleh dari Ibn Abbas beliau berkata:

"Rasulullah s.a.w melaknat perempuan perempuan menziarahi kubur, orang orang yang mengambil perkuburan sebagai masjid dan orang orang yang menyalakan lampu-lampu di atasnya".

Berkata Abu Hatim: "Abu Saleh ini nama sebenarnya ialah Mahran, dia seorang yang dipercayai ,(ثقة)begitu juga Abu al Hajaj al-Mazi berpendapat seperti itu juga".

Hadith yang kedua pula dikeluarkan oleh at Turmizi dari jalan Omar bin Abi Salmah dari bapanya dan dari Abu Hurairah:

"Rasulullah s.a.w melaknat perempuan perempuan menziarahi kubur"

Beliau berkata: hadith ini sahih. Dan dikeluarkan juga oleh Ibn Habban pada kitab sahihnya. At Turmizi memperkatakan hadith ini dalam bab:

Dari hadith Aisyah dari Hasan bin Thabit ini pula ia diriwayatkan oleh Ahmad di dalam Musnadnya.

Berkata Ibn Taimiyah :

"Hadith ini diriwayatkan dari Rasulullah melalui dua jalan" :

Pertama: Dari Abu Hurairah r.a iaitu sabda Nabi s.a.w :

"Bahawasanya Rasulullah s.a.w melaknat perempuan perempuan yang menziarahi kubur". H/R Ahmad dan at Turmizi dan disahkannya.

Kedua: Hadith dari Ibn 'Abbas r.a yang mana Nabi bersabda:

"Rasulullah s.a.w melaknat perempuan perempuan penziarah kubur".

Ibn Taimiyah berkata: "Rijal (para perawi) dari yang ini (hadith Abu Hurairah) tidak sama dengan para perawi ini (hadith Ibn 'Abbas). Kedua mereka tidak mengambil perawi antara satu dengan yang lain (kerana mereka mempunyai perawi tersendiri). Dari kedua-dua mereka ini maka pada sanad-sanadnya (perawinya) tidak seorangpun yang didapati tertuduh sebagai pembohong (كذاب).

Maka hujjah (yang jelas) seperti ini tidak boleh diragukan. Ini adalah sebaik-baik hadith hasan mengikut syarat Turmizi. Hadith ini menjadi hasan sahih kerana dilihat dari berbagai-bagai jalan (perawi) dan perawi-perawi itu semua tidak ada yang tertuduh (pembohong), tidak ada yang cacat atau menyalahi syarat sebagai perawi yang tidak dipercayai (ثـقات). Ini membuktikan bahawa hadith ini ma'ruf (diketahui) sebagai hadith sahih. Lihat : فتح المجيد , شرح كتاب التوحيد. Hlm. 251, Abdul Rahmad bin Hassan as-Syikh.

Punca Perselisihan

Punca yang menjadi pertelingkahan (perselisihan pendapat) dalam hal ini ialah berpunca dari hadith Aisyah, iaitu:

"Dari Abdullah bin Abi Mulaikah: Sesungguhnya Aisyah r.a menemuiku pada suatu hari di perkuburan, maka aku berkata kepadanya: Wahai Ummul Mukminin! Bukankah Rasulullah s.a.w melarang dari menziarahi kubur? Beliau berkata: Ya! Ditegah dari menziarahi kubur tetapi disuruh menziarahi kemudiannya". H/R Turmizi.

Hadith Aisyah di atas tidak dapat dijadikan hujjah kerana tegahan dalam hadith ini berbentuk umum. Larangan yang berbentuk umum seperti ini ditolak setelah ada larang yang berbentuk khusus malah larangan umum tidak boleh memansuhkan hadith yang khusus. Begitu juga hadith di atas tidak boleh dijadikan hujjah sehingga membolehkan perempuan menziarahi kubur yang mana dihadith sahih yang sudah jelas di atas adalah jelas bahawa Rasulullah telah melaknat setiap perempuan yang menziahari kubur.

Walaupun ada penjelasan yang mengatakan "Sudah diizinkan menziarahinya" sebenarnya ia berupa sunnah yang hanya ditetapkan untuk lelaki sahaja. Jika sekiranya kita mempercayai bahawa perempuan disuruh (disunnahkan) menziarahi kubur, tentunya isteri-isteri sahabat yang lain telah melakukannya sebagaimana orang-orang lelaki (para sahabat) menziarahi kubur, dan tentulah sahabat sebagaimana yang terdapat di dalam hadith ini tidak akan mengatakan kepada Aisyah "Bukankah Rasulullah s.a.w melarang menziarahi kubur?" Sedangkan (kata-kata) laknat adalah jelas merupakan pengharaman.

Ucapan yang berupa "Maka ziarahilah" bukanlah berbentuk pemansuhan untuk orang orang perempuan (ia tidak dapat memansuhkan hukum dalam hadith ini). Maka sesuatu yang berbentuk am sedangkan selepas itu telah diketahui terdapat tegahan yang khas, maka yang am tidak boleh memansuhkan yang khas. Itulah penjelasan dari jumhur ulama sebagaimana penjelasan dalam Mazhab Imam Syafei dan Imam Ahmad jika mengambil riwayat yang masyhur dari kedua mereka.

Jelasnya sabda Nabi: "Dilaknat para wanita yang menziarahi kubur" adalah merupakan hadith selepas hadith yang mengizinkan seseorang menziarahi kubur yang mana sebelumnya terlarang dari menziahari kubur untuk semua. Lihat : فتح المجيد , شرح كتاب التوحيد. Hlm. 251, Abdul Rahmad bin Hassan as-Syaikh.

Hadith yang paling sahih adalah hadith yang mengharamkan (menegah/melaknat) para wanita dari menziarahi kubur. Ini kerana disebabkan terdapat beberapa perkara diantaranya ialah:

1 - Perlu diketahui bahawa tidak seorangpun dari al A'immah (الأئــمة) yang empat (Maliki, Hambali, Syafei dan Hanafi) menghukumkan halal perbuatan para wanita menziarahi kubur. Menziarahi kubur tidak pernah dilakukan oleh perempuan-perempuan beriman di zaman Nabi Muhammad s.a.w dan juga tidak pula dilakukan oleh perempuan-perempuan beriman di zaman Khalifa ar Rasyidin.

2 - Sesungguhnya Nabi Muhammad s.a.w mengizinkan menziarahi kubur hanya kepada lelaki sebagaimana di dalam Musnad Ahmad : "Untuk mengingati mati, melunakkan hati dan untuk mengalirkan air mata". Sudah sedia maklum bahawa jika ruang ini dibuka kepada perempuan ia akan memberi peluang kepada mereka untuk bersedih, keciwa (atas kehilangan seseorang yang disayangi) dan memudahkan mereka untuk meraung dan mertatapi kematian orang-orang yang mereka sayangi. Sudah jelas pula bahawa perempuan lebih mudah merasa lemah semangat dan mudah kehilangan kesabaran (mengikut perasaan), sedangkan Nabi Muhammad s.a.w mengharamkan umatnya meratapi atau meraungi orang yang telah mati.

Jelasnya kata-kata Aisyah ini bertentangan dengan hadith yang sahih, maka ia tidak boleh memansuhkan hadith tentang larangan menziarahi kubur. Tambahan pula kata-kata sahabat atau perbuatan mereka tidak boleh dijadikan hujjah jika bertentangan dengan hadith yang sahih. الله اعلم والحمد لله رب العالمين

PENDAPAT NASHIRUDDIN AL-ALBANI DITOLAK

Nasruddin al-Bani dalam bukunya "تحذير الساجد من اتخاذ القبور مساجد" M/S 62-63, menolak hadith Ibn Abbas (beliau berpendapat disunnahkan perempuan menziahari kubur). Beliau mengemukakan pendapat ulama hadith yang melemahkan hadis dari Ibn Abbas di atas, tetapi ia tidak membawakan (tidak menyentuh langsung) hujjah yang mensahihkan hadith tersebut.

Nasruddin al-Albani hanya mengemukakan pertikaian tentang sanad hadith ini yang terdapat di dalamnya Abu Saleh, anehnya beliau yang dianggap sebagai pakar hadis masa kini tidak memberikan nama sebenar Abu Saleh, tidak membawakan (mengemukakan) hujjah-hujjah dari mereka yang menerima Abu Saleh (yang digolongkan) sebagai perawi yang dipercayai sedangkan menurut Abu Hatim bahawa nama sebenar Abu Saleh ialah Mahran, dia seorang yang dipercayai .(ثقة)

Begitu juga Nasruddin al-Albani di dalam penulisannya tentang ziarah kubur (dibuku tersebut) tidak membawakan hadith dari Abu Hurairah yang telah disahihkan oleh ahli hadith sebelum beliau sebagaimana yang telah dijelaskan di atas. Dengan penampilan hujjah Nasruddin al-Bani yang lemah (tidak memberi hujjah yang kukuh) untuk memansuhkan hadith yang mengharamkan perempuan menziarahi kubur maka menziarahi kubur bagi perempuan adalah haram dan hujjah beliau (Nasruddin al-Albani) terpaksa ditolak dan tidak dapat diterima.

No comments: