http://bahaya-syirik.blogspot.com
Sudah ratusan tahun Islam masuk ke Nusantara dan telah dianut oleh jutaan penduduknya, namun persoalan kuburi masih tidak diketahui dan difahami bukan sahaja oleh orang awamnya tetapi termasuk juga orang yang dianggap sebagai ulama. Buktinya jelas di mana terdapat masjid-masjid lama dan baru serta surau-surau yang hingga hari ini masih dipenuhi dengan kuburan, sama ada di dalam, di luar, di persekitaran atau di tanah wakaf masjid.
Oleh kerana perkara ini berkaitan langsung dengan persoalan akidah dan membabitkan kesyirikan, maka menjadi kewajipan kepada penulis untuk menjelaskan hukum-ahkamnya melalui tulisan ini.
Fenomena syirik yang berpunca dari perbuatan (amalan) kuburi sangat berleluasa di kalangan masyarakat Islam. Ia wajib difahamkan dan diketahui oleh setiap orang Islam agar kesyirikan yang berpunca dari perbuatan kuburi dapat dibenteras dan dihapuskan. Kerana terdapat kekeliruan di dalam pemahaman sebahagian mereka yang tidak dapat membezakan antara bid’ah kuburi dan sunnahnya menziarahi kubur. Buku yang dipenuhi dengan dalil dan hujjah ini akan membantu para pembaca memahami persoalan ini dengan panduan dalil-dalil al-Quran, hadis-hadis sahih, athar sahabat yang sahih serta fatwa-fatwa para ulama muktabar terutamanya fatwa Imam as-Syafie rahimahullah berserta para imam Salaf as-Soleh yang lainnya.
Uthman El-Muhammady Dan Yang Sefahaman Dengannya Menuduh Wahhabi Menolak Amalan Ziarah Kubur
Kenyataan Uthman El-Muhammady (penulis akan menggunakan di tulisan ini dengan panggilan Pak Man pengganti Uthman El-Muhammady) di akhbar Mingguan bahawa Wahhabi “Menolak amalan…. ziarah kubur”. Kenyataan ini atau yang serupa ini boleh mengelirukan orang-orang awam, tuduhan yang liar dan pembohongan atas nama Imam Syafie terhadap seseorang ulama yang belum dia kenali. Kerana sepanjang penelitian penulis terhadap tulisan (kitab-kitab) Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab rahimahullah yang dituduh mencipta dan menyebarkan fahaman Wahhabi, tidak terdapat satupun di dalam kitab-kitab beliau yang mengharamkan amalan ziarah kubur, malah beliau berpegang dengan hadis-hadis sahih yang memerintahkan agar kaum muslimin menziarahi kubur orang-orang Islam. Beliau meyakinkan umat Islam bahawa ziarah kubur orang-orang Islam hukumnya sunnah. Benarnya hakikat dan kenyataan ini berdasarkan hadis-hadis sahih yang terdapat di dalam kitab-kitab beliau yang memperkatakan tentang ziarah kubur. Dan hadisnya ialah:
"Dari Abdullah bin Abi Mulaikah radiallahu ‘anhu: Sesungguhnya ‘Aisyah radiallahu ‘anha menemuiku pada suatu hari di perkuburan, maka aku berkata kepadanya: Wahai Ummul Mukminin, bukankah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam melarang dari menziarahi kubur? Beliau berkata: Ya, dahulu ditegah dari menziarahi kubur tetapi disuruh menziarahi kemudiannya". H/R Turmizi
Pak Man sewajarnya berlaku adil, periksa dan baca dulu semua kitab-kitab tulisan Muhammad bin Abdul Wahhab, kemudian barulah beri komentar atau kenyataan. Kegenjotan Pak Man dalam tuduhannya terhadap golongan yang dituduh sebagai Wahhabi mencetuskan fenomena dan persepsi yang negatif terhadap dirinya sendiri dan terhadap aliran yang dituduh tanpa berasas.
Tidak releven jika Pak Man duduk di takuk kepompong lama tetapi mahu menegur golongan Wahhabi yang diakui oleh beliau sendiri sebagai golongan “berkembang di kalangan cerdik pandai”. Mungkin perkembangan ini menjadi gugatan alirannya yang dipertahankan oleh Pak Man.
Namun wahai Pak Man, apa yang jelas terdapat di dalam tulisan Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab ialah istilah “Kuburi” bukan “Pengharaman Ziarah Kubur”, kerana “Kuburi” bermaksud: “Pemuja, penyembah atau penyeru orang yang di dalam kubur”. “Kuburi” sangat ditentang juga oleh semua para Imam fiqh dan akidah terutamanya para ulama muktabar bermazhab as-Syafieyah serta Imam Syafie rahimahullah. Apakah Imam Syafie juga seorang Wahhabi kerana mempunyai keyakinan yang serupa dengan Muhammad bin Abdul Wahhab dalam persoalan “Kuburi”? Kerana setiap orang yang mempunyai amalan dan keyakinan yang sama dengan Muhammad bin Abdul Wahhab dianggap Wahhabi oleh Pak Man dan yang segolongan dengannya..
Walau bagaimanapun tidak mungkin Imam Syafie dianggap sebagai Wahhabi kerana Imam as-Syafie terlebih dahulu dilahirkan sebelum Muhammad bin Abdul Wahhab, tetapi tak tahulah bagaimana pandangan Pak Man dan orang-orang yang sealiran dengannya tentang perkara ini.
Secara ilmiyah, tuduhan Pak Man sama sekali tidak mengikut disiplin ilmu (tidak ilmiyah) dan tidak benar terhadap Wahhabi, malah ianya merupakan satu fitnah. Menimbulkan isu seperti inilah sebenarnya yang boleh memecah-belahkan ummah dan perpaduan. Isu yang boleh mengocak ketenangan dan kebebasan masyarakat untuk memilih yang hak dan menolak yang batil.
Menziarahi kubur dan amalan kuburi amat berbeza, kerana kuburi bukan bermaksud melarang ziarah kubur, tetapi kuburi ialah amalan yang telah diharamkan oleh al-Quran, al-Hadis dan athar para ulama Salaf as-Soleh terutamanya Imam as-Syafie. Mungkin, kerana kurang fahamnya Pak Man dan masyarakat kita tentang kuburi, maka disangkanya istilah ini membawa maksud melarang menziarahi kubur, sedangkan apabila membincangkan kuburi Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab menyeru agar meninggalkan amalan-amalan bid’ah dan syirik yang berkaitan dengan kubur dan orang mati.
Pak Man perlu tahu bahawa amalan kuburi telah diharamkan oleh Imam as-Syafie rahimahullah dan para ulama muktabar as-Syafieyah.
Apa Itu Kuburi?
Kalimah “Kuburi” قُبُرِيٌّ ialah setiap perbuatan bid’ah yang dinasabkan kepada kubur, ia bermaksud:
“Sesuatu amalan atau kepercayaan yang membawa kepada pemujaan, pensucian (mentaqdis), memuliakan dan mencintai kubur serta roh orang mati (mayat). Atau ghulu (keterlaluan) sehingga bertawassul dengan cara menyeru, meminta dan memohon (berdoa) kepada orang yang telah mati di kubur-kubur mereka”.
Perbuatan seumpama ini dinamakan “kuburi” dan ia adalah merupakan perbuatan bid’ah, haram dan syirik besar yang wajib ditinggalkan dan dihapuskan oleh para ulama seperti Pak Man dan para alim ulama di Malaysia yang mengaku bermazhab as-Syafie.
Amalan-amalan mungkar yang dianggap amalan “kuburi” dan sepakat diharamkan oleh Imam as-Syafie dan para ulama besar bermazhab as-Syafie:
1 - Membina masjid di tanah perkuburan, mengkebumikan mayat di dalam masjid atau di kawasan tanah masjid.
2 - Solat wajib atau sunnah di kubur atau di masjid yang ada kubur, sama ada di dalam, di luar atau di persekitarannya.
3 - Solat wajib atau sunnah menghadap kubur (kecuali solat jenazah).
4 - Meminta (menyeru), berdoa atau bertawassul kepada orang mati (mayat) di dalam kubur sama ada wali, nabi atau para rasul.
Adapun dalil-dalil pengharaman amalan “kuburi” berdasarkan hujjah-hujjah dari syara dan fatwa para ulama Salaf as-Soleh:
عَنْ اَنَسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : كَانَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَكْرَهُ اَنْ يُبْنَى مَسْجِدَ بَيْنَ الْقُبُوْرِ.
“Dari Anas beliau berkata: Rasulullah telah memakruhkan membina masjid di antara kuburan”.
H/R Ibn Abi Syaibah 2/185. Perawinya thiqah termasuk perawi Bukhari dan Muslim. Diriwayatkan oleh Abu Bakar bin al-Athram juga di (فتح البارى) dari Ibn Rejab 1/81/65 dari al-Kawakib.
عَنْ اِبْرَاهِيْم النَّخْعِي اَنَّهُ يَكْرَهُ اَنْ يَجْعَلَ عَلَى الْقَبْرِ مَسْجِدًا.
قَوْلُ الشَّافِعِي: وَاَكرَهُ اَنْ يبْنَى عَلَى الْقَبْرِمَسْجِدَ ، فِى عِبَارَةِ الشَّافِعِيَّةِ الْمُتَقَدِّمَةِ خَاصَة عَلَى الْكَرَاهَةِ التَّحْرِيْمِيَّةِ ، لاَنَّهُ هُوَ الْمَعْنَى الشَّرْعِيْ الْمَقْصُوْد فِى الاِسْتِعْمَالِ الْقُرْآنِ ، وَلاَشَكَّ اَنَّ الشَّافِعِيْ مُتَاَثِّر بِاُسْلُوْبِ الْقُرْآنِ غَايَةُ التَّاْثِيْر ، فَقَدْ قَالَ تَعَالَى : (وَكَرَّهَ اِلَيْكُمْ الْكُفْرَ وَالْفُسُوْقَ وَالْعِصْيَانَ) وَهَذَا كُلُّهَا مُحَرَّمَات.
“Qaul Syafie: Aku memakruhkan membina masjid di atas kubur. Dalam ungkapan Imam Syafie yang lalu ialah makruh yang haram, kerana itulah makna yang dimaksudkan oleh syara dalam penggunaan al-Quran. Tidak syak lagi bahawa Syafie terkesan dengan uslub al-Quran dengan kesan yang mendalam sebagaimana telah difirmankan oleh Allah Ta’ala: Menjadikan kamu benci كرَّهَ kekafiran, kefasikan dan kedurhakaan. (Al-Hujurat, 49:7) Yang mana semuanya ini telah diharamkan oleh al-Quran”. (Lihat: (تحذير الساجد اتخاذ القبور مساجد) hlm.51-52. Nasruddin al-Albani)
كَقَوْلُهُ تَعَالَى : كُلُّ ذَلِكَ كَانَ سَيِّئُهُ عِنْدَ رَبِّكَ مُكْرُوْهًا.
Solat wajib atau sunnah (kecuali solat mayat/jenazah) di kuburan atau di masjid serta surau yang ada kubur, sama ada di dalam, di luar, di persekitaran, di masjid besar, di masjid kecil, di masjid lama, masjid baru atau di musalla, maka solat di tempat-tempat tersebut haram hukumnya berdasarkan hadis-hadis sahih:
لاَ تُصَلُّوْا اِلَى قُبْرٍ وَلاَ تُصَلُّوْ ا عَلَى قَبْرٍ.
H/R Tabrani dalam (المعجم الكبير) 3/145. Al-Muqaddisi dalam (المختار). Menurut al-Albani: Hadis ini sahih. (Lihat (تحذير الساجد) hlm. 31.)
Al-Manawi rahimahullah berkata tentang hadis ini yang melarang (mengharamkan) solat menghadap kubur atau duduk di atas kubur. Lihat keterangan ini di dalam (فيض القدير):
“Iaitu menjadikan kubur di sebelah kiblat”. (Lihat (تحذير الساجد) hlm. 31.)
Qadi al-Baidhawi rahimahullah berfatwa tentang haramnya amalan kuburi, iaitu antaranya solat menghadap kubur atau menjadikan (menanam) mayat di hadapan masjid atau surau. Beliau berkata:
“Orang-orang Yahudi sujud kepada kubur para nabi mereka bertujuan untuk memuliakannya. Dijadikan kubur-kubur tersebut di sebelah kiblat dengan cara menghadapkan solat mereka ke kubur. Akhirnya kubur tersebut menjadi berhala. Oleh itu, mereka dilaknat oleh Allah. Maka ditegah orang-orang Islam dari melakukan seperti mereka (Yahudi)”. (Lihat (تحذير الساجد) hlm. 31.)
Tetapi masih banyak masjid-masjid di seluruh Malaysia, Singapura dan di negara-negara Islam lain yang di sekeliling dan di arah kiblatnya dipenuhi kuburan. Apakah membiarkan kubur di kawasan masjid tidak diharamkan oleh Imam Syafie?
Bacalah dan fahamilah sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam yang dijadikan hujjah oleh Imam Syafie dalam mengharamkan solat di masjid yang ada kubur atau menanam mayat di kawasan masjid atau di tanah masjid iaitu berdasarkan beberapa hadis sahih:
عَنْ اَبِيْ سَعِيْدِ الْخُدْرِيِّ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : اَلاَرْضُ كُلُّهَا مَسْجِدٌ ، اِلاَّ الْمَقْبَرَة وَالْحَمَّام.
“Dari Sa’id al-Khudri radiallahu ‘anhu: Bersabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam: Bumi ini keseluruhannya tempat bersujud kecuali kubur dan tandas”. H/R Abu Daud (492). Darimi 1/322. Ibn Majah (745). Ahmad, Turmizi, Hakim dan Ibn Hibban. Hadis sahih.
عَنْ عَبْدِ اللهِ بْنِ مَسْعُوْدٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : سَمِعْتُ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُوْلُ : اِنَّ مِنْ شِرَارِ النَّاسِ مَنْ تُدْرِكُهُ السَّاعَةُ وَهُمْ اَحْيَاءُ ، وَمَنْ يَتَّخِذُ الْقُبُوْرَ مَسَاجِدَ.
“Dari Abdullah bin Masoud radiallahu ‘anhu berkata: Aku mendengar Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda: Sesungguhnya sekeji-keji manusia ialah orang yang menemui kejadian kiamat sedangkan mereka masih hidup, seterusnya orang yang menjadikan kubur sebagai masjid”. H/R Ahmad, Ibnu Khuzaimah, Ibnu Hibban, Ibnu Abi Syaibah, Tabrani di dalam Mu’jam Kabir, Abu Nuim dan Abu Ya’la. Hadis sahih.
عنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهَا قَالَتْ : اَنَّ أُمَّ حَبِيْبَةَ وَأُمَّ سَلَمَةَ ذَكَرَتَا كَنِيْسَةً رَاَيْنَهَا بِالْحَبَشَةِ فِيْهَا تَصَاوِيْرُ ، فَذَكَرَتَا ذَلِكَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ : اَنَّ اُوْلَئِكَ اِذَا كَانَ فِيْهِمْ الرَّجُلُ الصَّالِحُ فَمَاتَ بَنُوْا عَلَى قَبْرِهِ مَسْجِدًا ، وَصَوَّرُا فِيْهِ تِلْكَ الصُّوَرَ ، فَاُوْلَئِكَ شِرَارُ الْخَلْقِ عِنْدَ اللهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ.
“Dari ‘Aisyah ia berkata: Sesungguhnya Ummu Habibah dan Ummu Salamah pernah menerangkan kepada Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam tentang gereja yang mereka lihat di negeri Habsyah yang di dalamnya terdapat gambar-gambar (orang yang telah mati). Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda: Sesungguhnya mereka itu apabila ada di kalangan mereka orang soleh yang mati, mereka membina masjid di kuburannya, lalu mereka buat gambar di dalamnya. Mereka itulah sekeji-keji makhluk di sisi Allah pada Hari Kiamat”. (H/R Bukhari 1/111, 112. Muslim, 2/66, 67. Ahmad, 6/51. Ibn Abi Syaibah, 4/140. Baihaqi, 4/51 dan an-Nasaii)
Berkata al-Hafiz Ibnu Rejab rahimahullah yang tercatit di dalam kitab (فتح البارى):
“Hadis ini dalil yang menunjukkan tentang haramnya membina masjid di atas kubur orang-orang soleh dan meletak gambar di dalam masjid sebagaimana yang dilakukan oleh Nasara (terhadap gereja mereka)”. (Lihat: (تحذير الساجد) hlm. 17. Al-Albani.)
عَنْ اَنَسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : اَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى عَنِ الصَّلاَةِ بَيْنَ الْقُبُوْرِ.
“Dari Anas radhiallahu ‘anhu berkata: Sesungguhnya Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam melarang mendirikan solat di antara kubur-kubur”. (Menurut Imam Haitami para rawinya adalah perawi-perawi yang sahih. Lihat: Majmu az-Zawaid juz 2. Hlm. 27.)
Hadis sahih riwayat al-Bazzar.
لَعَنَ اللهُ الْيَهُوْدَ وَالنَّصَارَى اتَّخَذُوْا قُبُوْرَ اَنْبِيَائِهِمْ مَسَاجِدَ.
وَاَنَّ الْمَسَاجِدَ للهِ فَلاَ تَدْعُوْا مَعَ اللهِ اَحَدًا.
“Sesungguhnya masjid-masjid itu milik Allah, maka janganlah kamu sekutukan doa kamu kepada Allah dengan yang lain”.
Melalui hadis-hadis sahih di atas, para ulama muktabar dari kalangan mazhab as-Syafieyah berfatwa sebagaimana terdapat di dalam (التهذيب) dan syarahnya (المجموع), bahawa mereka telah ijmak (sepakat) tentang haramnya menjadikan kuburan sebagai masjid dan jelas haramnya perbuatan tersebut kerana terbukti dilaknat oleh Allah para pelakunya, (Lihat: (تحذير الساجد) hlm. 51. al-Albani) sebagaimana sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam:
لَعْنَةُ اللهِ عَلَى الْيَهُوْدَ والنَّصَارَى اتَّخَذُوْا قُبُوْرَ اَنْبِيَائِهِمْ مَسَاجِدَ يُحَذِّرُ مِثْلَ مَا صَنَعُوْا.
“Laknat Allah ke atas Yahudi dan Nasrani yang telah menjadikan kubur-kubur Nabi mereka sebagai masjid-masjid. (Berkata ‘Aisyah) mereka (ketua-ketua agama) menakut-nakutkan umatnya seperti apa yang mereka (Yahudi dan Nasrani) lakukan”. H/R Bukhari 1/112. Muslim 2/67. Ahmad 1/218, 6/34, 229 dan 275. Darimi 1/327. Baihaqi 4/80. Dan an-Nasaii.
قَاتَلَ اللهُ الْيَهُوْدَ وَالنَّصَارَى اتَّخَذُوْا قُبُوْرَ اَنْبِيَائِهِمْ مَسَاجِدَ.
“Semoga Allah membinasakan Yahudi dan Nasrani yang telah menjadikan kubur para Nabi mereka sebagai masjid-masjid”. ( H/R Bukhari, 1/112,113. Muslim, 11/67. Ahmad, 11/283, 366, 453 dan 518. Abu Daud (3227) dan Baihaqi)
Hanya orang-orang yang benar-benar beriman akan sentiasa mematuhi hadis-hadis di atas ini, mereka akan terus memperjuangkan dan mempertahankan hadis-hadis sahih ini walaupun mereka sedang dituduh sebagai Wahhabi atau dituduh menentang sunnah as-Syafieyah oleh mereka yang tidak tahu siapa dan apa itu Wahhabi dan juga tersalah anggap terhadap Wahhabi.
Bagaimana dengan Pak Man? Pak Man ikut telor mana? Telor Syafieyah atau Pak Man Telor? Memang ada orang yang suka bercakap ikut lenggang kangkong, tetapi jangan sampai ikut lenggang kongkang. Maaf mungkin bahasa penulis agar kasar sebagaimana yang dikatakan oleh Pak Man. Betul kata Dato’ Seri Sahidan Bin Kasim: “Tinggalkan Qunut bukan semestinya Wahhabi”.
Menurut Mazhab As-Syafie
Menurut Mazhab as-Syafie, dilarang (diharamkan) solat berhampiran kubur, termasuk di masjid yang dibina berhampiran dengan kubur, kerana solat di tempat seperti itu tidak ada contohnya dari syara dan bukan amalan Ahli Sunnah wal-Jamaah. Kecuali jika kawasan masjid atau tanah masjid dan tanah perkuburan diasingkan (di zon), sama ada dengan tembok, pagar atau parit. Pengharaman ini berdasarkan athar dari ‘Umar bin al-Khattab radhiallahu ‘anhu:
عَنْ اَنَسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : كُنْتُ اُصَلِّيْ قَرِيْبًا مِنْ قَبْرٍ ، فَرَآنِيْ عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ ، فَقَالَ: اَلْقَبْرُ! اَلْقَبْرُ! . فَرَفَعْتُ بَصَرِيْ اِلَى السَّمَاءِ وَانَا اَحْسَبُهُ يَقُوْلُ : اَلْقَمَرُ ! اَلْقَمَرُ!.
“Dari Anas radhiallahu ‘anhu berkata: Aku pernah mahu mengerjakan solat berhampiran kubur, apabila ‘Umar bin al-Khattab melihatku, maka beliau berkata: Kubur, Kubur! Aku melihat ke langit kerana aku menyangka beliau berkata: Bulan, bulan!”. (H/R Abul Hasan dalam (جزء فيه مجالس من امالي ابي الحين القزويني) 1/3 dengan sanad yang sahih. Dita’liq oleh Imam al-Bukhari dalam Fathul Bari 1/437)
Dan terdapat penyambungannya oleh Abdul Razak dalam (مصنفه) 1/404/1581. Dengan tambahan:
قَالَ عُمَرُ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ : انَّمَا اَقُوْلُ الْقُبُوْر ، لاَ تُصَلِّى اِلَيْهِ.
“Berkata ‘Umar (kepada Anas): Yang aku katakan kubur (bukan bulan), janganlah engkau bersolat menghampiri kubur (atau menghadap kubur)”. (Lihat: (تحذير الساجد) hlm. 17. Al-Albani.)
Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah rahimahullah menjelaskan sebagai jawapan kepada persoalan kuburi yang sangat berleluasa di negara-negara Islam sejak dahulu sehinggalah sekarang iaitu:
“Menjadikan suatu tempat sebagai masjid ialah bertujuan untuk mendirikan sembahyang lima waktu dan mengerjakan ibadah-ibadah yang lain di dalamnya. Itulah tujuan sebenar didirikan sesebuah masjid. Jika matlamat pembinaan sesebuah masjid hanyalah untuk didirikan ibadah dan berdoa kepada Allah semata bukan kepada para makhluk, maka diharamkan oleh Rasulullah menjadikan kubur-kubur sebagai masjid, kerana fungsi masjid untuk solat di dalamnya sebagaimana tujuan semua masjid dibina. Namun, jika mendirikan masjid di kubur maka ia akan mudah membuka ruang untuk mengubah maksud ibadah seseorang itu daripada beribadah kepada Allah akan tercampur dengan beribadah kepada orang di dalam kubur, iaitu dengan cara berdoa (bertawassul) kepada kubur dan berdoa di sisi kubur. Maka Rasulullah telah melarang menjadikan tempat seperti ini untuk beribadah kepada Allah supaya dapat menutup ruang daripada menyekutukan Allah dengan mayat di dalam kubur”. (Lihat: القاعدة الجليلة Hlm. 22. Ibnu Taimiyah.)
Ibn al-Malik rahimahullah menjelaskan tentang haramnya amalan kuburi:
“Diharamkan mendirikan masjdi di kuburan ialah kerana bersolat di masjid yang ada kubur sama seperti mengikut sunnah dari sunnah-sunnah Yahudi”. (Lihat: تحذيرالساجد hlm. 182. Nasruddin al-Albani.)
Menurut mazhab Hambali, bersolat di masjid yang ada kubur atau di masjid yang didirikan di perkuburan, hukumnya tidak sah solat tersebut (Lihat: تحذير الساجد hlm. 182. Nasruddin al-Albani. hlm. 185. Lihat: شرح المنتهى 1/303) dan wajib diulang semula.
Kalau Pak Man meneliti semua kita-kitab empat imam mazhab, pasti ditemui bahawa semua imam-imam yang empat, Syafie, Hambali, Hanafi dan Maliki kesemua mereka bersepakat mengharamkan amalan “kuburi”.
Pendirian tegar Pak Man untuk menghapuskan apa yang dianggap Wahhabi, sewajarnya berlandaskan teras ilmiyah dan kematangan berfikir panjang, terutama setelah beliau bergelar fellow kehormat ……… dan orang yang disegani.
Pak Man perlu tahu, ancaman terhadap amalan yang diatasnamakan sebagai amalan as-Syafieyah di Malaysia bukan datangnya dari Wahhabi atau gerakan Wahhabi, tetapi datangnya dari orang-orang yang mengaku bermazhab as-Syafie kemudian mengatasnamakan sesuatu amalan sebagai amalan as-Syafie sebelum jelas bahawa itu dari Imam as-Syafie. Begitu juga berpunca dari cengkaman kejahilan segelintir orang yang ditokohkan dan diulamakan oleh orang-orang yang berkepentingan atau orang yang tergugat kepentingannya jika amalan yang benar-benar sunnah dihidupkan dan disebarkan oleh golongan yang dilabelkan sebagai Wahhabi, kerana golongan yang dilabelkan sebagai Wahhabi juga tidak secara langsung telah membongkar bid’ah-bid’ah yang dinasabkan kepada Imam Syafie atau diklasifikasikan sebagai amalan mazhab as-Syafie sedangkan pada hakikatnya yang sebenar, itu semua tidak ada kena mengena dengan Imam Syafie atau dengan mazhab as-Syafie. Didapati rata-rata mereka yang menentang golongan yang dituduh Wahhabi mereka yang menuduh sebenarnya tidak tahu tentang Wahhabi, apa itu Wahhabi, siapa dia Wahhabi dan Wahhabiyah. Mungkin dalam kalangan mereka termasuk Pak Man. Maaf kalau penulis salah skip! Tentunya Pak Man seorang yang pemaaf.
Menetapkan Ziarah Kubur Di Hari Raya Amalan Bid’ah Bukan Amalan Ahli Sunnah Wal-Jamaah As-Syafieyah
Mengkhususkan hari-hari tertentu, bulan-bulan tertentu atau musim-musim tertentu untuk menziarahi kubur terutamanya secara beramai-ramai, seperti hari haul atau di hari raya, kemudian duduk membaca al-Quran, bertakbir raya, berzikir kemudian makan di kuburan adalah perbuatan bid’ah bukan sunnah kerana ia bukan amalan Ahli Sunnah wal-Jamaah as-Syafieyah.
Tidak ada dalil yang membolehkan dan tidak pernah disuruh atau dilakukan oleh Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam, para sahabat, para tabiin dan para Salaf as-Soleh perbuatan tersebut. Orang Islam yang melakukannya sewajarnya mendatangkan dalil syarie untuk membuktikan bahawa ia dibolehkan oleh agama agar tidak menjadi amalan yang bid’ah. Nabi melarang berkumpul-kumpul dan berhari raya walaupun di kubur baginda:
عَنْ اَبِيْ هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : لاًَتَتَّخِذُوْا قَبْرِيْ عِيْدًا.
“Dari Abu Hurairah radiallahu ‘anhu berkata: Bersabda sallallahu ‘alaihi wa-sallam: Janganlah kamu jadikan kuburku tempat berhari raya”. (Hadis sahih riwayat Ahmad 2/367. Abu Daud (2042))
Pak Man boleh lihat sendiri pada setiap hari raya, seawal pagi masyarakat Islam telah berkunjung ke kubur-kubur saudara mara mereka. Amalan ini menjadi acara-acara ritual yang bersifat rutin disetiap menjelangnya Syawal.
Sedarkah Pak Man, bahawa Imam Syafie melarang berkumpul-kumpul semula kerana kematian? Larangan ini bukan sahaja terhad di rumah-rumah tetapi juga di masjid-masjid, surau atau di mana sahaja. Masyarakat Islam (Melayu terutamanya) akan menunggu semua anak-cucu dan saudara mara berkumpul di hari raya untuk sama-sama ke kubur. Di perkuburan mereka melakukan semua perkara-perkara yang ditentang oleh Imam Syafie kerana jelas ianya boleh membawa kepada ratapan, tangisan dan mengulangi kesedihan, yang mana semuanya itu merupakan amalan bid’ah yang adakalanya dicampur-baurkan dengan amalan khurafat atau syirik.
Kerancuan Pak Man memahami antara fiqh Syafie dan mazhab as-Syafieyah amat ketara jika benar kenyataan di Mingguan bukan kesilapan pemberita semata. Mudah-mudahan ia kesilapan yang bukan dari Pak Man.
Kegetiran dan ketidak-upayaan Pak Man menghadapi apa yang dituduh sebagai golongan Wahhabi, menjadikan beliau mudah membuat kenyataan bahawa Wahhabi “ekstrem” dan juga membuat fitnah bahawa “Fahaman Wahhabi berjaya menggulingkan kerajaan Uthmaniyah dan wajar menjadi peringatan kepada kerjaan Negara ini”. Kenyataan ini menunjukkan Pak Man sangkap jarang, gelap sejarah Imam Abdul Wahhab, dan belum meneliti sejarah Hijaz secara ilmiyah. Jika sekiranya kenyataannya hanya sekadar pandangan, lebih baik menyekap sahaja pandangannya agar menjadi pencuci mulut dan tidak menjadi pencuci fikiran. Kasihan! kepandiannya bercakap telah membongkar apa yang sebenarnya tersimpan di benak Pak Uthman. Mungkin atau boleh jadi Pak Man ingin menjadi kritikus yang handal sehingga pandai mengkritik Muhammad bin Abdul Wahhab yang mempunyai kriteria ulama dan mujaddid. Maaf!
Syabas kepada Dato’ Seri Sahidan Kasim! Semoga Allah memberkati usahanya, ketika semua menyepi, beliau bangun mempertahankan kebenaran golongan yang dituduh Wahhabi. Walaupun beliau dan negeri Perlis dilabel sebagai Wahhabi, tetapi yang sebenarnya beliau telah mempertahankan Imam Syafie dan Salafi.
Meratap Di Kubur Bukan Amalan Ahli Sunnah Wal-Jamaah Kerana Diharamkan Oleh Imam Syafie
Masyarakat Islam di Malaysia (termasuk di Nusantara) yang dianggap oleh Pak Man mengamalkan amalan Ahli Sunnah wal-Jammah Syafieyah, sebenarnya beramal dengan amalan yang kebanyakannya (bukan semuanya) amat bertentangan dengan amalan dan fatwa Imam Syafie rahimahullah. Mereka menghalalkan bid’ah amalan-amalan yang dibid’ahkan oleh Imam Syafie atas nama atau bersempena nama Imam Syafie. Mereka memandai-mandai memasukkan perbuatan dan amalan-amalan mereka yang bid’ah ke dalam mazhab as-Syafie tanpa ada bukti. Contohnya, antara perkara yang diharamkan oleh Imam Syafie ialah berkumpul-kumpul semula kerana orang mati yang telah dikebumikan, menimbulkan kesedihan yang baru dan ratapan, iaitu seperti apa yang terjadi di seluruh perkuburan orang-orang Islam di Malaysia disetiap hari raya. Imam Syafie sendiri telah menegaskan dengan fatwanya:
“Aku memakruhkan maktam, iaitu berkumpul-kumpul untuk si Mati walaupun tidak ada tangisan, kerana maktam akan menimbulkan kesedihan yang baru”. ( Lihat: Al-Umm, juz, 1 hlm. 248.)
Berkumpul-kumpul beramai-ramai di kuburan di hari raya menurut fatwa Imam Syafie termasuk maktam yang telah diharamkan secara ijmak (Kesepakatan ulama), kerana selain berkumpul-kumpul ada yang menangis dan meratap. Mereka juga melakukan berbagai-bagai bid’ah, kesyirikan dan khurafat di kuburan. Bagaimana pandangan Pak Uthman? Adakah bersama mereka yang mempertahankan Imam Syafie yang dianggap Wahhabi atau bersama orang-orang yang memuja kuburi? Tolonglah berikan kepada kami hujjah-hajjah yang qat’iyah.
Duduk Dan Makan Di Kuburan, Ditentang Oleh Wahhabi Atau Syafie?
Penulis pernah melawat perkuburan Pusara Aman di Singapura. Tujuan penulis adalah ingin tahu bagaimana amalan bid’ah dilakukan di perkuburan dimusim perayaan. Penulis telah melihat beberapa keluarga yang menziarhi kubur keluarganya dihari raya, mereka datang beramai-ramai ke perkuburan sehingga ada yang menaiki lori, bas atau van. Mereka membawa tikar, makanan atau hidangan. Mereka duduk beramai-ramai sambil membaca ayat-ayat al-Quran, bertahlil dan ada sekeluarga yang bertakbir hari raya di samping kubur keluarga mereka. Selesai upacara tersebut, mereka mencari sudut yang lapang, kemudian duduk beramai-ramai sambil membahagi-bahagikan makanan untuk dimakan bersama keluarga di perkuburan. Mereka kelihatan benar-benar merayakan perayaan Hari Raya di perkuburan beramai-ramai bersama sanak saudara dan anggota keluarga. Apakah ini amalan Ahli Sunnah wal-Jamaah mengikut mazhab as-Syafie? Sedangkan perbuatan tersebut telah diharamkan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam dan telah difatwakan tentang haramnya oleh Imam as-Syafie serta para ulama besar yang bermazhab as-Syafieyah sebagaimana tercatit dalam kitab (اعانة الطالبين) Juz. 2. Hlm. 146:
Duduk di atas kubur (di perkuburan orang-orang Islam) juga telah diharamkan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam dan difatwakan juga oleh Imam Syafie di dalam kitab Al-Umm. Mereka yang dibolehkan duduk hanya kerana ada keuzuran atau mempunyai sebab yang dibolehkan oleh syara, maka orang-orang seperti ini tidak mengapa jika ia duduk di atas perkuburan. Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda:
عَنْ اَبِيْ هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: لاَنْ يَجْلِسَ اَحَدُكُمْ عَلَى جَمْرَةٍ فَتُحْرِقَ ثِيَابَهُ فَتَخْلُصَ اِلَى جِلْدِهِ خَيْرٌ مِنْ اَنْ يَجْلِسَ عَلَى قَبْرٍ.
“Dari Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu berkata: Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda: Sesungguhnya jika salah seorang kamu duduk di atas bara api sampai membakar pakaiannya lalu menembusi kulitnya, masih lebih baik baginya daripada ia duduk di atas kubur”. ( H/R Muslim 3/62. Abu Daud 3228. Ahmad 2/311, 444. Baihaqi 4/79. Ibnu Majah dan an-Nasaii. Hadis ini juga terdapat dalam Al-Umm kitab besar Imam Syafie.)
Diharap kepentingan hadis ini lebih dipelihara oleh Pak Man dari kepentingan yang lain dan dapat disebar-sebarkan apabila diminta memberi kulliah, foram atau kenyatan.
Membuat Batas (Dapur) Pada Kuburan Ditegah Oleh Wahhabi Atau Syafie?
Menurut Imam Syafie dan ijmak para ulama as-Syafieyah, mereka mengharamkan menghias, membuat batas, meninggikan tanah, memayungkan dan mendirikan kubbah atau bangunan di atas kubur. Mereka mengharamkan juga menulis apa pun tulisan atau mengecat kubur, kerana semuanya itu bukan amalan Ahli Sunnah, malah bertentangan dengan sunnah berdasarkan hujjah dari syara dan telah difatwakan sebagai perbuatan haram oleh Imam Syafie serta para ulama as-Syafieyah. Mereka berhujjahkan athar yang sahih:
عَنْ عَبْدِ اللهِ بْنِ حَسَنَةَ قَالَ : رَاَيْتُ عُثْمَانَ بْنِ عَفَّان رَضِيَ اللهُ عَنْهُ يَاْمُرُ بِتَسْوِيَةِ الْقُبُوْرِ ، فَقِيْلَ لَهُ : هَذَا قُبْرُ اُمُّ عَمْرو بِنْت عُثْمَان ! فَاَمَرَ بِهِ فَسَوِّي.
“Dari Abdullah bin Hasanah berkata: Aku lihat ‘Uthman bin ‘Affan radhiallahu ‘anhu memerintahkan agar diratakan kubur. Maka dikatakan kepadanya: Ini kubur Ummu ‘Amr binti ‘Uthman, maka beliau menyuruh agar diratakan”. (Diriwayatkan oleh Ibn Abi Syaibah dalam المصنف 4/138. Abu Zar’ah dalam (تاريخه) 2/66, 2/121. Sanadnya sahih dari Abdullah. telah diwaridkan oleh Ibn Abi Hatim dalam (الجرح والتعديل) 3/81-82.)
عَنْ اَبِيْ الْهَيَّاجِ اْلاَسَدِيْ قَالَ : قَالَ لِيْ عَلِيُ بْنُ اَبِيْ طَالِبرَضِيَ اللهُ عَنْهُ : اَلاَ اَبْعَثُكَ عَلَى مَا بَعَثَنِيَ عَلَيْهِ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ؟ اَنْ لاَ تَدْع تِمْثَالاً اِلاَّ طَمَسْتَهُ ، وَلاَ قُبْرًا اِلاَّ سَوَّيْتَهُ.
Al-Allama al-Imam al-Hafiz al-Baghawi rahimahullah yang bermazhab as-Syafie berkata:
يُكْرَهُ اَنْ يُضْرِبَ عَلَى الْقُبْرِ مِظَلَّةً لاَنَّ عُمَرَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ رَاَى مِظَلَّةً عَلَى قَبْرٍ فَاَمَرَ بِرَفْعِهَا وَقَالَ : دَعُوْهُ يُظِلُّهُ عَمَلهُ.
Pak Man dan yang sefahaman dengannya sewajarnya menyebarkan penjelasan Al-Hafiz Ibnu Hajar rahimahullah ulama besar yang bermazhab as-Syafie ini, tolonglah jangan disembunyikan dari pengetahuan masyarakat Islam Malaysia yang majoritinya bermazhab as-Syafie. Al-Hafiz Ibn Hajar telah menegaskan dalam kitabnya (المنهاج) bahawa Imam as-Syafie telah berfatwa:
لَعَنَ اللهُ فَاعِلَهُ وَيَجِبُ الْمُبَادَرَةِ لِهَدْمِهَا وَهَدْم الْقُبَابَ الَّتِيْ عَلَى الْقُبُوْرِ اِذْ هِيَ اَضَرُّ مِنْ مَسْجِدِ الضِّرَارِ لاَنَّهَا اُسِّسَتْ عَلَى مُعْصِيَةِ الرَّسُوْل اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لاَنَّهُ نَهَى عَنْ ذَلِكَ.
“Dilaknat pembuatnya (solat, membina masjid, dapur, kubbah dan binaan di kuburan atau di atas kubur, pent.), wajib bersegera merobohkannya dan merobohkan kubbah yang dibina di atas kubur kerana membinanya lebih bahaya dari masjid ad-Dirar yang dibina kerana bermaksiat terhadap Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam, yang mana baginda telah melarang dari melakukan yang sedemikian.
Semua fatwa-fatwa tersebut yang difatwakan oleh Imam Syafie dan para ulama besar as-Syafieyah berdasarkan hadis-hadis sahih, antara hadis tersebut ialah:
عَنْ جَابِرٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ : نَهَى النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اَنْ يُجَصَّصَ الْقُبُوْرِ وَاَنْ يُقْعَدَ عَلَيْهِ وَاَنْ يُبْنَى عَلَيْهِ (اَوْ يُزَادَ) اَوْ يُكْتَبَ عَلَيْهِ.
Berpandukan hujah-hujah syara dan fatwa Imam Syafie, maka Ibnu Hajar menjelaskan perkara haram yang diistilahkan sebagai kuburi:
لاَيَجُوْزُ اَنْ يُطَافَ بِقَبْرِهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، وَيَكْرَهُ لصْقُ الْبَطْنِ وَالظَّهْربِجِدَارِالْقَبْرِ قَالَهُ اَبُوْ عُبَيْدِ اللهِ الْحُلَيْمِى وَغَيْرُهُ قَالُوْا يَكْرُهُ مَسْحَهُ بِالْيَدِ وَتَقْبِيْلهُ
Imam an-Nawawi rahimahullah yang bermazhab as-Syafie melanjutkan fatwa Imam as-Syafie:
وَيُكْرَهُ تَجْصِيْص الْقُبُوْر ، وَالْبِنَاءُ عَلَيْهِ ، وَالْكِتَابَةُ عَلَيْهِ ، سَوَاءً كِتَابَةُ اسْمُهُ وَغَيْرهُ فِى لَوْحٍ عِنْدَ رَاْسِهِ اَوْ فِىْ غَيْرِهِ.
“Dibenci mengapur, membaca dan menulis tulisan di atas kubur, samada menulis namanya di atas batu di sebelah kepalanya atau di tempat-tempat yang lainnya”.
Hujjah yang berdasarkan syara telah dikemukakan oleh Imam Syafie dan para ulama as-Syafieyah tentang haramnya amalan kuburi. Bagaimana hujjah Pak Man? Bolehkah mematahkan hujjah Imam Syafie yang dipertahankan oleh orang-orang yang dituduh Wahhabi?
Kononnya Menurut Uthman El-Muhammady Wahhabi Melarang Berdoa Untuk Orang Mati
Di dalam kitab-kitab yang dianggap kitab tulisan ulama Wahhabi, penulis dapati mereka menganjurkan agar orang-orang Islam mendoakan orang-orang Islam yang telah meninggal dunia. Adapun dalil-dalil di dalam kitab-kitab tulisan mereka yang menunjukkan suruhan agar mendoakan orang yang telah mati ialah ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis sahih, antaranya ialah firman Allah:
وَالَّذِيْنَ جَاءُ وْا مِنْ بَعْدِهِمْ يَقُوْلُوْنَ رَبَّنَا اغْفِرْلَنَا وَلاِخْوَانِنَا الَّذِيْنَ سَبَقُوْنَا بِالاِيْمَانِ.
“Dan orang-orang yang datang sesudah mereka itu akan berkata: Wahai Tuhan kami, ampunilah kami dan saudara-saudara kami yang telah beriman sebelum kami!”. AL-HASYR, 59:10.
رَبَّنَا اغْفِرْلِيْ وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِيْنَ يَوْمَ يَقُوْمُ الْحِسَابِ.
“Ya Tuhan kami, berilah keampunan kepadaku, kedua ibu bapaku dan sekalian orang-orang mukmin pada hari terjadinya hisab (Hari Kiamat)!” IBRAHIM, 14:41.
وَاسْتَغْفِرْ لِذَنْبِكَ وَلِلْمُؤْمِنِيْنَ.
“Dan minta ampunlah bagi dosamu dan bagi orang-orang yang beriman”. MUHAMMAD, 47:19
عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهَا: اَنَّ النَّبِيَّ صَلَّىاللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَاَنَ يَخْرُجُ اِلَى الْبَقِيْعِ فَيَدْعُوْلَهُمْ فَسَاَلَتْهُ عَائِشَةَ عَنْ ذَلِكَ فَقَالَ : اِنِّيْ اُمِرْتُ اَنْ اَدْعُوْلَهُمْ
عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ: حَتَّىجَاءَ الْبَقِيْعِ رَفَعَ يَدَيْهِ ثَلاَثَ مَرَّاتٍ ثُمَّ احْرَفَ قَالَ: فَاِنَّ جِبْرِيْلَ اَتَانِيْ فَقَالَ: اِنَّ رَبَّكَ يَاْمُرُكَ اَنْ تَاْتِيَ اَهْلَ الْبَقِيْعِ فَيَسْتَغْفِرَ لَهُمْ
Meminta Tolong Kepada Orang Mati
Telah sepakat jumhur ulama-ulama besar yang bermazhab as-Syafie, bahawa bertawassul, meminta pertolongan atau berdoa (menyeru) dengan berperantaraan kepada orang yang telah mati atau benda-benda mati adalah syirik besar hukumnya, kerana tidak pernah ada fatwa dari Imam Syafie yang mengizinkannya. Doa atau seruan secara bertawassul kepada orang yang telah mati samalah seperti menyeru orang mati, doa pula adalah merupakan ibadah yang tidak boleh mengibadahi orang mati dengan berdoa kepada mereka sebagaimana sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam:
عَنِ النُّعْمَانِ بْنِ بَشِيْرٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : اَلدُّعَاءُ هُوَ الْعِبَادَةُ ثُمَّ قَرَاَ : (وَقَالَ رَبُّكُمْ ادْعُوْنِيْ اَسْتَجِبْ لَكُمْ).
فَلاَ تَدْعُ مَعَ اللهِ اِلَهًا آخَرَ فَتَكُوْنَ مِنَ الْمُعَذِّبِيْنَ.
“Maka janganlah kamu menyeru tuhan yang lain di samping Allah, yang menyebabkan kamu termasuk orang-orang yang diazab”. ASY-SYUARA, 26:213.
“Janganlah kamu seru di samping Allah tuhan apapun yang lain, tiada Tuhan yang berhak (yang wajib) diibadahi selain Dia”. AL-QASAS, 28:88.
Sesiapa yang menyeru, memohon, mengharap, meminta pertolongan atau berwasilah kepada roh orang yang telah mati, sama ada roh para rasul, nabi, wali, tok guru, syeikh atau orang yang disucikan, maka perbuatan tersebut adalah perbuatan “kuburi”, keji, dosa besar, dilaknat dan syirik hukumnya menurut Imam Syafie. Allah Azza wa-Jalla berfirman:
وَمَنْ يَدْعُ مَعَ اللهِ إِلَهًا آخَرَ لاَ بُرْهَانَ لَهُ بِهِ فَإِنَّمَا حَسَابُهُ عِنْدَ رَبِّهِ إِنَّهُ لاَ يُفْلِحُ الْكَافِرُوْنَ.
“Dan sesungguhnya barangsiapa yang menyeru seruan yang lain di samping menyeru Allah, padahal tidak ada satu pun dalil baginya melakukan hal itu, maka sesungguhnya perhitungannya di sisi Rabbnya. Sesungguhnya orang-orang yang kafir itu tidak beruntung”. AL-MUKMINUN, 23: 117.
Yang wajib diseru dan disembah hanyalah Allah, jika doa itu merupakan seruan, maka serulah Allah sahaja dan janganlah diseru orang yang telah mati kerana menyeru orang mati hukumnya syirik, tetapi serulah Allah kerana Allah berjanji akan memperkenankan seruan hambaNya. Allah berfirman:
وَقَالَ رَبُّكُمْ أُدْعُوْنِيْ أَسْتَجَبْ لَكُمْ إِنَّ الَّذِيْنَ يَسْتَكْبِرُوْنَ عَنْ عِبَادَتِيْ سَيَدْخُلُوْنَ جَهَنَّمَ دَاخِرِيْنَ.
“Dan Tuhanmu berfirman: Berdoalah (mintalah) kamu kepadaKu, nescaya akan Ku perkenankan bagimu. Sesungguhnya yang menyombong diri dari menyembah Ku akan masuk neraka Jahanam dalam keadaan hina dina”. AL-MUKMIN , 40:60.
Mayat di dalam kubur tidak boleh lagi diseru, selain ada larangan dari syara, si Mayat juga sudah tidak boleh berbuat apa-apa dan tidak boleh mendengar seruan manusia. Allah Azza wa-Jalla berfirman:
ذَلِكُمُ اللهُ رَبُّكُمْ لَهُ الْمُلْكُ وَالَّذِيْنَ تَدْعُوْنَ مِنْ دُوْنِهِ مَا يَمْلِكُوْنَ مِنْ قَطْمِيْرٍ. إِنْ تَدْعُوْهُمْ لاَ يَسْمَعُوْا دُعَآءَكُمْ وَلَوْ سَمِعُوْا مَا اسْتَجَابُوْا لَكُمْ وَيَوْمَ الْقِيَامَةِ يَكْفُرُوْنَ بِشِرْكِكُمْ وَلاَ يُنَبِّئُكَ مِثْلُ خَبِيْرٍ.
“Yang (tersebut) demikian itulah Allah Tuhanmu, kepunyaanNyalah kerajaan. Dan orang-orang yang kamu seru (sembah) selain Allah tiada mempnyai apa-apa walaupun setipis kulit ari. Jika kamu menyeru mereka, mereka tiada mendengar seruanmu, dan kalaupun mereka mendengar, mereka tidak dapat memperkenankan permintaanmu. Dan di hari kiamat mereka akan mengingkari kemusyrikanmu dan tidak ada yang dapat memberikan keterangan kepadamu sebagai yang diberikan oleh Yang Maha Mengetahui”. FATHIR, 35:13-14.
Tidakkah Pak Man tahu? Terdapat terlalu banyak masjid, surau, musalla atau madrasah-madrasah di negara kita yang didirikan di tanah perkuburan, di persekitarannya, berhampiran dengan perkuburan atau sengaja mengkebumikan mayat di dalam masjid, di persekitaran masjid atau di tanah wakaf masjid. Antara tujun mereka ialah agar mudah membacakan ayat-ayat al-Quran terutama surah al-Fatiha kepada ahli kubur atau supaya mudah mengambil berkat atau bertawassul (menyeru) kepada orang yang dianggap suci martabatnya di kubur-kubur tersebut.
Memang amat sukar untuk meyakinkan masyarakat bahawa perbuatan “kuburi” amat menyalahi sunnah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam dan membawa kepada kesyirikan. Siapakah yang boleh menghapuskan amalan “kuburi” kalau tidak Pak Man?
Beralasan Dengan Masjid Rasulullah Di Madinah
Masyarakat Islam di Nusantara, apabila ditegah dari bersolat di masjid-masjid yang ada kubur, maka rata-rata mereka semua beralasan dengan masjid Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam di Madinah untuk membolehkan perbuatannya yang telah diharamkan oleh Imam Syafie. Tahukah Pak Man, para ulama Salaf as-Soleh khususnya yang bermazhab as-Syafie telah menjelaskan duduk perkara ini yang sebenar. Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah dalam kitabnya (الجواب الباهر فى زور المقابر) beliau menegaskan:
“Bersolat di dalam masjid yang dibina di atas kubur ditegah secara mutlak, berlainan pula dengan masjid Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam. Maka sesungguhnya bersolat di masjid Nabawi diganda dengan pahala seribu solat. Masjid Nabawi dibina atas dasar ketakwaan. Pengharamannya sejak baginda masih hidup dan semasa masih hidupnya para Khulafa ar-Rasyidin. Pada masa mereka semua (sahabat masih hidup) tidak pernah dimasukkan bilik (rumah/kubur) baginda ke dalam masjid, tetapi (kubur baginda dan kubur para sahabat) dimasukkan ke dalam masjid selepas zaman sahabat (sudah berlalu)”. (Lihat: تحذير الساجد Hlm. 200-201)
Seterusnya Ibnu Taimiyah rahimahullah menjelaskan lagi:
“Fadhilat (keutamaan/kelebihan) Masjid Nabi sudah ada sebelum dimasukkan bilik (rumah) baginda ke dalam masjid. Antara fadhilat masjid Nabi dimana Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam membinanya sendiri bersama orang-orang yang beriman, mereka bersolat semata-mata kerana Allah, mereka benar-benar dikenali sebagai orang-orang yang beriman sehinggalah ke Hari Kiamat. Dan telah bersabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam: Bersolat di masjidku ini lebih baik dari seribu salat di masjid yang lain kecuali Masjid al-Haram”.
Menurut penjelasan Syeikh Nasruddin al-Albani rahimahumullah:
“Hukum pengharaman bersolat di masjid yang terdapat kubur di dalamnya termasuklah semua masjid, sama ada yang besar, yang kecil, yang lama atau yang baru kerana keumuman dalilnya. Tidak ada pengecualian apa pun masjid jika ada kubur di dalamnya kecuali Masjid Nabi yang mulia di Madinah, kerana keutamaan (fadhilat) yang khusus yang tidak terdapat di masjid-masjid yang lain. Hal ini berdasarkan sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam:
صَلاَةٌ فِى مَسْجِدِيْ هَذَاخَيْرٌ مِنْ اَلْفِ صَلاَةٍ فِيْمَا سِوَاهُ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ فَاِنَّهُ اَفْضَلٌ
مَا بَيْنَ بَيْتِيْ وَمِنْبَرِيْ رَوْضَةٌ مِنْ رِيَاضِ الْجَنَّةِ.
“Di antara rumahku dan mimbarku ialah raudhah dari riadhul jannah”.
H/R Bukhari dan Muslim.
Jika sekiranya haram solat di masjid Nabi lantaran kubur baginda, ini bermakna menyamakan masjid tersebut dengan masjid-masjid yang lain. Masjid Nabi dikecualikan kerana adanya keutamaan pada masjid tersebut. Ia dibina atas ketakwaan.
Pengharaman belaku sejak Nabi masih hidup dan semasa Khulafa ar-Rasyidin. Adapun kubur Nabi dimasukkan ke dalam masjid setelah ketiadaan para sahabat radhiallahu ‘anhum. (Lihat: تحذير الساجد من اتخاذ القبور مساجد Hlm. 200-201) Fadhilat ini dinyatakan dalam sabda baginda:
لاَ تَشُدُّ الرِّحَالُ اِلاَّ اِلَى ثَلاَثِ مَسَاجِد ، اَلْمَسْجِدِ الْحَرَامِ وَالْمَسْجِدِ اْلاَقْصَى وَمَسْجِدِيْ هَذَا.
“Tidak digalakkan bersangatan untuk berpergian (untuk memperolehi barakah) kecuali kepada tiga masjid: Masjid al-Haram (di Mekah), Masjid al-Aqsa dan masjidku ini di Madinah)”. (Hadis Mutafaq ‘alaihi dari Abi Hurairah, Lihat: احكام الجنائز وبدعها Hlm. 224-225. Nasruddin al-Albani)
اِنَّمَا يُسَافِرُاِلَى ثَلاَثِ مَسَاجِدَ : مَسْجِدِ الْكَعْبَةِ وَمَسْجِدِيْ وَمَسْجِدِ اِيْلِيَاءَ
“Hanya diperbolehkan safar (mencari barkah) pada tiga masjid: Masjid Kaabah, Masjidku dan Masjid Eliya”. (Hadis sahih riwayat Muslim, 4/126)
Berkata al-Hafiz Muhammad bin Abdul Hadi rahimahullah:
“Adapun mula dimasukkan bilik (rumah/kubur) Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam ke dalam masjid, ialah pada pemerintahan al-Walid bin Abdul Malik, iaitu selepas kewafatan semua sahabat yang ada di Madinah. Yang terakhir wafat dari kalangan sahabat ialah Jabir bin Abdullah dimasa pemerintahan Abdul Malik pada tahun 87H. Walid dilantik sebagai Khalifah pada tahun 86H. Beliau wafat pada tahun 96H. Diketika itulah dibina semula masjid dan dimasukkan bilik (rumah/kubur) Nabi ke dalam masjid”. (Lihat: الصارم المنكي hlm. 136-137.)
Berkata Muhaddis Syeikh Nasruddin al-Albani rahimahullah:
“Tidak sewajarnya bagi setiap Muslim setelah mengetahui hakikat (tidak boleh bersolat di masjid yang ada kubur atau di masjid yang dibina di atas kubur), lalu ia berhujah dengan apa yang berlaku setelah berlalunya zaman sahabat, kerana cara ini bertentangan dengan hadis yang sahih dan dengan apa yang telah difahami oleh para sahabat serta para pembesar sahabat. Ia bertentangan juga dengan apa yang telah dilakukan oleh ‘Umar dan ‘Uthman semasa meluaskan masjid Nabawi, tetapi mereka tidak memasukkan kubur ke dalam masjid. Oleh itu kami menyalahkan apa yang telah dilakukan oleh al-Walid bin Abdul Malik (semoga Allah mengampuninya) walaupun masjid diketika itu sangat perlu diluaskan, tetapi mengapa ia tidak meluaskan masjid ke arah yang lain tanpa memasukkan bilik (rumah/kubur) yang mulia Nabi ke dalam masjid”. (Lihat: تحذير الساجد hlm. 93.)
Sewajarnya Pak Man telah tahu persoalan dan hukum antara ziarah kubur dan amalan kuburi ini. Sebaiknya dia juga sentiasa berwaspada apabila mengeluarkan kenyataan di akhbar atau apabila memperkatakan sesuatu yang bukan bidangnya. Penulis sangat menghormati Pak Man, tetapi setelah meneliti banyak kertas-kerja, kaset dan VCD yang sampai kepada penulis, ia menjadikan penulis sangat meragui beliau. Allah yahdika!
Tuduhan Bahawa Wahhabi Melarang Ziarahi Kubur Nabi Di Madinah
Ada yang menuduh kaum Wahhabi melarang menziarahi kubur Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam di Madinah. Tuduhan ini berpunca apabila para ulama Salaf as-Soleh dan para pendakwah Salafiyah melarang kaum muslimin ke Madinah yang semata-mata berniat khusus kerana ziarah kubur Nabi, termasuklah kubur para sahabat radiallahu ‘anhum. Sebenarnya yang dilarang bukan menziarahi kubur Nabi kerana disunnahkan menziarahi kubur Nabi apabila sampai di Madinah, tetapi yang dilarang apabila berniat ke Masjid Nabi di Madinah semata-mata kerana kubur bukan kerana solat di Masjid Nabi.
Larangan ini termasuk dalam fatwa Imam Syafie kerana kesemua hadis-hadis yang menggesa agar ke Madinah berniat semata-mata khusus untuk menziarahi kubur Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam adalah hadis-hadis lemah dan palsu belaka. Antara hadis-hadis tersebut:
مَنْ حَجَّ الْبَيْت وَلَمْ يَزُرْنِيْ فَقَدْ جَفَانِيْ
مَنْ زَارَنِيْ بَعْدَ مَوْتِيْ فَكَأَنَّمَا زَارَنِيْ فِى حَيَاتِيْ.
مَنْ زَارَنِيْ بِالْمَدِيْنَةِ مُحْتَسِبًا كَنْتُ لَهُ شَفِيْعًا شَهِيْدًا يَوْم الْقِيَامَةِ.
Amalan Ahli Sunnah wal-Jamaah Mengaji (Membaca Al-Quran) Di Rumah Bukan Di kubur
Fahami dan amalkanlah hadis-hadis Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam yang menjelaskan agar sentiasa membaca al-Quran di rumah bukan di kuburan. Kerana diharamkan mengaji (membaca al-Quran) di kubur walaupun di kubur yang dijadikan sebagai “kubur keramat” oleh si Jahil. Baginda bersabda:
لاَ تَجْعَلُوْا بُيُوتَكُمْ مَقَابِرَ ، اِنَّ الشَيْطَانَ يَنْفِرُ مِنَ الْبَيْتِ الَّذِى تُقْرَاُ فِيْهِ سُوْرَة الْبَقَرَةِ.
“Janganlah kamu jadikan rumah-rumah kamu seumpama perkuburan, sesungguhnya syaitan akan lari dari rumah yang dibacakan di dalamnya surah al-Baqarah”. (H/R Muslim, 2/188. Ahmad, 2/284, 337, 387, 388. Turmizi dan Nasaii)
عَنِ ابْنِ عُمَرَرَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا قَالَ : قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّىاللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : اِجْعَلُوْا فِى بُيُوْتِكُمْ مِنْ صَلاَتِكُمْ وَلاَ تَتَّخِذُوْاهَا قُبُوْرًا.
“Dari Ibnu Umar berkata: Bersabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam: Jadikanlah rumah-rumah kamu sebahagian dari solat-solat kamu dan janganlah kamu jadikan rumah-rumah kamu itu seumpama kuburan”. (H/R Bukhari 1/112. 2/56. Ahmad 2/16, 6/65. Ibnu Majah (1377). Abu Daud (1448). Dan Baihaqi 2/186, 435)
Semoga Allah Azza wa-Jalla sentiasa memelihara dan menyelamatkan akidah orang-orang beriman, beristiqamah, bertakwa dan yang rajin membaca kitab-kitab agama sehingga tekun menyibukkan dirinya mempelajari ilmu-ilmu agama terutamnya ilmu akidah Islamiyah. Amin Ya Rabbal ‘Alamin!
Kuburi adalah istilah syarie yang hampir tidak dikenali langsung oleh kebanyakan orang Islam di Nusantara. Akibatnya perbuatan kuburi yang mungkar ini diamalkan secara berleluasa sejak sekian lama tanpa disedari oleh pelakunya bahawa ia adalah amalan yang haram, bid’ah, khurafat dan membawa kepada syirik besar.
Buku kecil ini menampilkan hakikat apa itu kuburi menurut hukum syara. Buku kecil ini juga sebagai bidasan terhadap kenyataan Uthman El-Muhammady (Pak Man) di akhbar Mingguan yang membuat masyarakat Malaysia dan Singapura mengemukakan banyak pertanyaan kepada penulis.
Buku ini adalah sebagai jawapan kepada semua para penanya yang bertanya tentang isu Wahhabi yang dibangkitkan oleh Pak Man.
Di-Edit Semula Daripada Kertas Kerja:
Ust. Abu Farouq Rasul Bin Dahri
2 comments:
salam a'laik....saya berminat dgn tajuk ini..saya nk brtanya sbb teringat bagaimana dgn masjid nabawi di madinah yg ada kubur nabi di dalamnya?
Jawapannya ada dalam penulisan di atas.
Post a Comment