__________________________________________________________________________________

| Nawawi | Aqeedah | Fiqh | Anti Syirik | Galeri Buku | Galeri MP3 | U-VideOo |
__________________________________________________________________________________

Saturday, November 24, 2007

044 - Penyelewengan Tafsiran Syi'ah Terhadap QS 5: 55

Penyelewengan Tafsiran Syi'ah Terhadap QS 5: 55

Kedua: Ayat al-Wilayah

Ayat al-Qur’an yang kedua terpenting yang dijadikan hujah oleh Syi‘ah dalam persoalan khalifah ialah ayat 55 surah al-Maidah. Syi‘ah menamakannya Ayat al-Wilayah merujuk kepada perkataan Wali di permulaan ayat: Innama Waliyukum Allah wa Rasuluhu………

إِنَّمَا وَلِيُّكُمُ اللَّهُ وَرَسُولُهُ وَالَّذِينَ آمَنُوا الَّذِينَ يُقِيمُونَ الصَّلاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَهُمْ رَاكِعُونَ
Jika sebelum ini Ayat al-Tath-hir berperanan menetapkan sifat maksum kepada ‘Ali bin Abi Thalib dan Ahl al-Baitnya, maka Ayat al-Wilayah pula berperanan melengkapkannya, iaitu dengan menetapkan sifat khalifah kepada ‘Ali. Ini kerana perkataan Wali ditafsirkan oleh Syi‘ah sebagai membawa maksud khalifah dan pemimpin. Walhasil Ayat al-Tath-hir dan Ayat al-Wilayah saling bergandingan dalam menetapkan sifat “maksum” dan “khalifah” kepada ‘Ali dan Ahl al-Baitnya. Demikianlah pentingnya Ayat al-Tath-hir dan Ayat al-Wilayah kepada Syi‘ah.

Berikut dikemukakan maksud/terjemahan Ayat al-Wilayah:

Sesungguhnya Wali kamu hanyalah Allah dan Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman, yang mendirikan solat dan menunaikan zakat sedang mereka rukuk. [al-Maidah 5:55]

Penghujahan Syi‘ah ke atas ayat ini adalah seperti berikut:

Hujah Syi‘ah

Sepertimana yang disebut di atas, Syi‘ah menafsirkan perkataan “Wali” di dalam ayat 55 surah al-Maidah di atas sebagai khalifah dan pemimpin. Seolah-olah ia bermaksud:

Sesungguhnya khalifah kamu hanyalah Allah dan Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman yang mendirikan solat dan menunaikan zakat sedang mereka rukuk.

Seterusnya Syi‘ah mendakwa firman Allah: ……orang-orang yang beriman yang mendirikan solat dan menunaikan zakat sedang mereka rukuk... merujuk kepada ‘Ali bin Abi Thalib radhiallahu ‘anh. Ini kerana ayat tersebut telah menyebut 3 sifat yang harus dimiliki oleh seorang Wali atau khalifah, iaitu (1) Mendirikan Solat, (2) Menunaikan Zakat dan (3) Dalam Keadaan Rukuk.

Di antara semua para sahabat, hanya ‘Ali seorang sahaja yang menepati kesemua 3 sifat di atas. Ini kerana pada satu hari ketika ‘Ali sedang solat dalam posisi rukuk, datang seorang pengemis meminta sedekah. Lalu sambil rukuk, ‘Ali terus memberikan cincin yang ada dijarinya sebagai zakat kepada pengemis tersebut. Perbuatan ‘Ali ini menyebabkan turunnya ayat 55 surah al-Maidah. Riwayat berikut menjadi rujukan:

Daripada ‘Ammar bin Yasir, beliau berkata: Seorang peminta sedekah datang kepada ‘Ali bin Abi Thalib radhiallahu 'anh meminta sedekah, pada ketika itu beliau (‘Ali) sedang rukuk menunaikan solat sunat. Maka (‘Ali) melepaskan cincinnya dan diberikan kepada si peminta itu.

Kemudian datang Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dan baginda mendapat tahu tentang hal tersebut, lalu diturunkan kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam ayat: “Sesungguhnya Wali kamu hanyalah Allah dan Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman, yang mendirikan solat dan menunaikan zakat sedang mereka rukuk.” [al-Maidah 5:55]

Maka Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam membacakan ayat tersebut seraya bersabda: Barangsiapa aku adalah Mawlanya maka ‘Ali adalah Mawlanya. “Ya Allah! jadilah Wali kepada sesiapa yang mewalikannya dan musuhilah sesiapa yang memusuhinya.”

Berdasarkan peristiwa ini tokoh-tokoh Syi‘ah bersepakat bahawa ayat 55 surah al-Maidah merujuk kepada ‘Ali bin Abi Thalib sahaja. Bahkan didakwa ini adalah pendapat majoriti tokoh Ahl al-Sunnah juga sebagaimana ulas Muhammad Mar’i al-Amin dalam bukunya Mengapa Aku Memilih Ahl al-Bait?:[1]

Telah sepakat semua Ahl al-Bait ‘alaihi salam, para ulama tafsir dan hadis daripada golongan Syi'ah dan kebanyakan para ulama tafsir Ahl al-Sunnah, malah keseluruhan mereka, bahawa ayat ini telah diturunkan kepada Amir al-Mukminin ‘Ali ‘alaihi salam ketika beliau memberi sedekah cincinnya kepada si miskin di dalam keadaan beliau (‘Ali) sedang solat di Masjid Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa alihi wasallam. Peristiwa ini telah diakui oleh para sahabat pada zaman Nabi, para tabi'in dan penyair-penyair yang terdahulu sehingga mereka memasukkan peristiwa ini ke dalam syair-syair mereka.

Berdasarkan hujah-hujah di atas, Syi‘ah membuat kesimpulan bahawa ayat ini adalah dalil al-Qur’an yang paling jitu dalam menetapkan kekhalifahan ‘Ali bin Abi Thalib. Lebih dari itu, dakwa Syi‘ah, perkataan Innama… di permulaan ayat berperanan membatasi maksud orang-orang yang beriman kepada ‘Ali sahaja. Oleh itu tidak perlu lagi membicara atau memikirkan siapa yang berhak untuk menduduki jawatan khalifah selepas kewafatan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Muhammad Mar’i al-Amin merumuskan:[2]

Apabila anda mengetahui dalil-dalil Sunnah dan Syi'ah yang telah saya kemukakan, maka saya berkata: Tidak harus mendahului (sesiapa) selain daripada 'Ali ke atas 'Ali sebagaimana tidak harus mendahului seseorangpun ke atas Nabi SAW kerana sesungguhnya Allah Subhanahu wa Ta‘ala telah menjadikan Muhammad dan 'Ali bersamaNya di dalam Ayat al-Wilayah. Adapun orang-orang yang bertentangan dengan kami sekalipun mereka mengetahui sesungguhnya Ayat al-Wilayah telah diturunkan kepada 'Ali ‘alaihi salam secara Qat'i (jelas) sebagaimana telah aku kemukakan tadi, mereka sengaja mengubah maknanya menurut mazhab mereka dan hawa nafsu mereka.

Demikianlah penghujahan Syi‘ah ke atas ayat 55 surah al-Maidah yang mereka gelar Ayat al-Wilayah. Marilah kita mengkaji sejauh mana kebenaran yang terkandung di dalam penghujahan ini.

Jawapan Ahl al-Sunnah

Untuk mengkaji sejauh mana kebenaran penghujahan Syi‘ah ke atas Ayat al-Wilayah, penulis akan membahagikannya kepada empat persoalan atau perbahasan, iaitu:

1 - Adakah riwayat yang menerangkan peristiwa ‘Ali radhiallahu 'anh membayar zakat dengan cincinnya kepada pengemis ketika sedang rukuk berdarjat sahih?

2 - Adakah ayat 55 surah al-Maidah membahas persoalan khalifah?

3 - Adakah tindakan ‘Ali membayar zakat dengan cincinnya kepada pengemis ketika sedang rukuk, seandainya ia adalah sahih, memiliki kaitan dengan sifat (1) Mendirikan Solat, (2) Menunaikan Zakat dan (3) Dalam Keadaan Rukuk?

4 - Apakah maksud sebenar firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala dalam ayat 55 surah al-Maidah?

Pertama: Adakah riwayat yang menerangkan peristiwa ‘Ali membayar zakat dengan cincinnya kepada pengemis ketika sedang rukuk berdarjat sahih?

Kehadiran riwayat yang menerangkan peristiwa ‘Ali radhiallahu 'anh membayar zakat dengan cincinnya kepada pengemis ketika sedang rukuk di dalam majoriti kitab tafsir dan hadis Ahl al-Sunnah bukan hujah bahawa ia berdarjat sahih. Ini kerana penilaian sahih atau tidak sesebuah riwayat bergantung kepada kedudukan sanad dan matan, bukan jumlah rujukan. Diulangi:

Diterima atau tidak sesebuah hadis diukur berdasarkan kedudukan sanad dan matannya, bukan jumlah rujukan.

Perkara ini telah penulis gariskan dalam Risalah Kedua ketika membahas Strategi Asas Syi‘ah yang Ketiga:

Kebenaran hujah tidak diukur dengan jumlah rujukan tetapi hujah yang terkandung di dalam rujukan itu sendiri.

Lebih dari itu, tidak satu jua daripada rujukan-rujukan yang disebut oleh Syi‘ah telah membahas darjat riwayat di atas, apatah lagi mensahihkannya. Mereka hanya menukilnya tanpa membahas sama ada ia sahih atau tidak. Bahkan sebahagian mereka mengemukakan riwayat tersebut tanpa sanad.

Sebaliknya jika kita mengkaji rujukan yang bersanad, akan didapati bahawa ia sebenarnya memiliki kecacatan yang amat berat. Dalam istilah hadis ia dikategorikan sebagai sangat dha‘if (Dha‘if Jiddan). Ia memiliki dua jalan periwayatan yang masyhur seperti berikut:

Jalan Periwayatan Pertama:

Dikeluarkan oleh al-Thabarani di dalam al-Mu’jam al-Ausath – no: 6232 (Bab yang bernama Muhammad) dan al-Hafiz al-Haskani di dalam Syawahid al-Tanzil – no: 231 (Asbab al-Nuzul no: 33) dengan sanad yang berpangkal kepada Khalid bin Yazid al-‘Umari, dikhabarkan kepada kami oleh Ishaq bin ‘Abd Allah bin Muhammad bin ‘Ali bin Husain, daripada al-Hasan bin Zaid, daripada ayahnya: Zaid bin al-Hasan, daripada datuknya, dia berkata, aku mendengar ‘Ammar bin Yasar dia berkata…….sepertimana di atas. al-Suyuthi di dalam al-Durr al-Mantsur, jld 2, ms. 519, (riwayat ke-4 bagi ayat 55 surah al-Maidah) menyandarkan riwayat di atas kepada Ibn Marduyah (ابن مردويه).

Khalid bin Yazid al-‘Umari, beliau ialah Khalid bin Yazid Abu al-Haitsam al-‘Umari al-Makki, Abu al-Walid. Berkata Ibn Ma‘in: Pendusta. Berkata Abu Hatim: Seorang pendusta, muncul di Kota Mekah, tidak ditulis hadisnya, malah dia seorang perosak hadis [3]

Jalan Periwayatan Kedua:

Dikeluarkan oleh al-Wahidi di dalam Asbab al-Nuzul, ms. 230 (ayat 55 surah al-Maidah), Ibn al-Maghazali (ابن المغازلي) di dalam Manaqib al-Imam ‘Ali bin Abi Thalib – no: 357 dan al-Hafiz al-Haskani di dalam Syawahid al-Tanzil – no: 236 & 237. Semuanya dengan sanad yang berpangkal kepada Muhammad bin al-Sa’ib, daripada Abi Shaleh, daripada Ibn ‘Abbas dengan lafaz yang lebih panjang tetapi maksud yang sama. Juga dinukil oleh Ibn Katsir di dalam Tafsir al-Qur’an al-‘Adzhim, jld. 5, ms. 266, (riwayat ke-6 bagi ayat 55 surah al-Maidah) dan al-Suyuthi di dalam al-Durr al-Mantsur, jld 2, ms. 519, (riwayat ke-9 bagi ayat 55 surah al-Maidah) dengan menyandarkannya kepada Ibn Marduyah.

Muhammad bin al-Sa’ib, beliau ialah Muhammad bin al-Sa’ib al-Kalbi, Abu al-Nadhir, dari Kufah. Berkata al-Nasa’i: Matruk al-Hadits, bermaksud: Ditinggalkan hadis-hadisnya kerana dia lazim berdusta dalam percakapannya. Dia bukan pencipta hadis, namun sifat lazim berdusta dalam bercakap menyebabkan wujud kemungkinan tokok tambah di dalam hadis-hadisnya. Berkata al-Jawzajani dan selainnya: Pendusta.[4] Berkata al-Hafiz Abu Nu‘aim al-Ashbahani al-Shufi: Muhammad bin al-Sa’ib al-Kalbi (meriwayat) daripada Abi Saleh hadis-hadis yang palsu.[5]

Berkata Ibn Hibban: Muhammad bin Sa’id daripada aliran Sabaiyyan, sahabat ‘Abd Allah bin Saba’, daripada kalangan mereka yang berkata: “ ‘Ali tidak mati, dia akan kembali ke dunia……” [6]

Dua jalan periwayatan di atas adalah yang paling masyhur dikemukakan oleh Syi‘ah. Selain itu terdapat beberapa jalan periwayatan lain yang dikemukakan oleh Ibn al-Maghazali di dalam Manaqib al-Imam ‘Ali bin Abi Thalib – no: 354-358 dan al-Hafiz al-Haskani di dalam Syawahid al-Tanzil li Qawa‘id al-Tafdhil, riwayat no: 216-240. Sengaja penulis tidak mentakhrij jalan-jalan periwayat tersebut dalam buku ini kerana:

1. Sebahagian daripada jalan-jalan periwayatan tersebut telah diterangkan kecacatannya oleh al-Hafiz Ibn Katsir rahimahullah di dalam Tafsir al-Qur’an al-‘Adzhim, jld. 5, ms 265-267 (tafsir ayat 55 surah al-Maidah).

2. Riwayat-riwayat selebihnya memiliki sanad yang terdiri daripada para perawi yang tidak ditemui status al-Jarh wa al-Ta’dilnya oleh penulis.

3. Pengarangnya sendiri, Ibn al-Maghazili dan al-Hafiz al-Haskani tidak membahas darjat sanad riwayat-riwayat yang mereka kemukakan. Maka di sini kita merujuk kepada sebuah kaedah ilmu hadis yang menyebut bahawa setiap riwayat pada awalnya dianggap dha‘if sehingga dibuktikan darjatnya yang sebenar. Kaedah ini adalah penting sehingga wajar diulangi:[7]

Setiap riwayat pada awalnya dianggap dha‘if sehingga dibuktikan darjatnya yang sebenar.

4. Seandainya setiap satu jalan periwayatan yang lemah ini dapat digunakan untuk saling menguat antara satu sama lain, ia tetap tidak membawa apa-apa kesan positif kepada Syi‘ah. Yang terakhir ini akan kita bahas dalam poin-poin seterusnya.

Walhasil, merujuk kepada persoalan: Adakah riwayat yang menerangkan peristiwa ‘Ali radhiallahu 'anh membayar zakat dengan cincinnya kepada pengemis ketika sedang rukuk berdarjat sahih?

Jawapannya: Tidak ada mana-mana tokoh Ahl al-Sunnah sama ada dalam bidang tafsir mahupun hadis yang mensahihkannya.[8] Jika kita kaji secara mendalam dari sudut sanad, jelas di dalamnya terdapat kelemahan dan kecacatan. Hal ini sedia diketahui oleh Syi‘ah, khasnya tokoh-tokoh mereka. Namun mereka mendiamkannya, bahkan beralih kepada strategi menyenaraikan jumlah rujukan yang banyak sebagai bukti kebenaran riwayat.

Jawapan Kedua: Adakah ayat 55 surah al-Maidah membahas persoalan khalifah?

Perkataan Wali di dalam bahasa Arab memiliki beberapa maksud. Ia boleh bermaksud “Khalifah” dan “Yang mengatur urusan”. Ia boleh juga bermaksud “Penolong” dan “Pelindung”. Di antara dua maksud ini, Syi‘ah merebut peluang untuk mendakwa bahawa perkataan Wali bermaksud Khalifah, sekaligus menafsirkan ayat 55 surah al-Maidah sebagai ayat yang membicarakan persoalan kekhalifahan.

Berbeza dengan Ahl al-Sunnah, apabila berhadapan dengan satu perkataan yang memiliki beberapa maksud, Ahl al-Sunnah akan mencari petunjuk yang menerangkan maksud sebenar yang diwakili oleh perkataan tersebut. Ini kerana Ahl al-Sunnah memiliki sebuah kaedah yang baku untuk berinteraksi dengan sebuah perkataan yang memiliki lebih dari satu maksud. Kaedah tersebut ialah:

Tidak boleh membatasi satu perkataan yang memiliki beberapa maksud kepada satu maksud tertentu melainkan wujud petunjuk yang mengarah kepada pembatasan maksud tersebut.

Justeru bagi perkataan Wali dalam ayat 55 surah al-Maidah, Ahl al-Sunnah mencari petunjuk yang dapat menerangkan maksud sebenarnya. Petunjuk ini tidak lain tidak bukan diperolehi dengan mengkaji rangkaian ayat yang mendahului dan mengakhiri ayat 55 surah al-Maidah. Marilah kita mengkaji ayat-ayat tersebut:

Ia didahului dengan firman Allah:

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani itu sebagai Wali, kerana setengah mereka menjadi Wali kepada setengahnya yang lain; dan sesiapa di antara kamu yang menjadikan mereka Walinya, maka sesungguhnya dia adalah dari golongan mereka itu. Sesungguhnya Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang berlaku zalim. [al-Maidah 5:51]

Dalam pada itu, engkau lihat orang-orang yang ada penyakit dalam hatinya segera berusaha mendampingkan diri kepada mereka (Yahudi dan Nasrani), sambil berkata: “Kami takut bahawa kami akan ditimpa bencana (yang memaksa kami meminta pertolongan mereka).” [al-Maidah 5:52]

Diikuti dengan ayat 55 yang menjadi perbahasan kita sekarang ini:

Sesungguhnya Wali kamu hanyalah Allah dan Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman, yang mendirikan solat dan menunaikan zakat sedang mereka rukuk. [al-Maidah 5:55]

Kemudian diakhiri dengan firman Allah:

Dan sesiapa yang menjadikan Allah dan Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman itu Walinya maka sesungguhnya golongan Allah itulah yang tetap menang. [al-Maidah 5:56]

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang yang menjadikan agama kamu sebagai ejek-ejekan dan permainan - dari orang-orang yang telah diberikan Kitab sebelum kamu, dan orang-orang kafir musyrik itu: menjadi Wali; dan bertaqwalah kepada Allah, jika kamu benar-benar orang yang beriman. [al-Maidah 5:57]

Daripada ayat-ayat di atas jelas kepada kita bahawa perkataan Wali merujuk kepada maksud “Penolong” dan “Pelindung”. Allah menegah orang Islam daripada menjadikan orang Yahudi dan Nasrani sebagai penolong dan pelindung mereka [ayat 51]. Tegahan ini Allah Subhanahu wa Ta‘ala perintahkan memandangkan ada sebahagian umat Islam ketika itu yang mendampingi kaum Yahudi dan Nasrani sebagai sumber bantuan dan perlindungan daripada bencana [ayat 52]. Allah menerangkan bahawa yang sepatutnya dijadikan sumber pertolongan dan perlindungan ialah Allah, Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman [ayat 55]. Hanya dengan cara ini mereka akan memperolehi kemenangan sebenar yang dapat menjauhkan daripada bencana [ayat 56]. Pengakhirnya, Allah sekali lagi melarang orang Islam daripada menjadikan orang bukan Islam sebagai penolong dan pelindung mereka [ayat 57].[9]

Ayat-ayat di atas termasuk ayat 55 surah al-Maidah tidak merujuk kepada isu kekhalifahan. Ini kerana orang Yahudi dan Nasrani pada saat tersebut bukan merupakan khalifah kepada apa-apa negara atau wilayah. Mereka hanya hidup dalam kelompok-kelompok mereka yang tersendiri. Paling hebat sebahagian mereka adalah ketua kepada sebahagian yang lain. Mereka bukan khalifah tetapi sekadar ketua kabilah dan suku bangsa.

Sebahagian umat Islam yang ditegur dalam ayat di atas (ayat 52), mereka sememangnya tidak menjadikan orang Yahudi dan Nasrani sebagai khalifah kerana orang Yahudi dan Nasrani itu sendiri bukan khalifah. Mereka hanya mendampingi orang Yahudi dan Nasrani demi mengharapkan pertolongan dari sudut ekonomi dan perlindungan dari sudut keselamatan.

Rujukan dan kajian kepada ayat-ayat sebelum dan selepas ayat 55 surah al-Maidah memberi jawapan kepada persoalan asal kita: Adakah ayat 55 surah al-Maidah membahas persoalan khalifah?

Jawapannya: Tidak. Ayat 55 surah al-Maidah tidak membahas persoalan khalifah. Ia membahas persoalan “Penolong” dan “Pelindung”. Dalam erti kata lain ia menerangkan kepada umat Islam bahawa satu-satunya sumber pertolongan dan perlindungan yang akan membawa mereka kepada kemenangan ialah Allah, Rasulullah dan orang-orang yang beriman.

Sebelum berpindah ke perbahasan ketiga, ingin penulis menarik perhatian para pembaca kepada satu perkara lain yang tidak kurang pentingnya. Dalam keghairahan Syi‘ah menafsirkan perkataan Wali sebagai khalifah, tanpa disedari mereka telah menjerumuskan diri mereka dalam lembah syirik yang amat bahaya.

Ini kerana apabila perkataan Wali dalam ayat 55 surah al-Maidah ditafsirkan sebagai khalifah, bererti terdapat 3 khalifah dalam satu waktu yang sama. Perhatikan bahawa ayat 55 tersebut menggunakan perkataan “Dan” bagi menghubungkan antara (1) Allah, (2) Rasulullah dan (3) Orang-orang beriman. Perhatikan semula ayat 55 dengan perkataan Wali diterjemahkan sebagai khalifah:

Sesungguhnya Khalifah kamu hanyalah Allah dan Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman……

Ayat 55 tidak menggunakan perkataan “Kemudian” bagi menunjukkan kekhalifahan yang berbeza waktunya, umpama:

Sesungguhnya Khalifah kamu hanyalah Allah kemudian Rasul-Nya kemudian orang-orang yang beriman……

Ringkasnya menafsirkan Wali sebagai khalifah membawa tiga akibat yang amat berat:

1. Ia menjadikan Allah Subhanahu wa Ta‘ala sebagai khalifah umat Islam, bahkan menyandang gelaran “Amirul Mukminin”. Maha Suci Allah daripada memiliki sifat-sifat yang tidak pernah Dia sifati Diri-Nya dengannya.

2. Ia bererti wujud tiga khalifah dalam satu waktu yang sama. Ini tidak lain akan membawa kepada suasana hiruk pikuk dan perpecahan.

3. Allah ‘Azza wa Jalla dengan segala Keesaan-Nya dan Kebesaran-Nya tidak sekali-kali memerlukan rakan kongsi (associate) mahupun pasangan (partner) dalam urusan-Nya. Apatah lagi dengan tugas “Khalifah umat Islam” yang sememangnya tak pernah menjadi tugas-Nya.

Berbeza halnya apabila perkataan Wali ditafsirkan sebagai penolong dan pelindung di mana ia memang boleh wujud secara bersamaan antara (1) Allah, (2) Rasulullah dan (3) Orang-orang beriman. Allah Subhanahu wa Ta‘ala dengan sendirinya telah menyifati Diri-Nya sebagai penolong dan pelindung umat Islam, sebagaimana firman-Nya:

Dan Allah ialah Wali – Penolong dan Pelindung sekalian orang-orang yang beriman. [‘Ali Imran 3:68]

Dan Allah menjadi Wali – Penolong dan Pelindung bagi orang-orang yang bertaqwa. [al-Jatsiyah 45:19]

Sementara itu Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dan orang-orang yang beriman adalah penolong dan pelindung sesama sendiri. Firman Allah:

Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi Wali (penolong dan pelindung) bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. [al-Taubah 9:71]

Kesimpulannya, menafsirkan Wali sebagai khalifah dan pemimpin bukan sahaja menyalahi konteks perbicaraan ayat tetapi juga membawa akibat syirik kepada Allah ‘Azza wa Jalla. Yang benar ia bermaksud penolong dan pelindung sebagaimana yang disokongi dan dijelaskan oleh ayat-ayat lain di atas.

Jawapan Ketiga: Adakah tindakan ‘Ali membayar zakat dengan cincinnya kepada pengemis ketika sedang rukuk, seandainya ia adalah sahih, memiliki kaitan dengan sifat (1) Mendirikan Solat, (2) Menunaikan Zakat dan (3) Dalam Keadaan Rukuk?

Dalam kita membahas Ayat al-Wilayah, mungkin sahaja Syi‘ah akan tetap mendakwa bahawa riwayat ‘Ali membayar zakat dengan cincinnya kepada pengemis ketika sedang rukuk adalah sahih. Sebenarnya bagi Ahl al-Sunnah, adalah lebih baik jika riwayat tersebut berstatus sahih. Ini kerana jika dibandingkan riwayat tersebut dengan tiga sifat yang disebut oleh ayat 55 surah al-Maidah, ia sebenarnya tidak memiliki apa-apa kaitan untuk menyokong hujah Syi‘ah. Lebih dari itu, riwayat tersebut juga membatalkan tafsiran Syi‘ah bahawa perkataan Wali bermaksud khalifah dan pemimpin.

Baiklah, sekarang kita mulakan kajian kepada tiga sifat yang digariskan oleh ayat 55 surah al-Maidah dalam rangka menjawab persoalan: Adakah tindakan ‘Ali membayar zakat dengan cincinnya kepada pengemis ketika sedang rukuk, seandainya ia adalah sahih, memiliki kaitan dengan sifat (1) Mendirikan Solat, (2) Menunaikan Zakat dan (3) Dalam Keadaan Rukuk?

Untuk memudahkan rujukan para pembaca, penulis kemukakan semula ayat 55 surah al-Maidah di bawah ini:

Sesungguhnya Wali kamu hanyalah Allah dan Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman, yang (1) mendirikan solat (2) dan menunaikan zakat (3) sedang mereka rukuk. [al-Maidah 5:55]

Sifat Pertama: Mendirikan Solat

Firman Allah dalam ayat 55 surah al-Maidah: …yang mendirikan solat… (يقيمون الصلاة) merujuk kepada solat fardhu lima kali sehari dan bukan solat sunat. Ini kerana sifat mendirikan solat yang dimaksudkan adalah lanjutan daripada ciri-ciri orang yang beriman (والذين آمنوا الذين يقيمون الصلاة). Tidak mungkin seseorang itu dikatakan beriman jika dia hanya mendirikan solat sunat.

Oleh itu sifat …yang mendirikan solat… (يقيمون الصلاة) dalam ayat 55 surah al-Maidah tidak merujuk kepada solat yang sedang dilaksanakan oleh ‘Ali ketika memberikan cincinnya kepada pengemis. Ini kerana seandainya ‘Ali sedang melaksanakan solat fardhu, maka yang sepatutnya menjadi tindakan ‘Ali ialah menyuruh pengemis turut bersolat dan menangguh pemberian cincin sehingga selesai solat.

Malah dalam kebanyakan riwayat yang dikemukakan oleh Syi‘ah sendiri, diterangkan bahawa ‘Ali sedang bersolat sunat apabila beliau didatangi oleh pengemis yang meminta. Setelah ‘Ali memberi cincin kepada pengemis, barulah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam keluar dari rumah menuju ke masjid sambil membaca ayat 55 surah al-Maidah. Di sini jelas bahawa ‘Ali sedang bersolat sunat kerana sangat tidak mungkin solat fardhu sedang di laksanakan di masjid manakala Rasulullah tidak mengimaminya, bahkan berada di rumah pula.

Walhasil, sifat pertama yang digariskan oleh ayat 55 surah al-Maidah tidak memiliki kaitan dengan solat sunat yang sedang dilaksanakan oleh ‘Ali ketika memberi cincinnya kepada pengemis. Sekarang kita beralih kepada sifat kedua pula.

Sifat Kedua: Menunaikan zakat

Sekali lagi, firman Allah …dan menunaikan zakat… (ويؤتون الزكاة) merujuk kepada zakat harta yang wajib dibayar setiap tahun dan bukannya sedekah biasa. Ini kerana sifat menunaikan zakat yang dimaksudkan adalah lanjutan daripada ciri-ciri orang yang beriman dan mendirikan solat. Jauh sekali untuk dikatakan seseorang itu beriman jika dia hanya bersedekah tanpa membayar zakat harta tahunan.

Cincin yang diberikan oleh ‘Ali kepada pengemis yang meminta ialah sedekah sunat dan bukannya zakat harta tahunan yang wajib hukumnya. Sebabnya:

1 - Sama-sama diketahui oleh Ahl al-Sunnah dan Syi‘ah bahawa ‘Ali adalah seorang mukmin yang mengorbankan seluruh hidupnya untuk Islam, khasnya dalam ekspedisi Dakwah dan Jihad. Semasa zaman kehidupan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, ‘Ali tidak memiliki dinar dan dirham, apatah lagi perladangan, penternakan atau perniagaan yang dapat menjanakan harta yang wajib dizakatkan. Tidak ada kewajipan zakat ke atas ‘Ali.

2 - Seandainya memberi cincin adalah sebagai bayaran zakat harta, maka yang wajib bagi ‘Ali ialah membayarnya kepada Rasulullah dan bukan kepada pengemis. Ini kerana antara syarat bagi pembayaran zakat harta tahunan ialah ia dibayar kepada pemimpin negara atau wakil yang dilantiknya. Di saat itu ‘Ali bukan pemimpin umat Islam. Justeru tindakan ‘Ali memberi cincin kepada pengemis bukanlah pembayaran zakat harta tahun tetapi sedekah sunat sahaja.

3 - Pembayaran zakat harta tahunan memiliki kadar nisab dan jumlah bayaran yang ditentukan. Selain itu sama-sama diketahui bahawa syari‘at Islam melarang kaum lelaki daripada memakai perhiasan emas. Maka cincin ‘Ali bukanlah cincin emas. Soalannya, apakah kadar nisab dan jumlah bayaran zakat harta yang dipenuhi oleh ‘Ali dengan cincin bukan emasnya itu? Jawapannya tidak terletak pada kiraan atau timbangan tetapi pada hakikat bahawa apa yang dilakukan oleh ‘Ali pada asalnya bukanlah membayar zakat harta tahunan tetapi sekadar bersedekah.

Berdasarkan poin-poin di atas, maka sifat kedua yang digariskan oleh ayat 55 surah al-Maidah tidak memiliki kaitan dengan tindakan ‘Ali yang memberi cincinnya kepada pengemis. Sekarang kita beralih kepada sifat ketiga pula.

Sifat Ketiga: Rukuk

Untuk memahami maksud perkataan Rukuk dalam ayat 55 surah al-Maidah, ingin penulis perkenalkan kepada para pembaca sebuah kaedah yang amat penting dalam ilmu tafsir al-Qur’an:

Al-Qur’an tidak akan menggunakan dua susunan ayat yang berbeza untuk mewakili satu maksud yang sama melainkan kedua-duanya memiliki maksud yang berbeza.

Maksudnya, di dalam al-Qur’an seringkali ditemui ayat yang mengandungi perkataan yang sama tetapi disusun dalam struktur yang berbeza. Perbezaan ini bukan sesuatu yang berlaku secara rambang atau tidak sengaja. Maha Suci Allah daripada menyusun al-Qur’an secara leka dan lewa. Yang benar setiap susunan yang berbeza mengarah kepada maksud yang berbeza juga. Perbahasan kita seterus ini akan memberi contoh praktikal yang baik kepada maksud dan penggunaan kaedah di atas.

Di dalam al-Qur’an, perkataan Rukuk disusun dalam dua bentuk yang berbeza:

Susunan Pertama:

Perkataan Rukuk digandingkan dengan perkataan Sujud, umpama:

Wahai orang-orang yang beriman, rukuklah serta sujudlah. Dan beribadatlah kepada Tuhan kamu serta kerjakanlah amal-amal kebajikan supaya kamu berjaya. [al-Hajj 22:77]

Lihat juga al-Baqarah 2:125, ‘Ali Imran 3:43, al-Taubah 9:112, al-Hajj 22:26 dan al-Fath 48:29.

Susunan Kedua:

Perkataan Rukuk digunakan secara bersendirian, umpama:

Kecelakaan yang besarlah pada hari itu bagi orang-orang yang mendustakan. Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Rukuklah” niscaya mereka enggan rukuk. [al-Mursalat 77:47-48]

Lihat juga al-Baqarah 2:43 dan al-Maidah 5:55.

Dalam Susunan Pertama, gandingan perkataan Rukuk dan Sujud merujuk kepada amalan solat. Ini kerana tidak ada satu perbuatan yang menghimpun kedua-dua rukuk dan sujud melainkan solat.

Dalam Susunan Kedua, perkataan Rukuk merujuk kepada tindakan tunduk dan patuh kepada perintah dan larangan Allah, yakni syari‘at Islam. Perkataan Rukuk di dalam ayat Susunan Kedua ini memiliki konteks yang luas, merujuk kepada pelbagai perintah dan larangan syari‘at seperti taat beribadah, berbuat baik kepada ibubapa, berdakwah, keluar berjihad, menjauhi zina, menjaga yang halal dan haram, meninggalkan riba dan pelbagai lagi.

Ayat 55 surah al-Maidah: Sesungguhnya Wali kamu hanyalah Allah dan Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman, yang mendirikan solat dan menunaikan zakat sedang mereka rukuk termasuk dalam Susunan Kedua ini.

Perkataan Rukuk tidak merujuk kepada posisi rukuk di dalam solat kerana ia (solat) telahpun disebut sebelum itu. Yang benar perkataan Rukuk merujuk tindakan tunduk dan patuh kepada perintah dan larangan syari‘at Islam. Dalam erti kata lain, ciri-ciri orang yang beriman ialah mereka (1) mendirikan solat, (2) menunaikan zakat serta (3) tunduk dan patuh kepada lain-lain perintah dan larangan syari‘at Islam.

Walhasil, sifat ketiga yang digariskan oleh ayat 55 surah al-Maidah tidak memiliki kaitan dengan posisi rukuk dalam solat sunat yang sedang dilaksanakan oleh ‘Ali ketika menyedekahkan cincinnya kepada pengemis.

Sekarang jelas kepada kita bahawa tiga sifat yang digariskan oleh ayat 55 surah al-Maidah tidak ada kaitannya dengan tindakan ‘Ali memberi cincinnya kepada pengemis ketika sedang rukuk. Di sini akan timbul satu soalan: Jika ia tidak memiliki kaitan, kenapakah kebanyakan rujukan tafsir Ahl al-Sunnah menukil riwayat tersebut?

Jawapannya: Para ahli tafsir di kalangan Ahl al-Sunnah menukil riwayat tersebut bukanlah untuk mengaitkannya dengan sifat (1) mendirikan solat, (2) menunaikan zakat serta (3) tunduk dan patuh kepada lain-lain perintah dan larangan syari‘at Islam, tetapi adalah untuk menafsirkan perkataan Wali di permulaan ayat.

Sebelum ini dalam perbahasan kedua: Adakah ayat 55 surah al-Maidah membahas persoalan khalifah?, telah diterangkan bahawa maksud perkataan Wali ialah penolong dan pelindung, bukan khalifah. Jika para pembaca mendalami semula riwayat yang menerangkan tindakan ‘Ali menyedekahkan cincinnya kepada pengemis, mudah ditangkap bahawa tindakan ‘Ali sebenarnya adalah sebagai seorang penolong dan pelindung kepada pengemis tersebut. Ini kerana bersedekah termasuk dalam perbuatan memberi pertolongan dan perlindungan kepada orang yang memerlukannya. Manakala tindakan si pengemis meminta kepada ‘Ali juga menunjukkan bahawa dia menjadikan ‘Ali sebagai penolong dan pelindungnya.

Jawapan Keempat: Apakah maksud sebenar firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala dalam ayat 55 surah al-Maidah?

Ayat 55 surah al-Maidah menegaskan kepada kita bahawa satu-satunya sumber penolong dan pelindung umat Islam ialah Allah, Rasul-Nya dan sesama orang-orang yang beriman. Perkataan Innama… (إنما) di permulaan ayat memang bertujuan membatasi sumber penolong dan pelindung tersebut kepada Allah, Rasul-Nya dan sesama orang-orang yang beriman sahaja.

Seandainya sahih riwayat yang menerangkan bahawa ayat 55 surah al-Maidah turun kerana tindakan ‘Ali menyedekahkan cincinnya kepada pengemis, ia tidaklah memiliki peranan mengkhususkan ayat ini yang pada asalnya bersifat umum. Sebaliknya ia berperanan membantu kita memahami maksud ayat. Diulang semula kaedah yang telah digariskan dalam buku Siri Kedua ketika membahas Strategi Asas Syi‘ah yang Kedua:

Yang diambil adalah keumuman lafaz dan bukan kekhususan sebab.

al-Suyuthi rahimahullah di dalam kitabnya al-Durr al-Mantsur fi al-Tafsir al-Ma’tsur jld. 2, ms. 520-521 (tafsir ayat 55 surah al-Maidah) mengemukakan sebuah riwayat yang dikeluarkan oleh ‘Abd bin Humaid, Ibn Jarir al-Tabari, Ibn al-Munzir dan Abu Nu‘aim rahimahumullahu bahawa ‘Abd al-Malik bin Abi Sulaiman telah bertanya kepada Abu Ja’far Muhammad bin ‘Ali al-Baqir (bin Husain bin ‘Ali bin Abi Thalib) tentang ayat: Sesungguhnya Wali kamu hanyalah Allah dan Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman, yang mendirikan solat dan menunaikan zakat sedang mereka rukuk [al-Maidah 5:55]. Beliau menjawab: Para sahabat Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam.
‘Abd al-Malik berkata: Dikatakan (ia merujuk kepada) ‘Ali?

Abu Ja’far menjawab: ‘Ali termasuk mereka.

Kesimpulan mudah kepada para pembaca:

1 - Perkataan Wali di dalam ayat 55 surah al-Maidah tidak bermaksud khalifah tetapi bermaksud penolong dan pelindung.
2 - Tindakan ‘Ali menyedekahkan cincinnya – seandainya riwayat tersebut adalah sahih – tidak lain hanyalah sebagai seorang mukmin yang membantu dan melindung nasib seorang fakir.

Bibliografi / Rujukan / Nota Kaki:

[1]Rujuk Bab Kedua: Syi’ah dan al-Qur’an, di permulaan perbahasan Ayat al-Wilayah dengan beberapa suntingan bahasa oleh penulis.
[2]Rujuk Bab Kedua: Syi’ah dan al-Qur’an, di akhir perbahasan Ayat al-Wilayah dengan beberapa suntingan bahasa oleh penulis.
[3]Ibn Abi Hatim – al-Jarh wa al-Ta’dil, jld. 3, ms. 360, biografi no: 1630; al-Dzahabi – al-Mizan al-Iktidal, biografi no: 2479
[4]al-Nasa’i – Kitab al-Dhu‘afa’ wa al-Matrukin – biografi no: 539 (bersama catitan notakaki no: 539).
[5]Kitab al-Dhu‘afa’ – biografi no: 210.
[6]Ibn Hibban – al-Majruhin min al-Muhadditsin – biografi no: 927.
[7]Kaedah ini adalah sangat penting sehingga perlu menjadi asas kepada setiap pembaca apabila mereka berinteraksi dengan hadis-hadis Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Janganlah diterima apa-apa hadis yang dikemukakan oleh para penceramah, pensyarah, khatib, penulis dan sebagainya sebagai sahih secara bulat-bulat.
Sebagai contoh, jika seorang penceramah menyampaikan sebuah hadis tanpa dibahas darjat kekuatannya sama ada sahih atau tidak, ia dianggap sebagai dha‘if sehinggalah:
1 - Dirujuk hadis tersebut dalam kitabnya yang asal lengkap dengan sanad dan matannya.
2 - Daripada sanad tersebut, disemak kedudukan para perawi dan perhubungan antara seorang perawi dengan perawi yang lain.
3 - Disemak sanad dan matan hadis sama ada ia mengandungi kecacatan tersembunyi (‘illah) dan/atau keganjilan (syaz) jika dibanding dengan al-Qur’an dan hadis-hadis lain yang sahih.
Setelah dilalui 3 proses di atas, barulah dihukumkan hadis tersebut dengan darjatnya yang sebenar. Dalam kaedah ini, perkataan “…pada awalnya dianggap dha‘if…” merujuk kepada darjat riwayat sebelum melalui 3 proses di atas. Perkataan “…sehingga dibuktikan darjatnya yang sebenar” merujuk darjat riwayat selepas melalui 3 proses di atas.

[8]Ketika menghujahkan Ayat al-Wilayah ini, Muhammad Mar’i al-Amin di dalam bukunya Mengapa Aku Memilih Ahl al-Bait? menulis: Muhibbuddin al-Tabari di dalam Dhakha'ir al-'Uqba telah meriwayatkan beberapa riwayat yang sahih di dalam bab ini. Seterusnya dalam catitan notakaki beliau menulis: Dhakha'ir al-'Uqba, hlm. 88.

Semakan penulis kepada kitab yang sama: Dzaka’ir al-Uqba fi Manaqib Zawi al-Qurba oleh Muhibb al-Din Ahmad bin ‘Abd Allah al-Thabari (894H), ms. 88 [Bab berkenaan apa yang diturunkan berkenaannya daripada ayat (al-Qur’an)] mendapati kata-kata al-Thabari hanyalah seperti berikut:

ومنها قوله تعالى: (إِنَّمَا وَلِيُّكُمْ اللَّهُ وَرَسُولُهُ وَالَّذِينَ آمَنُوا) نزلت فيه. أخرجه الوحدى.

Dan di antaranya ialah firman (Allah) Ta’ala: “Sesungguhnya wali kamu hanyalah Allah dan Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman” – ia diturunkan tentangnya (‘Ali), dikeluarkan oleh al-Wahidi.

Sekian Muhibb al-Din al-Tabari. Perhatikan bahawa yang dikemukakan hanya satu riwayat dan beliau tidak mensahihkannya sebagaimana dakwa Muhammad Mar’i al-Amin. Lebih dari itu sanad yang dikeluarkan oleh al-Wahidi telah kita takhrij di ruangan utama di atas. Ia adalah melalui jalan Muhammad bin al-Sa’ib al-Kalabi, seorang perawi yang sedia dikenali sebagai pendusta.
[9]Lihat Minhaj al-Sunnah, jld. 7, ms. 18 dan seterusnya (jld. 4, ms. 5).

1 comment:

Kang_Abuy said...

alhamdulillah saya mendapatkan penjelasan yanga sangat lengkap dalam menjawab syubhat-syubhat yg di syiarkan kaum syiah di dalam tulisan ini. saya berharap blog ini senantiasa menjawab syubhat-syubhat syiah lainnya. seperti banyaknya kaum syiah menggunakan refrensi ahlu sunnah dalam membela diri dalam mempertahankan hujjah mereka. salam kenal dari Indonesia.....