Oleh: Ustaz Rasul Dahri
Pengarang[1] buku “Islam Liberal Tafsiran Agama Yang Kian Terpesong” di halaman 21 nota kaki 1, penulis membuat tuduhan melulu yang tidak berasas serta telah berbohong kepada masyarakat dengan menulis:
-----------@@@@-----------
"Sikap ghulu sesetengah golongan kesufian telah menyebabkan mereka melebihkan syeikh mereka daripada yang sepatutnya. Sikap ghulu golongan fiqh telah menyebabkan mereka meletakkan hukum-hakam, syarak dan persoalan agama yang menyusahkan orang ramai. Sedangkan Islam bersifat mudah dan ALLAH ingin mempermudahkan hamba-hamba-NYA dalam beragama, bukan menyusahkan. Sikap ekstrim sesetengah golongan Salafiyyah pula telah menyebabkan mereka menghukum sesat sejumlah besar tokoh-tokoh umat dengan membuat andaian yang salah terhadap beberapa ucapan dan pendirian mereka. Ini seperti yang dilakukan oleh aliran Madkhaliyyah[1] dan beberapa pengikutnya di bumi ini.
[1] “Hal ini merujuk kepada al-Syeikh Rabi’ bin Hadi al-Madkhali dari Arab Saudi. Seorang tokoh yang kontroversi. Alirannya terkenal dengan menghukum sesat, fasik dan seakan mengkafirkan sebahagian besar ulama zaman kini. Aliran ini terkenal dengan sikap melampau dan bersedia menghukum sesiapa sahaja yang tidak sealiran dengan mereka. Mereka mendakwa mereka berpegang dengan pegangan Salaf dan mereka merupakan Salafiyah. Di negara kita juga ada segelintir yang terpengaruh dengan aliran ini. Antaranya tulisan seorang tokoh, Muwazanah (Penilaian Seimbang), Hukumnya Sunnah Atau Bdi’ah. Dalam tulisan yang penuh dengan pembohongan fakta itu, penulisnya telah memberikan gambaran yang salah tentang pegangan Salaf. Beliau telah juga menghukum sesat Muhammad Qutub, Hasan al-Banna, Dr. Yusuf al-Qaradhawi, Muhammad Surur, Safar Hawali, Abdul Rahman Abdulkhalik. Hadi al-Misri, Mahmud Tahhan dan tokoh-tokoh ulama yang lain. Dengan memetik kenyataan tokoh-tokoh itu secara tidak amanah, penulis menghukum mereka dengan sikap yang penuh kemelampauan. Umpamanya pada muka surat 17, membohongi teks asal Yusuf al-Qaradhawi dan membuat hukuman seakan Yusuf al-Qaradhawi kafir dengan katanya: Perkataan seperti ini sebenarnya sama seperti memerangi tauhid uluhiyah dan tauhid asma wa sifat. Ucapan ini adalah syubhat dan perangkap iblis atau syaitan. Kita tahu bahawa memerangi tauhid adalah kekufuran, sedangkan mustahil tokoh seperti al-Qaradhawi memerangi tauhid.”
-----------@@@@-----------
Rujukan: Islam Liberal Tafsiran Agama Yang Kian Terpesong, Tulisan Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin, Karya Bestari, m/s. 21.
Bantahan:
Setelah membaca isi buku Islam Liberal, kalau tidak dikatakan kesalahan penulisnya dalam memahami persoalan Dr. Yusuf al-Qaradhawi dan Syeikh Dr. Rabi’ al-Madkhali, mungkin boleh dikatakan ketidak-telitiannya dalam membuat tuduhan di samping masih jahilnya Si Penulis terhadap hakikat atau definisi manhaj Salaf as-Soleh yang sebenarnya. Ya, tokoh seperti al-Qaradhawi mustahil memerangi tauhid, tetapi tidak mustahil merosakkan, menghancurkan dan memesongkan iktiqad yang berkaitan dengan tauhid! Contohnya, beliau menganggap dan menamakan Allah dengan nama ‘Aqal[2], al-Quran itu makhluk bukan Kalamullah[3], menyetujui (mengiktiraf) akidah Asy’ariyah, al-Maturidiyah, Muktazilah dan Jabariyah.[4] Kalau benar Qaradhawi memerangi kesyirikan dan memperjuangkan tauhid mengapa beliau membiarkan tersebarnya pemikiran para tokoh Ikhwanul Muslimin yang lain seperti Hasan al-Banna, Umar Tilmisani, Sa’id Hawa, Mustafa as-Siba’i, Sayyid Qutub dan ramai lagi yang melakukan kesyirikan seperti kuburi (bertawasul dengan orang mati) dan kesyirikan-kesyirikan yang lainnya, sedangkan Yusuf al-Qaradhawi termasuk salah seorang anggota Ikhwanul Muslimin dan sanggup bersekongkol dengan syubhat tokoh-tokoh tersebut? Bukankah ini membuktikan sebagai satu cara merosakkan, menghancurkan dan memesongkan akidah Islamiyah as-Sahihah di samping salah satu bentuk penipuan kepada umat? Memang benar apa yang di jelaskan oleh Syeikh Ahmad bin Yahya bin Muhammad an-Najmi dan Syeikh Dr. Rabi’ bin Hadi Umair al-Madkhli:
“Ikhwanul Muslimin dan Jamaah Tabligh adalah dua golongan yang paling banyak melakukan tipu daya (penipuan) terhadap manhaj Salafiyah dan pengikutnya”.[5]
“Terdapat penyimpangan Ikhwanul Muslimin hingga mencapai 25 kesesatan, alangkah banyaknya kebatilan mereka?”.[6]
Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin, salah seorang antara penulis yang mengambil bahagian menulis buku Islam Liberal, beliau perlu banyak membaca buku-buku, tulisan, mendengar kemudian memahami kaset-kaset rakaman dan fatwa-fatwa para ulama besar yang telah mengkritik dan mentahzir Yusuf al-Qaradhawi.
Celaan mereka terhadap Yusuf al-Qaradhawi atas dasar ilmu, bukan sembarangan, mereka telah mengemukakan fakta atau bukti tentang kebatilan buah fikiran Yusuf al-Qaradhawi dari tulisan Yusuf al-Qaradhawi itu sendiri. Dengan cermat dan teliti para ulama yang mengkritik Yusuf al-Qaradhawi telah menukil nama-nama buku dan dari mana ia diambil untuk memberi fakta yang tulin tentang kecurangan Yusuf al-Qaradhawi menangani isu-isu akidah.
Sebenarnya kami tidak pernah mengkafirkan sesiapapun dari orang-orang yang dinyatakan oleh Mohd. Asri di dalam buku Islam Liberal. Mohd. Asri dan konco-konconya ketinggalan jauh dalam memahami persoalan Ikhwanul Muslimin serta para tokohnya terutamanya seperti Yusuf al-Qaradhawi, Sayid Qutub dan Hasan al-Banna yang telah ditahzir oleh ramai para ulama Salaf as-Soleh termasuk Syeikh al-Albani rahimahullah dalam kritikannya terhadap buku Yusuf al-Qaradhawi “Halal wal-Haram”. Fatwa Syeikh Ibn Bazz terhadap orang-orang yang disebut oleh Mohd. Asri di dalam bukunya Islam Liberal juga tidak disalin dengan sempurna.
Penulis (saya Rasul bin Dahri) insya Allah akan membuktikan banyaknya kesalahan, kesilapan, kecurangan, ketidak-telitian dan kedangkalan Dr. Mohd. Asri di dalam banyak buku-buku dan tulisannya yang telah diterbitkan. Tetapi di tulisan ini, penulis hanya akan menjelaskan point utama yang perlu diperjelaskan tentang kesalahan besar Mohd. Asri di dalam buku “Islam Liberal Tafsiran Agama Yang Kian Terpesong”. Beliau memfitnahkan kertas kerja bertajuk Muwazanah (Penilian Seimbang), Hukumnya Sunnah Atau Bid’ah dengan menuduh penulisnya (saya Rasul bin Dahri) menulis dengan penuh pembohongan fakta dan memberi gambaran yang salah tentang pegangan Salaf.
Sepatutnya Dr. Mohd. Asri mampu mengawal perasaan, mempunyai kebijaksanaan dan kesabaran yang tinggi dalam berdakwah, bukanlah dengan cara membuat fitnah, tuduhan melulu dan melepaskan emosinya melalui tulisannya terhadap penulis MUWAZANAH. Sekiranya beliau seorang yang teliti dan berhemah, pasti tidak menyebarkannya kepada masyarakat melalui sarana informasi atau media cetak apa yang terbuku di hatinya terhadap penulis MUWAZANAH, sebaliknya dengan hati terbuka menemui penulis dan membincangkan apa yang beliau rasakan salah dan silap, tetapi penghinaan beliau yang keterlaluan menyebabkan penulis perlu membetulkan semua persoalan, masalah dan posisi perkara yang sebenar dengan selayaknya melalui tulisan ini. Di manakah perasaan hormat-menghormati dan kasih-sayang sebagai teman seperjuangan yang selama ini penulis berikan kepadanya? Apakah beliau ingin memalukan penulis? Semuanya itu penulis serahkan kepada Allah Subhanahu wa-Ta’ala. Hanya Dia Yang Maha Mengetahui apa yang terperap di lubuk hati Dr. Mohd. Asri.
Pada hakikatnya Mohd. Asri yang sebenarnya menulis dengan penuh pembohongan fakta, belum memahami manhaj Salaf as-Soleh dengan sempurna, tidak amanah, serkap jarang dan syok sendiri. Ini dapat dibuktikan melalui beberapa point:
Pertama: Tidak tercatit nama Safar Hawali, Abdul Rahman Abdulkhaliq, Hadi al-Misri dan Muhammad Tahhan di dalam tulisan “Muwazanah (Penilaian Seimbang) Hukumnya Bid’ah Atau Sunnah”. Bagaimana Mohd Asri boleh memasukkan nama-nama tersebut? Ini bermakna beliau tidak amanah dan tidak jujur dalam tulisan dan tuduhannya. Besar kemungkinan beliau tidak pernah membacanya, tapi berani mereka-reka tuduhan palsu kemudian menyebarkan kepada umum. Apakah ini sikap seorang yang adil? Sedangkan beliau membawakan di awal-awal bukunya hadis Ibn ‘Adi yang menekankan tentang keadilan, kejinya pembohongan dan buruknya melakukan penyelewengan. Mengapa beliau menjadikan dirinya sebagai spesis yang pandai bercakap tapi tak serupa yang dibuat?
Kedua: Mohd. Asri bin Zainal Abidin tidak mencermati dan meneliti semua kenyataan Yusuf al-Qaradhawi yang tertulis di dalam Muwazanah (Penilian Seimbang) Hukumnya Sunnah Atau Bid’ah. Beliau tidak menukil kenyataan Yusuf al-Qardhawi yang dibawakan rujukannya (nota kakinya), yang mana Yusuf al-Qaradhawi meyakini:
“Sesungguhnya peperangan kita bukanlah melawan Asy’ariyah, Maturidiyah, Muktazilah atau Jahmiyah, tetapi peperangan terbesar ialah melawan kaum atheis”.[7]
Keyakinan Yusuf al-Qaradhawi di atas ini, seolah-olah yang wajib diperangi ialah kaum atheis, apabila kaum atheis menjadi Asy’ariyah, Maturidiyah, Muktazilah atau Jahmiyah tidak perlu diperangi lagi, kerana yang perlu ditentang hanya kaum atheis. Ingatlah, bahawa Ibn Taimiyah dipenjarakan dan wafat di penjara kerana melawan akidah Jahmiyah yang mempercayai bahawa al-Quran itu Makhluk! Imam Ahmad dipenjarakan dan disiksa sehingga menyebabkan kewafatannya kerana melawan akidah Jahmiyah yang juga meyakini bahawa al-Quran itu makhluk.
Imam Ahmad semasa hidupnya tidak menyebut sedikitpun kebaikan al-Karabisi setelah al-Karabisi mempertahankan akidah Jahmiyah yang menyatakan bahawa al-Quran itu makhluk walaupun al-Karabisi lautan ilmu sebagaimana tercatit dalam biografinya.[8] Tetapi Dr. Mohd. Asri dan lelaki pujaannya iaitu Yusuf al-Qaradhawi mungkin tidak memahami perjuangan para ulama besar seperti Ibn Taimiyah dan Imam Ahmad, malah tidak pernah memberi kesan kepadanya perjuangan Imam Ibn Taimiyah dan Imam Ahmad yang jelas mujtahid dan mujaddid, tetapi kerana terlalu ghulunya kepada Yusuf al-Qaradhawi ianya menjadi sebaliknya, lebih mengangkat Yusuf al-Qaradhawi sebagai mujaddid dan mujtahid sehingga melupakan yang lain.
Seterusnya di dalam tulisan Muwazanah (Penilaian Seimbang) Bid’ah Atau Sunnah, (teks ini tidak dinukil oleh Mohd. Asri) yang mana terakam pengakuan Yusuf al-Qaradhawi yang telah mencurahkan keyakinannya sehingga beliau menyatakan:
“Peperangan kita bukanlah melawan para penakwil sifat-sifat Allah, tetapi melawan para pengingkar Allah secara keseluruhannya”.[9]
Fatwa dan keyakinan Yusuf al-Qaradhawi di atas ini amat bertentangan dengan akidah para Imam Salaf, seperti akidah Syeikhul Islam Ibn Taimiyah rahimahullah dan anak muridnya seperti Ibn Qaiyim, Ibn Katsir, Imam az-Zahabi. Begitu juga lihatlah akidah empat imam mazhab muktabar seperti Imam Ahmad, Imam as-Syafi’e, Imam Malik dan Imam Hanafi rahimahumullah. Seterusnya kajilah tulisan Imam Muhammad bin Abdul Wahhab dan ramai lagi, mereka yang telah disebutkan nama-namanya rahimahumullah telah mengangkat bendera jihad dengan penanya untuk melawan dan memerangi para pentakwil sifat-sifat Allah. Kajilah kitab “al-Aqidah al-Wasitiyah” oleh Ibn Taimiyah, “Mukhtasar al-‘Ulu” oleh Imam az-Zahabi, “Syarah al-Aqidah at-Tahawiyah” oleh Ibn Abi al-Izz dan yang paling mudah didapati ialah “Kitab Tauhid” oleh Muhammad bin Abdul Wahhab. Semua kitab-kitab tersebut menentang kaum-kaum yang mentakwil sifat-sifat Allah. Mengapa Dr. Mohd. Asri sanggup menyembunyikan sekian banyak fakta-fakta syariyah yang terdapat di dalam kitab-kitab para ulama Salaf as-Soleh yang mengharamkan perbuatan mentakwil sifat-sifat Allah yang dianggap oleh Yusuf al-Qaradhawi “Tidak wajib memerangi mereka yang menakwil sifat-sifat Allah”? Subhanallah! Mohd Asri menutup rapat kebatilan fatwa Yusuf al-Qaradhawi di atas kerana telah terlanjur ghalu (atau ghulu) kepadanya sehingga tersingkap kejahilannya terhadap manhaj Salaf as-Soleh. Mengapa beliau mempertahan Yusuf al-Qaradhawi sehingga ke tahap ghalu? Apakah beliau seorang protagonis kepada Yusuf al-Qaradhawi?
Ketiga: Penulis (saya Rasul bin Dahri) tidak pernah mengkafirkan sesiapapun dari kalangan tokoh-tokoh Ikhwanul Muslimin atau ulama besar zaman kini, tidak tepat jika Dr. Mohd. Asri mengaitkan penulis dengan sesiapapun tanpa bukti, di mana Dr. Mohd. Asri telah mengkaitkan penulis (saya Rasul bin Dahri) dengan as-Syeikh Rabi’ bin Hadi al-Madkhali melalui tuduhan liarnya:
“Hal ini merujuk kepada al-Syeikh Rabi’ bin Hadi al-Madkhali dari Arab Saudi. Seorang tokoh kontroversi. Alirannya terkenal dengan menghukum sesat, fasiq dan seakan mengkafirkan sebahagian besar ulama zaman kini. Aliran ini terkenal dengan sikap melampau dan bersedia menghukum sesiapa sahaja yang tidak sealiran dengan mereka. Mereka mendakwa mereka berpegang dengan pegangan Salaf dan merupakan Salafiyah. Di negara kita juga ada segelintir yang terpengaruh dengan aliran ini. Antaranya tulisan seorang tokoh, Muwazanah (Penilaian Seimbang), Hukumnya Sunnah Atau Bid’ah……… dan membuat hukum seakan al-Qaradhawi kafir”.
Walaupun Syeikh Rabi’ al-Madkhali pernah belajar di satu fakulti dengan penulis,[10] (Qissmu ad-Dakwah wa-Usuluddin) di Universiti Ummul Qura, Mekah, Saudi Arabia dan menjadi sahabat yang rapat, namun tidak sepatutnya dan tidak bijak jika Mohd. Asri menilai setiap individu melalui andaiannya sendiri. Kemiripan dalam isi penulisan tidaklah bermakna sama aliran dan pemikiran, begitu juga sebaliknya. Sepanjang pembacaan buku-buku tulisan Syeikh Rabi’ al-Madkhali, tidak pernah penulis menemui atau terbaca di dalam tulisan beliau yang beliau pernah mengkafirkan orang yang dikritik dan ditahzirnya termasuk para tokoh Ikhwanul Muslimin, tetapi Dr. Mohd. Asri oleh kerana sayangnya kepada Sayid Qutub sanggup mempertahankannya, dan dengan celuparnya menuduh Syeikh Rabi’ al-Madkhali sebagai seakan Khawarij, khawarij, bermanhaj seakan khawarij, dan mencercanya di beberapa kuliah dan tulisannya tanpa segan silu sebagaimana yang boleh dituntun di dalam rakaman VCD yang telah beliau sebarkan.
Mohd. Asri perlu sedar bahawa Syeikh Rabi’ al-Madkhali telah diberi sanjungan dan diiktiraf sebagai penegak akidah sahihah dan dinobatkan sebagai pengibar bendara salafi oleh Syeikh Abdullah bin Bazz, Syeikh Uthaimin, Syeikh Soleh Fauzan, Syeikh Yahya an-Najmi, Syeikh Muqbil dan beberapa orang para ulama besar di negara-negara Islam. Antara yang telah memberi kata-kata aluan terhadap buku-buku yang ditulis oleh beliau ialah Syeikh Ibn Bazz.
Kalau Mohd. Asri benar-benar mengenali manhaj Salaf as-Soleh beliau tidak akan mencaci cerca dan menghukum Syeikh Rabi’ al-Madkhali sebagai seorang Khawarij. Tahukah Dr. Mohd. Asri bahawa al-Muhaddis Syeikh Muhammad Nashiruddin al-Albani telah mengiktiraf keilmuan Syeikh Dr. Rabi’ bin Hadi al-Madkhli:
“Semua yang telah diperkatakan tentang Sayid Qutub (oleh Syeikh Rabi’ di dalam kitabnya) adalah benar dan hak. Dan hal ini membuktikan kepada seluruh pembaca bahawa tidak terdapat pada diri Sayid Qutub pengetahuan tentang Islam baik usul ataupun furu’nya”.[11]
Sekiranya Mohd. Asri benar-benar mengenali manhaj Salaf as-Soleh, beliau tidak akan mengangkat tokoh-tokoh dalam golongan Ikhwanul Muslimin seperti Sayid Qutub, Hasan al-Banna, Yusuf al-Qaradhawi dan selain mereka yang tidak pernah berjaya menghapuskan akidah kuburi, sufi dan berbagai-bagai isma yang terpacak di sanubari tokoh-tokoh Ikhwanul Muslimin dan jamaahnya yang miskin ilmu. Dikhuatiri Mohd. Asri hanya mengaku-ngaku semata mengenal manhaj Salaf, sedangkan beliau masih tiada hubungan atau kena-mengena dengan manhaj Salaf sebagaimana ungkapan sebuah syair:
كُلُّ يَدَّعِيْ اتَّصَلَ بِلَيْلَى # وَلَكِنَّهَا لاَ تُقِرُّ بِذَلِكَ
Lihatlah istilah miskin ilmu yang telah dilontarkan oleh Syeikh Abdul Aziz bin Bazz kepada Sayid Qutub yang mentahrif ayat-ayat istiwa. Beliau berkata:
“Dan ini adalah batil dan menunjukkan bahawa Sayid Qutub miskin dalam hal tafsir”.[12]
Tahukah Mohd. Asri apa hukumnya jika seseorang itu menghukum seseorang yang lain sebagai Khawarij sedangkan dia belum boleh dihukum dan digelar seburuk itu? Yang paling penting bagi kita untuk mengatakan sesuatu perkara terlebih dahulu hendaklah mengenali dan mengetahui substansi (intinya), bukan menghukum sebelum mengenali dan mengetahui hakikatnya, kerana akan buruk padahnya.
Rujukan/Footnote:
[1] Buku “ISLAM LIBERAL Tafsiran Agama Yang Kian Terpesong” ini sendiri memiliki penafsiran dan fakta yang terpesong dan liberal, kerana masih terdapat unsur-unsur negatif di dalam isi kandungannya yang terkeluar dari nilaian ilmiyah dan disiplin ilmu. Jika buku ini bertaraf ilmiyah, tentunya ia tidak akan dimuatkan dengan tuduhan melulu, tanpa usul periksa dan curahan emosi. Salah satu contohnya ialah di dalam buku tersebut tertulis ungkapan yang berunsur fitnah iaitu: Menganggap penulis Muwazanah (Rasul bin Dahri) “Seakan mengkafirkan sebahagian besar ulama”. Ini adalah pembohongan kerana dari sekian banyak tulisan Rasul bin Dahri yang tersebar, tidak pernah ada yang menghukum “seakan mengkafirkan” atau “mengkafirkan” walaupun seorang dari sekian ramai para ulama termasuklah tokoh-tokoh Ikhwanul Muslimin. Sila dapatkan kesemua tulisan yang telah disebarkan! Kemudian buktikan dengan kejujuran tentang segala tuduhan dan tohmahan yang telah dilontarkan oleh salah seorang penulis buku ISLAM LIBERAL tersebut.
[2] Lihat: Malamihul Mujtama’ al-Muslim. Hlm. 10
[3] Lihat: Syahwah al-Islamiyah dalam pembahasan اختلاف أمتي رحمة
[4] Lihat: رفع اللثام عن مخالفة القرضاوي شريعة الاسلام
[5] Lihat: الموارد العذب الزلال فيما انتقد على بعض المناهح الدعوية من العقائد والاعمال Dalam muqaddimah tulisan Syeikh Ahmad bin Yahya an-Najmi.
[6] Lihat: الموارد العذب الزلال فيما انتقد على بعض المناهح الدعوية من العقائد والاعمال Dalam muqaddimah tulisan Syeikh Ahmad bin Yahya an-Najmi.
[7] Lihat رفع اللثام عن مخالفة القرضاوي لشريغة الاسلام:
[8] Lihat secara terperinci di dalam (1). Tarikh Bagdhad 8/64. (2). as-Syiar az-Zahabi 12/19.
[9] Lihat: وجود الله Hlm. 6
[10] Syeikh Rabi’ bin Hadi menamatkan pengajiannya pada tahun 1400H. Dan penulis pula pada tahun 1403H.
[11] Lihat: Baraatul Ulama Ummah. Hlm. 35.
[12] Lihat: Baraatul Ulama Ummah. Hlm. 30
2 comments:
PASTIKAN ANDA TELAH MEMPERBAIKI DIRI ANDA!
KALO ADA ACADEMIY AWARD TETANG TUKANG FITNAH DAN PECAH BELAH PASTI KAMU YANG MENANG! TAPI SIP-SIAP AJA TERIMA BALESAN DARI ALLAH! BYE
Wahai Ustaz Rasul Dahri, kami kenal anda siapa. Sekarang-sekarang ini anda ada mengajar di Ar-Riyadh di Wisma Indah di kawasan Kembangan di Singapura.
Sesungguhnya kebatilan apa yang anda ajarkan sudah diketahui oleh kami.
Yang batil adalah anda.
Anda menuduh orang itu dan ini sebagai sesat tetapi anda tidak melihat kesesatan yang dibuat oleh golongan anda sendiri seperti Nashiruddin Albani.
Bukankah Syeikh Albani telah menyatakan dalam Fatawa Albani bahawa Rasulullah s.a.w sebelum turunnya ayat 7 Surah Dhuha adalah sesat sebagaimana sesatnya orang-orang sufi ?
Ini adalah pemikiran yang jelek lagi jengkel.
Sebelum turunnya Surah Dhuha, Rasulullah s.a.w telah menerima lain-lain surah dari Allah. Persoalannya ialah adakah Allah akan menurunkan wahyu kepada seseorang yang sesat ?
Ternyata hanya orang yang sesat akan menyatakan sedemikian.
Syeikh Albani juga berfatwa bahawa jasad Rasulullah harus dikeluarkan dari kuburkan untuk disemadikan di tempat yang lain.
Ini adalah fatwa yang sungguh biadap. Apakah salafnya tentang fatwa ini ?
Harap anda mengambil pengajaran.
Sesungguhnya orang yang berada diatas hidayah serta taufiq Allah tidak akan membuat fatwa-fatwa yang seperti ini.
Dan orang-orang yang mendapat petunjuk pula tidak akan mengikuti orang-orang seperti Albani.
Wassalam
Post a Comment