__________________________________________________________________________________

| Nawawi | Aqeedah | Fiqh | Anti Syirik | Galeri Buku | Galeri MP3 | U-VideOo |
__________________________________________________________________________________

Sunday, November 23, 2008

078 - Syiriknya Selawat Syifa’ & Selawat Nariyah

Syiriknya Selawat Syifa’ & Selawat Nariyah

http://bahaya-syirik.blogspot.com

Selawat Syifa’:

اَللَّهُمَّ صَلِ عَلىَ مُحَمَّدٍ طِبِّ القُلُوْبِّ وَدَوَاِئهَا، وَعَافِيَةِ اْلأَبْدَانِ وَشِفَاِئهَا، وَنُوْرِاْلأَبصَارِ وَضِيَاِئهَا، وَعَلىَ أَلِهِ وَسَلَّمَ

Maksudnya: “Ya Allah, berikanlah selawat dan salam kepada Muhammad, yang memberi penawar dan pengubat hati (kalbu), yang memberi kesihatan dan penyembuhan badan, cahaya dan yang menerangkan pandangan mata. Juga ke atas keluarga beliau.”

Selawat ini banyak diamalkan oleh banyak tokoh-tokoh perubatan dan bomoh-bomoh tertentu di dalam negara kita (Malaysia) mahu pun di luar negara. Ia digunakan sebagai zikir atau bentuk doa untuk mengubati/merawat individu tertentu yang mengalami masalah kesihatan tertentu.

Ianya juga sangat popular malahan sehingga dinasyidkan dan dilagukan sebagai zikir-zikir harian. Malangnya, kebanyakan dari mereka (yang mengamalkannya) hanya tahu melafazkan dan melagukannya. Namun tidak mahu mengambil tahu berkenaan makna dan kesyirikan yang terkandung di dalamnya.

Lebih malang lagi, selawat tersebut tidak pernah diajarkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Salam melalui mana-mana riwayat hadis, apatah lagi tidak juga diamalkan oleh sahabat-sabahat Rasulullah sendiri. Maka, ianya adalah tergolong di dalam bentuk selawat-selawat ciptaan dan rekaan manusia berdasarkan akal dan nafsu.

Jika kita perhatikan satu persatu rangkap perkataan di dalam selawat tersebut, terdapat penyandaran sifat yang tidak selayaknya kepada Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Salam iaitu dengan sifat “yang memberi penawar”, “pengubat hati (kalbu)”, “yang memberi kesihatan”, “penyembuhan badan”, dan “yang menerangkan pandangan mata”. Padahal kita mengetahui bahawa yang mampu menyembuhkan dan memberi kesihatan badan, yang mampu mengubati hati, dan yang mampu menerangkan pandangan mata adalah hanya Allah Subhanahu wa Ta’ala semata-mata. Berkenaan sifat yang dinisbahkan (atau disandarkan) kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Salam tersebut, beliau sendiri tidak mampu berbuat apa-apa, apatah lagi untuk orang lain.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman (maksudnya):

“Katakanlah (Wahai Muhammad): “Aku tidak berkuasa memberi manfaat kepada diriku dan tidak (pula) menolak kemudharatan kecuali yang dikehendaki Allah”.” (Surah al-A’raaf, 7: 188)

“...dan apabila aku sakit, Dialah (Allah) yang menyembuhkan aku,” (Surah asy-Syu’araa, 26: 80)

“Barangsiapa yang tidak diberi cahaya (petunjuk) oleh Allah, maka tidaklah dia memiliki cahaya sedikit pun.” (Surah an-Nuur, 24: 40)

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa Salam sendiri bersabda (maksudnya):

“Janganlah kamu melampaui batas dengan mengagung-agungkan aku sebagaimana kaum Nasrani telah melakukannya terhadap Isa anak Mariam. Sesungguhnya tiadalah aku melainkan seorang hamba, maka katakanlah, “(Muhammad) Hamba dan Pesuruh Allah”.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 3445, daripada ‘Umar al-Khatthab radhiyallahu ‘anhu)

Syaikh Muhammad Jamil Zainu berkata:

“Sesungguhnya yang menyembuhkan dan yang memberi kesihatan badan, hati, dan mata hanyalah Allah sahaja. Adapun Rasulullah tidak memiliki kekuasaan untuk memberi manfaat bagi dirinya dan tidak pula untuk selainnya. Bentuk selawat ini (selawat Syifa’ di atas) menyalahi firman Allah Subhanahu wa Ta’ala (maksudnya),

“Katakanlah (Muhammad): “Aku tidak berkuasa mendatangkan kemudharatan dan tidak pula kemanfaatan kepada diriku, melainkan apa yang dikehendaki Allah...” (Surah Yunus, 10: 49) (Rujuk: Fadhilat Selawat Kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, m/s. 113-114, Mubarak Mahfudh Bamuallim. Juga al-Firqatun Najiyah, m/s. 192-193, Syaikh Muhammad Jamil Zainu)

Selawat Nariyah:

اَللَّهُمَّ صَلِّ صَلاَةً كَامِلَةً، وَسلِّمْ سَلاَمًا تَامَّا عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ الَّذِيْ تَنْحَلُ بِهِ الْعُقَدُ، وَتَنْفَرِجُ بِهِ الْكُرَبُ، وَتُقْضَ بِهِ الْحَوَاِئجُ، وَتُنَالُ بِهِ الرَّغَائِبُ، وَحُسْنُ الْخَوَاتِيْمِ وَيُسْتَسْقَى الْغَمَامُ بِوَجْهِهِ الْكَرِيْمِ، وَعَلىَ أَلِهِ وَصَحْبِهِ عَدَدَ كُلِّ مَعْلُوْمٍ لَكَ

Maksudnya: “Ya Allah, berikanlah selawat dan keselamatan yang sempurna kepada penghulu kami, Muhammad, yang dengannya akan terlerai pertikaian hidup, hilang segala kesedihan, dipenuhi segala apa yang diperlukan, tercapai segala keinginan dan hasil yang baik (husnul Khatimah), tersiramilah hati yang gersang dengan perantaraan wajahnya yang mulia. Dan semoga dilimpahkan pula kepada keluarganya, para sahabatnya sebanyak ilmu-Mu.”

Jika kita benar-benar memahami akan hakikat kebenaran, telah jelas bahawa aiqdah tauhid yang disebutkan di dalam al-Qur’an dan apa yang diajarkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Salam mewajibkan supaya setiap Muslim meyakini bahawa hanya Allah yang mampu menyelesaikan (meleraikan) pertikaian di dalam kehidupan, menghilangkan segala kesusahan, yang memenuhi segala bentuk keperluan, dan memperkenankan permohonan orang yang berdoa kepada-Nya.

Seseorang Muslim tidak dibenarkan berdoa kepada selain Allah. Walaupun kepada para Malaikat dan Nabi yang dekat dengan Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Allah berfirman (maksudnya),

“Katakanlah: “Panggillah mereka yang kamu anggap (tuhan) selain Allah, sebenarnya pada hakikatnya mereka tidak memiliki sebarang kuasa untuk menghilangkan bahaya daripadamu dan tidak pula memindahkannya”. Sesungguhnya yang mereka seru itu, mereka sendiri sentiasa mencari jalan agar mereka menjadi yang paling dekat (kepada Allah), mengharapkan rahmat-Nya dan takut akan azab-Nya. Sesungguhnya azab Tuhanmu adalah suatu yang (harus) ditakuti.” (Surah al-Isra’, 17: 56-57)

“Hanya kepada Allah kami menyembah, dan hanya kepada Allah kami memohon pertolongan.” (Surah al-Fatihah, 1: 5)

Imam Ibnu Katsir rahimahullah menjelaskan berkenaan ayat ini,

“Yang dapat melakukan semua itu hanyalah Allah yang tidak ada sekutu bagi-Nya. Menciptakan dan meemrintahklan hanyalah hak Allah semata. Di mana berkenaan firman Allah (maksudnya): “Orang-orang musyrik dahulu sering menyatakan “Kami menyembah Malaikat, ‘Isa al-Masih, dan ‘Uzair”. Mereka itulah yang diseru sebagai tempat memohon sesuatu oleh orang-orang musyrik.” (Rujuk: Tafsir Ibnu Katsir di bawah perbahasan ayat 56-57 Surah al-Isra’)

Jika kita perhatikan rangkap selawat tersebut, dengan ia menunjukkan bentuk-bentuk permohonan doa kepada Nabi. Malah sifat-sifat yang tidak selayaknya, tetapi malah sebenarnya berlebih-lebihan (ghuluw) disandarkan kepada Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Salam.

Penutup:

Dari dua bentuk selawat yang telah kita lihat di atas, kita dapat perhatikan bahawa sifat-sifat yang dinisbatkan atau disandarkan kepada Nabi dalam untaian (atau rangkap) selawat tersebut sangat berlebih-lebihan dan memerangkap seseorang jatuh ke dalam lembah kesyirikan. Sekiranya beliau Shallallahu ‘alaihi wa Salam mendengarnya, sudah pasti beliau tidak akan redha. Ini adalah berdasarkan beberapa dalil di bawah ini,

Firman Allah (maksudnya):

“(Dialah Allah) Yang telah menciptakan aku, lalu Dialah yang memberi aku petunjuk, dan Yang memberi makan dan minuman kepadaku, dan apabila aku sakit, Dialah yang menyembuhkan aku.” (Surah asy-Syu’araa’, 26: 78-80)

Dari Abdullah Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhu, dia berkata: “Ada seorang lelaki berkata kepada Nabi: “Apa yang Allah kehendaki dan engkau?” Lantas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Salam bersabda:

“Adakah kamu menjadikan aku setara dengan Allah? (dalam riwayat yang lain, “tandingan bagi Allah?). Tidak, tetapi katakanlah: “Apa yang dikehendaki Allah sahaja”.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, Adabul Mufrad, no. 783)

Begitulah penjelasan daripada Rasulullah Shallallhu ‘alaihi wa Salam sendiri.

Oleh itu, perlu kita fahami bahawa, sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Salam. Tidak ada kaifiyah (cara) selawat yang lebih baik daripada kaifiyah yang diajarkan beilau Shallallahu ‘alaihi wa Salam sendiri. Jauhilah bentuk-bentuk beribadah yang direka cipta oleh manusia yang dengannya akan mengakibatkan pelbagai kesesatan dalam beragama.

“Ya Allah, selamatkanlah kami dari sikap ghuluw (berlebih-lebihan) dan dari sifat kemusyrikan yang besar atau pun yang kecil”

077 - Mempercayai Allah Di atas ‘Arsy: “Benarkah Mereka Ada Penyakit Hati?”

Mempercayai Allah Di Atas ‘Arsy: “Benarkah Mereka Ada Penyakit Hati?”

http://bahaya-syirik.blogspot.com/

Keratan akhbar yang dipaparkan kepada anda di bawah adalah dipetik dari:

Akhbar “Mingguan Malaysia” bertarik 9 November 2008, Agama, m/s. 10 (ruangan “Kemusykilan Anda Dijawab”), Mohd. Yusof Abas.

Penulis menyatakan bahawa mereka yang ber-i’tiqad (mempercayai) Allah di atas ‘Arsy adalah mereka yang berpenyakit hati. Ini dijelaskan oleh penulis adalah sebagaimana dalam keratan akhbar di bawah:

Katanya:

“Apa yang ditimbulkan oleh kawan anda itu hanyalah kekeliruan yang sengaja dibawa oleh mereka yang berpenyakit hati.”... (selanjutnya beliau menjelaskan) “... Itulah sebenarnya tanda hati kawan anda yang berpenyakit tadi.”

Sebelumnya, beliau (Mohd. Yusof Abas) ditanya:

“Ada kawan saya cuba memperkenalkan akidah Ibnu Taimiah yang mengatakan Allah berada di atas ‘Arsy (sepertimana firman Allah di dalam Surah Thoha ayat 5). Bolehkah tuan jelaskan maksud sebenarnya ayat tersebut?”




Maka, di sini kami cuba menjelaskan beberapa kekeliruan yang telah ditimbulkan oleh beliau (Mohd. Yusuf Abas).

Berkenaan Ayat 7, Surah Ali Imran:

“Dialah yang menurunkan al-Kitab (al-Qur’an) kepadamu. Di antara (isinya) ada ayat-ayat yang muhkamat, itulah dasar-dasar kandungan al-Qur’an. Dan yang lain (ayat-ayat mutasyabihat). Adapun orang-orang yang hatinya (berpenyakit) cenderung kepada kesesatan, maka mereka mengikuti sebahagian ayat-ayat mutsyabihat untuk menimbulkan fitnah dan untuk mencari-cari takwilnya, padahal tidak ada yang mengetahui takwilnya melainkan Allah. Dan orang-orang yang mendalam ilmunya berkata: “Kami beriman kepada ayat-ayat mutasyabihat, semuanya itu dari sisi Rabb kami”. Dan tidak dapat mengambil pelajaran (daripadanya) melainkan orang-orang yang berakal.” (Surah Ali Imran, 3: 7)

Syaikh Abdur Rahman b. Nashir as-Sa’di menjelaskan (Berkenaan Surah Ali Imran, 3: 7),

“Adapun orang-orang yang berilmu lagi mendalam ilmunya dan hati mereka penuh dengan keyakinan, mereka ini mengetahui bahawa al-Qur’an itu semuanya adalah dari sisi Allah. Semua yang ada di dalamya adalah haq, sama ada yang mutasyabih atau pun yang muhkam, dan bahawasanya yang haq itu tidak akan saling bertentangan dan saling berbeza. Dan kerana ilmu mereka bahawa ayat-ayat yang muhkam mengandungi makna yang tegas dan jelas, dan kepadanya mereka mengembalikan ayat-ayat mutasyabih yang sering menimbulkan kebingungan bagi orang-orang yang kurang ilmu dan pengetahuannya. Mereka mengembalikan ayat-ayat yang mutaysabih kepada ayat-ayat muhkam sehingga akhirnya mereka berkata “kami beriman dengan kepada ayat-ayat mutasyabihat, semuanya itu dari sisi Tuhan kami. Dan tidak dapat mengambil pelajaran daripadanya melainkan orang yang berakal”. Iaitu orang yang memiliki akal yang sihat. Dalam ayat ini terdapat dalil yang menunjukkan bahawa sikap inilah yang menandakan orang-orang yang berakal, dan bahawa mengikuti (mempergunakan) ayat-ayat mutasyabih adalah sifat-sifat orang yang rosak pemikirannya, akalnya rendah, dan memiliki tujuan yang buruk.” (Rujuk Tafsir as-Sa’di di bawah perbahasan ayat 7 Surah Ali Imran)

Imam Ibnu Katsir rahimahullah menjelaskan:

“Ayat-ayat muhkam adalah seperti ayat-ayat yang menasakh (ayat yang lain), atau ayat-ayat yang berkenaan dengan permasalahan halal dan haram, masalah hudud (hukuman atau sanksi), kewajiban-kewajiban, serta perkara-perkara yang diperintahkan dan harus diamalkan.

Manakala ayat mutasyabihat adalah ayat-ayat yang dinasakh, didahulukan, diakhirkan, perumpamaan-perumpamaan, sumpah dan apa yang harus diimani tetapi bukan berupa amal perbuatan.

Muhammad bin Ishaq bin Yasar rahimahullah berkata: Firman Allah (maksudnya): “Di antara (isinya) ada ayat-ayat yang muhkamat”, iaitu di dalamnya berisi hujjah Allah, pedoman bagi para hamba, dan menolak bantahan yang batil. Ayat-ayat muhkam tidak mengalami perubahan yang menyimpang dari apa yang telah ditetapkan.

Seterusnya beliau menjelaskan: Adapun ayat-ayat mutasyabihat mengandungi perkara-perkara yang harus diyakini, yang ada kemungkinan padanya untuk dihuraikan, diubah, bahkan ditakwil. Allah menguji hamba-Nya dengan ayat-ayat tersebut sebagaimana Dia menguji mereka dalam masalah halal dan haram. Ayat-ayat tersebut tidak boleh dibawa kepada makna yang batil dan tidak boleh diselewengkan dari kebenaran.

Kerana itulah Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman (maksudnya): “Adapun orang-orang yang dalam hatinya (berpenyakit) cenderung kepada penyimpangan (zaigh)”, iaitu kesesatan (dhalal). Dan mereka pun keluar dari kebenaran menuju kebatilan. Firman Allah (maksudnya): “Maka mereka mengikuti sebahagian ayat-ayat mutasyabihat”, ertinya mereka hanya mengambil ayat-ayat mutasyabihat yang boleh untuk mereka selewengkan dan mereka menggunakannya bagi tujuan yang buruk. Kerana lafaz ayat tersebut boleh mereka bawa kepada makna yang mereka mahu.

Tetapi, tiada ruang bagi mereka untuk menyelwengkan ayat-ayat muhkamat. Kerana ayat-ayat muhkam merupakan penghalang sekaligus hujjah yang mengalahkan mereka. Kerana itulah Allah ‘Azza wa Jalla berfirman (maksudnya): “Untuk menimbulkan fitnah”. Iaitu untuk menyesatkan para pengikut mereka dengan seakan-akan mereka itu membawakan hujjah mereka berdasarkan dalil al-Qur’an. Padahal al-Qur’an adalah hujjah yang membatalkan bid’ah mereka, bukan mendukungnya.

Firman Allah (maksudnya): “Dan untuk mencari-cari takwilnya”, iaitu menyelewengkan maksud bersesuaian dengan apa yang mereka kehendaki. Dan seterusnya (maksudnya): “Tidak ada yang mengetahui takwilnya melainkan Allah”. (Lihat Tafsir Ibnu Katsir di bawah penafsiran ayat 7 surah Ali Imran)

Daripada penjelasan tersebut, jelaslah bahawa orang-orang yang berpenyakit hatinya adalah orang yang menyelewengkan ayat-ayat mutasyabihat, mereka mentakwilkannya keluar dari maksud yang dikehendaki oleh Allah yang di mana hanya Allah sahaja yang mengetahuinya iaitu mereka mentakwilkannya dengan cara mengubah kepada maksud-maksud yang lain (melarikan maknanya) atau seumpamanya daripada maksud zahirnya yang asal. Perkara ini adalah sebagaimana terdapat sebahagian pihak yang menggunakan ayat seperti Allah istiwa (bersemayam) di atas 'Arsy dengan diberi makna sebagai “Allah berkuasa” iaitu mereka menyelewengkan kalimat istiwa' kepada istawla' dan seumapamanya.

Berkenaan Allah di Atas ‘Arsy:

Al-Hafiz Ibnu Katsir rahimahullah menjelaskan berkenaan firman Allah (yang maksudnya), “...kemudian Dia beristawa di atas ‘Arsy.” (Surah al-A’raaf, 7: 54) dan juga surah Thoha (20: 5) sebagaimana yang ditanyakan oleh si penanya, begitu juga di dalam beberapa ayat yang lain iaitu Yunus, 10: 3, ar-Ra’d, 13: 2, al-Furqon, 25: 59, as-Sajdah, 32: 4, katanya:

“Di dalam menafsirkan ayat ini (al-A’raaf, 7: 54), manusia memiliki pelbagai pandangan yang sangat banyak dan tidak mungkin pada kesempatan ini kami menghuraikannya. Tetapi, pandangan yang kami ikuti berkenaan dengan permasalahan ini adalah pandangan Salaf as-Soleh, seperti Malik, al-Auza’i, ats-Tsauri, al-Laits bin Sa’ad, asy-Syafi’i, Ahmad, Ishaq bin Rahawaih, dan selainnya yang terdiri dari para imam kaum Muslimin sejak dahulu hingga kini. Mereka berpandangan supaya mengambil (memahami) ayat ini sebagaimana adanya tanpa menanyakan bagaimana (takyif), tidak menyerupakan Allah dengan makhluk-Nya (tasybih), serta tidak meniadakan sifat tersebut (ta’thil). Sementara itu, yang terlintas di dalam pemikiran kaum mutasyabbih adalah dinafikan dari-Nya kerana Dia tidak serupa dengan sesuatu pun dari makhluk-Nya. Tidak ada sesuatu yang seperti Allah dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Melihat.

Dalam perkara ini, pendapat orang-orang yang menganggap bahawa jika kita menetapkan sifat-sifat itu bagi Allah, bererti kita telah menyerupakan Allah adalah tidak benar. Malahan, yang benar adalah seperti yang diucapkan olrah para imam salaf, di antaranya Imam Nu’aim bin Hammad, syaikh (guru) al-Bukhari rahimahullah, ia berkata: “Barang siapa yang menyerupakan Allah dengan makhluk-Nya, bererti ia kufur. Barang siapa yang mengingkari apa yang Allah sifatkan untuk diri-Nya, bererti dia kafir. Tidak ada tasybih (penyerupaan Allah dengan makhluk) pada semua sifat yang dengannya Allah dan rasul-Nya mensifati diri-Nya Subhanahu wa Ta’ala.”

Maka, orang yang menetapkan bagi Allah apa yang disebutkan oleh ayat-ayat yang sharih dan hadis-hadis yang sahih adalah bersesuaian dengan kebesaran Allah dan menafikan dari Allah sifat-sifat kekurangan, bererti ia telah menempuh jalan hidayah.” (Rujuk Tafsir Ibnu Katsir & Adhwa’ ul Bayan di bawah penafsiran ayat 54 surah al-A’raaf)

Daripada Muawiyah bin Hakam As-Sulami radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata: “Aku memiliki seorang hamba wanita yang mengembalakan kambing di sekitar pergunungan Uhud dan Juwaiyah. Pada suatu hari aku melihat seekor serigala menerkam dan membawa lari seekor kambing gembalaannya (peliharaannya). Dan aku adalah termasuk salah seorang anak Adam (keturunan adam) dari manusia kebanyakan. Maka aku mengeluh sebagaimana mereka (memiliki rasa marah/tidak berpuas hati). Atas sebab itu (apabila kambingnya dimakan serigala) wanita itu aku pukul dan aku marahi. Kemudian aku pergi berjumpa Rasulullah, maka baginda mempersalahkan aku. Aku berkata: “Wahai Rasulullah! Adakah aku harus memerdekakannya?” Jawab Rasulullah: “Bawalah wanita itu ke sini”. Maka Rasulullah bertanya kepada wanita itu. “Di mana Allah?” Dijawabnya: “Di langit”. Rasulullah bertanya lagi: “Siapakah aku?” Dijawabnya: “Engkau Rasulullah”. Maka baginda bersabda: “Merdekakanlah wanita ini, kerana dia adalah seorang mukminah”.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 537. al-Bukhari, Juz al-Qira’ah, 70. asy-Syafi’i, ar-Risalah, 242. Malik, al-Muwaththa’, 2/77. Ahmad, al-Musnad, 5/447)

Imam asy-Syafi’i rahimahullah menjelaskan berkenaan hadis ini:

“Dengan itu, Rasulullah memutuskan keimanan budak wanita (jariyah/hamba wanita) tersebut ketika ia mengakui bahawa Rabbnya di langit dan dia tahu tentang Rabbnya melalui sifat ‘uluw dan fauqiyah (di atas).” (al-Umm, asy-Syafi’i, 5/280. al-Manaqib, al-Baihaqi, 1/398)

Rasulullah Shallahu ‘alaihi wa Salam bersabda: “Rabb kita turun ke langit dunia pada setiap malam iaitu ketika sepertiga malam terakhir. Dia berfirman: “Siapa yang berdoa kepada-Ku, maka akan Aku perkenannya, siapa yang meminta kepada-Ku, maka akan Aku berikan, dan sesiapa yang memohon ampun kepada-Ku, maka akan Aku ampuni.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 1145. Muslim, 758)

Imam Ibnu ‘Abdil Barr rahimahullah berkata berkenaan hadis ini:

“Dalam hadis ini terdapat dalil bahawasanya Allah berada di atas langit, di atas ‘Arsy sebagaimana dikatakan oleh para ulama. Hadis ini adalah salah satu hujjah Ahli Sunnah terhadap kelompok Mu’tazilah dan Jahmiyah yang berpendapat bahawa Allah ada di mana-mana, bukan di atas ‘Arsy.” (at-Tamhid lima fi al-Muwaththa’ min al-Ma’ani wa al-Asanid, Ibnu ‘Abdil Barr, 3/338. Kitab at-Tauhid, Ibnu Khuzaimah, m/s. 126)

Fatwa Para Ulama Salaf (terdahulu):

1 – Imam al-Auza’i berkata: “Kami dan seluruh Tabi’in bersepakat menyatakan bahawa: “Allah berada di atas ‘Arsy-Nya”. Dan kami semua mengimani sifat-sifat yang dijelaskan dalam as-Sunnah.” (Diriwayatkan oleh al-Baihaqi, Asma’ wa Shifat, m/s. 408. adz-Dzhabi, al-‘Uluw lil ‘Aliyyil ‘Azhim, m/s. 102)

2 – Imam ‘Abdullah Ibnul Mubarak berkata: “Kami mengetahui Rabb kami, Dia beristiwa’ di atas ‘Arsy berpisah dari makhluk-Nya. Dan kami tidak mengatakan sebagaimana kaum Jahmiyah yang menyatakan bahawa Allah ada di sini (beliau menuding/menunjukkan ke bumi).” (Diriwayatkan oleh ash-Shabuni, Aqidah Salaf Ashabul Hadis, m/s. 28)

3 – Imam Qutaibah bin Sa’id berkata: “Inilah pendapat para imam Islam, Ahli Sunnah wal Jama’ah, bahawa kami mengetahui Rabb kami di atas langit-Nya yang ketujuh di atas ‘Arsy-Nya.” (Dar’u Ta’arudh Naql wal Aql, Ibnu Taimiyah, 6/260)

4 – Imam ‘Utsman bin Sa’id ad-Darimi berkata: “Telah bersepakat kalimat kaum muslimin dan kafirin bahawa Allah di atas langit.” (Naqdhu Abi Sa’id ala Mirsi al-Jahmi al-Anid, 1/228)

5 – Imam Abu Zur’ah dan Abu Hatim berkata: “Ahli Islam telah bersepakat untuk menetapkan sifat bagi Allah bahawasanya Allah di atas ‘Arsy berpisah dari makhluk-Nya dan ilmu-Nya di setiap tempat. Barangsiapa yang menyatakan selain ini maka baginya laknat Allah.” (Syarh Ushul I’tiqad Ahli Sunnah, al-Lalika’i, 1/198)

6 – Ibnu ‘Abdil Barr berkata tentang hadis turunnya Allah ke langit dunia: “Dalam hadism ini terdapat dalil bahawa Allah di atas ‘Arsy, di atas langit-Nya sebagimana dikatakan oleh Jama’ah kaum muslimin.” (at-Tamhid lima fi al-Muwaththa’ min al-Ma’ani wa al-Asanid, Ibnu Abdil Barr, 7/129)

7 – Imam ash-Shabuni berkata: “Para ulama umat dan imam dari Salafush Soleh tidak berselisih pendspat bahawa allah di atas ‘Arsy-Nya dan ‘Arsy-Nya di atas langit-Nya.” (Dar’u Ta’arudh Naql wal Aql, Ibnu Taimiyah, 6/250. al-‘Uluw lil ‘Aliyyil ‘Azhim, adz-Dzahabi, 246)

8 – Imam Ibnu Qudamah menyatakan: Sesungguhnya Allah mensifati diri-Nya bahawa Dia tinggi di atas langit, demikian juga Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Salam (penutup para Nabi) mensifati Allah dengan ketinggian juga, dan perkara tersebut disepakati oleh seluruh ulama dari kalangan sahabat yang bertaqwa dan para imam yang mendalam ilmunya, hadis-hadis berkaitan dengannya juga mutawatir sehingga mencapai darjat yakin, demikian pula Allah menyatukan semua hati kaum muslimin dan menjadikannya sebagai fitrah semua makhluk.” (Itsbati Shifatul Uluw, Ibnu Qudamah, m/s. 12)

9 – Imam adz-Dzahabi menyatakan: “Mereka yang menjelaskan Allah di atas langit, hujjah-hujjah mereka adalah hadis-hadis dan atsar-atsar yang sangat banyak.” (al-‘Uluw lil ‘Aliyyil ‘Azhim, 143)

10 – Imam asy-Syafi’i berkata: “Kekhalifahan Abu Bakar ash-ShiddiQ adalah haq (benar), yang telah diputuskan Allah Ta’ala dari atas langit-Nya, dan Dia telah menghimpun hati hamba-hamba-Nya kepada Abu Bakar ash-ShiddiQ.” (Majmu’ al-Fatawa, Ibnu Taimiyyah, 5/139) “...bahawa tidak ada tuhan yang berhak disembah (ilah) melainkan Allah, dan Muhammad Rasulullah, dan bahawa Allah Subhanahu wa Ta’ala itu di atas ‘Arsy-Nya di langit-Nya yang dekat dengan makhluk-Nya bersesuaian dengan kehendak-Nya, dan bahawa Allah turun ke langit dunia bersesuaian dengan kehendak-Nya.” (Rujuk: Itsbati Shifatul Uluw, Ibnu Qudamah, 124. Majmu’ al-Fatawa, Ibnu Taimiyyah, 4/181-183. al-‘Uluw lil ‘Aliyyil ‘Azhim, adz-Dzahabi, 120. Mukhtashar al-‘Uluw lil ‘Aliyyil ‘Azhim, al-Albani, 176)

11 – Imam Ahmad bin Hanbal berkata: “Kita beriman kepada Allah bahawa Dia di atas ‘Arsy bersesuaian dengan kehendak-Nya tanpa dibatasi dan tanpa disifati dengan sifat yang kepadanya seseorang cuba mensifatinya (dengan mentakwil-takwil). Sifat-sifat Allah itu (datang) dari-Nya dan milik-Nya. Ia mempunyai sifat seperti yang Dia sifatkan untuk diri-Nya, yang tidak dapat dijangkau oleh pandangan (pancaindera).” (Dar’u Ta’arudh Naql wal Aql, Ibnu Taimiyah, 2/30. I’tiqadatul Aimmatil Arba’ah, Dr. Muhammad al-Khumais, 69 & 71. Lihat juga: Thabaqat al-Hanabilah, Abu Ya’la, 1/56)

12 – Imam Abu Hanifah berkata: “Sesiapa yang berkata, “Aku tidak tahu Rabbku di langit atau di bumi” bererti dia kafir. Begitu juga seseorang menjadi kafir apabila mengatakan bahawa Allah itu di atas ‘Arsy, namun dia tidak mengetahui sama ada ‘Arsy itu di langit atau di bumi.” (al-Fiqhul Absath, Abu Hanifah, 46. I’tiqadatul Aimmatil Arba’ah, Dr. Muhammad al-Khumais, 11)

13 - Sebagaimana di dalam soalan si penanya, beliau menyatakan Ibnu Taimiyyah berpegang dengan Akidah tersebut (Allah di Atas ‘Arsy). Maka dalam persoalan ini, Syaikh al-Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah menjelaskan:

“Pendapat bahawa Allah di atas ‘Arsy adalah pendapat yang disepakati oleh para Nabi seluruhnya, dan ianya disebutkan dalam setiap Kitab yang diturunkan kepada setiap nabi yang diutus sebagai Rasul. Persoalan itu telah disepakati pula oleh generasi pendahulu dari umat ini serta dari kalangan imam mereka dari semua golongan.” (Naqdhu at-Ta’sis, Ibnu Taimiyyah, 2/9)

“Permasalahan ini begitu luas, kerana orang-orang yang menukil ijma’ ahli Sunnah atau ijma’ (kesepakatan) Sahabat dan Tabi’in bahawa Allah di atas ‘Arsy, berpisah dari makhluk-Nya tidak dapat dihitung/dikira jumlah ramainya melainkan hanya Allah saja yang tahu...” (Bayanu Talbis Jahmiyah, Ibnu Taimiyah, 3/531)

Maka, dengan ini semoga si penjawab (Mohd. Yusof Abas) yang sudah berulang kali membawakan jawaban yang merancukan berkenaan persoalan yang sama, supaya menilai kembali penjelasannya yang tersebut (sebagaimana yang kami nukilkan). Semoga dengan penjelasan ringkas ini kita tidak bermudah-mudah menggelarkan orang lain sebagai berpenyakit hatinya, ditakuti ia terkena diri sendiri.

Ad-Daruquthni mentakhrijkan dari Walid bin Muslim, dia berkata:

Aku pernah berkata kepada Malik, ats-Tsauri, al-‘Auza’i, dan Laith bin Sa’ad berkenaan nash-nash sifat Allah. Mereka menjawab, “Fahamilah sebagaimana adanya bersesuaian dengan apa yang didatangkan (tanpa ditakwilkan)” (ash-Shifat, ad-Daruquthni, 75. asy-Syari’ah, al-Ajuri, 314. al-I’tiqad, al-Baihaqi, 118. at-Tamhid lima fi al-Muwaththa’ min al-Ma’ani wa al-Asanid, Ibnu Abdil Barr, 7/149)

Wallahu a’lam.