__________________________________________________________________________________

| Nawawi | Aqeedah | Fiqh | Anti Syirik | Galeri Buku | Galeri MP3 | U-VideOo |
__________________________________________________________________________________

Friday, July 6, 2007

ISU 16 - Siapakah Yang Digolongkan Sebagai Khawarij?

Siapakah Yang Digolongkan Sebagai Khawarij?

Sikap, perbuatan, tindakan dan sifat buruk Khawarij telah dijelaskan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam di dalam beberapa sabda baginda, antaranya ialah:

عَنْ اَبِيْ بَرْزَةَ اَنَّهُ قِيْلَ لَهُ : هَلْ سَمِعْتَ رَسُوْلَ اللهِ صَلَى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَذْكُرُوْنَ الْخَوَارِجِ ؟ فَقَالَ : نَعَمْ . سَمِعْتُ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِاُذُنِيْ وَرَاَيْتُهُ بِعَيْنَيْ اُتِيَ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِمَالٍ فَقَسَمَهُ فَاَعْطَى مَنْ عَنْ يَمِيْنِهِ وَمَنْ عَنْ شِمَالِهِ وَلَمْ يُعْطَ مَنْ وَرَاءَ هُ شَيْئًا ، فَقَامَ رَجُلٌ مِنْ وَرَائِهِ فَقَالَ : يَا مُحَمَّدُ مَا عَدَلْتَ فِى الْقِسْمَةِ ، رَجُلٌ اَسْوَدُ مَطْمُوْمُ الشَّعْرِ ، عَلَيْهِ ثَوْبَانِ اَبْيَضَانِِ . فَغَضِبَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ غَضَبًا شَدِيْدًا وَقَالَ : وَاللهِ لاَ تَجِدُوْنَ بَعْدِي رَجُلاً هُوَ اَعْدَلُ مِنِّيْ ؟ . ثَمَّ قَالَ : يَخْرُجُ فِى آخِرِ الزَّمَانِ قَوْمٌ ، كَاَنَّ هَذَا مِنْهُمْ ، يَقْرَؤُوْنَ الْقُرْآنَ لاَ يُجَاوِزُ تَرَاقِيَهُمْ ، يَمْرُقُوْنَ مِنَ اْلاِسْلاَمِ كَمَا يَمْرُقُ السَّهْمُ مِنَ الرَّمِيَّةِ سِيْمَاهُمْ التَّحْلِيْقُ لا َيَزَالُوْنَ يَخْرُجُوْنَ حَتَّى يَخْرُجُ آخِرُهُمْ مَعَ الْمَسِيْحِ الدَّجَّالِ ، فَاِذَا لَقِيْتُمُوْهُمْ فَاقْتُلُوْهُمْ هُمْ شَرُّ الْخَلْقِ وَالْخَلِيْقَةِ.

“Dari Abu Barzah beliau ditanya: Apakah engkau mendengar Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda tentang Khawarij? Ia menjawab: Ya, aku mendengar Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda dengan telingaku dan melihat dengan mataku! Baginda datang dengan membawa harta, lalu baginda membahagi-bahagikannya. Maka baginda memberi kepada orang-orang yang berada di sebelah kanan dan kirinya dan tidak memberikan kapda orang-orang yang berada di belakang baginda sedikitpun. Berdirilah seorang yang berada di belakang baginda lantas berkata: Wahai Muhammad, engkau tidak adil dalam pembahagian! Dia adalah seorang lelaki yang berkulit hitam dengan rambut yang dicukur gondol dan memakai dua baju putih. Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam marah dengan kemarahan yang bersangatan, kemudian bersabda: Demi Allah, kamu tidak akan mendapat seorang setelahku yang lebih adil daripadaku! Kemudian baginda bersabda lagi: Akan muncul pada akhir zaman suatu kaum seolah-olah ia dari mereka (orang-orang yang menentang kepimpinan Rasulullah). Mereka membaca al-Quran tetapi tidak melebihi tenggorokan mereka, terlepas dari Islam seperti terlepasnya anak panah dari busurnya, ciri-ciri mereka ialah bercukur gondol, mereka akan sentiasa bermunculan sehingga akan keluar orang yang terakhir bersama al-Masih ad-Dajjal. Jika kamu menemui mereka maka bunuhlah mereka. Mereka seburuk-buruk makhluk dan ciptaan”. (H/R Ahmad (429) dan Nasaii (4104))

Antara ciri-ciri besar Ikhwanul Muslimin yang diwarisi dari Khawarij ialah suka membantah, menyalahkan dan menuduh pemimpin serta orang-orang di luar kelompok mereka yang tidak disenangi sebagai tidak adil, malah dihukum kafir secara mutlak kerana mereka mendakwa pemimpin dan orang-orang di bawahnya tidak mahu berhukum dengan hukum Allah. Semua sifat-sifat Khawarij seperti mentauhidkan hukum (tauhid hakimiyah) telah digambarkan oleh Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam di dalam sabda baginda:

عَنْ اَبِيْ سَعِيْدِ الْخُدْرِيِّ قَالَ : بَيْنَمَا نَحْنُ عِنْدَ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وهُوَ يَقْسِمُ قِسْمًا اَتَاهُ ذُوْ الْخُوَيْصِرَةِ وَهُوَ رَجُلٌ مِنْ بَنِيْ تَمِيْمِ فَقَالَ : يَا رَسُوْلَ اللهِ اِعْدِلْ . قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلِيْهِ وَسَلَّمَ : وَيْلَكَ وَمَنْ يَعْدِلْ اِنْ لَمْ اَعْدِلْ؟ قَدْ خِبْتُ وَخَسِرْتُ اِنْ لَمْ اَعْدِلُ ؟ فَقَالَ عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ : يَا رَسُوْلَ اللهِ ! آئِذَنْ لِيْ فِيْهِ اَضْرِبُ عُنُقَهُ . قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: دَعْهُ فَاِنَّ لَهُ اَصْحَابًا يَحْقِرُ اَحَدُكُمْ صَلاَتَهُ مَعَ صَلاَتِهِمْ ، وَصِيَامُهُ مَعَ صِيَامِهِمْ ، يَقْرَؤُوْنَ الْقُرْآنَ لاَيُجَاوِزُ تَرَاقِيُهُمْ يَمْرُقُوْنَ مِنَ الْلاِسْلاَمِ كَمَا يَمْرُقُ السَّهَمُ مِنَ الرَّمِيَّةِ.

“Dari Abi Sa’id al-Khudri berkata: Ketika kami bersama Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam di suatu ketika beliau sedang membahagi-bahagikan beberapa pembahagian. Datanglah kepada baginda Zul Khuwaisirah dari Bani Tamim dan berkata: Wahai Rasulullah berlaku adillah! Baginda bersabda: Celaka engkau! Siapakah yang akan berlaku adil jika aku tidak adil, dosalah aku dan merugilah jika aku tidak berlaku adil? Maka Umar al-Khattab berkata: Wahai Rasulullah, izinkan aku untuk memenggal lehernya! Baginda bersabda: Biarkan dia, kerana dia mempunyai teman-teman yang salah seorang antara kamu akan diremehkan solatnya jika dibandingkan dengan salat mereka, dan puasanya jika dibandingkan dengan puasa mereka. Mereka membaca al-Quran tetapi tidak melebihi kerongkong mereka, mereka terlepas dari Islam sebagaimana terlepasnya anak panah dari busurnya”. (H/R Bukhari (3610), Muslim (1064 dan Ahmad (224))

Orang-orang Khawarij, pengikut serta pentaklid fahaman ini kuat ibadahnya, kelihatan zuhud, banyak membaca al-Quran dan melakukan solat tetapi mereka masih dimurkai Allah ‘Azza wa-Jalla. Perihal dan sifat mereka telah digambarkan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam:

يَخْرُجُ قَوْمٌ مِنْ اُمَّتِيْ يَقْرَؤُوْنَ الْقُرْآنَ يَحْسَبُوْنَ اَنَّهُ لَهُمْ وَهُوَ عَلَيْهِمْ لاَتَجَاوِزُ صَلاَتِهِمْ تَرَاقِيَهُمْ

“Akan keluar satu kaum (Khawarij) dari umatku yang membaca al-Quran, mereka menyangka bahawasanya diberi pahala untuk mereka padahal (kemurkaan Allah) atas mereka. Solat mereka pula tidak melepasi tenggorokan mereka”. (H/R Muslim (1066))

Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam juga menggambarkan sikap serta sifat buruk Khawarij yang petah bercakap, berkarisma dalam berpidato, pandai bertikam lidah dan bermain hujah tetapi hati mereka kosong dari keimanan, lantaran mengkafirkan orang yang tidak sealiran dengan mereka serta membelakangkan Kitabullah dan sunnah RasulNya apabila bertentangan dengan kepentingan, akal dan hawa nafsu mereka. Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda:

يُحْسِنُوْنَ الْقِيْلَ وَيَسِيْئُوِنَ الْفِعْلَ يَدْعُوْنَ اِلَى كِتَابِ اللهِ وَلَيْسُوْا مِنْهُ فِى شَيْىءٍ.

“Membaguskan perkataan tetapi buruk tingkahnya, mengajak kepada kitab Allah tetapi tidaklah mereka termasuk di dalamnya sedikitpun”. (H/R Ahmad (224))

Khawarij adalah nama yang diberikan kepada hizbi, golongan atau parti yang keluar dari jamaah, pemerintah atau penguasa Islam. Mereka mengwujudkan hizbi untuk menjatuhkan pemerintah atau pecah-belah sebagaimana yang dilakukan oleh Khawarij terhadap Khalifah Uthman dan Ali bin Abi Talib. Akibat dari pemberontakan tersebut berlaku pembunuhan Khalifah Uthman, kekecohan yang berpanjangan serta pemberontakan yang berlarutan sehingga ke pemerintahan Ali.

Dimasa kekhalifahan Ali, semakin bertambah kekejian Khawarij, mereka memisahkan diri dari jamaah Ali. Mereka merupakan kelompok pertama yang keluar dari Ahli as-Sunnah wal-Jamaah, mengkafirkan Ali serta para sahabat yang menyebelahi Ali kerana tidak secucuk dengan pemikiran dan manhaj mereka. Bahkan sikap keras dan pengkafiran mereka terhadap orang yang di luar kelompoknya terbukti dengan membunuh sahabat yang bernama Abdullah bin Khabab dan isterinya.

Jika difahami dari kandungan sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam tentang Khawarij, akan terbukti bahawa Khawarij akan terus bermunculan sehinggalah keakhir zaman. Dan mereka akan sentiasa bertolong-tolongan dengan kuffar dan dajjal sebagaimana yang telah dikhabarkan oleh baginda:

سَيَخْرُجُ فِى آخِرِ الزَّمَانِ قَوْمٌ اَحْدَاثُ اْلاَسْنَانِ ، سُفَهَآءُ اْلاَحْلاَمِ يَقُوْلُوْنَ مِنْ خَيْرِ قَوْلِ الْبَرِّيَّةِ ، يَقْرَاُوْنَ الْقُرْآنَ لاَ يُجَاوِزُ حَنَاجِرَهُمْ يَمْرُقُوْنَ مِنَ الدِّيْنِ كَمَا يَمْرُقُ السَّهَمَ مِنَ الرَّمِيَّةِ

“Akan keluar pada akhir zaman satu kaum, umurnya masih muda, rosak pemikirannya, mereka berkata dari sebaik-baik perkataan makhluk. Membaca al-Quran tidak melebihi kerongkong mereka. Mereka terkeluar dari agama seperti terkeluarnya anak panah dari busurnya”.

Takfir (Pengkafiran) Adalah Syiar Khawarij

Di sepanjang sejarah Islam, Khawarij dikenali sebagai golongan yang mudah menghukum kafir (takfir) terhadap sesiapa sahaja yang menyalahi mazhab mereka, sehingga berani mengkafirkan manusia pilihan iaitu Uthman dan Ali radiallahu ‘anhuma serta para sahabat yang lain kerana dituduh bertahkim kepada selain yang diturunkan oleh Allah.

Antara punca para sahabat dikafirkan oleh kelompok Khawarij ialah tidak mengikut jejak mereka dalam menghukum sesat dan mengkafirkan Khalifah Ali. Awas, semua ciri-ciri Khawarij di atas ini terdapat dalam kelompok Ikhwanul Muslimin dan Hizbut Tahrir serta golongan yang sefahaman dengan mereka!

Ibn Taimiyah pernah menjelaskan tanda-tanda Khawarij:

“Dasar penekanan Khawarij ialah mengkafirkan seseorang lantaran ia berdosa, padahal berdosa tidak menyebabkan seseorang menjadi kafir. Prinsip mereka kembali kepada al-Quran tetapi tidak kepada sunnah, yang disangka menyalahi zahir al-Quran sekalipun sunnah yang mutawatir. Khawarij mengkafirkan dan menghalalkan darah serta segala apa yang ada pada orang Islam yang menentang mereka, tetapi tidak mengharamkan darah orang yang kafir”.

Rasulullah sallallahi ‘alaihi wa-sallam bersabda:

يَقْتُلُوْنَ اَهْلَ اْلاِسْلاَمَ وَيَدعُوْنَ اَهْلَ اْلاَوْثِانِ.

“Mereka (Khawarij) membunuh (memerangi) ahlul Islam, tetapi membiarkan para penyembah berhala”. (H/R Bukhari. No. 3644. Muslim No. 1064. Lihat: Sahih al-Jami’ No. 2227. Nasruddin al-Albani.)

عَنِ اْلاِمَامِ أَيُّوْب السَّخْتِيَانِيْ رَحِمَهُ الله اَنَّهُ كَانَ يَقُوْلُ : أَهْلُ اْلاَهْوَاء كُلُّهُمْ خَوَارِج . وَيَقُوْلُ : اِنَّ الْخَوَارِجَ اخْتَلَفُوْا فِى الاِسْمِ ، وَاجْتَمَعُوْا عَلَى السَيْفِ.

“Dari Imam Abu Ayyub Assakhtiani rahimahullah sesungguhnya dia pernah berkata: Pemuja hawa nafsu semua terdapat pada Khawarij. Dan dia berkata: Sesungguhnya Khawarij berbeza-beza pada nama, mereka bersatu dalam pedang (bersatu memusuhi orang yang di luar kelompok dan dibencinya)”. (Riwayatkan oleh al-Lalikaii. Dalam Syarah as-Sunnah)

Ahli Sunnah Wal-Jamaah Menentang Khawarij

Iktikad Ahli Sunnah wal-Jamaah yang berpegang dengan manhaj Salaf as-Soleh amat bertentangan dengan pegangan Khawarij. Ahli Sunnah wal-Jamaah meyakini pelaku dosa besar selain syirik tidak mengeluarkan seseorang itu dari keimanan. Ia masih seorang muslim tetapi muslim yang fasik, ‘asi atau kurang imannya lantaran dosa-dosa yang dilakukannya. Allah ‘Azza wa-Jalla berfirman:

اِنَّ اللهَ لاَ يَغْفِرُ اَنْ يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُوْنَ ذَلِكَ لِمَنْ يَشَآءُ.

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik, dan Dia akan mengampunkan segala dosa selain dari itu (syirik) bagi sesiapa yang dikehendakiNya”. (an-Nisaa’ 4: 116)

Banyak qaul-qaul Khawarij yang bertentangan dengan Kitabullah dan sunnah Rasulullah. Mereka tidak mempunyai pengetahuan yang mendalam tentang ilmu-ilmu agama. Walaupun mereka kembali kepada al-Quran tetapi meninggalkan tafsiran al-Quran yang dirasakan bertentangan dengan akal fikiran dan hawa nafsu mereka, kerana mereka menerima al-Quran hanya berlandaskan akal dan perkiraan mereka semata.

Khawarij adalah tergolong penganut hizbiyah yang kuat beribadah, solat, puasa dan membaca al-Quran, akan tetapi menurut penjelasan dari hadis Rasulullah mereka tidak faqih (faham) tentang agama Allah. Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam telah menerangkan perbandingan ibadah Khawarij dengan ibadah para sahabat, seolah-olah kebaikan, solat dan ibadahnya para sahabat lebih rendah dibanding solat dan ibadahnya Khawarij. Namun baginda telah bersabda tentang hakikat Khawarij:

يَمْرُقُوْنَ مِنَ الدِّيْنِ كَمَا يَمْرُقُ السَّهْمُ مِنَ الرَّمِيَّةِ.

“Mereka (Khawarij) keluar dari agama sebagaimana keluarnya anak panah dari sasarannya”. (H/R Bukhari (7432). Muslim (1064). Ahmad (111/73). an-Nasaii (2577). Abu Daud (7464) dan ath-Thayalisi (2234).)

Kesungguh-sungguhan Khawarij beribadah bukan di atas dasar kebenaran, keikhlasan atau ilmu yang sahih, tetapi di atas dasar hawa nafsu. Oleh itu jadilah kesungguhan ibadah mereka sebagai amalan yang bid’ah, fitnah dan keburukan yang menimpa mereka dan individu-insividu Islam yang telah diperangkap oleh makr (penipuan) mereka.

Khawarij Menggemari Perpecahan

Khawarij tidak akan menentang atau memerangi orang-orang kafir, tetapi mereka lebih membenci dan memusuhi orang-orang Islam terutamannya yang tidak sealiran dengan pemikiran mereka. Khawarij lebih gemar menentang dan memerangi orang Islam yang benar-benar berpegang dengan manhaj Salaful Ummah. Kenyataan ini telah disabdakan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam:

يَقْتُلُوْنَ اَهْلَ اْلاِسْلاَمِ وَيَدْعُوْنَ اَهْلَ اْلاَوْثَانِ.

“(Khawarij) akan membunuh orang Islam dan meninggalkan (membiarkan) penyembah berhala”. (H/R Bukhari (7432). Muslim (1064). an-Nasaii (2577). Abu Daud (7464) dan ath-Thayalisi (2234))

Sejarah Khawarij lebih dipenuhi dengan keganasan dan pembunuhan terhadap orang-orang Islam dan pemimpinnya. Mereka telah memerangi dan membunuh kaum muslimin dan membunuh Khalifah Ali bin Abi Talib, Zubair bin Awwam dan sahabat-sahabat pilihan. Mereka akan terus mengecoh, memfitnah dan membunuh kaum muslimin kerana kekeringan ilmu. Oleh kerana itu, al-Allamah Ibnu Qayyim rahimhullah menegaskan dalam mensifatkan golongan Khawarij:

وَلَهُمْ نُصُوْصٌ قَصَّرُوْا فِى فَهْمِهَا * فَاُتُوْا مِنَ التَّقْصِيْرِ فِى الًعِرْفَانِ

“Mereka menghafal nas-nas namun dangkal pemahamannya * Sehingga mereka diberi kekurangan dalam ilmunya”.

Khawarij dulu dan sekarang gemar bertikam lidah, berbolak-balik dan bermain-main dengan nas-nas al-Quran atau hadis yang berkaitan ancaman bagi pelaku maksiat dan dosa besar, kerana mereka tidak memahami maknanya, tidak mahu kembali kepada tafsiran Salaf as-Soleh, tidak mahu kembali kepada nas-nas lain yang terdapat janji Allah tentang adanya pengampunan dan taubat bagi Si Pelaku maksiat selain kesyirikan.

Khawarij hanya mengambil satu bahagian dari agama dan meninggalkan bahagian-bahagian yang lain yang lebih penting dan utama kerana kejahilan mereka yang keterlaluan. Sebenarnya rasa semangat terhadap agama dan ingin melaksanakan tuntutannya yang berkobar-kobar tidak mencukupi kerana keduanya harus berlandaskan ilmu supaya setiap perkara dapat diletakkan pada tempat yang sewajarnya.

Bersemangat terhadap agama adalah baik tetapi mestilah dibimbing oleh para ulama melalui pengajian al-Kitab dan as-Sunnah. Kerana tidak ada yang lebih bersemangat terhadap agama dan banyak nasihatnya terhadap kaum muslimin selain daripada para sahabat. Walaupun demikian, para sahabat tetap menolak, menentang dan membunuh Khawarij kerana mereka tahu bahaya dan buruknya Si Khawarij. Contohnya, Ali bin Abi Talib radiallahu ‘anhu dan para sahabat memerangi Khawarij, kemudian membunuh mereka dengan seburuk-buruk pembunuhan pada peristiwa “Hanran”. Peristiwa tersebut sebagai bukti kejinya Khawarij pada pandangan para sahabat. Khawarij terkenal lantaran sikap dan pendirian mereka yang menghalalkan darah dan harta kaum muslimin yang berada di luar kelompok mereka. Tindakan para sahabat membunuh Khawarij demi untuk menghapuskan mereka, memadamkan keganasan dan pengaruh mereka yang membahayakan pemerintah dan rakyat.

Begitu juga tindakan para sahabat memerangi Khawarij adalah bertujuan untuk merebut ganjaran yang dijanjikan oleh Allah dan RasulNya. Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam telah memberikan khabar gembira dengan kebaikan dan syurga bagi sesiapa sahaja yang membunuh Khawarij. Baginda bersabda:

يَأْتِيْ فِى آخِرِ الزَّمَانِ ، قَوْمٌ حُدَثَاءُ اْلاَسْنَانِ ، سُفَهَاءُ اْلاَحْلاَمِ ، يَقُوْلُوْنَ مِنْ خَيْرِ قَوْلِ الْبَرِيَّةِ ، يَمْرُقُوْنَ مِنَ اْلاِسْلاَمِ كَمَا يَمْرُقُ السَّهْمُ مِنَ الرَّمِيَّةِ ، فَإِنَّمَا لَقِيْتُمُوْهُمْ فَاقْتُلُوْهُمْ ، فَإِنَّ فِيْ قَتْلِهِمْ أَجْرًا لِمَنْ قَتَلَهُمْ يَوْمَ الْقَيَامَةِ.

“Akan muncul di akhir zaman suatu kaum yang muda belia, akalnya rosak, mereka berucap dengan sebaik-baik pencinta (al-Quran), iman mereka tidak sampai melebihi tenggorokan mereka, mereka terlepas dari agama sebagaimana lepasnya anak panah dari busurnya. Di mana sahaja kamu menemui mereka, bunuhlah mereka, kerana sesungguhnya dalam pembunuhan terhadap mereka terdapat pahala di akhirat bagi orang yang membunuh mereka”. (H/R Bukhari dan Muslim)

Ali bin Abi Talib telah membunuh Khawarij untuk mencegah kejahatan mereka terhadap kaum muslimin. Wajib bagi kaum muslimin disetiap zaman sedaya yang termampu menghapuskan golongan Khawarij dengan cara menyeru mereka ke jalan Allah, sebagaimana Ali pernah mengutus kepada Khawarij anak pamannya iaitu Abdullah bin Abbas, orang yang paling alim dan penafsir al-Quran untuk berbincang dengan mereka. Berkat pertolongan Allah, kembali bersama dan taat kepada Khalifah Ali sejumlah 6000 orang. Bakinya yang tidak kembali ke jalan kebenaran, diperangi oleh Amirul Mukminin Ali bin Abi Talib berserta para sahabat untuk mencegah kejahatan dan gangguan mereka terhadap kaum muslimin. (Semua teks dalam tajuk “Siapakah Yang Dinamakan Khawarij” ini dinukil (disalin) dari kitab “Lamhah ‘Anil Firaq ad-Dhalalah”. Oleh Syeikh Soleh bin Fauzan al-Fauzan.)

Oleh itu, jika Khawarij menentang pemerintah dan rakyat, maka pemerintah wajib membunuh Khawarij untuk menolak dan menghapuskan niat serta kejahatan yang sentiasa mereka rancangkan, sebagaimana yang dilakukan oleh Khalifah Ali bin Abi Talib radiallahu ‘anhu demi mentaati perintah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam dan menyelamatkan umat dari bala fitnah Khawarij.

Makr (Tipu Helah) Khawarij

Sememangnya syariat Allah diturunkan semata-mata untuk dilaksanakan dan dijadikan rujukan dalam menentukan hukum ahkam, baik di bidang akidah, ibadah atau akhlak kerana Allah telah berfirman:

وَاَنِ احْكُمْ بِيْنَهُمْ بَمَا اَنْزَلَ اللهُ.

“Dan hendaklah engkau memutuskan hukum antara mereka menurut yang telah diturunkan Allah”. (al-Maidah. 49)

فَلاَ وَرَبِّكَ لاَ يُؤْمِنُوْنَ حَتَّى يُحَكِّمُوْكَ فِيْمَا شَجَرَ بِيْنَهُمْ.

“Maka demi Tuhanmu, mereka (pada hakikatnya) tidak beriman sehingga mereka menjadikan kamu hakim terhadap perkara yang mereka perselisihkan”. (an-Nisaa’. 65)

Namun golongan Khawarij yang beralasan untuk mendirikan Daulah Islamiyah dan melaksanakan hukum Allah, mereka memperalatkan beberapa hujah dan ayat-ayat di atas dengan laungan dan makr mereka dengan cara menyeru, mempropaganda dan mendiayahkan tauhid hakimiyah melalui tafsiran hawa nafsu, andaian akal fikiran mereka yang jahil dan sempit serta putar belit. Tujuan mereka ialah untuk mencapai matlamat mereka yang keji.

Seruan tauhid hakimiyah yang dilaungkan oleh Khawarij bukanlah untuk mengajar kaum muslimin tentang tauhid yang dibawa oleh para nabi dan para rasul atau untuk berhukum dengan hukum Allah, melainkan tipu muslihat dan senjata politik mereka untuk mentakfir (mengkafir) sesiapa yang tidak masuk ke dalam jamaah dan perjuangan mereka.

Tipu daya penyeru tauhid hakimiyah golongan hizbi haraki Khawarij dan termasuk Muktazilah gaya baru ialah dengan mempersempitkan pengertian tauhid hakimiyah. Antara alasan-alasan yang mereka kemukakan ialah untuk melaksanakan hudud tetapi hanya difokaskan pada perlaksanaan hukum pidana dan hukum-hukum sosial politik semata. Caranya dengan mengelirukan penafsiran dalil-dalil syara dan tujuannya pula ialah untuk menentang pemerintah Islam yang dianggap kafir. Inilah antara penipuan yang mulu-muluk (disolek indah) untuk mengabui fikiran umat dan kesalahan yang paling besar yang bertopeng atas nama akidah yang dilakukan oleh golongan Khawarij yang dahulu dan yang sekarang.

Tauhid Hakimiyah Ala Khawarij

Kebanyakan pejuang, penggerak dan penyeru tauhid hakimiyah ala Khawarij dan Muktazilah yang dijadikan wadah oleh firqah Ikhwanul Muslimin, memencil dan menyisihkan persoalan akidah (tauhid uluhiyah, tauhid rububiyah dan tauhid asma wa-sifat) dalam perjuangan dan dakwah mereka.

Lihatlah bagaimana gerakan Ikhwanul Muslimin memperjuangkan syiar Khawarij melalui teori tauhid hakimiyah sehingga menghukum kafir dan syirik kepada pemerintah dan sesiapa yang tidak berhukum dengan hukum Allah. Lihatlah apa yang difatwakan oleh Sayid Qutub:

كانوا العرب يعرفون من لغتهم معنى : إله ومعنى لا اله إلا الله ، كانو ايعرفون : أن الألوهية تعني الحاكمية.

“Orang-orang Arab dahulukala, semuanya mengetahui melalui bahasa mereka makna Ilah dan makna Laa Ilaha Illallah, mereka mengetahui: Bahawasanya Uluhiyah membawa makna pada hakimiyah”. (Lihat: Fi Zilalul Quran)

والذين لا يفردون الله بالحاكمية فى أي زمان ، فى أي مكان هم مشركون.

“Maka orang-orang yang tidak meng-Esakan Allah dalam hal Hakimiyah (hukum) dizaman apapun, dimanapun mereka, maka mereka itu adalah orang-orang musyrik”. (Lihat: Fii Zilalil Quran. 11/1492)

Perjuangan Khawarij yang diteruskan oleh Ikhwanul Muslimin sangat menitik-beratkan cara-cara menjatuhkan penguasa yang telah mereka hukum sebagai kafir, syirik atau zalim. Mereka menilai keIslaman seseorang atau pemerintah hanya pada perlaksanaan hukum terutamanya hudud bukan pada nilai akidah mereka. Pemahaman seperti ini adalah mungkar kerana ia diwarisi dari sikap Zul Khuwaisirah yang menentang Rasululullah yang dituduh tidak berlaku adil. Buah fahaman yang dipetik dari benih yang ditanam oleh Khawarij yang menentang Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam ini adalah bertentangan dengan pemahaman Ahli Sunnah wal-Jamaah yang berpegang dengan manhaj Salaf as-Soleh dalam mensikapi pemerintah dan orang-orang Islam.

Ikhwanul Muslimin ala Khawarij, para pentaqlid dan mereka yang sefahaman dengannya menghidupkan semangat revolusioner penderhakaan dengan cara memperjuangkan tauhid hakimiyah. Mereka beralasan dan berkeyakinan: “Apabila penguasa yang kafir dan zalim dijatuhkan kemudian digantikan dengan seorang Imam, maka rakyat akan berubah menjadi muslim yang sempurna” Begitulah peranan tauhid hakimiyah antara alat politik yang diperalatkan sehingga dijadikan diayah dan penipuan yang paling mungkar oleh puak Khawarij terhadap ummah Islamiyah.

Para ulama Salaf as-Soleh menunaikan seruan dakwah yang diwajibkan kepada mereka secara syumuliah. Meliputi semua lapisan masyarakat dengan mendahulukan persoalan akidah di samping membetulkan tata-cara beribadah, bermuamalah, melaksanakan hukum-ahkam syariah dan berakhlak mulia sebagai ibadah di setiap sendi kehidupan mereka, bermula dari masalah membangun rohani, kebendaan, etika kebersihan (bersuci), pengurusan, sehinggalah pembentukan Daulah Islamiyah, iaitu dengan nasihat yang lemah-lembut, kata-kata yang lunak, amar makruf nahi mungkar, menjaga kehormatan dan maruah pemerintah serta rakyat jelata, memelihara harga diri serta darah kaum Muslimin. Begitulah sifat hamba Allah yang terbaik dan mulia sebagaimana firman Allah:

كُنْتُمْ خَيْرَ اُمَّةٍ اُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَاْمُرُوْنَ بِالْمَعْرُوْفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَتُؤْمِنُوْنَ بِاللهِ.

“Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar serta beriman kepada Allah”. (Ali Imran, 3:110)

Pandangan Ulama Terhadap Hakimiyah

Menurut para ulama Salaf as-Soleh, jika tauhid hakimiyah dijadikan tambahan kepada tauhid rububiyah, uluhiyah dan tauhid asma wa as-sifat wa az-zat, ia adalah bid’ah yang diada-adakan. Syeikh Syafwat Nuruddin berkata:

“Sesiapa yang berpendapat bahawa tauhid hakimiyah sebagai bahagian terpisah dari bahagian-bahagian (tauhid rububiyah, uluhiyah dan asma wa as-sifat) dan akidah, maka itu adalah pendapat yang tidak tepat. (Syeikh Syafwat Nuruddin adalah ketua Jam’iyah Ansar us Sunnah Mesir)

Tauhid hakimiyah belum dikenali oleh kebanyakan masyarakat Islam Nusantara. Masih ramai yang tidak pernah mendengar kalimah “tauhid hakimiyah”. Ideologi yang batil ciptaan Khawarij ini telah wujud sejak Khalifah Ali radiallahu ‘anhu. Kini ia rancak dihidupkan dan didakwahkan kembali oleh hizbi Ikhwani yang direstui oleh Hizbut Tahrir, JI, DI, Parti FIS dan hizbi-hizbi yang sealiran dengan Khawarij. Mereka telah diistilahkan oleh Syeikh Nasruddin al-Albani rahimahullah sebagai Khawarij Gaya Baru (KGB).

Setiap mukmin wajib menghapuskan setiap bid’ah yang bermunculan kerana Rasulullah bersabda:

“Setiap bid’ah itu sesat”.

Tauhid hakimiyah ciptaan Khawarij yang didalangi oleh Ikhwanul Muslimin, mempunyai beberapa tafsiran atau definisi yang batil atau bid’ah antaranya:

1 - Menafsirkan kalimah tauhid atau kalimah ikhlas: (لااله الا الله) kepada makna: Tidak ada hakim selain Allah atau tidak ada yang menentukan takdir selain Allah. Dengan dasar ini Khawarij yang dahulu dan yang sekarang mengkafirkan (kafir mutlak atau syirik) sesiapa yang tidak berhukum dengan hukum Allah. Menurut mereka: Batal akidah tauhid sesiapa yang tidak kembali kepada hukum Allah. Laungan dan propaganda ini dijadikan senjata dan pelengkap diayah politik mereka. Inilah juga ciri-ciri khas hizbi yang ingin menjatuhkan pemerintah Islam, memecah-belahkan umat Islam dan pencetus keganasan sejagat.

2 - Hakimiyah (حاكمية) diambil dan dikaitkan dengan penafsiran ayat: (ان الحكم الا لله) “Sesungguhnya hukum itu hanya milik Allah”. Di zaman Ali radiallahu ‘anhu, Khawarij menggunakan kalimah ini sebagai propaganda dan perantara untuk menghalalkan pemberontakan terhadap pemerintahan yang bertujuan untuk membunuh, menjatuhkannya dan mengangkat senjata memerangi para sahabat radiallahu ‘anhum.

Pada zaman ini puak Khawarij kembali menggunakan kalimah ini (tauhid hakimiyah) untuk menabur fitnah, menghina, mengkafirkan dan menjatuhkan penguasa, menghalalkan darah orang Islam, pemberontakan dan keganasan.

3 - Tauhid hakimiyah juga dipetik melalui penafsiran yang salah terhadap firman Allah:

(وَمَنْ لَمْ يَحْكُمْ بِمَا اَنْزَلَ اللهُ فَاُولَئِكَ هُمُ الْكَافِرُوْنَ)

“Sesiapa yang tidak berhukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah maka mereka adalah orang-orang kafir”.

Khawarij, Muktazilah, KGB (Khawarij Gaya Baru) dan yang sealiran dengan mereka (termasuk yang berada di Malaysia, Singapura, Indonesia dan Thailand) mengkafirkan sesiapa yang tidak menerima fahaman mereka, yang tidak berjuang dengan mereka, yang tidak mahu bergabung dengan mereka dan sesiapa sahaja yang tidak mentaati hukum Allah Subhanahu wa-Ta’ala, sama ada pemerintah, lembaga-lembaga yang berkaitan dengan pemerintah, jamaah atau individu.

Fatwa Para Ulama

Para ulama Salaf as-Soleh memfatwakan bahawa tauhid hakimiyah adalah sesuatu yang fahaman yang muhdas (bid’ah). Digunakan oleh golongan Khawarij untuk membentuk hizbi. Menjalankan hasutan sehingga terjadi perpecahan di kalangan umat Islam. Mengajak umat agar berdemonstrasi, membangkitkan pemberontakan dan revolusi melalui teori takfir (pengkafiran terhadap pemerintah dan orang-orang yang di luar jamaah mereka).

Akhirnya Khawarij dan yang memperalatkan slogan ini (tauhid hakimiyah) berjaya mengajak pengikutnya mengkafirkan sesiapa sahaja yang tidak menerima kehendak tauhid hakimiyah yang mereka perjuangkan. Antara yang menolak dan menganggap bid’ah tauhid hakimiyah ciptaan Khawarij ini ialah:

(1). Para ulama Salaf as-Soleh, mereka membantah dan menjelaskan bahawa Tauhid Hakimiyah ialah:

“Kalimah yang hak tetapi yang dikehendaki (dimaksudkan oleh mereka) adalah kebatilan”.

Tauhid hakimiyah dijadikan tauhid yang keempat oleh puak Khawarij, sedangkan pembahagian tauhid oleh para ulama Ahli Sunnah wal-Jamaah yang bermanhaj Salaf as-Soleh hanya kepada tiga bahagian, iaitu: Tauhid Rububiyah, Tauhid Uluhiyah dan Tauhid Asma wa as-Sifat. Mencipta tauhid hakimiyah merupakan penyelewengan dari manhaj Ahli sunnah wal-Jamaah, kerana hakimiyah digunakan oleh penggunanya untuk mengajak umat Islam terutamanya kepada pemberontakan, revolusi dan keganasan. Ini adalah cara dan tujuan Khawarij terdahulu yang sudah usang tetapi masih diamalkan oleh Khawarij yang ada sekarang.

(2). Syeikh Soleh bin Ghanim as-Sadlan berkata tentang penafsiran kalimah tauhid kepada tauhid hakimiyah:

“Jika anda katakan bahawa (لااله الا الله) dengan makna “Tidak ada hakim selain Allah atau Tidak ada yang menentukan takdir selain Allah” maka ini adalah penafsiran yang menyimpang. Namun, jika seseorang yang mengucapkannya dan menafsirkannya dengan maksud pengikraran terhadap tauhid ibadah atau uluhiyah, yang Allah mengutus para rasul kerananya, ini adalah pengikraran yang benar”.

Dalam keadaan apa pun kita tidak boleh meyakini bahawa maksud, makna atau penafsiran kalimah (لااله الا الله) boleh dimaknakan kepada: (لا حاكم الا الله) “Tidak ada hakim selain Allah” (Syeikh Soleh bin Ghanim as-Sadlan, seorang pensyarah di Universiti Imam Muhammad bin Su’ud al-Islamiyah, Arab Saudi.) kerana memaknakan atau menafsirkan kepada tafsiran seperti ini adalah penafsiran yang menyimpang dan bid’ah.

Hakimiyah jika dimasukkan ke dalam bab tauhid, maka ia tidak boleh dipisahkan dari tauhid uluhiyah, oleh itu ia tidak boleh menjadi tauhid yang khusus atau menyendiri sebagaimana yang dilakukan oleh golongan Khawarij.

Syeikh Soleh as-Sadlan menjelaskan:

“Menjadikan tauhid Hakimiyah sebagai bahagian keempat dari pembahagian tauhid, boleh jadi dia seorang yang jahil atau pembuat bid’ah yang mengambil pendapat ahli falsafah dan orang-orang yang tidak mempunyai ilmu tentang akidah dan syariah. Atau boleh jadi dia menyalin perkataan orang lain, tetapi dia tidak mengetahui apa yang dia ambil”.

Siapa Pencetus Tauhid Hakimiyah?

Firqah pertama yang memulakan pengucapan (لا حاكم الا الله) “Tidak ada hukum kecuali bagi Allah, yang menjadi dasar dan terciptanya teori tauhid hakimiyah adalah firqah Khawarij yang memberontak terhadap Ali bin Abi Talib radiallahu ‘anhu. Ia bermula setelah perkara tahkim berlaku, yang mana Abu Musa al-Asy’ari dan Amr bin al’Ash berhukum dengan pentahkiman yang dikehendaki oleh Khalifah Ali bin Abi Talib yang disepakati oleh para pembesar sahabat, tetapi ditolak oleh kelompok yang dikenali sebagai Khawarij. Setelah itu berlaku pemberontakan yang dilakukan oleh kelompok pengganas penentang dari pasukan Ali yang dikenali sebagai Khawarij dengan berhujahkan: (لا حاكم الا الله) “Tidak ada hakim selain Allah”. Maka Khalifah Ali radiallahu ‘anhu mengatakan kepada mereka:

كَلِمَةُ الْحَقِّ اَرَادَ بِهَا البَاطِل

“Kalimah yang hak, namun yang dikehendaki (dari sebalik kalimah tersebut) ialah kebatilan”. (H/R Muslim (157) 1066)

Ucapan La Hakima Illallah adalah hak berdasarkan firman:

وَاَنِ احْكُمْ بَيْنَهُمْ بِمَا اَنْزَلَ اللهُ.

“Dan hendaklah engkau menghukumi antara mereka dengan apa-apa yang telah diturunkan oleh Allah”. (al-Maidah. 49)

اَفَحُكْمَ الْجَاهِلِيَّةِ يَبْغُوْنَ وَمَنْ اَحْسَنُ مِنَ اللهِ حُكْمًا لِقَوْمِ يُوْقِنُوْنَ.

“Apakah Hukum jahiliyah yang mereka kehendaki dan siapakah yang lebih baik hukumnya daripada Allah bagi orang-orang yang yakin”. (al-Maidah. 50)

Walaupun kalimah di atas ini hak kerana landasannya al-Quran, tetapi yang dikehendaki oleh Khawarij ialah kebatilan apabila ditafsirkan dengan niat untuk mempersalahkan Ali. Kalimah ini diperalat oleh golongan Khawarij untuk mencapai matlamat dan kepentingan politik mereka sehingga terjadi fitnah besar (takfir), keganasan dan pertumpahan darah sesama umat Islam.

Tauhid hakimiyah disuburkan dan disebarluaskan semula oleh para pendiayah hizbi Khawarij Gaya Baru (KGB), Ikhwanul Muslimin, Jamaah Islam (JI), Hizbut Tahrir dan berbagai-bagai hizbi yang lain. Gerakan mereka menyerupai Khawarij zaman Khalifah Uthman bin Affan dan Ali bin Abi Talib iaitu membuat dan menyebar fitnah, berdemonstrasi dan pengkafiran terhadap pemerintah atau sesiapa yang menentang mereka. Tujuan dan matlamat Khawarij dahulu dan sekarang (KGB) isi dan tujuannya tetap sama walaupun kulitnya disalut dengan penyamaran kedok yang berlainan.

Memisahkan diri dari pemerintah dan memainkan isu pengkafiran berhujahkan:لاَ حَاكِمَ اِلاَّ الله yang digunakan oleh puak Khawarij bagi mengkafirkan Amirul Mukminin Ali radiallahu anhu dan sesiapa yang menyebelahi Khalifah Ali, sehingga dengan berani mengatakan kepada Ali:

“Engkau telah keluar dari agama Islam, maka hendaklah engkau mengakui bahawa engkau telah kafir, bertaubatlah engkau setelah itu barulah kami membaiah engkau”.

Fikirkanlah, jika Khalifah Ali bin Abi Talib sebagai Khalifah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam berani ditentang oleh mereka yang telah diracuni oleh fahaman Khawarij, bagaimana pula sikap mereka yang berideologi dengan fahaman ini dewasa ini? Apakah mereka merasa takut dan merasa gerun terhadap pemerintah, pemimpin, penguasa dan pihak berkuasa yang ada sekarang ini? Oleh sebab itu, semua umat Islam yang beriman dan berpegang dengan akidah yang bermanhajkan Salaf as-Soleh, mereka perlulah berhati-hati dan bertindak terhadap gerakan Khawarij, terhadap yang berfahaman Khawarij dan yang melaungkan tauhid hakimiyah Ikhwaniyah, kerana mereka boleh bertindak dan mengganas pada bila-bila masa setelah terbuka peluang kepada mereka.

Melaksanakan Hukum Allah

Pemahaman Hizbi Haraki penggerak Khawarij, Muktazilah dan Ikhwaniyun, amat berbeza dengan pemahaman Ahli Sunnah wal-Jamaah yang berpegang dengan manhaj Salaful Ummah tentang kewajipan melaksanakan hukum Allah. Menurut manhaj Salaf, kewajipan menegakkan hukum ahkam berlaku dan dipikul oleh semua peringkat menurut kemampuan dan pengkhususan yang telah ditetapkan oleh syara, sama ada kewajipan berupa fardu ‘ain atau kifayah yang dipertanggungjawabkan kepada individu, jamaah atau pemerintah iaitu berdasarkan hadis Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam:

اَلاَ كُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْئُوْلٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ ، فَاْلاِمَامُ رَاعٍ وَهُوَ مَسْئُوْلٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ ، وَالرَّجُلُ رَاعٍ وَهُوَ مَسْئُوْلٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ ، وَالْمَرْاَةُ رَاعِيَةٌ فِى بَيْتِ زَوْجِهَا وَهِيَ مَسْئُوْلٌ عَنْ رَاعِيَّتِهَا ، وَالْخَادِمُ رَاعٍ فِى مَالِ سَيِّدِهِ وَهُوَ مَسْئُوْلٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ.

“Ketahuilah, sesungguhnya setiap kamu adalah penanggungjawab, setiap kamu dipersoalkan (ditanya oleh Allah) tentang apa yang menjadi tanggungjawabnya! Seorang Imam (pemimpin) adalah penanggungjawab, ia akan ditanya tentang apa yang menjadi tanggungjawabnya, seorang lelaki adalah penanggungjawab, ia akan ditanya tentang apa yang menjadi tanggungjawabnya. Seorang perempuan adalah penanggungjawab dalam rumah suaminya, ia akan ditanya tentang apa yang menjadi tanggungjawabnya. Seorang khadam (pekerja/kuli) adalah penanggungjawab terhadap harta majikannya, ia akan ditanya tentang apa yang menjadi tanggungjawabnya”. (Hadis Muttafaq ‘Alaihi)

Melalui hadis ini dapat difahami, bahawa setiap mukmin sewajarnya tahu tentang kewajipan mereka untuk menegakkan hukum Allah ‘Azza wa-Jalla. Ia tertimpa kepada semua umat Islam, bukan hanya ditanggung oleh pemerintah, pemimpin atau individu tertentu sahaja.

Dan persoalan hukum Allah itu adalah merangkumi isi kandungan syari’at keseluruhannya bermula dari dasar pemahaman aqidahnya dan bukanlah disempitkan kepada isu hudud dan daulah semata-mata tanpa memahamkan umum kepada dasar manhaj dan aqidah ahlus sunnah terlebih dahulu.

No comments: