__________________________________________________________________________________

| Nawawi | Aqeedah | Fiqh | Anti Syirik | Galeri Buku | Galeri MP3 | U-VideOo |
__________________________________________________________________________________

Saturday, July 7, 2007

ISU 17 - Hukum Mengkafirkan Pemerintah Islam

Di negeri kita (Malaysia) termasuk di Singapura, Indonesia dan tidak terkecuali orang-orang Islam di selatan Thailand dan di selatan Filipina, sejak sekian lama sudah terdapat di negeri-negeri tersebut beberapa golongan, jamaah, pertubuhan dan badan-badan politik yang tidak menerima dasar pemerintah. Mereka telah menyerukan slogan serta seruan Khawarij iaitu al-Hakimiyah atau tauhid hakimiyah. Kemunculan mereka kerana terpengaruh dengan dakwah dan gerakan Ikwanul Muslimin yang bertanggungjawab menyebarkan fahaman hizbiyah Khawarijiyah melalui konsep al-Hakimiyah.

Seruan dan propaganda Ikhwanul Muslimin model Khawarij ini mendapat sokongan dari sebahagian besar orang-orang bodoh. Kesan dari seruan dan gerakan ini menyebabkan berlakunya berbaga-bagai kemungkaran, fitnah dan memunculkan individu-individu yang berfahaman pengganas.

Akibatnya tercipta berbagai-bagai pengistilahan yang bid’ah, seperti istilah takfir (pengkafiran) terhadap orang-orang yang di luar kelompok mereka, yang tidak menerima fahaman mereka dan orang-orang yang berbuat maksiat, sama ada mereka itu pemerintah atau rakyat. Mereka mengambil dalil dan hujah untuk menghukum dan bertindak sedemikian hanya dengan menyelewengkan penafsiran firman Allah ‘Azza wa-Jalla: (Lihat: Penjelasan Syeikh Jamal al-Murakibi, anggota Lajnah Fatwa Jam’iyah Ansar as-Sunnah, Kahirah, Mesir dalam Harian al-Muslimun, Kuwait, no 639. Jumaat 25 Dzulhijah 1417H. 2hb. Mei 1997)
وَمنْ لَمْ يَحْكُمْ بِمَا اَنْزَلَ اللهُ فَاُوْلِئِكَ هُمُ الْكَافِرُوْنَ
“Sesiapa yang tidak berhukum dengan apa yang telah diturunkan Allah maka mereka itu adalah orang-orang kafir”. (al-Maidah. 44)

Ahli sunnah wal-Jamaah yang berpegang dengan manhaj Salaf as-Soleh, mereka tidak pernah menerima fahaman Khawarij yang mengkafirkan orang yang tidak berhukum dengan apa-apa yang diturunkan Allah ‘Azza wa-Jalla, kecuali apabila ia menentang hukum Allah dan mengingkari kewajipan berhukum dengan hukum tersebut padahal dia sudah benar-benar mengetahuinya. (Lihat: Penjelasan Syeikh Jamal al-Murakibi, anggota Lajnah Fatwa Jam’iyah Ansar as-Sunnah, Kahirah, Mesir dalam Harian al-Muslimun, Kuwait, no 639. Jumaat 25 Dzulhijah 1417H. 2hb. Mei 1997)

Ahli Sunnah wal-Jamaah atau para aimmah Salaf as-Soleh membahagikan kafir (kufur) kepada dua jenisnya, sebagaimana yang dijelaskan juga oleh para ulama usuluddin:

Pertama: Kufur Amal. Iaitu kufur kerana meninggalkan amal-amal yang wajib tetapi masih meyakini kewajipannya. Maka sesiapa sahaja yang meninggalkan suruhan (perintah) yang wajib dengan sengaja tetapi masih beriman dengan kewajipan tersebut, maka ia dihukum sebagai kufur asghar (كفر اصغر) “kufur kecil” yang tidak membatalkan akidahnya. Apabila dia mati jika tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu walaupun belum sempat bertaubt, maka ia terserah kepada Allah sama ada akan diampunkan segala dosanya (kerana memperolehi syafaat dariNya) atau sebaliknya kerana Allah berkuasa atas segala-galanya.
Maka kekafiran jenis ini tidak mengekalkan pelakunya di dalam neraka, sekiranya ditakdirkan ia ke neraka hanyalah untuk membersihkan segala dosanya dan jika Allah kehendaki dia akan terus dimasukkan ke syurga.

Kedua: Kufur (جحود) “Kufur Menentang” atau Kufur (عناد) “Kufur Membangkang”. Iaitu menentang hukum ahkam Allah yang diturunkan kepada NabiNya dengan keyakinan dan bermati-matian. Berkata Imam az-Zahabi rahimahullah:
اِنَّمَا يَكْفُرُ بَعْدَ عِلْمِهِ بِاَنَّ الرَّسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ ذَلَكَ ثُمَّ اِنَّهُ جَحَدَ ذَلَكَ، وَلَمْ يُؤْمِنْ بِهِ
“Sesungguhnya (seseorang itu boleh) dikafirkan setelah ia mengetahuinya bahawasanya ia adalah sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam, kemudian benar-benar menentangnya dan tidak beriman dengannya”. (Lihat: العلو للعلي العظيم hlm. 214)

al-Hafiz Imam az-Zahabi rahimahullah dan kesepakatan para ulama Ahli Sunnah wal-Jamaah menghukumkan kafir kepada seseorang itu setelah berlaku kepadanya dua sebab iaitu:

Pertama: Dihukum kafir apabila seseorang itu benar-benar tidak beriman dan kemudian menentang serta membantah hukum Allah dengan terang-terangan dan dengan kesedarannya.

Kedua: Apabila dia tidak beriman dengan (hukum) yang diwahyukan oleh Allah Subhanahu wa-Ta’ala dan menolak sunnah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam walaupun telah ditegakkan dan didatangkan hujah-hujah berupa dalil-dalil al-Quran dan hadis-hadis sahih kepadanya.

Sebagai penutup tentang persoalan ini, dibawakan hadis sahih yang disabdakan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam dan fatwa Syeikhul Islam Ibn Taimiyah rahimahullah:
قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : مَنْ اَطَاعَنِيْ فَقَدْ اَطَاعَ اللهَ وَمَنْ يُعْصِنِيْ فَقَدْ عَصَى اللهَ ، وَمَنْ يُطِعِ اْلاَمِيْرَ ، فَقَدْ اَطَاعَنِيْ وَمَنْ يُعْصِ اْلاَمِيْرَ ، فَقَدْ عَصَانِيْ.
“Telah bersabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam: Sesiapa yang mentaati aku, sesungguhnya dia telah mentaati Allah dan sesiapa yang mendurhakai aku maka sesungguhnya dia telah mendurhakai Allah. Sesiapa yang mentaati pemimpin sesungguhnya dia telah mentaati aku dan sesiapa yang durhaka kepada pemimpin sesungguhnya dia telah durhaka kepadaku”. (Lihat: H/R Muslim. Syarah Nawawi. Juz. 12. Hlm. 223)

Fatwa Syeikhul Islam Ibn Taimiyah rahimahullah:

“Maka mentaati Allah dan RasulNya adalah wajib bagi setiap orang, begitu juga mentaati pemimpin muslim adalah wajib kerana adanya perintah Allah untuk mentaati mereka. Sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya dengan mentaati para pemimpin muslim, pahalanya adalah atas Allah dan siapa yang tidak mentaati mereka (para pemimpin muslim) kecuali untuk memperolehi (dari pemerintah) satu kekuasaan (jawatan) dan harta semata, jika mereka (para pemimpin tersebut) memberinya dia mentaatinya dan jika tidak memberinya dia durhaka padanya, maka tidak ada kebahagian baginya di akhirat kelak”. (Lihat: مجموع فتاوى ابن تيمية Jld. 35. Hlm. 16-17)

Fatwa Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah di atas ini, menekankan peri pentingnya berlaku ikhlas diketika mendekati pemerintah, terutama mereka yang telah diberi jawatan untuk mengurus agama dan hal ehwal ummah dan rakyat.

No comments: