__________________________________________________________________________________

| Nawawi | Aqeedah | Fiqh | Anti Syirik | Galeri Buku | Galeri MP3 | U-VideOo |
__________________________________________________________________________________

Tuesday, May 29, 2007

ISU: MENANGANI GEJALA MURTAD DENGAN ILMU AQIDAH YANG SAHIH

Menangani Gejala Murtad dengan Ilmu Aqidah Yang Sahih

Murtad ialah satu istilah yang diberikan oleh Islam kepada perbuatan seorang muslim yang melakukan sesuatu perkara yang boleh mengeluarkan dia daripada syariat Islam baik berupa perbuatan atau perkataan ataupun kepercayaan serta keyakinan yang mencukupi syarat untuk mengeluarkan dia daripada agama Islam.

وَمَنْ يَرْتَدِدْ مِنْكُمْ عَنْ دِينِهِ فَيَمُتْ وَهُوَ كَافِرٌ فَأُوْلَئِكَ حَبِطَتْ أَعْمَالُهُمْ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ وَأُوْلَئِكَ أَصْحَابُ النَّارِ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ

“Barangsiapa yang murtad di antara kamu daripada agamanya lalu dia mati maka jadilah dianya itu kafir di dunia dan terhapuslah segala amalannya di dunia dan mereka menjadi penghuni neraka dan mereka kekal di dalamnya” (Surah Al-baqarah: 217).

Para ulama menetapkan bahawa hukum murtad pada seseorang itu berlaku apabila dia terbukti memenuhi syarat-syaratnya iaitu yang pertama ialah hendaklah seseorang itu telah pun baligh dan berakal ini berdasarkan hadith rasulullah salallahualaihiwasalam: “Diangkat kalam daripada tiga golongan iaitu kanak-kanak sehingga baligh, orang yang tidur sehingga terjaga dan orang yang gila sehingga berakal” (hadith sahih riwayat Abu Daud no. 4398 dan Nasaie serta Ibn Majah).

Seterusnya yang kedua ialah berlaku murtad itu dalam keadaan tidak dipaksa sebaliknya murtad dengan pilihan sendiri adapun sekiranya seseorang itu dipaksa untuk murtad maka tidaklah jatuh murtad ini berdasarkan firman Allah swt:

مَنْ كَفَرَ بِاللَّهِ مِنْ بَعْدِ إِيمَانِهِ إِلاَّ مَنْ أُكْرِهَ وَقَلْبُهُ مُطْمَئِنٌّ بِالإِيمَانِ وَلَكِنْ مَنْ شَرَحَ بِالْكُفْرِ صَدْرًا فَعَلَيْهِمْ غَضَبٌ مِنْ اللَّهِ وَلَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ

“Barangsiapa yang kafir kepada Allah sesudah beriman kecuali orang yang dipaksa sedang hatinya tetap beriman tetapi barangsiapa yang terang dadanya (hatinya) kepada kekufuran maka bagi mereka kemurkaan Allah dan disediakan kepada mereka azab yang besar” (Surah An-Nahl ayat : 106).

Maksud ayat مَنْ شَرَحَ بِالْكُفْرِ صَدْرًا ialah mempunyai kehendak untuk murtad dari Islam dalam erti kata lain ialah mempunyai niat yang terang dan jelas kepada kekufuran dan melakukannya dengan pilihan sendiri tanpa ada paksaan atau gangguan akal atau kegilaan sebaliknya dengan penuh kesedaran dan keterangan.

Akhirnya hendaklah seseorang itu mengetahui hal dan hukum murtad serta perkara yang membuatkan dirinya menjadi murtad sehingga apabila terkumpul syarat-syarat ini pada dirinya maka tiadalah lagi perselisihan ulama bahawa telah pun menjadi murtad dari Islam. (lihat dalam Al-Mughni Ibn Qudamah m/s 540 Jilid 4).

Pada hari ini gejala murtad sangat berleluasa berlaku dalam masyarakat Islam di Malaysia tanpa kita sedari ianya bercambah dan bertambah akibat dari kejahilan, kerosakan moral dan akhlak yang membantu dan mendorong muda-mudi jauh dari agama sehingga mudah mengadaikan iman serta persekitaran semasa yang tidak selamat bagi akidah dan iman umat Islam termasuk penguatkuasaan undang-undang yang terlalu lemah mengakibatkan gejala murtad menjadi buruk tanpa dapat dibendung.

Al-Ismaili mengeluarkan hadith dari riwayat Al-Au’zaie daripada Umair Ibn Hani daripada Ali ra bahawa beliau mendengar nabi salallahualaihiwasalam bersabda : “ Akan berlaku selepas peninggalanku kemunculan banyak fitnah apabila orang yang beriman tidak mampu lagi mengubah kejahatan dengan tangan dan lisannya” lalu aku bertanya kepada baginda : Wahai rasulullah bagaimana keadaan tersebut berlaku ? lalu dijawab ; “ Mereka menentang dengan hatinya” (hadith ini juga memiliki riwayat yang lain daripada Ibn Mas’ud).

Peristiwa murtad seorang gadis melayu pada tahun 1950 yang bernama Natrah akibat kelemahan undang-undang Islam kepada undang-undang sivil ciptaan manusia seterusnya berlanjutan di Negara kita sehinggalah pelbagai kes murtad berlaku selepas itu seperti kes murtad Hartina Jamaluddin pada tahun 1988, peristiwa murtad Aisyah Bukhari pada tahun 1997 dan seterusnya pelbagai lagi sehinggalah kepada isu yang hanggat baru-baru ini dengan kemunculan kes Azlina Jelani yang telah murtad dan mahu menukarkan nama dan perkataan agama Islam di kad pengenalannya kepada nama dan agama Kristian.

Permasalahan murtad ini sebenarnya telah lama berlaku di dalam sejarah Islam dan ianya bermula sejak di zaman rasulullah lagi apabila wujud umat Islam yang munafiq dan beriman kepada baginda disebabkan takut dan masuk Islam hanya untuk kepentingan dunia seterusnya kufur dan lari daripada Islam apabila mereka merasakan wujud peluang untuk berbuat demikian seperti Abdullah ibn Jahsy dan Abdullah ibn Khathai juga seperti kisah yang terdapat di dalam hadith Muadz Ibn Jabal ra yang mengarahkan dibunuh yahudi yang murtad setelah memeluk Islam yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim.

Juga berlaku murtad disebabkan kerugian apabila bersama Islam dan ini pernah berlaku sewaktu zaman Abu Bakar r.a yang mengarahkan dibunuhnya golongan yang murtad akibat tidak mahu membayar zakat kerana merasa rugi. Berkata Abu Bakar: “Demi Allah aku akan membunuh mereka yang memisahkan zakat dengan solat.” (Riwayat Ahmad di dalam musnadnya dan Bidayah Wan Nihayah m/s 312 Jilid 6).

Punca murtad daripada Islam ialah disebabkan keimanan yang kurang kepada Islam dan ajaran agama ini serta kelemahan ilmu seseorang terhadap aqidah Islam yang sebenar sehingga dirinya dipenuhi keraguan dan syak terhadap kebenaran Islam. Pemahaman aqidah yang sahih sangat jarang dimiliki oleh umat islam hari ini sehingga tidak hairanlah mengapa sangat ramai sekali dari umat Islam hari ini yang murtad dan keluar daripada agama Islam.

وَمَنْ يَبْتَغِ غَيْرَ الإِسْلاَمِ دِينًا فَلَنْ يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الآخِرَةِ مِنْ الْخَاسِرِينَ

“Barangsiapa yang mencari agama selain daripada Islam maka tidaklah dia diterima (disisi kami) dan dia di hari akhirat kelak akan termasuk di kalangan mereka yang rugi” (Ali-Imran : 85).

Peranan Ahli Agama dalam Isu Murtad

Ahli agama yang wujud sejak dahulu di tanahair kita seringkali mengajarkan aqidah agama Islam ini dalam kaedah yang salah ataupun lebih buruk mereka mengajarkan perkara yang salah sebagai aqidah Islam sehingga menyukarkan proses pemahaman akidah yang sahih oleh masyarakat melayu.

وَإِنْ تُطِعْ أَكْثَرَ مَنْ فِي الأَرْضِ يُضِلُّوكَ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ

“Dan jika kamu hanya mengikut orang ramai di muka bumi ini nescayalah mereka akan menyesatkan kamu dari jalan Allah.” (Al-An’am: 116).

Manusia mempunyai fitrah yang sangat jelas dalam masalah tuhan iaitu mahukan perlindungan daripada tuhan-Nya dan mempunyai keinginan dan perasaan untuk mengenal tuhannya. Masalah ini jika melibatkan agama lain seperti Kristian, Budha dan Hindu akan mendapat jawapan yang mudah sehingga menyenangkan pengikutnya tetapi apabila menemui umat Islam melayu maka akan menjadi sukar diselesaikan.

Bagi Hindu misalnya, apabila ditanya di manakah tuhannya maka mereka akan menjawab bahawa patung-patung dan simbol itu ialah tuhan mereka sehingga keyakinan mereka pada sesuatu benda itu menghidupkan semangat diri mereka. Juga ditanya bagaimanakah mereka akan mendapat perlindungan dari tuhan ? Maka dijawab ialah dengan menyembah para dewa dan tuhan patung mereka itu tanpa berbelah bagi.

إِنَّ رَبَّكُمْ اللَّهُ الَّذِي خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضَ فِي سِتَّةِ أَيَّامٍ ثُمَّ اسْتَوَى عَلَى الْعَرْشِ

"Sesungguhnya Tuhan kamu itu Allah yang telah menciptakan langit dan bumi dalam enam hari, kemudian Dia istiwaa (bersemayam) di atas 'Arsy".(Al-A'raf :54).

Sebaliknya umat Islam apabila ditanyakan di manakah Allah yang merupakan tuhan mereka ? Maka jawapannya akan menjadi pelbagai sehingga pelbagai guru dari pelbagai aliran akan memberi jawapan yang berbeza menurut aliran masing-masing. Bahkan lebih menyedihkan sejak sekian lama ilmu aqidah kita diseliputi fahaman ilmu kalam atau pengaruh falsafah yang menghuraikan persoalan ketuhanan Allah swt dengan kaedah falsafah sehingga menyusahkan umat Islam memahami aqidah yang sebenar dan akhirnya mereka disusahkan dengan teori-teori dan usul seperti sifat 20 yang dihafal tanpa diketahui makna dan maksud.

Ilmu kalam dan akal menurut Imam Abu Yusof ra (Ya’kub Ibn Ibrahim) merupakan sesuatu yang tercela dan dibenci oleh para ulama salaf soleh. Bahkan diriwayatkan beliau pernah berkata: “Ilmu kalam itu ialah suatu kejahilan dan mempelajarinya ialah kebodohan dan barangsiapa yang tidak mempelajarinya maka itulah kecerdikan” dan beliau berkata lagi “Jika kamu berjumpa dengan ahli ilmu kalam maka hendaklah kamu berkata kepadanya “Wahai si Zindiq” dan lagi katanya “Barangsiapa yang belajar ilmu kalam maka sesungguhnya dia telah menjadi zindiq” (lihat dalam riwayat yang pelbagai oleh Imam Khatib Al-Baghdadi dalam Syarif Ashabul Hadith m/s 168).

Demikianlah juga celaan dari Imam Syafie ra yang diriwayatkan pernah berkata: “Hukum aku kepada mereka yang terlibat dengan ilmu kalam ialah disebatnya mereka itu dengan kayu dan dibaling dengan kasut lalu di bawa berarak ke sekeliling jalan-jalan sambil dilaungkan kepada orang ramai bahawa inilah hukuman bagi mereka yang meninggalkan kitab Allah dan sunnah rasul-Nya” (riwayat Baihaqi dalam Manaqib Syafie m/s 462 Jilid 1).

Sekaligus keyakinan terhadap Allah swt dan agama Islam oleh sesetengah manusia menjadi goyah dan ragu-ragu sehingga akhirnya jatuh kepada pujuk rayu syaitan yang menyediakan tuhan yang nampak di depan matanya atau dapat dirasakan olehnya.

قَالَ رَبِّ بِمَا أَغْوَيْتَنِي لَأُزَيِّنَنَّ لَهُمْ فِي الأَرْضِ وَلَأُغْوِيَنَّهُمْ أَجْمَعِينَ “Berkata Iblis : Wahai tuhanku demi kerana engkau menyesatkan aku maka pasti akan aku hiaskan kepada mereka (manusia) di dunia ini sehingga mereka memandang baik (akan kesesatan yang dihiaskan) dan sungguh akan aku sesatkan mereka itu semuanya” (Al-Hijr : 39).

Bukankah menjadi mudah sekiranya umat islam mengikuti para ulama salaf soleh dan mengajarkan akidah Islam seperti yang diajarkan oleh rasulullah kepada sahabat dan yang dipegang oleh para imam-imam besar seperti Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Syafie dan Imam Ahmad yang menetapkan bahawa Allah itu di langit berdasarkan ayat-ayat Al-Qur’an dan hadith yang sahih. Kemudian mengajarkan bahawa membincangkan soal keadaan Allah itu berada di langit ialah haram dan merupakan perkara yang kita dilemahkan untuk mengetahuinya. Sekaligus hal ini melatih manusia dekat dengan kitab dan sunnah dan merasa hampir kepada panduan Al-Qur’an apabila setiap apa yang diimani oleh mereka berada dalil dan hujahnya daripada dua sumber suci agama ini.

Seterusnya apabila berdepan persoalan bagaimanakah seorang itu mendapat perlindungan daripada tuhannya ? Maka umat Islam sekali lagi berdepan masalah keraguan dan keserabutan apabila mereka terpaksa melakukan pelbagai amalan dan kewajipan yang menyekat mereka daripada kesenangan duniawi sehingga ketaatan yang perlu mereka lakukan dengan alasan untuk mendapat perlindungan tuhan seringkali tidak berbaloi apabila mereka tetap mendapat kecelakaan duniawi sehingga menyangka segala ketaatan dan kebaikan mereka tidak membawa manfaat.

Sudahlah begitu umat Islam di tanahair kita sejak dahulu seringkali disemaikan dengan ajaran Islam menurut mazhab dan ulama atau Islam acuan manusia bukannya Islam yang diturunkan oleh tuhan. Hal ini sungguh memberi kesan besar kepada jiwa manusia apabila dia mempelajari agama sejak kecil sehinggalah besar hanya mendengar nama-nama manusia yang disebutkan kepadanya apabila ditanya dari manakah hal agama ini bersumberkan atau dari manakah datangnya perintah agama ini bukannya daripada tuhan atau rasul yang mulia dan suci.
Berkata Imam Abu Hanifah ra : " Tidak halal bagi siapapun untuk memegang pendapat kami tanpa mengetahui dari mana dalil yang kami ambil" (Sila rujuk Ibn Abd Barr, Al-Intiqa fi Fadlul Salasa A'immah Fuqahah, m/s 145 dan Ibn Qayyim, I'lamul Muaqi'in, m/s 29).

Tanyalah kepada orang tua kita kenapa bersolat begitu dan begini? Dijawab dengan menyebut nama-nama gurunya, ditanya mengapa membaca Al-Quran dengan begitu dan begini? lalu disebut nama gurunya dan kemudian apabila ditanya lagi kenapa sesuatu hal itu boleh dilakukan dan sesuatu hal itu tidak boleh dilakukan? dijawab dengan menyebut nama-nama gurunya sebagai hujah bahawa ianya dilarang oleh tok-tok guru atau pun kerana si ustaz sekian menyebut sekian dan sekian.

Maka itulah agama yang saban hari tidak dapat diterima oleh jiwa manusia hari ini khasnya yang muda yang melihat teknologi, kemodenan dan melihat ilmu manusia yang saban hari lebih berpontensi menjadi panduan hidup daripada agama yang bersumber dari nama-nama manusia.
Alangkah baiknya sekiranya sejak dahulu para ulama dan ahli agamawan kita mengajarkan masyarakat dengan kitab dan sunnah yang suci sehingga setiap amalan agama ini disumberkan kepada dua sumber suci ini sehingga masyarakat apabila ditanya tentang sesuatu permasalahan agama dengan segera mereka mengungkapkan ayat-ayat Al-Qur’an ataupun hadith dari rasul mereka sehingga masuk cahaya suci Al-Qur’an dan pertunjuk sunnah rasul di dalam jiwa-jiwa mereka sehingga memandu mereka kepada mengamalkan Islam dengan berhujah dan merasa dekat dengan sumber agama sekaligus menghubungkan mereka dengan lebih dekat lagi kepada pencipta.

Para ulama Islam dan ahli agama juga merupakan penyumbang masalah kepada keruntuhan iman dan kurangnya kepercayaan manusia kepada agama apabila mereka menjadi contoh yang tidak baik serta menjadi rujukan yang buruk kepada manusia khasnya kepada umat Islam di tanah melayu.

وَلا تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولَئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْئُولا

"Dan janganlah kamu mengikut sesuatu yang kamu tidak ketahui kerana Sesungguhnya pendengaran kamu, penglihatan kamu dan hati kamu semuanya akan ditanya dan dipersoalkan." (Surah Al-Isra : 36).

Cubalah ditanyakan kepada seorang Professor universiti yang memiliki disiplin ilmu daripada sistem barat apakah pandangannya kepada seorang ustaz yang mengajar di masjid ? Pastinya kita akan mendapat balasan yang berbunyi si ustaz tersebut tidak berdisiplin dalam menyampaikan ilmu apabila wujud petikan ilmu daripada kitab tanpa amanah, menyandarkan kata-kata dan ilmunya kepada sesuatu rujukan secara sesuka hati, mengulas sesuatu isu dan peristiwa tanpa mengkaji terlebih dahulu serta membuat kesimpulan dengan mudah tanpa mempunyai bukti dan hujah yang kukuh serta cepat menghukum dan membuat keputusan.
Itu belum dicampur dengan sikap ahli agama yang suka memberi khayalan dan cerita-cerita karut, lawak jenaka dan lelucon kepada pendengar-pendengar majlis ilmunya sehingga kerap-kali matlamat menghalankan cara apabila penipuan dimasukkan sebagai salah satu unsur dakwah konon bagi tujuan menyedarkan orang sedangkan dia tidak mengerti perbuatannya itu mencederakan agama Islam dan kebenaran agama menjadi tercemar dari sikap perbuatannya.
Diriwayatkan dari Abd Ibn Mubarak yang berkata : " Kalaulah tidak kerana Isnad (riwayat) maka berkatalah siapa pun apa yang ingin dikatanya (yakni dalam agama)." (Sila rujuk Tarikh Baghdad m/s166 Jilid 6).

Ditambah lagi kadang-kadang ceritanya itu sendiri bercanggah dengan syariat Islam seperti kisah sufi berkenaan seorang perempuan yang merosakkan matanya untuk diberikan kepada Hasan Al-Basri yang mengekorinya ke rumah lantaran tertarik kepada kecantikannya lalu dia membutakan matanya dan memberinya kepada Hasan Al-Basri yang konon tertarik kepada kecantikkan matanya itu.

Sungguh kisah ini melanggar syariat Allah yang melarang hamba-Nya melontarkan diri ke lembah kehancuran di dalam surah Al-Baqarah ayat 195 dan mengaitkan kisah yang tidak ada sebarang sokongan ilmiah ini kepada Imam Hasan Al-Basri sebagai watak hero yang menjadi peminat kecantikkan wanita ini sehingga mengekorinya ke rumah kerana tertarik pada mata gadis ini yang kononnya salah seorang wali dari wali-wali Allah. Sekaligus menjatuhkan martabat beliau yang merupakan imam mazhab dan salah seorang ulama tabien yang sempat berguru dengan Khalifah Ali Ibn Abi Thalib ra.

Demikianlah ustaz tidak professional dan ahli agama yang tidak mempunyai kemahiran yang sangat banyak terdapat di tanahair kita. Mereka mengajarkan agama sesuatu yang sangat penting dalam kehidupan manusia melebihi segala ilmu lain baik perubatan, ekonomi atau kejuruteraan namun sikap dan keadaan mereka yang tidak memiliki disiplin dan kemahiran bahkan lebih teruk lagi tanpa memiliki adab dan etika keagamaan akhirnya membawa fitnah dan kehinaan kepada ahli agama sehingga menjatuhkan kepercayaan umat Islam khasnya golongan muda-mudi kepada agama di dalam membimbing hidup mereka.
Kerana itulah anak gadis muda remaja hari ini jika ditawarkan oleh ibubapanya untuk berkahwin dengan ustaz yang berjanggut dan berserban maka serta merta akan disanggah olehnya dengan menyebut “No Way”!!

Melihat kepada kehidupan umat Islam yang porak peranda, pergaduhan rumahtangga, perebutan harta pusaka, keras dan kasar yang menimpa hampir seluruh keluarga Islam termasuk keluarga ustaz dan ustazah sekaligus menjadikan anak-anak muda lebih tetarik kepada kehidupan bebas, ketenangan hidup dari kefahaman baru yang dapat memberikan harapan kepada hidup mereka seperti contohnya agama Kristian yang menyediakan mereka dengan sikap pemaaf Jesus, menghidangkan mereka dengan rahmat tuhan “blessing of god” dan pelbagai lagi keharmonian yang tercapai dari lisan dan perbuatan sehingga melegakan hati anak-anak muda dengan ajaran mereka.

Pendakwah Kristian sangat bijak apabila mereka menerapkan konsep “kehidupan, kebahagiaan dan keharmonian” dalam agama mereka sehingga menarik manusia khasnya anak-anak muda yang liar dan kosong hatinya untuk mudah terpengaruh dengan mereka. Bukankah kita sudah biasa mendengar slogan agama dari pendakwah Kristian seperti “God Bless you” yang bermaksud tuhan merahmati anda, “The God Love You” yang bermaksud tuhan memberkati anda dan lain-lain seruan dan slogan yang menarik serta menyejukkan hati remaja-remaja liar dan kosong hatinya dari kasih sayang dan pengisian hidup.

Manakala dari pendakwah-pendakwah Islam pula kita sering mendengar perkataan dan ucapan yang berbunyi “Haram, berdosa, masuk neraka, tuhan akan melaknat kamu serta pelbagai lagi perkataan yang menyakitkan hati dan membuatkan jiwa manusia terasa hendak lari dan sukar menerima ucapan-ucapan dari orang sebegini untuk memotivasikan diri dalam kehidupan. Bukankah Islam itu ialah agama yang mudah dan meyenangkan?

“Dan tidaklah kami utuskan Engkau (Muhammad) melainkan sebagai rahmat ke seluruh alam” (Al-Anbiya: 107).

Tidakkah rasulullah itu diutuskan sebagai rahmat ke seluruh alam dan pendamai hati serta pemandu manusia dalam mencapai kebahagiaan dan memberikan ketenangan daripada ketakutan, keamanan daripada kerusuhan, kebaikan daripada kerosakkan? Mengapa para pendakwah tidak mendalami ilmu agama menurut maksud yang sebenar sehingga mencapai apa yang dinamakan ilmu iman dan menguasai apa yang dimaksudkan dengan ehsan?
Rahmat Allah itu ialah dengan ilmu seperti yang disebut oleh baginda sallahualaihiwasalam : " Barangsiapa yang dikehendaki Allah kebaikan baginya Maka Allah akan memberikannya kefahaman dalam urusan agama" (Hadith Sahih, Muttafaqun Alaih –Disepakati oleh Bukhari & Muslim).

Peranan Ilmu Iman dalam Membendung Gejala Murtad

Gejala murtad berlaku disebabkan kejahilan merupakan satu hujah yang benar dan kenyataan yang perlu diterima sekalipun di dalam kes Aisyah Bukhari dikatakan gadis ini merupakan pelajar lulusan sijil tinggi agama namun hendaklah difahami sejauh manakah kebenarannya kaedah mengukur ilmu seseorang itu ialah dengan sijil dan peperiksaan yang diambilnya?
"Sesungguhnya yang takut pada Allah dari kalangan hamba-Nya ialah para Ulama” (Surah Al-Fathir : 28).

Kejahilan yang berlaku kepada umat Islam ialah kejahilan terhadap ajaran Islam yang sahih serta mereka dijahilkan daripada mengetahui cara pengamalan Islam yang sebenar sehingga mereka tidak mengetahui keberkesanan agama Islam sebagai panduan hidup yang dapat membimbing manusia menuju kebahagiaan hidup.

“Sesungguhnya hari ini telah aku sempurnakan pada kamu akan agama kamu dan aku sempurnakan nikmat-Ku pada kamu dan aku meredhai Islam sebagai agama kamu." (Surah Al-Mai'dah : 3).

Siapa yang mahu murtad sekiranya Islam itu terbukti di depan mata memberikan kebahagiaan kepada kehidupan manusia? Malangnya Islam kerap-kali menjadi kambing hitam daripada perbuatan manusia yang jahil dan mereka yang zalim sehingga ajaran Islam dilihat tidak mampu memberikan kebahagiaan kepada hidup manusia maka kerana itulah maka menjadi wajib kepada umat Islam untuk mempelajari ilmu iman bagi mendalami persoalan agama ini sehingga meningkatkan keyakinan dan kepercayaan mereka dan menjadi benar-benar beriman dengan Islam. Ilmu iman ialah pengetahuan yang menambahkan keimanan dan mengkaji serta meneliti perkara yang menguatkan keimanan manusia terhadap agama Islam melalui hujah naqli iaitu berdasarkan kitab dan sunnah serta hujah aqli iaitu berdasarkan akal dan kajian manusia melalui kebijaksanaan mereka dalam mencungkil kebenaran agama Islam sehingga dapat membuktikan kebenaran Islam dan menyingkap kebathilan dan kesalahan agama-agama lain yang menyalahi Islam. (lihat dalam kitab Ilmu Iman m/s 13 oleh Syeikh Abd Majid Az-Zindani).
Manusia ialah makhluk yang mudah mengikuti sesuatu yang berada di depan mata yang dapat membuatkan dirinya merasa yakin dan percaya dengan apa yang diikutinya. Kerana itu di dalam Islam keilmuan ini disebut sebagai “ainul yakin” iaitu keyakinan yang tercapai dari penglihatan dua mata yang membuatkan diri seseorang itu tenang dan hatinya tenteram dengan apa yang diyakininya.

Maka kerana itulah Nabi Allah Ibrahim as di dalam Surah Al-Baqarah ayat 260 disebut oleh Allah swt dengan berkata :

وَإِذْ قَالَ إِبْرَاهِيمُ رَبِّ أَرِنِي كَيْفَ تُحْيِ الْمَوْتَى قَالَ أَوَلَمْ تُؤْمِنْ قَالَ بَلَى وَلَكِنْ لِيَطْمَئِنَّ قَلْبِي

“Dan ketika Ibrahim berkata : Wahai tuhanku tunjukkanlah aku bagaimana engkau menghidupkan orang yang mati maka dijawab apakah engkau tidak beriman lalu dijawab bahkan aku beriman tetapi untuk menenangkan hatiku” (Al-Baqarah : 260).
Sekalipun Allah swt berkehendak untuk menunjukkan kepada Nabi Ibrahim bagaimanakah caranya Dia menghidupkan makhluk yang sudah mati kepada Ibrahim as sebagai menenangkan hatinya namun beliau tetap diperintahkan oleh Allah swt supaya berusaha melakukan sesuatu iaitu mendapatkan empat ekor burung sekaligus sebagai bukti bahawa ilmu yakin ini tidak tercapai dengan hanya berharap dan berdoa meminta sahaja sebaliknya juga dengan berusaha.
Maka kerana itulah menjadi keperluan untuk pendakwah Islam sekarang menguasai ilmu iman dan menjadi berkemahiran tidak hanya dalam bidang agama tetapi dalam bidang-bidang lain yang boleh membuktikan kebenaran Islam melalui teknologi atau kebijaksanaan akal manusia yang dapat menyakini kebenaran agama Islam.

Sebagai contoh amatlah digalakkan umat Islam mendalami kisah-kisah teladan yang memberikan pengajaran dan meningkatkan keimanan seperti kisah para rasul terdahulu, kisah umat terdahulu sepert Ashabul Kafi, Uzair dan melawati tempat-tempat bersejarah dengan melihat kesan-kesan teladan yang menimpa umat yang derhaka seperti kaum Luth, Add dan Samudh yang dimusnahkan oleh Allah swt sehingga terdapat kesan-kesan sejarahnya ke hari ini.

“Mengapakah mereka tidak berjalan di muka bumi ? supaya dapat memerhatikan bagaimanakah akibat bagi orang-orang yang terdahulu sebelum mereka”? (Surah Yusof : 109).
Juga di dalam Al-Qur’an menyebutkan kisah Firaun dan lain-lain yang boleh dijadikan pengajaran serta kisahnya yang boleh membuktikan kebenaran kisah-kisah dan cerita-cerita di dalam Al-Qur’an yang bersifat fakta yang benar dan pernah berlaku bukan hanya rekaan cerita dongeng palsu.

Bukankah semua ini menambahkan iman? meningkatkan keyakinan keilmuan Al-Qur’am serta disamping itu bukankah juga terdapat kisah-kisah binatang di dalam kitab suci Islam ini seperti sifat lebah dan labah-labah yang diterangkan dengan sangat mudah tetapi membawa maksud yang bermakna kepada ilmu sains?

Lihat pula sunnah Rasulullah seperti panduan baginda dalam perubatan dan nasihat-nasihat baginda berkenaan ilmu kesihatan bukankah semuanya ini menjadi bukti bahawa di zaman 1400 tahun dahulu yang serba mundur dan kekurangan manusia seperti Rasulullah masih dapat mencapai pengetahuan yang begitu tinggi yang melebihi pengkajian sains manusia maka bukankah ini suatu hal yang membuktikan kebenaran Islam?

"Ambillah pelajaran wahai orang-orang yang mempunyai pemikiran!" (Al-Hasyr: 2).
Tingkatkanlah iman manusia dengan membentangkan kepada mereka pengetahuan yang terkandung di dalam kitab suci serta sunnah yang mulia sehingga manusia semuanya menjadi yakin dengan kebenaran Islam dan keaslian agama ini daripada Allah swt.

Hendaklah pula para pendakwah menampilkan akhlak dan sikap yang terpuji serta melakukan urusan dakwah dengan hikmah dan menyeru manusia kepada kebaikan dan mengajak meninggalkan kejahatan dengan jalan yang paling menepati sunnah dan memenuhi maksud syariat dan hanya dengan ilmu dan pengalaman serta kefahaman barulah semua ini dapat terlaksana.

“ Wahai orang-orang yang beriman mengapakah kamu mengatakan sesuatu yang kamu tidak lakukan ? Amat besarlah kemurkaan Allah kepada mereka yang tidak mengamalkan apa yang mereka katakan” (Surah As-Soff :2).

Didikan Keluarga yang Masuk Ke dalam Jiwa

Keluarga menjadi asas penting dalam menyelesaikan gelaja murtad sekalipun kita berhadapan dengan pelbagai contoh kegagalan keluarga dalam mengendalikan kes murtad ini. Keluarga Haji Bukhari dan Jelani gagal memelihara anak gadis mereka daripada jatuh cinta dengan lelaki pilihannya kerana hati anak gadis mereka bukan dimiliki oleh mereka dan mereka gagal mempertahankan akidah anak gadis mereka juga kerana akidah dan imannya bukan milik mereka.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا

“ Wahai orang-orang yang beriman peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari apa api neraka…” (At-Tahrim : 6).

Keluarga berperanan sebagai penjaga agama dan kehidupan seorang manusia sejak dilahirkan sehinggalah dewasa. Sudah pasti peranan keluarga tidak dapat dinafikan hanya kerana kegagalan beberapa buah keluarga dalam menjaga agama anak-anak mereka. Permasalahan yang berlaku sekarang yang mengakibatkan sesebuah keluarga gagal menjadi penjaga agama dan kehidupan ahlinya ialah disebabkan keluarga itu tidak mempunyai kekuatan dan keberkatan.

Kekuatan sesebuah keluarga ialah bermaksud kemampuan sebuah keluarga itu memelihara ahli-ahlinya daripada kehancuran dan kerosakkan dengan memiliki kekuatan ilmu dan pengetahuan, kekuatan amalan dan tindakan serta memiliki kekuatan sokongan dan kasih sayang yang saling mengikat di antara satu sama lain. Ibubapa yang memiliki hati anak-anaknya akan dapat mengawal anak-anaknya menurut kehendaknya dan untuk mencapai keadaan ini hendaklah sejak daripada kecil anak-anak itu dididik dengan didikan yang membentuk jiwa mereka sehingga terbentuk peribadi mereka menurut hanya apa yang dikehendaki oleh ibubapanya.

Ini bertepatan dengan sabda baginda salallahualaihiwasalam yang menyebut : “Dan tidaklah seorang anak itu lahir melahirkan dilahirkan dalam keadaan fitrah lalu ibubapanyalah yang menjadikan dirinya sebagai yahudi atau nasrani atau majusi” . (Hadith sahih riwayat Bukhari no. 1293 dan Muslim no. 2658).

Masalahnya pada hari ini anak-anak dicemari oleh persekitaran dan inilah yang menyebabkan sesetengah anak-anak sanggup melupakan segala didikan, kasih sayang dan pengorbanan ibubapanya hanya kerana godaan sekitar dan hawa nafsu yang diapikan oleh syaitan. Namun sekalipun begitu selama segala kasih-sayang, didikan dan pengalaman yang diberikan oleh keluarga kepada anak-anak itu masuk ke jiwanya maka sekalipun dirinya memakai pakaian najis maka sekiranya sampai dakwah dan seruan kepadanya dengan jalan yang benar maka nescaya jiwanya akan segera menyahut seruan keimanan dan kebaikan serta segala didikan dan ingatan kebenaran yang diberikan oleh keluarga sejak kecil.

Sudah pasti keimanan yang pernah dibenihkan di dalam jiwa akan kembali tumbuh dengan siraman air hidayah dan dakwah yang ikhlas dengan masa yang sesuai sekalipun seseorang itu sudah memakai pakaian najis dan mempunyai kulit luar yang kufur.

Malangnya apabila pihak keluarga hanya memberikan anak-anak didikan duniawi, makanan yang tidak masuk ke hati, minuman yang berakhir di saluran perkumuhan serta kasih sayang yang tercontoh melalui barangan dan kebendaan maka sesungguhnya anak-anak ini akan lupa segala kebaikan keluarganya melalui masa dan akan meninggalkan segala ajaran dan didikan yang bercanggah dengan pilihan hati dan jiwanya yang sudah diisi dengan sesuatu yang belum terisi semenjak kecil yang menjadikan dirinya seorang yang lain daripada dahulu.

Sekiranya anak-anak ini kemudiannya memilih untuk murtad pada suatu hari nanti setelah dewasa dan melalui liku-liku hidup tanpa ada didikan keluarga ke jiwanya maka nescaya sangatlah sukar untuk mereka kembali ke ajaran Islam yang menjadi agama asal mereka kerana jiwa mereka sudah terisi dengan kesesatan dan sudah disemai dengan kebencian dan sebaliknya kecintaan kepada apa yang baru diperolehinya baik kehidupan yang baru, agama yang baru dan juga keluarga yang baru. Dalam bukan Kulit.

Mendidik anak-anak hendaklah mementingkan perihal dalaman dan dasar serta perkara yang akan dapat menjadi sebati dengan jiwanya iaitu perkara akidah, keimanan dan persoalan kepercayaan. Disebabkan itu tindakan mendidik anak-anak dengan asas keimanan kepada Allah swt dan rasul serta perkara keimanan, mengajarkan anak-anak isi kandungan Al-Qur’an beserta maksud dan tafsirnya serta kitab sunnah dan pertunjuk rasulullah untuk menjadi amalan hidupnya akan menjadi bekalan berguna buat jiwanya di dalam mencari penyelesaian dalam masalah kehidupan yang akan dihadapinya suatu hari nanti.

Perbuatan keluarga muslim hari ini yang tidak memahami dan kurang pemahaman terhadap agama menjadikan mereka mementingkan kulit luar daripada isi dalaman. Mereka mementingkan anak-anak mereka belajar agama tetapi kurang mementingkan anak-anak mereka mengamalkan agama yang dipelajari. Mahukan anak-anak menghafaz Al-Qur’an dan pandai membacanya tetapi tidak mementingkan anak-anak untuk memahami isi kandungannya.

Menanamkan Rasa Cinta Kepada Allah swt dan Rasulullah sejak Kecil

Setiap keluarga muslim haruslah berusaha menerapkan rasa cinta anak-anak mereka kepada Allah swt dan kepada Rasulullah dan bukannya mengajarkan anak-anak mereka merasa takut kepada Allah swt dengan mengugut mereka dengan kemurkaan Allah swt sehingga terhasil satu persepsi negatif terhadap rahmat tuhan dan Islam ini menjadi agama yang mengazab manusia dan bukannya pemberi rahmat dan juga bukan melatih mereka menjadi benci kepada sunnah Rasulullah dengan meletihkan mereka dengan sesuatu yang tidak perlu sebaliknya mengalakkan mereka beramal dengan sunnah pada apa yang mereka perlu.

"Katakanlah; jika kamu benar-benar cintakan Allah maka ikutlah aku (rasul) maka Allah akan mencintai kamu dan mengampuni dosa kamu dan sesungguhnya Allah Maha Pengasih " (Ali Imran -31).

Para ibubapa hendaklah mengalakkan anak-anak mencintai Allah swt dengan mengajarkan anak-anak akan sikap penyayang dan pengasih Allah swt, mengisahkan kepada mereka perkara-perkara yang memberi harapan dan kebaikan serta disamping menjelaskan kepada mereka larangan dan kemurkaan Allah yang mengandungi matlamat untuk kebaikan dan mencapai kebahagiaan. Jangan memberitahu anak-anak bahawa hendaklah bersolat dengan segera sekiranya kamu tidak mahu masuk ke neraka sebaliknya beritahulah anak-anak bahawa hendaklah segera bersolat untuk segera mendapat rahmat dan pahala kebaikan yang banyak.
Biasakan anak-anak dengan ganjaran kebaikan dan rasa tenteram dengan agama sewaktu kecil sehinggalah mereka boleh berfikir sendiri dan pujuklah mereka dalam melakukan amalan kebaikan bukan dengan mengugut mereka sehingga akan nantinya dijadikan modal oleh syaitan untuk dipanaskan hati agar memberontak. Tanam dan semailah rasa cinta kepada Allah dan rasul dengan mengambarkan kasih sayang tuhan dan rahmatnya kepada hamba dan pengorbanan rasululah kepada umat sehingga lahir perasaan syukur dan sayang.
Hiburkan anak-anak dengan kisah-kisah rasulullah dan pesanan-pesanan baginda yang boleh memberi semangat dan motivasi kepada anak-anak sehingga mereka membesar dengan menjadikan kisah-kisah rasul sebagai idola dan sebagai sumber motivasi dalam kehidupan dan memandu mereka dalam membuat keputusan.

“Allah mengehendaki kemudahan bagi kamu dan sesungguhnya diciptakan manusia itu dalam keadaan yang dhaif (lemah)” (Surah An-Nisa : 27).

Latihlah mereka dengan sunnah rasulullah yang mudah dan menjadi perkara yang diperlukan oleh mereka dan bukannya dengan sunnah yang susah dan tidak diperlukan oleh mereka sebaliknya akan menjadi satu kesusahan kepada mereka.

Sabda baginda: “Sesungguhnya kamu diutuskan untuk memudahkan manusia dan bukan untuk mempersusahkan”. (hadith sahih, Riwayat jamaah kecuali Muslim).

Latihlah mereka dengan bersiwak dengan mengunakan berus gigi dengan mengatakan sunnah ialah menjaga kebersihan mulut dan gigi disebalik memberikannya kayu sugi yang akan menyusahkan anak-anak mengunakannya dan membuatkan mereka hilang perasaan ibadah apabila nantinya menggunakan berus gigi dan membuatkan perasaan menunaikan sunnah hilang dari mereka lantaran disempitkan pemikiran mereka sunnah hanya pada kayu sugi.
"Sungguh sangkaan mereka langsung tidak membawa manfaat pada mereka (dalam membawa mereka) kepada kebenaran sedikitpun" (Surah Yunus: 36).

Ajarilah mereka bahawa sunnah rasulullah ialah memakai pakaian yang bersih dan suci serta memakai pakaian dengan bersyukur kepada Allah sw tanpa memiliki perasaan bongkak dengan pakaian yang dipunyai bukannya mengajarkan mereka bahawa sunnah ialah dengan memakai jubah dan serban sehingga membuatkan mereka hanya merasa sunnah apabila memakai jubah dan serban tetapi tidak jika memakai pakaian lain lalu membuatkan sebahagian besar hidup mereka yang dipenuhi dengan memakai pakaian lain itu kosong dari perasaan ibadah dan mengamalkan sunnah.

Sewajarnyalah kepada setiap muslim dan muslimah agar menghayati hadith baginda salallahualaihiwasalam yang diriwayat dari Umar ibn Khatab ra : “Sesungguhnya setiap amal itu dengan niat, dan bagi amalnya (balasan pada amalnya) dengan apa yang diniatkan.” (Hadith Sahih, Muttafaqun Alaih –Disepakati oleh Bukhari no. 41 & Muslim no.158).

Janganlah mengajar anak-anak dengan sesuatu yang menjauhkan dia daripada agamanya pada masa akan datang dan di dalam realiti kehidupannya tetapi cubalah semaikan cinta kepada Islam dan kepada Allah dan rasul dengan mendekatkan diri mereka kepada agama sehingga mereka merasa Islam itu ialah satu kehidupan yang dapat mereka lalui dengan selesa dan menjadi agama yang memandu hidup dan mengisi kekosongan jiwa.

Sabda baginda: “Sesungguhnya kamu diutuskan untuk memudahkan manusia dan bukan untuk mempersusahkan” (hadith sahih, Riwayat jamaah kecuali Muslim).

Segala puji hanyalah bagi Allah swt.

Sunday, May 20, 2007

Tajuk: Antara Manchester United Dan Chelsea “Aku Sokong Siapa?”

Antara Manchester United Dan Chelsea “Aku Sokong Siapa?”

As-Salaamu ‘alaikum…

20 May-2007, 01:15a.m. – Sampai di rumah...

Nah! Tamat jua siaran langsung (live!) perlawanan akhir bola sepak Piala FA Liga Inggeris, yang mana melibatkan pertembungan dua pasukan gergasi Liga Inggeris (EPL). Dari jam 09.10pm aku bersama-sama beberapa orang kawan sudah mula bergerak keluar menempah sit untuk makan di sebuah restorant yang tidak kurang hebatnya di bandar Shah Alam ini. Kawan-kawan aku kata, kalau lewat makan malam ni, memang takde sit la jawabnya. Aku hanya menurut, pergi makan pun tumpang kereta mereka. Makan bersama-sama memang seronok. Memang aktiviti harian, kami sentiasa bertukar-tukar tempat makan.

Ternyata memang restorant ni penuh sesak se-awal 09.20pm sejak aku mula datang lagi. Walhal perlawanan bola dikatakan hanya akan bermula sekitar jam 10.00pm. Dan sememangnya gelombang bola malam tersebut memang tidak dapat aku nafikan betapa kuatnya mempengaruhi para pemuda-pemudi tidak kira lelaki mahupun perempuan, malah yang tua mahupun yang muda turut serta berkampung memenuhi ruang-ruang meja makan di restorant tersebut malahan di warung-warung serta restorant lainnya di sekitar. Memang padat! Tepat jam 10.00pm, dah takde sit dah untuk duduk.

Punya lah lama kami menunggu hidangan makanan yang dipesan untuk sampai. Boleh dikatakan hampir setengah jam lebih. Ini semua gara-gara terlalu ramainya manusia memenuhi setiap ruang restorant tersebut. Tentu sekali pesanan pun banyak sekali. Secara kasarnya, sudah pasti para peniaga malam itu memang untung besar punya. Aku hanya mampu mendengarkan perbualan kawan-kawan aku berkenaan perlawanan yang bakal berlangsung sebentar lagi... maklumlah, aku bukannya peminat perlawanan bola sepak.

Se-awal jam 10.00pm, makanan yang kami pesan pun sampai. Dalam masa itu jugalah, betapa pekik sorak pun bermula. Setiap pekikan dan sorakan mewakili setiap kumpulan yang disokong. Iaitu sama-ada Manchester United atau Chelsea! Hampir 80% pengunjung restorant tersebut datang dengan mengenakan pakaian (jersey) pasukan pilihan masing-masing, samaada merah atau putih (untuk M.U) dan biru (untuk Chelsea). Em, nampaknya mereka memang setia dan begitu optimis sekali terhadap pasukan masing-masing.

Sungguh bingit suasana di restorant ini. Aku pun dah sampai tahap naik pening dan muak nak menghabiskan makanan yang dihidangkan akibat terlalu bising. Sedikit sebanyak ada juga di kalangan mereka yang mungkin pada anggapanku adalah penyokong fanatik setiap kumpulan saling berbalas kata-kata kesat dan makian. Sungguh memeningkan. Kerana bola pun nak bertengkar.

Aku terpaksa menunggu sehingga ke babak terakhir perlawanan bola tersebut, ini adalah kerana aku datang bersama-sama dengan kawan-kawan aku yang memang tak kurang fanatiknya mereka kepada perlawanan bola. Apatah lagi bila ianya melibatkan pasukan-pasukan ternama. Aku terus bersabar sehinggalah Chelsea menjaringkan gol kemenangan menerusi Didier Drogba pada minit-minit akhir perlawanan iaitu ketika masa silver goal.

Di sinilah segalanya bermula. Di mana pesta kemenangan dimulakan oleh peminat-peminat fanatik Chelsea. Apalagi, habis kena caci maki la peminat-peminat Manchester United (M.U) kat restorant tempat aku makan malam tu. Manakala peminat-peminat Chelsea, memang riang gembira la mereka kerana berjaya melihat rakan-rakan yang menyokong M.U bersedih. Siap ada peminat Chelsea yang menari depan screen besar tu! Peh, gempak giler mereka ni! Ada juga yang terlompat-lompat meluahkan kegembiraan sehingga Handset dan spect-mata pun jatuh ke lantai, duit syiling jatuh berterabur. Teruknya kulihat mereka ini... kecintaan terhadap bola dan pasukan pilihan masing-masing melebihi jangkaan yang aku biasa lihat di tempat-tempat yang lain. Kalau kat luar negara tu lain ceritalah. Sampai ada yang merusuh. Itupun biasanya cuma berlaku apabila England atau Argentina kalah di stadium.

Tapi, inikan di Malaysia! Di salah sebuah restorant di Shah Alam je...

Tapi, meriahnya bukan main... bukan dengar pun pasukan yang mereka sokong tu akan sorakan mereka. Mengalahkan audiences di dalam stadium sebenar di Wembley! Tapi, degil nak bersorak jugak. Tidak lain, semua ni jenis nak menyakat rakan-rakan yang menyokong pihak lawan jer. Semangat berpuak-puak terlalu tinggi! Gara-gara bola, sanggup melihat kawan-kawan bersedih dan dikutuk-kutuk. Isk... apalah yang anda dapat!

Di kala semangat bola mereka semua tu membara... cuba bayangkan! Just Imagine! Tempat anda menonton bola ni kena bom! Manalah tau kan... J.I antarabangsa nak bom ke... (aku dengar-dengar, ada JI antarabangsa nak bom putrajaya katanya – entah iye entah tidak). Em, apalah jadi agaknya yer? Paling menakutkan andainya anda terkorban kala itu, tidak semestinya akibat di-bom lah... kiranya, apa-apa sebab pun lah... mati di dalam keadaan memuja bola macam tu kan... agak-agaknya, di manakah ruang letaknya akidah anda??? Di hatikah? Di mata kah? Di kepala kah? Di lututkah? Atau di Kaki kah? Atau, entahlah... kat mana yer?

Fikir-fikirkan...

Apa yang anda dapat sebenarnya? Sehingga akidah anda tergadai sebegitu rupa!

Mungkinkah ini merupakan hasilnya buah didikan daripada akidah ultraman ketika anda masih kecil. Atau mungkinkah daripada akidah superman mahupun spiderman? Atau mungkin yang lain, seperti x-Men ke, Doraemon ke? Atau, Sin Chan kot...

Sedih kan!!! Anak-anak ketika kecil yang mungkin tidak diberikan didikan yang sewajarnya dengan akidah yang benar sehingga menjadikan ultraman, spiderman, superman, dan entah apa-apa entah sebagai bahan pujaan yang memenuhi setiap ruang emosi serta imaginasi mereka. Apabila ada masalah je, ingat semua kartun dan animasi rekaan tu. Sehingga, tidak boleh miss setiap rancangan tu! Sehingga terbawa-bawa ke luar dan menggayakan bersama rakan-rakan yang lain seolah-olah aku nak jadi ultraman dan superman. Masing-masing memuji-muji kehebatan watak kegemaran mereka. Sehingga ada masalah je... mulalah berfikir, andainya ada ultraman atau superman datang kan bagus... kalau ada Doraemon datang bantu selesaikan masalah aku kan bagus... Em, ini adalah kenyataan! Sedih bukan... melihat rosaknya akidah anak-anak kita... Sehingga terbawa-bawa ke alam dewasa mereka! Mereka tidak tahu membezakan siapakah yang sebenarnya wajar dipuja dan puji. Di manakah tempat sebetulnya wajar mereka menyerahkan diri dan meminta. Mereka keliru, apakah yang sewajibnya mereka perjuangkan dan menangkan... Mereka tidak mengerti, siapakah yang seharusnya mereka jadikan contoh dan idola...

Siap ada kanak-kanak yang berumur se-awal 3 tahun sudah mampu menghafal dan melagukan lagu Anuar Zain dengan lancar sekali. Em, budak-budak ni memang genius... Tapi, aku lebih kagum jika mereka menghafal perkara-perkara yang lebih wajar, yang mana lebih priority menurut agama.

Em... Mungkinkah juga kerana tiadanya rangkaian dakwah yang telah sampai kepada mereka..?

Sama-samalah kita doakan agar mereka diberikan petunjuk dan hidayah oleh Allah s.w.t...

Aku pun dah naik risau dah selama lebih kurang tiga jam duduk di restorant tu. Semuanya gara-gara melihat ragam peminat-peminat bola... bukan tengok bola! Isk...

Em, persoalan ini bukan sahaja berkitar kepada perlawanan bola sepak tadi malam. Tidak kurang hebatnya juga pelbagai acara hebat lainnya seperti konsert muzik seperti sure heboh (jom! Heboh) dan akademi fantasia (AF) yang begitu dipuja dan dinantikan!

Renung-renungkan wahai sahabat-sahabatku...

وَمِنَ النَّاسِ مَنْ يَتَّخِذُ مِنْ دُونِ اللَّهِ أَنْدَادًا يُحِبُّونَهُمْ كَحُبِّ اللَّهِ وَالَّذِينَ آمَنُوا أَشَدُّ حُبًّا لِلَّهِ وَلَوْ يَرَى الَّذِينَ ظَلَمُوا إِذْ يَرَوْنَ الْعَذَابَ أَنَّ الْقُوَّةَ لِلَّهِ جَمِيعًا وَأَنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعَذَابِ (١٦٥)

(Walaupun demikian), ada juga di antara manusia yang mengambil selain dari Allah (untuk menjadi) sekutu-sekutu (Allah), mereka mencintainya, (memuja dan mentaatinya) sebagaimana mereka mencintai Allah; sedang orang-orang yang beriman itu lebih cinta (taat) kepada Allah. Dan kalaulah orang-orang yang melakukan kezaliman (syirik) itu mengetahui ketika mereka melihat azab pada hari akhirat kelak, bahawa Sesungguhnya kekuatan dan kekuasaan itu semuanya tertentu bagi Allah, dan Bahawa Sesungguhnya Allah Maha berat azab seksa-Nya, (nescaya mereka tidak melakukan kezaliman itu). (al-Baqarah (2): 165)

وَلَقَدْ أُوحِيَ إِلَيْكَ وَإِلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكَ لَئِنْ أَشْرَكْتَ لَيَحْبَطَنَّ عَمَلُكَ وَلَتَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِينَ

“Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu (Wahai Muhammad) dan kepada Nabi-nabi yang terdahulu daripadamu: "Demi sesungguhnya! jika Engkau (dan pengikut-pengikutmu) mempersekutukan (sesuatu Yang lain Dengan Allah) tentulah akan gugur amalmu, dan engkau akan tetap menjadi dari orang-orang yang rugi. (az-Zumar (39): 65)
وَإِذْ قَالَ لُقْمَانُ لابْنِهِ وَهُوَ يَعِظُهُ يَا بُنَيَّ لا تُشْرِكْ بِاللَّهِ إِنَّ الشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيمٌ

“Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya: "Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar". (Luqman (31): 13)

An-Nawawi’2007
02:38a.m. – 20 May-2007
Bandaraya Anggerik, Shah Alam...
http://an-nawawi.blogspot.com
http://bahaya-syirik.blogspot.com
http://www.geocities.com/nawie83

Saturday, May 19, 2007

Menagih Kemenangan Yang Dijanjikan, Bagaimana Aqidah Ummat Masa Ini?

Menagih Kemenangan Yang Dijanjikan, Bagaimana Aqidah Ummat Masa Ini?

Allah s.w.t. berfirman:

“Dan menjadi kewajiban Kami menolong orang-orang yang beriman.” (ar-Rum: 47)

Ayat di atas menjelaskan bahawa Allah menjanjikan pertolongan kepada orang-orang yang beriman atas musuh-musuhnya. Sebuah janji yang pasti akan didatangkan kepada kita semua, orang-orang yang beriman.

Allah s.w.t. telah menolong Rasul-Nya pada perang Badar, Perang Ahzaab, dan peperangan-peperangan yang lain yang pernah beliau lakukan. Demikian pula, Allah telah menolong para sahabat Rasulullah s.a.w. sepeninggalan beliau dalam menghadapi musuh-musuh mereka, sehinggalah Islam tersebar luas ke segenap lapisan dan pelusuk dunia.

Kaum muslimin akan selalu mendapat pertolongan Allah walaupun banyak mengalami tragedi dan musibah. Memang, kesudahan yang baik pasti akan sentiasa bersama orang-orang yang beriman iaitu mereka yang benar-benar teguh dalam memegang keimanan dan ketauhidan dalam setiap ibadahnya, doanya, dan setiap apa jua perkara di dalam perjalanan hidupnya.

Al-Qur’an mengisahkan bagaimana keadaan kaum muslimin pada saat Perang Badar. Jumlah mereka sedikit, dan kelengkapan perang mereka juga berada pada tahap minima. Namun, mereka selalu yakin kepada Allah, sehingga mereka pun berdoa kepada Allah agar memberi mereka kemenangan. Allah berfirman:

(ingatlah) ketika kamu memohon pertolongan kepada Tuhan kamu, lalu ia perkenankan permohonan kamu (dengan firmanNya): "Sesungguhnya Aku akan membantu kamu Dengan seribu (bala tentera) dari malaikat Yang datang berturut-turut. (al-Anfal: 9)

Allah memperkenankan permohonan mereka, iaitu dengan menurunkan malaikat untuk berperang bersama mereka. Para malaikat itu ikut memenggal kepala orang-orang kafir dan memancung jari-jemari mereka. Di mana Allah menerangkan lagi di dalam firmannya:

(ingatlah) ketika Tuhanmu wahyukan kepada malaikat: "Sesungguhnya Aku menyertai kamu (memberi pertolongan), maka Tetapkanlah (hati) orang-orang Yang beriman. Aku akan mengisi hati orang-orang Yang kafir Dengan perasaan gerun; oleh itu, pancunglah leher mereka (musuh) dan potonglah tiap-tiap anggota mereka" (al-anfal: 9)

Akhirnya kemenangan pun berpihak kepada orang-orang yang beriman.

Allah berfirman:

Dan Sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan Dalam peperangan Badar, sedang kamu berkeadaan lemah (kerana kamu sedikit bilangannya dan kekurangan alat perang). oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah, supaya kamu bersyukur (akan kemenangan itu). (Ali Imran: 123)

Dan doa Rasulullah s.a.w. ketika Perang Badar adalah (maksudnya):

“Ya Allah, seandainya Engkau hancurkan kelompok-kelompok orang-orang Islam ini, nescaya tidak ada yang menyembah Engkau lagi di bumi ini.” (Hadis Riwayat Muslim)

Akan tetapi, kita menyaksikan pemandangan di beberapa negara Islam, bagaimana kaum muslimin tidak mampu mengalahkan musuh-mush mereka. Mengapa perkara ini berlaku? Apakah puncanya sehingga umat Islam menjadi sedemikian lemah sekali? Apakah kerena Allah mengingkari janjinya?

Sudah tentu tidak!!! Allah tidak pernah memungkiri janji-Nya...

Namun sebaliknya, kitalah yang perlu bertanya kepada diri kita sendiri, “Apakah kita telah melakukan selaras kehendak Allah bagi mendapatkan janji Allah itu?”

Sebenarnya, pada kesempatan yang ada ini kita perlu bertanya kepada para pejuang “berlabel Islam” kita... sudahkah mereka memenuhi prasyarat-prasyarat di mana agar pertolongan dan janji Allah itu turun.

Di antara prasyarat-prasyarat itu adalah:

1 – Mereka perlu mempersiapkan diri dengan bekal keimanan dan ketauhidan yang sebenar dan sahih. Dan itulah sebenarnya bekalan yang digunakan oleh para salafus-soleh di zaman Rasulullah s.a.w. sudahkah bekalan ini, mereka persiapkan?

Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang Yang tetap berdusta (mengatakan Yang bukan-bukan), lagi sentiasa kufur (dengan melakukan syirik). (az-Zumar: 3)

2 – Mereka harus melakukan usaha-usaha yang gigih untuk menggapai kemenangan yang mereka harapkan, sebagaimana diperintahkan oleh Allah dalam firman-Nya:

Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh) dengan segala jenis kekuatan Yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda Yang lengkap sedia, untuk menggerunkan Dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh Yang lain dari mereka Yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. dan apa sahaja Yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya. (al-Anfal: 60)

3 – Mereka perlu sentiasa berdoa dan memohon kemenangan kepada Allah semata-mata, selama perjuangan berlangsung (tidak berputus asa). Dan tidak memohon pertolongan selain dari kepada Allah s.w.t. Mereka perlu mencontohi Rasulullah s.a.w. di dalam berdoa di mana Rasulullah hanya menujukan doanya itu kepada Allah semata-mata. Allah berfirman:

Bukankah Allah cukup untuk mengawal dan melindungi hambaNya (yang bertaqwa)? dan mereka menakutkanmu (Wahai Muhammad) Dengan Yang mereka sembah Yang lain dari Allah. dan (ingatlah) sesiapa Yang disesatkan oleh Allah (dengan pilihannya Yang salah), maka tidak ada sesiapapun Yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadaNya. (az-Zumar: 36)

4 – Mereka mesti bersatu padu, saling mengasihi dan mencintai di antara satu sama lain, serta meletakkan semangat yang kukuh di dalam dada-dada mereka. Di bawah petunjuk Allah dan Rasul-Nya.

Dan Taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi Segala kesukaran Dengan cekal hati); Sesungguhnya Allah beserta orang-orang Yang sabar. (al-Anfal: 46)

Sudahkah kalian, wahai mereka yang menggelarkan diri mereka sebagai pejuang-pejuang Islam melakukan hal-hal asas seperti yang demikian itu?

Ketika umat Islam tidak mahu mempedulikan lagi ke-sahihahan aqidah mereka, mengabaikan perintah-perintah agama mereka, meninggalkan kepentingan ilmu pengetahuan (baik dalam hal agama mahupun ilmu-ilmu lain yang bermanfaat), dan meninggalkan petunjuk Rasulullah (melalui hadis-hadis yang sahih), mengabaikan petunjuk al-Qur’an, maka... mereka pun akan diabaikan oleh Allah dari mendapat pertolongan yang dijanjikan, sehinggalah mereka benar-benar komited dalam tindakan mereka. Apakah kalian masih tidur...

Ingatlah janji Allah:

Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (Wahai umat Muhammad) bahawa Dia (Allah) akan menjadikan mereka berkuasa memegang pemerintahan di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: yang berkuasa; dan Dia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredhai-Nya untuk mereka; dan ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain dengan-Ku. Dan (ingatlah) sesiapa Yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang Yang derhaka (fasik). (an-Nuur: 55)

Berkata Sheikh Soleh Fauzan al-Fauzan, di dalam kata pengantar kitab Minhajul Anbiya’ Fid Da’wati Ila Allah fihil Hikmatu wa ‘aql tentang ayat di atas (an-Nuur: 55) sebagai berikut:

Sebagaimana yang telah diisyaratkan (oleh Allah s.w.t.), tidak akan tercapai, kecuali setelah memperbaiki aqidah mereka dengan beribadah hanya kepada Allah dan meninggalkan penyembahan kepada selain-Nya. Dan mereka berkeinginan untuk mendahulukan adanya Daulah Islamiyah sebelum membersihkan negara dari aqidah-aqidah berhala, seperti penyembahan orang mati dan kebergantungan terhadap kuburan (serta masih bersama memenangkan aqidah selain daripada aqidah ahlus sunnah (syi’ah, muktazilah, khawarij, sufi, dll.) – tambahan penulis). Padahal hal tersebut tidak jauh berbeza dengan penyembahan terhadap Latta, Uzza, dan Manaat dan yang lainnya. Bahkan lebih dari itu, mereka mencari sesuatu yang lain yang mustahil adanya.

“Barangsiapa mencari kemuliaan, tanpa ada usaha yang keras, maka telah hilanglah usia akibat mencari kemustahilan” (Rujuk; Minhajul Anbiya’ Fid Da’wati Ila Allah fihil Hikmatu wa ‘aql, karangan sheik Dr. Rabi Bin Hadi ‘Umair al-Madkhaly)

Di dalam tafsir al-‘azim, oleh al-Hafidz Ibnu Katheer, diterangkan bagaimana dakwah nabi yang bermula dengan dakwah tauhid yang mana ummat berada dalam kesengsaraan pada awalnya (penindasan puak kafir), akhirnya berjaya mendidik ummat pada masa itu (para sahabat – pembinaan generasi salafus soleh) sehingga mampu menguasai (menang) ke atas Mekah, Khaybar, Bahrayn, dan seluruh wilayah semenanjung Arab dan Yamen; dan mereka berupaya mengambil Jizyah daripada Zoroastrians di Hajar dan daripada beberapa wilayah di sempadan Syria; dan seterusnya berjaya mengadakan hubungan (menundukkan) wilayah yang lain seperti Byzantium, Mesir, dan lain-lain... dan kegemilangan pemerintahan ini berterusan sehinggalah ke zaman khalifah yang seterusnya... (Rujukan: surah an-Nuur: 51-55, Tafsir Ibn Kathir, english Edition, Terbitan Darussalam)

5 – Binalah aqidah yang benar dan bersihkanlah segala bentuk kesyirikan, kekufuran, dan penyelewengan aqidah dengan sebenar-benarnya, dengan:

- Tidak berjuang bersama-sama orang-orang (yang jelas) yang menentang Allah s.w.t. dan tidak berkompromi dengan kaum yang menyelisihi Allah dan Rasul-Nya.
(rujuk 59: 14 & 16)
- Mendahulukan dakwah aqidah (sebagai keutamaan), bukan dakyah politik kepartian. (rujuk 23: 52-53)
- Bersatu dengan berpegang kepada sunnah Rasul-Nya walaupun sehingga terpaksa menggigitnya dengan geraham-geraham. (al-hadis – Sahih: imam az-Zhahabi)
- Tidak mengambil jalan dakwah yang terang-terang menyimpang dari jalan yang dibawa Rasulullah s.a.w. (20: 123, 3: 103)
- Menyeru ummat kepada aqidah yang sahih dan bukan kepada Daulah Islamiyyah tanpa asas aqidah. (16: 36, 7: 59, 65, 73, 85)
- Tidak banyak tanya (dalih) kepada apa yang diturunkan oleh Allah s.w.t. (24: 51)
- Menjaga adab sebagai pejuang dan pendakwah Islam. (3: 159)

Sesungguhnya perkataan yang diucapkan oleh orang-orang yang beriman ketika mereka diajak kepada Kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya, supaya menjadi hakim memutuskan sesuatu di antara mereka, hanyalah mereka berkata: "Kami dengar dan Kami taat": dan mereka itulah orang-orang yang beroleh kejayaan. (an-Nuur: 51)

Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya dan takut melanggar perintah Allah serta, menjaga dirinya jangan terdedah kepada azab Allah, maka merekalah orang-orang yang beroleh kemenangan. (an-Nuur: 52)

Wahai orang-orang yang beriman! janganlah kamu memandai-mandai (melakukan sesuatu perkara) sebelum (mendapat hukum atau kebenaran) Allah dan RasulNya; dan bertaqwalah kamu kepada Allah; Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui. (al-Hujuraat: 1)

Perjuangan “berlabel Islam” yang disertakan kesyirikan di dalamnya dengan meninggalkan (mengabaikan) petunjuk yang sedia ada (Kitabullah dan sunnah Rasul-Nya), percayalah... ia pasti gagal, dan hanya menambahkan lebih banyak penyimpangan...

Allahu ‘alam...

An-Nawawi, nawie83@yahoo.com
http://groups.yahoo.com/group/pmh-uitm

Rujukan:
- al-Firqatun Najiyah, Sheikh Muhammad bin Jamal Zainu.
- Minhajul Anbiya’ Fid Da’wati Ila Allah fihil Hikmatu wa ‘aql, Sheik Dr. Rabi Bin Hadi ‘Umair al-Madkhaly.
- At-Tauhid Lish-shaffil Awwal al-‘Aliy, Sheikh Dr. Soleh Bin Fauzan al-Fauzan.
- Meluruskan Kesalahfahaman Dakwah Salafiyah, Sheikh Nashiruddin al-Albani.
- Tafsir Ibn Kathir, english Edition, Terbitan Darussalam.

Thursday, May 17, 2007

Tajuk: Hukum Berzanji, Maulid dan Nur Muhammad

Hukum Berzanji, Maulid dan Nur Muhammad

http://www.geocities.com/nawie83
http://groups.yahoo.com/group/pmh-uitm

بِسْـمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ

اَلْحَمْدُ للهِ رَبَّ الْعَالَمِيْنَ ، وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى اَشْرَفِ الاَنْبِيَاءِ والْمُرْسَلِيْنَ ، نَبِيِّنَا مَحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَاَصْحَابِهِ وَمنْ تَبِعَهُ اِلَى يَوْمِ الدِّيْنَ . اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحْمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ. أمَّا بَعْدُه:

Syara telah mengharamkan seseorang yang beriman memberi sifat kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam yang bukan selayaknya diberikan kepada baginda. Perbuatan mengangkat Rasulullah dengan memberikan sifat ketuhanan kepada baginda adalah perbuatan syirik yang masih diamalkan oleh ramai masyarakat Islam yang keliru tentang makna pengertian cinta kepada nabinya. Perbuatan seperti ini telah dilakukan terutamanya oleh kebanyakan orang-orang tarikat batiniyah, sufi (tasawuf) yang ghulu kepada Rasulullah sehingga menjejaskan akidah mereka. Contohnya dapat diambil dari beberapa kata-kata dan syair-syair orang-orang tarikat batiniyah dan sufi/tasawuf yang nyata telah menyeleweng dari dasar akidah Ahli Sunnah wal-Jamaah yang sebenar:

يَا عَلاَّمَ الْغُيُوْبِ قَدْ لَجَاْنَا اِلَيْكَ
يَاشِفَاءَ الْقُلُوْبِ اَلصَّلاَةُ عَلَيْكَ.

"Hai orang yang mengetahui perkara yang ghaib! Sesungguhnya kami berlindung kepadamu. Hai pengubat hati! Semoga dicurahkan selawat kepadamu".

وَمَنْ تَكُوْنُ بِرَسُوْلِ اللهِ نُصْرَتُهُ
اِنْ تَلَقَّهُ اْلاُسُدُ فِى اَجَامِهَاتِهِمْ
مَاسَامَنِى الدَّهْرُ ضَيْمًا وَاسْتَجَرْتُ
اِلاَّ وَنِلْتُ جِوَارًا مِنْهُ لَمْ يُضَمْ

Barangsiapa mengambil Rasulullah sebagai penolongnya
diketika dia bertemu dengan serigala di tengah hutan belantara,
yang menunjukkan keganasannya.
Tidak pernah menimpaku kezaliman sepanjang waktu
kecuali aku meminta pertolongan kepada Rasulullah
yang tiada sia-sia pertolongannya.

Syair ini sering dijadikan bacaan dan amalan wirid oleh golongan tarikat batiniyah dan para pengikut sufi/tasawuf, ini menunjukkan bahawa mereka melakukan kesyirikan semasa meminta pertolongan dari Allah, kerana di samping meminta kepada Allah mereka juga menyekutukannya dengan menyeru dan meminta kepada Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam. Perbuatan seperti ini jelas membawa kepada kesesatan dan kesyirikan kerana bertentangan dengan firman Allah:

فَلاَ تَجْعَلُوْا للهِ اَنْدَادً وَاَنْتُمْ تَعْلَمُوْنَ

“Oleh kerana itu, janganlah kamu mengadakan bagi Allah seruan-seruan yang lain padahal kamu mengetahui”. Al-Baqarah, 2:22.

وَمَا النَّصْرُ اِلاَّ مِنْ عِنْدِ اللهِ الْعَزِيْزِ الْحَكِيْمِ.

"Dan kemenangan itu hanyalah (apabila dipinta) dari sisi Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana". Ali Imran, 3:126.

اِذَا سَاَلْتَ فَاسْاَلِ اللهَ وَاِذَا اسْتَعَنْتَ فَاسْتَعِنْ بِاللهِ.

"Dan apabila kamu meminta sesuatu, maka mintalah kepada Allah. Dan apabila kamu meminta pertolongan, maka mintalah semata-mata kepada Allah".[1]

Sesiapa yang memberikan sifat ketuhanan atau sifat yang hanya layak untuk Allah kepada nabi, rasul, wali, roh suci atau syeikh sufi/tasawuf seperti bernazar kepada mereka sehingga disangkanya nabi, rasul dan wali tersebut mengetahui urusan yang ghaib, dapat menunaikan seruan dan permohonan, maka ia telah melakukan kesyirikan kepada Allah Subhanahu wa-Ta'ala.

Begitu juga kepada mereka yang menerima fahaman tarikat "Nur Muhammad", yang mentaqdiskan Nabi Muhammad sehingga melampaui batas (ghulu), mereka telah mengangkat baginda ke tahap ketuhanan dan perbuatan mereka adalah suatu kesyirikan yang nyata. Apa itu tarikat "Nur Muhammad?".

Kepercayaan Nur Muhammad (Hakikat Muhammadiyah)

Antara beberapa iktikad batil dan sesat yang sudah tersibar luas dan menjadi anutan majoriti masyarakat Islam Nusantara ialah tarikat Nur Muhammad. Tarikat ini selain dikenali sebagai Nur Muhammad ia disebut dan dikenali juga sebagai "Hakikat Muhammadiyah”. Nama ini terdapat di dalam kitab Berzanji:

وَلَمَّا اَرَادَ اللهُ تَعَالَى اِبْرَازَ حَقِيْقَتِهِ الْمُحَمَّدِيَّةِ

"Dan tatkala Allah hendak melahirkan (ke alam nyata) HakikatNya Muhammadiyah".[2]

Selain dikenali sebagai tarikat "Nur Muhammad" dan "Hakikat Muhammadiyah" maka tarikat ini dikenali juga sebagai tarikat "Roh Muhammad". Nama ini diambil dari kepercayaan adanya roh yang berpindah-pindah (inkarnasi). Iaitu roh Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam yang berpindah-pindah dari moyang baginda sehinggalah kepada ayahndanya Abdullah bin Abdul Mutalib. Penerangan tentang "Roh Muhammad" terdapat juga di dalam kitab Berzanji:

وَاُصَلِّيْ وَاُسَلِّمُ عَلَى النُّوْرِ الْمَوْصُوْفِ بِالتَّقَدُّمِ وَاْلاَوَّلِيَّةِ الْمُنْتَقِلِ الْغُرُرِ الْكَرِيْمَةِ وَالْحِبَاهِ.

"Dan lagi aku memohon kepadaNya moga-moga Allah mencucuri rahmat dan selamat kepada an-Nur yang Dia telah jadikan terdahulu daripada segala makhluk yang lainnya. Iaitu nur yang berpindah-pindah daripada satu dahi kepada satu yang mulia keadaannya, iaitu moyang-moyang Nabi sallallahu 'alaihi wa-sallam yang mulia sehingga dahi Abdullah ayahandanya".[3]

Kepercayaan perpindahan roh (inkarnasi) yang disebut juga "Kitaran Roh/Hayat" adalah konsep yang terdapat dalam kepercayaan agama Hindu. Kepercayaan ini bertentangan dengan nas al-Quran kerana setiap roh orang yang telah mati berada di barzah, iaitu tembok yang membatasi antara dunia dan akhirat sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah di dalam firmanNya:

وَمِنْ وَرَآئِهِمْ بَرْزَخٌ اِلَى يَوْمِ يُبْعَثُوْنَ.

"Di hadapan mereka (para roh) ada dinding (tembok sebagai pemisah) sampailah mereka dibangkitkan". Al-Mu'minun, 23:100.

“Hakikat Muhammadiyah” diistilahkan sebagai "Qutub" oleh sebahagian tarikat sufi/tasawuf. Malah hakikat Muhammadiyah tidak ada perbezaan dengan konsep Imam maksum dalam ajaran Syiah, Ismailiyah dan batiniyah.[4] Pada hakikatnya akidah yang telah disebar luaskan oleh golongan tarikat batiniyah dari kalangan penganut sufi/tasawuf ini dapat dibuktikan membawa kepada kesesatan dan syirik, kerana penganutnya meyakini bahawa dunia, sekalian alam dan segala isinya diciptakan bersebab dari Nur Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam. Kononnya berpunca dari Nur Muhammad segala sesuatu terjadi. Ini adalah iktikad batil yang sama sekali tidak ada asas dan dalilnya dari syara.

Orang yang pertama menghidupkan teori Nur Muhammad ini ialah al-Hallaj. Sesudah beliau, diperluas dan diperkembangkan oleh Ibn Arabi. Malah yang paling aktif menyebarkan ajaran ini adalah golongan Syiah kerana terdapat dalam kepercayaan mereka keyakinan bahawa:

"Nur Muhammad itu qadim dan bersambung terus-menerus kepada nabi-nabi, rasul-rasul, imam-imam (Syiah) dan para wali (dari kalangan Syiah)".

Antara orang yang terus menyebar dan giat menghidupkan semula teori khurafat dan sesat ini secara tulisan ialah seorang lelaki Mesir bernama "Muhammad Mutawalli asy-Sya'rawi". Teori syirik ini dikembangkan oleh beliau melalui tulisannya yang dipenuhi dengan kebatilan: (اَنْتَ تَسْاَلُ وَاْلاِسْلاَمُ يَجِبُ).

Dasar fahaman ini diambil dari fahaman kerohanian teosofi yang meyakini bahawa segala-galanya bermula dari nur (cahaya), sama ada yang lahir (makrifat) dan yang batin (hakikat). Fahaman ini juga dipengaruhi oleh teori Neoplatonisme melalui konsep "Emanasi", iaitu segalanya adalah pancaran cahaya yang mengalir dari Tuhan sebagai sebab utama yang dikenali sebagai teori "al-Fiadh" atau apa yang diistilahkan oleh golongan tarikat sufi/tasawuf fahaman Ibn Arabi sebagai "Tajalli".

Golongan tarikat batiniyah dan para penganut sufi/tasawuf yang berpegang dan percaya dengan fahaman "Nur Muhammad" meyakini bahawa semua para malaikat seperti Jibril, Mikail, Israfil serta semua para nabi dicipta dari pantulan Nur Muhammad:

فَجَمِيْعُ اْلاَنْبِيَاءِ خُلِقُوْا مِنْ نُوْرِ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

"Maka sekalian para nabi telah dicipta dari Nur Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam".[5]

Kononnya berkat Nur Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam terciptalah segala makhluk seperti tujuh petala langit dan penghuninya, bintang-bintang dan bumi serta segala yang terdapat di permukaan dan di dasar lautannya, termasuklah syurga dan neraka semuanya bersumber dari satu unsur iaitu berkat Nur Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam. Kepercayaan seperti ini perlu dibasmi atau dihapuskan oleh golongan ulama Ahli Sunnah wal-Jamaah, kerana ia membawa kepada khurafat dan tahayyul yang menyebabkan rosaknya akidah orang yang mempercayainya sehingga berlaku kesyirikan.

Terdapat banyak syair-syair dan hadith-hadith lemah dan palsu yang dijadikan pegangan dan hujjah oleh penganut fahaman ini untuk menguatkan dakwaan mereka. Antara syair dan hadith tersebut ialah:

اِنَّ اللهَ خَلَقَ رُوْحَ النَّبِي صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ ذَاتِهِ وَخَلَقَ الْعَالَمَ بَاسِرَهُ مِنْ نُوْرِ مُحَمَّدٍ صَلَى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

Sesungguhnya Allah mencipta roh Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam dari zatNya dan alam seluruhnya dijadikan dari Nur Muhammad".[6]

Bersempena dari hadith palsu di atas ini dan beberapa lagi hadith palsu yang lain, lahir kepercayaan yang lebih menyimpang jauh sebagaimana yang dipersetujui oleh syair-syair di kitab berzanji antaranya ialah:

نَتَوَسَّلُ اِلَيْكَ بِشَرَفِ الذَاتِ الْمُحَمَّدِيَّةِ.

"Dan kami (bertawassul) bermohon kepadaMu berkat kemuliaan hakikat al-Muhammadiyah". [7]

Fahaman tajalli (penjelmaan/bersatu) Allah dengan makhluk, atau sekalian alam sama ada alam dunia atau akhirat sebagaimana yang terdapat dalam kepercayaan Nur Muhammad sehingga mensekufukan hakikat Nabi Muhammad dengan hakikat Allah adalah perbuatan syirik. Fahaman ini berdasarkan pengaruh ajaran Syiah berkaitan konsep wahdatul wujud, hakikat Muhammadiyah dan Imam Mahadi. Teori ini sefahaman dengan teori “Qutub” dalam fahaman sufi/tasawuf. Fahaman batil dan sesat ini telah dikembangkan oleh Ibn Arabi (1165-1240M).

Seterusnya antara hadith palsu yang menjadi pengangan penganut Nur Muhammad ialah:

لَوْلاَكَ مَا خُلِقَتِ الدُّنْيَا.

"Kalaulah tidak kerana engkau (ya Muhammad!) dunia ini tidak akan diciptakan".

Menurut Ibn Qaiyim rahimahullah bahawa hadith ini adalah hadith palsu (موضوع). Malah al-Bushairi juga telah membuat pembohongan ketika mengatakan perkara ini melalui syairnya:

وَكَيْفَ تَدْعُوْا اِلَى الدُّنْيَا ضَرُوْرَةُ مَنْ
لَوْلاَهُ لَمْ تُخْلَقِ الدُّنْيَا مِنَ الْعَدَمِ.

Bagaimana keperluan seseorang dapat menarik kepada keduniaan, padahal kalaulah bukan kerana Muhammad dunia tidak akan diciptakan yang sebelumnya tidak ada. [8]
Kepercayaan hakikat Nur Muhammad yang selama ini dipegang, menjadi ikutan dan disebarkan oleh penganut tarikat sufi/tasawuf tentang konsep Nur Muhammad, ianya amat nyata suatu pembohongan. Kekarutan ini juga terdapat di dalam kitab Berzanji iaitu dalam ungkapan:

وَبَعْدُ فَاَقُوْلُ هُوَسَيِّدُنَا مُحَمَّدُ بْنُ عَبْدِالله بْنِ عَبْدِ الْمُطَّلِبِ.

"Aku nyatakan bahawa Nur yang tersebut tadi itu akhirnya telah menjadilah Penghulu kita Saidina Muhammad (moga-moga Allah kurniakan kesejahteraan kepadanya) Saidina Muhammad itu ialah anak Abdullah, dan Abdullah itu anak Abdul Muttalib".[9]

Kepercayaan Nur Muhammad sebagaimana yang terdapat ungkapannya di dalam kitab Berzanji, ianya jelas bertentangan dengan dalil-dalil syara, kerana menurut keterangan dari al-Quran dan hadith-hadith sahih, yang terdahulu dijadikan oleh Allah bukan Nur Muhammad, jika manusia maka manusia pertama yang dicipta oleh Allah ialah Adam 'alaihi as-salam. Makhluk-makhluk yang dicipta selepas 'Arasy pula adalah qalam sebagaimana sabda Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam:

اِنَّ اَوَّلَ مَا خَلَقَ اللهُ الْقَلَمَ.

"Sesungguhnya permulaan makhluk yang diciptakan oleh Allah ialah qalam". [10]

Antara unsur-unsur syirik yang terdapat di dalam fahaman tarikat sufi/tasawuf Nur Muhammad ini boleh kita lihat dalam lirik bait berikut:

اَنْتَ شَمْسٌ اَنْتَ بَدْرٌ * اَنْتَ نُوْرٌ فَوْقَ نُوْرٍ.

"Engkau matahari, engkau bulan purnama * Engkaulah cahaya di atas cahaya". [11]

اَنْتَ الَّذِيْ اَشْرَقْتَ فِىاُفُقِ الْعُلاَ * فَمَحَوْتَ بِاْلاَنْوَارِكُلَّ ضَلاَلِ

"Engkaulah yang menyinari di ufuk yang tinggi * Engkau hapuskan setiap kegelapan dengan cahaya-cahayamu". [12]

Ungkapan dalam bait di atas iaitu: "Engkaulah cahaya di atas cahaya" menggambarkan bahawa Nur Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam setara atau sekufu (sama) dengan Nur Allah. Sedangkan ia bertentangan dengan firman Allah:

اَللهُ نُوْرُ السَّمَاوَاتِ وَاْلاَرْضِ.

"Allah (Pemberi) cahaya (kepada yang) di langit dan bumi". An-Nur, 24:35.

Ajaran ghulu (keterlaluan atau melampaui batas) dalam memuji-muja dan pensucian (takdis) terhadap Nabi Muhammad menjadikan penganut tarikat ini terkeluar dari cintakan nabi yang digariskan oleh syara. Sedangkan Allah mengharamkan ghulu kepada semua penganut agama samawi. Firman Allah:

يَااَهْلَ الْكِتَابِ لاَ تَغْلُوْا فِى دِيْنِكُمْ وَلاَ تُقُوْلُوْا عَلَى اللهِ اِلاَّ الْحَقَّ اِنَّمَا الْمَسِيْحُ عِيْسَى ابْنُ مَرْيَمَ رَسُوْلُ اللهِ وَكَلِمَاتُهُ اَلْقَاهُا اِلَى مَرْيَمَ وَرُوْحٌ مِّنْهُ.

"Wahai Ahli Kitab! Janganlah kamu melampaui batas dalam agamamu, dan janganlah kamu mengatakan terhadap Allah kecuali yang benar. Sesungguhnya al-Masih 'Isa bin Maryam itu adalah utusan Allah dan (yang diciptakan dengan) kalimahNya, yang disampaikanNya kepada Maryam dan dengan tiupan roh dariNya". An-Nisa, 4:171.

Bersabda Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam:

لاَ تَطْرُوْنِيْ كَمَا اَطرتِ النَّصَارَى ابْنَ مَرْيَمَ اَنَا عَبْدٌ فَقُوْلُوْ عَبْدَ اللهِ وَرَسُوْلَهُ.

"Janganlah kamu menyanjungku sehingga melampaui batas sebagaimana pemujaan Nasrani terhadap Ibnu Maryam, sesungguhnya aku ini seorang hamba, maka katakanlah oleh kamu hamba Allah dan RasulNya". [13]

Allah Subhanahu wa-Ta'ala mencipta dunia dan segala isinya terutama jin dan manusia bukanlah lantaran Nur Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam, tetapi mereka dicipta semata-mata supaya mengajak (menyeru) sekalian manusia mentauhidkan Allah Subhanahu wa-Ta'ala dalam akidah dan juga dalam beribadah kepadaNya sebagaimana firmanNya:

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَاْلاِنْسَ اِلاَّ لِيَعْبُدُوْنِ.

"Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembahKu". Adz-Dzariyat, 51:56.

Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam dan sekalian makhluk (hamba Allah), sama ada yang beriman atau yang tidak beriman semuanya asal mulanya dari Nabi Adam 'alaihi as-salam dan Nabi Adam dicipta dari tanah sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah di dalam firmanNya:

وَلَقَدْ خَلَقْنَا اْلاِنْسَانَ مِنْ سُلاَلَةٍ مِنْ طِيْنٍ.

"Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari saripati (yang berasal) dari tanah". Al-Mukminun, 23:12.

اِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلاَئِكَةِ اِنِّيْ خَالِقٌ بَشَرًا مِنْ طِيْنٍ

"Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: Sesungguhnya Aku akan menciptakan manusia dari tanah". Saad, 38:17.

هُوَ الَّذِيْ خَلَقَكُمْ مِنْ تُرَابٍ ثُمَّ مِنْ نُطْفَةٍ ثُمَّ مِنْ عَلَقَةٍ.

"Dialah yang menciptakan kamu dari tanah kemudian dari setitis air mani kemudian dari segumpal darah". Gafir, 40:67.

هُوَالَّذِيْ خَلَقَكُمْ مِنْ نَفْسٍ وَاحِدَةٍ وَخَلَقَ مِنْهَازَوْجَهَا وَبَثَّ مِنْهُمَا رِجَالاً كَثِيْرًا وَنِسَآءًا وَاتَّقُوْا اللهَ الَّذِيْتَسَآءَ لُوْنَ بِهِ وَاْلاَرْحَامَ اِنَّ اللهَ كَانَ عَلَيْكُمْ رَقِيْبًا.

“Hai sekalian manusia! Bertakwalah kepada Tuhanmu yang telah menciptakan kamu dari diri yang satu dan daripadanya Allah menciptakan isterinya dan daripada keduanya Allah memperkembang-biakkan lelaki dan perempuan yang banyak. Dan bertakwalah kepada Allah yang dengan (mempergunakan) namaNya kamu saling meminta satu sama yang lain dan (peliharalah) hubungan silaturrahim. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu". An-Nisa, 4:1.

كُلُّكُمْ بَنُوْا آدَمَ وَآدَمَ خُلِقَ مِنْ تَرَابٍ.

"Kamu semua adalah anak keturunan Adam. Dan Adam diciptakan dari tanah". [14]

Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam adalah seorang manusia seperti seluruh manusia yang lain. Baginda dari keturunan Adam dan diciptakan dari tanah sebagaimana dicipta Nabi Adam 'alaihi as-salam, nabi-nabi, para rasul atau para wali Allah sekalian:

قُلْ اِنَّمَا اَنَا بَشَرٌ مِثْلُكُمْ يُوْحَى اِلَيَّ اِنَّمَآاِلَهَكُمْ اِلَهٌ وَّاحِدٌ.

Katakanlah! Sesungguhnya aku ini hanyalah seorang manusia seperti kamu, yang diwahyukan kepadaku: Bahawa sesungguhnya Tuhan kamu itu adalah Tuhan Yang Maha Esa". Al-Kahfi, 18:110.

وَقَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : اَنَا بَشَرٌ مِثْلُكُمْ.

"Bersabda Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam: Sesungguhnya aku adalah manusia biasa seperti kamu". [15]

Hanya kelebihan Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam ialah baginda seorang penghulu anak keturunan Adam sebagaimana sabda baginda:

اَنَا سَيِّدُ وَلَدِ آدَمَ.

"Aku adalah penghulu anak keturunan Adam". [16]

Pada hadith sahih ini dijelaskan Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam hanya sebagai penghulu anak keturunan Adam 'alaihi as-salam dan di hadith yang lain pula dijelaskan sebagai maktub (مَكْتُوْبٌ) "Tertulis" dan bukan disebut dengan sebutan makhluk (مَخْلُوْقٌ) "Dicipta" sebagaimana yang ditegaskan oleh hadith sahih di bawah ini:

اَنَا عِنْدَ اللهِ مَكْتُوْبٌ خَاتِمُ النَّبِيِّيْنَ.

"Sesungguhnya aku di sisi Allah telah tercatit sebagai penutup para Nabi".

Terdapat banyak hadith-hadith yang menjelaskan tentang kejadian Nabi Adam 'alaihi as- salam dan Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam. Adapun hadith-hadith yang menyatakan bahawa Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam adalah nabi, rasul dan manusia yang mula-mula dicipta adalah hadith-hadith yang lemah. Antara hadith tersebut ialah:

كُنْتُ اَوَّلُ النَّبِيِّيْنَ فِى الْخَلْقِ وآخِرُهُمْ فِى الْبَعْثِ.

"Aku adalah permulaan para nabi dalam penciptaannya dan juru kunci (penutup) mereka diutus".

Menurut Ibnu Kathir, al-Munawi dan Nasruddin al-Albani rahimahumullah bahawa hadith ini adalah hadith yang lemah. Hadith ini menyalahi al-Quran dan hadith-hadith lain yang sahih. Malah menyalahi akal fikiran dan perasaan yang waras, oleh sebab itu tidak ada seorang pun yang dicipta dan dilahirkan sebelum Nabi Adam alaihi as-salam.[17]

Tidak ada seorang pun manusia yang diciptakan dari nur atau cahaya. Hanya para malaikat sahaja yang diciptakan dari nur tetapi para malikat bukan dari golongan manusia. Perkara ini telah dijelaskan oleh Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam di dalam sabdanya:

خُلِقَتِ الْمَلاَئِكَةُ مِنْ نُوْرٍ وَخُلِقَ الْجَآنُ مِنْ مَارِجٍ مِنْ نَارٍ . وَخُلِقَ آدَمَ مِمَّا وَصَفَ لَكُمْ.

"Malaikat diciptakan dari nur. Jin diciptakan dari nyalaan api dan Adam diciptakan dari apa yang telah disifatkan kepada kamu (dari tanah)". [18]

Adapun hadith yang dijadikan hujjah oleh golongan tarikat sufi/tasawuf Nur Muhammad untuk menyatakan bahawa Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam adalah dicipta dari nur, kesemuanya adalah dari jenis hadith-hadith yang lemah atau palsu. Antara hadith-hadith tersebut ialah:

اَوَّلُ مَا خَلَقَ اللهُ نُوْرَ نَبِيِّكَ يَا جَابِرُ.

"Wahai Jabir! Yang pertama kali diciptakan Allah ialah nur NabiMu".

Menurut Muhammad bin Jamil Zinu: Hadith ini adalah hadith (حديث مكذوب) "Hadith bohong/palsu" atas nama Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam. Ia bukan hadith sahih sebagaimana yang didakwakan oleh asy-Sya'rawi. Amat jelas isi kandungannya bertentangan dengan al-Quran al-Karim dan hadith yang sahih yang menjelaskan dengan tegas bahawa manusia yang pertama dicipta adalah Adam 'alaihi as-salam dan Adam dijadikan dari tanah. Seandainya ada dari makhluk lain ia adalah qalam. Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam hanyalah anak keturunan Adam, tidak dicipta dari nur.

Kepercayaan karut dan khurafat ini tertulis di dalam kitab Maulid Berzanji Daiba'i:

لاَ اِلَهَ اِلاَّ اللهُ ، فَسُبْحَانَهُ مِنْ مَّلِكٍ اَوْجَدَ نُوْرَ نَبِيِّهِ مَحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ نُوْرِهِ قَبْلَ اَنْ يَخْلُقَ آدَمَ مِنَ الطِّيْنِ اللاَّزِبِ

"Tiada Tuhan melainkan Allah, Maha Suci Dia Tuhan yang telah mencipta nur NabiNya Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam dari nurNya sebelum diciptanya Adam dari tanah liat". [19]

Nabi Muhammad adalah manusia biasa seperti kita dan manusia-manusia yang lain. Hanya baginda sahaja secara khusus dipilih oleh Allah untuk menerima wahyu, menjadi Nabi dan Rasul. Manusia tidak boleh menganggap Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam sebagai nur, tetapi mereka wajib menganggap baginda sebagai manusia. [20]

Pada dasarnya semua manusia dicipta sejak Adam 'alaihi as-salam serta semua anak cucu keturunannya sehinggalah ke Hari Kiamat adalah manusia yang dicipta dari tanah. Tujuan dicipta supaya beribadah, menyembah dan mentauhidkan Allah sehinggalah menemui ajalnya. Firman Allah:

وَاعْبُدْ رَبَّكَ حَتَّى يَاْتِيَكَ الْيَقِيْنُ.

"Dan sembahlah Tuhanmu sampai datang kepadamu yang diyakini (ajal/kematian)". Al-Hijr, 15:99.

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَاْلاِنْسَ اِلاَّ لِيَعْبُدُوْنَ.

"Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembahKu". Az-Zariat, 51:56.

Tidak terdapat walaupun seorang dari kalangan para nabi atau para rasul menjadi penyebab sehingga kerananya dicipta dunia ini dan segala makhluk yang ada. Namun, menurut seorang tokoh sufi bernama Ibn Arabi, alam nyata adalah kumpulan sifat-sifat Allah al-Haqq. Tajjali Zat Allah hinggalah jadi hakikat segala yang ada di bumi ini. Menurut Ibn Arabi lagi bahawa alam semesta seluruhnya adalah berasal dari Nur Muhammad.

Mereka yang sefahaman dengan teori Ibn Arabi seolah-olah menafikan bahawa tujuan utama para nabi atau rasul diutus kepada umat mereka semata-mata untuk menyampaikan wahyu Allah. Mereka melupakan tentang tugas para nabi dan rasul yang diutus untuk mengajak manusia beribadah kepada Allah dan menyeru kepada Tauhid yang murni agar mereka mendapat petunjuk. Firman Allah:

وَلَقَدْ بَعَثْنَا فِى كُلِّ اُمَّةٍ رَسُوْلاً اَنِ اعْبُدُوْا اللهَ وَاجْتَنِبُوْا الطَّاغُوْتَ.

"Dan Sesungguhnya Kami telah mengutus rasul pada tiap-tiap umat untuk menyerukan: Sembahlah Allah sahaja dan jauhilah taghut". An-Nahl, 16:36.

وَمَا اَرْسَلْنَا مِنْ قَبْلِكَ مِنْ رَسُوْلٍ اِلاَّ نُوْحِى اِلَيْهِ اَنَّهُ لاَ اِلَـهَ اِلاَّ اَنَا فَاعْبُدُوْنِ.

"Tidak Kami utus seorang pun Rasul sebelum engkau (Ya Muhammad!), melainkan Kami wahyukan kepadanya bahawa sesungguhnya tidak ada Tuhan kecuali Aku, maka oleh sebab itu sembahlah Aku". Al-Ambiya, 21:25.

Kepercayaan Nur Muhammad Di Majlis Maulid. [21]

Dalam majlis-majlis perayaan maulid Nabi banyak terjadi kemungkaran bid'ah yang menyalahi ajaran al-Quran dan hadith. Majlis memperingati maulid[22] ini tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah dan para sahabat baginda. Tidak pernah diadakan oleh mereka yang hidup di kurun terbaik (kurun mufaddalah) iaitu kurun para tabiin atau para mujtahidin yang empat (Syafie, Maliki, Hambali dan Hanafi) kerana tidak ada suruhan dari Nabi Muhammad atau syara. Begitu juga tidak pernah diamalkan oleh para ulama besar pada abad kejayaan Islam. Malah tidak terdapat dalil qatii dari syara yang membolehkannya.

Banyak kemungkaran yang mereka lakukan semasa mengadakan perayaan maulid Nabi terutama yang melibatkan bid'ah, khurafat, tahayyul dan kesyirikan. Lebih-lebih lagi ketika mereka mengalunkan bait:

Wahai Rasulullah pemberi pertolongan
dan pemberi bantuan!.
Wahai Rasulullah kepadamu tempat berpegang!.
Wahai Rasulullah! Hilangkanlah penderitaan kami.
Tidaklah kami merasai penderitaan,
kecuali akan engkau selesaikan.

Meminta pertolongan dengan bertawassul kepada Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam perkara biasa bagi pembuat bid'ah sebagaimana yang terbukti di dalam kitab Berzanji:

وَنَتَوَسَّلُ اِلَيْكَ بِشَرَفِ الذَّاتِ الْمُحَمَّدِيَّةِ.

"Dan kami bermohon dengan berperantaraan (bertawassul) kepadaMu melalui keberkatan hakikat al-Muhammadiyah".[23]

Di dalam kitab Berzanji ada sepotong doa yang dipohon yang mana doa tersebut mengandungi unsur syirik:

"Kami bermohon kepadaMu dengan berkat kemuliaan Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam dan kelebihannya". [24]

Seandainya Rasulullah sallallhu 'alaihi wa-sallam boleh mendengar seruan dan kata-kata di atas ini, tentu akan menghukum penyerunya sebagai pelaku syirik besar, kerana pertolongan dan tempat meminta yang dapat menghilangkan segala penderitaan dan masalah manusia hanya Allah semata. Allah Subhanahu wa-Ta'ala telah menjelaskan perkara ini di dalam firmanNya:

اَمَّنْ يُّجِيْبُ الْمُضْطَرَّ اِذَا دَعَاهُ وَيَكْشِفُ السُّوْءَ وَيَجْعَلُكُمْ خُلَفَآءَ اْلاَرْضِ اَاِلَهٌ مَّعَ اللهِ قَلِيْلاً مَّا تَذَكَّرُوْنَ.

"Atau siapakah yang memperkenankan doa orang yang dalam kesulitan apabila dia berdoa kepadaNya dan menghilangkan kesusahan dan menjadikan kamu (manusia) sebagai khalifah di bumi? Apakah di samping Allah ada tuhan (yang lain?) Amat sedikitlah kamu mengingati(Nya)".". An-Naml, 27:62.

Ayat di atas menunjukkan hanya Allah Subhanahu wa-Ta'ala sahaja yang memperkenankan doa menolong manusia yang sedang dalam kesulitan. Begitu juga, Allah di dalam al-Quran telah memerintahkan kepada Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam agar mengkhabarkan kepada umat baginda dengan membacakan firmanNya

قُلْ اِنِّيْ لاَ اَمْلِكُ لَكُمْ ضَرًّا وَّلاَ رَشَدًا.

"Katakanlah (Ya Muhammad)! Sesungguhnya aku tidak mempunyai kuasa mendatangkan sesuatu kemudaratan kepadamu dan tidak pula mempunyai kemanfaatan". Al-Jin, 72:21.

Dalam sebuah hadith, Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam pula bersabda:

اِذَا سَاَلْتَ فَاسْاَلِ اللهَ وَاِذَا اسْتَعَنْتَ فَاسْتَعِنْ بِاللهِ.

"Apabila kamu meminta sesuatu maka mintalah kepada Allah. Dan apabila kamu meminta pertolongan maka mintalah kepada Allah semata". [25]

Dalil-dalil di atas membatalkan keyakinan dan ajaran penganut tarikat Nur Muhammad. Namun, amat dikesalkan kerana pada kebiasaannya, bacaan bait-bait sya'ir semasa mengadakan perayaan maulid Nabi adalah terlalu berlebih-lebihan dan menambah-nambah (ghulu) dalam memuja-muji Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam. Sedangkan baginda telah melarang dari berbuat sedemikian kerana boleh membawa kepada kesyirikan. Baginda bersabda:

لاَ تَطْرُوْنِيْ كَمَا اَطْرَتِ النَّصَارَى ابْنِ مَرْيَمَ فَاِنَّمَا اَنَا عَبْدٌ قُوْلُوْا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.

"Janganlah kamu berlebih-lebihan dalam memuja-mujiku sebagaimana perbuatan orang-orang Nasrani memuji Isa bin Maryam. Sesungguhnya aku hanyalah seorang hamba Allah. Katakanlah! HambaNya dan utusanNya". [26]

Sering juga perbuatan yang dilakukan di perayaan maulid dilakukan juga di majlis-majlis perkahwinan atau di majlis-majlis keagamaan yang lainnya. Di dalam majlis tersebut dilaungkan bait-bait yang berisi penjelasan bahawa Allah menciptakan Muhammad dari nurNya. Dan dari Nur Muhammad itu pula diciptakan segala sesuatu yang ada, yang ghaib (termasuk yang batin) atau yang nyata.

Al-Quran menganggap sebagai suatu pembohongan ajaran, keyakinan dan amalan Nur Muhammad yang sesat lagi menyesatkan ini. Ia jelas bertentangan dengan akidah dan amalan para aimah(الائمة) dan orang-orang soleh yang bermanhaj Salaf as-Soleh. Ia adalah perbuatan haram yang boleh menyebabkan kesyirikan. Allah Azza wa-Jalla telah mengharamkan perbuatan ini sebagaimana firmanNya:

قُلْ اِنَّمَا اَنَا بَشَرٌ مِثْلُكُمْ يُوْحَى اِلَيَّ اِنَّمَآ اِلَهُكُمْ اِلَهٌ وَّاحِدٌ فَمَنْ كَانَ يَرْجُوْا لِقَآءَ رَبِّهِ فَلْيَعْمَلْ عَمَلاً صَالِحًا وَّلاَ يُشْرِكْ بِعِبَادَةِ رَبِّهِ اَحَدًا.

"Katakanlah (Ya Muhammad)! Sesungguhnya aku ini hanyalah seorang manusia biasa seperti kamu, yang diwahyukan kepadaku bahawa sesungguhnya Tuhan kamu itu adalah Tuhan Yang Maha Esa. Barangsiapa mengharap perjumpaan dengan Tuhannya maka hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan seorangpun dalam beribadat kepada Tuhannya". Al-Kahfi, 18:110.

Sebagaimana yang telah diyakini oleh orang-orang yang beriman dan berilmu, bahawa Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam diciptakan melalui perantaraan seorang ayah dan seorang ibu. Baginda adalah manusia biasa yang diturunkan wahyu oleh Allah Subhanahu wa-Ta'ala kepada baginda. Keyakinan ini bertentangan dengan kepercayaan penganut Nur Muhammad, kerana kebiasaannya dalam majlis-majlis perayaan maulid yang mereka adakan, digambarkan melalui kitab-kitab maulid mereka tentang keluar- biasaan Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam, kononnya Allah mencipta alam dan manusia lantaran Nabi Muhammad. Kepercayaan ini juga diingkari oleh al-Quran, kerana dicipta manusia bukan kerana Nabi Muhammad, tetapi supaya mereka beribadah kepada Allah sebagaimana firmanNya:

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالاِنْسَ اِلاَّ لِيَعْبُدُونِ.

"Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia kecuali untuk beribadah kepadaKu". Adz-Zariyat, 51:56.

Amat jelas dari penerangan di atas bahawa sekalian manusia dan segala makhluk dicipta bukan kerana Nur Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam atau bersebab rohnya, sesiapa yang mempercayai segala kekarutan ini adalah kufur dan sesat. Kerana tujuan utama dicipta sekalian makhluk sama ada di langit, di bumi dan di akhirat adalah semata-mata untuk mengEsakan Allah Azza wa-Jalla dalam setiap ibadah mereka.

Persamaan Maulid Nabi Muhammad Dengan Maulid Nabi Isa

Penganut agama Nasrani menyambut perayaan Hari Natal (Hari Krismas) pada 25 Disember setiap tahun kerana memperingati lahirnya Nabi Isa Al-Masih 'alaihi as-salam. Penyerupaan berlaku kepada pencinta bid'ah yang mana mereka menyambut perayaan Maulidur Rasul pada 12 Rabi'ulawal setiap tahun. Malah ditambah lagi dengan menyambut hari kelahiran (hari jadi) keluarga mereka dengan majlis yang meriah dan secara besar-besaran bagi mereka yang mampu. Amalan ini adalah mencontohi perbuatan penganut agama Yahudi, Nasrani atau Majusi yang sentiasa menyambut hari kelahiran nabi atau ketua agama mereka dengan mengadakan perayaan.

Pelaku dan pencinta bid'ah sememangnya sering tidak memperdulikan larangan Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam agar tidak meniru atau mencontohi amalan agama Ahli Kitab atau Majusi, sedangkan Rasulullah sallallahu 'alaih wa-sallam dengan tegas telah melarang setiap orang yang beriman dari mencontohi amalan kaum kuffar sama ada dari golongan Yahudi, Nasrani atau Majusi sebagaimana sabdanya:

مَنْ تَشَبَّهَ بَقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ.

"Barang sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia termasuk dari kaum tersebut". [27]

Di majlis perayaan maulid atau hari jadi sering berlaku percampuran atau pergaulan bebas (tidak terkawal) antara wanita dengan lelaki yang bukan mahram. Mereka perlu sentiasa ingat bahawa pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan telah diharamkan oleh Allah dan RasulNya. Maka bagaimana mereka boleh mendakwa mencintai Rasulullah sedangkan di majlis yang kononnya tanda cintanya kepada Nabi tetapi mereka melanggar larangan baginda?.

Ada kalanya perbelanjaan yang dikeluarkan untuk menjayakan majlis memperingati perayaan maulid mencapai jutaan ringgit banyaknya. Sama ada untuk makan minum, hiasan, dekorasi, transportasi, perhubungan, penceramah, nasyid dan sebagainya. Sedangkan perbuatan tersebut tidak pernah mendatangkan faedah, kecuali oleh orang-orang yang suka mengambil kesempatan untuk meraih keuntungan dengan mengenakan keperluan (untuk majlis tersebut) dengan harga yang tinggi. Sedangkan Rasulullah telah mengharamkan pembaziran harta.

Persiapan untuk mengadakan majlis perayaan maulid sering mengambil masa yang panjang, sama ada untuk menyiapkan pentas, menghias diri dan sebagainya, sehingga ada yang mengabai atau meninggalkan waktu sembahyang. Hal seperti ini menjadi perkara biasa bagi si pembuat bid'ah.

Amalan bangun dan berdiri tegak ketika sampai di bacaan-bacaan tertentu semasa membaca maulid (Berzanji) adalah suatu iktikad (kepercayaan) bahawa Rasulullah sallallahu alaihi wa-sallam berserta para sahabat baginda ketika itu sedang menghadirkan diri di majlis tersebut. Hal ini adalah suatu bid'ah, khurafat, tahayyul dan kebohongan yang nyata. Kerana Allah telah berfirman tentang keadaan orang yang telah wafat (meninggal dunia):

وَمِنْ وَرَآئِهِمْ بِرْزَخٌ اِلَى يَوْمٍ يُّبْعَثُوْنَ.

"Dan di hadapan mereka ada dinding (tembok penghalang untuk roh keluar) sampailah ke hari mereka dibangkitkan". Al-Mukmin, 23:100.

Yang dimaksudkan (بَرْزَخٌ) "Barzakh" ialah tembok atau dinding. Iaitu suatu yang memisahkan antara dunia dan akhirat yang tidak dapat ditembusi keluar oleh roh.

Ada pun berdiri kerana memberi penghormatan kepada seseorang yang datang ke majlis bukanlah ajaran dari sunnah Rasulullah, kerana Anas bin Malik pernah berkata:

مَاكَانَ شَخْصٌ اَحَبَّ اِلَيْهِمْ مِنْ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَكَانُوْا اِذَا رَاَوْهُ لَمْ يَقُوْمُوْا لَهُ لِمَا يَعْلَمُوْنَ مِنْ كَرَاهِيَّتِهِ لِذَلِكَ.

"Tidak ada seseorang yang lebih dicintai oleh para sahabat daripada Rasulullah. Apabila para sahabat melihat Rasulullah hadir, tidak seorang pun yang berdiri memberi penghormatan. Sebab mereka mengetahui bahawa Rasulullah sangat membenci penghormatan dengan cara berdiri".[28]

Terdapat sebahagian dari pencinta amalan maulid ini beralasan:

"Kami mengadakan perayaan memperingati maulid ini untuk membacakan sirah (sejarah) hidup Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam".

Tetapi kenyataan sirah yang mereka bacakan bertentangan dengan sabda-sabda dan sejarah Rasulullah yang sebenar. Kalaulah begitu apa faedahnya? Apakah orang yang dikatakan mencintai Rasulullah memadai hanya dengan membacakan sirah hidup baginda? Kalau begitu, ini bermakna orang yang mencintai Rasulullah perlu membacanya setiap hari sedangkan mereka hanya melakukannya setahun sekali?

Pembuat bid'ah perlu menyedari bahawa di bulan Rabi'ul Awal adalah bulan kelahiran dan kewafatan Rasulullah, tidak sepatutnya diadakan perayaan (bersuka ria) di bulan kewafatannya sedangkan menunjukkan keprihatinan adalah lebih utama.

Kebiasaannya perayaan maulid diadakan sehingga kelarut malam, dipenuhi dengan nyanyian (nasyid), akibatnya ramai antara mereka yang tertinggal sembahyang Subuh kerana tertidur sehingga matahari terbit.

Sebenarnya tidak ada sesuatupun yang berupa tuntutan agama dari apa yang sering dilakukan oleh pencinta maulid. Terutama semasa mengadakan majlis maulidur rasul, kerana pada kebiasaannya amalan mereka hanya mentaati kehendak orang ramai, sedangkan jika mereka benar-benar ingin mentaati Allah dan mencintai RasulNya caranya telah dijelaskan oleh syara. Pada dasarnya pencinta perayaan maulid telah mentaati selain Allah yang membawa mereka kepada kesesatan. Awas amaran Allah tentang mentaati orang kebanyakan:

وَاِنْ تُطِعْ اَكْثَرَ مَنْ فِى اْلاَرْضِ يُضِلُّوْكَ عَنْ سَبِيْلِ اللهِ.

"Dan jika kamu menuruti (mentaati) kebanyakan orang-orang yang di muka bumi ini, nescaya mereka akan menyesatkan kamu dari jalan Allah".
Al-An'am, 6:116.

Huzaifah radiallahu 'anhu berkata:

"Setiap bid'ah adalah menyesatkan walaupun seluruh umat manusia melihatnya dan menganggapnya sebagai sesuatu yang baik".

Hasan Basri rahimahullah pula menjelaskan:

"Sesungguhnya Ahli Sunnah sejak mulanya memang berjumlah sedikit. Begitu jugalah pada akhir zaman jumlah mereka semakin sedikit. Mereka adalah orang-orang yang tidak digemari oleh orang-orang yang cintakan kehidupan dunia dan bermegah-megah dengan kemewahannya. Ahli Sunnah pula tidak terpikat dengan Ahli Bid'ah. Mereka (Ahli Sunnah) bersabar berpegang teguh kepada sunnah Rasul sehingga bertemu dengan Tuhan mereka. Demikianlah! Maka masuklah kamu ke dalam golongan mereka (Ahli Sunnah) yang sedikit)".

Pecinta perayaan maulid bukanlah dari golongan ahli sunnah yang sedikit sebagaimana yang dimaksudkan oleh Hasan Basri, kerana orang yang mula-mula mengadakan perayaan maulid Nabi ialah Raja Muzaffar di Syam pada abad ke tujuh Hijrah. Orang yang pertama kali mengadakan perayaan maulid di Mesir ialah Bani Fatimiyah. Mereka sebagaimana yang dijelaskan oleh Ibn Kathir adalah golongan orang kufur dan fasik. Begitu juga perayaan maulid bacaan Berzanji paling digemari dan diutamakan oleh mereka yang menganut tarikat Nur Muhammad. Adapun fatwa para ulama muktabar tentang pengharaman majlis maulid:

Berkata Syeikh Muhammad bin Abul Latif semasa ditanya tentang mengeluarkan harta di atas nama maulid Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam:

"Sesungguhnya amalan maulid adalah tergolong dari perbuatan bid'ah yang mungkar dan termasuk kerja-kerja yang keji. Membelanjakan harta kerana majlis maulid Nabi sallallahu 'alaihi wa-sallam adalah bid'ah yang diharamkan, pelakunya adalah berdosa bukan berpahala, maka wajib mengingkari terhadap sesiapa yang melakukan yang demikian". [29]

Boleh difahami dari penjelasan dan fatwa ulama muktabar sebagaimana tertera di atas, bahawa membaca Berzanji dan mengadakan majlis atau perayaan maulid Nabi Muhammad sallallahu alaihi wa-sallam adalah bid’ah yang mungkar.

Sembahyang Di Belakang Pengikut Nur Muhammad

Syeikh Muhammad Soleh al-Uthaimin rahimahullah ketika ditanya: Bolehkah seseorang itu bersembahyang di belakang orang yang berkeyakinan bahawa Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam adalah cahaya dari cahaya Allah, baginda bukanlah manusia, baginda mengetahui yang ghaib dan seseorang itu boleh meminta pertolongan dari baginda kerana meyakini bahawa baginda memiliki manfaat dan mudarat?

Syeikh Muhammad Soleh al-Uthaimin rahimahullah menjawab: Sesiapa yang berkeyakinan bahawa Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam adalah cahaya dari cahaya Allah dan baginda bukan manusia sehingga mengetahui yang ghaib, maka dia adalah kafir kepada Allah dan RasulNya. Dia menjadi musuh Allah dan RasulNya kerana dakwaannya adalah dusta. Maka sesiapa yang berdusta terhadap Allah dan RasulNya dia adalah kafir. Adapun dalilnya ialah firman Allah:

قُلْ اِنَّمَا اَنَا بَشَرٌ مِّثْلُكُمْ.

"Katakanlah! Sesungguhnya aku ini hanyalah seorang manusia sepertimu". Al-Kahfi, 18:110.

قُلْ لآ اَقُوْلُ لَكُمْ عِنْدِى خَزَآئِنُ اللهِ وَلآ اَعْلَمُ الْغَيْبَ وَلآ اَقُوْلُ لَكُمْ اِنِّيْ مَلَكٌ اِنْ اَتَّبِعُ مَا يُوْحَى اِلَيَّ.

"Katakanlah! Aku tidak mengatakan kepada kamu bahawasanya aku memiliki perbendaharaan Allah, aku tidak mengetahui yang ghaib dan aku tak mengatakan bahawa aku adalah malaikat, aku hanya mengatakan apa yang telah diwahyukan kepadaku". Al-'An'am, 6:50.

قُلْ لآ اَمْلِكُ لِنَفْسِيْ نَفْعًا وَلاَ ضَرًّا اِلاَّ مَا شَـآءَ اللهُ وَلَوْ كَنْتُ اَعْلَمُ الْغَيْبَ لاَ سْتَكْثَرْتُ مِنَ الْخَيْرِ وَمَا مَسَّنِيَ السُّوْءُ اِنْ اَنَا اِلاَّ نَذِيْرٌ وَبَشِيْرٌ لِقَوْمِ يَؤْمِنُوْنَ.

"Katakanlah! Aku tidak berkuasa menarik kemanfaatan bagi diriku dan tidak (pula) menolak kemudaratan, kecuali yang dikehendaki Allah. Dan sekiranya aku mengetahui yang ghaib, tentulah aku membuat kebajikan sebanyak- banyaknya dan aku tidak akan ditimpa kemudaratan. Aku tidak lain hanyalah pemberi peringatan dan pembawa berita gembira bagi orang-orang yang beriman". Al-'Araf, 7:188.

Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam pula bersabda:

اِنَّمَا اَنَا مِثْلُكُمْ اَنْسَىكَمَا تَنْسَوْنَ وَاِذَا نَسِيْتُ فَذَكَّرُوْنِيْ.

"Sesungguhnya aku hanyalah manusia seperti kamu, aku lupa sebagaimana kamu lupa, maka apabila aku lupa ingatkanlah aku". [30]

Sesiapa yang meminta pertolongan kepada Rasulullah dengan keyakinan bahawa baginda memiliki manfaat dan mudarat, maka dia telah kufur dan pendusta terhadap Allah dan telah melakukan kesyirikan terhadap Allah. Allah berfirman:

وَقَالَ رَبُّكُمْ ادْعُوْنِيْ اَسْتَجِبْ لَكُمْ اِنَّ الَّذِيْنَ يَسْتَكْبِرُوْنَ عَنْ عِبَادَتِيْ سَيَدْخُلُوْنَ جَهَنَّمَ دَاخِرِيْنَ.

"Dan Rabb (Tuhan) kamu berfirman: Berdoalah (mintalah) kepadaKu, nescaya akan Aku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembahKu akan masuk neraka Jahanam dalam keadaan hina dina". Ghafir, 40:60.

قُلْ اِنِّيْ لآ اَمْلِكُ لَكُمْ ضَرَّا وَلاَ رَشَدًا قُلْ اِنَّيْ لَنْ يُجِيْرَنِيْ مِنَ اللهِ اَحَدٌ وَلَنْ اَجِدَ مِنْ دُوْنِهِ مُلْتَحَدًا.

"Katakanlah! Sesungguhnya aku tidak berkuasa mendatangkan sesuatu kemudaratan kepadamu dan tidak (pula) sesuatu kemanfaatan. Katakanlah! Sesungguhnya aku tiada seseorang pun yang dapat melindungiku selain Allah, sekali-kali tidak akan memperolehi tempat berlindung selain dariNya" Al-Jin, 72:21-22.

Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam bersabda:

لاَ اَغْنى عَنْكُمْ مِنَ اللهِ شَيْئًا.

"Aku tidak mempunyai kemampuan apapun untuk menolongmu di hadapan Allah". [31]

Oleh itu tidak diperbolehkan sembahyang di belakang orang yang berkeyakinan sebagaimana yang dijelaskan di atas. Ataupun yang sejenisnya juga tidak dihalalkan menjadi imam bagi kaum muslimin.[32]

Wajib Mencintai Dan Mentaati Para Rasul Dan Nabi

Setelah mengetahui tentang wajibnya beriman kepada sekalian para nabi dan rasul, maka kewajiban seterusnya ialah mencintai mereka lebih dari mencintai ibu-bapa, anak-anak, keluarga dan keseluruhan manusia melalui cara yang telah ditentukan oleh al-Quran, iaitu dengan benar-benar mentaatinya, menghayati, mencontohi dan melaksanakan segala cara-cara beribadah yang telah dijelaskan oleh Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam dan meninggalkan segala yang ditegah. Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam bersabda:

فَوَالَّذِى نَفْسِيْ بِيَدِهِ لاَ يُؤْمِنُ اَحَدُ كُمْ حَتَّى اَكُوْنَ اَحَبَّ اِلَيْهِ مِنْ وَالِدِهِ وَوَلَدِهِ.

"Maka demi jiwaku yang di dalam genggamanNya, tidak sempurna iman salah seorang kamu sehingga aku dijadikan lebih dicintai dari orang tuanya dan anaknya”. H/R Bukhari.

لاَيُؤْمِنُ اَحَدُكُمْ حَتَّىاَكُوْنَ اَحَبَّ اِلَيْهِ مِنْ وَالِدِهِ وَوَلَدِهِ وَالنَّاسِ اَجْمَعِيْنَ.

"Tidak sempurna iman salah seorang kamu sehinggalah aku dijadikan lebih dicintai dari orang tuanya, anaknya dan manusia keseluruhannya".[33]

ثَلاَثٌ مَنْكُنَّ فِيْهِ وَجَدَحَلاَوَةَ اْلاِيْمَانِ اَنْ يَكُوْنَ اللهُ وَرَسُوْلُهُ اَحَبَّ اِلَيْهِ مِمَّا سِوَاهُمَا.

"Tiga perkara yang menjadikan kamu memperolehi kemanisan (kesempurnaan) iman iaitu mencintai Allah dan RasulNya lebih dari selain keduanya". [34]

Setiap orang Islam yang beriman wajib mentaati dan mencontohi rasul utusan tersebut, sebagaimana firman Allah 'Azza wa-Jalla:

يَااَيُّهَا الَّذِيْنَ آمَنُوا اَطِيْعُوْا اللهَ وَاَطِيْعُوْا الرَّسُوْلَ وَاُوْلِى اْلاَمْرِ مِنْكُمْ.

"Wahai orang-orang yang beriman! Taatilah Allah, taatilah Rasul(Nya) dan ulilamri antara kamu". An-Nisa, 4-59.

وَمَا اَرْسَلْنَا مِنْ رَسُوْلٍ اِلاَّ لِيُطَاعَ بِاِذْنِ اللهِ.

"Dan Kami tidak mengutus rasul, melainkan untuk ditaati dengan seizin Allah". An-Nisa, 4:64.

وَمَنْ يُطِعِ اللهَ وَالرَّسُوْلَ فَاُولَئِكَ مَعَ الَّذِيْنَ اَنْعَمَ اللهُ عَلَيْهِمْ مِنَ النَّبِيِّيْنَ والصِّدِّيْقِيْنَ والشُّهَدَآءِ وَالَّصَالِحِيْنَ وَحَسُنَ اُولَئِكَ رَفِيْقًا.

"Dan barangsiapa yang mentaati Allah dan RasulNya, mereka itu akan bersama-sama dengan orang-orang yang dianugerahi nikmat oleh Allah, iaitu nabi-nabi, para siddiqin, para syuhada dan orang-orang soleh. Dan mereka itulah teman yang sebaik-baiknya". An-Nisa, 4:69.

مَنْ يُّطِعِ الرَّسُوْلَ فَقَدْ اَطَاعَ اللهَ وَمَنْ تَوَلَّى فَمَآ اَرْسَلْنَاكَ عَلَيْهِمْ حَفِيْظًا.

"Barangsiapa yang mentaati Rasul, sesungguhnya ia telah mentaati Allah. Dan barangsiapa yang berpaling (dari ketaatan), maka Kami tidak mengutusmu untuk jadi pemelihara bagi mereka". An-Nisa', 4:80.

وَاَطِيْعُوْا اللهَ وَاَطِيْعُوْا الرَّسُوْلَ وَاحْذَرُوْا فَاِنْ تَوَلَّيْتُمْ فَاعْلَمُوْا انَّمَا عَلَى رَسُوْلِنَا الْبَلاَغُ الْمُبِيْنَ.

"Dan taatilah kamu kepada Allah dan taatilah kepada Rasul(Nya), dan berhati-hatilah. Jika kamu berpaling, maka ketahuilah bahawasanya kewajipan Rasul Kami hanya menyampaikan (amanat Allah) dengan terang". Al-Maidah, 5:92.

يَا اَيُّهَا الَّذِيْنَ ءَامَنُوْا اَطِيْعُوْا اللهَ وَاَطِيْعُوْا الرَّسُوْلَ وَلاَتُبْطِلُوْا اَعْمَالَكُمْ.

"Hai orang-orang yang beriman! Taatilah kepada Allah dan taatilah kepada rasul dan janganlah kamu merosakkan (membatalkan pahala) amalan kamu". Muhammad, 47:33

Mentaati Allah Tabaraka wa-Ta’ala dan rasulNya dengan penuh keimanan hanya boleh dibuktikan dengan mengembalikan segala persoalan yang bersangkut-paut dengan akidah, ibadah atau hukum ahkam agama hanya kepada Allah (al-Quran) dan RasulNya (al-Hadith yang sahih) tanpa ada persoalan dan dilakukan penambahan (bid'ah). Prinsip keimanan yang sempurna ialah berpegang teguh dan menggigit kedua kitab ini tanpa berbelah-bagi atau ragu. Sesiapa yang meninggalkan pegangan al-Quran dan al-Hadith, dia telah membawa dirinya kepada kesesatan dan kekafiran yang nyata:

فَاِنْ تَنَازَعْتُمْ فِى شَىْءٍ فَرُدُّوْهُ اِلَى اللهِ والرَّسُوْلِ اِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُوْنَ بِاللهِ والْيَوْمِ اْلآخِرِ ذَلِكَ خَيْرٌ وَاَحْسَنُ تَاْوِيْلاً.

"Jika kamu saling berbantah-bantahan dalam sesuatu perkara, maka kembalikanlah ia kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (as-Sunah) jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Kemudian, yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya". An-Nisa, 4:59.

Para nabi dan rasul adalah manusia pilihan Allah Tabaraka wa-Ta'ala yang terbaik, paling sempurna dan termulia di antara sekalian manusia, namun wajib diimani juga bahawa Nabi Muhammad salallahu 'alaihi wa-sallam adalah yang paling mulia dan penutup para nabi dan rasul.

Tidak dihalalkan seseorang itu mendakwa bahawa ibu-bapanya, dirinya, gurunya, para wali atau syeikh-syeikh tarikat mereka lebih baik dari salah seorang para nabi atau rasul yang telah diutus. Kenyataan ini yang diperkuat dengan nas-nas syara adalah menyangkal dakwaan sesetengah dari para syeikh tarikat atau penganut tasawuf (sufi) yang kesasaran bahawa ada di antara syeikh mereka yang lebih baik dan mulia dari para nabi dan rasul utusan Allah Azza wa-Jalla. Dakwaan mereka dapat ditolak melalui sabda Nabi Muhammad salallahu 'alai wa-sallam:

مَا كَانَ لِعَبْدٍ اَنْ يَقُوْلَ اِنِّى خَيْرٌ مِنْ يُوْنُسَ بْنِ مَتَّى.

"Tidak selayaknya bagi seorang hamba mengatakan: Sesungguhnnya aku lebih baik dari Yunus bin Matta"[35]

Sebenarnya, sebagai tanda seseorang itu mencintai Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam semestinya dibuktikan dengan mencintai Allah terlebih dahulu, dan sebagai bukti seseorang itu benar-benar mencintai Allah dan RasulNya, maka ia perlu memenuhi syarat yang telah dikhabarkan oleh Allah Subhanahu wa-Ta'ala sebagaimana yang dijelaskan di dalam firmanNya:

قُلْ اِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّوْنَ اللهَ فَاتَّبِعُوْنِيْ يُحْبِبْكُمُ اللهُ وَيَغْفِرْلَكُمْ ذُنُوْبَكُمْ.

"Katakanlah! Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutlah aku, nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang". Ali Imran, 3:31.

Nabi Terakhir Diutus Kepada Semua Kaum

Setiap nabi dan rasul telah diutuskan hanya kepada kaumnya masing-masing sahaja. Namun Nabi Muhammad salallahu 'alaihi wa-sallam sebagai nabi dan rasul terakhir telah diutus sebagai rahmat kepada sekalian manusia dan jin di segenap pelusuk dunia dari zamannya sehinggalah ke Hari Kiamat kelak. Firman Allah:

مَا كَانَ مُحَمَّدٌ اَبَا اَحَدٍ مِنْ رِجَالِكُمْ وَلَكِن رَّسُوْلَ اللهِ وَخَاتَمَ النَّبِيِّيْنَ.


"Muhammad itu sekali-kali bukanlah bapa dari seorang laki-laki di antara kamu, tetapi dia adalah Rasulullah dan penutup nabi-nabi". Al-Ahzab, 33:40.

وَاَنَا الْعَاقَبُ الَّذِيْ لَيْسَ بَعْدَهُ نَبِيٌّ

"Aku adalah ikutan yang tidak ada Nabi sesudahku". [36]

Syariat Islam yang telah dibawa oleh baginda Rasulullah sallahu 'alaihi wa-sallam telah memansuhkan segala syariat sebelumnya. Begitu juga sebagaimana yang dijelasakan oleh ayat di atas bahawa kitab al-Quran yang terpelihara telah diturunkan kepada Rasulullah salallahu 'alahi wa-sallam menjadi penutup kepada semua nabi-nabi, para rasul dan semua kitab-kitab sebelumnya. Sabda Nabi Muhammad salallahu 'alaihi wa-sallam:

اِنِّيْ عِنْدَ اللهِ مَكْتُوْبٌ خَاتِمُ النَّبِيِّيْنَ وَاِنَّ آدَمَ لَمُنْجَدِلُ فِى طِيْنَتِهِ.

"Sesungguhnya aku di sisi Allah telah tercatit sebagai penutup para Nabi. Dan sesungguhnya Adam adalah lebih dulu diturunkan ke bumi". [37]

Allah Subhanahu wa-Ta'ala telah menurunkan al-Quran yang sentiasa dalam pemeliharaanNya ke bumi melalui malaikat Jibril ‘alaihi as-salam. Keseluruhan isinya telah disampaikan oleh Nabi Muhammad kepada umat baginda yang mana isinya tidak boleh diubah, ditambah, diganti atau dicemari dengan kata-kata atau pendapat manusia walaupun satu kalimah. Allah telah menyempurnakan Islam melalui kitab yang disampaikan oleh NabiNya Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam sebagai Nabi penutup. Oleh itu, tiada siapa yang boleh mencabuli al-Quran dengan merubah erti, maksud atau maknanya walau satu huruf.

Yang dianggap agama hanyalah apa yang disampaikan oleh Nabi Muhammad yang dinamakan “Islam”. Hanya agama Islam yang diterima dan diredhai Allah sehinggalah ke Hari Kiamat sebagaimana firmanNya:

اَلْيَوْمَ اَكْمَلْتُ لَكُمْ دِيْنَكُمْ وَاَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِيْ وَرَضِيْتُ لَكُمُ اْلاِسْلاَمَ دِيْنًا.

"Pada hari ini telah Ku sempurnakan untuk kamu agamamu dan telah Ku redhai Islam itu sebagai agama bagimu". Al-Maidah, 5:3.

Oleh sebab itu, tidak boleh mengingkari kerasulan Nabi Muhammad salahu 'alaihi wa-sallam dan kesempurnaan agama yang diturunkan kepada baginda, sesiapa yang mengingkarinya ia telah membatalkan keimanannya. Begitu juga sesiapa yang mengingkari dan membohongi hadith-hadithnya yang sahih serta menafikan (meniadakan) setiap khabar yang datang darinya ia dianggap kufur. Syariat Islam dengan jelas dan tegas telah mengharamkan (mengkufurkan) seseorang yang mengaku sebagai nabi, rasul atau memberi sifat kenabian atau kerasulan kepada seseorang sesudah Nabi Muhammad salallahu 'alaihi wa-sallam wafat.

Akhir kata, semoga kita sekalian sentiasa mendapat kebaikan dan hidayah Allah, dihindarkan dari segala kecelakaan dan kesyirikan. Selawat dan salam kepada Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam, para sahabat serta mereka yang berittiba’ dengan baik. Dan disudahi dengan wal-Hamdulillahi Rabbil ‘Alamin.

Diambil daripada kertas kerja:
Ustaz Rasul Dahri

Footnote:

[1]. H/R Turmizi dalam sahihnya.

[2]. Lihat: Berzanji. Hlm. 7. Jaafar Berzanji. Terjemahan Amir Hj. Marzuki. Jabatan Agama Selangor, Jabatan Dakwah.

[3]. Lihat: Terjemahan Maulid Berzanji &Daiba'i, Susunan Zulkifli Mat Isa. Hlm. 1. Jahabersa.

[4]. Lihat: فصوص الحكم Hlm. 39. Ibn Arabi. Ta'lik Dr. Abu al-Afifi. Dar Kitab Arabi.

[5]. Lihat: مجموعة الموالد وادعية شرف الانام برزنجي نثر وبرزنجي نظم hlm. 19.Percetakan al-Maarif Sdn. Bhd.

[6]. Lihat: شعار السالكين. Jld. 4. Hlm. 102. Syeikh Abd. Samad al-Palembani. BPPI. Selangor & Wilayah Persekutuan.

[7]. Lihat: Terjemahan Maulid Berzanji & Daiba'i, Hlm. 52. Susunan Zulkifli Mat Isa. Jahabersa.

[8]. Lihat: اركان الاسلام والايمان Muhammad bin Jamil Zinu.

[9]. Lihat: Terjemahan Maulid berzanji & Daiba'i. Hlm. 3. SusunanZulkifli Mat Isa. Jahabersa.

[10]. H/R Turmizi. Menurut al-Albani hadith ini adalah sahih. Lihat: اركان الاسلام والايمان Muhammad bin Jamil Zinu.

[11]. Lihat: .مجموعة الموالد وادعية شرف الانام برزنجى نثر وبرزنجى نظم Hlm. 36. Percetakan al-Maarif Sdn Bhd.

[12]. Lihat: مولد النبى صلى الله عليه وسلم للبرزنجي * للديبعي Hlm. 94. Cetakan pertama 1995. Jahabersa.

[13]. H/R Ahmad dan Bukhari.

[14]. H/R Al-Bazzar. Menurut al-Albani hadith Sahih. Lihat: Al-Jami' 4444.

[15]. Al-Albani menganggap hadith ini sahih. Lihat: Al-Jami'. No:2337.

[16]. H/R Bukhari dan Muslim.

[17]. Lihat: اركان الاسلام والايمان Muhammad bin Jamil Zinu.

[18]. H/R Bukhari dan Muslim.

[19]. Lihat: Terjemahan Maulid Berzanji & Daiba'i. Hlm. 60. Zulkifli Mat Isa.

[20]. Lihat: اركان الاسلام والايمان Muhammad bin Jamil Zinu.

[21]. Sebahagian teks dalam tajuk ini disalin (dinukil) dari buku الفرقة الناجية oleh Muhammad bin Jamil Zinu.

[22]. Sebahagian masyarakat Melayu menyebut "maulud".

[23]. Lihat: Terjemahan Maulid Berzanji & Daiba'i. Hlm. 52. Susunan Zulkifli Mat Isa. Jahabersa.

[24]. Ibid. Hlm. 75.

[25]. H/R Turmizi (hadith sahih).

[26]. H/R Bukhari.

[27]. H/R Abu Daud. (Hadith sahih).

[28]. H/R Ahmad dan Turmizi. (hadith sahih).

[29]. القول الفصل فى حكم الاحتفال بمولد خير الرسل (ص) Hlm. 55. Ismail bin Muhammad al-Ansari. Wazarah as-Syuun al-Islamiyah wal-Aukaf wa- Addakwah wal-Irsyad. Saudi Arabia.

[30]. H/R Bukhari, Muslim, Abu Daud, Nasaii dan Ibn Majah.

[31]. H/R Bukhari, Muslim dan an-Nasaii.

[32]. Keseluruhan tajuk dan teks ini dinukil (disalin) dari: مجموع فتاوى ورسائل Juz. 1. Hlm. 333-334. شيخ محمد بن صالح العثيمن.

[33]. H/R Bukhari.

[34]. H/R Bukhari (15), al-Ilm. Muslim (60) al-Iman. Turmizi (2548) al- Iman an-Nasaii (4903) al-Iman wa-Syari'uhu. Ibn Majah (4023) al- Fitan. Ahmad (11679) Musnad al-Mukathirin.

[35]. H/R Bukhari, Muslim, Abu Daud dan Ahmad.

[36]. H/R Bukhari dan Muslim.

[37]. Hadith sahih riwayat Hakim.