__________________________________________________________________________________

| Nawawi | Aqeedah | Fiqh | Anti Syirik | Galeri Buku | Galeri MP3 | U-VideOo |
__________________________________________________________________________________

Saturday, April 24, 2010

116 - Hadis Ahad Yang Sahih Adalah Hujjah: Imam an-Nawawi Menyangkal Hizbut Tahrir

Hadis Ahad Yang Sahih Adalah Hujjah: Imam an-Nawawi Menyangkal Hizbut Tahrir

http://bahaya-syirik.blogspot.com

Para penulis dan pentaksub Hizbut Tahrir berkata:

Al-Hafidz Ibnu Hajar dan jumhur ulama, kecuali Imam Ahmad, berpendapat bahwa hadits ahad tidak menghasilkan ilmu (keyakinan) sehingga tidak bisa sebagai sumber aqidah, senada dengan pendapat jumhur ulama, Imam Asnawy Al-Baghdady, Imam An-Nawawi, Ibnu Shalah, Imam Basdawly, Imam ‘Abd Al-Bar, Imam Al-Ghazali, dan lain-lain. (Sila rujuk kepada tulisan-tulisan milik Hizbut Tahrir: Para pembaca boleh search perkataan ini melalui google)

Mereka juga berkata:

Dengan demikian madzhab yang menerima dzan dan khabar ahad dalam aqidah adalah madzhab bathil dan asing, dan harus ditinggalkan karena pendapat ini telah bertentangan dengan jumhur kaum muslimin baik dari kalangan sahabat, tabi’in, tabi’ut tabi’in serta ulama-ulama setelah mereka baik dari kalangan muhaditsin, fuqaha serta ulama ushul. Mereka sepakat bahwa khabar ahad hanya menghasilkan dzan (dugaan) saja tidak menghasilkan keyakinan sehingga tidak bisa sebagai dalil aqidah. (Sila rujuk kepada tulisan-tulisan milik Hizbut Tahrir: Para pembaca boleh search perkataan ini melalui google)

Oleh itu, berikut kita lihat sendiri, apakah perkataan dan pendirian imam an-Nawawi (rahimahullah) yang sebenar dalam persoalan hadis ahad. Adakah ianya benar sebagaimana yang didakwa oleh Hizbut Tahrir?

Berikut Pencerahannya:

Imam Abu Zakariya Yahya B. Sharaf an-Nawawi rahimahullah (Imam an-Nawawi: 631H-676H) berkata:

ولا فرق بين البخاري ومسلم وغيرهما في ذلك وتلقى الأمة بالقبول انما أفادنا وجوب العمل بما فيهما وهذا متفق عليه فان أخبار الآحاد التي في غيرهما يجب العمل بها اذا صحت أسانيدها ولا تفيد الا الظن فكذا الصحيحان وانما يفترق الصحيحان وغيرهما من الكتب في كون ما فيهما صحيحا لا يحتاج إلى النظر فيه بل يجب العمل به مطلقا وما كان في غيرهم لا يعمل به حتى ينظر وتوجد فيه شروط الصحيح

Terjemahan: Tiada perbezaan di antara hadis-hadis yang dimiliki oleh al-Bukhari dan Muslim dengan hadis-hadis selainnya, yang umat telah bersepakat menerimanya. Kami mengambil faedah yang mewajibkan untuk mengamalkannya dari apa yang terdapat di dalam kedua kitab tersebut. Dan ini telah disepakati secara bersama (muttafa ‘alaih), kerana khabar atau hadis ahad wajib diamalkan apabila terbukti sahih sanadnya dan tetap tidak berfaedah melainkan azd-Dzan (apabila tidak sahih). Demikianlah keadaannya apa yang terdapat di dalam ash-Shohihain (dua kitab sahih tersebut).

Tetapi, terdapat perbezaan di antara hadis-hadis yang terdapat di dalam ash-Shohihain dengan hadis-hadis selainnya, iaitu apabila hadis sahih itu berasal dari al-Bukhari dan Muslim, maka tidak perlu dikhuwatirkan dan tidak perlu lagi untuk penelitian dan wajib diamalkan secara mutlak. Namun, apabila hadis-hadis tersebut daripada selain keduanya, maka tidak boleh diamalkan, melainkan setelah diteliti dengan baik terlebih dahulu sehingga disahkan menepati syarat-syarat hadis sahih. (an-Nawawi, al-Minhaj Syarah Shohih Muslim, 1/20)

Di lembaran seterusnya:

وشرط الجبائى المعتزلى وبعض القدرية العدد في الرواية فقال الجبائى لا بد من اثنين عن اثنين كالشهادة وقال القائل من القدرية لا بد من أربعة عن أربعة في كل خبر وكل هذه الأقوال ضعيفة ومنكرة مطرحة وقد تظاهرت دلائل النصوص الشرعية والحجج العقلية على وجوب العمل بخبر الواحد وقد قرر العلماء في كتب الفقه والأصول ذلك بدلائله وأوضحوه أبلغ ايضاح وصنف جماعات من أهل الحديث وغيرهم مصنفات مستكثرات مستقلات فى خبر الواحد ووجوب العمل به والله أعلم

Al-Juba’i, seorang muktazilah dan sebahagian kelompok Qadariyah mensyaratkan adanya al-‘Adad (jumlah tertentu kepada perawi atau sanad) di dalam periwayatan. Al-Juba’i berkata:

“Suatu khabar dapat diterima sekiranya terdiri daripada dua orang sebagaimana dalam urusan sumpah.”

Sebahagian dari golongan Qadariyah pula berkata:

“Wajib terdiri dari empat orang sebagaimana yang berlaku di dalam urusan penerimaan sesuatu khabar.”

Semua perkataan ini adalah lemah, mungkar, dan tidak perlu dilayan. Kerana nash-nash agama dan hujjah-hujjah aqli secara jelas telah menunjukkan akan kewajiban mengamalkan khabar (hadis) dari satu orang. Para ulama telah menetapkan perkara tersebut melalui kitab-kitab fiqh dan ushul (aqidah) yang dengannya mereka menjelaskan dengan sejelas-jelasnya. Para ahli hadis serta selainnya juga telah menyusun pelbagai kitab berkaitan khabar wahid serta wajib untuk mengamalkannya. Wallahu a’lam... (an-Nawawi, al-Minhaj Syarah Shohih Muslim, 1/62)

قال مسلم رحمه الله ( فيقال لمخترع هذا القول قد أعطيت فى جملة قولك أن خبر الواحد الثقة حجة يلزم به العمل ) هذا الذى قاله مسلم رحمه الله تنبيه على القاعدة العظيمة التى ينبنى عليها معظم أحكام الشرع وهو وجوب العمل بخبر الواحد فينبغى الاهتمام بها والاعتناء بتحقيقها وقد أطنب العلماء رحمهم الله فى الاحتجاج لها وايضاحها وأفردها جماعة من السلف بالتصنيف واعتنى بها أئمة المحدثين وأصول الفقه وأول من بلغنا تصنيفه فيها الامام الشافعى رحمه الله وقد تقررت أدلتها النقلية والعقلية فى كتب أصول الفقه ونذكر هنا طرفا فى بيان خبر الواحد والمذاهب فيه مختصرا قال العلماء الخبر ضربان متواتر وآحاد فالمتواتر ما نقله عدد لا يمكن مواطأتهم على الكذب عن مثلهم ويستوى طرفاه والوسط ويخبرون عن حسى لا مظنون ويحصل العلم بقولهم ثم المختار الذى عليه المحققون والأكثرون أن ذلك لا يضبط بعدد مخصوص ولا يشترط فى المخبرين الاسلام ولا العدالة وفيه مذاهب أخرى ضعيفة وتفريعات معروفة مستقصاة فى كتب الاصول وأما خبر الواحد فهو ما لم يوجد فيه شروط المتواتر سواء كان الراوى له واحدا أو أكثر واختلف فى حكمه فالذى عليه جماهير المسلمين من الصحابة والتابعين فمن بعدهم من المحدثين والفقهاء وأصحاب الاصول أن خبر الواحد الثقة حجة من حجج الشرع يلزم العمل بها ويفيد الظن ولا يفيد العلم وأن وجوب العمل به عرفناه بالشرع لا بالعقل وذهبت القدرية والرافضة وبعض أهل الظاهر إلى أنه لا يجب العمل به ثم منهم من يقول منع من العمل به دليل العقل ومنهم من يقول منع دليل الشرع وذهبت طائفة إلى أنه يجب العمل به من جهة دليل العقل وقال الجبائى من المعتزلة لا يجب العمل الا بما رواه اثنان عن اثنين وقال غيره لا يجب العمل الا بما رواه أربعة عن أربعة وذهبت طائفة من أهل الحديث إلى أنه يوجب العلم وقال بعضهم يوجب العلم الظاهر دون الباطن وذهب بعض المحدثين إلى أن الآحاد التى فى صحيح البخارى أو صحيح مسلم تفيد العلم دون غيرها من الآحاد وقد قدمنا هذا القول وابطاله فى الفصول وهذه الأقاويل كلها سوى قول الجمهور باطلة وابطال من قال لا حجة فيه ظاهر فلم تزل كتب النبى صلى الله عليه و سلم وآحاد رسله يعمل بها ويلزمهم النبى صلى الله عليه و سلم العمل بذلك واستمر على ذلك الخلفاء الراشدون فمن بعدهم ولم تزل الخلفاء الراشدون وسائر الصحابة فمن بعدهم من السلف والخلف على امتثال خبر الواحد اذا أخبرهم بسنة وقضائهم به ورجوعهم إليه فى القضاء والفتيا ونقضهم به ما حكموا به على خلافه وطلبهم خبر الواحد عند عدم الحجة ممن هو عنده واحتجاجهم بذلك على من خالفهم وانقياد المخالف لذلك وهذا كله معروف لاشك فى شيء منه والعقل لا يحيل العمل بخبر الواحد وقد جاء الشرع بوجوب العمل به فوجب المصير إليه

Telah berkata Imam Muslim rahimahullah:

“Maka disebutkan bahawa mereka yang merumuskan kaedah tersebut, di mana kamu telah membuat kesimpulan dari perkataan kamu bahawa hadis seseorang yang tsiqah adalah hujjah yang wajib diamalkan.”

Perkataan yang disebutkan oleh Muslim rahimahullah tersebut adalah penjelasan berkenaan kaedah yang agung di mana padanya terbina kumpulan hukum-hukum syara’, iaitu wajibnya beramal dengan khabar wahid (hadis ahad) sehingga mewajibkan kita untuk meneliti dan menyemaknya (mempelajarinya).

Para ulama rahimahumullah telah menjelaskan kaedah tersebut secara panjang lebar, malah sebilangan besar ulama dari kaum salaf (terdahulu) telah menyusun kitab berkenaan dengannya. Para imam ahli hadis dan usuhul fiqh juga turut mengambil berat kaedah tersebut. Orang yang pertama sekali sampai karyanya kepada kami adalah Imam asy-Syafi’i rahimahullah. Dalil-dalil berkaitan kaedah tersebut secara naqli dan ‘aqli telah disebutkan di dalam kitab-kitab ushul fiqh.

Di dalam perbahasan ini, kami akan menyebutkan sepintas lalu berkaitan hadis ahad dan beberapa pendapat tentangnya.

Para ulama berkata:

“Terdapat dua bentuk hadis, iaitu yang mutawatir dan Ahad.”

Hadis mutawatir adalah hadis yang dinukil oleh sekumpulan/sebilangan orang yang tidak mungkin mereka bersepakat untuk melakukan pendustaan/pembohongan di mana apabila hadis tersebut (hadis yang sama) juga diriwayatkan oleh orang yang lain. Jumlah para perawi hadis mutawatir perlu sama dari awal sehingga akhir. Mereka mengkhabarkan berkaitan sesuatu yang bersifat hissi (yang dapat dilihat), bukan dzanni, dan dengan perkataan mereka itu dapat menghasilkan yang bersifat qath’ie.

Seterusnya, pendapat yang dipilih oleh para penyemak (pentahqiq) dan majoriti ulama adalah para perawi hadis mutawatir tidak sepatutnya dibatasi dengan jumlah yang tertentu dan tidak disyaratkan perlu Islam dan adil. Malah, begitu banyak versi serta pendapat yang lain berkenaan dengan perkara ini yang telah dibincangkan di dalam kitab-kitab ushul.

Adapun hadis ahad, ia adalah hadis yang tidak memenuhi syarat-syarat mutawatir padanya, sama ada orang yang meriwayatkannya seorang atau pun lebih.

Terdapat perbezaan pendapat tentang hukum hadis ahad. Pendapat majoriti umat Islam dari kalangan para sahabat, tabi’in, dan orang-orang setelah mereka dari kalangan ahli hadis, ulama fiqh (fuqaha’) dan ulama ushul adalah bahawa hadis ahad adalah salah satu hujjah dari hujjah syara’ yang wajib dipraktikkan, yang padanya (secara umumnya) menghasilkan hukum yang bersifat dzanni dan tidak menghasilkan hukum yang bersifat qath’ie (melainkan setelah dipastikan memiliki ciri-ciri hadis sahih). Golongan qadariyah, rafidhah, dan sebahagian zahiriyah berpendapat bahawa tidak wajib mengamalkan hadis ahad. Akan tetapi, di antara mereka, ada yang menyatakan bahawa hadis ahad tidak wajib diamalkan dengan melihat kepada perspektif akal dan ada juga yang menyatakan tidak wajib diamalkan jika berdasarkan perspektif syara’.

Sebilangan ulama berpendapat bahawa wajib mengamalkan hadis ahad dari segi ‘aqli (logik). Al-Juba’i dari kelompok muktazilah berkata:

“Tidak wajib mengamalkannya, melainkan hadis yang diriwayatkan oleh dua perawi dari dua perawi.” Manakala selainnya berkata:

“Tidak wajib mengamalkannya melainkan hadis yang diriwayatkan oleh empat perawi dari empat perawi.”

Dari para ulama hadis berpendapat bahawa hadis ahad menghasilkan hukum qath’ie. Sebahagian dari emreka juga mengatakan ia menghasilkan hukum yang bersifat lahiriyah dan bukan bathiniyah. Sebahagian ulama hadis berpendapat bahawa hadis-hadis ahad yang terdapat di dalam kita Shohih al-Bukhari atau Muslim menghasilkan hukum yang bersifat qath’ie, berbeza dengan hadis-hadis ahad yang terdapat pada kitab selain dari keduanya (kerana secara umumnya tidak disepakati kesahihannya).

Mengenai beberapa pendapat yang telah kami bentangkan, seluruh pendapat tersebut selain pendapat majoriti ulama, maka ia adalah bathil. Pendapat yang mengatakan bahawa hadis ahad tidak dapat dijadikan sebagai hujjah adalah bathil. Kerana hadis-hadis tersebut berasal dari Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam yang digunakan sebagai hujjah dan beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam mewajibkan mereka untuk mengamalkannya, begitu juga dengan para Khulafa’ur Rasyidin dan orang-orang setelah mereka turut mengamalkannya. Para Khulafa’ur Rasyidin, seluruh sahabat, dan orang-orang setelah mereka dari kalangan salaf dan khalaf terus mengamalkan hadis ahad apabila ia mengkhabarkan kepada mereka suatu sunnah. Dengannya mereka mengeluarkan hukum, menggunakannya dalam berhujjah dan berfatwa. Dengannya mereka membatalkan hukum yang menyelisihinya, dan mereka mencari hadis ahad dari orang yang memilikinya ketika mana tiada hujjah/dalil yang berkaitan, lalu berhujjah dengannya terhadap kelompok yang menyelisihi mereka. Semua perkara ini adalah ma’ruf (diketahui umum), tidak ada keraguan sedikit pun padanya. Akal tidak menolak mengamalkan hadis ahad dan syara’ pula telah mewajibkannya. (an-Nawawi, al-Minhaj Syarah Shohih Muslim, 1/130-132)

Perlu kita fahami bahawa:

1 – Walaupun Imam an-Nawawi ketika menegaskan bahawa khabar ahad menghasilkan dzann, beliau sama sekali tidak pernah menyatakan bahawa hadis ahad itu adalah hujjah hanya dalam hukum amalan sahaja dan bukan hujjah dalam persoalan aqidah sebagaimana yang dipegang oleh Hizbut Tahrir. Dan sebenarnya Hizbut tahrir telah cuba memaksakan perkataan Imam an-Nawawi untuk mendukung pemikiran batil mereka dengan mempergunakan pernyataan Imam an-Nawawi yg bersifat umum tanpa melihat kepada perincian yang lebih dalam.

2 – Imam an-Nawawi juga apabila memperkatakan tentang hadis ahad yang menghasilkan dzann, tidaklah pula beliau menyatakan dzann tersebut sebagaimana dzann yang difahami oleh firqah Hizbut Tahrir. Dan sekiranya Imam an-Nawawi memahami sebagaimana yang difahami oleh Hizbut Tahrir sekalipun, maka ia tetap tidak boleh menjadi hujjah bahawa perkara tersebut merupakan suatu yang benar apabila diperincikan secara ilmiyah dengan dalil-dalil dan ijma’ (kesepakatan) ulama Ahlus Sunnah yang lain.

3 – Dakwaan Hizbut Tahrir yang menyatakan bahawa Imam an-Nawawi menolak hadis ahad dalam perkara aqidah (disebabkan tidak menimbulkan yakin) juga sama sekali tidak benar dan tidak dapat diterima kerana Imam an-Nawawi sendiri menyatakan dan menetapkan sahnya hadis ahad sebagai hujjah di dalam perkara aqidah. Ini dibuktikan melalui syarahnya ke atas hadis-hadis Shohih Muslim di mana beliau meyakini hadis-hadis ahad yang diriwayatkan di dalamnya.

4 – Sebagai contoh, Imam an-Nawawi sendiri turut membawakan hadis dari Dhimam B. Tsa’labah (yang membawakan persoalan-persoalan aqidah) lalu menyatakan bahawa:

وفى هذا الحديث جمل من العلم غير ما تقدم منها... وفى هذا الحديث العمل بخبر الواحد

Terjemahan: Dan pada hadis ini (hadis Dhimam) dapat diambil beberapa faedah (ilmu) yang baik daripadanya... (antaranya iaitu)... dan pada hadis ini menunjukkan wajibnya beramal dengan hadis ahad (khobar wahid). (Sila lihat di dalam Syarah Shohih Muslim, Kitab al-Iman, jilid 1, m/s. 171)

Di dalam jilid dan bab yang sama, beliau juga turut mengatakan berkenaan sebuah hadis yang berstatus ahad dan memberikan ulasan dengan katanya:

هذا حديث عظيم الموقع وهو أجمع أو من أجمع الاحاديث المشتملة على العقائد فانه صلى الله عليه و سلم جمع فيه ما يخرج عن جميع ملل الكفر على اختلاف عقائدهم وتباعدهم فاختصر صلى الله عليه و سلم فى هذه الاحرف على ما يباين به جميعهم

Terjemahan: Hadis ini adalah perkataan yang sangat agung. Dan ia mengumpulkan atau mencakupi persoalan aqidah secara sempurna. Dan beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam melalui hadis ini menjelaskan tentang soal pemahaman-pemahaman yang menyimpang yang diimani oleh orang-orang kafir. Beliau menyebutkannya dengan ringkas dan padat berkaitan kefahaman yang salah yang diyakini oleh orang-orang yang menyelisihi perkataan beliau. (Sila lihat di dalam Syarah Shohih Muslim, Kitab al-Iman, jilid 1, m/s. 227)

Di tempat yang lain, ketika beliau memberikan penjelasan berkenaan sebuah hadis qudsi berstatus ahad yang shohih daripada Abu Dzar al-Ghifari (radhiyallahu ‘anhu), katanya:

فاجتمع في هذا الحديث جمل من الفوائد. ومنها ما اشتمل عليه من البيان لقواعد عظيمة في أصول الدين وفروعه والآداب ولطائف القلوب وغيرها ، ولله الحمد

Terjemahan: Terhimpun di dalam hadis ini faedah-faedah yang baik. Dan di antaranya adalah apa yang terkandung di dalamnya yang merupakan penjelasan kepada kaedah-kaedah yang agung dalam persoalan ushuluddin (dasar-dasar agama), cabang-cabangnya, adab, kelembutan hati dan selainnya, walhamdulillah... (Rujuk di dalam al-Adzkar an-Nawawiyah, m/s. 412-413)

Ironisnya, dalam mempergunakan perkataan Imam an-Nawawi rahimahullah untuk menafikan keabsahan hadis ahad dalam perkara aqidah, mereka terlepas pandang bahawa Imam an-Nawawi secara jelas telah menyangkal mereka dalam persoalan mengimani adanya azab kubur.

Kerana kelompok Hizbut Tahrir, antaranya melalui tokohnya di Indonesia, iaitu Dr. Abdur Rahman al-Baghdadi (semoga Allah memberinya petunjuk), beliau berkata (untuk menolak berdalil dengan hadis ahad, sekaligus menolak mengimani azab kubur) sebagaimana berikut:

“.... Ataupun hal-hal yang berkaitan dengan beristidlal (berdalil) dengan khabar ahad dalam masalah aqidah yang tercantum dalam hadist-hadits ahad semisal pertanyaan para malaikat di kubur, tempat bersemayamnya ruh-ruh, siksa kubur, kehadiran Imam Mahdi, turunnya Isa ‘alaihis Salam, datangnya Dajjal di akhir zaman dan lain-lain...

... Akhir kata, kegigihan untuk tetap mengambil khabar ahad dalam masalah aqidah, serta terus komitmen pada pendapat tersebut merupakan sikap kepala batu!!!...”
(Rujuk: Syamsuddin Ramadhan, Absahkah? Berdalil Dengan Hadits Ahad Dalam Masalah Aiqdah, Bhgn. Kata Pengantar, m/s. XVIII, Hanifah Press IX, Jakarta)

Sedangkan secara jelas, pendapat Imam an-Nawawi rahimahullah (sekaligus Ahlus Sunnah) adalah sangat bertolak belakang dengan apa yang mereka imani dan i’tiqadkan. Ini dapat kita lihat dari pernyataan Imam an-Nawawi berikut (setelah menyebutkan tentang hadis berkenaan ‘azab kubur):


وهو مذهب أهل الحق خلافا للمعتزلة


Terjemahan: “Dan ia adalah mazhab ahlul haq (golongan kebenaran) berbeza dengan kelompok muktazilah.” (an-Nawawi, Syarah Shohih Muslim, 5/85)


أن مذهب أهل السنة اثبات عذاب القبر كما ذكرنا خلافا للخوارج ومعظم المعتزلة وبعض المرجئه نفوا ذلك


“Bahawasanya mazhab Ahli Sunnah adalah menetapkan (mengitsbatkan) adanya azab kubur, berbeza keadaannya dengan firqah Khawarij, sebahagian besar (majoriti) Mu’tazilah, dan sebahagian Murji’ah yang menafikannya.” (an-Nawawi, Syarah Shohih Muslim, 17/201)

Dan beliau (Imam an-Nawawi) telah meletakkan bab di dalam Syarahnya ke atas Shohih Muslim dengan nama:


باب استحباب التعوذ من عذاب القبر وعذاب جهنم


Terjemahan: Bab dituntut supaya berlindung daripada ‘Azab Kubur dan ‘Azab Neraka Jahannam, (an-Nawawi, Syarah Shohih Muslim, 5/85)

Malah, al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani sendiri ketika mensyarahkan hadis al-Bukhari tentang azab kubur, beliau menyebutkan:


قوله من عذاب القبر فيه رد على من أنكره


Perkataan tersebut “daripada ‘azab kubur” padanya terdapat bantahan ke atas orang-orang yang mengingkarinya. (Fathul Bari Syarah Shohih al-Bukhari, 2/318)

Kesimpulan (yang dapat difahami daripada perkataan Imam an-Nawawi):

1 – Hadis ahad secara umum (asasnya) bersifat dzann dan tidak qath’ie.

2 – Melainkan setelah disahkan menepati syarat-syarat hadis sahih, maka ianya wajib diterima dan diamalkan sebagai hujjah dalam setiap persoalan agama.

Demikianlah bahawa perkataan imam an-Nawawi sebenarnya bertentangan dengan pendirian Hizbut Tahrir. Dan ianya tidak sebagaimana yang didakwa oleh Hizbut Tahrir yang mana mereka mengatakan bahawa imam an-Nawawi menolak berhujjah dengan hadis ahad di dalam persoalan aqidah (ushul).

InsyaAllah, selepas ini penulis akan memaparkan pula perkataan dan pendirian al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani rahimahullah pula.