__________________________________________________________________________________

| Nawawi | Aqeedah | Fiqh | Anti Syirik | Galeri Buku | Galeri MP3 | U-VideOo |
__________________________________________________________________________________

Tuesday, August 25, 2009

100 - Ghuluw: Sikap Yang Perlu Dihindari

Ghuluw: Sikap Yang Perlu Dihindari

http://bahaya-syirik.blogspot.com

Maksud Ghuluw:

Ghuluw adalah Sikap atau perbuatan yang berlebih-lebihan di dalam perkara agama sehingga melampaui apa yang telah ditetapkan melalui batasan syari'at sama ada berbentuk keyakinan atau perbuatan.

Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:

قُلْ يَا أَهْلَ الْكِتَابِ لا تَغْلُوا فِي دِينِكُمْ غَيْرَ الْحَقِّ وَلا تَتَّبِعُوا أَهْوَاءَ قَوْمٍ قَدْ ضَلُّوا مِنْ قَبْلُ وَأَضَلُّوا كَثِيرًا وَضَلُّوا عَنْ سَوَاءِ السَّبِيلِ

Maksud: Katakanlah: "Wahai Ahli Kitab, janganlah kamu berlebih-lebihan (melampaui batas) dengan cara yang tidak benar di dalam agamamu. Dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu orang-orang terdahulu yang telah sesat (sebelum kedatangan Muhammad) dan mereka telah menyesatkan kebanyakkan (manusia), dan mereka tersesat dari jalan yang lurus." (Surah al-Ma'idah, 5: 77)

Sedangkan agama ini telah pun lengkap dan tidak perlu kepada penambahan atau pengurangan. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:

الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الإسْلامَ دِينًا

Maksud: Pada hari ini telah Aku sempurnakan untuk kamu agama-mu, dan telah aku cukupkan kepada kamu nikmat-Ku, dan telah Aku redhai Islam itu menjadi agama bagimu. (Surah al-Ma'idah, 5: 3)

Beberapa perkataan atau istilah yang digunakan terhadap sikap berlebih-lebihan di dalam agama, di antaranya:

1 – Tanaththu' (Ekstream)

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ

قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ هَلَكَ الْمُتَنَطِّعُونَ قَالَهَا ثَلَاثًا

Maksud: "Daripada 'Abdullah B. 'Abbas (radhiyallahu 'anhu), beliau berkata:

Berkata Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam: "Celakalah orang-orang yang melampaui (ekstream)" dan beliau mengulanginya sebanyak tiga kali. (Hadis Riwayat Muslim, Kitab al-Ilmi, 13/154, no. 4823. Abu Daud, Sunan Abi Daud, Kitab as-Sunnah, 12/212, no. 3992)

2 – Tasyaddud (Memberat-beratkan Diri)

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ
عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ الدِّينَ يُسْرٌ وَلَنْ يُشَادَّ الدِّينَ أَحَدٌ إِلَّا غَلَبَهُ فَسَدِّدُوا وَقَارِبُوا وَأَبْشِرُوا وَاسْتَعِينُوا بِالْغَدْوَةِ وَالرَّوْحَةِ وَشَيْءٍ مِنْ الدُّلْجَةِ

Maksud: Daripada Abu Hurairah, bahawa Nabi Shallallahu 'alaihi wa Sallam telah bersabda:

Sesungguhnya agama ini adalah mudah, dan tiada seorang pun yang cuba menyusah-nyusahkan diri di dalam perkara agama ini melainkan dia pasti akan gagal. (Hadis Riwayat al-Bukhari, Kitab al-Iman, 1/69, no. 38)

لا تشددوا على أنفسكم فإنما هلك من قبلكم بتشديدهم على أنفسهم وستجدون بقاياهم في الصوامع والديارات

Maksud: Janganlah kamu menyusah-nyusahkan dirimu sebagaimana orang-orang sebelum kamu melakukannya ke atas diri-diri mereka. Kesan-kesan sikap mereka ini masih dapat kamu temui di dalam biara-biara mereka. (Hadis Riwayat ath-Thabrani, 5/322, no. 5418. Disahihkan oleh al-Albani, di dalam Raddul Mufhim, 1/146 dan Silsilah Hadis ash-Shahihah, 8/131, no. 3124)

3 – I'tida' (Melampaui ketetapan Syari'at)

Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:

تِلْكَ حُدُودُ اللَّهِ فَلا تَقْرَبُوهَا كَذَلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ آيَاتِهِ لِلنَّاسِ لَعَلَّهُمْ يَتَّقُونَ

Maksud: Itulah batasan yang telah ditetapkan oleh Allah, maka janganlah kamu melanggarnya. Demikianlah Allah menjelaskan ayat-ayatnya kepada manusia supaya mereka bertaqwa. (Surah al-Baqarah, 2: 187)

Dan juga firman-Nya:

وَقَاتِلُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَكُمْ وَلا تَعْتَدُوا إِنَّ اللَّهَ لا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ

Maksud: Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, (tetapi) janganlah kamu melampaui batas, kerana sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas. (Surah al-Baqarah, 2: 190)

4 – Takalluf (Memaksakan Diri Dengan Mengada-adakan Sesuatu)

Allah Subahanhu wa Ta'ala berfirman:

قُلْ مَا أَسْأَلُكُمْ عَلَيْهِ مِنْ أَجْرٍ وَمَا أَنَا مِنَ الْمُتَكَلِّفِينَ

Maksud: Katakanlah (Wahai Muhammad): "Aku tidak meminta upah sedikitpun kepadamu atas da'wahku dan aku bukanlah termasuk orang-orang yang mengada-adakan".(Surah Shaad, 38: 86)

Contoh-contoh Ghuluw:

1 – Ghuluw Dalam Perkataan (atau Ucapan)

Contoh 1: Terburu-buru dalam mengkafirkan, memfasiqkan dan mengkritik orang lain tanpa berpandukan kepada fasa dan kaedah yang betul. Sehingga menghujam dan mengkritik indicidu seseorang didahulukan daripada menasihatinya dengan secara baik.

Contoh 2: Menokok tambah lafaz-lafaz zikir atau selawat yang telah sedia ada yang disunnahkan oleh Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam. Termasuk dalam contoh kedua ini adalah memuji-muji Nabi dengan pujian yang tidak syar'i bahkan melanggar adab-adab dan batasan dalam memuji dan berselawat seperti meletakkan tambahan Sayyidina, maulana, asy-Syafi dan seumpamanya ke atas nama Nabi Shallallahu 'alaihi wa Sallam.

2 – Ghuluw Dalam Keyakinan (I'tiqad)

Contoh 1: Menganggap Nabi Shallallahu 'alaihi wa Sallam itu hidup di dalam kuburnya sehingga mampu memperkenankan doa bagi orang yang datang berdoa di atas kuburnya.

Contoh 2: Menganggap orang-orang Sholeh sebagai ma'shum dan tidak memiliki sebarang kesalahan. Malah ada sehingga menganggap orang-orang sholeh mereka mampu meraih makam (darjat) ketuhanan sepertimana yang berlaku di dalam kelompok Syi'ah.

3 – Ghuluw Dalam Amal Perbuatan

Contoh 1: Melayani perasaan dan sikap was-was ketika hendak beribadah sehingga terpaksa melakukan dan mengulangi ibadah tersebut berulang-ulang kali. Perkara seperti ini banyak berlaku kepada orang yang hendak berwudhu', bersolat dan seumapamanya kerana mereka menganggap lafaz niat itu wajib (atau dituntut) dan perlu sehingga wujudnya rasa niat telah meresap ke dalam hati. Selagi mana, niat tidak dapat dirasa telah masuk ke dalam hati, maka selagi itulah mereka tidak akan merasa yakin untuk memulakan ibadah.

Contoh 2: Mengadakan waktu imsak lebih awal ketika hendak berpuasa, sedangkan waktu untuk mula berpuasa itu adalah dari terbit fajar sehingga terbenamnya matahari. Tetapi mereka mengawalkan sahur bagi mengelakkan terkena waktu subuh sehingga mereka meletakkan batas imsak 10 minit atau setengah jam lebih awal sebelum datangnya subuh (terbit fajar). Dan ketika hendak berbuka puasa, mereka melewat-lewatkan untuk berbuka bagi memastikan bahawa maghrib telah masuk.

4 – Ghuluw Dalam Semangat

Contoh 1: Memiliki semangat agama yang terlalu tinggi dan berkobar-kobar sehingga hilang kesabaran. Tetapi, ilmunya sangat kurang. Kemudian ia tergesa-gesa di dalam menyebarkannya dan mengkritik orang lain yang tidak memahaminya.

Meninggalkan Ghuluw Tidak Bererti Meremeh-temehkan Agama

Di dalam menjauhi sikap ghuluw, hendaklah kita supaya tidak sampai terjebak ke dalam sikap meremeh-temehkan agama (Taqshir). Mempertahankan diri di tengah-tengah di antara taqshir (meremehkan agama) dengan melampau-lampau atau berlebih-lebihan (ghuluw) di dalam agama ia adalah suatu perkara yang agak sukar untuk dilaksanakan.

Namun, jika kita memahami agama itu berdasarkan kedudukannya yang tepat, ia sebenarnya akan lebih menampakkan keindahan dan relevannya sebuah agama itu sendiri. Jadi, hendaklah kita tidak bermalasa-malas dalam rangka memahami dan melaksanakan agama dan jangan pula kita sehingga berlebih-lebihan di dalam melaksanakannya dengan melaksanakan apa yang tidak disyari'atkan oleh agama.

Faktor Lahirnya Sikap Ghuluw:

1 – Kejahilan di dalam memahami agama. Gagal dalam meletakkan agama di atas landasannya yang sebenar dengan meninggalkan sumber-sumbernya yang asas dari al-Qur'an dan as-Sunnah yang sahih.

2 – Berpuas hati dengan hanya bertaqlid buta. Mengamalkan agama cukup dengan mengambilnya dari individu, ustaz-ustaz, atau buku-buku tertentu tanpa peduli untuk mengatahui sama ada landasannya itu bertepatan dengan al-Qur'an atau as-Sunnah.

3 – Memahami agama dengan mengikuti hawa nafsu dan akal fikiran tanpa merujuk kepada kaedah dan pemahaman yang sebenarnya yang telah diwariskan oleh Nabi Shallallahu 'alaihi wa Sallam dan para sahabatnya.

Berpegang Teguh Di Atas Syari'at Bukan Ghuluw

Terdapat sebahagian pihak yang mengeluarkan pendapat bahawa terdapat kelompok lain yang bersikap berlebih-lebihan di dalam agama sehingga mereka kelihatan asing berbanding dengan majoriti manusia lain di dalam arus perdana.

Kelompok tersebut dilabelkan sebagai ghuluw (berlebih-lebihan) di dalam agama atas sebab tidak isbal (Isbal: melabuhkan seluar/pakaian melebihi mata kaki bagi lelaki), sentiasa memelihara janggut dan tidak mencukurnya, tidak mengiktiraf kelompok-kelompok lainnya yang berbeza dalam beberapa soal-soal aqidah yang pada mereka adalah remeh.

Ada pun sebenarnya, pendapat mereka ini adalah menyimpang dan sama sekali tidak tepat. Terhadap perkara-perkara yang telah ada tuntutan dan petunjuknya di dalam as-Sunnah, maka sekiranya kita melaksanakannya dengan penuh rasa tanggungjawab, maka itu tidaklah termasuk dari sebahagian sikap ghuluw. Tetapi, ia adalah sebagai tanda taatnya seseorang itu terhadap agamanya (Islam). Bahkan ditakuti, mereka pula yang telah bersikap taqshir iaitu meremehkan beberapa perkara dari apa yang ada di dalam agama itu sendiri.

Oelh itu, janganlah kita bersikap terburu-buru dan hendaklah memahami agama itu dengan ilmu dan kaedah-kaedahnya. Jika ia tidak difahami dengan cara yang benar, tidak hairanlah nanti akan wujud suatu fenomena di mana perkara yang sunnah akan dianggap sebagai bid'ah, dan amalan yang bid'ah dianggap sebagai sunnah.

Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:

قُلْ إِنَّمَا حَرَّمَ رَبِّيَ الْفَوَاحِشَ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ وَالإثْمَ وَالْبَغْيَ بِغَيْرِ الْحَقِّ وَأَنْ تُشْرِكُوا بِاللَّهِ مَا لَمْ يُنَزِّلْ بِهِ سُلْطَانًا وَأَنْ تَقُولُوا عَلَى اللَّهِ مَا لا تَعْلَمُونَ

Maksud: Katakanlah: "Tuhanku hanya mengharamkan perbuatan yang keji, sama ada yang dapat dilihat atau pun yang tersembunyi, dan perbuatan dosa, melanggar hak manusia tanpa alasan yang benar, (mengharamkan) mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang Allah tidak menurunkan hujjah untuk itu dan (mengharamkan) mengada-adakan terhadap Allah apa yang tidak kamu ketahui". (Surah al-a'raaf, 7: 33)

Dan, sekiranya kita tidak mengetahui, hendaklah kita menuntut ilmu atau bertanya kepada mereka yang memiliki pengetahuan terhadap wahyu (al-Qur'an dan as-Sunnah). Allah berfirman:

وَمَا أَرْسَلْنَا مِنْ قَبْلِكَ إِلا رِجَالا نُوحِي إِلَيْهِمْ فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِنْ كُنْتُمْ لا تَعْلَمُونَ

Maksud: Dan Kami tidak mengutus sebelum kamu, kecuali orang-orang lelaki yang Kami beri wahyu kepada mereka; maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui. (Surah an-Nahl, 16: 43)

Cara-cara Menghindari Sikap Ghuluw:

1 – Menuntut ilmu Tentang Agama.

Tanpa ilmu, nescaya kita tidak akan dapat memahami sesuatu perkara. Begitu jugalah terhadap agama, sekiranya tanpa ilmu, sudah tentu kita tidak akan memahami apa dan bagaimana agama itu.

2 – Jangan Malu untuk bertanya Kepada Orang yang memiliki ilmu.

Apabila kita mengamalkan sikap rajin bertanya, ia akan membantu kita untuk mendapatkan lebih maklumat dan kepastian. Dan sekaligus mampu memperbaiki diri kita sekiranya apa yang kita fahami sebelum ini memiliki beberapa kesalahan atau kesilapan.

3 – Sentiasa melakukan penelitian yang baik dan menghindari sikap terburu-buru.

Agama ini dibangun dan dibina di atas prinsip yang teliti di atas manhaj ilmu. Dengan itu, hendaklah kita sentiasa menyemak dan memastikan ia berada di atas asas-asasnya yang tepat.

Thursday, July 30, 2009

099 - Bahaya Syirik

Bahaya Syirik

http://bahaya-syirik.blogspot.com

Perbuatan syirik menyebabkan kerosakan dan bahaya yang besar, sama ada dalam kehidupan peribadi secara individu mahupun masyarakat. Adapun kerosakan dan bahaya yang paling menonjol adalah:

1 - Syirik merendahkan taraf kemanusiaan:

Syirik menghinakan kemuliaan manusia, menurunkan darjat dan martabatnya. Kerana Allah Subhanahu wa Ta’ala menjadikan umat manusia sebagai khalifah di muka bumi. Allah memuliakannya, mengajarkannya dengan nama-nama, lalu menundukkan baginya apa yang ada di langit dan di bumi semuanya. Allah menjadikannya penguasa di muka bumi ini.

Tetapi kemudian dia tidak mengetahui darjat dan martabat dirinya. Lalu menjadikan sebahagian dari makhluk Allah sebagai tuhan dan sembahan. Ia tunduk dan menghinakan diri padanya.

Pelbagai kehinaan tersebut, hingga hari ini amat banyak dapat kita saksikan. Ratusan juta orang di negara kita menyembah makhluk lain seperti haiwan, pokok dan matahari yang diciptakan oleh Allah bagi manfaat kehidupan manusia, seperti bagi tujuan memakan dagingnya, membantu pekerjaan, atau seumpamanya.

Sebahagian umat Islam mendatangi dan tinggal di kawasan-kawasan perkuburan untuk memohon pelbagai keperluan mereka. Padahal, orang-orang yang mati itu juga hamba Allah seperti mereka. Tidak berupaya mendatangkan manfaat atau bahaya untuk mereka sendiri.

Sebagai contoh, kelompok Syi’ah yang menyembah kubur Al-Husain bin Ali misalnya, penghuni kubur itu sendiri tidak mampu menyelamatkan dirinya dari pembunuhan ke atas dirinya. Lalu bagaimana mungkin kemudian ia akan dapat menolak bahaya yang menimpa orang lain dan mendatangkan manfaat kepadanya?

Orang-orang yang meninggal itu sendiri amat memerlukan doa dari orang-orang yang masih hidup. Kita mendoakan mereka, dan bukan sebaliknya kita yang berdoa dan memohon kepadanya, menjadikannya sebagai sembahan selain Allah. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

وَالَّذِينَ يَدْعُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ لا يَخْلُقُونَ شَيْئًا وَهُمْ يُخْلَقُونَ (٢٠)أَمْوَاتٌ غَيْرُ أَحْيَاءٍ وَمَا يَشْعُرُونَ أَيَّانَ يُبْعَثُونَ

Maksud: “Dan berhala-berhala yang mereka seru selain Allah, tidak dapat membuat sesuatu apapun, sedang berhala-berhala itu (sendiri) dibuat orang. (Berhala-berhala) itu benda mati, tidak hidup, dan berhala-berhala itu tidak mengetahui, bilakah pe-nyembah-penyembahnya akan dibangkitkan.” (Surah an-Nahl, 16: 20-21)

وَمَنْ يُشْرِكْ بِاللَّهِ فَكَأَنَّمَا خَرَّ مِنَ السَّمَاءِ فَتَخْطَفُهُ الطَّيْرُ أَوْ تَهْوِي بِهِ الرِّيحُ فِي مَكَانٍ سَحِيقٍ

Maksud: “Sesiapa mempersekutukan sesuatu dengan Allah maka adalah dia seolah-olah jatuh dari langit lalu disambar oleh burung, atau diterbangkan angin ke tempat yang jauh.” (Surah al-Hajj, 22: 31)

2 - Syirik adalah sarang khurafat dan kebatilan:

Kerana orang yang mempercayai adanya sesuatu yang berupaya memberi kesan (bantuan pertolongan (memperkenankan doa)) selain Allah di alam ini, sama ada berupa bintang, jin, arwah (ruh) atau hantu bererti dia telah menjadikan akalnya bersedia menerima segala bentuk khurafat (takhayul), serta mempercayai para dajjal (pendusta).

Kerana itu, dalam sebuah masyarakat yang akrab dengan kemusyrikan, “barang dagangan” (tangkal) dukun, tukang nujum, ahli sihir dan sejenisnya menjadi sangat laku (laris). Sebab mereka mendakwakan dirinya mampu mengetahui ilmu ghaib, yang pada hakikat sebenarnya tidak ada seorang pun mengetahuinya melainkan Allah. Di samping itu, dalam masyarakat seperti ini, mereka sudah tidak lagi menghiraukan persoalan ikhtiar dan mencari sebab, serta akan meremehkan sunnah kauniyah (hukum alam).

3 - Syirik adalah kezhaliman yang sangat besar:

Yaitu zalim terhadap realiti. Sebab hakikat yang paling agung adalah “Tidak ada Tuhan (yang berhak di sembah dengan benar) melainkan Allah”, Tidak ada Rabb (pengatur) selain Allah, tidak ada Penguasa selain-Nya.

Ada pun orang-orang yang musyrik, mereka mengambil selain Allah sebagai Tuhan, serta mengambil selain-Nya sebagai penguasa. Syirik merupakan kezaliman dan penganiayaan terhadap diri sendiri. Kerana seorang musyrik menjadikan dirinya sebagai hamba bagi makhluk sesamanya, bahkan mungkin lebih rendah dari dirinya. Padahal Allah menjadikannya sebagai makhluk yang merdeka.

Syirik juga merupakan penganiayaan terhadap orang lain, sebab orang yang disekutukan dengan Allah telah ia aniaya, lantaran ia memberikan hak padanya, apa yang asal sebenarnya bukan miliknya.

4 - Syirik sumber dari segala ketakutan dan kecemasan:

Orang yang akalnya menerima pelbagai jenis khurafat dan mempercayai kebatilan akan diliputi ketakutan dari pelbagai arah. Sebab ia menyandarkan dirinya pada banyak tuhan. Padahal tuhan-tuhan itu lemah dan tidak memiliki kuasa untuk memberi manfaat atau menolak bahaya bagi dirinya.

Kerana itu, dalam sebuah masyarakat yang akrab dengan kemusyrikan, putus-asa dan ketakutan tanpa sebab adalah sesuatu hal yang lumrah dan amat banyak berlaku. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

سَنُلْقِي فِي قُلُوبِ الَّذِينَ كَفَرُوا الرُّعْبَ بِمَا أَشْرَكُوا بِاللَّهِ مَا لَمْ يُنَزِّلْ بِهِ سُلْطَانًا وَمَأْوَاهُمُ النَّارُ وَبِئْسَ مَثْوَى الظَّالِمِينَ

Maksud: “Akan Kami masukkan ke dalam hati orang-orang kafir rasa takut, disebabkan mereka mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang Allah sendiri tidak menurunkan keterangan tentang itu. Tempat kembali mereka ialah Neraka, dan itulah seburuk-buruk tempat tinggal bagi orang-orang yang zalim.” (Surah Ali Imran, 3: 151)

5 - Syirik menjadikan manusia malas melakukan pekerjaan yang bermanfaat:

Kerana syirik mengajarkan kepada para pengikutnya untuk menyerahkan kepada para perantara, sehingga mereka meninggalkan amal soleh. Sebaliknya mereka melakukan perbuatan dosa, dengan i'tiqad bahawa mereka akan mendapat syafa’at (pertolongan) dari sisi Allah. Dan inilah yang merupakan kepercayaan orang-orang Arab jahiliyah sebelum kedatangan Islam. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman tentang mereka:

وَيَعْبُدُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ مَا لا يَضُرُّهُمْ وَلا يَنْفَعُهُمْ وَيَقُولُونَ هَؤُلاءِ شُفَعَاؤُنَا عِنْدَ اللَّهِ قُلْ أَتُنَبِّئُونَ اللَّهَ بِمَا لا يَعْلَمُ فِي السَّمَاوَاتِ وَلا فِي الأرْضِ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى عَمَّا يُشْرِكُونَ

Maksud: “Dan mereka menyembah selain daripada Allah apa yang tidak dapat mendatangkan kemudharatan kepada mereka dan tidak (pula) kemanfaatan, dan mereka berkata, “Mereka itu adalah pemberi syafaat kepada kami di sisi Allah”. Katakanlah, “Apakah kamu mengkhabarkan kepada Allah apa yang tidak diketahui-Nya sama ada di langit dan tidak (pula) di bumi”. Mahasuci Allah dan Maha Tinggi dari apa yang mereka persekutukan (itu).” (Surah Yunus, 10: 18)
Orang-orang Kristian yang melakukan pelbagai bentuk kemungkaran turut mempercayai bahawa al-Masih telah menghapuskan dosa-dosa mereka, ketika ia disalib. Demikian menurut anggapan mereka.

Demikian pula sebahagian umat Islam, mereka meninggalkan pelbagai kewajiban, melakukan pelbagai bentuk perbuatan haram, tetapi mereka tetap berhajat kepada syafaat Rasul mereka agar dapat memasuki Syurga. Padahal Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam kepada puterinya sendiri berkata:


يَا فَاطِمَةُ بِنْتَ مُحَمَّدٍ اشْتَرِيَا أَنْفُسَكُمَا مِنْ اللَّهِ لَا أَمْلِكُ لَكُمَا مِنْ اللَّهِ شَيْئًا سَلَانِي مِنْ مَالِي مَا شِئْتُمَا

Maksud: “Wahai Fatimah binti Muhammad, mintalah dari hartaku sekehendakmu, (tetapi) aku tidak bermanfaat sedikitpun bagimu di sisi Allah.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, Shahih al-Bukhari, (بَاب جَهْلِ الْعَرَبِ), 11/354, no. 3264)

6 - Syirik menyebabkan kekal abadi di dalam Neraka:

Syirik menyebabkan hidup menjadi sia-sia dan hampa. Manakala di akhirat, menyebabkan pelakunya tinggal abadi di dalam Neraka. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

إِنَّهُ مَنْ يُشْرِكْ بِاللَّهِ فَقَدْ حَرَّمَ اللَّهُ عَلَيْهِ الْجَنَّةَ وَمَأْوَاهُ النَّارُ وَمَا لِلظَّالِمِينَ مِنْ أَنْصَارٍ

Maksud: “Sesungguhnya orang yang mempersekutukan (sesuatu dengan) Allah maka pasti Allah mengharamkan kepadanya Syurga, dan tempatnya ialah Neraka, tidaklah bagi orang-orang zalim itu seorang penolong pun.” (Surah al-Maa’idah, 5: 72)

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

مَنْ مَاتَ وَهْوَ يَدْعُو مِنْ دُونِ اللَّهِ نِدًّا دَخَلَ النَّارَ

Maksud: “Sesiapa yang meninggal sedangkan dia berdoa (memohon) kepada selain Allah sebagai tandingan (sekutu), niscaya dia masuk Neraka.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, Shahih al-Bukhari, 13/433, (كِتَاب تَفْسِيرِ الْقُرْآنِ), no. 4137)

7 - Syirik memecah belah umat:

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

مُنِيبِينَ إِلَيْهِ وَاتَّقُوهُ وَأَقِيمُوا الصَّلاةَ وَلا تَكُونُوا مِنَ الْمُشْرِكِينَ (٣١)مِنَ الَّذِينَ فَرَّقُوا دِينَهُمْ وَكَانُوا شِيَعًا كُلُّ حِزْبٍ بِمَا لَدَيْهِمْ فَرِحُونَ

Maksud: “Dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang mempersekutukan Allah, iaitu orang-orang yang memecah belah agama mereka dan mereka menjadi beberapa golongan. Setiap golongan merasa bangga dengan apa yang ada pada golongan mereka.” (Surah ar-Ruum, 30: 31-32)

Kesimpulan:

Semua pembahasan di atas, memberikan kejelasan kepada kita bahawa syirik adalah sebesar-besar perkara yang wajib kita jauhi. Kita harus bersih dari perbuatan syirik. Takutlah jika kita terjerumus ke dalamnya, kerana ia adalah dosa yang paling besar. Di samping itu, syirik juga akan menghapuskan pahala amal-amal soleh yang kita lakukan. Bahkan amalan yang terkadang bermanfaat untuk kepentingan umat dan kemanusiaan.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

وَقَدِمْنَا إِلَى مَا عَمِلُوا مِنْ عَمَلٍ فَجَعَلْنَاهُ هَبَاءً مَنْثُورًا

Maksud: “Dan Kami hadapi segala amal yang mereka kerjakan, lalu Kami jadikan amal itu (bagaikan) debu yang berterbangan.” (Surah al-Furqaan, 25: 23)

Wednesday, July 29, 2009

Menjawab Syubhat Artikel: “Islam Terapkan Amalan Demokrasi Pilih Pemimpin”

Menjawab Syubhat Artikel: “Islam Terapkan Amalan Demokrasi Pilih Pemimpin”

http://bahaya-syirik.blogspot.com

Artikel yang dimaksudkan adalah sebulan tulisan milik Yusamir Yusof atas Tajuk: “Islam Terapkan Amalan Demokrasi Pilih Pemimpin”. Rujuk: Akhbar Berita Harian, Bahagian Agama, m/s. 36, Tarikh: Sabtu/11 Julai 2009. atau boleh dicapai di sini:
Artikel (Klik).

Setelah melalui beberapa sesi perbincangan dan penelitian, maka artikel ini jelas menunjukkan beberapa jalan yang merancukan dan memiliki syubhat yang berbahaya.

Dari ini, saya mengharapkan supaya penulis artikel “Islam terapkan amalan demokrasi pilih pemimpin” dapat menilai semula penulisannya dan mempertimbangkan hujah-hujah yang dikemukakannya

Bagi meringkaskan tulisan, kita akan terus melihat beberapa perkara yang dimaksudkan daripada tulisan tersebut.

Bahagian 1 - Sejauh manakah benarnya tajuk yang diletakkan untuk artikel tersebut dengan pernyataan:

“Islam Terapkan Amalan Demokrasi Pilih Pemimpin”

Penulis turut mengulangi pernyataan yang sama di perenggan pertama tulisannya sebagai berikut, “Demokrasi adalah salah sebuah sistem yang datangnya dari keunggulan Islam. Namun sayang, ada dikalangan umat Islam sendiri keliru dan menolak sistem ini. Malahan menyatakan bahawa Demokrasi dari sistem Kufur dan batil. Kegagalan memahami inti-pati Demokrasi akan menyebabkan salah-faham yang besar dalam membawa sistem keadilan dalam pentas politik masa kini.”

Bantahan/Jawaban:

Demokrasi bukanlah sebuah sistem politik yang lahir daripada Islam. Ini dijelaskan sendiri oleh para pengamal dan pengkaji demokrasi. Malah turut diperakui oleh penulis sendiri melalui perkataannya: “Perkataan Demokrasi ini lahir daripada perkataan Yunani”.

Kata demokrasi adalah merujuk kepada perkataan Greek δημοκρατία (dimokratia) yang membawa maksud “pentadbiran oleh rakyat” (Rujuk: Demokratia, Henry George Liddell, Robert Scott, “A Greek-English Lexicon”, at Perseus,
http://www.perseus.tufts.edu/cgi-bin/ptext?doc=Perseus%3Atext%3A1999.04.0057%3Aentry%3D%2324422) yang mana terbina daripada perkataan δήμος (dēmos), yang merujuk kepada “masyarakat/rakyat” dan κράτος (kratos), “perundangan, atau penguasaan”. Ia mula dibentuk (diasaskan) kira-kira pada pertengahan abad ke 5 sebelum Masihi di dalam sistem pentadbiran Greek. Secara ringkasnya, demokrasi adalah suatu sistem di mana rakyat berkuasa terhadap pentadbiran yang dibentuk. (Rujuk: BBC History of democracy, http://www.bbc.co.uk/history/ancient/greeks/greekdemocracy_01.shtml)Demokrasi mula diasaskan dari falsafah Greece kuno. (Rujuk: John Dunn, Democracy: the unfinished journey 508 BC - 1993 AD, Oxford University Press, 1994. & Kurt A. Raaflaub, Josiah Ober, Robert W. Wallace, Origin of Democracy in Ancient Greece, University of California Press, 2007)

Orang yang pertama kali mengungkapkan teori demokrasi adalah Plato. Menurut Plato, sumber kekuasaan adalah keinginan yang satu, bukan majmuk. (Rujuk: Syaikh Muhammad bin Abdullah al-Imam, Menggugat Demokrasi & Pemilu, Darul Hadits (Depok), Cet. 3, 2004M, m/s. 33)

Demokrasi menurut tulisan Robert A. Dahl ialah “Sistem politik yang memberi kepada rakyat jelata untuk membuat keputusan secara terbuka”. (Rujuk: Muhammad Qutb, Mazahib Fikriyah Mu’assirah, jil. 1, m/s. 178, Dar as-Syuruq, 1984) Masyarakat yang mula-mula mengasaskan sistem demokrasi adalah masyarakat Greek (Yunan) di Kota Athens. (Rujuk: Muhammad Qutb, Mazahib Fikriyah Mu’assirah, m/s. 191, Dar as-Syuruq, 1984)Demokrasi mula diasaskan dari falsafah Greece kuno. (Rujuk: John Dunn, Democracy: the unfinished journey 508 BC - 1993 AD, Oxford University Press, 1994. & Kurt A. Raaflaub, Josiah Ober, Robert W. Wallace, Origin of Democracy in Ancient Greece, University of California Press, 2007)

Revolusi Francis tercetus dengan slogannya yang terkenal, “Kebebasan, Persaudaraan, & Persamaan (Liberte, Egalite, Fraternite). Francis memasukkan demokrasi ke dalam undang-undang dasarnya di bawah kolum “Hak-hak asasi manusia” pada pasal ketiga, “Rakyat adalah sumber dan gudang kekuasaan. Setiap lembaga atau individu yang memegang kuasa, sebenarnya dia mengambil kekuasaan tersebut daripada rakyat.” Pasal ini dimasukkan kembali di dalam undang-undang dasar tahun 1791M. Di sini disebutkan bahawa tahta kepimpinan adalah milik rakyat. Sistem ini tidak mengakui model pembahagian kuasa, pengunduran diri, atau pun meraih kuasa dengan cara pemberontakan.Kemudiannya, ideologi demokrasi ini turut dicantumkan (diterapkan) di dalam undang-undang dasar sebahagian negara Arab dan negara-negara Islam. Sebagai contoh, di Mesir ditetapkan di dalam undang-undang pertama tahun 1923 serta 1956. Dan pada tahun 1971 di dalam undang-undang tersebut terdapat teks yang menyebutkan antara lain bahawa: “Kepimpinan adalah milik rakyat dan rakyat adalah sumber kekuasaan menurut cara yang dijelaskan di dalam undang-undang.”b Pasal ini terdapat dalam undang-undang di hampir kesemua negara Arab dan negara Islam. Pasal seperti ini juga termaktub di dalam undang-undang Yaman (negara penulis). Sebagai contoh di dalam pasal empat disebutkan, “Rakyat adalah pemilik dan sumber kekuasaan. Kekuasaan itu boleh diperolehi secara langsung dengan cara pungutan suara atau melalui pemilihan umum. Demiian juga halnya dengan mencabut (menggugurkan) kuasa itu dapat dilakukan secara tidak langsung melalui lembaga legislatif (dewan rakyat), parlimen, dan eksekutif serta melalui majlis-majlis perwakilan yang dipilih.” (Rujuk: Syaikh Muhammad bin Abdullah al-Imam, Menggugat Demokrasi & Pemilu, Darul Hadits (Depok), Cet. 3, 2004M, m/s. 33-34) Akhirnya, terjadilah di mana persoalan pengaturan kehidupan manusia ini diletakkan di atas kerangka pemikiran dan ideologi masing-masing berdasarkan kekuatan majoriti. Dengan itu, prinsip-prinsip yang bersumberkan wahyu ditinggalkan sedikit-demi sedikit. Jika kita melihat kepada masyarakat demokratik barat, mereka begitu kuat dan gigih dalam usaha mempertahankan prinsip-prinsip seperti kebebasan, liberalisme dan sekularisme. Akhirnya mereka akan dibentuk agar menerima suatu corak kerangka idea (pemikiran) bahawa Tuhan hanyalah sekadar sebagai pencipta tetapi bukan sebagai yang memberikan perintah (yang menetapkan syari’at) serta perundangan atau sistem hidup.

Begitulah serba sedikit sejarah dan asal-usul perkembangan demokrasi. Langsung Islam tidak terlibat di dalam mengasaskannya. Malahan Islam sendiri tidak pernah menyeru ke arahnya. Jadi, siapakah yang keliru di sini sebagaimana yang didakwa oleh penulis?

عَنْ الْمُغِيرَةِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ
سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

إِنَّ كَذِبًا عَلَيَّ لَيْسَ كَكَذِبٍ عَلَى أَحَدٍ مَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنْ النَّارِ

Maksudnya: Daripada Mughirah radhiyallahu ‘anhu, beliau mendengar Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

Sesungguhnya berdusta ke atasku (menggunakan namaku) bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain (menggunakan nama orang lain). Sesiapa yang berdusta dengan sengaja menggunakan namaku , maka bersiaplah dengan tempat duduknya dalam neraka. (Hadis Riwayat al-Bukhari & Muslim. Rujuk: Shahih al-Bukhari, (بَاب مَا يُكْرَهُ مِنْ النِّيَاحَةِ عَلَى الْمَيِّتِ), 5/37, no. 1209. Shahih Muslim, (بَاب تَغْلِيظِ الْكَذِبِ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ), 1/13, no. 5)

Berdasarkan hadis ini, perlu kita fahami bahawa perbuatan sengaja berdusta tidak terbatas kepada orang yang mencipta hadis palsu semata-mata, tetapi juga termasuk mereka yang menyandarkan sesuatu ajaran, amalan, mahu pun ideologi ke atas baginda Shallallahu ‘alaihi wa Sallam atau Islam itu sendiri.

Dan Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

وَلا تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولَئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْئُولا

Maksudnya: Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak memiliki pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta untuk bertanggungjawab ke atasnya. (Surah al-Isra’, 17: 36)

Bahagian 2 – Penulis berkata:

Meskipun, pada zaman Nabi Muhammad SAW perkataan Demokrasi belum wujud. Namun, baginda telah menunjukkan nilai-nilai demokrasi dalam diri baginda. Lebih-lebih lagi apabila sesuatu perkara yang tidak mempunyai sandaran wahyu. Baginda bersikap demokrasi dengan mengambil pandangan-pandangan para sahabatnya, dan akan membuat keputusan berdasarkan suara majoriti.

Penulis turut menyatakan:

Nilai Demokrasi yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah diteruskan oleh para sahabatnya. Tanpa meninggalkan sebarang wasiat siapa penganti baginda, kewafatan baginda memberi petunjuk bahawa sistem Demokrasi harus dijalankan sepertimana ketika baginda masih hidup. Pada pemilihan Khalifah yang diadakan di dewan Bani Saadah, Madinah, Abu Bakar terpilih menjadi Khalifah pertama umat Islam berdasarkan sokongan majoriti di kalanngan para sahabat.

Bantahan/Jawaban:

Benarkah Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah menunjukkan nilai-nilai demorkasi? Sekali lagi kita lihat kembali makna demokrasi itu sendiri:

Secara ringkasnya, demokrasi adalah suatu sistem di mana rakyat berkuasa terhadap pentadbiran yang dibentuk. (Rujuk: BBC History of democracy, http://www.bbc.co.uk/history/ancient/greeks/greekdemocracy_01.shtml)

Dan slogan Demokrasi yang sangat terkenal adalah:

“Pemerintahan dari rakyat, oleh rakyat, dan untuk rakyat”

Melalui sistem politik demokrasi, setiap hasil dan hak pentadbiran (kuasa) diasaskan berdasarkan suara majoriti masyarakat atau rakyat. Adakah konsep ini pernah diasas, diamalkan atau pun diperjuangkan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam?

Tetapi, apa yang diperjuangkan Nabi adalah Tauhid dan menyeru umat manusia agar bertauhid, mengibadahi Allah Subhanahu wa Ta’ala.

وَلَقَدْ بَعَثْنَا فِي كُلِّ أُمَّةٍ رَسُولا أَنِ اعْبُدُوا اللَّهَ وَاجْتَنِبُوا الطَّاغُوتَ

Maksud: Dan sungguhnya Kami telah mengutus rasul pada tiap-tiap umat (untuk menyerukan): “Sembahlah Allah (saja), dan jauhilah Thaghut Itu”. (Surah an-Nahl, 16: 36)

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالإنْسَ إِلا لِيَعْبُدُونِ

Maksud: Dan tidaklah Aku menciptakan jin dan manusia itu melainkan untuk mengabdikan diri kepada-Ku. (Surah adz-Dzariyat, 51: 56)

Apabila kita memahami konsep seruan ini, maka sekali-kali tidaklah Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam itu menyeru supaya kita menegakkan sesuatu berdasarkan pungutan suara majoriti manusia/rakyat. Kerana, Allah Subhanahu wa Ta’ala sendiri berfirman:

قُلْ لا يَسْتَوِي الْخَبِيثُ وَالطَّيِّبُ وَلَوْ أَعْجَبَكَ كَثْرَةُ الْخَبِيثِ فَاتَّقُوا اللَّهَ يَا أُولِي الألْبَابِ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksud: Katakanlah: “Tidak sama yang buruk dengan yang baik, meskipun banyaknya yang buruk itu menarik hatimu, maka bertaqwalah kepada Allah wahai orang-orang yang berakal, agar kamu mendapat keberuntungan. (Surah al-Ma’idah, 5: 100)

وَإِنْ تُطِعْ أَكْثَرَ مَنْ فِي الأرْضِ يُضِلُّوكَ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ إِنْ يَتَّبِعُونَ إِلا الظَّنَّ وَإِنْ هُمْ إِلا يَخْرُصُونَ

Maksud: Dan jika kamu mengikuti (menuruti) kebanyakan orang-orang yang di muka bumi ini, niscaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Mereka tidak lain hanyalah mengikuti persangkaan belaka, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta (terhadap Allah). (Surah al-An’am, 6: 116)

Tetapi, apa yang dibawa oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam adalah sebuah agama yang suci bersih lagi murni, iaitu Islam:

إِنَّ الدِّينَ عِنْدَ اللَّهِ الإسْلامُ

Maksud: “Sesungguhnya agama (yang diredhai) di sisi Allah hanyalah Islam…” (Surah Ali Imran, 3: 19)

Dan agama ini telah pun sempurna sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala di dalam surah al-Ma’idah pada ayat yang ketiga, sekaligus menyangkal dakwaan bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam memerlukan kepada pungutan suara majoriti untuk persoalan agama tertentu.

Berkenaan dengan apa yang dimaksudkan oleh penulis sebagaimana di dalam tulisannya:

“...Lebih-lebih lagi apabila sesuatu perkara yang tidak mempunyai sandaran wahyu. Baginda bersikap demokrasi dengan mengambil pandangan-pandangan para sahabatnya, dan akan membuat keputusan berdasarkan suara majoriti.”

Mungkin apa yang dimaksudkan oleh penulis adalah amalan bermusyarah yang diamalkan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersama kalangan sahabat-sahabatnya.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

وَالَّذِينَ اسْتَجَابُوا لِرَبِّهِمْ وَأَقَامُوا الصَّلاةَ وَأَمْرُهُمْ شُورَى بَيْنَهُمْ

Maksud: Maka sesuatu yang diberikan kepadamu, itu adalah kenikmatan hidup di dunia; dan yang ada pada sisi Allah lebih baik dan lebih kekal bagi orang-orang yang beriman, dan hanya kepada Tuhan mereka, mereka bertawakkal. Dan (bagi) orang-orang yang menjauhi dosa-dosa besar dan perbuatan- perbuatan keji, dan apabila mereka marah mereka memberi maaf. Dan (bagi) orang-orang yang menerima (mematuhi) seruan Tuhannya dan mendirikan solat, sedang urusan mereka (diputuskan) dengan musyawarat di antara mereka; dan mereka menafkahkan sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka. (Surah asy-Syuura, 42: 38)

Dengan ini, apa yang lebih tepat adalah musyawarah. Bukanlah amalan demokrasi.

Melalui amalan musyawarah, hanya orang-orang yang beriman (yang mematuhi seruan Tuhannya) dan menjaga amalan solatnya akan diutamakan pendapatnya. Dan pendapat yang diambil bukanlah pendapat yang terbina daripada suara majoriti, tetapi adalah pendapat yang terbaik yang menepati syari’at.

Dari sini, jelas sekali bahawa amalan musyawarah berbeza sekali dengan amalan demokrasi itu sendiri. Di mana, melalui sistem politik demokrasi, pendapat atau keputusan yang diambil adalah berdasarkan suara majoriti dan pendapat adalah terhasil dari sejumlah manusia yang tidak diketahui sama sekali tahap keimanannya. Lebih-lebih lagi, politik ala demokrasi adalah lebih tertumpu kepada soal pertandingan dan pertaruhan. Maka, sama sekali tidak tepat lagi menyimpang jika mahu menyandarkan sistem demokrasi kepada sesuatu yang pernah diamalkan oleh Rasulullah.

Melalui ayat di atas tersebut, Allah turut menjelaskan ciri-ciri mereka yang menyertai musyawarah dan selayaknya diambil pendapatnya, iaitu sebagaimana berikut:

1 – Beriman.

2 – Bertawakkal.

3 – Menjauhi Dosa-dosa besar.

4 – Apabila marah, mereka memberi maaf.

5 – Patuh terhadap seruan Tuhannya.

6 – Mendirikan solat.

7 – Menafkahkan sebahagian rezeki yang diberikan oleh Allah kepadanya.

Juga Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

وَمَا أَرْسَلْنَا مِنْ قَبْلِكَ إِلا رِجَالا نُوحِي إِلَيْهِمْ فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِنْ كُنْتُمْ لا تَعْلَمُونَ

Maksud: Dan Kami tidak mengutus sebelum kamu, kecuali orang-orang lelaki yang Kami beri wahyu kepada mereka; maka bertanyalah kepada orang yang memiliki pengetahuan jika kamu tidak mengetahui. (Surah an-Nahl, 16: 43)

Demikianlah bahawa Allah mensyari’atkan amalan bermusyawarah. Dan mengambil pendapat dari kalangan orang yang memiliki pengetahuan serta beberapa ciri yang lain. Dan sekali-kali tidak sepatutnya menyerahkan sesuatu urusan atau perkara itu kepada manusia umum secara semberono yang tidak diketahui latar belakangnya sama sekali. Persoalan ini merujuk di dalam setiap bidang, sama ada di dalam urusan siayasah (politik), mahupun urusan lainnya secara umum.

Sebagai contoh, berikut disertakan nukilan daripada al-Hafiz Ibnu Katsir rahimahullah berkenaan ayat tersebut di dalam Tafsirnya:

ولهذا كان عليه [الصلاة] السلام، يشاورهم في الحروب ونحوها، ليطيب بذلك قلوبهم. وهكذا لما حضرت عمر بن الخطاب [رضي الله عنه] الوفاة حين طعن، جعل الأمر بعده شورى في ستة نفر، وهم: عثمان، وعلي، وطلحة، والزبير، وسعد، وعبد الرحمن بن عوف، رضي الله عنهم أجمعين، فاجتمع رأي الصحابة كلهم على تقديم عثمان عليهم، رضي الله عنهم

Maksud: Beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam selalu bermusyawarah dengan para sahabat di dalam permasalahan peperangan dan perkara yang seumpamanya, supaya hati mereka menjadi tenang. Demikian juga ketika kematian akan menjemput ‘Umar bin al-Khaththab radhiyallahu ‘anhu setelah beliau ditikam. Ketika beliau menyerahkan perkara (kekhalifahan) sesudahnya kepada hasil musyawarah dari enam orang sahabat (bukan diserahkan kepada suara majoriti – penulis -), iaitu ‘Utsman, ‘Ali, Thalhah, az-Zubair, Sa’d dan ‘Abdurrahman bin ‘Auf radhiyallahu ‘anhum. Maka para sahabat seluruhnya bersepakat untuk mengangkat ‘Utsman radhiyallahu ‘anhu. (Rujuk: Tafsir Ibnu Katsir)

Begitu jugalah ketika perlantikan Abu Bakar radhiyallahu ‘anhu menjadi khalifah. Di mana pemutusannya adalah berdasarkan hasil permusyawaratan dari kalangan sahabat-sahabat utama. Setelah hasil musyawarah diperolehi, barulah masyarakat dipanggil untuk tujuan pengumuman dan bai’ah. (Boleh dilihat dari tulisan: Syaikh Dr. Khalid Ali al-Anbary, Sistem Politik Islam, m/s. 141-142, Telaga Biru, Cet. 1, Mei 2008)

Begitulah Islam menunjukkan keunggulannya, di mana ia tidak menyerahkan urusan tertentu begitu sahaja kepada orang sembarangan.

Bahagian 3 - Berkenaan perkataan penulis:

“Namun, baginda telah menunjukkan nilai-nilai demokrasi dalam diri baginda. Lebih-lebih lagi apabila sesuatu perkara yang tidak mempunyai sandaran wahyu”.

Jawaban/Bantahan:

Perlu kita fahami bahawa setiap apa yang dilakukan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam adalah sentiasa di atas bimbingan dan perhatian wahyu. Dan kehidupan beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersama-sama para sahabatnya sentiasa mendapat perhatian dan pemantauan dari wahyu.

Sekiranya ada perkara yang memerlukan kepada pembetulan, pasti Allah akan menegur dan menyampaikan kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.

Dalam perkara ini, Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

وَمَا يَنْطِقُ عَنِ الْهَوَى (٣)إِنْ هُوَ إِلا وَحْيٌ يُوحَى (٤)عَلَّمَهُ شَدِيدُ الْقُوَى

Maksud: dan tiadalah yang diucapkannya itu menurut kemahuan hawa nafsunya. Ucapannya itu tiada lain hanyalah wahyu yang diwahyukan (kepadanya). yang diajarkan kepadanya oleh (Jibril) yang sangat kuat. (Surah an-Najm, 53: 3-5)

Berkata Imam al-Qurthubi di dalam tafsirnya berkenaan ayat ini menunjukkan adanya penjelasan bahawa as-Sunnah adalah wahyu yang diturunkan dari Allah Ta'ala.

Dan firman-Nya:

وَلَوْ تَقَوَّلَ عَلَيْنَا بَعْضَ اْلأَقَاوِيلِ لأَخَذْنَا مِنْهُ بِالْيَمِينِ . ثُمَّ لَقَطَعْنَا مِنْهُ الْوَتِينَ

Maksud: Seandainya dia (Muhammad) mengadakan sebahagian perkataan atas (nama) Kami, niscaya benar-benar Kami pegang dia pada tangan kanannya Kemudian benar-benar Kami potong urat tali jantungnya. (Surah al-Haqqah: 45-46)

Secara jelasnya dapat kita lihat dan fahami:

Adakah mungkin setelah ancaman yang keras ini Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berkata dan melakukan sesuatu dengan dasar hawa nafsu atau keinginannya semata-mata? Padahal beliau adalah seorang yang sangat jujur sekali, sekiranya begitu tidaklah mungkin beliau berkata dan berbuat atau menyetujui sesuatu yang bersangkutan dengan agama melainkan dengan pemberitahuan dan izin dari Allah Subhanahu wa Ta’ala dan tidak ada jalan untuk mendapatkan perkara tersebut dari seorang makhluk kepada penciptanya melainkan dengan jalan wahyu yang sudah tentunya menurut definisi syar’i.

Bahkan, setiap apa jua tindak tanduk Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam itu sendiri sentiasa menjadi perhatian dan direkodkan oleh para sahabat. Yang kemudiannya menjadi sumber hukum dan panduan serta tauladan.

Dalam perkara ini, terdapat firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا

Maksud: Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri tauladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut (mengingat) Allah. (Surah al-Ahzab, 33: 21)

Bahagian 4 – Penggunaan hadis yang silap di mana penulis menukilkan:

Dalam sebuah hadis yang direkodkan oleh Imam Muslim, bahawa Nabi Muhammad saw berkata, “Sebaik-baik para pemimpin kalian adalah pemimpin yang disayangi dan didoakan oleh kalian,dan pemimpin itu juga menyayangi dan mendoakan kalian.Manakala seburuk-buruk pemimpin adalah,pemimpin yang kalian kutuk dan benci dan mereka pula mengutuk dan membenci kalian.”

Bantahan/Jawaban:

Menggunakan hadis yang dimaksudkan sebagai hujjah untuk menyokong amalan demokrasi adalah sama sekali tidak tepat dan jauh menyimpang dari maksud sebenar hadis tersebut. Adapun hadis tersebut secara penuh adalah sebagaimana berikut:

عَنْ عَوْفِ بْنِ مَالِكٍ

عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ خِيَارُ أَئِمَّتِكُمْ الَّذِينَ تُحِبُّونَهُمْ وَيُحِبُّونَكُمْ وَيُصَلُّونَ عَلَيْكُمْ وَتُصَلُّونَ عَلَيْهِمْ وَشِرَارُ أَئِمَّتِكُمْ الَّذِينَ تُبْغِضُونَهُمْ وَيُبْغِضُونَكُمْ وَتَلْعَنُونَهُمْ وَيَلْعَنُونَكُمْ قِيلَ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَفَلَا نُنَابِذُهُمْ بِالسَّيْفِ فَقَالَ لَا مَا أَقَامُوا فِيكُمْ الصَّلَاةَ وَإِذَا رَأَيْتُمْ مِنْ وُلَاتِكُمْ شَيْئًا تَكْرَهُونَهُ فَاكْرَهُوا عَمَلَهُ وَلَا تَنْزِعُوا يَدًا مِنْ طَاعَةٍ

Maksud: Daripada ‘Auf bin Malik radhiyallahu ‘anhu, daripada Raulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam beliau berkata:

Pemimpin-pemimpin pilihan di antara kamu semua ialah orang-orang yang kamu semua mencintai mereka dan mereka pun mencintaimu semua, juga yang kamu semua mendoakan kebaikan untuk mereka dan mereka pun mendoakan kebaikan untuk kamu semua.

Adapun pemimpin-pemimpin yang jahat di antara kamu ialah orang-orang yang kamu membenci mereka dan mereka pun membenci pada kamu semua, juga yang engkau semua melaknat mereka dan mereka pun melaknat kamu semua.”

‘Auf berkata: “Kami para sahabat lalu berkata: “Ya Rasulullah, apakah kita tidak boleh menentang kepada pemimpin-pemimpin yang sedemikian itu? Beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda: “Jangan menentang mereka dengan pedang, selama mereka masih tetap mendirikan solat di kalanganmu semua. Jika kamu melihat pada pemimpin kamu sesuatu yang kamu benci, maka bencilah perbuatan tersebut akan tetapi, janganlah kamu menarik ketaatan (daripada pemimpin tersebut). (Hadis Riwayat Muslim, Shahih Muslim, 9/403, (بَاب خِيَارِ الْأَئِمَّةِ وَشِرَارِهِمْ), no. 3447)

Bahkan hadis ini sendiri menjelaskan tentang soal ketaatan dan larangan menentang pemimpin. Yang lebih jelas, ianya sama sekali tidak mendukung sistem demokrasi, bahkan menafikannya.

Sekaligus bertentangan dan menolak pernyataan penulis yang berikut:

Manakala bagi calon-calon yang tidak berdidikasi, pentingkan diri sendiri dan tidak pandai mengurus kepimpinan, akan ditolak oleh rakyat. Inilah ciri-ciri yang ada dalam Sistem Demokrasi yang sentiasa menyalurkan pelbagai saluran seperti, pemilihan umum, meminta pandangan rakyat, mengutamakan suara majoriti, mempelbagaikan parti politik agar berlaku kesimbangan.

Syaikh Syafiyurrahman al-Mubarakfuri rahimahullah berkata setelah membawakan beberapa dalil dari hadis-hadis termasuk hadis di atas, katanya:

Nash-nash ini dengan jelas melarang untuk keluar dari ketaatan kepada pemimpin, walau pun dalam tindakannya bercampur di antara yang halal dan haram. Walau pun dia berhak atas laknatnya kaum muslimin sekali pun, dibenci kaumnya dan dia pun membenci mereka. Dilarang untuk keluar darinya selama dia masih menjadi sebahagian dari kaum muslimin (umat Islam). Bahkan setiap Muslim wajib taat, patuh, dan bersabar di atas kebencian kepadanya. Membenci pemimpin yang berlaku seperti itu dengan hati dan mengingkarinya dengan lisan. Semua itu sudah cukup, tidak perlu ditambah lagi. Sebab, jika kita melakukan perkara itu akan selamatlah kita dari kerosakan di dunia dan selamat dari azab di akhirat kelak. Namun, siapa yang redha dan mengikutinya bererti dia telah bersekutu dengannya di dalam dosa dan kemaksiatan.

Jika kita letakkan pedoman (panduan) ini, yang merupakan kemaslahatan bagi umat Islam ini di tapak tangan. Lalu kita letakkan juga panduan hukum demokrasi yang berdiri di atas dasar pilihanraya dan kehadiran para pendukungnya (serta pesaingnya) dari pelbagai parti politik yang berbeza-beza di tapak tangan yang satu lagi, maka kita dapati dua hukum itu saling bertentangan. Kita dapati sebuah perbezaan yang besar di antara keduanya. (Syaikh Syafiyurrahman al-Mubarakfuri, Islam & Parti Politik, m/s. 88, Pustaka at-Tazkia, Cet. 1 Dzulqa’edah 1429/November 2008M (Jakarta))

Hadis ini turut disentuh oleh imam Abil ‘Izz al-Hanafi rahimahullah ketika mensyarahkan perkataan imam Abu Ja’afar ath-Thahawi dengan katanya:

“Ada pun kewajiban untuk mentaati mereka (bukan dalam persoalan maksiat) walau pun mereka melakukan kezaliman adalah sesuatu yang disyari’atkan, kerana keluar dari ketaatan kepada mereka (pemerintah/penguasa) akan melahirkan kerosakan yang belipat kali ganda dibandingkan dengan kezaliman mereka sendiri. Malah, bersabar terhadap kezaliman mereka dapat meleburkan dosa-dosa dan dapat melipat gandakan pahala. Kerana Allah tidak akan menaikkan penguasa ke atas diri kita melainkan disebabkan oleh kerosakan amal perbuatan kita juga. Ganjaran itu bergantung kepada amal perbuatan. Maka, hendaklah kita bersungguh-sungguh memohon keampunan, bertaubat, dan memperbaiki amal-amal perbuatan.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

“Dan apa sahaja musibah yang menimpa kamu, maka adalah disebabkan oleh perbuatan tangan kamu sendiri, dan Allah memaafkan sebahagian besar (dari kesalahan-kesalahan).” (Surah asy-Syura, 42: 30)

“Dan demikianlah Kami jadikan sebahagian orang-orang yang zalim itu menjadi teman bagi sebahagian yang lain disebabkan apa yang mereka usahakan.” (Surah al-An’am, 6: 129)

(Dengan ini) apabila rakyat ingin selamat dari kezaliman para pemimpin mereka, hendaklah mereka meninggalkan kezaliman itu juga.” (Rujuk: Tahzib Syarh ath-Thahawiyah, jil. 2, m/s. 199-200, Pustaka at-Tibyan, Cet. 4 Jun 2002M (Solo))

Bahagian 5 – Penulis berkata:

Inilah ciri-ciri yang ada dalam Sistem Demokrasi yang sentiasa menyalurkan pelbagai saluran seperti, pemilihan umum, meminta pandangan rakyat, mengutamakan suara majoriti, mempelbagaikan parti politik agar berlaku kesimbangan.

Bantahan/Jawaban:

Dijawab secara ringkas berpandukan point,

1 - Berkenaan “Pemilihan umum”

Di dalam hukum politik Islam, pemimpin dipilih dan diangkat oleh sekumpulan orang yangg baik agamanya, cemerlang pemikirannya dan berilmu dalam urusan agama dan selainnya (Ahl al-Hal wa al-‘Aqdi). Manhaj kepimpinan pula ditentukan oleh Syari'at Islam. Kedua-dua perkara ini tidak boleh diserahkan kepada rakyat... (Rujuk: Hafiz Firdaus Abdullah, Mari Berkenalan Dengan ASWJ, m/s. 261, Jahabersa, Cet. 1, 2007 (Johor Bahru))

Pemimpin dipilih berdasarkan pembai’ahan Ahl al-Hal wa al-‘Aqd. Terdapat tiga ciri yang disyaratkan bagi golongan ini:

1 – Keadilan.

2 – Memiliki ilmu yang luas.

3 – Pandangan yang luas serta kebijaksanaan yang membolehkan mereka memilih orang yang paling layak bagi memegang jawatan khalifah (pemimpin) dan menguruskan kepentingan masyarakat. (Syaikh Dr. Khalid Ali al-Anbary, Sistem Politik Islam, m/s. 141, Telaga Biru, Cet. 1, Mei 2008)

Selain itu, para ulama turut membahaskan berkenaan pemerintah atau pemimpin yang naik memerintah dengan cara kekerasan.

Di mana mereka membuat kesimpulan bahawa:

Sesiapa yang menggunakan kekerasan, kemudian dia dapat menguasai pemerintahan dan kemudian pemerintahan itu kekal di tangannya, maka dia merupakan seorang imam yang wajib diberi bai’ah dan ketaatan serta haram dipecat dan diingkari perintahnya walau pun tidak terkumpul segala syarat seorang khalifah pada dirinya. (Rujuk: Syaikh Abdus Salam B. Barjas, Manhaj Ahlus Sunnah wal-Jama’ah Dalam Bersikap Terhadap Penguasa dan Pemerintah, m/s. 34, Najla Press, Cet. 1, Mei 2003. Rujuk juga: Syaikh Dr. Khalid Ali al-Anbary, Sistem Politik Islam, m/s. 219, Telaga Biru, Cet. 1, Mei 2008)

Al-Imam Ahmad berkata:

Sesiapa yang dapat menguasai umat Islam dengan kekuatannya sehingga menjadi khalifah dan seterusnya diberi gelaran Amirul Mukminin, tidak harus bagi seseorang yang mengaku beriman dengan Allah dan hari Kiamat bermalam dalam keadaan tidak mengakuinya sebagai seorang imam, sama ada dia seorang yang baik atau pun jahat. (Abu Ya’ala, al-Ahkam al-Sulthaniyah. Lihat: Syaikh Dr. Khalid Ali al-Anbary, Sistem Politik Islam, m/s. 219, Telaga Biru, Cet. 1, Mei 2008)

2 - Mengutamakan Meminta pandangan rakyat, Mengutamakan Suara Majoriti

Dalam persoalan ini, Pandangan rakyat boleh boleh diambil kira. Tetapi ia bukanlah sebuah penentu yang mutlak berdasarkan syari’at Islam, berbeza dengan apa yang diamalkan di dalam sistem demokrasi yang meletakkan suara majoriti rakyat sebagai penentu bahkan bersifat mutlak. Islam adalah agama yang berpandukan kepada wahyu dan membenarkan musyawarah dengan mengambil pandangan dari mereka yang layak.

Ini adalah sebagaimana yang telah dijelaskankan di atas.

Dijelaskan dengan firman Allah (maksudnya):

Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Ikutilah apa yang telah diturunkan Allah”, mereka menjawab: “(Tidak), tetapi kami hanya mengikuti apa yang telah kami dapati dari (perbuatan) nenek moyang kami”. “(Adakah mereka akan mengikuti juga), walau pun nenek moyang mereka itu tidak mengetahui suatu apa pun, dan tidak mendapat petunjuk?”.” (Surah al-Baqarah, 2: 170)

Dan jika kamu mengikuti (menuruti) kebanyakan orang-orang yang di muka bumi ini, niscaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah. (Surah al-An'am, 6: 116)

3 - Mempelbagaikan parti politik supaya berlaku keseimbangan.

Kepelbagaian parti politik yang wujud pada hari ini sebenarnya bukan mengarah kepada keseimbangan. Malahan mengarah kepada sebuah perpecahan dan pertelingkahan. Lebih parah lagi, mengajak kepada ketaksuban dan sikap fanatik atas dasar parti dan menjauhi kebenaran.

Allah subhanahu wa Ta’ala berfirman:

وَلا تَكُونُوا كَالَّذِينَ تَفَرَّقُوا وَاخْتَلَفُوا مِنْ بَعْدِ مَا جَاءَهُمُ الْبَيِّنَاتُ وَأُولَئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ

Maksud: Dan janganlah kamu menyerupai orang-orang yang bercerai-berai dan berselisih sesudah datang keterangan yang jelas kepada mereka. Mereka itulah orang-orang yang mendapat siksa yang berat. (Surah Ali Imran, 3: 105)

Sungguh banyak ayat-ayat al-Qur’an yang menjelaskan bahawa betapa Allah mencela perpecahan. Sekaligus memerintahkan supaya bersatu.

Di antaranya,

وَلَوْ شَاءَ رَبُّكَ لَجَعَلَ النَّاسَ أُمَّةً وَاحِدَةً وَلا يَزَالُونَ مُخْتَلِفِينَ (١١٨)إِلا مَنْ رَحِمَ رَبُّكَ وَلِذَلِكَ خَلَقَهُمْ

Maksud: Jikalau Tuhanmu menghendaki, tentu Dia menjadikan manusia umat yang satu, tetapi mereka sentiasa berselisih pendapat, kecuali orang-orang yang diberi rahmat oleh Tuhanmu. Dan untuk itulah Allah menciptakan mereka. (Surah Hud, 11: 118-119)

Syaikh Syafiyurrahman al-Mubarakfuri rahimahullah berkata:

Perpecahan adalah salah satu kesan besar yang ditimbulkan oleh parti-parti politik. Bahkan perpecahan merupakan asas dasar daripada kepartian. Sebagaimana yang diketahui, perpecahan dari pelbagai bentuk apa pun dan perselisihan atas dasar apa pun tidak patut dan tidak layak dalam Islam serta tidak mendatangkan manfaat apa pun melainkan malapetaka bagi kaum muslimin. Dosa dan bahayanya lebih besar daripada mafaatnya serta kerosakannya lebih besar dari maslahatnya. (Syaikh Syafiyurrahman al-Mubarakfuri, Islam & Parti Politik, m/s. 43, Pustaka at-Tazkia, Cet. 1 Dzulqa’edah 1429/November 2008M (Jakarta))

Melalui sistem demorkasi yang wujud hari ini juga, telah membuktikan kepada kita betapa hancurnya sebuah ikatan yang disusun melalui syari’at Islam yang disebut sebagai al-Wala’ wal Bara’. Dalam perkara ini, ia telah menjelaskan kepada kita bagaimana untuk bermu’amalah dan berhubungan dengan sesama umat Islam, dengan orang kafir, orang fasiq, ahli bid’ah, dengan pemerintah, ahli maksiat, dan seterusnya. Islam itu sangat teliti dan sempurna. (Rujuk: Perbahasan al-Wala’ wal Bara’)

Salah satu dari bukti keluhuran Islam adalah mengatur tatanan kehidupan sosial dengan peraturan yang sangat sempurna dan menyeluruh, mengikat umatnya yang beriman sesama mereka dengan ikatan yang kuat yang dipenuhi dengan rasa kasih dan sayang serta persaudaraan. Mewajibkan untuk saling peduli sesama kaum Muslimin dengan tolong-menolong, saling melindungi dan menekankan untuk melakukan perkara-perkara yang dapat menyatukan kehidupan sosial mereka. Memberikan kepada mereka peraturan hukum yang telah beku dan pasti, yang tidak memerlukan lagi hukum lain yang dimasukkan ke dalam peraturan hukum Islam itu sendiri.

Allah subhanahu wa Ta’ala telah menunjukka kepada kaum muslimin tentang ikatan yang kuat melalui firman-Nya:

وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ يَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَيُقِيمُونَ الصَّلاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَيُطِيعُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ أُولَئِكَ سَيَرْحَمُهُمُ اللَّهُ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

Maksud: Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang ma'ruf, mencegah dari yang munkar, mendirikan shalat, menunaikan zakat dan mereka taat pada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. (Surah at-Taubah, 9: 71)

Dengan ini, Syaikh Syafiyurrahman al-Mubarakfuri rahimahullah menjelaskan:

Jika Islam telah mengikat semua lapisan masyarakatnya dengan ikatan wala’ dan persaudaraan, maka yang pertama harus dilakukan adalah mencegah segala sesuatu yang dapat mengotori kejernihannya dan membersihkan segala bentuk perosak persaudaraan yang telah terjalin.

Sementara itu, berkenaan peraturan yang menjadi dasar parti politik, maka sudah menjadi kelaziman bahawa sistem peraturan tersebut membolehkan bagi setiap parti memperbanyakkan sokongan (meraih undi) untuk mendukungnya dan bersaing di dalam pilihanraya. (Syaikh Syafiyurrahman al-Mubarakfuri, Islam & Parti Politik, m/s. 69, Pustaka at-Tazkia, Cet. 1 Dzulqa’edah 1429/November 2008M (Jakarta))

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

إِنَّ الَّذِينَ فَرَّقُوا دِينَهُمْ وَكَانُوا شِيَعًا لَسْتَ مِنْهُمْ فِي شَيْءٍ إِنَّمَا أَمْرُهُمْ إِلَى اللَّهِ ثُمَّ يُنَبِّئُهُمْ بِمَا كَانُوا يَفْعَلُونَ

Maksud: Sesungguhnya orang-orang yang memecah-belah agama-Nya dan mereka menjadi berpuak-puak, tidak ada sedikit pun tanggungjawabmu kepada mereka. Sesungguhnya urusan mereka hanyalah terserah kepada Allah, kemudian Allah akan memberitahukan kepada mereka apa yang telah mereka perbuat. (Surah al-An’am, 6: 159)

Dan telah jelas dari dalil-dalil al-Qur’an dan hadis yang lain bahawa umat Islam diperintahkan untuk sentiasa taat kepada pemimpinnya. Sekaligus secara asasnya, adalah dilarang untuk berpecah-belah dan melakukan pelbagai usaha untuk menjatuhkan pemimpin yang sedia ada.

Dan Islam telah memiliki cara yang lebih baik lagi tersendiri bagi tujuan memperbaiki keadaan apabila berhadapan dengan para pemimpin yang zalim atau seumpamanya. Maka, hal itu perlulah diteliti dengan baik. Bukan terus lantang mahu menukar dan menggulingkan pemimpin yangs edia ada.

Ketika Syaikh al-Albani rahimahullah mengulas perkataan imam Abu Ja’afar ath-Thahawi dan syarah oleh imam Abil ‘Izz, beliau menjelaskan:

“Dengan itu, jelaslah bagaimana cara menghilangkan kezaliman yang dilakukan oleh para penguasa yang satu kulit dan satu bahasa dengan kita. Caranya, kaum muslimin (umat Islam) mestilah bertaubat kepada Allah, memurnikan aqidah, dan mendidik diri serta keluarga mereka dengan pendidikan Islam secara benar. Perkara tersebut adalah sebagai usaha dengan berpandukan kepada firman Allah Subhanahu wa Ta’ala berikut:

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sehinggalah mereka sendiri yang mengubah keadaan yang ada pada diri mereka.” (Surah ar-Ra’d, 7: 11)

Bertepatan dengan perkara persebut, ada seorang da’i (pendakwah) di zaman kita ini berkata, “Tegakkanlah daulah Islam di dalam hati-hati kamu, maka daulah Islam itu pun kemudiannya akan tertegak di atas muka bumi”.

Jadi, di dalam menyelesaikan masalah tersebut bukanlah dengan kaedah-kaedah seperti yang diguna-pakai sebahagian orang, iaitu dengan memberontak dan memerangi penguasa. Kerana, perkara tersebut di samping termasuk ke dalam bentuk bid’ah, ia juga bertentangan dengan nash-nash syar’i yang mana memerintahkan kita untuk mengadakan perubahan pada masyarakat dengan cara yang baik. Dalam persoalan ini, kita juga perlu memehami sebuah prinsip:

“Sesungguhnya Allah pasti menolong orang yang menolong (agama)-Nya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa.” (Surah al-Hajj, 22: 40) (Rujuk: Syarah dan Taqliq Syaikh al-Albani ke atas Aqidah ath-Thahawiyah)

Satu kaedah di dalam Islam dalam berhadapan dengan pemimpin yang melakukan maksiat atau berbuat zalim adalah dengan memberi nasihat dan bertemu dengannya.

Telah berkata Ibnul Asir: “Nasihat ialah suatu ungkapan daripada sepotong ayat iaitu berkehendakkan kebaikan kepada yang dinasihatkan baginya, dan tidak mungkin diungkapkan dari makna ini bersama makna yang lain. Asal makna nasihat dalam bahasa ialah suci.” (Dinukil dari Syaikh Dr. Khalid Ali al-Anbary, Sistem Politik Islam, m/s. 212-213, Telaga Biru, Cet. 1, Mei 2008)

Imam Ibnu Rejab al-Hanbali rahimahullah berkata:

“Ada pun nasihat untuk para pemimpin kaum Muslimin maka ia adalah cintakan kebaikan untuk mereka, petunjuk untuk mereka dan keadilan mereka, menyukai sokongan rakyat ke atas mereka, membenci perpecahan umat kepada mereka, mematuhi ajaran agama, suka memuliakan mereka kerana mentaati Allah, membantu mereka dalam kebenaran, taat kepada mereka dalam perkara yang haq, marah kepada orang yang membelot dari mereka, dan cinta kepada usaha mereka di dalam urusan berbuat taat kepada Allah ‘Azza wa Jalla. Membantu mereka dengan kebenaran, menyedarkan mereka dengan lemah lembut, mengelakkan daripada menentang mereka dan mendoakan kejayaan (kebaikan) untuk mereka.” (Rujuk: Ibnu Rejab al-Hanbali, Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam, m/s. 172 dan 173, Darul Falah, Cet. 2 Rejab 1427H/Julai 2006M)

Imam Muhyiddin an-Nahhas rahimahullah berkata:

Bila yang mahu dicegah adalah kemugkaran yang dilakukan oleh penguasa, maka tidak ada seorang pun yang berhak melarangnya dengan cara paksa dengan tangan, atau mengangkat pedang, atau menjadi sekutunya, kerana perkara tersebut akan menyebabkan munculnya fitnah, menimbulkan kejahatan, menjatuhkan kewibaan penguasa di dalam hati rakyatnya, kemungkinan perkara tersebut akan menimbulkan pembangkangan dan menganggu keamanan negara, serta seumpamanya.

Ada pun cara menyampaikan nasihat kepada penguasa yang melakukan kemungkaran dengan cara mencaci dan mengungkapkan kata-kata yang kasar seperti dengan perkataan: “Wahai orang zalim, wahai orang jahat, wahai orang fasiq, wahai orang yang tidak takut Allah”, dan perkataan kasar lainnya, maka hendaklah dia melihat terlebih dahulu, bila ia tahu bahawa perkataannya tersebut akan memberi kesan buruk kepada orang, maka dia tidak boleh melakukannya di hadapan yang lain, bila mana dia hanya mengkhawatirkan dirinya, maka dia dibolehkan untuk melakukannya, bahkan disunnahkan, kerana perbuatan itu akan mendorongnya untuk menjadi seorang syahid. (Imam Muhyiddin an-Nahhas, Tanbihul Ghafilin, m/s. 112, Pustaka as-Sunnah, Cet. 1 Ogos 2007M)

Terdapat beberapa hadis yang menjelaskan persoalan ini. Di antaranya adalah:

فَقَالَ عِيَاضُ بْنُ غَنْمٍ يَا هِشَامُ بْنَ حَكِيمٍ قَدْ سَمِعْنَا مَا سَمِعْتَ وَرَأَيْنَا مَا رَأَيْتَ أَوَلَمْ تَسْمَعْ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَنْ أَرَادَ أَنْ يَنْصَحَ لِسُلْطَانٍ بِأَمْرٍ فَلَا يُبْدِ لَهُ عَلَانِيَةً وَلَكِنْ لِيَأْخُذْ بِيَدِهِ فَيَخْلُوَ بِهِ فَإِنْ قَبِلَ مِنْهُ فَذَاكَ وَإِلَّا كَانَ قَدْ أَدَّى الَّذِي عَلَيْهِ لَهُ

Maksud: Maka berkata ‘Iyadh B. Ghanm, wahai Hisyam bin Hakim, kami telah mendengar apa yang engkau dengar dan kami melihat apa yang engkau lihat, adakah engkau tidak (belum) mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

Sesiapa yang mahu menasihati sultan (pemimpin) di dalam sesuatu urusan, janganlah dia melakukannya secara terang-terangan. Akan tetapi hendaklah dia mengambil tangan pemerintah tersebut dan ajaklah (nasihatilah) dia secara rahsia. Jika dia (pemimpin) menerima (nasihat) maka itulah yang diharapkan. Sekiranya dia tidak menerima (nasihat) maka sesungguhnya dia (pemberi nasihat) telah melaksanakan tanggungjawabnya. (Hadis Riwayat Ahmad, Musnad Ahmad, no. 14792. Disahihkan oleh al-Albani, di dalam Zhilalil Jannah, (باب كيف نصيحة الرعية للولاة), no. 1096. Begitu juga di dalam Mu’amalatul Hukkam fi Dhauil Kitab was Sunnah, Syaikh Abdus Salam B. Barjas turut menjelaskan kesahihan hadis ini dengan membawakan beberapa jalan periwayatan dan penguat serta turut menukilkan pensahihan oleh al-Haitsami di dalam Majma’ az-Zawa’id, 5/229)

Bahagian 6 – Penulis menyatakan:

Islam menyerang dan menolak kepimpinan yang autokratik dan zalim. Pemimpin yang tidak dapat menerima pandangan dan kritikan adalah pemimpin yang tidak layak diangkat sebagai calon pada pemilihan raya akan datang. Berdasarkan sebuah hadis direkodkan oleh Tabrani dan juga dalam Sahih al-Jami’ as-Soghir, bahawa Nabi Muhammad mengambarkan pemimpin yang tidak boleh dikritik dan ditegur sebagai kera yang melompat.

Selain itu, Islam juga menolak dan menyanggah rakyat yang memilih dan mendokong pemimpin yang zalim dan dikenali dengan kejahatannya dan penentangannya terhadap Allah dan Rasul. Allah telah menceritakan bagaimana Dia telah menghancurkan kaum Ad yang menuruti perintah penguasanya yang menentang Allah dan Rasul. Firman Allah, “Dan itulah (kisah) kaum 'Ad yang mengingkari tanda-tanda kekuasaan Tuhan mereka, dan menderhakai rasul-rasul Allah dan mereka menuruti perintah semua penguasa yang sewenang-wenang lagi menentang (kebenaran).” (Surah Hud 11: 59)

Jawaban/Bantahan:

Peringatan yang dijelaskan oleh nash-nash yang sahih terhadap para pemimpin yang berlaku zalim atau maksiat tidaklah menunjukkan bahawa para rakyat berhak untuk bermudah-mudah melakukan kritikan kepada para pemimpin yang sedia ada. Sekaligus, tidak pula dengan mudah untuk menjatuhkan atau menukar ganti pemimpin yang sedia ada dengan pemimpin yang lainnya.

Sebagaimana yang telah dijelaskan, kaedah yang telah digariskan oleh as-Sunnah di dalam menghadapi para pemimpin yang bertindak di atas dasar kejahatan dan maksiat adalah dengan nasihat, doa serta kesabaran.

Syaikh Abdus Salam B. Barjas rahimahullah menjelaskan:

Kesabaran di dalam menghadapi penguasa adalah salah satu prinsip dari prinsip-prinsip Ahlus Sunnah wal Jama’ah. Hampir tidak ada seorang pengarang dari Ahlus Sunnah yang tidak menetapkan prinsip ini, bahkan menganjurkannya.

Ini adalah termasuk salah satu keistimewaan syari’at Islam. Sesungguhnya perintah untuk bersabar di dalam menghadapi kezaliman dan keterlampauan penguasa dapat mendatangkan maslahah dan menolak mudharat yang mana perkara tersebut menjadi asas kepada wujudnya kesejahteraan rakyat dan negara. (Rujuk: Syaikh Abdus Salam B. Barjas, Manhaj Ahlus Sunnah wal-Jama’ah Dalam Bersikap Terhadap Penguasa dan Pemerintah, m/s. 149, Najla Press, Cet. 1, Mei 2003)

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

فَاصْبِرْ كَمَا صَبَرَ أُولُو الْعَزْمِ مِنَ الرُّسُلِ وَلا تَسْتَعْجِلْ لَهُمْ

Maksud: Maka bersabarlah kamu seperti orang-orang yang mempunyai keteguhan hati dari rasul-rasul telah bersabar dan janganlah kamu meminta disegerakan (azab) bagi mereka. (Surah al-ahqaf, 46: 35)

Di dalam kitab asy-Syari’ah oleh al-Ajuri menyebutkan sebuah riwayat dari Amr B. Yazid bahawasanya dia berkata, “Pada masa pemerintahan Yazid al-Muhallab, aku mendengar al-Hasan berkata bahawa telah datang sekelompok manusia kepadanya, lalu dia menyuruh mereka supaya tetap berada di dalam rumah mereka dan menutup pintu-pintunya. Lalu berkata lagi, “Demi Allah, seandainya manusia bersabar ketika diuji dengan keadaan penguasanya, pastilah Allah Subhanahu wa Ta’ala akan segera mengangkat unjian tersebut! Demikian itulah keadaan mereka yang berlindung dan pasrah di bawah kilatan pedang. Demi Allah, tidak pernah ada hari yang lebih baik daripada keadaan yang demikian”.

Kemudian beliau membawakan firman Allah:

وَتَمَّتْ كَلِمَةُ رَبِّكَ الْحُسْنَى عَلَى بَنِي إِسْرَائِيلَ بِمَا صَبَرُوا وَدَمَّرْنَا مَا كَانَ يَصْنَعُ فِرْعَوْنُ وَقَوْمُهُ وَمَا كَانُوا يَعْرِشُونَ

Maksud: Dan telah sempurnalah perkataan Tuhanmu yang baik (sebagai janji) untuk Bani Israel disebabkan kesabaran mereka. Dan kami hancurkan apa yang telah dibina oleh mereka. (Surah al-A’raaf, 7: 137)”

Hasan berkata lagi, “Ketahuilah sesungguhnya kezaliman penguasa adalah sebahagian dari siksaan Allah Subhanahu wa Ta’ala, sedangkan siksaan Allah tersebut tidak boleh dihadapi dengan pedang, tetapi diatasi dan ditolak dengan doa, taubat, dan kembali kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala, serta menahan diri dari perbuatan dosa!” (Rujuk: Syaikh Abdus Salam B. Barjas, Manhaj Ahlus Sunnah wal-Jama’ah Dalam Bersikap Terhadap Penguasa dan Pemerintah, m/s. 150-151, Najla Press, Cet. 1, Mei 2003)

Imam al-Barbahari rahimahullah turut menjelaskan:

“Jika kamu melihat orang yang berdoa keburukan kepada pemimpin, ketahuilah bahawa dia termasuk salah seorang pengikut hawa nafsu, namun bila kamu melihat orang yang berdoa untuk kebaikan seseorang pemimpin, ketahuilah bahawa dia tergolong sebagai seorang ahli sunnah, insyaAllah.Fudhail bin Iyadh berkata, “Jika aku mempunyai doa yang baik yang makbul, maka semuanya akan aku persembahkan (pohonkan) untuk pemerintah.” Ia ditanya, “Wahai Abu Ali, jelaskan maksud ucapan tersebut?” Beliau berkata, “Bila doa itu hanya aku tujukan untuk diriku, tidak lebih hanya bermanfaat untuk diriku, namun bila aku pohonkan untuk pemimpin dan ternyata para pemimpin berubah menjadi baik, maka semua orang dan negara merasakan manfaat dan kebaikan.”

Kita diperintahkan untuk mendoakan mereka dengan kebaikan bukannya keburukan, walau pun dia seorang pemimpin yang zalim lagi jahat kerana kezaliman dan kejahatan akan kembali kepada diri mereka sendiri sementara bila mereka (pemimpin) menjadi baik maka mereka dan seluruh kaum muslimin akan merasakannya.” (Imam al-Barbahari, Syarhus Sunnah, Tahqiq Syaikh Khalid bin Qasim al-Roddadiy, Edisi Terjemahan Terbitan Dar El-Hijrah, Cet. Pertama, 1423H/2002M, m/s. 83-84)

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ

عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ كَرِهَ مِنْ أَمِيرِهِ شَيْئًا فَلْيَصْبِرْ عَلَيْهِ فَإِنَّهُ لَيْسَ أَحَدٌ مِنْ النَّاسِ خَرَجَ مِنْ السُّلْطَانِ شِبْرًا فَمَاتَ عَلَيْهِ إِلَّا مَاتَ مِيتَةً جَاهِلِيَّةً

Maksud: Daripada Ibnu ‘Abbas, daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, beliau bersabda:

Sesiapa yang tidak menyukai sesuatu yang ada pada diri penguasanya, maka hendaklah bersabar. Sesungguhnya sesiapa yang memisahkan diri dari dari ketaatan kepada penguasa, maka matinya seperti mati jahiliyah. (Hadis Riwayat Muslim, Shahih Muslim, (بَاب فِي طَاعَةِ الْأُمَرَاءِ وَإِنْ مَنَعُوا الْحُقُوقَ), no. 3439)

Bahagian 7 - Penulis menyatakan:

Selain itu, Islam juga menolak dan menyanggah rakyat yang memilih dan mendokong pemimpin yang zalim dan dikenali dengan kejahatannya dan penentangannya terhadap Allah dan Rasul.

Bantahan/Jawaban/Pencerahan:

Sebenarnya ini adalah suatu yang benar, namun dari sini bukanlah suatu yang membenarkan kita untuk mengambil sistem demorkasi lalu menggunakannya untuk mengganti atau menjatuhkan pemimpin yang sedia ada. Kerana dalam perkara ini, terdapat beberapa hadis, di antaranya adalah:

عَنْ أُمِّ سَلَمَةَ زَوْجِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ إِنَّهُ يُسْتَعْمَلُ عَلَيْكُمْ أُمَرَاءُ فَتَعْرِفُونَ وَتُنْكِرُونَ فَمَنْ كَرِهَ فَقَدْ بَرِئَ وَمَنْ أَنْكَرَ فَقَدْ سَلِمَ وَلَكِنْ مَنْ رَضِيَ وَتَابَعَ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ أَلَا نُقَاتِلُهُمْ قَالَ لَا مَا صَلَّوْا

Maksud: Daripada Ummu Salamah (Isteri Nabi), dari Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, sesungguhnya beliau bersabda:

Kelak nanti akan wujud para pemimpin yang memiliki kebijaksanaan yang baik dan tidak. Sesiapa yang membenci yang tidak baik, maka lepaslah dia dari dosa. Dan sesiapa yang mengingkarinya, selamatlah dia. Namun, sesiapa yang rela bahkan mengikuti yang tidak baik, berdosalah dia.

Para sahabat bertanya, “Bolehkah kami bunuh mereka?” Nabi menjawab: Tidak! Selama mereka masih melaksanakan solat. (Hadis Riwayat Muslim, Shahih Muslim, (بَاب وُجُوبِ الْإِنْكَارِ عَلَى الْأُمَرَاءِ), 9/401, no. 3446)

Begitu juga dengan hadis berikutnya,

عَنْ عَوْفِ بْنِ مَالِكٍ

عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ خِيَارُ أَئِمَّتِكُمْ الَّذِينَ تُحِبُّونَهُمْ وَيُحِبُّونَكُمْ وَيُصَلُّونَ عَلَيْكُمْ وَتُصَلُّونَ عَلَيْهِمْ وَشِرَارُ أَئِمَّتِكُمْ الَّذِينَ تُبْغِضُونَهُمْ وَيُبْغِضُونَكُمْ وَتَلْعَنُونَهُمْ وَيَلْعَنُونَكُمْ قِيلَ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَفَلَا نُنَابِذُهُمْ بِالسَّيْفِ فَقَالَ لَا مَا أَقَامُوا فِيكُمْ الصَّلَاةَ وَإِذَا رَأَيْتُمْ مِنْ وُلَاتِكُمْ شَيْئًا تَكْرَهُونَهُ فَاكْرَهُوا عَمَلَهُ وَلَا تَنْزِعُوا يَدًا مِنْ طَاعَةٍ
Maksud: Daripada ‘Auf bin Malik radhiyallahu ‘anhu, daripada Raulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam beliau berkata:

Pemimpin-pemimpin pilihan di antara kamu semua ialah orang-orang yang kamu semua mencintai mereka dan mereka pun mencintaimu semua, juga yang kamu semua mendoakan kebaikan untuk mereka dan mereka pun mendoakan kebaikan untuk kamu semua.

Adapun pemimpin-pemimpin yang jahat di antara kamu ialah orang-orang yang kamu membenci mereka dan mereka pun membenci pada kamu semua, juga yang engkau semua melaknat mereka dan mereka pun melaknat kamu semua.”

‘Auf berkata: “Kami para sahabat lalu berkata: “Ya Rasulullah, apakah kita tidak boleh menentang kepada pemimpin-pemimpin yang sedemikian itu? Beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda: “Jangan menentang mereka dengan pedang, selama mereka masih tetap mendirikan solat di kalanganmu semua. Jika kamu melihat pada pemimpin kamu sesuatu yang kamu benci, maka bencilah perbuatan tersebut akan tetapi, janganlah kamu menarik ketaatan (daripada pemimpin tersebut). (Hadis Riwayat Muslim, Shahih Muslim, 9/403, (بَاب خِيَارِ الْأَئِمَّةِ وَشِرَارِهِمْ), no. 3447)

Bahagian 8 – Penulis menyatakan:

Bagi mengukuhkan amaran Allah seperti di atas, Nabi Muhammad turut memperincikan dalam sebuah hadis yang direkodkan oleh Imam Ahmad, bahawa baginda tidak mengakui sebagai umatnya sesiapa yang mendokong dan membenarkan kezaliman yang dilakukan para pemimpin. Amaran keras ini adalah sebuah perintah untuk umatnya agar tidak tergelincir dari mainan dan tipu daya pemimpin yang zalim.

Jawaban/Bantahan:

Jawaban di bahagian 7 telah pun menjawab persoalan ini berdasarkan hadis yang diutarakan.

Bahagian 9 – Penulis menyatakan:

Beliau menambah lagi, “Orang muslim yang mengajak kepada sistem Demokrasi, dengan pertimbangan bahawa Demokrasi itu adalah sebuah penetapan hukum yang menyatukan dengan prinsip-prinsip politik Islam dalam memilih seorang pemimpin dan menetapkan syura, melaksanakan amar ma’ruf nahi munkar, melawan kezaliman, menolak kederhakaan terutama jika kederhakaan itu menjurus kepada kufur yang jelas berdasarkan bukti keterangan dari Allah. Diantara bukti yang mengukuhkan hal ini adalah, dalam teks undang-undang ada yang menyatakan: “Agama Negara adalah Islam dan syariat Islam menjadi rujukan undang-undang.” Ini menguatkan bahawa kedaulatan Allah dalam menetapkan hukum dan kedaulatan syariat-Nya. Oleh itu, ajakan untuk kepada sistem Demokrasi tidak boleh dianggap sebagai kufur, kerana selagi tidak ada penetangan dengan syariat maka ia dibolehkan.”

Bantahan/Jawaban:

Jawabannya adalah mudah, di mana rata-rata sistem demorkasi yang wujud pada hari ini adalah amat-amat bercanggah dengan syari’at Islam itu sendiri sama ada secara dasarnya mahu pun pada sisi-sisinya yang tertentu. Dengan itu, sekiranya tunjang-tunjang demorkasi yang mengarah kepada pelanggaran syari’at, hendaklah ia dihilangkan. Maka dengan itu, sistem demokrasi akan menjadi sebuah sistem yang Islami. Namun sayangnya, seandainya tunjang-tunjang demokrasi itu dihilangkan, maka hilanglah wajah sebenar demokrasi itu sendiri, sekaligus tidaklah lagi ia disebut sebagai demokrasi. Di antara asas terpenting demokrasi adalah mencapai keputusan dan melantik pemimpin berdasarkan suara majoriti dan membenarkan sistem pelbagai parti yang dibina di atas kepelbagaian perbezaan ideologi.

Dan ciri-ciri ini telah pun dijelaskan sebagaimana di atas juga melalui artikel di dalam blog ini yang membahaskan secara khusus berkenaan sistem demorkasi.

Bahagian 10 – Penulis menyatakan:

Peristiwa Perjanjian Aqobah pertama dan kedua juga menunjukkan bahawa kuasa rakyat menjadi tonggak dalam pemilihan pemerintah. Berdasarkan peristiwa perjanjian ini, para ulama Islam sejak dahulu lagi menegaskan bahawa kekuasaan pada asalnya berada di tangan rakyat. Oleh sebab itu, kekuasaan tidak boleh dipaksa tanpa ada kerelaan dari hati rakyat sendiri. Tanda rela dan setia rakyat terhadap kekuasaan atau pemerintah yang memerintah mereka ialah dalam bentuk Bai’ah atau taat setia.

Jawaban/Bantahan:

Tidak dapat dipastikan dari sisi mana penulis telah mengambil dalil dan meletakkan kaedah bahawa kuasa rakyat menjadi tonggak dalam pemilihan pemimpin. Sekiranya benar sekali pun pada asalnya asas pemilihan pemimpin adalah di tangan-tangan rakyat, namun adakah ia berterusan dan diamalkan di dalam Islam? Dan tidak pula disebutkan oleh penulis berkenaan ulama (merujuk: “para ulama”) mana yang menjelaskan kaedah sebagaimana yang digunakan oleh penulis. Setelah jelas pengambilan dalil tersebut, adakah ia boleh dijadikan sebagai hujjah yang membenarkan bahawa demokrasi itu terdapat di dalam Islam? Ia masih memerlukan penelitian seterusnya.

Wallahu a’alam.

Wednesday, June 17, 2009

097 - Fatwa Ulama’ Sunnah tentang Demonstrasi

Fatwa Ulama’ Sunnah tentang Demonstrasi

http://bahaya-syirik.blogspot.com

Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah menetapkan bahawa seseorang tidak boleh memberontak kepada pemerintah, membangkang, derhaka, menyebarkan ‘aibnya, sama ada melalui majalah, mimbar, rapat umum, atau selainnya, kerana perkara tersebut hanya akan menimbulkan kerosakan, menyebabkan masyarakat tidak lagi segan, hormat, dan cinta kepada pimpinannya. Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda,


مَنْ رَأَى مِنْ أَمِيْرِهِ شَيْئًا يَكْرَهُهُ فَلْيَصْبِرْ عَلَيْهِ فَإِنَّهُ مَنْ فَارَقَ الجَمَاعَةَ شِبْرًا فَمَاتَ إِلَّا مَاتَ مَيْتَةً جَاهِلِيَّةً

“Sesiapa yang melihat sesuatu yang dia benci dari pemimpinnya, maka hendaknya dia bersabar dengannya, kerana sesiapa yang meninggalkan jama’ah walau sejengkal, lalu dia mati, maka dia akan mati seperti matinya orang jahiliyyah”. (Hadis Riwayat al-Bukhari dalam Sahih-nya (13/5), Muslim dalam Sahih-nya (3/1477), Ahmad dalam al-Musnad (1/275), dan lainnya)

Hadis ini menjelaskan bahawa seseorang tidak boleh derhaka kepada pemerintah, walaupun dalam perkara yang dianggap “remeh”, kerana yang remeh kadangkala menjadi besar, parah, dan gawat. Dari hadis ini, para ulama kita mengharamkan demonstrasi, kerana demonstrasi merupakan salah satu bentuk kederhakaan, dan pembangkangan kepada pemerintah yang dilarang keras oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Kerana banyaknya yang menyangka demonstrasi adalah perkara yang dibenarkan atau harus, maka dengan ini kami sampaikan fatwa-fatwa para ulama’ kaum muslimin dari kalangan Ahlus Sunnah wal Jama’ah yang menjelaskan keharaman demonstrasi:

Fatwa Samahatusy Syaikh al-Imam ‘Abdul ‘Aziz Ibn Baz rahimahullah Ta’ala,

Beliau (rahimahullah) berkata, “Cara yang baik (tepat) merupakan sarana terbesar diterimanya kebenaran. Sedang cara yang keliru dan kasar merupakan sarana yang paling berbahaya ditolaknya dan tidak diterimanya kebenaran, atau hanya akan mengobarkan kekacauan, kezaliman, permusuhan, dan saling menyerang. Dikategorikan dalam permasalahan ini apa yang dikerjakan oleh sebahagian orang berupa demonstrasi yang menyebabkan keburukan yang banyak bagi para da’i. Maka berkonvoi (berarak) di jalan-jalan dan melaungkan teriakan bukanlah merupakan jalan untuk memperbaiki dan dakwah. Jadi, cara yang benar adalah dengan menziarahi (pemerintah), mengutuskan surat dengan cara yang lembut dan hikmah. Nasihatilah para pemimpin, pemerintah, dan ketua bahagian dengan kaedah seperti ini. Bukan dengan cara kekerasan dan demonstrasi. Nabi Shallallahu alaihi wasallam ketika tinggal di Makkah selama 13 tahun, baginda tidaklah pernah menggunakan demonstrasi dan berarak, serta tidak mengancam orang lain untuk menghancurkan harta-bendanya, dan membunuh mereka. Tidak ragu lagi, cara ini akan membahayakan dakwah dan para da’i, ia akan menghalangi tersebarnya dakwah, membuat para pemimpin akan memusuhinya dan melawannya dengan segala yang mungkin yang boleh dilakukannya. Mereka (para pelaku demo) menginginkan kebaikan dengan cara seperti tersebut, akan tetapi malah terjadi yang sebaliknya. Maka hendaknya seorang da’i ilallah menempuh jalannya para rasul dan pengikutnya, sekalipun memakan waktu yang panjang. Itu lebih utama dibandingkan perbuatan yang membahayakan dan mempersempit (ruang gerak) dakwah, atau langsung menyekatnya. Walaa haula walaa quwwata illa billah”. (Lihat Majallah al-Buhuts al-Islamiyyah, edisi ke-38, (hal.310))

Beliau (rahimahullah) pernah ditanya, “Adakah demonstrasi yang dilakukan oleh pemuda dan wanita melawan pemerintah boleh dianggap termasuk cabang dakwah? Adakah orang yang meninggal di dalamnya dianggap mati syahid?”

Maka beliau (rahimahullah) memberikan jawaban: “Saya tidak memandang demonstrasi yang dilakukan para kaum hawa dan juga oleh kaum Adam sebagai suatu bentuk jalan penyelesaian. Akan tetapi itu merupakan sebab timbulnya fitnah (baca: musibah), keburukan, menjadi sebab dizaliminya sebahagian orang, dan melampaui batas ke atas sebahagian orang tanpa haq. Akan tetapi, cara-cara yang syar’i (menasihati pemerintah) adalah dengan cara berutus surat, menasihatinya, dan mendakwahinya menuju kepada suatu kebaikan dengan cara damai. Demikianlah yang ditempuh para ulama’. Demikianlah para sahabat Nabi Shallallahu alaihi wa Sallam dan para pengikut mereka dalam kebaikan. Cara mereka menasihati dengan mengirim surat dan berbicara langsung dengan orang yang bersalah, pemerintah, dan penguasa. Dengan cara menghubunginya, menasihatinya, dan menyuratinya, tanpa menyebarkan ‘aibnya di atas mimbar-mimbar dan tempat-tempat lainnya (dengan berteriak): “Pemerintah Fulan melakukan begini dan begini, lalu hasilnya begini dan begini!!”, Wallahul Musta’an”. (Semak Kaset: Muqtathofaat min Aqwaal Al-Ulama’)

Demonstrasi bukanlah uslub (cara) berdakwah yang benar. Bukan seperti yang dinyatakan oleh seorang da’i hizbi (yang bersifat kepuakan), Safar al-Hawaly. Dia berkata seperti di dalam kasetnya yang berjudul “Syarah al-Aqidah ath-Thohawiyyah” (no. 185), ”Sesungguhnya demonstrasi yang dilakukan oleh kaum wanita merupakan salah satu di antara uslub (cara) berdakwah dan membuahkan hasil”.

Senada dengan ini, A’idh al-Qarni berkata, “Demi Dzat Yang jiwaku ada di tangan-Nya, sungguh telah keluar di al-Jaza’ir dalam satu hari 700000 wanita muslimah yang berhijab menuntut ditegakkannya syari’at Allah”.

Ada pun Salman bin Fahd al-‘Audah, maka tidak jauh beza dengan kedua temannya tadi. Dia berkata sebagaiman di dalam kaset “Lin Nisaa’ Faqoth”, ”Sungguh kita telah mendengar di beberapa negara lain suatu berita yang menggembirakan adanya kembali (kesedaran) yang jujur (khususnya di kalangan pemudi) kepada Allah. Setiap orang dengar adanya demonstrasi lantang di al-Jaza’ir. Sedangkan pemimpinnya adalah sekelompok wanita. Jumlah mereka lebih dari ratusan ribu orang”.

Syaikh ‘Abdul Malik Ramadhani al-Jaza’iry hafizhahullah berkata ketika mengkritik kekeliruan tiga orang di atas, “Demi Allah, sesungguhnya perbuatan mereka ini benar-benar aneh! Tidaklah pernah dibayangkan sekiranya Jazirah Arab (setelah adanya dakwah Syaikh Muhammad bin Abdul Wahhab) akan melahirkan orang-orang seperti mereka!? Apakah setelah kehidupan yang dihiasi dengan menjaga kehormatan yang dijaga oleh kaum muslimin Jazirah, akan datang Safar, Salman, dan al-Qarni ke hadapan para wanita untuk mengeluarkan mereka dari rumah kemuliaan mereka dengan memperbanyak jumlah dan kekuatan dengan para wanita!? Safar menjelaskan pengaruh yang dalam ketika keluarnya para wanita tersebut untuk berdemonstrasi, manakala al-Qarni menguatkannya dengan sumpah!! Sedang Salman membangkitkan semangat mereka agar tetap bersabar menghadapi kereta-kereta kebal. Sungguh, alangkah aneh agama!”. (Lihat: Madarik an-Nazhor (hal. 419-420), cet. Dar Sabiil al-Mu’minin)

Apa yang dinyatakan oleh tiga orang ini jelas salah, kerana menasihati pemerintah adalah dengan secara rahsia dan tersembunyi seperti menziarahinya, menyuratinya, menelefonnya, atau menghubunginya melalui temannya, atau seumpamanya, kerana dengan cara inilah merupakan prinsip dakwah Ahlus Sunnah wal Jama’ah. Nabi Shallallahu alaihi wa Sallam bersabda:

مَنْ َأَرَادَ أَنْ يَنْصَحَ لِسُلْطَانٍ بِأَمْرٍ فَلا َيُبْدِ لَهُ عَلاَنِيَةً وَلَكِنْ لِيَأْخُذْ بِيَدِهِ فَيَخْلُوْ بِهِ فَإِنْ قَبِلَ مِنْهُ فََذَاكَ وَإِلاَّ كَانَ قَدْ أَدَّى اَلَّذِيْ عَلَيْهِ لَهُمَنْ َأَرَادَ أَنْ يَنْصَحَ لِسُلْطَانٍ بِأَمْرٍ فَلا َيُبْدِ لَهُ عَلاَنِيَةً وَلَكِنْ لِيَأْخُذْ بِيَدِهِ فَيَخْلُوْ بِهِ فَإِنْ قَبِلَ مِنْهُ فََذَاكَ وَإِلاَّ كَانَ قَدْ أَدَّى اَلَّذِيْ عَلَيْهِ لَهُ

“Sesiapa yang ingin menasihati seseorang penguasa, maka janganlah ia menampakkannya secara terang-terangan, akan tetapi hendaklah dia mengambil (memegang) tangannya, dan berduan dengannya. Jika ia terima, maka itulah (yang diharap). Jika tidak, maka dia telah melaksanakan keawajiban bagi dirinya”. (Hadis Riwayat Ibnu Abi ‘Ashim dalam as-Sunnah (1096). Syaikh al-Albany rahimahullah berkata di dalam Zhilal al-Jannah (hal.514), “Sanadnya sahih”)

Fauzy bin Abdillah al-Atsary hafizhahullah berkata, “Hadis ini menunjukkan bahawa nasihat kepada pemerintah dengan cara rahsia, bukan dengan cara terang-terangan, dan bukan pula memceritakan ‘aibnya di atas mimbar-mimbar, rapat umum, masjid-masjid, surat khabar, majalah dan selainnya sebagai suatu nasihat”. (Lihat: al-Ward al-Maqthuf (hal.66))

Fatwa Asy-Syaikh Muhammad bin Sholeh al-‘Utsaimin rahimahullah,

Beliau rahimahullah Ta’ala ditanya: “Adakah perlakuan demonstrasi boleh dianggap sebagai sarana dakwah yang disyari’atkan?” Beliau menjawab, “Alhamdu lillahi Rabbil alamin wa Shallallahu ala Muhammad wa ala ‘alihi wa Shahbihi wa Sallam wa man tabi’ahum bi ihsan ilaa yaumiddin. Amma ba’du: Sesungguhnya demonstrasi merupakan perkara baru, tidaklah dikenal di zaman Nabi Shallallahu alaihi wa Sallam, dan para sahabatnya radhiyallahu anhum. Kemudian di dalamnya terdapat kekacauan dan huru-hara yang menjadikannya perkara terlarang, di mana di dalamnya terjadi pemecahan kaca-kaca, pintu-pintu, dan selainnya. Juga terjadi padanya ikhtilath (campur-baur) di antara lelaki dan wanita, orang tua dan anak muda, dan sejenisnya di antara kerosakan dan kemungkaran. Ada pun masalah tekanan ke atas pemerintah. Jika pemerintahnya muslim, maka cukuplah bagi mereka sebagai penasihat adalah Kitabullah Ta’ala, dan Sunnah Rasul Shallallahu alaihi wa Sallam. Ini adalah sesuatu yang terbaik dipraktikkan kepada seorang muslim. Jika pemerintahnya kafir, maka jelas mereka tidak akan memperhatikan para peserta demonstrasi. Pemerintah tersebut akan “bermanis muka” di depan mereka, sementara itu hanyalah merupakan keburukan yang tersembunyi di batin mereka. Kerananya, kami memandang bahawa demonstrasi merupakan perkara mungkar!! Ada pun alasan mereka: “Demonstrasi ini dilakukan dengan”. Memang terkadang aman di awalnya atau pertama kalinya, lalu kemudian berubah menjadi merosak. Saya nasihatkan kepada para pemuda supaya mereka mahu mengikuti jalannya Salaf. Kerana Allah Subhanahu wa Ta’ala telah memuji para sahabat Muhajirin dan Anshor, serta juga orang-orang yang mengikuti mereka dalam kebaikan”. (Lihat al-Jawab al-Abhar(hal.75) karya Fu’ad Siroj)

Fatwa Fadhilah asy-Syaikh al-Allamah Sholeh bin Ghoshun rahimahullah

Fadhilah asy-Syaikh al-‘Allamah Sholeh bin Ghoshun rahimahullah berkata, “Menjadi seorang da’i, hendaklah orang yang memerintahkan (mengajak kepada) kebaikan, dan melarang dari kemungkaran, wajib baginya untuk menghiasi dirinya dengan kesabaran, mengharapkan pahala dan ganjaran (di sisi Allah), menanggung segala sesuatu yang ia perdengarkan (sampaikan) atau terkadang ia dicemoh di dalam dakwahnya. Ada pun seorang da’i yang menempuh cara kekerasan, atau dia (wal’iyadzu billah) menempuh cara dengan menyakiti manusia, mengganggu orang (masyarakat), atau menempuh (menggunakan) cara perselisihan dan pertengkaran, dan memecah-belah kesatuan. Ini merupakan perkara-perkara syaitan. Ia adalah prinsip dakwah Khawarij. Inilah prinsip dakwah Khawarij!! Iaitu mereka yang mengingkari kemungkaran dengan senjata, mengingkari sesuatu perkara yang mereka anggap tidak boleh dan menyelisihi keyakinan mereka dengan cara peperangan, menumpahkan darah, mengkafirkan orang, dan beberapa perkara lain. Maka bezakanlah di antara dakwah para sahabat Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan Salafush Sholeh dengan dakwah para Khawarij dan orang yang menempuh manhaj (jalan hidup) mereka, dan menjalani jalan mereka. Dakwahnya para sahabat dengan cara hikmah, nasihat, menjelaskan kebenaran, dengan penuh kesabaran, dengan berhias kesabaran, dan dengan tujuan mencari pahala dan ganjaran. Sedangkan dakwah Khawarij dengan cara membunuh manusia, menumpahkan darah mereka, mengkafirkan mereka, memecah-belah kesatuan, dan merobek-robek barisan kaum muslimin. Ini adalah perbuatan-perbuatan keji dan bid’ah. Sewajarnya orang-orang yang mengajak kepada perkara-perkara seperti ini dijauhkan (dipulaukan) dan dijauhi, diburuk-sangkai. Mereka itu telah memecah-belah kesatuan kaum muslimin. Padahal penyatuan (perpaduan) itu adalah merupakan rahmat, manakala perpecahan merupakan sengsara dan adzab (wal’iyaadzu billah). Sekiranya suatu penduduk negara di atas kebaikan, bersatu di atas satu kata, niscaya mereka akan memiliki karisma dan kewibawaan. Akan tetapi penduduk negara kita sekarang telah menjadi berkelompok-kelompok (berpecah-belah) dan terkotak-kotak (huru-hara). Mereka telah sobek (kacau-bilau), berselisih, musuh dari kalangan mereka masuk ke tengah-tengah mereka, dari sebahagian mereka ke atas sebahagian yang lainnya. Ini merupakan cara bid’ah, dan keji. Merupakan jalan seperti yang telah berlalu keterangannya, datang dari orang-orang yang mahu memecah-belah kesatuan, dan orang-orang yang telah membunuh Amirul Mukminin Ali radhiyallahu anhu dan orang-orang yang bersama beliau dari kalangan sahabat, peserta bai’at ar-Ridhwan. Mereka telah membunuh beliau, sedangkan mereka menginginkan “kebaikan”!! Sedangkan mereka itu adalah pemimpin kerosakan, pemimpin bid’ah, dan pemimpin perpecahan. Mereka itulah yang memecah-belah persatuan kaum muslimin, dan melemahkan barisan kaum muslimin. Demikian juga sehingga orang-orang yang berpendapat bolehnya, mengadaptasi, dan menganggapnya baik. Maka orang seperti ini buruk aqidahnya, dan wajib dijauhi. Aku tahu (wa’iyaadzu billah) bahawa ada seorang yang disiapkan untuk membahayakan ummatnya dan teman-teman majlisnya, serta orang-orang yang ada di sekitarnya. Nasihat yang haq, hendaklah seseorang muslim menjadi seseorang yang bekerja, membangun, mengajak kepada kebaikan, dan mencari kebaikan sebenar-benarnya. Dia harus mengucapkan kebenaran, berdakwah dengan cara yang benar dan lembut, berbaik sangka terhadap saudaranya, serta mengetahui bahawa kesempurnaan merupakan sesuatu yang sukar diraih, bahawasanya yang ma’sum adalah Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, dan sekiranya para pemerintah tersebut hilang/pergi, maka tidak akan datang orang yang lebih baik dibandingkan mereka. Sekiranya semua orang yang ada hilang/pergi, sama saja di antara mereka ada pemerintah, pihak yang bertanggung-jawab, atau para penuntut, atau rakyat. Andaikan ini semuanya pergi/hilang (rakyat negara mana saja), niscaya akan datang pemimpin yang lebih buruk darinya!! Kerana tidak akan datang suatu masa melainkan yang berikutnya lebih buruk. Jadi, sesiapa yang menginginkan (memaksa) supaya orang-orang tertentu itu mencapai kepada darjat kesempurnaan, atau menjadi orang-orang yang ma’sum dari segala kesalahan dan keburukan. Orang (yang berpemikiran) seperti ini adalah orang sesat. Mereka ini adalah orang-orang Khawarij. Mereka inilah yang memecah-belah perpaduan manusia dan menyakiti mereka. Ini merupakan tujuan orang-orang yang memusuhi Ahlus Sunnah wal Jama’ah dengan kepelbagaian bentuk bid’ah dari kelompok orang-orang Rafidhah (Syi’ah), Khawarij, Mu’tazilah, dan seluruh jenis pelaku keburukan dan bid’ah”. (Lihat: Majallah Safinah an-Najaah, edisi 2, Januari 1997 M)

Inilah beberapa fatwa ulama’ besar di zaman ini. Semuanya sepakat mengharamkan demonstrasi, kerana menimbulkan kerosakan di dalam segala aspek kehidupan, sama ada secara langsung atau tidak. Fakta yang ada di hadapan anda telah membuktikan bahawa demonstrasi menyebabkan banyak kerosakan. Dasarnya, demonstrasi adalah haram di dalam Islam, sama ada demonstrasinya dalam bentuk damai tidak menimbulkan rusuhan di ketika demonstrasi, apalagi yang disertai kekasaran, dan sesuatu yang memancing emosi, serta merendahkan kewibawaan pemerintah.

Sumber: Buletin Jum’at Al-Atsariyyah edisi 26 Tahun I. Penerbit: Pustaka Ibnu Abbas. Alamat: Pesantren Tanwirus Sunnah, Jl. Bonto Te’ne No. 58, Kel. Borong Loe, Kec. Bonto Marannu, Gowa-Sulsel. HP: 08124173512 (a/n Ust. Abu Fa’izah). Pimpinan Redaksi/Penanggung Jawab: Ust. Abu Fa’izah Abdul Qadir al-Atsary, Lc. Dewan Redaksi: Santri Ma’had Tanwirus Sunnah – Gowa. Editor/Pengasuh: Ust. Abu Fa’izah Abdul Qadir al-Atsary, Lc. Layout: Abu Muhammad Mulyadi.