__________________________________________________________________________________

| Nawawi | Aqeedah | Fiqh | Anti Syirik | Galeri Buku | Galeri MP3 | U-VideOo |
__________________________________________________________________________________

Monday, July 2, 2007

Isu 12 - TAUHID HAKIMIYAH - PUNCA DEMONSTRASI, PEMBERONTAKAN, PERPECAHAN &

- TAUHID HAKIMIYAH -

PUNCA DEMONSTRASI, PEMBERONTAKAN, PERPECAHAN & PENGKAFIRAN (TAKFIR)

Pembahasan yang ditulisan ini, adalah berkisar berkenaan pembongkaran dan pendedahan tentang gerakan Khawarij yang berkaitan dengan akidah tauhid hakimiyah atau tauhid mulkiyah. Akidah batil ini masih disebar dan diperjuangkan oleh kelompok Khawarij serta para pendokongnya serta mereka-mereka yang semanhaj dengan Khawarij.

Pemikiran aliran bid’ah ini terus berkembang segar terutama di seluruh negara-negara Islam. Mereka berada bersama kita, aktif memperjuangkan doktrin-doktrin mereka yang palsu, baik dalam masalah iman, akidah, siasah, ibadah, serta masalah lain yang diadopsi dari induknya iaitu Khawarij atau Muktazilah. Di dalam tulisan ini akan dipaparkan dan disingkap keburukan dan bid’ahnya fahaman yang menyeleweng ini, terutamanya tauhid hakimiyah.

Fahaman yang batil ini perlu diketengahkan dan didedahkan (untuk difahami), kerana sesiapa yang tidak memahami maksud hakimiyah akan mudah diperangkap oleh puak Khawarij. Akhirnya akan mengkafirkan sesiapa yang tidak berhukum dengan hukum Allah dengan pengkafiran mutlak. Fahaman ini menyalahi pegangan Ahli Sunnah yang bermanhaj Salaf as-Soleh sebagaimana yang akan dijelaskan.

Niat penulis mengedepankan isu hakimiyah ini bukanlah bermaksud ingin mengekalkan (mempertahankan) hukum-hukum jahiliyah, undang-undang kafir atau kanun si taghut, tetapi semata-mata agar masyarakat Islam sentiasa berhati-hati dan berwaspada terhadap kelompok Khawarij gaya baru yang sentiasa giat mencari mangsanya. Maka dengan memahami persoalan ini, insya Allah masyarakat tidak mudah mengkafirkan antara satu dengan yang lain sebagaimana yang diamalkan oleh golongan Khawarij.

Sememangnya tidak mudah untuk menghadapi dan membenteras fahaman Khawarij ini jika hanya dengan emosi atau suara kejahilan yang dibisikkan oleh hawa nafsu, tetapi yakinilah bahawa fahaman dan gerakan yang batil ini dapat dibasmi dan dihapuskan dari berkembang di kalangan masyarakat dengan ilmu yang dibekalkan oleh Kitabullah dan Sunnah RasulNya. Mudah-mudahan tulisan ini akan memberi manfaat dan menyumbang kepada khazanah ilmu-ilmu salaf yang diperlukan oleh generasi yang mempunyai wasasan dunia dan akhirat.

TAUHID HAKIMIYAH (Tauhid Mulkiyah)

Sejak dizaman Salaf as-Soleh sehinggalah sekarang, para ulama Ahli Sunnah wal-Jamaah yang bermanhaj Salaf, sangat berhati-hati dari mencerca atau mencela mereka yang berpegang dan yang mendi’ayahkan al-hakimiyah atau tauhid hakimiyah. Mereka juga tidak akan memperkatakan tentang “Al-Hakimiyah” atau menyeru kepadanya tanpa terlebih dahulu mengetahui maksud dan tujuan sebenar kalimah ini. Malah bagi kalangan Ahli Sunnah wal-Jamaah diwajibkan meneliti apa yang dikehendaki oleh kalimah ini sehingga diketahui dan difahami, kemudian setelah jelas bagi mereka barulah mula memperkatakannya sesuai dengan tujuan dan maksud kalimah tersebut.

Namun, tauhid hakimiyah atau disebut juga tauhid mulkiyah yang menjadi perbincangan dalam tulisan ini, termasuk perkara-perkara baru yang tidak pernah disebut oleh kalangan Salaful Ummah dengan pengistilahan ini. Tetapi kemudiannya diketahui dan dikenal pasti bahawa tauhid hakimiyah ini datangnya dari kelompok Khawarij. Maka yang jelas “Al-hakimiyah” dengan lafaz ini tidak ada sumber dan asal-usulnya secara syariat. (Lihat: Fatwa Syeikh Dr. Nashir al-‘Aql. Harian al-Muslimun, No 639. Jumaat, 25 Zulhijah 1417H/2 May 1997. Kuwait.)

Tauhid hakimiyah mengikut fahaman dan kehendak Khawarij masih terus dipropagandakan dan diperjuangkan oleh puak-puak ini. Ia mendapat bantuan dan sokongan dari pentaqlid buta dan mereka yang terpengaruh dengan fahaman ini sejak mula kemunculannya sehingalah kesaat ini. Pengikut fahaman yang batil ini, disebabkan kejahilannya tidak mampu menyedari bahawa tauhid hakimiyah jika dikembalikan kepada maksud syara’, maka ia adalah bahagian dari tauhid uluhiyah. Oleh itu tidak boleh menjadikan tauhid hakimiyah ini sebagai bahagian khusus yang dipisahkan dari tauhid uluhiyah, kerana ia termasuk dalam bahagian tauhid ibadah. (Penjelasan Syeikh Abdul Aziz bin Abdullah Alu Syeikh. Anggota Hai’ah Kibarul Ulama Saudi Arabia dan wakil Mufti ‘Am urusan fatwa)

Malangnya mereka (terutamanya golongan Khawarij, Muktazilah dan yang sefahaman dengan mereka) telah menyempitkan pengertian tauhid hakimiyah ini, ia hanya dimasukkan pada persoalan hukum-hukum fikeh atau mu’amalah kemudian dicampur-adukkan dengan persoalan tauhid atau akidah. Mereka menyerukan tauhid hakimiyah ini melalui olahan mereka untuk menegakkan hukum berdasarkan kalimah ini, kemudian mengkafirkan sesiapa yang mengingkarinya tanpa berlandaskan kaedah pengistimbatan (pengambilan) hukum dari dalil syara dengan kaedah atau cara yang betul dan sempurna.

Ramai juga yang tidak mengetahui dan tidak menyedari bahawa seruan Khawarij ini adalah seruan yang muhdas (bid’ah). Akibatnya, mereka menjadikan tauhid hakimiyah (model Khawarij) sebahagian dari tauhid yang keempat iaitu setelah tauhid Rububiyah, Uluhiyah dan Asma wa-Sifat. Sebagai bukti, mereka mengkafirkan sesiapa sahaja yang tidak menerima konsep mereka tentang hakimiyah. Mereka menambah tauhid rububiyah, uluhiyah, asma wa-sifat dengan tauhid yang keempat iaitu tauhid hakimiyah, sedangkan penambahan ini tidak pernah dilakukan oleh para Salaf as-Soleh, ini nyata membuktikan perbuatan mereka menjadikan pelaksanaan hukum sebagai satu dari cabang tauhid sehingga sesiapa yang meninggalkannya menjadi kafir (dihukum kafir) mutlak (menurut mereka).

Sebenarnya seruan dan perjuangan mereka ini adalah semata-mata demi untuk menentang pemerintah Islam, memecah-belahkan umatnya dengan cara melakukan pemberontakan, revolosi, demonstrasi dan mengkafirkan sesiapa sahaja yang tidak masuk ke dalam golongan dan harakah mereka (Khawarij gaya baru) ini.

SIAPAKAH YANG DINAMAKAN KHAWARIJ?

Nama Khawarij, sikap, perbuatan, tindakan serta sifat buruk kelompok ini telah disebut oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam di dalam beberapa sabda baginda, antaranya ialah:

عَنْ اَبِيْ بَرْزَةَ اَنَّهُ قِيْلَ لَهُ : هَلْ سَمِعْتَ رَسُوْلَ اللهِ صَلَى اللهُ عِلَيْهِ وَسَلَّمَ يَذْكُرُوْنَ الْخَوَارِجِ؟ فَقَالَ : نَعَمْ . سَمِعْتُ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِاُذُنِيْ وَرَاَيْتُهُ بِعَيْنَيْ اُتِيَ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِمَالٍ فَقَسَمَهُ فَاَعْطَى مَنْ عَنْ يَمِيْنِهِ وَمَنْ عَنْ شِمَالِهِ وَلَمْ يُعْطَ مَنْ وَرَاءَ هُ شَيْئًا فَقَامَ رَجُلٌ مِنْ وَرَائِهِ فَقَالَ : يَا مُحَمَّدُ مَا عَدَلْتَ فِى الْقِسْمَةِ ، رَجُلٌ اَسْوَدُ مَطْمُوْمُ الشَّعْرِ عَلَيْهِ ثَوْبَانِ اَبْيَضَانِِ . فَغَضِبَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ غَضَبًا شَدِيْدًا وَقَالَ : وَاللهِ لاَ تَجِدُوْنَ بَعْدِي رَجُلاً هُوَ اَعْدَلُ مِنِّيْ ؟ . ثَمَّ قَالَ : يَخْرُجُ فِى آخِرِ الزَّمَانِ قَوْمٌ كَاَنَّ هَذَا مِنْهُمْ يَقْرَؤُوْنَ الْقُرْآنَ لاَ يُجَاوِزُ تَرَاقِيَهُمْ يَمْرُقُوْنَ مِنَ اْلاِسْلاَمِ كَمَا يَمْرُقُ السَّهْمُ مِنَ الرَّمِيَّةِ سِيْمَاهُمْ التَّحْلِيْقُ لاَيَزَالُوْنَ يَخْرُجُوْنَ حَتَّى يَخْرُجُ آخِرُهُمْ مَعَ الْمَسِيْحِ الدَّجَّالِ ، فَاِذَا لَقِيْتُمُوْهُمْ فَاقْتُلُوْهُمْ هُمْ شَرُّ الْخَلْقِ وَالْخَلِيْقَةِ.
“Dari Abu Barzah beliau ditanya: Apakah engkau mendengar Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda tentang Khawarij? Ia menjawab: Ya! Aku mendengar Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda dengan telingaku dan melihat dengan mataku. Baginda datang dengan membawa harta, lalu baginda membahagi-bahagikannya. Maka baginda memberi kepada orang-orang yang berada di sebelah kanan dan kirinya dan tidak memberikan kapada orang-orang yang berada di belakang baginda sedikitpun. Berdirilah seorang yang berada di belakang baginda lantas berkata: Wahai Muhammad! Engkau tidak adil dalam pembahagian. Dia adalah seorang lelaki yang berkulit hitam dengan rambut yang dicukur gondol dan memakai dua baju putih. Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam marah dengan kemarahan yang bersangatan, kemudian bersabda: Demi Allah! Kamu tidak akan mendapat seorang setelahku yang lebih adil daripadaku. Kemudian baginda bersabda lagi: Akan muncul pada akhir zaman suatu kaum seolah-olah ia dari mereka (orang-orang yang menentang kepimpinan Rasulullah). Mereka membaca al-Quran tetapi tidak melebihi tenggorokan mereka, terlepas dari Islam seperti terlepasnya anak panah dari busurnya, ciri-ciri mereka ialah bercukur gondol, mereka akan sentiasa bermunculan sehingga akan keluar orang yang terakhir bersama al-Masih ad-Dajjal. Jika kamu menemui mereka maka bunuhlah mereka. Mereka seburuk-buruk makhluk dan ciptaan”. (H/R Ahmad (429) dan Nasaii (4104).)

Antara ciri-ciri besar Khawarij, suka membantah, menyalahkan dan menuduh pemimpin yang tidak disenangi tidak adil. Semuanya ini telah digambarkan oleh Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam di dalam sabda baginda:

عَنْ اَبِيْ سَعِيْدِ الْخُدْرِيِّ قَالَ : بَيْنَمَا نَحْنُ عِنْدَ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وهُوَ يَقْسِمُ قِسْمًا اَتَاهُ ذُوْ الْخُوَيْصِرَةِ وَهُوَ رَجُلٌ مِنْ بَنِيْ تَمِيْمِ فَقَالَ : يَا رَسُوْلَ اللهِ اِعْدِلْ . قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلِيْهِ وَسَلَّمَ : وَيْلَكَ وَمَنْ يَعْدِلْ اِنْ لَمْ اَعْدِلْ؟ قَدْ خِبْتُ وَخَسِرْتُ اِنْ لَمْ اَعْدِلُ ؟ فَقَالَ عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ : يَا رَسُوْلَ اللهِ ! آئِذَنْ لِيْ فِيْهِ اَضْرِبُ عُنُقَهُ . قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: دَعْهُ فَاِنَّ لَهُ اَصْحَابًا يَحْقِرُ اَحَدُكُمْ صَلاَتَهُ مَعَ صَلاَتِهِمْ ، وَصِيَامُهُ مَعَ صِيَامِهِمْ ، يَقْرَؤُوْنَ الْقُرْآنَ لاَيُجَاوِزُ تَرَاقِيُهُمْ يَمْرُقُوْنَ مِنَ الْلاِسْلاَمِ كَمَا يَمْرُقُ السَّهَمُ مِنَ الرَّمِيَّةِ.
“Dari Abi Sa’id al-Khudri berkata: Ketika kami bersama Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam di suatu ketika beliau sedang membahagi-bahagikan beberapa pembahagian. Datanglah kepada baginda Zul Khuwaisirah dari Bani Tamim dan berkata: Wahai Rasulullah berlaku adillah! Baginda bersabda: Celaka engkau! Siapakah yang akan berlaku adil jika aku tidak adil, dosalah aku dan merugilah jika aku tidak berlaku adil. Maka Umar al-Khattab berkata: Wahai Rasulullah! Izinkan aku untuk memenggal lehernya. Baginda bersabda: Biarkan dia, kerana dia mempunyai teman-teman yang salah seorang antara kamu akan diremehkan solatnya jika dibandingkan dengan salat mereka, dan puasanya jika dibandingkan dengan puasa mereka. Mereka membaca al-Quran tetapi tidak melebihi kerongkong mereka, mereka terlepas dari Islam sebagaimana terlepasnya anak panah dari busurnya”. (H/R Bukhari (3610), Muslim (1064 dan Ahmad (224))

Orang-orang Khawarij dan pengikut fahaman ini kuat ibadahnya, banyak membaca al-Quran dan melakukan sembahyang, tetapi mereka masih dimurkai Allah, perihal mereka telah digambarkan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam:

يُخْرُجُ قَوْمٌ مِنْ اُمَّتِيْ يَقْرَؤُوْنَ الْقُرْآنَ يَحْسَبُوْنَ اَنَّهُ لَهُمْ وَهُوَ عَلَيْهِمْ لاَتَجَاوِزُ صَلاَتِهِمْ تَرَاقِيَهُمْ
“Akan keluar satu kaum (Khawarij) dari umatku yang membaca al-Quran, mereka menyangka bahawasanya diberi pahala untuk mereka padahal (kemurkaan Allah) atas mereka. Solat mereka pula tidak melepasi tenggorokan mereka”. (H/R Muslim (1066))

Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam juga menggambarkan sikap dan sifat buruk orang-orang Khawarij yang pandai bercakap, bertikam lidah dan berhujjah, tetapi kata-kata dan hati mereka kosong belaka lantaran mereka berperangai buruk yang bertentangan dengan Kitabullah:

يُحْسِنُوْنَ الْقِيْلَ وَيَسِيْئُوِنَ الْفِعْلَ يَدْعُوْنَ اِلَى كِتَابِ اللهِ وَلَيْسُوْا مِنْهُ فِى شَيْىءٍ.
“Membaguskan perkataan tetapi buruk perbuatannya. Mengajak kepada kitab Allah tetapi tidaklah mereka termasuk di dalamnya sedikitpun”. (H/R Ahmad (224).)

Khawarij juga adalah nama yang diberikan kepada hizbi dan firqah, golongan atau parti yang keluar dari Jamaah Muslimin (pemerintah atau penguasa Islam) untuk menentang atau memberontak, sebagaimana yang berlaku terhadap pemerintahan Khalifah Uthman radiallahu ‘anhu. Maka akibat dari tindakan dan pemberontakan tersebut, berlaku pembunuhan terhadap Khalifah Uthman.

Kemudian dimasa kekhalifahan Ali radiallahu ‘anhu semakin bertambah lagi keburukan dan kekejian perbuatan Khawarij, mereka memisahkan diri dari jamaah Ali, mereka merupakan kelompok pertama yang keluar dari as-Sunnah wal-Jamaah, mereka mengkafirkan Ali serta para sahabat yang menyebelahi Ali kerana tidak secucuk dengan pemikiran dan manhaj mereka. Bahkan sikap keras mereka terbukti dengan membunuh sahabat yang bernama Abdullah bin Khabab dan isterinya.

Jika difahami dari beberapa sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam tentang Khawarij, maka terbukti bahawa kelompok Khawarij memang telah muncul, dan akan terus bermunculan sehinggalah keakhir zaman. Dan mereka akan bantu-membantu (bertolong-tolongan) dengan Dajjal sebagaimana yang telah dikhabarkan oleh baginda:

سَيَخْرُجُ فِى آخِرِ الزَّمَانِ قَوْمٌ اَحْدَاثُ اْلاَسْنَانِ ، سُفَهَآءُ اْلاَحْلاَمِ ، يَقُوْلُوْنَ مِنْ خَيْرِ قَوْلِ الْبَرِّيَّةِ ، يَقْرَاُوْنَ الْقُرْآنَ لاَ يُجَاوِزُ حَنَاجِرَهُمْ ، يَمْرُقُوْنَ مِنَ الدِّيْنِ كَمَا يَمْرُقُ السَّهَمَ مِنَ الرَّمِيَّةِ
“Akan keluar pada akhir zaman satu kaum, umurnya masih muda, rosak pemikirannya, mereka berkata dari sebaik-baik perkataan makhluk. Membaca al-Quran tidak melebihi kerongkong mereka. Mereka terkeluar dari agama seperti terkeluarnya anak panah dari busurnya”. (H/R Bukhari (3611) dan Muslim (1066))

TAKFIR (PENGKAFIRAN)

Sepanjang sejarah Islam, Khawarij dikenali sebagai golongan yang mudah menghukum kafir (takfir) terhadap sesiapa sahaja yang menyalahi mazhab mereka, sehingga berani mengkafirkan manusia pilihan iaitu Uthman dan Ali radiallahu ‘anhuma serta para sahabat yang lain kerana bertahkim kepada selain yang diturunkan oleh Allah. Antara punca para sahabat pada masa itu dikafirkan oleh kelompok Khawarij adalah lantaran tidak mengikut jejak mereka dalam menghukum sesat dan mengkafirkan Khalifah Ali radiallahu ‘anhu.

Ibn Taimiyah pernah menjelaskan: Dasar penekanan Khawarij ialah mengkafirkan seseorang lantaran ia berdosa, padahal berdosa tidak menyebabkan seseorang menjadi kafir. Prinsip mereka kembali kepada al-Quran, tetapi tidak kepada sunnah yang disangka menyalahi zahir al-Quran sekalipun sunnah yang mutawatir. Khawarij mengkafirkan dan menghalalkan darah serta segala apa yang ada pada orang Islam yang menentang mereka, tetapi tidak mengharamkan darah orang yang kafir. Rasulullah bersabda:

يَقْتُلُوْنَ اَهْلَ اْلاِسْلاَمَ وَيَدُعُوْنَ اَهْلَ اْلاَوْثِانِ.
“Mereka (Khawarij) membunuh (memerangi) ahlul Islam, tetapi membiarkan para penyembah berhala” (H/R Bukhari. No. 3644. Musl;im No. 1064. Lihat: Sahih al-Jami’ No. 2227. Nasruddin al-Albani.)

KHAWARIJ BUKAN AHLI SUNNAH WAL-JAMAAH

Khawarij tidak boleh digolongkan sebagai Ahli Sunnah kerana mereka tidak berpegang kepada pegangan Ahli Sunnah wal-Jamaah, begitulah yang disepakati oleh para ulama Ahli Sunnah wal-Jamaah tentang akidah dan manhaj Khawarij.

Khawarij diketahui sebagai golongan yang tidak mahu mentaati pemerintah Islam serta keluar untuk memberontak terhadap pemerintah serta pandai memecah-belahkan Jamaah termasuk mengecuhkan (membuat kacau) akan ajaran agama. (Lihat: Membongkar Firqah-Firqah Sesat. Hlm. 45. Syeikh Solih bin Fauzan al-Fauzan. Pustaka As-Salaf. Muharam 1420H/ Mei, 1999M) Perbuatan mereka ini bertentangan dengan firman Allah ‘Azza wa-Jalla dan dengan apa yang telah diwasiatkan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam tentang suruhan agar tetap taat kepada Allah dan Ulil Amri (pemerintah atau penguasa Islam). Firman Allah:

اَطِيْعُوْا اللهَ وَاَطِيْعُوْا الرَّسُوْلَ وَاُوْلِي اْلاَمْرِ مِنْكُمْ.
“Taatilah Allah, taatilah RasulNya dan Ulil Amri antara kamu”. An-Nisa, 59.

Perlu diketahui bahawa Allah Jalla wa-‘Ala memasukkan perkara taat kepada pemerintah merupakan bahagian dari agama. (Lihat: Membongkar Firqah-Firqah Sesat. Hlm. 45. Syeikh Solih bin Fauzan al-Fauzan. Pustaka As-Salaf. Muharam 1420H/ Mei, 1999M) Demikian pula Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam tidak memperbolehkan memberontak sebagaimana sabda baginda:

لاَ ، مَا اَقَامُوْا فِيْكُمْ الصَّلاَةَ

“Tidak (tidak boleh memberontak terhadap penguasa pemerintah Islam) selama mereka masih mendirikan solat ditengah-tengah kamu”. (H/R Muslim (1855))

Rasulullah sallallahu ‘alihi wa-sallam menjadikan perkara taat kepada pemerintah merupakan bahagian dari kewajipan agama Islam. Baginda bersabda:

اُصِيْكُمْ بِتَقْوَ ى اللهِ وَالسَّمْعَ وَالطَّاعَةِ ، وَاِنْ تَاَمَّرَ عَلَيْكُمْ عَبْدٌ ، فَاِنَّهُ مَنْ يَعِشْ مِنْكُمْ فَسَيَرَى اخْتِلاَفًا كَثِيْرًا.

“Aku wasiatkan kepada kamu untuk bertakwa kepada Allah, mendengar dan taat walaupun yang memerintah kamu adalah seorang hamba. Maka sesiapa yang masih hidup maka dia akan melihat perselisihan yang banyak”.

Oleh yang demikian, taat kepada pemerintah Islam adalah merupakan bahagian dari kewajipan dan sikap orang yang beragama Islam. Namun Khawarij akan menentang dan mengatakan: “Tidak! Kami adalah orang-orang merdeka”. Inilah antara cara revolusi yang Khawarij lakukan pada masa dahulu dan hari ini kepada orang Islam yang di luar kelompok mereka. Maka Khawarij adalah orang-orang yang menginginkan perpecahan Jamaah Muslimin dan mematahkan tongkat ketaatan rakyat terhadap pemerintah Islam serta bermaksiat kepada Allah dan RasulNya. Dan antara pendapat mereka yang paling mungkar ialah: “Sesiapa yang melakukan dosa besar (seperti tidak berhukum dengan hukum Allah) maka mereka dihukum sebagai kafir”. (Menurut ajaran Khawarij lagi) pelaku dosa besar seperti penzina, pencuri, penagih arak dan tidak berhukum dengan hukum Allah semuanya dianggap kafir sebagaimana kepercayaan mereka:

“Pelaku dosa besar itu kafir dan tidak akan diampuni serta kekal di dalam neraka”. (Lihat: Membongkar Firqah-Firqah Sesat. Hlm. 48. Syeikh Soleh bin Fauzan al-Fauzan. Cetakan pertama Muharam 1420H/Mei 1999M. Pustaka As-Salaf. Kartasura Solo. Indonesia)

AHLI SUNNAH MENENTANG KHAWARIJ

Keyakinan dan pegangan Ahli Sunnah wal-Jamaah bertentangan dengan pegangan Khawarij, kerana Ahli Sunnah wal-Jamaah menganggap bahawa pelaku dosa besar itu masih dianggap sebagai Muslim, iaitu Muslim yang kurang imannya (lemah imannya), hanya sahaja mereka menamakan mereka sebagai orang fasik (atau ‘asi) lantaran dosa-dosa kecil atau besarnya. Dosa besar tersebut tidak mengeluarkannya dari Islam, kecuali jika ia melakukan kesyirikan atau perkara-perkara yang telah diketahui membatalkan akidah keislamannya secara jelas (yang tidak lagi boleh ditakwil). Adapun dosa selain syirik, maka sesungguhnya tidak mengeluarkan seseorang dari keimanan walaupun melakukan dosar-dosa besar. Sebagaimana firman Allah ‘Azza wa-Jalla:

اِنَّ اللهَ لاَ يَغْفِرُ اَنْ يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُوْنَ ذَلِكَ لِمَنْ يَشَآءُ.

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik, dan Dia akan mengampunkan segala dosa selain dari (syirik) bagi sesiap yang dikehendakiNya”. An-Nisa, 116.

Banyak kata-kata Khawarij yang bertentangan dengan apa yang tersebut dalam Kitabullah. Semua itu terjadi disebabkan kerana mereka tidak mempunyai pengetahuan (tentang ilmu agama). Ini berlaku disebabkan mereka hanya kembali kepada al-Quran, tetapi meninggalkan tafsirnya (sunnah/hadis) terutama yang dirasakan bertentangan dengan akal fikiran, hawa nafsu dan lahir al-Quran yang berlandaskan akal perkiraan mereka.

Jika diperhatikan, punca yang menjerumuskan mereka ke dalam hal ini adalah tidak adanya pada mereka pengetahuan tentang ilmu agama secara yang sempurna dan meninggalkan manhaj para salaf as-Soleh (golongan awal). Mereka adalah sebuah hizbi yang sangat sungguh-sungguh dalam beribadah, solat, puasa, membaca al-Quran dan mempunyai semangat yang besar, akan tetapi mereka tidak faqih (faham) tentang agama Allah. Hal ini tentunya adalah suatu penyakit (kerosakan) bagi mereka.

Bersungguh-sungguh dalam ibadah dan wara’ haruslah disertai dengan ilmu dan pengetahuan tantang agama. Ketika Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihii wa-sallam menerangkan sifat-sifat Khawarij kepada para sahabat baginda, bahawa para sahabat solatnya lebih rendah dibandingkan solat Khawarij dan ibadah mereka lebih rendah dari ibadah Khawarij. Oleh yang demikian baginda bersabda:

يَمْرُقُوْنَ مِنَ الدِّيْنِ كَمَا يَمْرُقُ السَّهْمُ مِنَ الرَّمِيَّةِ.

“Mereka (Khawarij) keluar dari agama sebagaimana keluarnya anak panah dari sasarannya”. (H/R Bukhari (7432). Muslim (1064). Ahmad (111/73). An-Nasaii (2577). Abu Daud (7464) dan Ath-Thayalisi (2234))

Namun baginda tetap bersabda demikian padahal mereka (Khawarij) adalah kaum yang terkenal ibadahnya, kebaikan-kebaikannya dan solat malamnya. Akan tetapi kerana kesungguh-sungguhan mereka bukan di atas dasar yang benar (ikhlas) dan tidak di atas ilmu yang sahih, maka jadilah kesungguhan Khawarij itu sebagai bid’ah, fitnah dan keburukan yang menimpa mereka dan umat Islam.

KHAWARIJ MEMBENCI JAMAAH ISLAM

Kita tidak akan dapati bahawa Khawarij akan memerangi orang-orang kafir, tetapi mereka benci dan akan memerangi orang-orang Islam sebagaimana keterangan dari sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam:

يَقْتُلُوْنَ اَهْلَ اْلاِسْلاَمِ وَيَدْعُوْنَ اَهْلَ اْلاَوْثَانِ.

“(Khawarij) akan membunuh orang Islam dan meninggalkan (membiarkan) penyembah berhala”. (H/R Bukhari (7432). Muslim (1064). An-Nasaii (2577). Abu Daud (7464) dan Ath-Thaylisi (2234))

Tidak pernah diketahui dalam sejarah bahawa Khawarij pernah memerangi kaum kuffar dan musyrikin, akan tetapi selamanya mereka hanya memerangi kaum muslimin. Mereka membunuh Khalifah Ali bin Abi Talib, Zubair bin Awwam dan sahabat-sahabat pilihan lainnya. Mereka sentiasa mengecuhkan dan membunuh kaum muslimin sampai sekarang. Ini semua terjadi kerana kejahilan mereka tentang agama Allah Azza wa-Jalla, walaupun mereka adalah kaum yang dikenali kuat beribadah dan wara’. Tetapi kerana semua ini tidak berlandaskan ilmu yang benar jadilah semua itu sebagai bencana bagi mereka.

Oleh kerana itu, al-Allamah Ibnu Qayyim rahimahullah menegaskan dalam mensifatkan golongan Khawarij:


وَلَهُمْ نُصُوْصٌ قَصَّرُوْا فِى فَهْمِهَا # فَاُتُوْا مِنَ التَّقْصِيْرِ فِى الًعِرْفَانِ

“Mereka hafal nas-nas namun dangkal pemahamannya # Sehingga mereka diberi kekurangan dalam ilmunya”.

Khawarij suka dan pandai berdalih, bertikam lidah, berbolak-balik atau berdalih dengan nas-nas al-Quran atau hadis, tetapi mereka tidak memahaminya. Mereka berdalil dengan nas-nas al-Quran dan as-Sunnah tentang ancaman bagi pelaku maksiat, tetapi mereka tidak faham maknanya dan tidak mahu melihat (kembali) kepada nas-nas lain yang terdapat janji tentang pengampunan dan taubat bagi si pelaku maksiat selain syirik. Mereka hanya mengambil satu bahagian dan meninggalkan bahagian-bahagian yang lain. Hal ini terjadi kerana kejahilan mereka.

Sebenarnya rasa kecemburuan dan semangat terhadap agama tidak mencukupi kerana keduanya harus berlandaskan ilmu. Dengan berlandaskan ilmu dan pemahaman tentang agama Allah Azza wa-Jalla semua perkara dapat diletakkan pada tempatnya.

Kecemburuan dan semangat terhadap agama adalah baik, akan tetapi harus dibimbing dengan mengikuti al-Kitab dan as-Sunnah. Tidak ada yang lebih cemburu terhadap agama dan tidak ada yang lebih banyak nasihatnya terhadap kaum muslimin daripada para sahabat radiallahu ‘anhum, walaupun demikian, mereka membunuh Khawarij kerana mereka tahu bahaya dan buruknya perbuatan dan sikap Khawarij.

Contohnya, Ali bin Abi Talib radiallahu ‘anhu dan para sahabat yang lain memerangi Khawarij sehingga beliau merupakan orang yang membunuh mereka dengan seburuk-buruk pembunuhan pada peristiwa “Hanran”. Peristiwa tersebut sebagai bukti terhadap apa yang dikhabarkan oleh Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam:

“Bahawa Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam memberikan khabar gembira bagi siapa sahaja yang membunuh Khawarij dengan kebaikan dan syurga”.

Maka Ali bin Abi Talib yang membunuh mereka sehingga beliau mendapat apa yang diberitakan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam. Beliau membunuh mereka untuk mencegah kejahatan mereka terhadap kaum Muslimin.

Oleh itu wajib bagi kaum muslimin disetiap zaman apabila mendapati kerberadaan golongan Khawarij yang buruk ini untuk segera menghilangkannya dengan cara menyeru mereka ke jalan Allah dan menjelaskan kepada manusia tentang hal tersebut, kemudian jika mereka tidak melaksanakan, maka perangilah mereka untuk menolak kejahatan yang ada pada mereka.

Ali bin Abi Talib radiallahu ‘anhu pernah mengutus kepada Khawarij anak pamannya iaitu Abdullah bin Abbas, orang yang paling alim dan penafsir al-Quran untuk berdebat dengan mereka. Berkat pertolongan Allah, sebahagian mereka kembali bersama dan taat kepada Khalifah Ali iaitu sejumlah 6000 orang. Bakinya yang banyak tidak kembali ke jalan kebenaran, sehingga diperangi oleh Amirul Mukminin Ali bin Abi Talib berserta para sahabat untuk mencegah kejahatan dan gangguan mereka terhadap kaum Muslimin. (Semua teks dalam tajuk “Siapakah Yang Dinamakan Khawarij” ini dinukil (disalin) dari kitab “Lamhah ‘Anil Firaq ad-Dalalah”. Oleh Syeikh Solih bin Fauzan al-Fauzan)

SENJATA KHAWARIJ

Sememangnya syariat Allah Subhanahu wa-Ta’ala diturunkan semata-mata hanyalah untuk dilaksanakan dan dijadikan rujukan hukum ahkam akidah dan ibadah bagi semua manusia kerana Allah Azza wa-Jalla telah berfirman:

وَاَنِ احْكُمْ بِيْنَهُمْ بَمَا اَنْزَلَ اللهُ.

“Dan hendaklah engkau memutuskan hukum antara mereka menurut yang yang telah diturunkan Allah”. Al-Maidah, 49.


فَلاَ وَرَبِّكَ لاَ يُؤْمِنُوْنَ حَتَّى يُحَكِّمُوْكَ فِيْمَا شَجَرَ بِيْنَهُمْ.

“Maka demi Tuhanmu, mereka (pada hakikatnya) tidak beriman sehingga mereka menjadikan kamu hakim terhadap perkara yang mereka perselisihkan”. An-Nisa, 65.

Namun, laungan golongan Khawarij atau yang sefahaman dengan mereka menyerukan tauhid hakimiyah melalui tafsiran hawa nafsu dan akal fikiran mereka yang sempit demi untuk mencapai matlamat jahat mereka. Alasan mereka untuk mendirikan Daulah Islamiyah dan melaksanakan hukum Allah.

Perlu diketahui, sama ada disedari atau tidak disedari oleh mereka yang terperangkap oleh perangkap Khawarij, sebenarnya tujuan golongan ini bukanlah untuk mengajar kaum muslimin tentang tauhid yang dibawa oleh para nabi dan para rasul atau untuk berhukum dengan hukum Allah, melainkan hanyalah sebagai senjata politik mereka untuk mencapai tujuan dan matlamat mereka yang keji, iaitu takfir (pengkafir dan mengkafirkan) bagi sesiapa yang tidak masuk ke dalam jamaah dan perjuangan mereka.

Segala usaha dan tipu daya para penyeru tauhid hakimiyah yang sedang diperjuangkan oleh golongan hizbi dan haraki yang lebih dikenali sebagai Khawarij dan Muktazilah gaya baru ini (istilah “khawarij dan muktazilah gaya baru” ini adalah merujuk kepada kenyataan yang diutarakan oleh sheikh Nashiruddin al-Albani), ialah dengan mempersempit pengertian dan maksud tauhid hakimiyah, sehingga mengidentitikan hanya dalam satu masalah sahaja, iaitu melaksanakan hudud secara politis.

Dengan kata lain, kononnya untuk menegakkan hakimiyah (kekuasaan hukum Allah) di muka bumi, tetapi hanya difokaskan pada pelaksanaan hukum pidana, penerapan hukum-hukum sosial politik dan menafsirkan dalil-dalil syara’ mengikut penafsiran mereka yang telah disalah ertikan yang semata-mata bertujuan untuk menentang penguasa dan pemerintah Islam yang dianggap tidak berhukum dengan hukum Allah. Inilah antara kesalahan di segi akidah dan manhaj (prinsip) yang paling besar yang telah mereka lakukan.

Adapun laungan jihad dan teriakan “Allahu Akbar” di samping tauhid hakimiyah yang diserukan oleh kelompok hizbi haraki Khawarij dan Muktazilah gaya baru ini, tidak lain hanya bertujuan meraih kekuasaan atau menuntut pemerintahan sahaja.

HAKIMIYAH ALA KHAWARIJ

Kebanyakan pejuang, penggerak dan penyeru tauhid hakimiyah ala Khawarij dan Muktizalah, kebiasaannya mengenepikan masalah akidah yang sebenar dan asas (tauhid, uluhiyah, tauhid rububiyah dan tauhid asma wa-sifat), menyelewengkan tujuan dakwah dan tarbiyah serta bertopeng di sebalik perilaku dan kesopanan dalam perjuangan mereka, tetapi hakikat yang sebenarnya mereka adalah serigala yang tidak pernah puas dengan mangsa-mangsanya. Mereka sengaja melepaskan (mengenepikan) persoalan asas akidah dari pengamatan politik lantaran matlamat mereka secara politis agar umat Islam mendapatkan kekuasaan, sekalipun cara untuk mencapainya melalui jalan yang tidak berdasarkan hukum Islam yang sebenarnya. Lalu mereka mengabaikan isu-isu dan persoalan kesyirikan serta pemahaman (penerapan) dasar-dasar ilmu yang sebenar. Mengabaikan kejahilan masyarakat dan diri sendiri. Hanyut dalam perjuangan yang bertopengkan menegakkan “daulah Islamiyah” yang didirkan atas dasar nafsu dan emosi.

Mereka menekankan bahawa melaksanakan hukum Allah hanya dibebankan kepada pemerintah sahaja, sehingga perjuangan mereka menitik-beratkan bagaimana cara menjatuhkan seseorang penguasa (pemerintah) yang mereka nilai secara tafsiran mereka sendiri tidak melaksanakan hukum Allah, kafir, zalim atau fasik. Tafsiran seperti ini amat bertentangan dengan penafsiran Ahli Sunnah wal-Jamaah yang bermanhaj Salaf as-Soleh.

Golongan Khawarij mengwujudkan gerakan-gerakan untuk menghidup dan menegakkan tauhid hakimiyah dengan cara-cara yang bid’ah. Mereka mendakwa jika seseorang penguasa dijatuhkan kemudian digantikan dengan seorang Imam, maka rakyat akan berubah menjadi muslim. Maka mereka mengukur keislaman seseorang dan pemerintah Islam hanya pada segi perlaksanaan hukum (sebagai contoh - terutamanya hudud).

Dari penerangan di atas, jelaslah amat berbeza pemahaman para ulama Ahli Sunnah wal-Jamaah yang bermanhaj Salaf as-Soleh tentang pengertian tauhid (akidah) dengan pemahaman Khawarj, kerana manhaj Salaf as-Soleh menyeru semua lapisan masyarakat untuk melaksanakan hukum Allah sebagai ibadah di setiap sendi kehidupan mereka, bermula dari masalah membangun ummah rohani dan kebendaan, etika kebersihan (bersuci) sehinggalah yang besar seperti akidah, pengurusan dan pembentukan Daulah Islamiyah, iaitu dengan dakwah dan nasihat yang lemah-lembut, amar makruf nahi mungkar. Di samping itu semua, menjaga kehormatan dan maruah pemerintah, harga diri serta darah kaum Muslimin.

Perlu disedari bahawa seruan dakwah Islamiyah secara syumul ditujukan kepada semua lapisan manusia, sama ada pemerintah, rakyat biasa, lelaki, wanita, orang tua, orang muda dan yang miskin atau kaya. Firman Allah:

كُنْتُمْ خَيْرَ اُمَّةٍ اُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَاْمُرُوْنَ بِالْمَعْرُوْفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَتُؤْمِنُوْنَ بِاللهِ.

“Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar serta beriman kepada Allah”. Ali Imran, 3:110.

DEMONSTRASI PERTAMA DALAM SEJARAH ISLAM

Kejadian terbunuhnya Amirul Mukminin Uthman bin Affan radiallahu ‘anhu dan tercetusnya pemikiran, harakah dan firqah Khawarij sangat erat hubungannya dengan demonstrasi. Ini menunjukkan bahawa perbuatan mengadakan demonstrasi pertama dalam Islam adalah bid’ah ciptaan Khawarij. Kronologis menyayat hati yang menyebabkan terbunuhnya Uthman adalah berpunca dari protes, demonstrasi dan isu-isu tentang keburukan Khalifah Uthman yang berpangkal dari golongan Khawarij. (Lihat: *Demonstrasi Bukan Jihad Tapi Maksiat. Rasul bin Dahri.)

MELAKSANAKAN HUKUM ALLAH

Pemahaman Hizbi Haraki (kolompok pengerak) Khawarij dan Muktazilah amat berbeza dengan pemahaman Ahli Sunnah wal-Jamaah tentang berhukum dengan hukum Allah. Menurut manhaj Ahli Sunnah wal-Jamaah yang mengikut jalan Salaf as-Soleh, bahawa kewajipan dan tanggung jawab melaksanakan dan menegakkan hukum ahkam Allah terkena kepada semua peringkat. Ia diwajibkan (sama ada yang wajib ‘ain atau kifayah) kepada penguasa (pemerintah/pemimpin), umat dan individu. Ini berdasarkan hadis Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam:


اَلاَ كُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْئُوْلٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ ، فَاْلاِمَامُ رَاعٍ وَهُوَ مَسْئُوْلٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ ، وَالرَّجُلُ رَاعٍ وَهُوَ مَسْئُوْلٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ ، وَالْمَرْاَةُ رَاعِيَةٌ فِى بَيْتِ زَوْجِهَا وَهِيَ مَسْئُوْلٌ عَنْ رَاعِيَّتِهَا ، وَالْخَادِمُ رَاعٍ فِى مَالِ سَيِّدِهِ وَهُوَ مَسْئُوْلٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ.

“Ketahuilah! Sesungguhnya setiap kamu adalah penanggungjawab, setiap kamu dipersoalkan (ditanya oleh Allah) tentang apa yang menjadi tangung jawabnya. Seorang Imam (pemimpin) adalah penanggungjawab, ia akan ditanya tentang apa yang menjadi tanggungjawabnya, seorang lelaki adalah penanggungjawab, ia akan ditanya tentang apa yang menjadi tanggungjawabnya. Seorang perempuan adalah penanggungjawab dalam rumah suaminya, ia akan ditanya tentang apa yang menjadi tanggung jawabnya. Seorang khadam (pekerja/kuli) adalah penanggung jawab terhadap harta majikannya, ia akan ditanya tentang apa yang menjadi tanggung awabnya”. (Hadis Muttafaq ‘Alaihi.)

Melalui hadis di atas ini, setiap mukmin sewajarnya tahu, bahawa menegakkan hukum Allah ‘Azza wa-Jalla tertimpa kepada semua umat, bukan hanya setakat pemerintah, pemimpin atau individu tertentu sahaja.

PANDANGAN ULAMA TERHADAP HAKIMIYAH

Menurut para ulama Ahli Sunnah wal-Jamaah yang bermanhaj Salaf as-Soleh, jika tauhid hakimiyah ini dijadikan bahagian tauhid yang tersendiri atau sebagai tambahan kepada tiga tauhid yang sudah dikenali iaitu tauhid rububiyah, uluhiyah dan tauhid asma wa-as-sifat wa-azzat, maka ia adalah suatu perbuatan yang jelas muhadas (bid’ah yang diada-adakan) yang diharamkan oleh syara. Kerana tidak pernah difatwakan oleh seorang pun para imam yang muktabar. Syeikh Safwat Nuruddin berkata:

“Sesiapa yang berpendapat bahawa tauhid hakimiyah sebagai bahagian terpisah dari bahagian-bahagian (tauhid rububiyah, uluhiyah dan asma wa-sifat) dan akidah, maka itu adalah pendapat yang tidak tepat. (Syeikh Safwat Nuruddin adalah ketua Jam’iyah Ansar us Sunnah Mesir.)

Tauhid hakimiyah yang tidak diperasani dan dikenali oleh kebanyakan masyarakat Islam Nusantara akan kebatilannya, sama ada hakikat ajaran atau perjuangannya, terutama yang belum pernah mendengar kalimah ini (tauhid hakimiyah), maka oleh itu, mulai sekarang mereka perlu mengetahui dan mengenalinya, bahawa tauhid hakimiyah ini sengaja diada-adakan oleh puak Khawarij semata-mata untuk tujuan politik dan dijadikan sebagai syi’ar atau senjata politik untuk mendapatkan sokongan rakyat dan meramaikan pengikut yang bertujuan untuk menjatuhkan pemerintahan Islam.

Ideologi Khawarij sejak dizaman Khalifah Ali radiallahu ‘anhu, sentiasa dihidupkan oleh hizbi-hizbi (parti politik atau golongan anti pemerintah Islam) yang diistilahkan oleh Syeikh Nasruddin al-Albani rahimahullah sebagai Khawarij Gaya Baru (KGB).

APA ITU TAUHID HAKIMIYAH?

Tauhid hakimiyah yang dimaksudkan oleh Khawarij mempunyai beberapa tafsiran dan definisi, antaranya:

Menafsirkan kalimah tauhid atau kalimah ikhlas iaitu: (لااله الا الله) kepada makna: Tidak ada hakim selain Allah atau tidak ada yang menentukan takdir selain Allah. Dengan dasar ini puak Khawarij yang dahulu dan yang aktif semula sekarang ini mudah mengkafirkan (menghukum kafir mutlak atau syirik) kepada sesiapa yang tidak berhukum dengan hukum Allah. Menurut mereka: Batal (tidak sah) akidah tauhid sesiapa yang tidak berhukum dengan hukum Allah. Adapun tujuan mereka dari laungan dan propaganda ini tidak lain hanyalah sebagai senjata politik dan pelengkap di’ayah politik mereka yang mungkar. Inilah juga ciri-ciri khas hizbi-hizbi (parti) yang ada pada hari ini untuk menjatuhkan pemerintah Islam dan memecah-belahkan umat Islam.

Pengertian hakimiyah diambil dari penafsiran yang diselewengkan terhadap ayat: (ان الحكم الا لله) bermakna: “Tidak ada hukum kecuali milik Allah”. Di zaman Ali radiallahu ‘anhu puak Khawarij menggunakan kalimah ini sebagai propaganda dan perantara untuk menghalalkan pemberontakan terhadap pemerintahan Khalifah Ali radiallahu ‘anhu dan mengangkat senjata memerangi para sahabat. Pada zaman ini puak Khawarij kembali menggunakan kalimah ini (tauhid hakimiyah) untuk mengkafirkan para penguasa Islam, menghalalkan darah dan pemberontakan.

Tauhid hakimiyah ini dipetik melalui penafsiran yang salah tentang firman Allah: (وَمَنْ لَمْ يَحْكُمْ بِمَا اَنْزَلَ اللهُ فَاُولَئِكَ هُمُ الْكَافِرُوْنَ) “Sesiapa yang tidak berhukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah maka mereka adalah orang-orang yang kafir”.

Dari ayat ini, golongan Khawarij dan mereka yang sefahaman dengannya terutama Muktazilah dalam pola pemikiran politiknya, termasuklah KGB (Khawarij Gaya Baru) yang bermunculan dewasa ini, mereka mengkafirkan sesiapa yang tidak sefahaman dengan mereka atau yang tidak berjuang dengan mereka dan sesiapa sahaja yang tidak mentaati hukum Allah Subhanahu wa-Ta’ala (tidak berhukum dengan hukum Allah), sama ada pemerintah, lembaga-lembaga yang berkaitan dengan pemerintah, jamaah atau individu.

Hakikatnya, laungan, seruan atau propaganda tauhid hakimiyah dewasa ini yang diserukan oleh hizbi-hizbi (parti politik yang bertopengkan Islam) hanya semata-mata untuk menggerakkan harakah politik yang bid’ah dan bukanlah politik Islam (siasah Islamiyah) yang sebenar.

PENGERTIAN POLITIK (SIASAH)

Politik yang dalam Bahasa Arab disebut “Siasah”, secara harfiahnya dapat dimaksudkan sebagai mengurus atau memimpin sebagaimana sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam:

كَانُوْا بَنُوْا اِسْرَائِلَ يَسُوْيُهُمْ اَنْبَيَاءُ هُمْ.

“Adapun Bani Israil dipimpin oleh para nabi mereka”. (H/R Bukhari dan Muslim)

Secara syar’i pula politik (siasah) diertikan sebagai mengelola segala kepentingan rakyat dalam lingkup negara dengan cara-cara yang dapat menjamin ter-realisasinya kemaslahatan umum, dan menghindarkan segala macam kerugian dengan jalan yang tidak melanggar syariat Islamiyah melalui kaedah-kaedah asasinya, sekalipun tidak sejalan dengan pendapat para tokoh mujtahid. (Lihat: Madarikun nadar fis siasah. Syeikh Abdul Malik al-Jazair. Tahqiq Syeikh Nashiruddin al-Albani)

Antara yang dimasukkan ke bidang politik (siasah) ialah hukum ahkam (juga perundangan) pemerintah, pengadilan, selok-belok kementerian, lembaga-lembaga pemerintah, urusan ketenteraan (termasuk kepolisan) dan sebagainya. (Lihat: Al-Ahkamus Sultaniyah. Al-Mawardi) Para pemimpin (Ulil Amri) yang mampu berijtihad untuk melakukan kebajikan politik (siasah syariah) tidak terikat pada pendapat para imam terdahulu. Kerana kebajikan politik adalah usaha untuk mengwujudkan kepentingan umum (rakyat) yang tidak ditetapkan secara khusus oleh agama, sebaliknya hanya diberikan pendoman umum. Contohnya, penulisan al-Quran dalam satu mushaf pada masa Khalifatur Rasyidin. Semua catitan ayat-ayat al-Quran lainnya dibakar setelah mushaf sempurna ditulis. (Lihat: I’lamul Muqiin) Perkara ini dilakukan berdasarkan prinsip kepentingan umum.

Ibn Nujaim berkata:

“Politik (siasah) secara syari atau akli (akal), disepakati wajib hukumnya” (Lihat: Madarikun Nadar Fi Siasah. Hlm. 14), lantaran masalah kehidupan manusia tidak akan berjalan dengan teratur tanpa adanya siasah dan pemimpin. Sama ada pemimpin tersebut adil atau zalim. Dalam sebuah kata-kata hikmah telah disebutkan:

“Sultan (pemimpin/pemerintah) yang zalim lebih baik dari pada kekacauan (huru-hara) yang berterusan (kerana tidak ada pemimpin)”. (Lihat: Raudhatul Uqala. Hlm. 270)

Syeikhul Islam Imam Ibn Taimiyah rahimahullah berkata:

“Seseorang itu sewajarnya mengetahui bahawa mengurus (mengatur) persoalan kehidupan manusia merupakan kewajiban agama yang tertinggi, malah agama dan dunia tidak akan sempurna tanpa siasah”. (Lihat: Madarikun Nadar Fis Siasah. Hlm. 14)

Sememangnya manusia tidak berdaya mengurus kepentingan mereka dengan baik jika tidak bersatu di bawah satu siasah dan seorang pemimpin (pemerintah). Kewajipan amar makruf dan nahi mungkar tidak akan terlaksana tanpa adanya kekuatan siasah dan kepemimpinan (pemerintah). Oleh itu para ulama sewajarnya bersatu di bawah naungan pemimpin untuk amar makaruf dan nahi mungkar. Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam telah menjelaskan hakikat perkara ini:

اِنَّ السُّلْطَانَ ظِلُّ اللهَ فِى اْلاَرْضِ فَمَنْ اَهَانَهُ اَهَانَهُ اللهُ وَمَنْ اَكْرَمَهُ اَكْرَمَه الله.

“Sesungguhnya seorang pemerintah itu adalah naungan Allah di bumi, sesiapa menghinanya, maka Allah akan menghina dia dan sesiapa yang memuliakannya, nescaya Allah akan memuliakan dia”. (Hadis sahih riwayat Ibnu Abi ‘Asim, Ahmad, At-Thoyalisi, Turmizi dan Ibnu Hibban. Disahihkan juga oleh Syeikh al-Albani dalam “Ad-Dhilal (1017) dan (1023) dan lihat: As-Sahih (2297))

لاَ تَسُبُّوْا اُمَرَاءَ كُمْ وَلاَ تَغِشُّوْهُمْ وَلاَ تَبْغَضُوْاهُمْ وَاتَّقُوْا الله وَاصْبِرُوْا فَاِنَّ اْلاَمْرَ قَرِيْبٌ.

“Janganlah kamu mencela pemimpin-pemimpin kamu, janganlah kamu dengki kepada mereka dan janganlah kamu membenci mereka, bertaqwalah kepada Allah dan bersabarlah, sesungguhnya perkaranya adalah dekat”. (Hadis sahih riwayat Ibnu Abi ‘Asim. Disahihkan oleh al-Albani. Lihat: Ad-Dhilal, hlm. 474 (1015))

FATWA PARA ULAMA

Para ulama terutamanya dari kalangan ulama yang bepegang kepada manhaj Salaf as-Soleh, mereka menegaskan bahawa tauhid hakimiyah adalah sesuatu yang muhdas (bid’ah). Tauhid hakimiyah ternyata digunakan oleh golongan Khawarij dahulu dan Khawarij masa kini untuk mengajak kepada hizbi, politik kotor, perpecahan, demonstrasi, pemberontakan dan revolusi. Yang mana akhirnya mengkafirkan sesiapa sahaja yang tidak menerima dasar dan teori tauhid hakimiyah yang mereka amal dan propagandakan walaupun apa yang mereka lakukan tidak mengatas-namakan tauhid hakimiyah.

Antara para ulama yang menolak (mengharamkan) dan menganggap bid’ah tauhid hakimiyah ciptaan Khawarij ini ialah:

(1). Abdullah As-Sabt. Menurut beliau bahawa teori tauhid hakimiyah ialah:

“Kalimah yang hak, tetapi yang dikehendaki adalah kebatilan”.

Ia dijadikan tauhid yang keempat oleh puak Khawarij, sedangkan pembahagian para ulama Ahli Sunnah wal-Jamaah yang bermanhaj Salaf as-Soleh bahawa tauhid hanya terbahagi kepada tiga, iaitu: Tauhid Rububiyah, Tauhid Uluhiyah dan Tauhid Asma wa-Sifat. Mencipta tauhid hakimiyah merupakan penyelewengan dari manhaj Ahli sunnah wal-Jamaah yang bermanhaj Salaf as-Soleh dalam beberapa permasalahan, kerana hakimiyah digunakan untuk mengajak kepada pemberontakan dan revelosi. Ini adalah cara dan tujuan Khawarij terdahulu yang sudah usang.

(2). Syeikh Soleh bin Ghanim As-Sadlan berkata tentang penafsiran kalimah tauhid kepada tauhid hakimiyah: Adapun jika kamu katakan bahawa (لااله الا الله) dengan makna “Tidak ada hakim selian Allah atau Tidak ada yang menentukan takdir selain Allah” maka ini adalah penafsiran yang menyimpang. Namun, jika seseorang yang mengucapkannya dan menafsirkannya dengan maksud pengikraran terhadap tauhid ibadah atau uluhiyah, yang Allah mengutus para rasul kerananya, maka ini adalah pengikraran yang benar.

Oleh kerana itu, dalam keadaan apa pun kita tidak boleh meyakini bahawa makna kalimah (لااله الا الله) bukanlah bermakna (لا حاكم الا الله) “Tidak ada hakim selain Allah” (Syeikh Soleh bin Ghanim as-Sadlan, seorang pensyarah di Universiti Imam Muhammad bin Su’ud al-Islamiyah (Saudi Arabia) kerana penafsiran ini adalah penafsiran yang menyimpang. Oleh itu hakimiyah tidak boleh dipisahkan dari tauhid uluhiyah atau menjadi tauhid yang menyendiri.

Syeikh Soleh as-Sadlan seterusnnya menjelaskan: Sesiapa yang menjadikan tauhid al-Hakimiyah sebagai bahagian keempat dari pembahagian tauhid, maka boleh jadi dia adalah seorang yang jahil atau seorang pembuat bid’ah yang mengambil pendapat ahli falsafah dan orang-orang yang tidak mempunyai ilmu tentang akidah dan syariah. Atau boleh jadi dia orang yang menyalin perkatan orang lain, tetapi dia tidak mengetahui apa yang dia ambil.

SIAPA PENCETUS TAUHID HAKIMIYAH?

Orang yang pertama kali mengucapkan (لا حاكم الا الله) “Tidak ada hukum (hakim) kecuali bagi Allah, iaitu bermaksud tauhid hakimiyah adalah golongan Khawarij. Golongan ini memberontak terhadap Ali bin Abi Talib radiallahu ‘anhu setelah perkara tahkim (penghakiman) berlaku, yang mana Abu Musa al-Asy’ari dan Amr bin Al’Ash berhukum dengan perkara tahkim sebagaimana yang dikehendaki oleh Khalifah Ali bin Abi Talib radiallahu ‘anhu dan yang telah disepakati oleh para sahabat radiallahu ‘anhum.

Kemudian berlaku pemberontakan yang dilakukan oleh satu kelompok dari pasukan Ali yang dikenali sebagai Khawarij dengan berhujjahkan: (لا حاكم الا الله) “Tidak ada hakim selain Allah”. Maka Ali mengatakan kepada mereka كَلِمَةُ الْحَقِّ اَرَادَ بِهَا البَاطِل “Kalimah yang hak, namun yang dikehendaki ialah kebatilan”.

Sememangnya ucapan kalimah “La Hakima Illallah” adalah hak kerana berdasarkan firman Allah:


وَاَنِ احْكُمْ بَيْنَهُمْ بِمَا اَنْزَلَ اللهُ.

“Dan hendaklah engkau menghukumi antara mereka dengan apa-apa yang telah diturunkan oleh Allah”. Al-Maidah, 49.


اَفَحُكْمَ الْجَاهِلِيَّةِ يَبْغُوْنَ وَمَنْ اَحْسَنُ مِنَ اللهِ حُكْمًا لِقَوْمِ يُوْقِنُوْنَ.

“Apakah Hukum jahiliyah yang mereka kehendaki, dan siapakah yang lebih baik hukumnya daripada Allah bagi orang-orang yang yakin”. Al-Maidah, 50.

Walaupun kalimah di atas ini adalah kalimah yang hak (benar) kerana landasannya al-Quran, tetapi apabila ditafsir dan digunakan secara salah dan ekstrim dalam penerapannya yang bertujuan untuk kepentingan politik, maka hal ini jauh dari kebenaran dan petunjuk Allah Subhanahu wa-Ta’ala.

Dari kalimah yang dilaungkan oleh golongan Khawarij inilah (yang bererti tauhid hakimiyah) terjadinya fitnah besar seperti menyeru mengadakan demonstrasi, pemberontakan, perpecahan, saling kafir mengkafirkan (takfir) dan berlakunya pertumpahan darah sesama umat Islam.

Akidah tauhid hakimiyah ini telah dihidup-suburkan semula di zaman moden ini oleh golongan Khawarij Gaya Baru (KGB). Maksud dan matlamat mereka adalah sama dengan tujuan dan matlamat Khawarij zaman Khalifah Uthman dan Khalifah Ali radiallahu ‘anhuma, iaitu caranya bermula dengan hasutan, menghancurkan tradisi atau budaya, membuat fitnah dan demonstrasi. Kemudian apabila mendapat sokongan atau pengikut yang ramai, maka diwujudkan penentangan terhadap pemerintah secara terang-terangan, pemberontakan dan pengkafiran terhadap pemerintah Islam yang akhirnya akan berlaku pepecahan dan pertumpahan darah.

Khawarij dahulu dan Khawarij sekarang (KGB) tetap sama. Mereka memisahkan diri dari pemerintah secara memainkan isu pengkafiran. Mereka mengkafirkan pemerintah dengan berhujjahkan: لاَ حَاكِمَ اِلاَّ الله sebagaimana yang mereka telah lakukan dengan mengkafirkan Khalifah (Amirul Mukminin Ali radiallahu anhu) dan para penguasa yang menyebelahi Khalifah Ali dengan melaung-laungkan hujjah tersebut (tauhid hakimiyah), sehingga dengan berani mengatakan kepada Ali radiallahu ‘anhu:

“Engkau telah keluar dari agama Islam, maka hendaklah engkau mengakui bahawa engkau telah kafir, bertaubatlah engkau setelah itu barulah kami membaiat engkau”.

FATWA ULAMA TENTANG KHAWARIJ

Dari kata-kata (kalimah) keterlaluan yang diucapkan oleh Khawarij inilah maka para ulama Ahli Sunnah wal-Jamaah yang bermanhaj Salaf as-Soleh, mereka menghukum bahawa golongan Khawarij dan sesiapa sahaja yang berpegang dengan fahaman atau manhaj Khawarij, maka ia termasuk dalam golongan yang terkeluar dari millah Islamiyah.

HUKUM MENGKAFIRKAN PEMERINTAH ISLAM

Sekarang ini, telah muncul semula beberapa orang yang menyerukan seruan (Khawarij iaitu) al-Hakimiyah atau tauhid hakimiyah di negara kita ini. Seruan dan propaganda ini mendapat sokongan dari sebahagian besar orang-orang bodoh yang mengakibatkan berlaku kemungkaran, kerana timbul hukum pengkafiran terhadap orang-orang yang berbuat maksiat, sama ada mereka pemerintah atau rakyat. Mereka mengambil dalil untuk yang demikian ini melalui firman Allah Azza wa-Jalla: (Lihat: Penjelasan Syeikh Jamal al-Murakibi, anggota Lajnah Fatwa Jam’iyah Ansar as-Sunnah, Kahirah, Mesir dalam Harian al-Muslimun, Kuwait, no 639. Jumaat 25 Dzulhijah 1417H. 2hb. May, 1997)

وَمنْ لَمْ يَحْكُمْ بِمَا اَنْزَلَ اللهُ فَاُوْلِئِكَ هُمُ الْكَافِرُوْنَ.

“Sesiapa yang tidak berhukum dengan apa yang telah diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang kafir”. Al-Maidah, 44.

Golongan Ahli sunnah wal-Jamaah yang bermanhaj Salaf as-Soleh, mereka tidak pernah mengkafirkan orang yang tidak berhukum dengan apa-apa yang diturunkan Allah, kecuali apabila ia menentang hukum Allah tersebut dalam erti menolak hukum Allah padahal dia sudah benar-benar mengetahuinya. (Lihat: Penjelasan Syeikh Jamal al-Murakibi, anggota Lajnah Fatwa Jam’iyah Ansar as-Sunnah, Kahirah, Mesir dalam Harian al-Muslimun, Kuwait, no 639. Jumaat 25 Dzulhijah 1417H. 2hb. May, 1997)

Menurut keyakinan Ahli Sunnah wal-Jamaah yang berpegang kepada manhaj salaf as-Soleh bahawa kafir (kufur) itu dua jenisnya sebagaimana yang dijelaskan oleh para ulama usuluddin:

Pertama: Kufur Amal. Iaitu kufur kerana meninggalkan amal-amal yang wajib tetapi masih meyakini kewajipannya. Maka sesiapa sahaja yang meninggalkan suruhan (perintah) yang wajib dengan sengaja tetapi masih beriman dengan kewajipan tersebut, maka ia dihukum kufur asghar (كفر اصغر) “kufur kecil” yang tidak membatalkan akidahnya.

Kedua: Kufur (جحود) “Kufur Menentang” atau Kufur (عناد) “Kufur Membangkang”. Iaitu menentang hukum dengan keyakinan dan bermati-matian. Berkata Imam Az-Zahabi rahimahullah:

اِنَّمَا يكفرُ بَعْدَ عِلْمِهِ بِاَنَّ الرَّسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ ذَلَكَ ثُمَّ اِنَّهُ جَحَدَ ذَلَكَ، وَلَمْ يُؤْمِنْ بِهِ.

“Sesungguhnya (seseorang itu boleh) dikafirkan setelah ia mengetahuinya bahawasanya ia adalah sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam, kemudian benar-benar menentangnnya dan tidak beriman dengannya”. (Lihat: العلو للعلي العظيم hlm. 214)

Al-Hafiz Imam Az-Zahabi rahimahullah menghukumkan kafir kepada seseorang itu apabila berlaku dua sebab, iaitu:

Pertama: Apabila dia benar-benar menentang/membantah hukum Allah. Dan Kedua: Apabila dia tidak beriman dengan (hukum) yang diwahyukan oleh Allah Subhanahu wa-Ta’ala dan menolak sunnah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam.

Sebagai penutup, dibawakan hadis Rasulullah sallallahu ‘alihi wa-sallam dan fatwa Syeikhul Islam Ibn Taimiyah rahimahullah:

قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : مَنْ اَطَاعَنِيْ فَقَدْ اَطَاعَ اللهَ ، وَمَنْ يُعْصِنِيْ فَقَدْ عَصَى اللهَ ، وَمَنْ يُطِعِ اْلاَمِيْرَ ، فَقَدْ اَطَاعَنِيْ وَمَنْ يُعْصِ اْلاَمِيْرَ ، فَقَدْ عَصَانِيْ.

“Telah bersabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam: Sesiapa yang mentaati aku, sesungguhnya dia telah mentaati Allah. Sesiapa yang mendurhakai aku, maka sesungguhnya dia telah mendurhakai Allah. Sesiapa yang mentaati pemimpin sesungguhnya dia telah mentaati aku dan sesiapa yang durhaka kepada pemimpin sesunguhnya dia telah durhaka kepadaku”. (Lihat: H/R Muslim. Syarah Nawawi. Juz. 12. Hlm. 223.)

Fatwa Syeikhul Islam Ibn Taimiyah rahimahullah:

“Maka mentaati Allah dan RasulNya adalah wajib bagi setiap orang, begitu juga mentaati pemimpin Muslim adalah wajib kerana adanya perintah Allah untuk mentaati mereka. Sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya dengan mentaati para pemimpin Muslim, pahalanya adalah atas Allah dan siapa yang tidak mentaati mereka (para pemimpin Muslim) kecuali untuk memperolehi (dari pemerintah) satu kekuasaan (jawatan) dan harta semata, Jika mereka (para pemimpin tersebut) memberinya dia mentaatinya dan jika memberinya dia durhaka padanya, maka tidak ada kebahagian baginya di akhirat kelak”. (Lihat: مجموع فتاوى ابن تيمية Jld. 35. Hlm. 16-17)

وَبِاللهِ التَّوْفِيْقِ وَالْهِدَايَةِ ، واللهُ اَعْلَمْ ، وَالْحَمْدُ للهِ رَبِّ الْعَالِمِيْنَ

2 comments:

azrool said...

Assalamualaikum
ya akhi, saya nak tanya pasal ijmaa dalam fatawa Ibn taymiyyah dan ibn kathir,dengan fatawaa ibn bazz dan ibn uthaymeen mengatakan sesiapa tidak berhukum dengan hukum Allah (Shareeah, bukan org awam)adalah kafir. Banyak lagi fatawa daripada Ulama salaf berkenaan dengan kekufuran tidak berhukum dengan shareeah.
Semoga Allah azza wajal gives us the proper understanding of the deen ameen.
Here are the refrences.
Ibn Baz, majmoo fatawa ibn baz 4/416
ibn Uthaymeen, Majmoo fatawa Utheymeen 1/36
Ibn taymiyyah, Majmoo fatawa 28/468
Ibn Kathir, Bidayah wan nihayah 13/119, Tafseer maidah 50

ANNAS said...

Ketika Rasulullah Saw. menantang berbagai akidah bathil dan pemikiran rusak kaum musyrikin Mekkah dengan Islam, Beliau dan para Sahabat ra. menghadapi kesukaran dari tangan-tangan kuffar. Tapi Beliau menjalani berbagai kesulitan itu dengan keteguhan dan meneruskan pekerjaannya.