__________________________________________________________________________________

| Nawawi | Aqeedah | Fiqh | Anti Syirik | Galeri Buku | Galeri MP3 | U-VideOo |
__________________________________________________________________________________

Monday, March 30, 2009

87 - Menjawab 5 Syubhat Utama Golongan Yang Meraikan (Mensunnahkan) Perayaan Maulid Nabi

Menjawab 5 Syubhat Utama Golongan Yang Meraikan (Mensunnahkan) Perayaan Maulid Nabi

http://bahaya-syirik.blogspot.com

Perkataan Pelaku Perayaan Maulid:

Kami bawakan satu contoh dari Muhammad ‘Alwi al-Maliki, di dalam Kitabnya, Haulal Ihtifal bil Maulid an-Nabawy, m/s. 15-16:

“Sesunggunya perayaan Maulid yang berbentuk perhimpunan manusia, zikir, sedekah, dan puji-pujian serta pengagungan terhadap diri Nabi, ini adalah sunnah dan merupakan perkara-perkara yang dituntut dan terpuji di dalam syari’at dan telah datang hadis-hadis yang sahih berkenaan dengannya dan yang menyarankannya.”

Golongan yang membolehkan perayaan maulid di zaman ini memiliki banyak dalil-dalil yang kononnya boleh dijadikan sebagai hujjah disyari’atkan (atau disunnahkan) merayakan maulid Nabi. Namun sayangnya, kesemua dalil-dalil mereka tidak lepas dari empat keadaan:

1 – Ayat Qur’an atau hadis yang sahih, namun ditafsirkan dengan tafsiran yang menyimpang.

2 – Menggunakan hadis lemah dan palsu untuk menyokong pendapat mereka.

3 – Menggunakan atau mengedepankan perkataan sebahagian ulama yang melakukan kesilapan.

4 – Mengada-adakan pelbagai bentuk alasan yang tidak pernah ada di dalam agama.

Dengan ini, kami membawakan lima (5) hujjah utama mereka dalam menetapkan perayaan Maulid Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan kami sertakan sekali bantahan terhadap syubhat yang telah mereka bawakan.

Syubhat Pertama:

Mereka berdalilkan dengan firman Allah Subhanahu wa Ta’ala berikut:

“Katakanlah: Dengan kurnia Allah dan rahmat-Nya, hendaklah dengan itu mereka bergembira. Kurnia Allah dan rahmat-Nya itu adalah lebih baik daripada sesuatu yang mereka kumpulkan.” (Surah Yunus, 10: 58)

Lalu mengatakan:

“Allah Subhanahu wa Ta’ala memerintahkan kita supaya bergembira dengan rahmat-Nya, dan Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam adalah rahmat-Nya yang paling besar. Dengan sebab itulah, kita bergembira dan merayakan maulid (hari lahir) beliau.”

Jawaban/Bantahan:

1 – Penafsiran seperti ini adalah merupakan bentuk penafsiran yang tidak pernah dilakukan oleh para ulama salaf sama ada dari generasi sahabat mahu pun tabi’in.

Imam asy-Syatibi rahimahullah menjelaskan:

“Sesuatu nash yang tidak dijadikan dalil/sandaran ke atas sesuatu bentuk amal, amalannya tidak diterima. Dia berkata, “Seandainya ianya menjadi dalil ke atas amal tersebut, sudah tentu para sahabat dan tabi’in terlebih dahulu yang akan mentafsirkan ayat tersebut demikian. Akan tetapi, apa yang telah jelas bahawa kefahaman para salaf sama sekali bertentangan dengan apa yang difahami oleh generasi terkemudian tersebut. Tindakan generasi terkemudian dalam persoalan ini bertentangan dengan ijma’ generasi awal dan setiap orang yang menentang kesepakatan adalah salah. Umat Muhammad tidak bersepakat di atas kesesatan. Maka, apa pun yang mereka sepakati, sama ada mengerjakan sesuatu atau pun meninggalkan sesuatu, perkara tersebut dianggap sunnah dan merupakan petunjuk. Sesiapa sahaja yang menentang generasi salaf, bererti dia salah. Ini adalah memadai. Kebanyakan para ahli bid’ah dan sesat, mereka berdalilkan dengan al-Qur’an dan as-Sunnah, akan tetapi cara pemahaman mereka adalah dengan mengikut selera kelompok mazhab mereka masing-masing. Mereka mentakwilkan ayat-ayat mutasyabihat kepada pentakwilan yang umum dan mengira bahawa mereka akan memprolehi kebaikan.” (Rujuk: asy-Syatibi, al-Adillah asy-Syar’iyyah min al-Muwafaqaat, 3/41-44)

2 – Para ulama tafsir tidak pernah menyatakan “rahmat” yang disebutkan di dalam ayat tersebut adalah Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Para ulama tafsir termasuklah dari kalangan para sahabat juga tidak pernah mentafsirkan saranan bergembira di dalam ayat tersebut adalah dengan mengadakan perayaan maulid.

Yang dimaksudkan dengan rahmat di dalam ayat tersebut adalah pelajaran yang datang dari Tuhan. (Rujuk Surah Yunus, 10: 57-58)

Rahmat di situ merujuk kepada al-Qur’an. (Rujuk Surah al-Isra’, 17: 82)

Yang dimaksudkan dengan rahmat di dalam ayat tersebut adalah al-Qur’an dan Islam. (Rujuk: Ibnu Jarir ath-Thabari, al-Jami’ al-Bayan (Tafsir ath-Thabari))

Abu Sa’id al-Khudri dan Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhum berkata:

“Kurnia Allah itu adalah al-Qur’an, dan rahmat-Nya adalah agama Islam.”

Qotadah rahimahullah menjelaskan:

“Kurnia Allah adalah iman dan rahmat-Nya adalah al-Qur’an.” (Rujuk: al-Qurthubi, al-Jami’ li Ahkamil Qur’an)

Perkara yang dijadikan kegembiraan di situ adalah dengan sebab petunjuk dan agama yang benar. (Rujuk: Ibnu Katsir, Tafsir Ibnu Katsir)

Ibnul Qayyim rahimahullah menjelaskan:

“Para salaf telah sepakat mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan kurnia dan rahmat Allah itu adalah Islam dan Sunnah Nabi.” (Ibnul Qayyim, Ijtima’ al-Juyusy al-Islamiyah)

3 – Perlu juga kita fahami bahawa yang menjadi rahmat bagi manusia bukanlah kelahiran beliau, akan tetapi rahmat diturunkan apabila beliau diutuskan (sebagai Rasul Allah) kepada mereka dengan membawa risalah kebenaran dari Allah Subhanahu wa Ta’ala. Inilah yang telah dijelaskan di dalam dalil-dalil yang terang di antaranya:

“Dan tidaklah Kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam.” (Surah al-Anbiya’, 7: 107)

Daripada Abu Hurairah rahiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Sesungguhnya aku tidaklah diutus sebagai orang yang suka melaknat, akan tetapi aku diutus hanya sebagai rahmat.” (Hadis Riwayat Muslim)

Syubhat Kedua:

Imam as-Suyuti berkata:

“... lalu aku melihat imam al-Qurra’, al-Hafiz Syamsuddin Ibnul Jauzi berkata di dalam kitab beliau yang berjudul ‘Urfut Ta’rif bil Maulid asy-Syarif dengan nash seperti berikut, “Telah diperlihatkan Abu Lahab setelah meninggalnya di dalam mimpi. Dikatakan kepadanya, “Bagaimana keadaanmu?”, dia pun menjawab, “Di dalam neraka ini, siksaanku hanyalah diringankan pada setiap malam Isnin dan dituangkan (dialirkan) di antara dua jariku air sebesar ini (dia memberi isyarat dengan hujung jarinya) disebabkan aku memerdekakan Tsuwaibah ketika dia memberitahuku berita gembira tentang kelahiran Nabi dan kerana dia telah menyusukannya”.

Jika Abu Lahab yang kafir dan al-Qur’an juga telah mencelanya, telah diringankan (siksaannya) di neraka dengan sebab kegembiraan dia dengan malam kelahiran Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, maka apatah lagi jika keadaan orang yang bertauhid dari kalangan umat Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam yang bergembira dengan kelahiran beliau dan mengerahkan seluruh kemampuannya di dalam urusan mencintai beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam? Saya bersumpah bahawa tidak ada balasannya dari Allah yang Maha Pemurah, melainkan Dia akan memasukkannya berkat keutamaan dari-Nya ke dalam Syurga-syurga yang penuh kenikmatan.” (as-Suyuti, al-Hawi lil Fatawa, 1/196-197)

Kisah ini juga telah digunakan pakai oleh Muhammad bin ‘Alwi al-Maliki untuk berhujjah menghalalkan perayaan Maulid Nabi dengan katanya:

“Telah datang di dalam Shahih al-Bukhary bahawa diringankan siksaan Abu Lahab setiap hari Isnin disebabkan dia memerdekakan Tsuwaibah...” (Muhammad ‘Alwi al-Maliki, Haulal Ihtifal bil Maulid, m/s. 8)

Jawaban/Bantahan:

1 - Perbuatan menyandarkan kisah di atas kepada imam al-Bukhary adalah sebuah pendustaan yang sangat jelas. Ini adalah kerana tidak ada satu pun kisah seperti itu di dalam Shahih al-Bukhary. (Rujuk: Syaikh Hammud at-Tuwaijiry, ar-Raddul Qowy, m/s. 56)

Ada pun hadis yang paling dekat dengan kisah tersebut adalah sebagaimana berikut konteknya (maksudnya):

“Pada asalnya Tsuwaibah adalah budak wanita Abu Lahab. Abu Lahab membebaskannya, lalu dia menyusui Nabi (Shallallahu ‘alaihi wa Sallam). Ketika Abu Lahab mati, dia diperlihatkan kepada sebahagian keluarganya (melalui mimpi) berkenaan buruknya keadaan dia (Abu Lahab). Keluarganya berkata kepadanya, “Apa yang engkau perolehi?”, Abu Lahab menjawab, “Aku tidak memperolehi selepas kamu melainkan aku diberi minum sebanyak ini (memaksudkan jumlah yang sangat sedikit) kerana aku memerdekakan Tsuwaibah.” (Hadis Mursal Riwayat al-Bukhary, no. 4711, dari ‘Urwah bin Zubair)

Hadis ini adalah hadis yang mursal (Rujuk: Ibnu Hajar al-‘Asqalani, Fathul Bari, 9/49) iaitu merupakan perkataan tabi’in dan tidak dapat disandarkan kepada Rasulullah.

Ibnu Hajar al-‘Asqalani rahimahullah juga berkata:

Hadis di atas menunjukkan bahawa di akhirat orang kafir boleh memperolehi manfaat dari amal kebaikan yang mereka lakukan, tetapi perkara ini bertentangan dengan zahir ayat al-Qur’an,

“Dan Kami hadapi segala amal yang mereka usahakan, lalu Kami jadikan amal tersebut seperti debu yang berterbangan.” (Surah al-Furqan, 25: 23)

Maka, pernyataan di atas dijawab sebagaimana berikut:

Khabar tersebut adalah mursal yang dibawa oleh ‘Urwah dan dia tidak menyebutkan dari siapa dia mendapat kisah tersebut. Sekiranya hadis tersebut maushul, tetapi isi hadis tersebut adalah mimpi sehingga tidak layak untuk dijadikan sebagai hujjah. Boleh jadi saudaranya yang bermimpi itu belum masuk Islam ketika itu sehingga tidak dapat dijadikan hujjah. (Rujuk: Fathul Bari)

2 – Kisah berkenaan diringankannya siksa Abu Lahab ini telah dikaji oleh para ulama dari zaman berzaman oleh para ulama, akan tetapi tidak ada seorang pun yang menggunakannya sebagai hujjah untuk mengadakan perayaan maulid Nabi.

3 – Kisah Abu Lahab memerdekakan Tsuwaibah ketika kelahiran atau di ketika menyusui Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam adalah sangat bertentangan dengan fakta sirah (sejarah) yang sebenar.

Al-Hafiz Ibnu ‘Abdil Barr rahimahullah menjelaskan bahawa Abu Lahab membebaskan Tsuwaibah adalah ketika selepas Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berhijrah ke Madinah. (Rujuk: Ibnu ‘Abdil Barr, al-Isti’ab, 1/12. Rujuk juga: az-Zuhry, at-Thobaqat, 1/108-109. Ibnu Hajar al-‘Asqalani, Fathul Bari, 9/48)

4 – Kegembiran yang terlahir dari dalam diri Abu Lahab bukanlah kegembiraan kerana Allah. Akan tetapi adalah sebuah kegembiraan yang lahir dari hati nuraninya sebagai seorang insan biasa disebabkan mendapat anak saudara baru. Ia samalah sepertimana sifat tabi’i (kebiasaan) manusia lainnya apabila mendapat berita tertentu yang menggembirakannya.

Syubhat Ketiga:

Imam as-Suyuti rahimahullah berkata:

Syaikhul Islam Hafiz al-Ashr Abu al-Fadhl Ahmad bin Hajar al-‘Asqalani ditanya berkenaan sambutan (majlis peringatan) Maulid Nabi, dia menjawab,

“Pada dasarnya peringatan Maulid Nabi adalah bid’ah kerana tidak seorang pun dari kalangan salafus-sholeh tiga generasi pertama yang melakukannya. Akan tetapi, peringatan tersebut telah merangkumi kebaikan dan keburukan. Sesiapa yang mampu mengambil kebaikan dan membuang yang buruknya, maka ianya menjadi bid’ah hasanah, dan jika tidak (sebaliknya) maka ia menjadi bid’ah yang tidak hasanah.”

Dia berkata:

Ada pun aku mengembalikan permasalahan ini kepada sumber asalnya, iaitu sebuah hadis yang diriwayatkan dalam Shahih al-Bukhary dan Shahih Muslim, dari Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhu, dia berkata:

“Sewaktu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tiba di Madinah, beliau mendapati orang-orang Yahudi berpuasa pada hari Asyura. Ketika ditanya berkenaan puasa mereka tersebut, mereka pun menjawab, “Hari ini adalah hari kemenangan yang telah diberikan oleh Allah kepada Nabi Musa ‘Alaihis Salam dan kaum bani Israil dari Fir’aun. Kami merasakan perlu untuk berpuasa pada hari ini sebagai tanda terima kasih (syukur) kami kepada-Nya”. Lalu Rauslullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda, “Kami lebih berhak daripada kamu dan Nabi Musa dalam persoalan ini”. Kemudian beliau pun memerintahkan para sahabat supaya berpuasa pada hari tersebut.” (Hadis Riwayat al-Bukhary dan Muslim)

Dari hadis tersebut dapat dilihat bahawa disarankan untuk bersyukur kepada Allah atas nikmat yang telah diberikan kepada kita pada hari tertentu atau untuk mencegah musibah dan bencana tertentu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam mengajarkan kepada kita supaya memperbanyakkan ibadah di dalamnyadengan pelbagai bentuknya. Sebagai contoh: Solat, puasa, sedekah, membaca al-Qur’an, dan sebagainya. Nikmat mana yang lebih besar daripada nikmat datanganya Nabi yang penuh rahmat pada hari kelahirannya.

Dengan sebab itulah, maka hendaklah pada hari kelahirannya itu dirayakan dengan ibadah sehingga sama dengan kisah Musa ‘Alaihis Salam pada bulan Asyura. Orang yang tidak memerhatikan persoalan ini, tidak akn peduli hari apa dan bulan apa merayakan Maulid Nabi. Malahan, ada kelompok dari mereka yang memindahkan hari peringatan Maulid Nabi itu pada satu hari, bila-bila pun, dalam satu tahun tersebut. Ini sudah menyimpang dari asal pokok persoalan.” (Rujuk: as-Suyuti, al-Hawi lil Fatawa, 1/196)

Di antara mereka pada zaman ini yang turut mempergunakan hadis tersebut untuk mensunnahkan perayaan Maulid Nabi adalah Muhammad ‘Alwi al-Maliki di dalam kitabnya berjudul Haulal Ihtifal bil Maulid, m/s. 11-12.

Jawaban/Bantahan:

1 – Para ulama dari kalangan tiga generasi salaf (terawal) tidak pernah ada yang mentafsirkan dan memahami hadis tersebut untuk mengadakan perayaan Maulid Nabi. Maka, bentuk-bentuk penafsiran seperti itu adalah termasuk ke dalam bentuk-bentuk penafsiran dengan cara baru yang bertentangan dengan kefahaman para salaf (sahabat radhiyallahu ‘anhum).

2 – Daripada penjelasan awal Imam as-Suyuti tersebut, telah jelas bahawa al-Hafiz Ibnu Hajar sendiri menyatakan bahawa perayaan Maulid Nabi adalah bid’ah, tidak pernah dilakukan oleh generasi salaf.

3 – Pemahaman al-Hafiz Ibnu Hajar berkenaan dibolehkan perayaan maulid berdasarkan hadis puasa Asyura tersebut adalah merupakan suatu kesilapan dan merupakan bentuk kefahaman yang salah. Ini adalah kerana tiada seorang pun dari kalangan ulama salaf yang memahami hadis tersebut untuk tujuan perayaan Maulid Nabi. (Sila lihat perbahasan oleh Imam asy-Syatibi di dalam al-Muwafaqat atau sebagaimana yang telah dinukilkan di atas)

4 – Mengqiyaskan bid’ah Maulid dengan puasa Asyura adalah suatu bentuk takallauf (pemaksaan terhadap dalil) untuk mengikuti kehendak diri sendiri yang sangat nyata dan tertolak. Ini adalah kerana puasa Asyura telah ditetapkan oleh Nabi sendiri, sedangkan bid’ah perayaan Maulid Nabi bukan datang dari Nabi. Dan perlu kita fahami bahawa setiap amal ibadah itu ditetapkan perlu berdasarkan dalil dan bukan berdasarkan padangan seseorang atau anggapan baik seseorang manusia.

Syubhat Keempat:

Mereka turut berdalilkan dengan hadis Anas bin Malik radhiyallahu ‘anhu:

“Bahawa sesungguhnya Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam melakukan ‘aqiqah untuk diri beliau sendiri setelah diangkat menjadi Nabi.” (Hadis Riwayat al-Baihaqy, 9/300. Dan Abdurrazzaq di dalam al-Mushannaf)

Lalu mereka menjelaskan bahawa:

Padahal datuknya, Abdul Muthalib telah pun beraqiqah untuknya (Nabi Shallallahu ‘alaih wa Sallam) pada hari ketujuh setelah kelahirannya yang mana sepatutnya, aqiqah tersebut tidaklah perlu diulanginya semula.

Maka, ini menunjukan bahawa Nabi sendiri telah menzahirkan rasa syukurnya kerana telah diciptakan di muka bumi ini sebagai rahmat ke seluruh alam dengan cara beraqiqah. Dengan keadaan ini juga, adalah disunnahkan bagi kita untuk menunjukkan rasa syukur kita atas kelahirannya dengan cara berkumpul, makan bersama, dan dengan bentuk-bentuk aktiviti yang lainnya sebagai penzahiran sebuah kegembiraan. (Rujuk: as-Suyuti, al-Hawi lil Fatawa, 196)

Jawaban/Bantahan:

1 – Takhrij Hadis:

Di dalam hadis ini terdapat seorang rawi bernama ‘Abdullah bin Muharrar al-Jazary.

Al-Hafiz Ibnu Hajar menyebutkan di dalam Fathul Bari bahawa hadis ini tidak kuat. Dia menisbatkan pernyataan ini kepada al-Bazzar yang berkata: “‘Abdullah bin Muharrar sendirian dalam periwayatannya sehingga ia lemah.” (Rujuk: Ibnu Hajar al-‘Asqalani, Fathul Bari, 9/595)

Imam Nawawi menjelaskan berkenaan hadis ini dengan katanya: “Ini adalah hadis batil dan ‘Abdullah bin Muharrar adalah lemah dan disepakati kelemahannya. Al-Huffaz (Para ulama hadis) berkata, “Dia ditinggalkan”. Wallahu a’lam.” (Rujuk: an-Nawawi, Majmu’ Syarah al-Muhazzab, 8/431-432)

Ibnul Qayyim menjelaskan: “Sesungguhnya Ibnu Muharrar meninggalkan hadis ini.” (Ibnul Qayyim, Tuhfah al-Maulud)

Di antara lain yang melemahkan ‘Abdullah Muharrar ini adalah Imam Ahmad, ad-Daruquthni, Ibnu Hibban, Ibnu Ma’in, al-Bukhary, dan adz-Dzahabi rahimahullahu jami’an. (Rujuk: at-Talkhis al-Habir dan Mizanul I’tidal)

2 – Di dalam hujjah mereka ini terdapat suatu bentuk pendalilan yan pelik di mana mereka cuba mengambil kira perbuatan ‘aqiqah oleh Abdul Muthalib, sedangkan Abdul Muthalib bukanlah Islam. Oleh itu, adakah amalan tersebut boleh diambil kira?

Syubhat Kelima:

Mereka mempergunakan hadis dari Abu Qotadah:

“Rasulullah ditanya tentang puasa hari Isnin. Lalu beliau menjawab, “Itu adalah hari kelahiranku dan hari di mana aku diutus menjadi Nabi.” (Hadis Riwayat Muslim)

Dengan katanya:

Ini menunjukkan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam mengagungkan hari kelahirannya dan beliau mengagungkannya dengan cara berpuasa. Ini juga bermakna, dibolehkan mengagungkan beliau dengan cara meraikan hari maulid.

Jawaban/Bantahan:

1 – Berdasarkan hadis tersebut, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berpuasa pada hari kelahirannya dan bukan pada tarikh kelahirannya yang kebanyakan daripada pelaku perayaan Maulid merayakannya sama ada pada 9 atau 12 Rabbi’ul Awwal atau di sepanjang bulan tersebut.

2 – Tidak ada dari kalangan ulama salaf dari para sahabat dan tabi’in yang memahami hadis tersebut untuk membolehkan perayaan Maulid Nabi pada bulan atau tarikh-tarikh tertentu. Maka, sekali lagi menunjukkan bahawa pelaku perayaan Maulud Nabi cuba menafsirkan dalil atau nash-nash tertentu mengikut bentuk-bentuk pemahaman baru. Ia juga termasuk ke dalam konteks takalluf (pemaksaan dalil supaya mengikuti kehendak mereka).

3 – Berdasarkan hadis menunjukkan Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam melaksanakan ibadah puasa di hari kelahirannya sebagai tanda syukur. Tetapi, apa yang telah jelas bahawa para pelaku perayaan Maulid adalah melakukan sebaliknya di mana mereka mengadakan majlis yang besar termasuklah makan besar dengan kepelbagaian hidangan.

Kesimpulan:

Cukuplah dengan apa yang telah disyari’atkan di dalam agama melalui kalam Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.

Kerana beliau sendiri bersabda:

“Sebaik-baik kalam (perkataan), adalah kalamullah. Sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.” (Hadis Riwayat Muslim)

“Sesiapa yang mengada-adakan sesuatu dalam urusan (agama) kami ini sesuatu yang baru yang bukan darinya, maka ianya tertolak.” (Hadis Riwayat Muslim)

“Sesiapa yang mengerjakan sesuatu amal yan bukan atas perintah kami, maka amal tersebut tertolak.” (Hadis Riwayat Muslim)

Dengan demikian, hendaklah kita menjauhi dan berlepas diri dari segala bentuk perkara-perkara baru yang disandarkan atas nama agama sedangkan agama sendiri tidak pernah mensyari’atkan perkara tersebut. Kerana perkara-perkara baru tersebut tidak lain hanya menyesatkan dan menjauhkan kita dari agama yang sebenar yang dibawa oleh Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sebagaimana yang difahami oleh para sahabat generasi terbaik umat Islam.

Dalam rangka menzahirkan rasa cinta kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, saya mencadangkan artikel berikut sebagai bacaan dan sekaligus mungkin boleh dijadikan panduan, insyaAllah:

1 – Hakikat Mencintai Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam,
Klik.

2 – Mencintai Nabi Bukan Dengan Cara Menyambut Maulid Nabi,
Klik.

Rujukan:

Artikel ini telah ditulis berdasarkan dua buah buku* sebagai rujukan utama iaitu:

1 - Studi Kritis Perayaan Maulid Nabi, Maktabah al-Atsariyah, Hammad Abu Mu’awiyah.
2 – Adakah Maulid Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, Darul Falah, Abdullah bin Aziz at-Tuwaijiry & Dakhilullah bin Bakhit al-Mathrafi.

*Footnote dan rujukan diambil terus dari dua buku tersebut dengan beberapa suntingan bahasa dari indonesia kepada bahasa Melayu (Malaysia).