__________________________________________________________________________________

| Nawawi | Aqeedah | Fiqh | Anti Syirik | Galeri Buku | Galeri MP3 | U-VideOo |
__________________________________________________________________________________

Sunday, February 22, 2009

084 - Benarkah Syaikh al-Albani Membenarkan Menyertai Sistem Demokrasi?

Benarkah Syaikh al-Albani Membenarkan Menyertai Sistem Demokrasi?

http://bahaya-syirik.blogspot.com/

(setelah terdapat banyak pihak yang memanipulasi sebahagian fatwa Syaikh al-Albani rahimahullah berkenaan hukum menyertai pilihanraya dengan memotong sebahagian dan mengambil sebahagian, maka di sini kami tampil menjelaskannya dengan tulisan Syaikh Abdul Malik Ramadhani al-Jazairy)

Di dalam kitab Madarikun Nazhar fi as-Siyasah, jil. 2, m/s. 48-50, footnote no. 32 (Edisi terjemahan oleh Pustaka Imam Bukhari). Kitab ini diberi kata pengantar oleh Syaikh al-Albani sendiri dan Syaikh Abdul Muhsin al-Abbad al-Badr. Syaikh Abdul Malik Ramadhani al-Jazairy menjelaskan di dalam kitabnya ini:

“Syaikh al-Albani berpendapat bahawa haram hukumnya menyertai parlimen serta pilihanraya berdasarkan dua hujjah yang asas sebagaimana berikut:

1 – Perbuatan tersebut termasuk bid’ah! Disebabkan wasilah dakwah seperti ini sepatutnya adalah tauqifiyah (hanya boleh ditetapkan berdasarkan wahyu). Untuk penjelasan lebih lengkap, dipersilakan merujuk/membaca kitab “al-Hujjaj al-Qawiyyah ‘ala anna wasa ‘ilud Dakwah Tauqifiyah” karya Syaikh Abdussalam bin Barjas. Perkara tersebut tidaklah bertentangan dengan penjelasan beliau bahawa dasar-dasarnya ditetapkan dengan kaedah umum maslahat mursalah. Syaikh al-Albani sering membawakan perkataan Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah rahimahullah di dalam kitab Iqtidha’ Shiratul Mustaqim, hal. 278: “Semua perkara yang mengandungi faktor pendorong untuk melakukannya di zaman Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, sekalipun perkara tersebut dianggap maslahat, namun tidak dilakukan, dapatlah diketahui bahawa perkara tersebut sebenarnya bukan maslahat... kita semua tahu bahawa perkara ini adalah kesesatan walau pun kita belum mengetahui adanya larangan khusus atau kita telah mengetahui bahawa perkara tersebut membawa mafsadat!”

Saya telah menukil pernyataan Syaikh al-Albani bahawa membentuk parti-parti bertujuan untuk turut serta di dalam kancah politik adalah bertentangan dengan petunjuk Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Sewaktu di Makkah beliau diminta untuk turut serta dalam pemerintahan Quraisy namun beliau menolaknya. Ini adalah kerana beliau mendasari perjuangan beliau dengan pembinaan aqidah dan akhlak, sebagaimana perkara ini diketahui di dalam sejarah. Masalah ini berkaitan dengan adanya dorongan untuk melakukannya namun tidak dilakukan. Dalam masalah ini, ada juga larangan. Pernyataan Syaikh setelah itu memperingatkan kita terhadap hal tersebut. Berkaitan dengan kerosakan yang terjadi, beliau telah memberi catatan penting sebagai jawabannya, wallahu waliyyut taufiq.

2 – Perbuatan tersebut termasuk menyerupai orang kafir (tasyabbuh bil kuffar). Tidak ada yang menyangkal bahawa sistem pilihanraya ini berasal dari mereka!

Kedua perkara di atas merupakan bukti bahawa Syaikh al-Albani tidak mengharamkannya (pilihanraya dan demokrasi) kerana sebab masa atau keadaan-keadaan yang tertentu yang mungkin saja terhapus dengan maslahat dengan maslahat pada masa atau keadaan tertentu pula. Sekali-kali tidak! Bahkan beliau mengharamkan praktikal pilihanraya itu sendiri! Jangan sekali-kali terkecoh dengan syarat-syarat yang beliau berikan bagi mereka yang mahu turut serta ke dalam pilihanraya bagi kaum muslimin, termasuk di dalamnya kaum wanita, kerana beliau menyatakan seperti itu ketika para aktivis parti tersebut tetap berdegil/berkeras dan tidak memiliki keinginan lain melainkan menyertai parlimen. Berhubung (dengan keadaan mereka) yang tetap bertahan di dalam parlimen (walau pun ahli ilmu telah mengeluarkan fatwa), maka menurut beliau, kaum muslimin yang lain tidak memiliki pilihan melainkan memilih parti yang paling dekat dengan nilai-nilai Islam. Untuk menghindari kerosakan yang lebih besar dengan memilih kerosakan yang lebih kecil. Akan tetapi Syaikh al-Albani melarang bergabung bersama mereka di dalam parti politik dan sistem....

(Berikut) Satu pernyataan beliau kepada parti Front Islamic Socity (FIS) dan selainnya yang telah berulang kali dirakam adalah:

“Jika kalian tetap bersikap keras dan tetap berkeinginan menjadi tumbal (pelindung), maka bagi kaum muslimin yang lain hendaklah memilih parti-parti yang lebih Islami. Bukan kerana mereka akan membawa kebaikan, namun untuk menekan kejahatan mereka.”

Itulah pendapat Syaikh, hendaklah difahami dengan sebaik mungkin!

Sengaja saya cantumkan penukilan berikut ini supaya para pembaca tidak salah faham:

Dalam sebuah kaset (rakaman) Silsilah Huda wan Nuur, no: 1/352, seorang bertanya kepada Syaikh al-Albani:

“Penanya (P): Wahai Syaikh, kami dengar engkau membolehkan menyertai parlimen dengan beberapa syarat.

Syaikh al-Albani (S.A): Tidak, saya tidak membolehkannya! Kalau pun syarat itu dipenuhi, ianya hanyalah besifat teori belaka dan tidak mungkin diwujudkan. Adakah anda ingat syarat-syarat tersebut?

P: Syarat pertama, ia perlu dapat menjaga keselamatan dirinya.

S.A: Mungkinkah itu berlaku?

P: Saya belum mencubanya.

S.A: InsyaAllah engkau tidak akan mencubanya! Syarat-syarat tersebut tidak mungkin dipenuhi. Telah banyak kita saksikan orang-orang yang memiliki prinsip hidup yang lurus, kelihatan dari penampilannya, cara berkapaikannya yang memiliki nilai-nilai Islam... memelihara janggut... namun ketika menjadi anggota parlimen penampilan mereka langsung berubah! Tentu sahaja mereka mengemukakan alasan dan mencari-cari cara untuk membenarkannya... katanya, untuk tujuan menyesuaikan diri...

Banyak kita lihat orang-orang yang menjadi anggota parlimen dengan mengenakan pakaian tradisional arab yang memiliki nilai-nilai Islam. Selang beberapa hari kemudian mereka mengubah pakaian dan penampilan mereka. Adakah ini merupakan bukti kebaikan atau pun sebenarnya kerosakan?

P: Syaikh, yang dimaksudkan adalah saudara-saudara kita di al-Jazair, tentang usaha mereka dan perbuatan mereka mengikut serta di dalam kancah politik.

S.A: Zaman sekarang ini saya tidak menganjurkan kaum muslimin di negeri Islam mana pun terlibat terlibat di dalam kegiatan politik...”

Dalam Silsilah itu juga, no. 352, side A, Syaikh berkata:

“Menurut saya, tidak perlu ditegakkan jihad, bahkan saya memperingatkan supaya tidak menegakkannya sekarang ini. Kerana sarana-sarana fizikal mahu pun bukan fizikal, yang zahir mahu pun batin, tidak mendukung kaum muslimin untuk menegakkan jihad di bumi mana pun..”

Beliau berkata: “Kami melarang kaum muslimin dari ikatan-ikatan hizbiyah dengan meng-atas-namakan Islam! Sekelompok orang mendirikan parti Islam ini, yang lain juga turut menubuhkan parti Islam yang itu pula... Itulah salah satu bentuk hizbiyah! Padahal semuanya berjuang untuk Islam dan untuk kebaikan Islam. Hanya Allah yang tahu apa sebenarnya yang terselindung di sebalik hati-hati mereka! Oleh sebab itu, menurut kami, setiap negara Islam jangan memberi peluang munculnya fenomena seperti ini, walau pun dengan mengunakan nama Islam. Namun, ia adalah sebenarnya kebiasaan kaum kafir. Itulah sebabnya Allah berfirman:

“... dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang mempersekutukan Allah, iaitu orang-orang yang memecah-belah agama mereka dan mereka menjadi beberapa golongan. Tiap-tiap golongan merasa bangga dengan apa yang ada pada golongan mereka.” (Surah ar-Ruum, 30: 31-32)

(Artikel ini adalah bertujuan menjawab sebahagian manipulasi fatwa yang dilakukan oleh web al-ahkam dan para pendukungnya)

No comments: